Archive for the Raja Petra Category

TOKOH PEMBANGKANG MANA TAJA RAJA PETRA?

Posted in polis, Raja Petra on December 31, 2009 by Hambali Abd Latiff

Siapa sebenarnya penaja pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin?
Superman atau Santa Claus? Datuk Seri Hadi Awang? Lim Kit Siang? Datuk Husam Musa atau Datuk Seri Anwar Ibrahim? Lim Guan Eng? Atau Datuk Nik Aziz Nik Mat?


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim berkata orangnya seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Malah, menurut Zamil, beliau amat mengenali ‘mangsa-mangsa’ tokoh berkenaan yang telah diperalat sewaktu dia ‘tersepit’ sahaja.

“Saya rasa macam kenal tokoh pembangkang yang taja Raja Petra dan saya memang kenal sangat orang yang dijadikan macam ‘habis madu sepah dibuang’ oleh tokoh tersebut.

“Yang jadi mangsa itu bukan calang-calang orang, kebanyakannya mempunyai kedudukan yang tinggi dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam,

Katanya, semua ‘mangsa’ berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri seperti Raja Petra yang berani dan cekap menulis propaganda.

Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang mendakwa kehidupan Raja Petra di London mungkin ditaja oleh salah seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell dalam blog http://www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.

Menurut Anuar, pembiayaan itu dibuat melalui kroni pemimpin tersebut yang telah menjual aset berupa sebuah rumah di London dan ladang di Afrika Selatan, baru-baru ini.

Kelmarin, sumber polis tidak menolak kemungkinan kehidupan Raja Petra di di Gloucester Terrace, Bayswater yang merupakan kawasan elit dibiayai pihak tertentu yang mempunyai konspirasi untuk merosakkan nama baik kerajaan Malaysia.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassa turut mengesahkan Raja Petra kini berada di London.
Beliau berkata, perkara itu disahkan hasil risikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis antarabangsa (Interpol). Musa bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada pengendali blog berusia 59 tahun itu tinggal di pangsapuri mewah Gloucester Terrace, Bayswater, London atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika benar Raja Petra merasakan dirinya tidak bersalah, dia perlu kembali ke Malaysia untuk membersihkan namanya.

“Jika benar (Raja Petra di London), baliklah ke Malaysia dan bersihkan nama. Bukannya sembunyikan diri di negara asing,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Musa berkata, Raja Petra kini membawa status sebagai pelarian memandangkan dia ke negara tersebut tanpa dokumen yang sah.

“Kita sudah rampas semua dokumen dia termasuk pasport selepas dia disahkan muflis,” jelasnya.
Walaupun berada di London, nasib Raja Petra diramal akan menjadi seperti ‘habis madu sepah dibuang’ jika kehidupannya di London terus ditaja oleh tokoh berkenaan.’

Dalam perkembangan berkaitan, Zamil yang mendakwa kenal rapat dengan Raja Petra melahirkan rasa simpati kepada keluarganya yang kini berada dalam keadaan terumbang ambing.

“Orang yang melindungi dia pada masa ini hanyalah untuk kepentingan politik tapi sampai bila dia perlu bergantung kepada mereka.

“Padahal masa depan keluarga dan anak-anaknya yang pada masa ini terumbang ambing tidak bergantung kepada kepentingan politik mana-mana pihak,” tegas Zamil.

Jika benar tokoh pembangkang menaja Raja Petra, dedahkanlah segera supaya kita kenal pasti orang berkenaan.

Ini kerana orang ini sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira kepentingan negara apabila ‘menaja’Raja Petra dan isterinya di luar negara sambil bersekongkol untuk ingkar perbicaraan mahkamah.

JIKA BENAR BERANI & PUNYA FAKTA…

Posted in blog, Blogger, Raja Petra on December 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

Untungnya menjadi penggendali blok dan mempunyai wang. Jika ada masalah dengan tulisan sendiri, boleh lari atau menyelinap ke luar negara.

Selain itu, pada ketika mendabik dada fakta yang ditulis memang benar dan tepat – bukan kutip daripada sumber tidak berasas – seseorang yang berduit mampu berselindung di sebalik apa juga ‘kekebalan’.

Itulah mungkin yang dinikmati oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ketika ini.

Dia mungkin mempunyai wang dan kalaupun tidak cukup, mungkin dibantu oleh ‘orang di belakang’ kerana sejauh ini tulisan-tulisannya selain yang “telus dan bernas’ada juga yang disangsikan punca sumber dan untuk siapa beliau mengemukan pandangannya.

Raja Petra, 59, dibicarakan atas tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam Malaysia Today pada 25 April tahun lalu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini.

Ada laporan akhbar sebelum ini memetik sumber, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia.

Isunya bukan ‘melakukan tangkapan dan menyoal’Raja Petra mengenai sumbernya tetapi sejauh mana tulisannya – khususnya dakwaannya terhadap beberapa individu termasuk isteri Perdana Menteri – apakah berasas atau sebaliknya.

Juga dia perlu diheretkan ke mahkamah kerana beberapa kesnya yang tertangguh itu.
Pada 12 November lalu, polis menegaskan akan terus menjejaki Raja Petra yang didakwa menerbitkan artikel berunsur hasutan, walaupun mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, penulis itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan usaha menjejaknya kini dipertingkatkan. “Kita tidak akan hentikan usaha mengesan Raja Petra selagi waran penahanannya masih ada.”Saya tegaskan di sini, kita akan bertindak untuk menangkapnya dan membawa ke mahkamah,” katanya.

Sehari sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Raja Petra selepas polis masih gagal menjejaki beliau walaupun waran tangkap sudah dikeluarkan.

Kita mengalu-alukan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memohon perintah ekstradisi terhadap) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British. Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Persoalan paling penting ialah bagaimana Raja Petra menyelinap keluar dari Malaysia dan polis pula gagal mengesannya sejak sekian lama?

Siapa dalang di sebalik pemergiannya ke London dan apakah selama lapan bulan ini kita tidak meminta bantuan Interpol?

Pada 26 November lalu, polis mengatakan ia tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan pengendali laman web Malaysia Today itu kini berada di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak tahu di mana dia (Raja Petra) berada kerana semuanya dalam siasatan. “Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu (Raja Petra bersembunyi di Melbourne),” mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan penulis laman blog itu dikesan berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Apapun, polis perlu terus menyiasat kerana hanya keadilan di mahkamah dapat membuktikan Raja Petra memang menulis dengan ‘tepat dan berwibawa’sementara mereka yang dituduh juga mempunyai hak untuk menafikan ada juga tuduhan oleh Raja Petra.

RAJA PETRA TAKUT ROSMAH?

Posted in polis, Raja Petra, Rosmah on May 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa dah jadi kepada penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin?
Betulkah beliau seorang pengecut?
Sebelum ini beliau mencabar semua pihak. Namun kini mungkin usaha mencarinya akan sampai ke peringkat Interpol.
Polis sudah menyatakan akan meminta bantuan Interpol sekiranya diperlukan untuk mengesan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, polis sedang berusaha mengesan kedudukan penulis blog itu selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
“Jika diperlukan kami akan minta bantuan Interpol,” katanya semalam.
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur semalam, sekali lagi mengeluarkan waran tangkap ke atas Raja Petra selepas beliau tidak hadir untuk perbicaraan kes memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Ini merupakan kali kedua waran tangkap dikenakan terhadap penulis blog itu selepas beliau gagal menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lepas.
Apakah Raja Petra akan terus membisu sehingga kes akan disebut semula pada 2 Julai depan?

Waran tangkap kali ini dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mohamad Sekeri Mamat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis mengemukakan permohonan tersebut.

Mahkamah turut mengeluarkan notis tunjuk sebab ke atas isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah selaku penjamin kerana tidak hadir pada prosiding tersebut.

Ini kali kedua waran tangkap dibuat ke atas Raja Petra selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 April lalu mengeluarkan perintah yang sama selepas dia tidak hadir perbicaraan kes penerbitan artikel berunsur hasutan di laman web tersebut.

Mahkamah kelmarin sepatutnya mendengar perbicaraan hari pertama kes Raja Petra yang didakwa memfitnah Rosmah semasa suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Timbalan Perdana Menteri (kini Perdana Menteri).

Raja Petra, 59, didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam satu akuan bersumpah yang diikrarkannya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi 18 Jun 2008.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Raja Petra diwakili oleh peguam bela, Amarjeet Singh.
Fernandis ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira 18 orang saksi bagi memberi keterangan.

Persoalannya, bagaimana Raja Petra yang cuba mendedahkan Datin Seri Rosmah Mansor boleh menghilangkan diri.

Menurut penulisannya, Rosmah adalah wanita ‘hina’ dan ‘penyebab dan yang menimbulkan masalah kepada suaminya’ dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya.
Namun ternyata kini Raja Petra kecut perut dan bagaikah takut kepada Rosmah?

Pada 1 Julai 2008, Rosmah menyatakan tidak bimbang dengan dakwaan yang mengaitkannya dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kerana beliau tidak bersalah.

Katanya, beliau telah memberikan keterangan kepada polis sejelas-jelasnya berhubung dakwaan dalam akuan bersumpah yang dibuat oleh pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkannya dengan kes itu.

Rosmah menegaskan, beliau bukan seorang ahli politik malah tidak bertanding untuk merebut jawatan dalam parti, oleh itu tiada ada yang perlu dirisaukannya.

Pada 27 Jun 2008, polis berkata pihaknya akan mengambil tindakan ke atas penulis blog dan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin jika aduan bersumpah yang dibuatnya pada 18 Jun 2009 itu terbukti mengandungi unsur fitnah dan menjejaskan kredibiliti negara.

Raja Petra memfailkan aduan bersumpah di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada tarikh itu yang antara lain turut mengaitkan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu dengan kes pembunuhan Altantuya pada 19 Oktober 2006.

Raja Petra menamakan dua lagi individu yang didakwanya turut dikaitkan dalam kes bunuh itu iaitu Leftenan Kolonel Aziz Buyong, yang beliau katakan sebagai pakar bahan letupan C4, dan isteri Aziz, Norhayati, yang didakwa pegawai pengiring (ADC) Rosmah.
Rosmah sudah menjelaskan, Norhayati bukan ADC beliau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin memberitahu, polis menunggu arahan Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan ke atas akuan bersumpah itu yang mengaitkan beberapa orang dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Pada 2 April lalu, Raja Petra diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi saman fitnah sebanyak RM1 juta kepada Bendahari UMNO, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar, Norhatini Abdul Aziz dalam saman berhubung penyiaran dua artikel berunsur fitnah pada 9 Februari dan 19 Februari 2008 melibatkan Raja Petra sebagai defendan.

Dalam penghakimannya, Raja Petra diarah membayar RM500,000 bagi gantirugi am, RM300,000 bagi ganti rugi teruk dan RM200,000 bagi ganti rugi teladan.

Begitu juga faedah daripada jumlah RM1 juta itu bermula dari tarikh penghakiman sehingga selesai supaya turut dibayar oleh defendan.

Norhatini mengeluarkan perintah itu di kamarnya selepas mendengar hujahan oleh peguam Sunil Abraham berhubung penilaian ganti rugi selepas Abdul Azim berjaya mendapat penghakiman ingkar pada 8 Ogos 2008.

RAJA PETRA TAKUT MAHKAMAH SESYEN?

Posted in Blogger, Raja Petra, Rosmah on February 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kenapa penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin tidak mahu beliau dibicarakan di Mahkamah Sesyen?

Kalau benar Raja Petra mempunyai bukti dan tidak takut kalah dalam kesnya kenapa pula takut dengan hukuman?

Kenapa takut sangat dengan Mahkamah Sesyen?

Apakah peguam penulis blog Malaysia Today ini sudah mengetahui bahawa Raja Petra akan dihukum dan dengan meletakkan kes itu di Mahkamah Majistret, denda menjadi lebih murah dan rayuan lebih mudah?

Raja Petra yang didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain bagaimanapun gagal dalam usahanya supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Majistret .

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kes tersebut kekal di Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret membenarkan permohonan pendakwa supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan adalah sah dan teratur.

Beliau berkata keputusan pemindahan kes tersebut yang dibuat Majistret Nazran Mohd Sham, pada 15 Ogos 2008 itu tidak bercanggah dengan Artikel 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Zainal Azman kemudiannya menolak notis usul untuk semakan yang difailkan Raja Petra pada 25 Nov, 2008, atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai merit dan berasas.

Salah seorang daripada peguam Raja Petra, J.Chandra memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini. Mahkamah Rayuan adalah tempat terakhir bagi Raja Petra merayu kerana kes di mahkamah rendah akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Persoalannya kenapa mahu dibicarakan di Mahkamah Majistret?

Pada 20 Januari 2009 lalu, peguam mewakili Raja Petra berhujah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa pengendali laman web Malaysia Today itu terdedah kepada hukuman yang lebih berat apabila kes fitnah yang dihadapinya dibicara di Mahkamah Sesyen.

Manjeet Singh Dhillon berkata, Seksyen 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan bahawa majistret hanya boleh mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM10,000.

Bagaimanapun, katanya, Seksyen 64 akta yang sama membenarkan Mahkamah Sesyen menjatuhkan apa-apa hukuman selain daripada hukuman mati serta tiada had jumlah denda.

”Saya tidak mempertikaikan kuasa Peguam Negara untuk memilih mana-mana mahkamah untuk menjalankan prosiding terhadap seseorang, tetapi dalam kes ini, perayu (Raja Petra) dituduh di bawah kesalahan yang sepatutnya dibicara di Mahkamah Majistret.

”Jika demikian, Peguam Negara perlu hadir ke mahkamah untuk menjelaskan kesalahan yang dilakukan oleh perayu,” katanya.

Manjeet juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi boleh merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 apabila persoalan perlembagaan dibangkitkan.

Katanya, dalam kes ini, implikasi -implikasi daripada perintah di bawah Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah dan persoalan berkaitan masih belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis pula berhujah bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana mahkamah bagi menjalankan prosiding terhadap seseorang.

Katanya, keputusan majistret membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 177 Kanun Tatacara Jenayah adalah betul dan sah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab. Aziz kemudiannya menetapkan 13 Februari (hari ini) untuk memutuskan sama ada permohonan Raja Petra untuk memindahkan semula kesnya ke Mahkamah Majistret akan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

Raja Petra, 58, didakwa di Mahkamah Majistret pada 17 Julai tahun lalu atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu akuan bersumpah yang diikrarkannya.

Dia yang menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan itu turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam akuan yang sama.

Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen selepas mahkamah tersebut membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

BOLEHKAH RAJA PETRA TELANJANGKAN ROSMAH?

Posted in Raja Petra, Rosmah on November 30, 2008 by Hambali Abd Latiff

Di manakah Raja Petra akan ‘menelanjangkan Rosmah?’ Di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Magistret?

Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada kes fitnah pengendali blog, Raja Petra Raja Kamarudin akan dipindahkan semula ke Mahkamah Majistret untuk perbicaraan atau kekal di mahkamah tersebut.

Semalam, Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat memutuskan demikian dengan alasan pihak pembelaan telah memfailkan permohonan notis usul di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis memohon sebutan dalam masa terdekat memandangkan permohonan notis usul semakan supaya kes itu dipindahkan semula ke Mahkamah Majistret yang akan didengar pada 4 Disember ini.

Mahkamah menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Raja Petra, 58, didakwa di Mahkamah Majistret pada 17 Julai lalu atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam akuan bersumpah yang diikrarkannya.

Ini bermakna ada tempoh dua minggu untuk Raja Petra mempersiapkan dirinya bagi ‘menelanjangkan Rosmah’ sama ada di Mahkamah Majistret atau Mahkamah Tinggi.

Isu ‘menelanjang Rosmah’ dijangka menarik kerana sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh RPK akan didedahkan secara terbuka oleh Raja Petra di mahkamah.

Di sebalik itu, apa yang juga penting ialah apabila RPK berhujah untuk menolak saman fitnah ini, beliau juga dikatakan akan mengemukakan bukti-bukti kenapa Najib tidak boleh menjadi Perdana Menteri dan “Abdullah Badawi akan terus jadi Perdana Menteri Malaysia sehingga “tengah malam 7 March 2013”.

Kerana inilah blogger POLITICA (http://politica-net.blogspot.com) sesudah membaca posting saya dalam Sembang Ahad “AMARAN – NAJIB TIDAK AKAN JADI PM?” pada 23 November 2008 lalu, beliau menjadi pening, bingung, bercelaru otak.

Tanya POLITICA. “adakah ramalan RPK yang dicedok oleh Hambali itu benar? Asas kesimpulan RPK memang tidak salah. Iaitu Perlembagaan Persekutuan tidak memaktubkan bahawa Presiden UMNO (mulai Mac 2009 adalah Najib Razak) perlu dilantik sebagai Perdana Menteri.”

Melalui posting itu, saya membincangkan isu ini dengan memetik tulisan RPK dalam Malaysia Today 21 November 2008 dengan tajuk BALASUBRAMANIAM’S STATUTORY DECLARATION REVISITED.

Dinyatakan dengan jelas dalam posting itu bahawa Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa Yang DiPertuan Agong mesti melantik Ahli Dewan Rakyat yang mendapat keyakinan atau sokongan daripada majoriti Ahli Dewan sebagai Perdana Menteri.

Kata POLITICA: “Kalau apa yang ditulis oleh RPK adalah benar, sanggupkah kita semua mengizinkan Abdullah terus jadi Perdana Menteri sehingga “tengah malam 7 March 2013”? Kalau apa yang ditulis oleh RPK juga benar, tidak mungkinkah Malaysia akan dilanda oleh krisis kepimpinan yang amat dahsyat?

Lebih serius lagi, menurut POLITICA, mungkinkah DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuang Agong akan meneruskan khidmat Abdullah sebagai Perdana Menteri walaupun Baginda amat insaf bahawa kerajaan di bawah Abdullah pada ketika ini adalah kerajaan yang terumbang-ambing dan kucar-kacir?”

Katanya, “Oleh itu, kita semua perlu pandang serius ramalan di atas. Kita mesti kaji sejauh manakah kebenarannya. Kita mesti berbuat sesuatu. Kita mesti bersuara. Kita mesti bertindak. Kita tak mau Abdullah terus bermaharajalela. Kita tak mahu Malaysia jadi porak-peranda. Kita tak rela BN kalah teruk dalam PRU ke-13 kelak.”

Bagi saya apa juga usaha berkaitan ‘penelanjangan’ itu sama ada ia bersifat fitnah atau segala-galanya benar, bergantung kepada keputusan hakim yang akan membicarakan RPK.

Pastinya jika RPK bersedia dengan hujah, mereka yang mendakwa RPK juga mempunyai hujah.

Ada baiknya isu ini diputuskan secara bijak kerana persepsi buruk terhadap Rosmah sukar dibendung, melainkan ia ‘dibersihkan’ melalui mahkamah bagi membolehkan mereka yang berwas-was dan menganggap apa yang diperkatakan oleh RPK selama ini ‘benar’ mungkin hanya ‘fitnah’ semata-mata.

Sementara bagi RPK pula, apa yang selama ini dianggap ‘fitnah’ yang dibawa olehnya perlu dibuktikan benar belaka kerana sebarang kegagalannya akan menghakis kredibilitinya disamping sokongan terhadap parti yang didokongnya.

Lebih buruk lagi kerana is bukan soal memfitnah Rosmah semata-mata tetapi turut mengheret Najib dan Abdullah dalam konteks siapa akan berku

SYED HAMID SEORANG MENTERI YANG LEMAH?

Posted in Blogger, Raja Petra, Syed Hamid, UMNO on November 10, 2008 by Hambali Abd Latiff

Adakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar seorang Menteri yang lemah?
Benar. Jika berasaskan kenyataan Suara Keadilan.

Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin membebaskan Raja Petra Kamarudin daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu keputusan yang dianggap diluar jangka.

Kelemahannya itu dikatakan membawa malu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan wajar beliau memikirkan kedudukannya dalam Kabinet, demikian menurut akhbar rasmi parti PKR itu.

Malah, komen beberapa ahli UMNO, beliau patut menimbang semula keputusannya bertanding untuk jawatan tinggi dalam UMNO kerana beliau ‘tidak layak’.

Hakikatnya untuk menghukum atau meletakkan kesalahan kepada seseorang memang mudah!
Apa pun, semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata di sebalik kerajaan menghormati keputusan mahkamah, ia akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

Menurut Perdana Menteri perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Abdullah, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam tindakan menahan seseorang mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya sikap berhati-hati ketika membuat keputusan menahan mereka diamalkan oleh kerajaan sejak dahulu lagi dan bukannya baru dibuat sekarang.

“Keputusan menahan mereka di bawah ISA mesti ada sebab-sebabnya dan bukan diambil tanpa sebarang fakta yang membolehkan tindakan itu dilaksanakan.

“Ini bukan kuasa yang boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, ia mesti ada sebab dan fakta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas.

Mengulas keputusan itu Syed Hamid berkata, pembebasan Raja Petra merupakan keputusan mahkamah yang tidak perlu dipertikaikan. Beliau berkata, mahkamah mempunyai hak untuk membebaskan Raja Petra dan pembebasan itu merupakan hak mahkamah sendiri.

‘‘Pembebasan Raja Petra merupakan keputusan mahkamah. Itu juga merupakan hak mahkamah,” katanya 7 November lalu.

Sebaliknya Peguam Negara diarah mengkaji penghakiman kes pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu dan Syed Hamid berkata, kajian itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam tindakan pihak berkuasa membendung kegiatan yang boleh mencetuskan huru-hara dan ancaman kepada negara.

Menurut beliau, kajian itu juga bagi membolehkan pihak Peguam Negara membuat rayuan terhadap kes Raja Petra itu dalam masa terdekat.

”Kita perlu mengenal pasti perkara ini dengan lebih jelas supaya tidak ada keraguan apabila mengambil tindakan mengikut apa yang terkandung di bawah Seksyen 8 ISA berkaitan pencegahan iaitu kuasa menteri setelah melihat kepada kemungkinan-kemungkinan berasaskan laporan fakta.

”Kita mahu melihat apakah menteri mempunyai kuasa untuk membuat penahanan atau tindakan dengan niat murni boleh dipertikaikan,” katanya.

Hakikatnya, keputusan itu dianggap ‘satu kejayaan luar biasa bagi rakyat Malaysia’ oleh PKR apabila hakim membenarkan Raja Petra dibebaskan setelah Horbus Corpus.
Peguam yang mewakili Raja Petra adalah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.

Dalam penghakiman kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Beliau turut mengarahkan agar Raja Petra, yang ketika itu berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta), Taiping, yang ditahan sejak 12 September lepas, dibawa ke mahkamah sebelum pukul 4 petang semalam bagi urusan pembebasannya.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun dan boleh disambung bila-bila masa.

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Saari Sungip berkata, dalam kes ini Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar haruslah melepaskan jawatan kerana tidak berwibawa dalam melaksanakan tugas dengan wibawa.

“Syed Hamid berhak melepaskan jawatan beliau sebagai menteri kerana beliau tidak berwibawa menjalan tugas,” katanya lagi.

Ikuti apa kata Suara Keadilan Online:

Pembebasan Raja Petra: Kejayaan luar biasa, Syed Hamid wajar lepaskan jawatan

Sabtu, 8 November 2008

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER (SK) – Keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Raja Petra Kamarudin dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu keputusan yang diluar jangka.

Menurut bekas tahanan ISA, Saari Sungib adalah satu kejayaan luar biasa bagi rakyat Malaysia semalam apabila hakim membenarkan Raja Petra dibebaskan setelah Horbus Corpus.

“Adalah satu kejayaan luar biasa dalam perjuangan menghapuskan ISA, Raja Petra berja dibebaskan dan hakim pula menafikan Saari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang berkata, dalam kes ini Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar haruslah melepaskan jawatan kerana tidak berwibawa dalam melaksanakan tugas dengan wibawa.

“Syed Hamid berhak melepaskan jawatan beliau sebagai menteri kerana beliau tidak berwibawa menjalan tugas,” katanya lagi.

Ujarnya kesilapan beliau menahan wartawan yang melindungi keselamatan wartawan beliau amat diragui.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertaraf antarabangssa, Amnesty International penggunaan ISA yang digunapakai dinegara ini dan menuntut agar kesemua tahanan ISA dibebaskan.

“Amnesty International meminta agar kerajaan membubarkan ISA dengan segera serta mendakwa dengan kesalahan dan membicarakan atau membebaskan kira-kira 60 orang yang masih lagi ditahan dibawah ISA” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam penghakiman semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syed Ahmad Helmy berkata walaupun Seksyen 8 ISA selaras dengan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam kes ini alasan penahanan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar tidak termasuk dalam skop Seksyen 8 akta itu.

Beliau turut mengarahkan agar Raja Petra, yang ketika itu berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta), Taiping, yang ditahan sejak 12 September lepas, dibawa ke mahkamah sebelum pukul 4 petang semalam bagi urusan pembebasannya.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun dan boleh disambung bila-bila masa.

Para peguam yang mewakili Raja Petra adalah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.