Archive for the ADUN Category

ADUN PKR MULA PERSOALKAN ANWAR…

Posted in ADUN, Anwar, PKR on October 30, 2009 by Hambali Abd Latiff

Persoalan kenapa Anwar sengaja berusaha melengah-lengahkan perbicaraan meliwat bukan bermain di kepala orang biasa sahaja tetapi juga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Malah, isterinya Wan Azizah sering dipalitkan kerana enggan mengulas dakwaan terhadap Anwar.

Ternyata kes liwat yang membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata beliau keluar PKR.

Hmm..ini baru satu. Berapa ramai lagi yang tidak yakin dengan Anwar dalam kes liwatnya?

Badrul berkata, beliau menjadi lebih syak terhadap Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkanperbicaraan dan enggan pula menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.

Beliau juga mendakwa bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar, juga enggan untuk menjelaskan mengenai dakwaan liwat tersebut.

Katanya, ia merupakan sebab utama beliau membuat keputusan keluar PKR kerana beliau tidak boleh berkompromi dengan isu-isu moral seperti yang dihadapi oleh pemimpin PKR.

Tegas Badrul, sebagai seorang Muslim yamg berpegang teguh kepada prinsip Islam, katanya, moral seseorang pemimpin itu amat penting untuk mendapatkan sokongannya.

Ditanya mengapa beliau menunggu hingga sekarang untuk menimbulkan isu liwat itu, Badrul tidak memberi jawapan secara langsung dan berkata “saya tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang mempunyai cerita begini”.

Badrul hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi ADUN bebas yang ‘mesra’ BN.

Beliau membuat keputusan itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul meletak jawatan kerana didakwa gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam kenyataan yang dibacanya dan dilaporkan Malaysiakini, Hisham juga mendakwa beliau telah dianaktirikan oleh kerajaan Selangor yang diterajui PKR yang didakwanya telah menahan peruntukan kepadanya sejak bulan Mac. Beliau mendakwa, kerajaan negeri enggan menyelaraskan dengan beliau pemberian peruntukan tetapi sebaliknya, bertindak membuka pusat perkhidmatan yang berasingan di Pandamaran Indah untuk berurusan dengan pengundi di situ.

Tindakan itu, katanya, seolah-olah menganaktirikan dirinya berbanding dengan ADUN yang lain.

Badrul juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu percubaan untuk meminggirkannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Bila ditanya teorinya mengapa beliau ‘dianaktirikan’, Badrul menjawab: “Tanyalah menteri besar”.

Awal tahun ini, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil alih tugas Badrul yang didakwanya gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Nik Nazmi juga merupakan ADUN Seri Setia.

Ditanya mengenai dakwaan beliau tidak menunjukkan prestasi yang baik, Badrul berkata, ia kerana peruntukan tidak disalurkan kepadanya tetapi diambil alih oleh setiausaha menteri besar, di samping wujudnya dua pusat perkhidmatan di kawasan.

Oleh itu, katanya, bagaimanakah beliau hendak memberi perkhidmatan kepada rakyat, sementelah pula beliau juga bukan exco kerajaan negeri.

“Saya masih keluar jumpa rakyat. Saya orang yang tak suka diraikan, berkompang kompang, bunga mangga. Saya tak suka. Saya keluar dengan pemandu saya untuk tengok keadaan di kawasan saya,” katanya.

Sejak kerajaan Pakatan Rakyat di Perak digulingkan Februari lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Badrul akan keluar parti untuk menyertai Umno.

Khabar angin itu bertambah kencang apabila beliau tidak menghadiri sidang DUN dan jarang dilihat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, Badrul ketika itu mengeluarkan kenyataan menegaskan komitmennya bersama PKR.

Bagaimanapun, khabar angin itu timbul semula awal bulan ini, ekoran kehadiran Badrul di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif dan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaannya terhadap parti.

Dalam sidang akhbar hari ini, Badrul duduk di sebelah bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli, dikenalii sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor, yang meninggal parti itu dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar.

MOHD NIZAR & SIVAKUMAR-WAYANG APA ANDA MAINKAN?

Posted in ADUN, perak on September 5, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kepala di Perak ialah Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar dan pengikut setianya ialah V Sivakumar, ADUN Tronoh.

Kedua-duanya kini menjadi wayang kulit yang mudah untuk menari, melenggang atau apa saja – termasuk bersidang bawah pokok atau hotel.

Siapa tok dalangnya? Satu Malaya tahu. Dia ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan ini bukan sekadar mencabar mahkamah tetapi juga membelakang dan turut mencabar Sultan Perak melalui tindak tanduk mereka.

Amat jelas tukang arah, pemain dan yang ‘kena main’ itu semuanya memainkan wayang haram yang tidak mendapat kelulusan. Bermain wayang walaupun free tetapi tidak ada lesen jawabnya haram.

Mahkamah Tinggi pada 1 September 2009 menolak permohonan injunksi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar supaya Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim tidak menghalang ‘sidang DUN’ keesokan harinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Tarmizi Abdul Rahman memutuskan demikian di kamar beliau di Ipoh pada pukul 4.30 petang berkenaan.

Bagaimanapun, Sivakumar berkata, pakatan pembangkang akan tetap meneruskan ‘sidang DUN’ sebagaimana yang telah dirancang.

Memang benar, gara-gara tindakan mereka, rakyat jadi keliru dengan perhimpunan haram dan polis terpaksa dikerah untuk menyekat mereka memasuki bangunan SUK.

Jelas, kumpulan wayang kulit ini bukan sekadar enggan menerima keputusan mahkamah tetapi mencabarnya pula. Apakah mereka merancang atau agenda tersendiri dalam tindak-tanduk ini?
Bukan sekadar itu sahaja.

Bekas Speaker, Sivakumar juga melakukan jenayah apabila menggunakan kepala surat Dewan Undangan Negeri Perak apabila mengeluarkan notis memanggil sidang ‘bawah pokok’ dan ‘sidang di hotel’ baru-baru ini.

Kenapa perbuatannya yang terang-terangan salah itu tidak dilaporkan kepada polis? Apa ADUN Barisan Nasional buat? Tenguk sahaja perbuatan Sivakumar yang salah dan melampau itu?

Ketiga, memanggil sidang DUN selalu memerlukan perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah .
Tetapi bak kata salah seorang ADUN Perak, tindakan mencemarkan institusi pentadbiran sedia ada dan menyalahgunakan kuasa seolah-olah sudah medapat ‘perkenan Sultan’ terus dibiarkan.

Bukankah perbuatan Sivakumar yang didalangi Nizar dan Anwar ini secara terang mencemarkan istitusi raja di Perak?

Apa hamba rakyat yang sayangkan Sultan mereka buat?

Istana tidak akan mengarahkan mereka melakukan sesuatu tetapi merekalah sebagai rakyat perlu melakukan sesuatu. Jika tidak kerana perkenan Sultan, kerajaan Barisan Nasional akan terus menjadi pembangkang dan Datuk Seri Dr. Zambri Abdul Kadir tidak akan menjadi Menteri Besar.

Lagipun perbuatan mereka itu sebenarnya sudah menyebabkan kekacauan dan kekeliruan di kalangan rakyat.

Mereka bukan sekadar menganggu ketenteraman awam tetapi mengganggu-gugat pentadbiran negeri dan menguji kesabaran istana.

Kita tidak boleh menyekat mahkamah melayan orang seperti Sivakumar tetapi dengan ‘suara rakyat Perak’, ketiga-tiga mereka yang berkonspirasi itu boleh dihentikan.

Caranya, orang UMNO dan BN Perak lebih tahu.

KENAPA MAIN POLITIK FITNAH…

Posted in ADUN, Pakatan Rakyat, PKR on August 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

“Ingatlah setiap jari yang kita tuding kepada orang, tiga jari lagi menuding kepada kita,” kata Zulkifli Noordin dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com/ semalam.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, semalam meminta ahli-ahli Pakatan Rakyat supaya menghentikan fitnah ke atas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin dan menjadi ADUN Bebas.

Beliau berkata, Radzhi meletak jawatan dalam Pakatan kerana masalah-masalah polisi dan prinsip dan bukannya berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Menurut Zulkifli, segelintir ahli-ahli PKR menuduh Radzhi meletak jawatan kerana pelbagai sebab termasuk beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masalah disiplin dan ada yang menuduh beliau menerima rasuah sebanyak RM4 juta daripada Umno.

Alhamdullilah, ada juga orang PKR yang tidak mahu menjadikan politik menyerang peribadi sebagai cara mendapatkan sokongan dan kuasa.

Saya terkejut membaca blog http://pkrpasdap.blogspot.com yang menyebut bahawa Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya memberitahu Radzhi keluar dari PKR lebih baik kerana dia tidak membawa apa-apa faedah kepada Pakatan mahupun BN.

Menurut blog berkenaan, Koya berkata, calon ini memang bermasalah dan wajar dibersihkan dari PKR. Begitu hinanya pada pandangan PKR sekiranya ada calon lompat parti kerana tidak puas hati. Cakap pasal tidak puas hati, kata Koya, Radzhi dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM). Radhzi juga dikatakan mengalami masalah rumahtangga serius.

Blog berkenaan bertanya: “Yang lucunya, kenapa hal rumahtangga Radhzi menjadi isu. Kalau masalah rumahtangga menyebabkan calon itu perlu letak jawatan… ramai dan berlambak ADUN dan YB Parlimen dari PKR yang ada masalah rumahtangga.”

Koya menurut blog berkenaan, berkata Radzhi ketika memegang jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia menyalahgunakan kuasa. Dia mengumpul kekayaan atas jawatan itu. Koya berhujah, Radzhi suka memiliki kilang, kedai dan harta semasa memegang jawatan berkenaan. Dia bukan seorang YB yang mementingkan tanggungjawab untuk rakyat sebaliknya menggunakan pengaruhnya untuk memperolehi kekayaan.

Koya menjelaskan, PKR gembira dengan tindakan bekas Adun mereka itu dari terus menjadi duri dalam dagung dan memburukkan imej parti dengan sikap dan rekod yang dimilikinya.”
Sebaliknya Zulkifli berkata “sebagai sebagai pejuang hak asasi manusia, sepatutnya kita (Pakatan) menjadi orang pertama menmghormati keputusan beliau kerana itu adalah hak asasi beliau untuk memilih dan menentukan parti mana yang beliau mahu sertai,” katanya.

Menurut Zulkifli pula, Radzhi sangat komited dan berdedikasi semasa menjalankan tugasnya sebagai Exco Pelancongan dan Sumber Manusia dan hanya Sultan Kedah mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada beliau perlu kekal sebagai Exco.

Dalam blognya, Zulkifli turut memberitahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan Radzhi untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi “syariah compliance” dan “halal tourism” untuk menarik lebih pelancong dari Asia Barat.

Zulkifli memuji Radzhi dengan berkata: “Beliau sangat menaruh minat dengan konsep “halal hotel” yang dilaksanakan oleh pengurusan Hotel De Palma, Ampang Selangor yang katanya memenuhi cita-cita beliau untuk melaksanakan “halal tourism” di Kedah. Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan hotel De Palma untuk mempelajari konsep “syariah compliance hotel” ini.”.

Selain itu Radzhi adalah antara orang yang paling sedih tentang perkara berhubung isu kaum Melayu di Malaysia yang tidak bersatu sejak pilihan raya umum 2008, Zulkifli berkata,
“Beliau sangat teringin melihat pemimpin-pemimpin Melayu Islam daripada PAS, PKR dan UMNO duduk semeja untuk mencari kata sepakat demi ukhwah Islamiyyah dan maruah agama yang makin tercabar,” katanya.

Zulkifli mengakui Radzhi turut berhadapan dengan masalah kewangan untuk memantau dan menguruskan DUN Lunas. Katanya, ADUN daripada Pakatan terutamanya di Kedah tidak menerima sebarang bantuan kewangan atau dana.

“Kami bergantung sepenuhnya kepada elaun dan pendapatan sebagai ADUN dan MP. Ini ditambah pulak dengan masalah dalaman, jentera dan cabang PKR di Padang Serai yang tak habis-habis dilanda masalah dalaman termasuk ketiadaan kerjasama daripada beberapa orang pimpinan tempatan,” katanya.

Zulkifli turut mempersoalkan mengapa ahli-ahli Pakatan mendesak Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN sedangkan semasa ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dan kemudian kembali semula menyertai Umno, PKR tidak memaksa beliau meletak jawatan.

“Melainkan kita ini pengamal fahaman ‘double-standard’, saya berpendapat pendirian kita mesti istiqamah dan konsisten,” tegas Zulkifli.

DOKUMEN DUN SEMENTA DI 2 LOKASI

Posted in ADUN, sementa, SPRM on August 8, 2009 by Hambali Abd Latiff

Rodziah tidak perlu gentar atau bimbang.

Dia sudah menyatakan tidak bersalah apa-apa dan biarlah penyiasat membuat kerja mereka.

Sepasukan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini mengambil (bukan merampas seperti dilaporkan Malaysiakini) beberapa dokumen dipercayai membabitkan peruntukan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa.

DUN itu di bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail.

Dokumen peruntukan DUN Sementa yang menjadi DUN angkat Rodziah itu diambil di dua lokasi iaitu di pejabat Exco berkenaan yang terletak di tingkat 2, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah dan di Pejabat Tanah Daerah Klang dekat sini.

Pegawai Khas kepada Rodziah, Mohd Saadon Mohar berkata SPRM sudah memberi notis mengenai kedatangan mereka dan beliau turut mengiringi pegawai SPRM berkenaan untuk ke dua lokasi berkenaan.

“Pegawai SPRM ada menghubungi saya Rabu lepas untuk mendapatkan dokumen membabitkan peruntukan bagi DUN Sementa bagi tahun 2008 dan 2009.

“Mereka melayan saya seperti biasa dan saya juga ditemani seorang peguam yang yang dilantik kerajaan negeri Selangor untuk membantu pembantu khas Exco,” katanya kepada pemberita semalam.

Sepasukan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Islam di bangunan SUK di Shah Alam hari ini.

Ketika dihubungi, seorang pegawai Rodziah memberitahu Malaysiakini bahawa pegawai SPRM itu menyerbu pejabat tersebut pada kira-kira jam 3 petang.

“Mereka adalah pegawai SPRM sama yang datang dua hari lalu,” katanya.

Rabu lalu, SPRM membatalkan pada saat-saat akhir serbuan ke pejabat Rodziah selepas berbincang dengan peguamnya.

Pembantu Rodziah juga tidak membenarkan mereka masuk ke pejabat exco tersebut.

Rodziah sedang menghadiri mesyuarat exco pada hari berkenaan tetapi peguamnya datang ke pejabatnya untuk berbincang dengan pegawai SPRM berkenaan. Berikutan itu, serbuan tersebut dibatalkan.

Rodziah merupakan pengerusi kebajikan, wanita, sains, teknologi dan inovasi.

Kehadiran pegawai SPRM itu adalah sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan salahguna peruntukan negeri, dipercayai ekoran laporan yang dibuat oleh NGO anti-rasuah, GERAK.

PAKATAN, TIDAK BERPAKAT ATAU JENIS ‘ENAU DALAM BELUKAR’

Posted in ADUN, Pakatan Rakyat, Permatang Pasir on August 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Nama hebat, Pakatan Rakyat. Ia adalah pakatan pembangkang.

Tetapi apabila tiba untuk menentukan kerusi atau calon, komponen pakatan itu akan bercakaran terlebih dahulu.

Bukan sekali, sudah banyak kali. Kalau tidak bercakaran mengenai DUN, akan bercakaran mengenai calon.

Kali ini di Permatang Pasir. Kerusi negeri Permatang Pasir kosong apabila wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dari PAS meninggal dunia Jumaat lepas di Insitut Jantung Negara (IJN) kerana sakit jantung.

PAS semalam menyatakan pendirian tegasnya. Ia timbul gara-gara kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan kerusi DUN itu mungkin dimiliki calon PKR.

PKR yang tamak atau PAS semakin terpinggir.

Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan tegas mengatakan “Maaf ini kerusi kami”.

Bagi PAS, PKR perlu menghormati dasar yang dibuatnya sendiri mengenai status quo kerusi pilihan raya sebelum membuat cadangan untuk meletakkan calonnya bertanding di Permatang Pasir.

Menurutnya, Anwar pernah berkata bahawa status quo kerusi yang diperuntukkan kepada manamana parti dalam gabungan pembangkang kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Tetapi tiba-tiba kelmarin, Anwar berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi PKR supaya parti itu meletakkan calonnya di kerusi yang dikuasai PAS itu.

Anwar mendakwa kedudukan PKR yang semakin kuat dan mantap di Permatang Pasir.

Mujahid berkata, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti baru-baru ini, PAS pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding di Penanti selepas wakil rakyat PKR, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

“Ketika itu, permintaan kami berdasarkan kepada prinsip tanggungjawab sosial kepada pengundi di situ kerana wakil rakyatnya meletak jawatan atas sebab peribadi dan Anwar kata status quo kerusi itu kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Jadi, perkara yang sama diguna pakai di Permatang Pasir,” katanya sambil menyatakan terkejutnya dengan permintaan akar umbi PKR untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pencalonan dan pilihan raya kecil kawasan itu 10 Ogos ini.

UMNO TIDAK BERTANDING DI MANEK URAI?

Posted in ADUN, Kelantan, Pilihanraya, tokpa on May 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

Cabaran pertama untuk Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang baru, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau wajar mencadangkan kepada Barisan Nasional (BN) Pusat sama ada bertanding atau tidak di DUN Manek Urai, Kelantan.
Jika berasakan kepada sebab-sebab utama Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada bertanding di Penanti – perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta faktor penjimatan wang rakyat, seharusnya UMNO tidak perlu masuk gelanggang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai.
DUN Manek Urai jatuh kepada PAS pada pilihan raya umum 2008 selepas berada di tangan BN apabila UMNO memenanginya pada pilihanraya umum 2004, yang ketika itu Mustapa juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi.

Namun jika berasaskan kepada kedudukan status quo DUN Kelantan ketika ini, UMNO sewajarnya beri menang percuma sahaja kepada PAS, kecuali seperti di Penanti ada calon bebas mahu bertanding.

Yang pasti, PAS sudahpun menyuarakan pandangan mereka bahawa Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti. Pilihanraya kecil DUN tersebut bermula esok hingga 31 Mei.

“Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan),” katanya pagi ini .

PAS sudah menyatakan bahawa ia akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan Manek Urai. Bagaimanapun, tambahnya, terlalu awal untuk menyatakan calon PAS di kerusi tersebut.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan akan mencadangkan kepada pemimpin UMNO dan BN bertanding pada.lihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob hari ini.

Ahmad, bekas anak didik Mustapa, akan mencadangkan demikian kerana kerusi DUN berkenaan kosong atas faktor kematian dan bukan atas alasan yang direka.

“Walaupun itu kawasan PAS, saya secara peribadi akan cadangkan supaya BN bertanding, tetapi kata putus adalah di tangan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

BUKAN GOYAH TAPI DAH NAK LINGKUP!

Posted in ADUN, perak, PKR, SPR, UMNO on February 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada satu akhbar aliran perdana dan sering bersimpati pembangkang hari ini tidak berani menggunakan perkatakan “nak jatuh” atau “nak tumbang” tetapi menggunakan perkataan goyah dalam mengibaratkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sekarang.

Tak payah nak beralas-alas lagilah. Sebut sahaja dah nak lingkup!

Akhbar ini juga cuba bermain psikologi dan berusaha spin pendapat umum untuk menarik simpati kepada pembangkang seolah-olah masalah di Perak adalah angkara Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Saya berbual dengan beberapa pemimpin UMNO Perak dan kata mereka kerajaann negeri sekarang ‘hanya menunggu masa’ sahaja lagi untuk lingkup. Mungkin 24 jam? Sehari atau tiga hari.

Keyakina itu berdasarkan jumlah ahli DUN yang akan menyertai Barisan Nasional (BN) sudah cukup, biarpun dengan majoriti kecil.

Selepas itu, segalanya hanya sejarah buat Pakatan Rakyat!

Yang anehnya, akhbar berkenaan juga tidak berani menyatakan dua wakil rakyat sudah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi sekadar menyebut kemelut politik yang melanda negeri Perak, dilihat semakin meruncing ekoran keputusan salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – yang menjadi fokus kontroversi terbaru – memutuskan untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), petang semalam.

Katanya, dengan keputusan ADUN terbabit, Jamaluddin Mohd Radzi dari Behrang, kerajaan Pakatan Rakyat kini kurang seorang wakil rakyat.

Laporan akhbar itu menyebut, Pakatan Rakyat kini hanya menguasai 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) pula menguasai 27 kerusi. Jamaluddin mahu bertindak sebagai calon Bebas.

Dalam pada itu, kedudukan rakan sejawatannya, Mohd. Osman Jailu iaitu ADUN Changkat Jering pula menjadi tanda tanya.

Apa pula yang menjadi tanda tanya? Sudah jelas, bukan lagi difahamkan, Mohd. Osman mengambil langkah yang sama seperti keputusan Jamaluddin – yang kedua-dua mereka telah diisytiharkan telah meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan sebaliknya. Kedua-dua mereka sebelum ini exco kerajaan negeri.

Berita Harian hari ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu kini mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas selepas menganggap tidak lagi dimahukan oleh PKR.

Jamaluddin berkata, ia terbukti melalui tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering yang diwakili Mohd Osman.

Untuk spin rakyat bagi mengatakan Kerajaan Negeri Perak masih teguh dan mempertahankan parti pembangkang di negeri berkenaan, akhbar berkenaan memilih untuk memetik kenyataan DAP, bukan parti pembangkang di Perak.

Akhbar berkenaan memetik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai berkata, Pakatan Rakyat akan menggunakan segala ruang yang ada untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Antara pilihan yang ada kini ialah Menteri Besar memanggil sidang tergempar DUN ataupun membubarkan DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri tergempar yang memerlukan perkenan Sultan.

Akhbar berkenaan juga cuba menyokong kerajaan pembangkang dengan memetik pandangan seorang pensyarah yang mengatakan tindakan lompat parti tidak sepatutnya berlaku memandangkan wakil rakyat dipilih berdasarkan parti yang diwakili mereka.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu betul dan menganggap keputusan SPR yang memutuskan Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing masih lagi ADUN Behrang dan Changkat Jering berikutan wujud keraguan pada surat peletakan mereka, juga adalah alasan yang tidak kukuh.

Apakah pensyarah berkenaan mempunyai latar belakang undang-undang?

Seorang lagi pensyarah berpendapat, kerajaan negeri Perak tidak boleh tergesa-gesa membubarkan DUN dan seterusnya mengadakan pilihan raya kerana ia melibatkan amanat rakyat dan isu dalaman yang dihadapi Pakatan masih boleh diselesaikan.

Pensyarah dari Sabah ini berhujah, SPR membuat keputusan setelah mengambil kira dari sudut perundangan pilihan raya dan jika wujud ketidakpuasan hati tetang keputusan itu, terpulang kepada pihak yang berkenaan untuk mencabarnya.

Kalaupun ‘nak main politik’ akhbar berkenaan perlu adil. Kenapa tidak petik kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh?

Kata Karpal: “Adalah sia-sia untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu, masing-masing sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang dan Changkat Jering, di mahkamah,”
Menurut Bernama, Karpal Singh, yang juga seorang peguam kanan, berkata ia “akan hanya membazirkan usaha dan masa” untuk mencabar keputusan SPR itu yang diumumkan hari ini, kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982 dalam kes serupa.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Ong Kee Hui lawan anggota parti ketika itu Sinyium anak Mutit, memutuskan tindakan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada speaker adalah bercanggah dengan kepentingan awam dan dengan itu adalah tidak sah.

“Keputusan SPR itu boleh dicabar dan tiada siapa boleh menghalang perkara itu dibawa ke mahkamah, tetapi mereka akan berdepan tugas amat sukar berikutan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada 1982.

“Dalam kes ini, saya pasti SPR telah dinasihatkan oleh pejabat Peguam Negara dan agensi berkaitan yang lain. Ini merupakan keputusan yang jelas di pihak SPR yang terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Selasa.

Jelas sekali pandangan Karpal Singh itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian veteran parti itu Lim Kit Siang, yang dalam satu kenyataan berkata SPR telah bertindak mengenepikan perlembagaan dan di luar bidang kuasanya apabila menolak keputusan speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar berhubung kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang dan diadakan pilihan raya kecil.

Tugas berperlembagaan SPR, katanya ialah mengambil tindakan terhadap notis rasmi Speaker DUN Perak mengenai kekosongan di dua kerusi itu dan menetapkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

“SPR tidak berhak untuk bertindak dan merampas bidang kuasa mahkamah untuk mempertikaikan keputusan speaker, kerana cabaran perundangan seumpama itu sepatutnya diambil oleh Jamaluddin dan Mohd Osman jika mereka mahu mencabar kesahihan peletakan jawatan mereka di kerusi DUN masing-masing,” kata Lim.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam berkata keputusan itu dibuat kerana Jamaluddin dan Mohd Osman telah menulis surat kepada speaker DUN Perak yang menyatakan peletakan jawatan mereka adalah tidak sah.

Seorang lagi peguam kanan, Naran Singh, berkata speaker sepatutnya mengesahkan kedua-dua surat itu kerana ia ditandatangani oleh wakil rakyat.

“Speaker sepatutnya bertanya kepada dua wakil rakyat itu jika mereka telah keluar daripada parti yang mereka wakili atau mereka telah meletakkan ajwatan sebagai wakil rakyat. Kedua-dua mereka berhak untuk membuat pengesahan,” katanya.

Naran Singh berkata pilihan raya kecil tidak boleh diadakan sewenang-wenangnya hanya berdasarkan surat, dihantar oleh pihak ketiga tanpa sebarang pengesahan.

Beliau juga sependapat dengan Karpal Singh bahawa SPR mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982.

KERAJAAN PIMPINAN PKR BAKAL TUMBANG

Posted in ADUN, perak, PKR, UMNO on February 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Isu straight forward dan jadi bengkang-bengkok.

Asalnya dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Namun sehingga kini, kedua-duanya tidak membuat sebarang kenyataan.
PKR melalui speaker jelas cuba menghalang ‘kemenangan percuma kepada BN’ apabila cuba ‘membatalkan’ kedudukan dua wakil rakyatnya yang dikatakan akan menyeberang.

Ketika ini, Pakatan Rakyat Perak mempunyai 32 ADUN termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lalu, manakala BN dianggotai 27 ADUN.

Yang anehnya, beliau langsung tidak menyebut mengenai status wakil rakyat UMNO yang menyeberang ke PKR sebelum ini. Dengan kata lain, PKR memilih kes terpilih yang dirasakan merugikan mereka sahaja.

Sehingga ke saat ini, PKR tetap menganggap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu yang “hilang” sejak Isnin lepas sebagai wakil rakyat parti itu.

Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar dari parti.

“Kita tidak ada menerima sebarang surat meletak jawatan atau keluar dari parti (daripada mereka),” katanya Ipoh hari ini.

Kebimbangan kerajaan Pakatan Rakyat akan tumbang dan mereka kehilangan jawatan – Menteri Besar Perak dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) membuat kenyataan yang mendahului masa.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menyerahkan surat rasmi memaklumkan kekosongan DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak hari ini.

Sementara Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengadap Sultan Perak di Istana Kinta, pagi ini dan kelihatan memasuki Istana Kinta kira-kira pukul 10 pagi dan keluar pada pukul 10.25 pagi.

Difahamkan perjumpaan itu berkaitan isu politik yang ‘genting’ di negeri ini. Beliau yang enggan ditemubual pemberita terus meninggalkan pintu masuk istana sambil berkata “Selamat tinggal, jumpa lagi”.

Sebelum itu beliau enggan menemui pihak media selepas majlis ceramah eksekutif di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Perak.

V. Sivakumar pula hari ini menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang.

Sivakumar dalam kenyataan satu perenggan yang difakskan kepada Bernama berkata surat rasmi itu telah diserahkan kepada Pengarah SPR Perak Ahmad Adli Abdullah pada pukul 8 pagi tadi di pejabat SPR di sini.

Semalam, Sivakumar dalam satu kenyataan media mengumumkan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai ADUN di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Jan lepas, pada malam tadi menafikan kenyataan Sivakumar bahawa mereka telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Jamaluddin dan Mohd Osman dijadual mengadakan sidang media di Shah Alam dan Kuala Lumpur secara berasingan petang ini bagi menjelaskan pendirian mereka, sama ada mereka masih dengan PKR atau keluar dari parti itu.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan oleh Sivakumar adalah surat yang ditandatangani oleh mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Kedua-dua ADUN itu menganggap kenyataan Sivakumar itu adalah “satu pembohongan dan kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya.”

Jamaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Koperasi, Pertanian dan Perladangan dan Mohd Osman yang juga Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Kerajaan, mendakwa masih anggota PKR dan tidak pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, menjadi calon bebas ataupun menyertai Umno.

Kedua-dua mereka mendakwa surat peletakan jawatan yang dimaksudkan oleh Sivakumar itu ialah surat yang tidak bertarikh yang ditandatangani mereka bersama lima lagi anggota PKR selepas memenangi pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas kerana Pakatan Rakyat bimbang mereka akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lepas, Jamaluddin mengalahkan calon BN, Datuk M. Ramasamy, dengan majoriti 1,027 undi manakala Mohd Osman menewaskan calon BN, Datuk Mat Isa Ismail, dengan majoriti 1,102 undi.

Jamaluddin memperolehi 6,771 undi berbanding Ramasamy yang mendapat 5,744 manakala Mohd Osman memperolehi 9,411 undi berbanding Mat Isa 8,309 undi.

Kedua-duanya kini menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah. Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di sini selama tiga hari bermula 10 Februari ini.

Ahmad Adli mengesahkan menerima surat itu dan akan menyerahkan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu keputusan Speaker DUN Perak berhubung kekosongan dua kerusi – Changkat Jering dan Behrang – yang akan membuka laluan untuk pilihan raya kecil – adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan ADUN terbabit, Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi selama lima hari dengan sendirinya telah memaksa Speaker untuk membuat keputusan itu.

Kata beliau, surat peletakan jawatan tersebut sah walaupun tidak bertarikh semasa ditandatangani memandangkan kedua-dua mereka mengetahui kandungan dan kesan yang akan mereka hadapi jika menandatangani surat itu.

APABILA MB PERAK MEROYAN

Posted in ADUN, BN, perak, PKR, UMNO on February 1, 2009 by Hambali Abd Latiff

(terkini) Hari ini ternyata Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin gelabah bagai orang gila meroyan.

Beliau meminta dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang “hilang” sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Mereka yang dikatakan hilang itu adalah Jamaluddin Mat Radzi (ADUN Behrang) dan Mohd Osman Jailu (ADUN Changkat Jering).

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, adalah pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Yang turut hadir pada mesyuarat itu adalah Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang, Pengerusi PKR Perak Osman Abdul Rahman dan Adun Bota Datuk Nasaruddin Hashim.

Pakatan Rakyat kini mempunyai 32 Adun termasuk Nasaruddin yang menyertai PKR minggu lepas manakala BN dianggotai 27 Adun dan jika dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.

Dan kalaulah…ini kalau – Nasaruddin tidak menyertai PKR, sudah pasti BN boleh membuka langkah luas untuk mengambil Perak kembali dan bermenteri besarkan orang baru!

Dengan kedudukan kelebihan satu kerusi seperti yang pernah berlaku di Kelantan sebelum pilihan raya umum lalu, kedudukan di Perak sangat membimbangkan kerajaan kerajaan Pakatan Rakyat bukan solid seperti di Kelantan yang kesemuanya wakil rakyat PAS,
Di Perak, Pakatan Rakyat kini telur di hujung tanduk.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri telah bersedia untuk membuat persiapan dan strategi mengikut peraturan yang ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Kalau sudah bersedia, kenapa pula minta nyatakan pendirian. Buatlah apa yang patut. Anggaplah dua exco dari PKR itu sudah tidak mahu lagi bersamanya.

Sebenarnya, ‘kalau BN Perak cerdik’ perkara seperti ini boleh dilakukan lebih awal oleh BN sebalik keputusan pilihan raya umum Mac 2008 diumumkan.

Namun waktu itu peneraju BN Perak bagaikan ‘tidur’ dan tidak memimpin parti seperti orang yang celik di alam nyata.

Kerana tindak-tanduknya yang lembab dan tidak bermaya untuk memimpin UMNO dan BN Perak, peluang kehilangan begitu sahaja!

Apapaun, kita berharap aka nada kesan besar daripada gandingan Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Seri Zahid Hamidi kali ini.

Bab membentuk kerajaan negeri ini, belajarlah daripada pemimpin Sabah. Mereka tahu bagaimana mahu melakukannya, walaupun dalam keadaan tidak memiliki majoriti atau tidak menang pun!

Mohammad Nizar kini terkacapai-kapai dan meroyan apabila dua anggota exco dari PKR itu telah ghaib dan mereka tidak dapat dihubungi termasuk oleh keluarga mereka sendiri sejak 26 Januari lalu.

Selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin PAS, DAP dan PKR negeri di kediamannya di Ipoh, Menteri Besar itu mahu mengambil langkah yang memungkinkan kepada laporan polis berhubung kehilangan dua anggota Exco itu selepas berbincang dengan keluarga mereka.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Feb ini.

Menteri Besar Perak itu berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak masih kukuh walaupun dalam keadaan sekarang kerana semua Adun yang lain masih bersamanya.
Mohammad Nizar yang juga timbalan pesuruhajaya PAS Perak berkata usaha menjatuhkan kerajaan negeri dengan melarikan dua ADUN berkenaan adalah satu penghinaan kepada kerajaan negeri yang ada.

Soalnya sekarang bukan hina-dina. Kalau sudah orang tidak mahu dengan kita, apa lagi mahu dikata?

Mohammad Nizar boleh berkata apa sahaja tetapi seperti juga UMNO, ia tidak boleh menghalang kehendak Nasarudin yang melompat ke PKR. Hormatilah pendirian mereka dan jika tidak mahu – gulingkan mereka pada pilihan raya.

Sementara Utusan Online yang memetik Bernama sebagai berkta, anak Jamaluddin, Ali, 25, mendakwa bapanya tidak akan menyertai BN tetapi mungkin mengumumkan akan menjadi wakil rakyat bebas.

Ketika bercakap kepada pemberita di pejabatnya, beliau mengesahkan keluarganya tidak dapat menghubungi Jamaluddin sejak Isnin lepas tetapi seorang rakan bapanya menghubungi beliau semalam memaklumkan bapa akan keluar PKR untuk menjadi Adun Bebas.

“Saya tak percaya dia hilang…dia tahu jaga dirinya tetapi emak saya memang tertekan,” tambahnya.

TANGAN GHAIB MANAKAH CUBA GANGGU-GUGAT FATMI?

Posted in ADUN, SMS fitnah, UMNO on November 3, 2008 by Hambali Abd Latiff

Dalam ucapan perasmian bahagiannya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang kini disahkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata Umno bahagian itu turut terkena tempias penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur fitnah.

Ia dipercayai usaha memecah belahkan perpaduan yang terjalin antara pemimpin Umno di bahagian itu.

Katanya, ada pihak tertentu yang menyebarkan SMS berbaur fitnah kepada ahli di bahagian itu, bertujuan merosakkan hubungan baik antaranya dan pemimpin akar umbi.

Menurut Fatmi, “SMS itu cuba melagakan antara saya dengan Timbalan Ketua Umno bahagian, Datuk Wan Abd Ghani Wan Yusoff dan Naib Ketua Umno bahagian, Datuk Shahril Zahari, ia mula tersebar sejak mereka menang jawatan masing-masing tanpa bertanding.

“Individu yang menyebarkan fitnah ini bertujuan melemahkan Umno, ibarat api dalam sekam atau gunting dalam lipatan, ini adalah musuh dalam diam. Golongan seperti ini perlu dihapuskan daripada Umno,” katanya.

Hairan dan pelik apabila ada ‘tangan ghaib’ yang cuba memporak-perandakan bahagian dan mencalarkan kepimpinan Fatmi yang kini dilihat antara pemimpin penting Kelantan dalam hubungannya dengan Kerajaan Pusat.

Mungkin mereka mahu cepat-cepat mencantas Fatmi apabila menghidu bahawa beliau akan dijadikan antara ‘orang penting’ di Kelantan apabila kepimpinan baru UMNO peringkat pusat selepas Mac 2009.

Yang menarik mengenai keputusan mesyuarat ialah Umno Bahagian Kota Bharu meluluskan usul penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berikutan peralihan kuasa pada Mac depan.

Pada mesyuarat itu, Umno bahagian berkenaan turut mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Presiden untuk bertanding pada Perhimpunan Agung Umno Mac depan manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Bagi Naib Presiden pula, Umno bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Apakah ‘pergolakan bahagian’ itu masih terus beralun walapun ternyata jawatan penting bahagian tidak dipertandingkan?

Apakah ada mereka yang terus tidak berpuas hati berusaha menyusahkan Fatmi apabila perjalanan mesyuarat Umno peringkat cawangan membabitkan 116 cawangan, berlangsung tanpa sebarang gangguan dan pelantikan 35 ketua cawangan baru?

Bukankah Kota Bharu turut menjadi bahagian yang berjaya membuktikan bahawa demokrasi yang diamalkan kekal subur dalam UMNO, termasuk UMNO bahagian ini?

Fatmi yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri berjaya mengekalkan jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu apabila menang tanpa bertanding pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian itu di semalam.

Menurut Berita Harian, kejayaan Fatmi itu dijangka dapat mengimbangi pengaruh bekas ketua bahagian, Datuk Zaid Ibrahim yang beberapa minggu lalu dikaitkan dengan kemungkinan beralih kepada Pakatan Rakyat (PR).

Fatmi yang menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak hampir 10 tahun lalu dikatakan akan memainkan peranan penting bagi melonjakkan pengaruh Umno dan memenangi hati rakyat di negeri itu yang kini ditadbir kerajaan Pas.

Mohamad Fatmi menyifatkan ahli Umno bahagian itu kini kembali kepada landasan asalnya dan tidak lagi berpuak-puak.

“Kita akan merapatkan barisan permuafakatan parti bagi mengukuhkan jentera bagi memenangi hati rakyat untuk kembali kepada BN,” katanya.

Sementara itu dua muka baru lain yang turut dipilih ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat (Pasir Mas) manakala Abdullah Mat Yassim (Rantau Panjang).

Abdullah diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang setelah penyandangnya, Datuk Mohd. Zain Ismail digantung keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti selama tiga tahun.

Bekas ADUN Gual Periuk, Datuk Shaari Mat Husin turut memenangi jawatan timbalan ketua tanpa bertanding manakala Mat Daud Hamat dipilih sebagai naib ketua setelah menewaskan Syed Abdul Aziz Syed Abdullah dengan kelebihan satu undi.

UMNO Bahagian Pasir Mas pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Hanafi dan bekas ADUN Tendong, Fauzi Mohamad setelah ketua bahagian sebelum ini, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman tidak mempertahankan jawatan.

Dalam pertandingan itu, Hanafi yang dahulunya adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian memenangi jawatan tersebut dengan mendapat 376 undi manakala bekas ADUN Tendong, Fauzi memperoleh 162 undi.

Sementara bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO menyaksikan perubahan dengan Che Johan Che Pa dan Abdul Aziz Mohamad masing-masing dipilih bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas;

Che Johan yang merupakan bekas naib ketua menewaskan bekas Ketua Pergerakan Pemuda Pasir Mas, Ahmad Rosdi Mahmad dengan majoriti 101 undi manakala Abdul Aziz bersaing dengan tiga lagi calon, Che Kamaruzaman Harun, Datuk Dr. Wan Shuhaimi Daud dan Razali Ismail.

Bagi UMNO Bahagian Gua Musang yang turut mengadakan persidangan perwakilannya semalam, Ahli Parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah terus kekal sebagai ketua tanpa dicabar.

Bagi jawatan timbalan dan naib ketua iaitu bekas ADUN Galas, Mohamad Saufi Deraman dan Shaari Lembut yang cuba mempertahankan jawatan dikalahkan oleh ADUN Nenggiri, Mat Yusoff Ab. Ghani dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Mat Yusoff menang dengan majoriti 33 undi manakala Nozula pula majoriti sembilan undi.