Archive for the hadi Category

HADI DIJATUHKAN SECARA TERANCANG?

Posted in hadi, Islam, Melayu, PAS, seminar on November 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Mengejut dan menakjubkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang – presiden boneka, hilang stim dan tidak sesuai dengan politik baru – diperlekeh dan mempersendakannya pada ketika PAS mengadakan seminarnya hari ini.

Ia dilakukan dengan begitu terdedah oleh seorang pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melalui sebuah portal berita yang jelas selama ini pro-Pakatan Rakyat.

Pensyarah berkenaan mengkritik dan membelasah Hadi habisan-habisan sedangkan tiada pemimpin PAS (kecuali Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan ahli PAS lain tidak berani berbuat demikian mungkin rasa berdosa untuk menegur kerana tema wala’nya (kesetiaannya) cukup kuat.

Namun kerana pensyarah ini diberikan ruang seluas-luasnya untuk ‘memusnahkan personaliti Hadi’ sama ada melalui laluan yang dibuka seluas-luasnya oleh Musyridul Am PAS, apakah seminar PAS di Taman Melewar hari ini – Hadi akan terus menjadi sasaran paling mencabar dalam kepimpinannya?

Dalam PAS penentangan terhadap pemimpin atau ketua ‘tidak dibolehkan’ dan keadaan itu bagaimanapun sedang dipersoalkan – berapa lama lagi akan dipatuhi?

Dan dengan kritikan terbuka terhadap Hadi melalui Malaysiakini itu, apakah ia akan menjadi ikutan dan halal selepas ini?

Saya ingin melihat reaksi pemimpin dan PAS terhadap kenyataan pensyarah berkenaan – Prof Dr Abdul Aziz Bari – dan jika benar ‘Tuan Guru’ masih ada sokongan, Hadi tentu akan dipertahankan.

Bagaimanapun, jika tiada atau kurang sokongan dan terus dibelasah atau mereka sama-sama membelasahnya, petanda bahawa Hadi tidak lagi diperlukan memimpin PAS, jelas semakin terjawab.

Persoalannya, apakah Dr Aziz Bari dan peserta seminar akan bercakap secara terbuka seperti yang diucapkan dengan Malaysiakini? Apakah Dr Aziz Bari akan melondehkan Hadi sepuas-puasnya di seminar berkenaan?

Walaupun sedar seminar memperkasakan parti PAS ini bakal panas, PAS memutuskan untuk membuka seluas-luasnya seminar ini kepada semua pihak. Menurut Harakahdaily, ia akan dijalankan dengan telus dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi pemerhatinya di samping liputan dari pelbagai jenis media.

Program sehari suntuk ini akan dimulakan dengan Ucapan Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk “Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan raya ke 13.” Selepas ucapan itu, sessi percambahan minda akan diadakan di mana ahli penal khas telah dijemput iaitu Dr Abdul Aziz Bari sendiri selain Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya. Penutupnya oleh Nik Aziz.

Persoalannya, selain Hadi apakah dua lagi ‘kawan setia Hadi’ iaitu Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dan Timbalan Hadi, Nasharuddin Mat Isa akan turut dibelasah?

Sejauh ini, apa yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari seiring dengan apa yang diperkatakan oleh Musyridul Am PAS, mengenai Hadi dan konconya. Perbezaannya analisis dan fakta Dr Aziz Bari lebih menjurus dan jelas.

Mengejut dan menakjubkan ialah Dr Aziz Bari memperkatakan mengenai Hadi dengan begitu nyata dan lantang seolah-olah dia mempunyai lessen besar. Pertanyaannya ialah apakah ini langkah permulaan menjatuhkan Hadi atau sengaja memberikan impak besar kepada PAS sendiri?

Persoalannya, apakah dengan ‘menjatuhkan Hadi’ misi Dr Aziz Bari akan berakhir?

Juga langkah pertama itu bolehkah sampai untuk ‘memusnahkan PAS’ seperti kata Nik Aziz sebelum ini, dia rela apa saja terjadi dengan PAS asalkan ‘tiga serangkai’ itu dibuang jauh-jauh dari PAS?

Apapun, melalui laluan yang dibuka Nik Aziz dan petunjuk yang jelas itu – Dr Aziz Bari menggunakan pentas Malaysiakini sebagai permulaan dan mungkin seminar PAS bagi ‘menikam Hadi sepuas-puasnya’.

Amat nyata pandangan pensyarah UIA itu boleh dilihat sebagai kempen terancang menggulingkan Presiden PAS itu melalui tekanan dan character assassination terhadap Hadi secara sehabis-habisnya.

Apakah kelemahan Hadi menurut Dr Aziz Bari?

1. Kepimpinan Presiden PAS sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan “Pak Lah versi PAS”;

2. Hadi adalah beban kepada parti;

3. Hadi hilang stim;

4. Presiden boneka – kegagalan Hadi bertindak sebagai “tokoh nombor satu” diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain; dan,

5. Abdul Hadi bukan seorang pemimpin dalam senario politik baru.

Dr Aziz Bari dengan jelas mengatakan kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.”Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri,” kata Dr Aziz Bari.

Hadi diumpamakan sama dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk Barisan Nasional sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Hadi juga dilihat tidak memberikan apa-apa kesan atau kebaikan kepada parti jika dilihat kepada kenyataannya mengenai kerajaan perpaduan. Malah, beliau dilihat sebagai liability kepada PAS kerana kenyataannya bukan macam orang politik. Hadi dilihat lebih mementingkan UMNO daripada Pakatan Rakyat, sehinggalah ditegur dan ‘diperbetulkan’ oleh Muktamar PAS.

Hakikatnya, menurut Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an Hadi begitu berpengaruh dan dianggap pemimpin yang mempunyai hala tuju jelas dalam PAS tetapi pandangan dan pidato presiden PAS itu “sudah hilang stim”. Ada pihak menganggap banyak juga tindak-tanduknya tidak datang daripada Hadi sendiri tetapi “disuap dalam mulutnya’. Contoh yang paling jelas, ialah mengenai idea kerajaan perpaduan.

Kata Dr Aziz Bari: “Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel ‘Amanat Hadi’). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?”

Tokoh PAS itu kini benar-benar “hilang stim” walaupun hakikatnya sebelum era reformasi (1998) pun Hadi sudah tidak ada peranan yang penting apabila menjawat jawatan naib presiden saja dan kemudian timbalan presiden.

Dan apabila wujudnya suasana politik baru selepas ‘kejatuhan sokongan kepada BN’ melalui pilihan raya umum 2008, Hadi semakin kurang pengaruh dan menjadi pengikut sahaja kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan sekadar pengikut tetapi Hadi tidak memainkan peranan sewajarnya pada era “politik baru” Pakatan Rakyat.

Kegagalan bertindak untuk menonjolkan diri seiring dengan Anwar dan Lim Kit Siang dan sebagai “tokoh nombor satu” PAS diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan Mustafa Ali. Kata Dr Aziz Bari: “”Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

Hadi juga tidak dapat menyesuaikan dirinya dalam suasana politik baru apabila hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti “PAS untuk semua” dan “negara berkebajikan”.
Hadi dikatakan masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu.

Persoalannya, salahkah isu Melayu-Islam terus diperjuangkan?

Atau kritikan dan mencari kelemahan terhadap Hadi ini sengaja ditimbulkan bagi membuka ruang kepada pemimpin tertentu melonjak naik selepas gagal melakukannya melalui muktamar.

Atau juga apakah ini persediaan untuk kempen terancang menjatuhkan Hadi pada muktamar akan datang supaya PAS dilihat melakukan penggulingan terhadap Presidennya melalui saluran yang demokratik dan dibenarkan!

WAHAI UMNO – AMBILLAH KESEMPATAN KETERBUKAAN HADI

Posted in hadi, Muhyiddin, PAS on July 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pedulikan Nik Aziz. Ambillah kesempatan daripada sikap terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Usaha yang baik, lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan perpaduan dan syiar Islam perlu dijalankan terus.

Pintu sudah dibuka. UMNO hanya perlu meminta izin untuk masuk.

Semalam di Kuala Krai beliau mengulangi PAS tidak akan menutup pintu bagi berbincang dengan UMNO dan pihak-pihak lain mengenai Islam.

Katanya, walaupun pakatan pembangkang berusaha mengukuhkan hubungan kerjasama mereka, namun perbincangan mengenainya dengan semua pihak termasuk UMNO selaku parti yang menerajui pemerintahan perlu terus dibuka.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cabaran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya PAS membuktikan kenyataan mereka yang mengatakan UMNO menolak syiar Islam.

Pada 7 Julai lalu, pada ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kerajaan perpaduan telah terkubur tetapi nada yang sedikit berbeza diungkapkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas berceramah di Kampung Sok mengatakan parti itu sedia berbincang dengan UMNO untuk kebaikan rakyat di negeri ini.

Rabu lalu sewaktu berceramah di kubu kuat PAS itu, Muhyiddin menegaskan bahawa UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 terlebih dahulu memperjuangkan syiar Islam daripada PAS dengan memperjuangkan kemerdekaan negara yang juga tuntutan fardu kifayah.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyebut mengenai asas dan tujuan penubuhan UMNO yang antara lain menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

Sikap Hadi berbeza dengan sikap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz yang tidak berminat menjawab cabaran itu.

Hadi berkata, perbincangan mengenai Islam haruslah berlandaskan tuntutan sebenar ajaran al-Quran dan hadis.

”Kita adalah satu bangsa satu agama tapi mestilah kita melaksanakan Islam dan sebab itu kita membuka pintu untuk berbincang dengan UMNO mengenai Islam berdasarkan al-Quran dan hadis.

”Supaya mana yang diucapkan dalam pakatan untuk mengukuhkan pakatan, dalam masa yang sama dibenarkan kita berbincang dengan semua pihak termasuk dengan UMNO dan kita mahu ruang ini dibuka,” katanya selepas memberikan ceramah di Kampung Chuchoh Puteri A di Kuala Krai.

Abdul Hadi berkata, PAS menyambut baik untuk berbincang dengan semua pihak walaupun pada masa yang sama terikat dengan kerjasama yang ada dalam pakatan pembangkang.

HADI – MELAYU MASIH DI HATINYA?

Posted in hadi, Melayu, PAS on July 9, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pagi kelmarin (Selasa), secara kebetulan saya terserempak dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, ketika ke Kuala Lumpur kerana urusan pejabat.

Saya menegurnya dan dia menyambut baik salam saya. Dalam kapal terbang Penerbangan Malaysia itu beliau duduk di depan saya dan kami tidak bertegur sapa.

Turun di lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kebetulan kami beriringan.

Saya percepatkan perjalanan dan meninggalkan Datuk Prof Alias Daud, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan rakannya. Tujuannya adalah untuk bertanyakan sesuatu kepada Hadi.

Saya menanya beliau kenapa PAS menolak perbincangan untuk tujuan perpaduan seperti disarankan oleh UMNO?

Beliau lantas bertanya saya kerja di mana dan menuju ke mana? Saya katakan kepadanya saya penulis blog dan tinggal di Selayang.

Sambil berjalan beliau mengatakan hairan dengan sikap sesetengah orang Melayu yang menolak persefahaman sesama Melayu.

Saya dapat dengar dengan jelas perkataan Melayu bukan Islam.

Katanya lagi, kalau orang bukan Melayu boleh duduk semeja, kenapa orang Melayu sebaliknya?

Saya katakan lagi kenapa beliau sendiri menolak kerajaan perpaduan dan ‘tunduk’ kepada desakan pemimpin lain dalam PAS sedangkan beliau mulanya yang mencadangkannya?

Selain itu beliau adalah Presiden PAS dan kenapa tunduk kepada desakan sesetengah pihak dalam PAS sendiri?

Beliau merenung muka saya. Senyum tetapi tidak menjawab.

Beliau meminta diri untuk ke tandas yang kebetulan ketika itu kami betul-betul berdiri di hadapan tandas pertama pada laluan menuju ke tempat keluar KLIA itu.

Dr Alias dan rakannya menghampiri saya. “Apa dibualkan?”

Saya katakan kepada mereka soalan dan jawapan. “Berani tanya Tok Guru macam tu?” tanya rakannya.

Saya senyum dan terus melangkah.

Saya berusaha memahami jawapan Hadi khususnya perkataan Melayu yang beliau katakan. Saya tertarik dengan kata-katanya mengenai kesediaan bukan Melayu berbincang walaupun lain parti dan fahaman.

Namun persoalan tetap ada di kepala – “Hadi bercakap sebagai orang Melayu Islam atau hanya orang Islam (bukan orang Melayu) .

Saya berfikirkan sebegini dengan merujuk kepada sikap dan pandangan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang mengeluarkan kata-kata “Melayu buat apa?” atau Jadi Melayu buat apa?

Pada Nik Aziz, Melayu tidak penting tetapi Hadi lain pula sikapnya.

Apakah perbezaan mengenai Melayu ini ketara sekali dalam PAS

PAS TIDAK BOLEH JADI PARTI ISLAM?

Posted in hadi, Parti, PAS, Ulama on June 8, 2009 by Hambali Abd Latiff

PAS tidak akan mampu menjadi parti Islam jika terus bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Ini kerana beberapa perjuangan PAS – negara Islam dan Hudud – dan terbaru kerajaan perpaduan akan dibantah DAP dan PKR.

Lebih memburukkan, ada pemimpin PAS yang jelas dan terang-terangan menentang gagasan Presiden parti untuk menggerakkan kerajaan perpaduan.

Jika pun tidak sampai kepada perbuatan sabotaj tetapi penentangan itu tidak akan membawa PAS ke mana-mana.

PAS boleh berbangga ia menang pilihan raya tetapi tidak mungkin dihormati sebagai parti yang memperjuangkan Islam kerana baginya kuasa dan menang pilihan raya mengatasi segala-galanya.
Yang pasti, isu idea kerajaan perpaduan muncul semula semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-55 yang berakhir semalam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengalu-alukan kemenangan pro-kerajaan perpaduan dalam pemilihan PAS semalam menjadi petanda ramai perwakilan parti itu memikirkan kepentingan umat Islam dalam kerangka yang lebih luas.

“Dalam ertikata lain banyak pihak yang memikirkan Islam sebagai panduan politik, bukan mempolitikkan Islam,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada mStar Online hari ini.
Nasharudin dilihat sebagai kumpulan yang mendokong kepimpinan pro-muzakarah dengan Umno menang dengan majoriti 199 undi menewaskan dua calon, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dikaitkan dengan kumpulan ‘Erdogan’ dalam PAS.

Katanya, keputusan pemilihan itu PAS juga menggambarkan trend kepimpinan golongan ulama dalam PAS menguasai jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan berterusan selaras dengan gagasan kepimpinan ulama yang dibentuk lebih dua dekad lalu.

Malah ia juga mencerminkan usul Dewan Ulama PAS Khamis lalu yang mahukan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan salah satu kerusi Naib Presiden diperuntukkan kepada golongan ulama.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memberi penjelasan mengenai konsep kerajaan perpaduan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Nasharudin berkata, PAS tidak akan menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN)dan beliau yakin kerisauan di kalangan pemimpin Pakatan akan dapat diselesaikan setelah Hadi memberikan penjelasan kepada mereka.

Perbincangan antara PAS dan Umno bukanlah ke arah perkongsian kuasa tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Idea itu turut mendapat bantahan perwakilan PAS sendiri yang tidak bersetuju dengan perbincangan antara parti itu dan Umno.

Selagi PAS tidak dipimpin oleh Datuk Husam Musa yang disokong Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS akan terus bergolak dan usaha menjadikan kerajaan perpaduan sebagai realiti tidak akan tercapai.

Ini kerana Husam dan Nik Aziz yang ‘rapat’ dengan Anwar tidak akan memberikan ruang kepada gandingan kepimpinan PAS merealisasikan usaha itu.

Mursyidul Am PAS itu secara jelas dan bersuluh menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

“Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan,” kata beliau semalam.

Bercakap dalam ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan parti itu telah mengambil ketetapan untuk menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Saya tak faham macam mana (timbul)… kita sudah buat keputusan di Ipoh tahun lalu, dan kita menyokong Pakatan Rakyat,” katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu jelas bercanggah dengan pandangan Abdul Hadi yang terus menaruh keyakinan bahawa cadangan pembentukan kerajaan perpaduan akan tetap diterima satu hari nanti.

Selain itu Nik Aziz turut membantah sebarang usaha sama atau rundingan bersama Umno yang bermatlamat untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa.

Biarpun Hadi sudah menyatakan akan menerangkan segala-galanya mengenai kerajaan perpaduan, DAP dan PKR jelas tidak sabar untuk bertanyakan PAS mengenai perkara itu.

Tidak hairanlah sekiranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP mahu PAS menjelaskan pendirian parti itu mengenai isu kontroversi idea penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan kerjasama Umno-BN.

Mesej jelas DAP ialah ia mahu supaya perkara itu dibincang dan diperhalusi pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan datang.

Hadi dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 Jumaat lalu yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya, hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan sahaja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin Umno sendiri.

HADI TIDAK BERKUASA DALAM PAS

Posted in hadi, Nik Aziz, PAS on March 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Jelas sudah bahawa perpecahan dalam PAS mengenai isu bekerjasama dalam konteks kerajaan campuran UMNO/BN-PAS menyerlah.

Juga jelas, selagi ada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ia tidak akan berlaku.

Dengan kata lain, perpaduan umat Islam UMNO-PAS tidak akan berlaku selagi Nik Aziz ada dalam PAS.

Ini kerana PAS bukan diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi oleh Nik Aziz.

Musyridul Am PAS itu sudah menyifatkan dirinya sebagai nakhoda kapal dalam kepimpinan parti itu.

Beliau turut mengingatkan presidennya, Hadi, agar berbincang dengan beliau dahulu sebelum membuat keputusan mengenai penubuhan kerajaan campuran.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau tidak mahu terdapat ramai nakhoda dalam satu kapal yang mengeluarkan arahan berbeza sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti dan menjejaskan kredibiliti PAS.

Nik Aziz mengulangi pendiriannya sebagai ketua tertinggi PAS bahawa beliau menolak cadangan Hadi itu atas alasan ia sudah diputuskan pada Muktamar Agung PAS di Ipoh tahun lalu.
“Saya Mursyidul Am umpama nakhoda, kalau tukang sauh nak jumpa, saya tak boleh tolak, kena jumpa. Kalau tukang layar nak jumpa tak boleh tolak, kalau Haji Hadi nak jumpa pun saya tak boleh tolak,” katanya.

Baginya, jika ramai pemimpin PAS yang menggesa untuk penubuhan kerajaan campuran dengan BN, maka perlu ada satu platform yang khusus untuk membincangkan perkara itu dengan teliti.

Kenyataan Nik Aziz ini membuktikan PAS ‘rigid’ dengan sebarang keputusan muktamarnya dan tidak akan mengubahnya biarpun keadaan berubah.

Kalaupun perpaduan umat Islam memerlukan tindakan segera, PAS tidak akan melakukannya jika muktamar berbuat demikian.

Demokrasi? Ya tetapi tidak mengikut keperluan semasa!

Kenyataan bahawa beliau sedia berbincang dengan Hadi mengenai isu menubuhkan kerajaan campuran antara pakatan pembangkang dan BN hanya untuk menyedapkan hati sahaja.

“Saya tetap dengan pendirian asal saya, tidak bersetuju dengan cadangan itu. Kalau hendak juga hubungan kerjasama itu, (PAs) kena adakan mesyuarat khas lain membincangkan khusus tentang perkara itu,” katanya.

Itulah sikap keras dan tidak mahu bertolak ansur Nik Aziz.

Beliau berpendirian sedemikian mungkin kerana serik dan menganggap ditipu oleh BN ketika wujudnya kerjasama antara UMNO-PAS di Kelantan pada 1974 hingga 1978.

Namun, bagi saya ada perkara lain sebenarnya kenapa Nik Aziz bersikap demikian.
Saya tidak melihat kenyataan Nik Aziz sebagai kenyataan daripadanya semata-mata.

Ada orang di belakang Nik Aziz yang tidak mahu wujud kerajaan campuran. Ini kerana kalau ada kerajaan campuran orang yang menyokong Anwar Ibrahim akan kehilangan segala-galanya.

Orang ini berharap sangat akan menjadi Menteri Besar dan kalaupun tidak ‘memerintah Kelantan’, beliau amat teruja dengan Anwar dan mempunyai keyakinan penuh bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menjadi Perdana Menteri.

Apa lagi dengan serangan bertalu-talu terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak sekarang, beliau semakin ‘meroyan’.

Kegilaannya untuk menjadi menteri di bawah kerajaan pakatan pembangkang begitu menyerlah apabila orang ini asyik ‘ikut bontot’ Anwar, malah menjamin Anwar menang di Permatang Pauh pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Dengan kenyataan Nik Aziz beliau nakhoda, jelas Nik Aziz akan mempertahankan orang ini untuk menjamin beliau akan meningkat .

Tanda-tanya jelas bahawa jika Hadi ‘gagal memimpin PAS dengan baik’, orang yang dipersiapkan oleh Nik Aziz ini mungkin ‘melanggar Hadi’ pada pemilihan PAS Julai depan.

Kita tunggu dan saksikan bagaimana pertelingkahan Nik Aziz-Hadi ini dipenghujungnya.