Archive for the Pak Lah Category

SEORANG MANUSIA BERSAMA ZAHARIN

Posted in Blogger, Najib, Pak Lah, UMNO, zaharin on June 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada yang membenci dan ada yang seronok dengan manusia bernama Zaharin Mohd Yassin atau Sang Kelembai.

Malah, bukan calang-calang, rakyat biasa seperti Zaharin berani berperang dengan bekas Perdana Menteri selama hampir empat tahun.

Malah, sedikit sebanyak – walau sekelumit pun – Zaharin turut menyumbang atau penyebab bekas Perdana Menteri tidak dapat duduk senang dan akhirnya mengundurkan diri.

Sang Kelembai ialah nama samaran digunakan untuk kolum dalam Harian Watan antara 1994-1997. Ada dua tiga orang yang menyumbang untuk kolum itu, termasuk saya ketika menjadi Ketua Pengarang Watan antara 1996-1997. Sebelum itu Zahari Affandi menulis untuknya.

Kini Zaharin sudah diterima kembali menjadi ahli UMNO. Tarikhnya sama dengan penerimaan kembali Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk Mokhzani Mahathir dan beberapa yang lain.

Bukan kecil tu. Seiring dengan nama bekas Perdana Menteri. Yang membezakan ialah Zaharin dipecat dan Tun serta keluarga isytihar keluar UMNO.

Tidak apalah, sekurang-kurangnya Zaharin mempunyai prinsipnya sendiri tidak akan bertolak ansur dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin dan Patrick Lim.

Bagi Zaharin, “UMNO ditubuhkan bukan berasal dari kaum peniaga atau saudagar, kerana seorang saudagar tentu akan memperlakukan kekuasaan saperti berjual beli barang. Urusan kekuasaan bukan untung dan rugi tetapi bagaimana mempertahankan kepercayaan.”

Satu perkara yang Zaharin tidak akan bertolak ansur ialah apabila kerosakan dilakukan terhadap UMNO walau oleh sesiapa jua.

Kata Zaharin kepada saya, “Sesiapa juga yang cuba menjahanamkan UMNO akan saya tentang…termasuk Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) kalau beliau rosakkan UMNO. Tetapi saya yakin Najib tidak akan melakukan perkara serupa seperti Presiden UMNO sebelum ini.”

Selamat berjuang kembali kepada Zaharin – sebagai blogger dan ahli UMNO!

JANGAN GANGGU NAJIB

Posted in Najib, Pak Lah, PM, UMNO on March 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada beberapa pihak mengatakan proses peralihan kuasa Datuk Sari Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib sukar dilakukan kerana faktor diri Najib.

Tiada pula mengatakan sebahagiannya juga kerana faktor diri Abdullah.

Bagi saya, yang mengatakan demikian kerana merasakan Abdullah wajar dikekalkan kerana sebab-sebab yang dikaitkan dengan diri Najib, bukan kerana diri Abdullah.

Apapun, apabila Mohd Sayuti Omar memperkatakan “Kenapakah Proses Penggantian Abdullah dengan Najib Sukar’, penulisan itu menyuarakan pandangan pihak-pihak yang rapat dengan Abdullah tetapi menggunakan blok penulis yang jelas menyokong PAS untuk menghemburkan rasa dan perasaan mereka.

Tulisan 18 Mac 2009 itu antara lain mengatakan “Sesekali timbul rasa kesian dan simpati kepada Mohd Najib Razak. Betapa sukarnya untuk beliau menjadi perdana menteri ke-enam, bagi mengganti Abdullah Ahmad Badawi. Proses yang dilaluinya penuh kawat berduri. Jalannya berliku-liku, bengkang bengkok dan berbonggol-bonggol; tidak segampang proses yang dilalui oleh bekas-bekas PM sebelum ini dan PM yang ada kini.”

Membaca baris ini jelas kenapa proses itu tidak menjadi ‘gampang’ kerana Abdullah sendiri atau orang-orangnya tidak mahu Abdullah meletakkan jawatan. Tidak seperti PM sebelum ini, apabila membuat keputusan, diri mereka sendiri yang membuat keputusan dan orang sekelilingnya perlu menghormati.

Kata Sayuti: “Jalan yang dilalui Najib ini sungguh sukar dan bukan mudah. Belum pernah berlalu dalam proses penggantian ini terpaksa diadakan pelan peralihan khas. Belum pernah berlaku tekanan ke atas bakal perdana menteri sampai membangkitkan soal jenayah dan membongkar mengenai sifat dan perangai isteri yang bakal menjadi wanita pertama negara. Dan menariknya peralihan ini juga turut menggunakan pakar pecah dan perintah yang terkenal sejak tahun 1969 lagi!

Satu sejarah, tidak pernah berlalu penentangan terbuka kepada bakal perdana menteri yang melibatkan orang di luar Umno, rakyat sendiri. Tetapi dalam kes Najib ini rakyat dari semua lapisan dan profesional turut sama mempertikaikannya. Lebih mengedukan lagi sampai ada yang terang-terang menggesa Yang di-Pertuan Agong agar tidak melantik Najib. Sanjungan yang diperolehi oleh Barack Obama daripada rakyat Amerika tidak berlaku kepada Najib di Malaysia.

Halangan ini sungguh perit bagi Najib.”

Soal pokok ialah apabila cuba mempertahankan yang lama tanpa mahu memberikan ruang kepada yang baru sudah pasti akan berlaku usaha memburuk-burukkan yang baru. Memang Najib cuba diburukkan dengan pelbagai cara dan usaha ini pula dilakukan secara tersusun dan penuh agenda.

Yang nyata, dalam proses peralihan kuasa Abdullah-Najib ini, saya melihat Abdullah terus cuba dipengaruhi dan minta-meminta supaya Abdullah terus dikekalkan. Banyak sms saya terima masih menganggap Abdullah wajar dikekalkan.

Kalau demikian, buat apa proses pemilihan UMNO dilakukan tanpa Abdullah mempertahan kan jawatan? Kenapa tidak meminta Abdullah mempertahankan jawatan?

Lagipun Najib sudah dinobatkan sebagai pemenang satu-satunya bagi jawatan Presiden UMNO – yang lain hormatilah keputusan.

Apakah ini tidak menggambarkan rakyat dan orang Melayu?

Lagi satu, seperti ada rangkaian menyekat Najib antara penyokong Abdullah dengan pembangkang apabila ada suara dan blog bagaikan ditaja oleh ‘juak Abdullah’ mahu menyekat Najib dan pemain utamanya semakin hari semakin jelas.

Tuduhan dan kaitan terhadap Najib mengenai ‘ayat-ayat jampi bertulis jawi atau kayu atau batu dibungkus dengan kertas di meja Abdullah’ adalah perbuatan jahat yang sengaja untuk menggugat Najib.

Persoalan seterusnya yang ditimbulkan Sayuti ialah: “Kenapa ramai yang tidak suka kepada Najib? Saya tidak berniat untuk menghuraikan satu persatu di sini kerana ia sudah lama tertanam dalam kepala setiap daripada orang yang tidak sukakannya. Baik ianya bersifat persepsi atau realiti tetapi itulah yang berlaku.

Ataupun kesukaran ini adalah pedoman bahawa Najib tidak sempat menjadi perdana menteri ataupun kalau beliau menjadi perdana menteri nanti akan membawa kecelakaan kepada Umno dan negara?”

Dua perkara di sini. Pertama, ramai tidak suka dan kedua, jika jadi Perdana Menteri akan menyebabkan kecelakaan kepada UMNO dan negara.

Jawapan pertama, untuk ‘ramai tidak suka’ ialah tidak benar sama sekali kerana Najib dipilih sebulat suara dan tiada penentangan daripada orang Melayu dan UMNO.

Yang bersuara mengenai Najib ialah suku sakat Abdullah dalam UMNO dan pembangkang.
Jawapan kepada perkara kedua akan menyebabkan ‘kecelakaan’ adalah tuduhan berat yang amat meragui keupayaan Najib.

Saya tidak fikir orang PAS yang baik seperti Sayuti boleh membuat tuduhan sebegini sekiranya tidak dipengharuhi oleh pandangan pihak ketiga yang mahu mempertahankan Abdullah.

Betul juga kata Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru “tidak bertanggungjawab dan berniat jahat”.

Naib presiden Umno itu berkata cadangan berkenaan jelas mahu menimbulkan kegelisahan di kalangan anggota Umno khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Siapa yang menimbulkan pandangan ini? Jawapannya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau dilantik oleh Abdullah walaupun tidak bertanding pilihan raya dan tidak mampu pun menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.

Apakah beliau berdendam dengan Najib?

Kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa pendedahan dibuat akhbar Peranchis, Liberation yang membuat tohmahan membabitkan bakal Presiden Umno Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu perlu dibersihkan kerana dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia.

“Jadi dalam kes Najib itu, apabila dituduh begitu hebat, dia senyap, maka amat sukar bagi rakyat untuk membersihkan diri bakal Perdana Menteri itu.Oleh itu beliau mesti membersihkan dirinya. Katanya Nabi Muhammad saw sendiri menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan dan tidak melarang sahabat yang lain daripada bertanya,” kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengakui ia adalah tohmahan tetapi memerlukan jawapan.
Jawapan ialah buat apa menjawab tohmahan yang akan menimbulkan perbincangan berjela-jela tanpa penghujung. Serahkan kepada mahkamah membuat keputusan.

Persoalan kepada Nik Aziz, apakah beliau menjawab semua tuduhan terhadap diri dan keluarganya seperti sifat Nabi Muhammad?

Bagi saya segala-galanya ini – tuduhan terhadap Najib dan tidak mahu Najib menjadi PM – tidak akan wujud dan berlaku jika Abdullah sendiri tidak flip-flop dalam tindakannya maju melepaskan jawatan.

Kenapa PM terdahulu boleh melepaskan jawatan dengan rela hati dan menyediakan permaidani merah untuk penggantinya sedangkan Abdullah pula membina jalan berduri untuk Najib?

Juga, kenapa Abdullah tidak ‘menutup mulut juak-juak yang menyokongnya’ untuk menjamin Najib dan UMNO tidak diserang?

Sepatutnya Najib tidak diganggu dan Sayuti juga wajar pertahankan Najib seperti beliau pertahankan Khairy Jamaluddin kerana peranan yang akan dimainkan oleh Najib lebih besar – Perdana Menteri Malaysia Keenam!

PUAKA JADIAN DALAM UMNO?

Posted in Anwar, Najib, Pak Lah, Pemilihan UMNO, Tangkal on March 19, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa makna kata-kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim “bagaimana objek tersebut berada di bawah meja presiden Umno dan tidak diletakkan di bawah meja timbalannya Datuk Seri Najib Razak”.

Beliau merujuk kepada penemuan dua kertas putih dan sepotong kayu kecil, dipercayai dijampi oleh polis, yang diselitkan secara misteri di bawah meja Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Umno.

Satu sms daripada WIP menyebut: “Dengan kehendak Allah s.w.t. hari ini, telah terkeluar berita tentang sepasukan anggota polis yang sedang melakukan pemeriksaan dalam bilik Mesyuarat MT UMNO di tingkat 38 (39?) menemui TANGKAL yang diletakkan di bawah meja dalam bilik berkenaan.

“TANGKAL kayu yang dibalut kertas putih bertulisan jawi di temui dua minggu lepas. Mungkinkah TANGKAL PUAKA ini diletak di bawah meja berkenaan untuk melemahkan Pak Lah?”

Ketua polis daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman hari ini dilaporkan mengesahkan penemuan objek tersebut, tetapi beliau enggan memperincikannya.

Apakah dalam soal tahyul mayul ini pun Anwar mahu mempersalahkan Najib?

Ini berikutan Ketua Pembangkang itu dalam mengulas penemuan objek berkenaan mempersoalkan bagaimana objek tersebut berada di bawah meja presiden Umno dan tidak diletakkan di bawah meja timbalannya Datuk Seri Najib Razak.Kertas jampi di bawah meja Pak Lah?

Jelas kebencian Anwar begitu teruk sehinggakan dalam penemuan objek seperti ini pun beliau mahu mengambil milage.

Memang cara murahan dilakukan Anwar. Low class kata P. Ramlee.

Menurut laporan Sin Chew Daily, skuad pemusnah bom polis Kuala Lumpur menemui objek misteri itu dalam pemeriksaan rutin mereka beberapa hari lalu di bilik mesyuarat Umno di tingkat 39 bangunan ibu pejabat parti.

Pemeriksaan itu dijalankan sebagai persiapan mesyuarat terakhir Majlis Tertinggi (MT) sebelum bermula perhimpunan agung Umno, awal minggu depan.

Dua kertas putih, bersaiz kecil sehingga boleh dimuatkan di dalam mulut, mengandungi tulisan jawi dan kayu kecil yang dibalut kertas putih, lapor harian itu lagi.

Polis dilaporkan telah mengambil keterangan daripada tiga orang yang mempunyai kad akses ke bilik tersebut, termasuk dua anggota polis dan seorang pembantu politik yang bergelar Datuk.

Menurut laporan itu lagi, bilik itu tiada CCTV dan selain pemimpin politik, hanya pekerja pembersihan bangunan yang boleh masuk ke bilik tersebut.

Untuk kepastian lanjut, pasukan polis menghantar objek-objek kepada Jabatan Kimia. Hasil siasatan dilaporkan belum diketuai.
Kita sama-sama tunggu apa bendanya yang ditemui dan siapa bertanggungjawab!

PEMBOHONGAN POLITIK TERBARU

Posted in Anwar, Malaysiakini, Pak Lah, PKR on March 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apakah Malaysiakini dan Mohd Sayuti Omar (MSO) berbohong?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan laporan kononnya beliau mengadakan perbincangan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri satu majlis keagamaan di Hulu Langat, semalam.

Jika kedua-duanya membuat pembohongan besar dalam politik seperti ini, apakah kita perlu membiarkan terus orang yang sewaktu seperti Malaysiakini dan MSO ini terus melakukan pembohongan?

Sedangkan pembohongan politik seperti ini boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Selain itu ia mendatangkan pelbagai reaksi. Semalam seseorang yang disegani dalam politik negara menelefon saya bertanyakan apakah benar pertemuan Abdullah dan Anwar.
Untuk apa pertemuan itu sedangkan negara akan diambil alih oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam beberapa hari lagi.

Menurut tokoh berkenaan, pertemuan seperti itu tidak bermakna lagi, melainkan jika Abdullah mempunyai agenda lain.

Malah menurutnya, apa yang disebut oleh MSO itu, jika ada kebenaran menyerlahkan lagi peranan Khairi Jamaluddin dalam usahanya menjamin Najib tidak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, beliau tahu tujuan MSO membuat spekulasi berkenaan. Yang tepat dan khusus ditujukan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Lebih jauh ada meramalkan Anwar kini dalam proses ambil alih jawatan Perdana Menteri secara rundingan.

Ini kerana menurut beberapa blog, sejak kejutan pertemuan empat mata yang penuh misteri dan tandatanya antara Abdullah dan Anwar itu, teori pengambilalihan jawatan Perdana Menteri secara rundingan dilihat mendominasi kebanyakan percakapan politik.

Kata mereka Abdullah dilihat sedang berusaha untuk memastikan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya tidak dianugerahkan sebegitu mudah kepada kononnya bakal penganti beliau iaitu Najib Razak.

Dalam politik, segalanya mungkin. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Mungkinkah benar wujud satu persefahaman dan juga rundingan antara Anwar dan Abdullah berkenaan dengan peralihan kuasa, tanya blog-blog berkenaan.

Apa pun, semalam di Kota Kinabalu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau menghadiri majlis itu atas undangan seorang tokoh agama, Syeikh Mahmud al-Majzub sempena sambutan ke-40 “Ritual Building Strength”.

“Saya dijemput dan saya pergilah, dan semasa kami sedang makan tengah hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang. Beliau dijemput duduk dan menikmati hidangan. Itu saja.
“Tidak ada perbincangan. Syeikh Mahmud ada memberi pandangan kepada saya mengenai pelbagai masalah yang berlaku di dunia sekarang dan menekankan keperluan pemimpin negara ini untuk bersikap adil dan memastikan keamanan.

“Dia(Syeikh Mahmud) cakap dengan saya, dia tak cakap dengan Anwar. Tidak lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita semasa melawat pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar, dekat sini.

Ketika ditanya sama ada laporan portal berita Malaysiakini cuba menimbulkan spekulasi mengenai perkara itu, beliau menjawab, “Dia (Malaysiakini) agak-agak aje”.
Menurut Malaysiakini semalam, pertemuan Perdana Menteri dengan ketua pembangkang semalam terus menarik minat media untuk menggali lagi apa yang tersirat di sebalik kejutan tersebut.

Malaysiakini semalam difahamkan kedua-duanya bertemu empat mata dengan kehadiran pengasas Madrasah Nurul Iman, Syeikh Mahmud al-Majzub selama 20 minit.
MSO pula melalui blognya berkata sepanjang peristiwa itu Sheikh Mahmud senantiasa berada di tengah manakala Anwar dan Abdullah di sisi.

“Dalam konteks dan suasana hari ini tidak salah kalaupun Anwar mengadakan rundingan dengan Abdullah. Dan jika berlaku mini rundingan itu mestilah berhubung dengan pelan peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam Umno selepas Mac nanti.

Anwar berhak menyatakan apa-apa pandangannya kepada Abdullah sebagai sahabat dan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang pada pertemuan seperti itu.

Sebagai ketua pembangkang Anwar tentu mempunyai maklumat-maklumat yang bermanfaat untuk diketahui dan dikongsi oleh Abdullah sebagai perdana menteri untuk kebaikan bangsa dan negara.

Setidak-tidaknya Anwar menasihati Abdullah agar jangan begitu mudah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib Razak. Sekiranya Anwar meluahkan itu atau membuat rayuan begitu ia juga bukan perkara baru, kerana dalam parlimen Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk menyokong Abdullah terhadap apa-apa tindakan dan keputusannya yang memerlukan suara ahli parlimen.

Bahkan Anwar sempat bangun dan meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat ikut bangun menunjukkan menyatakan sokongan kepada Abdullah. Mesej yang ditunjukkan oleh ketua pembangkang itu jelas bagi Abdullah.

Kalaupun Anwar membuat rayuan itu dalam mini prundingan ia berpandukan kepada perkembangan terkini di sekitar Najib. Dan adalah wajar kalau Abdullah mendengar apa yang mungkin disuarakan oleh Anwar pada pertemuan tadi, baik ketika di meja makan ataupun di dalam bilik.”

Kata MSO lagi, “Saya difahamkan sendiri oleh seorang ahli MPT PKR yang turut hadir, (berkedudukan seperti Shamsul di dalam rumah itu) menurutnya ada berlaku pertemuan enam biji mata antara mereka bertiga; Anwar, Abdullah dan Sheikh Mahmud. Pastilah Shekh Mahmud berada ditengah.

Menurut ahli MPT itu Sheikh Mahmud ada mengatakan sesutau yang penting untuk kedua pemimpin itu. Tidak terniat untuk saya mencatatkan antara dialog Sheikh Mahmud dalam bilik itu seperti mana dituturkan oleh ahli MPT berkenaan, tetapi cukuplah kalau dikatakan ia sangat menarik. Ia sangat menarik.”

Membaca dan memahami penafian Abdullah memberikan makna bahawa politik Malaysia hari ini semakin kusut dan sesiapa sahaja boleh membuat spekulasi biarpun ia akan membawa keburukan kepada negara.

Apapun, pembohongan tidak akan dapat dilakukan jika tidak ada ‘pengarah’ atau ‘tok dalang’.

Bagi saya Malaysiakini dan MSO bairpun sedikit bersalah dalam melakukan pembohongan politik seperti ini tetapi yang perlu dicari sebenarnya ialah ‘tok dalang’ yang cuba mengkelam-kabutkan politik Malaysia ketika ini.

Dan orang ini sepatutnya dikuburkan segera agar politik Malaysia kembali pulih!

UMNO AKAN KE MAHKAMAH?

Posted in Najib, Pak Lah, Pemilihan UMNO on March 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Permainan dah bermula!

Sebelum ini ada pihak meningatkan saya bahawa Datuk Seri Mohd Najib Razak TIDAK AKAN DAPAT MENJADI PERDANA MENTERI, setidak-tidaknya Mac ini.

Walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah memberi jaminan akan melepaskan jawatan kepada Najib tetapi perkembangan esok, jam 1 tengahari akan menjawab sega-galanya.
Satu sms daripada seorang rakan – WIP – menggembarkan.

Saya terus menghubungi beberapa pemimpin UMNO. Ada yang mengatakan YES, dan ada pula yang tidak tahu.

Apakah bunyi SMS berkenaan?

“Esok Selasa – 3 Februari 09, jam 1 pm satu sidang media untuk mendapatkan INJUKSI/PERINTAH mahkamah bagi menangguhkan Pemilihan Agung UMNO 09 akan dipimpin oleh Dato…………….., adakah kerana mahu mempertahankan Pak Lah & menidakkan Najib atau adakah kerana Ku Li. Apa yang pasti, UMNO akan ke mahkamah sekali lagi, Kita tunggu esok.”

Jika benarlah apa yang dikatakan ini, negara akan menghadapi satu lagi krisis politik.
Sudah pasti keadaan ini akan mengeruhkan lagi suasana politik negara dan memberikan keuntungan sedikit sebanyak kepada pembangkang.

Mainan dan pakatan siapakah ini?

Kemelut politik seperti ini akan menjadikan UMNO sebagai parti yang bukan sahaja mendapat ancaman dari luaran tetapi dalaman.

Apakah UMNO perlu proses ‘penyucian’ seperti 1988?

Apakah UMNO akan berada dalam ‘kegawatan’ seperti 1999?

Atau apakah UMNO akan menjadi parti minority mulai 2009 hanya kerana perebutan menjadi Perdana Menteri?

Apa pun interesting juga untuk melihat bagaimana Abdullah dan Najib menghadapi krisis ini.

Apakah ia secara bersama atau berasingan?

Tunggulah!

USAHA BERTERUSAN GAGALKAN NAJIB…

Posted in Najib, Nik Aziz, Pak Lah, Presiden, Sultan on February 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bahagian 1

Semakin hampir dengan Mac, semakin banyak pula teori politik yang ditabur dan kenyataan pemimpin pembangkang pun semakin terbuka mengkritik pemimpin UMNO, khususnya yang akan berada di puncak kuasa.

Teori-teori mengatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas Mac ini masih bersebaran.

Ada juak-juak yang menyebarkannya.
Mereka ini mendapat upah daripada kumpulan yang mahu mempertahankan Abdullah setelah tahu mereka ‘tidak akan diterima’ oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak akibat perbuatan mereka yang keterlaluan itu.

Perbuatan mereka itu bukan baru malah sejak beberapa bulan lalu dan siapa kepalanya sudah menjadi “known secret”.

Apapun, untuk tidak menyusah dan mengusutkan politik Malaysia, marilah kita sama-sama menerima dengan tangan terbuka titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen semalam.

Secara terbuka, Seri Paduka Baginda sudah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang bakal menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Razak, bulan depan.

Dalam titah ucapan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, Seri Paduka Baginda berharap peralihan kuasa itu akan berjalan lancar.

“Beta merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepimpinan dan segala sumbangannya terutama dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

“Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar supaya agenda pembangunan negara dapat diteruskan,” titah Seri Paduka Baginda.

Juak-juak yang masih aktif bagaikan tidak reti-reti dengan kehendak Abdullah sendiri apabila pada 8 Oktober tahun lalu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini.
Dengan itu bermakna beliau akan meletak jawatan setelah menjadi Perdana Menteri sejak 31 Oktober 2003.

Bukan juak-juak sahaja yang bekerja untuk menggagalkan Najib.
Lihat apa mainan pembangkang, termasuk PAS apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minta Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ini bukan kali pertama Nik Aziz berkata sebegini.
Nik Aziz bercakap sebelah petang, sedangkan Seri Paduka Baginda bertitah untuk memberitahu rakyat mengenai kedudukan Abdullah dan Najib pada tengah hari.

Apakah Nik Aziz pun buat-buat tidak faham mengenai kedudukan ini?

Apakah Nik Aziz mahu mempertikaikan peralihan kuasa sedangkan Dewan Rakyat sudah dimaklumkan bahawa Abdullah ‘ akan pergi”?

Nik Aziz minta Abdullah pegang jawatan hingga pilihan raya umum depan.
Seperti kata lawi-ayam.blogspot.com, Apakah Nik Aziz ikhlas atau memasang strategi mudah untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN).

Walau apa juga kata Nik Aziz, rasanya beliau melihat kekuatan yang ada pada Datuk Seri Mohd Najib Razak memang sukar untuk PAS rebahkan.

Nik Aziz melihat ‘merebahkan’ Abdullah lebih mudah berbanding Najib dan kerana itu beliau hari ini mengulangi sekali lagi supaya Abdullah diminta kekal jawatan PM sehingga PRU 13.

Walau apa juga alasan diberikan Nik Aziz mengenai Najib tetapi yang jelas Nik Aziz mesti tahu punca kenapa meminta Abdullah jangan berundur selepas perhimpunan agung Umno Mac depan.

Sebab utama menurut Nik Aziz ialah bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.

Kata Nik Aziz, ini kerana PAS melihat sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

Beliau menyeru Abdullah usah mudah menyerah kalah kepada Najib biar pun pada perhimpunan agung Mac depan Presiden Umno sudah beralih kepada anggota parlimen Pekan itu.

“Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong menghilangkan diri dan hanya muncul bersama Najib di Putrajaya bagi mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakan itu Najib mengadap Sultan Perak bagi membolehkan Menteri Besar BN dilantik.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cara yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri tidak kena adat orang Timur dengan merampas kuasa melalui penculikan wakil rakyat.
“Saya tak dapat terima cara Najib memancing tiga Adun terbabit yang menghilangkan diri dan kemudian muncul di televisyen.

“Kalau di Kelantan perkara seperti itu kita katakan pekerjaan hantu raya yang menyembunyikan orang,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, Abdullah perlu mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi mengekalkan kestabilan negara.

Menurutnya tidak sepatutnya beliau melepaskan jawatan disebabkan faktor kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Nik Aziz menasihatkan Abdullah supaya terus memikul tanggungjawab tanpa mudah menyerah kalah.

“Kalau Dato’ Seri Abdullah rasa tak bersalah dalam hal ini, mengapa harus ambil tindakan untuk berundur? Saya tak faham politik Umno sekarang,” ujar beliau.

Katanya, tidak menjadi halangan beliau terus kekal sebagai ketua kerajaan di Malaysia biar pun bukan lagi mengetuai UMNO.

Saya tidak faham kenapa Nik Aziz menyatakan demikian, sedangkan sudah jelas Seri Paduka Baginda bertitah bahawa Najib akan mengambil alih teraju pemerintahan.

Persoalannya , saya ulangi, apakah Nik Aziz berkata daripada hatinya yang ikhlas.

Atau mungkin juga mulutnya disumbat dengan perkataan oleh penasihat terdekatnya yang memang menjadi ‘orang suruhan Datuk Seri Anwar Ibrahim’ untuk menyerang Najib.

Ini kerana selagi Najib berada di takhta UMNO, orang itu tidak akan tercapai cita-citanya untuk menjadi Menteri atau pemimpin tinggi negara kerana Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

Hanya dengan menjatuhkan Najib atau Abdullah bersekali, barulah matlamat dan hasrat orang yang menjadi kepercayaan Nik Aziz itu boleh memenuhi cita-citanya.

Bagi saya Nik Aziz ada ‘hantu raya’ di dalam suaranya.

Tidak hairanlah kalau bukan saya sahaja terkejut dengan perubahan nada Nik Aziz ini.

Mohd Sayuti Omar (www.msomelayu.blogspot.com) tertanya-tanya dengan sikap Nik Aziz apabila beliau berkata “Gesaan Abdullah kekal PM- Saya harap Tok Guru Nik Aziz tidak ikhlas”.

PAK LAH: DENGARLAH CAKAP ORANG BUKIT GANTANG!

Posted in Bukit Gantang, Khairy, Pak Lah, UMNO on February 15, 2009 by Hambali Abd Latiff

Amir Hamzah (Batu Pahat)
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pemimpin-pemimpin atasan UMNO perlu belajar daripada PRK Permatang Pauh dan juga PRK Kuala Terengganu. Khususnya PRK Kuala Terengganu di mana dikatakan ahli UMNO tidak memberi sokongan 100% kepada calon pilihan Pak Lah dan Khairi.

Setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang menjadi kerusi taruhan BN untuk menguji sokongan rakyat berdasarkan krisis politik yang berlaku di Perak. Kemenangan atau kekalahan BN di Bukit Gantang nanti akan memberi gambaran umum tentang pendirian rakyat Perak sama ada bersetuju atau menolak peralihan kuasa kerajaan negeri baru-baru ini.

Bagi mempastikan sokongan orang-orang Melayu khususnya UMNO terhadap calon yang diketengahkan nanti ianya mestilah berdasarkan pandangan dan kehendak orang-orang Melayu akar umbi khususnya dan UMNO Bahagian Bukit Gantang amnya. Undi Melayu adalah undi penentu berdasarkan statistik pengundi 2008.

Jumlah pengundi di P059 Bukit Gantang menunjukkan pengundi Melayu masih menjadi pengundi utama daripada 55, 471 pengundi keseluruhan. Pecahannya adalah seperti berikut. Bagi DUN Changkat Jering, pengundi Melayu mencatat 63.43% daripada 24,864 orang, DUN Kuala Sepetang, pengundi Melayu berjumlah 59.83% daripada 19,699 orang dan pengundi Melayu bagi DUN Trong pula berjumlah 69.42% daripada 10, 908 orang.

Perkara yang pasti, calon BN mestilah datang daripada UMNO. UMNO telah berkorban dengan menyerahkan calon Gerakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang pada pilihanraya 2004 atas semangat setiakawan dalam BN. Kini tibalah masanya masyarakat bukan Melayu menyokong calon UMNO berikutan kemerosotan pengaruh MCA, Gerakan dan MIC dalam pilihanraya Mac 2008 yang lalu.

Perkara kedua, calon UMNO mestilah dari kalangan anak jati Bukit Gantang dan diterima oleh ketua-ketua cawangan dan UMNO Bahagian Bukit Gantang kerana merekalah yang akan bekerja kuat dan merekalah yang mengundi. Tegasnya, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bukanlah calonnya kerana beliau bukan anak Bukit Gantang. Beliau ini adalah orang Batu Gajah, menjadi ketua bahagian Bukit Bintang.

Tambahan pula,dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Pendapat saya ini disokong oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad.
“BN biasanya cepat belajar. Saya yakin BN, terutama UMNO pasti sudah belajar daripada kesilapan dan kelemahan kempen yang dilakukan ketika Pilihanraya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dulu,” katanya.

Menurut Shahrir, beliau percaya berdasarkan pengalaman dan pengajaran daripada kedua-dua PRK itu, BN boleh mengaturkan strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.

“Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu lebih mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi,” katanya kepada agendadaily.

Perkara ketiga, selain pilihan UMNO akar umbi dan UMNO Bahagian ianya mestilah mendapat sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak yang baru bukannya terdiri daripada orang-orang Pak Lah atau Khairi. Sentimen anti Khairi dalam UMNO amat ketara di Kuala Terengganu. UMNO perlu belajar banyak perkara di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Perkara keempat, budaya mengutuk, menghentam, membelasah PR secara keterlaluan melalui ceramah dan media massa hendaklah diganti dengan budaya menjelas, menerang dan mesra pengundi. TV 3 jangan menjadi lebih sudu dari kuah. Isu yang berlebih-lebih akan menambah rasa meluat dikalangan pengundi atas pagar dan pengundi tidak berparti.

Perkara kelima, Isu-isu peralihan kuasa kerajaan baru ini perlu dijelaskan secara berhemah, mudah difahami oleh masyarakat luar bandar, rasional dan boleh diterima oleh akal rakyat teramai. Penerangan secara jujur dan telus amat diperlukan bagi menangkis gambaran yang telah terpesong.

Berilah rakyat berfikir dan membuat keputusan dengan ikhlas bukannya mengundi BN kerana mendapat habuan, hadiah dan janji-janji manis.

PM – NAJIB SUDAH PASTI

Posted in Najib, Pak Lah, PM, UMNO on December 10, 2008 by Hambali Abd Latiff

Satu ‘peluru’ sudah mengena.

Saya tidak mahu mengulas lanjut. Hanya orang yang faham dan tahu apa maksud ‘peluru’ saya itu.

Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) semalam menganggap spekulasi beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri selepas Mac sebagai ‘mengarut’.

Ini bermakna Datuk Seri Najib Razak yang akan menjadi Presiden UMNO secara sah pada Mac 2009 akan pasti menjadi Perdana Menteri.

Saya yakin dengan pengesahan oleh Abdullah ini, serangan terancang terhadap Najib akan menjadi bertambah sengit dan menjijikkan.

Najib diserang bertalu-talu dan secara terancang – kononnya terbabit dengan kes Altantuya, rasuah di Kementerian Pertahanan serta penyalahgunaan kuasa – dan kebanyakannya datang daripada pemimpin dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara cerita mengenai ‘kenapa Abdullah mesti dipertahankan’ dan perlu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh mandat pilihanraya umum 2008 sehingga semalam, begitu menarik dan panas.

Jika sebelum itu ia bagaikan ramalan, tetapi apabila saya ‘jolok’ kali pertama, ia nampaknya mungkin berlaku sehinggalah penafian Abdullah semalam.

Tetapi apakah dengan penafian itu ia ‘membakar dan meranapkan’ semua usaha terancang sebelum ini?

Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Disember 2008 lalu berkata berita angin sudah tersebar luas bahawa walaupun Najib akan jadi Presiden Umno, tidak semestinya dia akan jadi Perdana Menteri. Berita yang didengar ialah Abdullah masih berminat meneruskan jawatan Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir: “ Jika diambil kira sikap pemimpin dan ramai ahli Umno, kemungkinan ini berlaku tidak mustahil. Mereka tidak akan menentang Abdullah kerana mereka amat selesa dengan kepimpinan beliau dan nikmat tertentu yang mereka dapati darinya.”

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 7 Disember 2008 meminta secara khusus supaya Perdana Menteri jangan lepaskan jawatan.

Presiden PAS mencadangkan agar Perdana Menteri terus menjalankan tugas-tugasnya sebagai Perdana Menteri walaupun melampaui tarikh penyerahan kuasa yang disepakati dalam Umno iaitu pada bulan Mac 2009 nanti.

Demi memberi peluang kepada Abdullah bersara dalam keadaan yang baik, maka PAS menyeru agar beliau diberikan masa untuk menyelesaikan tugas-tugas besar ini dan tidak harus melepaskan jawatannya pada bulan Mac 2009 nanti selagi tugas-tugas berkenaan tidak selesai sepenuhnya.

Ini kerana menurut Dato’ Abd. Hadi Awang, beberapa perkara besar yang melibatkan pentadbiran negara termasuklah sebahagiannya yang merupakan janji Abdullah kepada rakyat Malaysia amnya masih belum tertunai.

“Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, umpamanya masih di peringkat rang undang-undang dan berkemungkinan akan mengambil masa dan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Begitu juga dengan Suruhanjaya Kehakiman yang sepatutnya mengembalikan kewibawaan badan kehakiman, masih belum terlaksana,” kata Hadi dalam kenyataan media kepada Harakahdaily kelamrin.

Hadi turut merasakan Abdullah wajar menyelesaikan beberapa tuntutuan ke arah penambahbaikan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang masih diragui oleh rakyat Malaysia sehingga kini.

“Biarlah segala ketempangan dan kepincangan badan yang sepatutnya menguruskan proses pilihan raya dalam negara ini secara telus, dirawat dan diperbaiki sebelum beliau melepaskan jawatannya,”katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut terjerumus dengan isu ini apabila mengatakan ‘huru hara melanda UMNO” kerana ketidakpuasan hati komponen BN selain Najib terus dikaitkan dengan pembunuhan, rasuah dalam kontrak kelengkapan pertahanan dan penyalahgunaan kuasa.

Kerana itu beliau percaya, Abdullah mempunyai sebab (kelebihan) untuk memanjangkan tempoh sebagai Perdana Menteri walaupun Najib sudah menang Presiden UMNO tanpa bertanding.

Katanya secara persefahaman biasa, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN menjadi Perdana Menteri tetapi secara perlembagaan, mereka yang mendapat majoriti di Parlimen patut menjadi Perdana Menteri.

Laporan The Malaysian Insider semalam (9 Disember 2008) bertajuk ‘Anwar: Umno stoking racial fires’ memetik Anwar sebagai berkata beliau sendiri tidak pasti senario berkenaan kerana kemungkinan Abdullah akan kekal berkuasa hanya ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, yang berpihak kepada Najib.

Yang menariknya, The Malaysian Insider, yang begitu berminat dengan isu ‘mempertahankan Abdullah ini” pada 3 Disember 2008 lalu, memetik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata, Abdullah tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

“Ia adalah prerogatifnya kerana beliau (Abdullah) mendapat mandat untuk lima tahun,” kata Razaleigh .

Beliau menjawab tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Abdullah masih berminat kekal berkuasa selepas adanya pemilihan parti berkenaan.

Tengku Razaleigh mengakui akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan kerajaan dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.

Razaleigh berpendapat: “Dia (Abdullah) mendapat keyakinan majoriti Ahli Parlimen. Dan Perdana Menteri dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, bukannya Perhimpunan Agung,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menariknya dalam satu rencana bertajuk “So, is he going… or staying? “ kelmarin (8 Disember 2008) The Malaysian Insider yang memetik sumber mengatakan Abdullah sudah pun membuat perancangan bagi kehidupannya selepas Perdana Menteri.

Sememangnya Abdullah akan keluar dari Seri Perdana dan akan tinggal di rumah ala-kampung di Sungai Penchala. Perdana Menteri dikatakan sudah memberitahu kawan rapatnya bahawa beliau akan menumpukan usaha mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Asia Barat.

Dengan kata-kata Abdullah ini, harapan untuk Hadi dan Anwar ‘menyekat’ Najib menjawat Perdana Menteri terbantut sementara.

Apakah usaha lain pembangkang untuk ‘mengucar-kacirkan UMNO’ dan ‘memenderemkan Najib’ selepas ini?

ADA USAHA SEKAT NAJIB JADI PM?

Posted in Najib, Pak Lah, PM on December 7, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Ramai yang pening kepala dan bingung apabila saya melontarkan pandangan mengatakan “Najib Tidak akan Menjadi Perdana Menteri” kira-kira tiga minggu lalu.

Dalam posting saya “AMARAN – NAJIB TIDAK AKAN JADI PM?” yang memetik tulisan Raja Petra Kamaruddin (PRK) melalui kolumnya No Holds Barred bertajuk ‘BALASUBRAMANIAM’S STATUTORY DECLARATION REVISITED’, Jumaat 21 November 2008, ada yang mengatakan perkara seperti ini tidak akan pernah dan tidak mungkin berlaku.

Mereka berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pasti akan menunaikan janjinya untuk melepaskan jawatan apabila Datuk Seri Mohamad Najib Razak secara rasmi menjadi Presiden UMNO.

Namun kini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri hanya sebagai ‘khabar angin’, tetap memberikan amaran.
Dr Mahathir berkata, pengekalan Abdullah sebagai PM tetap akan menyemarakkan kebencian rakyat kepada Umno dan BN sehingga menyebabkan politik akan bergolak sepanjang masa sehingga pilihanraya. Apabila datang pilihanraya percayalah majoriti rakyat akan tolak Umno dan BN, katanya.

Apakah Dr Mahathir kini turut bimbang serta separuh percaya, cumanya tidak mahu mengesahkan kemungkinan itu?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata, Datuk Seri Abdullah Badawi tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

Dalam tulisannya, RPK menyebut, Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan seseorang Presiden UMNO semestinya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sambungnya, apa yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia ialah Yang DiPertuan Agong mesti melantik Ahli Dewan (Rakyat) (salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen yang mendapat keyakinan atau sokongan daripada majority Ahli Dewan sebagai Perdana Menteri).

Kata RPK, Pak Lah sudah mempunyai 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengannya dan 20 Ahli Parlimen dari UMNO. Yang diperlukan hanya 10 sahaja daripada MCA, MIC dan Gerakan yang kesemuanya berjumlah 20 orang.

Ini bermakna menurut RPK, walaupun tanpa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, Pak Lah boleh kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dan Malaysian Insider, 3 Disember 2008, memetik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata, Datuk Seri Abdullah Badawi tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

“Ia adalah prerogatifnya kerana beliau (Abdullah) mendapat mandat untuk lima tahun,” kata Razaleigh .

Beliau menjawab tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Abdullah masih berminat kekal berkuasa selepas adanya pemilihan parti berkenaan.

Tengku Razaleigh mengakui akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan kerajaan dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.

Razaleigh berpendapat: “Dia (Razaleigh) mendapat keyakinan majoriti Ahli Parlimen. Dan Perdana Menteri dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, bukannya Perhimpunan Agung,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegasnya, dengan UMNO semakin lemah, kini tiada lagi hubungan antara Presiden Parti dengan jawatan Perdana Menteri.

“UMNO hari ini tidaklah sekuat sebelum ini dan kini kita hanya mengawal 30 peratus sahaja kerusi Parlimen.

Sehari sebelum itu, pada 2 Disember 2008, dalam postingnya bertajuk ‘Mac 2009’ Tun Dr Mahathir Mohamad berkata biasanya sesiapa yang menjadi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional menang dan menjadi parti yang terbesar dalam Parlimen.
Tetapi ini tradisi sahaja. Jika diberi kepercayaan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, yang bukan Presiden Umno dan Pengerusi BN juga boleh jadi Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr Mahathir, negara tertunggu-tunggu Mac 2009 di waktu mana peralihan kuasa dikatakan akan berlaku. Kepercayaan bahawa ini akan berlaku diasaskan kepada pengumuman oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dia akan serah jawatannya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak pada tarikh tersebut.

Abdullah juga menyatakan yang dia tidak akan bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno pada Mac 2009. Justeru tidak ada bahagian yang mencalonkan Abdullah sebagai Presiden.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir member amaran, “Berita angin sudah berkembang bahawa walaupun Najib akan jadi Presiden Umno, tidak semestinya dia akan jadi Perdana Menteri. Berita yang didengar ialah Abdullah masih berminat meneruskan jawatan Perdana Menteri. Jika diambil kira sikap pemimpin dan ramai ahli Umno, kemungkinan ini berlaku tidak mustahil. Mereka tidak akan menentang Abdullah kerana mereka amat selesa dengan kepimpinan beliau dan nikmat tertentu yang mereka dapati darinya.”

Apapun Dr Mahathir berkata, pengekalan Abdullah sebagai PM tetap akan menyemarakkan kebencian rakyat kepada Umno dan BN. Politik akan bergolak sepanjang masa sehingga pilihanraya. Dan apabila datang pilihanraya percayalah majoriti rakyat akan tolak Umno dan BN.

Dr Mahathir berkata, jika Abdullah cuba terus menjadi Perdana Menteri selepas Mac 2009, rakyat harus beri mesej yang jelas yang UMNO serta BN akan dikalahkan.

Melihat kepada ulasan mereka ini, saya ingin sekali lagi melontarkan soalan yang pernah saya kemukakan sebelum ini – benarkah ada gerakan menyekat Najib menjadi Perdana Menteri?

Apakah usaha itu dilakukan secara terancang oleh kumpulan yang mempertahankan Abdullah?

Siapa yang terbabit?

AMARAN – NAJIB TIDAK AKAN JADI PM?

Posted in Najib, Pak Lah on November 23, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Petang Jumaat kelmarin (21 November 2008), sambil minum di Kopitiam, The Mall bersama-sama tiga lagi rakan – Halim, Datuk Wahab, Abang Din – kami bersembang panjang mengenai apa akan jadi kepada UMNO pada Mac 2009.

Saya mengemukakan beberapa andaian yang berkisar sekitar tajuk “Apakah Najib Akan Jadi PM’. Sengaja saya jolok seperti ketika mengemukakan soalan ‘cepu emas’ waktu menjadi wartawan dulu, untuk menguji rakan-rakan.

Rakan-rakan saya begitu yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan selepas Mac 2009. Saya terus mengemukakan beberapa andaian dengan perkata ‘Bagaimana’ dan “Jika’.

Kebetulan Zaharin Mohd Yassin datang dan beliau juga mengatakan tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ‘Pak Lah dah tidak ada taring’.

“Dia dah tiada apa dah…ibarat perempuan yang di ‘Gantung Tidak Bertali’.”

“Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak)?” tanya saya. “Najib bagai orang yang ‘Nikah Gantung’, kawin tapi tak boleh………” (faham-faham saja lah). Datuk Wahab tersenyum lebar.
Saya cuba pergi lebih jauh apabila mengatakan jangan anggap Pak Lah ‘tidur’. Dia bukan ‘bodoh’.

Lupakah perbualan kami di The Mall itu kerana pada ketika orang UMNO sibuk siapa pemain politik wang dan siapa akan dikenakan tindakan dan Wanita UMNO pula dengan keriuhan pertandingan untuk Ketua Wanita, kurang sekali yang memberikan tumpuan apa akan jadi berlaku esok, 24 November 2008.

Esok Isnin, 24 November akan bermulalah perbicaraan ‘criminal defamation’ Raja Petra Kamaruddin (RPK) di Mahkamah Jalan Duta.

Saya mengajak anda semua – khususnya orang UMNO berfikir sejenak. Yang tengah bahagi-bahagi duit tu simpan dulu ke dalam poket dan yang terima pun simpan dalam poket.

Ini amaran daripada saya – jangan asyik memikirkan siapa akan jadi Timbalan Presiden UMNO atau Naib Presiden UMNO.

RPK menulis melalui kolumnya No Holds Barred bertajuk ‘BALASUBRAMANIAM’S STATUTORY DECLARATION REVISITED’, Jumaat 21 November 2008, Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan seseorang Presiden UMNO semestinya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sambungnya, apa yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia ialah Yang DiPertuan Agong mesti melantik Ahli Dewan (Rakyat) (salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen yang mendapat keyakinan atau sokongan daripada majority Ahli Dewan sebagai Perdana Menteri).

Dan kata RPK, Pak Lah sudah mempunyai 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengannya dan 20 Ahli Parlimen dari UMNO. Yang diperlukan hanya 10 sahaja daripada MCA, MIC dan Gerakan yang kesemuanya berjumlah 20 orang.

Ini bermakna menurut RPK, walaupun tanpa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, Pak Lah boleh kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Anda tentu tertanya-tanya cerita mengarut apa ni?
Ulang RPK, Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan Presiden UMNO akan menjadi Perdana Menteri.

Inilah realitinya apa yang diperkatakan oleh undang-undang. Jangan cepat merayakan kedatangan rejim Najib kerana kata RPK, “ia mungkin tidak akan berlaku sama sekali”.

Dalam politik, menurut RPK, seminggu sudah cukup lama, apa lagi empat bulan. Banyak perkara akan berlaku dalam tempoh empat bulan akan datang kalaupun pihak yang membuat rayuan berkenaan pembebasannya daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri dan menghantar RPK semula ke tahanan Kemunting.

Perbicaraan esok berkisar Akuan Bersumpah RPK sendiri yang beliau tandatangani pada April 2008.

RPK mendakwa beliau sudah menyenarai panjang saksi-saksi yang akan mengesah, antaranya termasuk apa yang beliau katakana dalam Akuan Bersumpahnya, serta beberapa perkara lain yang menarik yang tidak disebut atau didedahkan melalui Akaun Bersumpah berkenaan.
Kata RPK: “Saya sebenarnya memang menunggu perbicaraan ini kerana akan memberikan peluang untuk saya mengemukakan berdozen saksi dan ruang serta peluang untuk mendedahkan apa juga perkara yang tidak boleh dilakukan pada keadaan biasa (di luar mahkamah).

Mari kita lihat nanti, selepas perbicaraan saya ini, sama ada rakyat mahu (Perdana Menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya pada Mac 2009. Sangkaan saya ialah (selepas perbicaraan ini) ialah rakyat akan menganggap Pak Lah sebagai ‘hantu atau syaitan yang baik sedikit daripada yang satu lagi’ (‘lesser of the two evils’) dan rakyat akan merayu kepadanya supaya terus memegang kuasa sehingga berakhirnya penggal beliau iaitu tengah malam 7 March 2013.

Itulah ramalan RPK yang bagi saya ‘tidaklah serius’ tetapi apa yang diperkatakan olehnya ‘serius’.

Kenapa?

RPK dalam tulisannya ada menyebut:

1. Balasubramaniam a/l Perumal menandatangani Akaun Bersumpah (SD) nya yang pertama pada Selasa, 1 Julai 2008. Pada 2 Julai 2008, RPK duduk selama enam jam dengannya dari jam 6.00 petang hingga tengah malam. Bala bukan sahaja mengulangi apa yang dicakapkan dalam Akaun Bersumpahnya tetapi lebih daripada itu, Kata Bala apa yang diberitahu kepada RPK akan didedahkan dalam Bahagian ke 2 dan ke 3 SDya yang akan dibuat beberapa hari selepas itu. Kata RPK bersamanya ketika itu ada enam orang termasuk tiga peguam;

2. Pada Khamis 3 Julai 2008, Balasubramaniam mengadakan sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square, Tropicana. Selepas sidang media, RPK dan Bala menghadiri jamuan makan tengah hari dengan kira-kira 20 orang, termasuk rakan dari media, dan Bala yang penuh semangat memberitahu supaya menunggu SD2 dan SD3 yang akan lebih ‘meletup’ berbanding Akuan Bersumpah pertamanya;

3. Memangpun SD2 dan SD3 tidak pernah berlaku kerana pada Jumaat, 4 Julai 2008, Balasubramaniam menandatangani satu lagi Akaun Bersumpah untuk menarik balik Akaun Bersumpah awal yang dibuat pada 1 Julai berkenaan.

Menurut RPK, peguamnya memberitahu beliau, apa yang disebutkan oleh Balasubramaniam pada 2 Julai 2008 sekadar hearsay dan tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah.Ini bermakna, RPK tidaklah perlu untuk beliau mendedahkan apa yang diceritakan oleh Balasubramaniam kepada beliau dan rakan-rakan pada hari tersebut.

RPK kesal kerana jika tidak, apa yang diceritakan oleh penyiasat persendirian itu akan menjadi skrip filem Bollywood yang menggemparkan.

Kita tinggu dan lihat apakah RPK akan dibicarakan esok atau ditangguhkan kes ini kerana sebab-sebab yang mahkamah sendiri putuskan.

Jika dibicarakan, akan bermulalah pendedahan oleh RPK terhadap Akaun Bersumpahnya dan pastinya akan menarik jika berasaskan apa yang dikatakan oleh RPK melalui kolumnya ini.
Ini kerana RPK bagaikan yakin rakyat akan terpengaruh dengan ‘pendedahannya’ sehingga boleh menyebabkan rakyat akan menuntut supaya Pak Lah dikekalkan sehingga 2013.
Juga sanggupkah Pak Lah memilih jalan untuk mendapatkan sokongan ‘pembangkang + UMNO + parti komponen BN’ bagi terus berkuasa dengan menghancurkan parti yang didokongnya sekian lama?

Bagaimana janjinya mahu menyerahkan kuasa kepada Najib dan menjamin UMNO terus menjadi teras kepada BN pada Mac depan?

Kita tunggu dan ikuti apa pendedahan RPK dalam tiga empat bulan ini sambil berkempen untuk pemilihan UMNO Mac depan tetapi dengan syarat – duit dalam poket jangan lagi dikeluarkan untuk dibahagi-bahagikan kerana tanpa politik wang sahaja UMNO akan terus kekal teguh!