Archive for the Politik Wang Category

BN AKAN HILANG PUTRAJAYA JIKA…

Posted in Politik Wang, UMN O on August 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kini persoalan bukan lagi 7-0 atau 8-0 tetapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu cepat memperbaiki imejnya jika Putrajaya mahu dikekalkan oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

Pertambahan pengundi untuk BN atau kekurangan undi untuk pembangkang tidak penting. Kalaupun pembangkang menang dengan lebih satu undi atau lebih satu kerusi seperti yang berlaku di Kelantan sebelum pilihan raya umum lalu, pembangkang tetap berkuasa.

Janganlah pemimpin BN dan UMNO masih dibuai mimpi bahawa mereka masih mendapat sokongan. Ya memang ada sokongan tetapi sokongan kepada pembangkang lebih besar.

Juga tidak ada gunannya mengatakan undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008 itu, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi. Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

Kemenangan calon Pas, Mohd. Salleh Man, 52, semalam bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi menunjukkan pembangkang kini sukar ditumbangkan. Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu memperolehi 9,618 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi.

Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir semalam. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Yang pasti, setiap kali pilihan raya kecil, jentera kerajaan Pusat akan dikerahkan dengan tawaran-tawaran menarik yang kadangkalanya ‘menjemu dan meluat’ mendengarnya.
Persoalan kini, sekiranya pembangkang sukar ditumbangkan apakah kerusi BN yang ada sekarang boleh dipertahankan daripada ditumbangkan?

Selepas kalah demi kalah – dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu yang dipimpin Datuk Seri Mohd Najib Razak dan diambil alih Tan Sri Muhyiddin seperti di Manek Urai dan terbaru di Permatang Pasir – BN kena merancang dan melihat apa sebenarnya kemahuan rakyat.

Memang benar kalau Salleh menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan pakatan poembangkang kerana ternyata dalam keadaan berdepan dengan jentera besar BN, pembangkang yang kerdil tetap mencapai kemenangan.

Faktanya apa?

1. Apakah kepimpinan Najib belum boleh diterima rakyat? Apakah dengan kekalahan di Manek Urai dan Permatang Pasir membuktikan endorsement daripada rakyat untuk Najib belum ada?
Soalan mudah – beranikah Najib membubarkan Dewan Rakyat sekarang untuk meminta mandat baru daripada rakyat dalam kedudukan sebegini?

Jika belum bersedia, Najib dan pasukannya perlu mencari formula baru selain 1Malaysia sebagai penawar hati rakyat yang semakin keras membatu. Penawar ini penting kerana jika rakyat masih keliru atau kelabu dengan gagasan 1 Malaysia, penjelasan dan dasar-dasar jelas perlu diperkenalkan segera.

Persoalannya, apa untungnya rakyat melalui gagasan ini? Perpaduan? Tiada 1Malaysia pun rakyat sudah bersatu dengan meletakkan Rukun Negara sebagai asasnya. Orang Melayu terutamanya daripada UMNO tetap tertanya-tanya apa jaminan 1Malaysia untuk masa depannya? Yang jelas ialah bukan Melayu menggunakan 1Malaysia untuk ‘menuntut’ bermacam-macam dan orang Melayu semakin rasa terpinggir.

2. Calon BN sering ada masalah. Pada pilihan raya kecil, faktor calon menjadi perkara utama dan jika ada masalah – apa juga sama ada peribadi, penerimaan rakyat tempatan atau kepimpinan – akan menyukarkan jentera untuk berkempen.

Apabila calon dipertikaikan dalam apa juga aspek, akan menjadikan pengundi serba salah, apalagi apabila pembangkang menggunakan kelemahan itu untuk mempertikaikan kewibawaan calon. Sukarkah BN mencari calon yang benar-benar sesuai untuk diketengahkan? Apakah faktor kepemimpinan bahagian terus menerus menjadi penentu dalam memilih calon?

Rasanya dengan memilih pemimpin bahagian ada banyak masalah kerana mereka ini bertanding dan terpaksa melakukan pelbagai usaha untuk menang. Lebih memburukkan keadaan, jika ada salah laku ketika pemilihan, ini akan turut menyumbang kepada kritikan dan pemulauan.

Sudah sampai masanya calon dipilih kerana peribadinya baik dan bersih dan bahagian UMNO atau apa juga komponen parti BN hendaklah akur kepada faktor peribadi yang baik dan bersih.
3. Dengan pembangkang menjadikan ‘pembunuhan watak atau karakter’ sebagai strategi mereka dan dengan soal dalam kain pun akan didedahkan, calon UMNO dan BN hendaklah jangan meletakkan calon yang mudah dijadikan sasaran.

Dengan pembangkang kini menyerang peribadi atau sengaja mencipta dan memperbesarkan soal peribadi, UMNO dan BN tidak boleh lagi cuba melindungi atau pejam sebelah mata dengan memilih juga calon yang diketahui ada masalah peribadi.

Dalam pilihan raya terbaru ini jelas isu peribadi sukar untuk dipertahankan dan sehingga sekarang isu sama ada calon BN berkahwin dua atau seorang tetap diperkatakan. Dan pembangkang memainkan isu calon BN ‘kononnya’ mengabaikan isteri keduanya!

4. Penawaran projek atau pembangunan sekadar jalan, jambatan, bantuan dan sebagainya bukan lagi menjadi ‘umpan’ yang mudah dimakan oleh pengundi. Benar pengundi mahukan pembangunan tetapi lihat sahaja di beberapa kawasan, Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang yang ‘goyang kaki’ pun boleh menang. Kenapa?

Pembangkang melalui PAS, DAP dan PKR mampu menggambarkan pemimpin mereka lebih baik dalam konteks peribadi – bersih, beriman, mesra rakyat, anak tempatan dan banyaklah lagi faktor lain mengikut kesesuaian kawasan – yang UMNO dan BN perlu benar-benar teliti untuk menjamin calon yang diketengahkan benar-benar diterima rakyat setempat.

5. Akhirnya UMNO dan BN hendaklah diperbetulkan arah perjuangannya – bukan untuk kepentingan mereka yang memimpin tetapi rakyat jelata yang masih dahagakan pembelaan daripada pelbagai segi – khususnya keperluan sebagai manusia – bukan sekadar keperluan asas dan pembangunan semata-mata.

Mungkin pendapat saya ini ‘kurang tepat’ bagi sesetengah pemimpin UMNO dan BN yang masih khayal kerana mereka dibuai pendokong yang terus menerus mengatakan ‘ ok bos, semuanya baik bos’.

Hendak tahu bagaimana sukar untuk bangkit apabila sudah kalah, tanyalah mereka yang sudah kalah dan asyik kalah pada setiap pilihan raya.

Advertisements

BUATLAH KERJA LEMBAGA DISIPLIN!

Posted in Politik Wang, UMNO on April 1, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kenyataan bahawa beberapa pemegang jawatan tinggi Umno kini disiasat susulan aduan berlaku amalan politik wang dua tiga hari menjelang perhimpunan agung parti itu minggu lalu tidak lagi mendatangkan kebaikan kepada UMNO.

Lembaga Disiplin tidaklah usah membuat kenyataan sebegini kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada UMNO.

Dengan kata lain, Lembaga Disiplin patut lakukan siasatan dan jatuhkan hukuman setimpal, bukan membuat kenyataan untuk mencari publiti murahan.

Bagi saya kenyataan Ahli Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas bahawa pemegang jawatan tinggi sedang disiasat hanya gimik politik yang merugikan UMNO.

Kata-kata bahawa: “Saya tak ariflah kes yang mana disiasat sekarang tapi saya dengar memang ada kes yang sedang disiasat. Sampai hari ini boleh tahan jugalah (bilangannya). Berkaitan dengan jawatan tinggi pun ada banyak.”, bukan sesuatu yang positif.

Beliau ditanya sama ada masih terdapat laporan politik wang yang disiasat oleh lembaga itu walaupun selepas perhimpunan agung Umno itu berakhir Sabtu lalu.

Yang menghairankan apabila ditanya sama ada kes berkenaan membabitkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, beliau cepat-cepat mengelak dengan mengatakan sekiranya terdapat bukti sesiapapun akan dikenakan tindakan.

“Sesiapapun kita akan dakwa kalau ada bukti sahih yang teguh, tapi kalau bukti tak kuat, susah. Baik laporkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Lembaga Disiplin,” katanya.

Kerana kenyataan dan pendirian yang berubah-ubah Lembaga Disiplin, adalah baik lembaga itu disusun semula seperti disarankan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan am mengenai siasatan terhadap orang penting UMNO akan membuka ruang kepada kritikan oleh pemimpin pembangkang dan ini akan merugikan UMNO apa lagi ketika UMNO dan Barisan Nasional berdepan pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air.

Saya menyokong penuh pendirian Pergerakan Pemuda Umno yang tidak mahu siasatan Lembaga Disiplin terhadap beberapa pemimpin yang didakwa terbabit dengan politik wang menjelang pemilihan minggu lalu mengganggu tugas jentera Barisan Nasional (BN) di tiga pilihan raya kecil yang berlangsung sekarang.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim, berkata urusan dalaman Umno itu tidak seharusnya menjadi topik perbincangan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil berkenaan kerana ia tidak langsung membawa keuntungan kepada BN.

“Saya harap pucuk pimpinan pun tak perlulah panjangkan-panjangkankan dan kalau ada laporan, buatlah siasatan.

Kita tak mahu itu menjadi topik perbincangan kerana kita ada urusan lebih besar untuk memastikan BN menang di ketiga-tiga pilihan raya kecil yang sedang berlangsung,” katanya semalam.

ELAK UMNO JADI LIPATAN SEJARAH

Posted in Najib, Pemilihan UMNO, Politik Wang on March 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Umno tetap disayangi oleh orang-orang Melayu.

Kekurangan sokongan ketika pilihan raya Mac 2008 lalu bukan penyudah segala-galanya.

Kenapa mengukur kekuatan UMNO hanya pada sekali pilihan raya? Kenapa tidak ukur keputusan lain ketika krisis 1988 dan 1998, iaitu pada pilihan raya umum 1990 dan 1999?
Apakah keputusan pilihan raya 1990 begitu teruk hingga membawa kepada krisis parti? Apakah ia menyebabkan wujudnya desakan menukar pemimpin?

Kenapa ketika itu UMNO terus mengekalkan kuasa dan hanya Kelantan sahaja berada di pihak PAS?

Dan pada pilihan raya 1999, Terengganu turut jatuh tetapi UMNO kembali tegak di Terengganu pada 2004?
Jawapannya ialah, jangan meletakkan kesalahan kepada UMNO tetapi pemimpin dan individu dalam UMNO.

Sebenarnya yang menyebabkan UMNO goyah adalah mereka yang keluar UMNO dan tidak berjuang menegakkannya dari dalam.

Pilihan raya 1990 tergugat kerana keluarnya Tengku Razaleigh Hamzah membentuk Parti Semangat 46 dan pada pilihan raya 1999, UMNO tergugat kerana tercampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian menubuhkan Parti Keadilan Rakyat.

Jika diambil pilihan raya 1990, 1999 serta pilihan raya 2008 sebagai petunjuk, semuanya menunjukkan bahawa krisis kepimpinan yang menyebabkan rakyat marah kepada UMNO.

Lebih buruk, pada pilihan raya 2008, banyak petunjuk menyerlahkan bahawa sesetengah individu (pemimpin) yang menyebabkan rakyat menyampah. Dengan kata lain, hanya segolongan pemimpin UMNO yang dibenci rakyat bukan semua. Inilah yang menyebabkan kekalahan.

Tetapi perhatikan bagaimana UMNO pulih pada pilihan raya 1995 dan juga 2004 selepas berlakunya krisis dalam parti.

Apakah sejarah tidak akan berulang bahawa pada pilihan raya akan datang, UMNO akan kembali dijulang?

Saya yakin dengan UMNO kembali teguh melalui pemilihan parti kali ini, UMNO akan melonjak kembali pada pilihan raya akan datang.

Jadi, UMNO sebenarnya tidak ditolak oleh rakyat, khususnya orang Melayu. Malah tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat biar[pun dinafikan majoriti dua pertiga.

“Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu.

“Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang akan dinobatkan sebagai Presiden UMNO esok.

Untuk melangkah ke masa depan, Najib juga berkata, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat.

Tegas beliau, Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang.

” Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan,” katanya.

Tambah Najib, “jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘beri salah, tidak beri kalah’.”

“Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi… Ini bukan satu gurauan.

“Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini,” katanya.

Juga. Menurut beliau, “Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang antiidea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda.”

Katanya, Umno adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka.

“Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

“Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain.

“Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyeru bahawa ahli-ahli Umno mesti juga memastikan amalan jelek cantas-mencantas dan sekat “menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga.”

Jelas ingatan Najib pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC bertajuk Menakhoda Zaman sangat penting.

Ia adalah peringatan untuk lebih 2,500 perwakilan UMNO yang akan mengundi hari ini dan esok untuk pelbagai jawatan parti.

Pemilihan Umno kali ini yang meliputi semua peringkat bakal menentukan masa depan dan survival parti itu untuk terus mencipta sejarah ataupun sebaliknya.

Ketika menyampaikan ucapannya yang bertemakan Menakhoda Zaman, Timbalan Presiden Umno ini berkata, tugas para perwakilan tahun ini adalah yang paling berat dalam sejarah Umno.

Hakikatnya benar sekali kata Najib, bukan sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu sahaja yang akan dipertimbangkan tetapi yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri.

Iangatlkah, keputusan yang bakal perwakilan UMNO ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti.

Ia sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

ISU PERHIMPUNAN AGUNG UMNO MELETUP LAGI.

Posted in Politik Wang, UMNO on March 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pukul 2 petang ini, Ketua Umno bahagian Muar, Datuk Kadar Sulaiman dan Datuk Mazlan Harun dari Selangor akan menemui Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk memohon supaya perhimpunan agung Umno minggu ini ditunda.

Ia perlu ditunda sehingga selesai siasatan berhubung rasuah politik berkaitan dengan pemilihan parti.

Kadar dan Mazlan dikatakan akan disokong oleh sekumpulan perwakilan Umno untuk menemui ROS.

Kadar mendakwa, 42 orang daripada perwakilan tidak layak menghadiri perhimpunan agung kali kerana muflis.

Apakah kesan pertemuan itu nanti?

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengesahkan bahawa Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Khamis ini.

Larangan tersebut dimuktamadkan Jawatankuasa Pengurusan Parti berlandaskan prinsip duluan seperti mana yang diputuskan terhadap kes-kes yang melibatkan situasi serupa dengan Mohamad Norza.

Mohamad Norza didakwa atas kesalahan rasuah di Mahkamah Majistret Temerloh, atas dua tuduhan bagi memenangi jawatan pada pemilihan UMNO peringkat pusat.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Norza boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.
Mohamad Norza mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Itu kes Norza dan bagaimana kes Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang disiasat SPRM dan calon Ketua Puteri UMNO, Ida Rahayu Mohd. Noor yang turut dikaitkan dengan politik wang?

Sempatkah Lembaga Disiplin bermesyuarat sebelum Khamis ini?

Dan bagi yang bersiap sedia untuk bertanding, apakah ada kesan daripada pertemuan mereka yang mahu perhimpunan agung ditangguhkan? Kita tunggu!

Mereka ini dikatakan akan meminta ROS menjelaskan bagaimana Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno, dibenarkan hadir dan mengundi dalam perhimpunan agung Umno kali ini,

Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden apabila didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno mengikut perkara 10.1 tataetika ahli umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejennya terlibat dalam sogokan politik.

Ketiga-tiga ejen Mohd Ali itu juga didapati bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun.

Khairy juga didapati bersalah mengikut perkara yang sama, tetapi hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Menurut Malaysiakini, Kadar berkata, menurut perlembagaan parti, apabila kedua-duanya didapat bersalah, maka mereka tidak boleh hadir mesyuarat parti.

Sementara itu, Lembaga Disiplin memberi amaran akan membatalkan kemenangan calon yang memenangi sebarang jawatan dalam pemilihan Umno, Khamis ini, jika mereka kemudian terbukti terbabit dengan politik wang.

Ahli Lembaga Disiplin, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata, tindakan tegas dengan melucutkan jawatan yang dimenangi mana-mana calon akan dilakukan jika ada bukti mencukupi untuk mensabitkan mereka.

“Ketika ini adalah tempoh kritikal sebelum pemilihan. Jaga tingkah laku, berhati-hatilah khususnya dalam dua tiga hari ini kerana Lembaga Disiplin tetap memantau mereka sama ada terbabit dengan politik wang atau tidak. Jika mereka didapati bersalah, kami akan menggugurkan kemenangan dan jawatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas tamat mesyuarat Lembaga Disiplin di sini, semalam. Mesyuarat itu dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Megat Najmuddin berkata, pasukan Pemantau Lembaga Disiplin memantau keseluruhan perjalanan pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno yang diadakan selama lima hari bermula hari ini.

BANYAK BELUM TERJAWAB

Posted in Politik Wang, rasuah, UMNO on March 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Persoalan awal sudah terjawab. Lembaga Disiplin UMNO sudah memutuskannya.
Tetapi dah jadi dengan lebih kurang 870 aduan lagi?


Saya terima sms daripada seseorang menggelarkan dirinya sritribuana. Saya rasa pengirim ini seorang pemimpin UMNO yang menjadi ‘mangsa’ akibat perlakuan rasuah politik di bahagiannya.

Persoalan beliau ialah:

Hasil mahsul keputusan Lembaga UMNO telah dengan sendirinya mengamit beberapa persoalan;

1.Dah selesai kah semua 900 aduan?

2. Hukuman dan mangsa-mangsa LDP semacam selektif sahaja? Sebabnya ialah, kesalahan sama,satu dilarang bertanding,yang satu lagi amaran. Tidak kah itu ‘double standard’ namanya? Menampakkan UMNO mengamal budaya ANTARA DUA DARJAT.

3. Apabila LDP mendapati ada elemen politik wang dan memperakuinya melalui hukuman(verdict)tak kira samada kena gantung atau amaran tak boleh bertanding dan amaran boleh bertanding(kelamkabut bentuk keputusannya)bermakna elemen rasuah sudah wujud.Sepatutnya LDP kena serahkan atau membuat lapuran kepada SPRM untuk diambil tindakan selanjutnya.

Persoalan juga ialah apakah satu kesalahan apabila ada elemen rasuah berlaku, orang yang mengetahuinya tidak melaporkan kepada SPRM. Melindungi Rasuah namanya tu.

Kata sritribuana, sedih melihat Ku Din nampak macam stress ‘gila’.

“Nampak macam ada sesuatu tekanan. Dari segi saikologi, itu lah potret seorang professional yang tertekan.Berada dipersimpangan samada melaksanakan keadilan atau membaca keputusan yang telah dirancang. YM Ku Din bukan seorang pelakun handalan macam penasihat undang-undang yang disebelahnya tu,” kata pengirim sms itu.

Bagi saya, yang menarik daripada apa juga keputusan Lembaga Disiplin ialah apa pun bagi kes-kes yang terlepas(tidak sangkut) Lembaga Disiplin juga harus memberi penjelasan dengan terperinci.

Ini bagi membolehkan ahli-ahli UMNO mengambil tindakan menyaman pelapur atas ‘tuduhan palsu’.

Pelapor-pelapor dengan ‘tuduhan palsu’ boleh dibawa ke Mahkamah kerana;

1.Mengaibkan si kena tuduh.

2.Mngelirukan ahli-ahli UMNO dari bahagian berkenaan

3.Ahli-ahli UMNO mempunyai ‘locus standi’untuk membersihkan nama baik bahagian.

4.Menghindarkan daripada ahli-ahli UMNO membuat sesuatu tuduhan berdasarkan fitnah,hasad dengki dan seumpamanya berleluasa dimasa hadapan.

5.Pelapur-pelapur palsu ini harus dinyahkan daripada UMNO kerana telah membawa budaya yang boleh menghancurkan UMNO.

Tugas dan tanggungjawab ‘pelapor palsu’lah membuktikan kebenaran laporan mereka di mahkamah kelak.

Dan sekirannya ‘pelapur palsu’ ini dapat membuktikan dimahkamah bahawa laporan mereka adalah benar dan mahkamah juga memutuskan ada kebenaran,vmaka Lembaga Disiplin harus bertanggungjawab kerana menjalankan tugas dengan cuai yang disengajakan.

Lembaga siasatan disiplin UMNO sewajarnya dikenakan siasatan oleh SPRM.

Apa komen pembaca dan pelayar?

MOHD ALI JADI KORBAN?

Posted in Politik Wang, UMNO on March 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tan Sri Isa Samad, bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung kerana kesalahan politik wang, mengulas hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Ali berkata : “Pengalaman digantung daripada Umno tak dapat nak digambarkan dalam bentuk perkataan mahupun lukisan”.

Mungkin mudah bagi pemimpin UMNO lain meminta mereka yang dikenakan tindakan bersabar tetapi tanyalah mereka yang pernah dikenakan tindakan umpamanya Isa atau Datuk Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak.

Selain itu, Datuk A Kadir Jasin pula bertanya apakah hanya dua ekor tupai sahaja yang gedebuk ke bumi?

Bagaimana dengan tupai-tupai lain yang juga menebuk buah (UMNO) dan merosakkannya?
Apakah akan ada lagi tupai-tupai yang akan ditembak di ranting UMNO yang semakin kering kini sebelum pemilihan UMNO minggu depan.

Jika tiada bermakna, Mohd Ali benar-benar dijadikan korban.

Persoalannya, apakah benar imej UMNO akan bersih dengan dua calon utama pertandingan Majlis Tertinggi Umno hujung bulan ini didapati bersalah mengamalkan politik wang (rasuah) dan melanggar disiplin parti oleh Lembaga Disiplin Umno?

Mana lagi tupai-tupai yang jelas menabur duit di atas dahan dan dapat dilihat dengan jelas, biarpun dari bawah?

Juga apa agaknya kesan keputusan lembaga berkenaan terhadap pilihan raya kecil Parlimen dan Dun yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kini sudah ada suara supaya mereka ini meletakkan jawatan. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat serta semua jawatan mereka dalam kerajaan.

Apakah Ketua Menteri Melaka yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden yang diharamkan bertanding jawatan berkenaan menjadi ‘kambing hitam’?

Beliau dikatakan tidak melakukan kesalahan itu secara terus tetapi melalui kerana tindak tanduk pegawai-pegawai yang berkempen bagi pihaknya.

Akibat daripada itu Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun dan dua pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil digantung keahlian UMNO selama tiga tahun kerana didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Saadun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil serta dua lagi pemimpin UMNO bahagian tersebut didapati bersalah di bawah Perkara 5.1.2, 5.5.1, 5.5.2 dan 5.6.1 Tataetika Ahli UMNO yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik.

Dua lagi pemimpin terlibat ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hassan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.

Lembaga Disiplin UMNO mendapati ketiga-tiga mereka telah melanggar Tataetika Ahli UMNO ketika berkempen untuk Mohd Ali yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Ekoran itu Mohd. Ali juga bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.- Utusan.

Lagi satu yang pelik ialah kesalahan sama turut dilakukan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda namun dia hanya diberikan amaran tetapi tidak diharamkan daripada bertanding.

Bagus juga Mohd Ali tidak membuat reaksi spontan. Beliau akan membuat kenyataan penuh di Melaka esok berhubung keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarangnya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau enggan mengulas lanjut kerana perlu meneliti dan mengesahkan keputusan berkenaan terlebih dahulu.

Calon Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Khir Toyo, berharap Mohd Ali akan segera mengemukakan rayuannya terhadap keputusan itu dan terpulang kepada jawatankuasa rayuan untuk menimbangnya.

“Badan disiplin ada tiga peringkat…pertamanya yang menyiasat, yang kedua yang mengadili, dan yang ketiga yang merayu. Jadi kita harap Datuk Seri Ali akan merayu dan harap rayuannya akan diterima,” katanya.

Seorang lagi calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, juga berharap Mohd Ali akan mengemukakan rayuannya.

“Kita akur dan hormat kepada keputusan Lembaga Disiplin,” katanya.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan lembaga berkata, beliau percaya Mohd Ali, sebagai seorang anggota parti yang setia, akan menerima keputusan Lembaga Displin dengan hati terbuka dan akan terus memberi sumbangan pada perjuangan parti.

“Ini keputusan Lembaga Displin. Kita hormati apa-apa keputusan mereka. Saya percaya (Mohd) Ali Rustam sebagai seorang ahli parti yang setia pada Umno akan juga menerima dengan hati terbuka (keputusan) dan akan terus memberi sumbangan pada pentadbiran dan perjuangan parti,” katanya di Kuala Lumpur.

Mudah untuk meminta mereka yang dikenakan hukuman bersabar atau redha dengan keputusan, namun hakikat sebenar ialah ia memang menyakitkan dan sayu.

Dengan penyingkiran Mohd Ali, pertandingan jawatan Timbalan Presiden adalah antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Muhd Taib.

Keputusan terhadap Mohd Ali sudah pasti tidak memuaskan hati penyokong-penyokongnya dan di Melaka esok dijangka aka nada perhimpunan besar.

Pengerusi lembaga, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, memberitahu sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur yang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bebas daripada segala tuduhan.

Dalam sidang akhbar itu, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan hasil penyiasatan membabitkan 29 orang ahli parti.

Sepuluh digantung keahlian selama tiga tahun bermula 12 Mac dan diberikan surat amaran.

Berikut adalah senarai 15 ahli Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan hari ini:

* Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan timbalan presiden)

* Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim (digantung 3 tahun)

* Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin (digantung 3 tahun)

* Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil, Saadun Basiron (digantung 3 tahun)
* AJK Umno Bukit Katil, Rosli Hasan (digantung 3 tahun)

* Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil, Zalina Ismail (digantung 3 tahun)

* Ketua Pemuda Umno Maran, Mohamad Najuib Mohd Shahaimi (digantung 3 tahun)

* Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad,
(digantung setahun)

* Ahli Umno Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Amran Mat (digantung setahun)

* Ahli Umno Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zin (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (amaran)

* AJK Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Zaili Besar (amaran)

* Naib Ketua Bahagian Paya Besar, Mohd Sohaimi Jusof (amaran)

* Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (amaran)


ALI RUSTAM KENA GANTUNG TIGA TAHUN?

Posted in Politik Wang, UMNO on March 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Siapakah gerangan yang tidak bernasib baik di kalangan anggota UMNO yang bertanding untuk jawatan penting parti itu?

Benarkah akan ada pemimpin kanan UMNO dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti berhubung kesalahan politik wang?

Segala-galanya dikatakan akan ditentukan pada pukul 4 petang ini.

Utusan Malaysia berkata semalam, desas-desus mengaitkan beberapa calon jawatan tertinggi UMNO diarah berbuat demikian mula tersebar luas sejak seminggu lalu.

Hari ini, akhbar itu dengan berani menyebut bahawa Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka akan digantung.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pula ketika diminta mengesahkan tentang adanya calon jawatan tertinggi dipanggil memberi keterangan hanya berkata:

‘‘Kalau saya tahu pun, saya tak akan beritahu awak.’’

Yang dibimbangi ialah akan ada ‘kambing hitam’ apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan kerana cakap-cakap mengatakan ramai lagi yang disyaki bermain politik wang.

Apakah Mohd Ali akan menerima nasib seperti Tan Sri Mohd Isa Samad?

Persoalannya, siapa ‘lepas’ dan ‘siapa sangkut’.

Apapun, semalam saya menerima sms daripada seseorang dari Bahagian Tanah Merah, Kelantan mengatakan antara mereka yang akan dipanggil termasuk Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Mohd Khir Toyo serta ramai lagi.’

Beliau berkata, pemimpin bahagian Tanah Merah turut dipanggil kerana disyaki mengamalkan politik wang.

Malaysiakini yang memetik akhbar berbahasa Cina telah menghantar ‘SMS alert’ hari ini yang mengatakan bahawa Lembaga Disiplin akan mencadangkan penggantungan keahlian seorang calon jawatan timbalan presiden Umno.

Menurut SMS tersebut, lembaga itu dijangka mencadangkan pemimpin tersebut digantung keahlian selama tiga tahun.

Tiga orang calon bagi jawatan tersebut ialah Naib Presiden Umno – Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam – dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Muhyiddin merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, manakala Muhd Taib adalah menteri kemajuan luar bandar dan wilayah. Mohd Ali adalah ketua menteri Melaka.

Khabar angin yang sama juga heboh diperkatakan di kalangan petugas media di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu.

Yang pasti Mohd Ali enggan mengulas khabar angin yang mengatakan ada calon timbalan presiden Umno sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno.

Mohd Ali juga enggan mengulas sama ada dipanggil mengadap atau menerima sebarang surat dari jawatankuasa itu.

Utusan Malaysia dengan beraninya mengatakan Mohd. Ali disebut-sebut antara pemimpin kanan UMNO yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang pada mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO, hari ini.

Difahamkan Lembaga Disiplin mungkin akan mencadangkan agar Mohd. Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden UMNO digantung keahlian setahun atau tiga tahun.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dijadual mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar pukul 4 petang esok di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur, selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun Mohd. Ali yang ditemui pemberita pada majlis pertemuan calon Majlis Tertinggi (MT) dan perwakilan di Hotel Bluewave, Shah Alam malam ini, tetap enggan mengulas perkara tersebut.

“Tanyalah Lembaga Disiplin,” katanya sambil menjelaskan pertemuannya dengan ketua-ketua UMNO bahagian di Melaka esok tiada kaitan dengan desas-desus tindakan Lembaga Disiplin itu.

Menurut beliau, pertemuan itu bagi membincangkan persiapan ke Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini.

Ditanya pula jika salah seorang calon Timbalan Presiden yang bakal dikenakan tindakan itu adalah dirinya, Mohd. Ali berkata: “Tak ada… tak ada, kerana itu saya datang (ke majlis bertemu perwakilan malam ini).”

Muhd Taib yang ditemui selepas majlis tersebut, menjawab ringkas: “Tak tahu…belum diumum secara rasmi.”

Bagaimanapun, beliau mencadangkan Lembaga Disiplin Umno supaya mengumumkan nama calon yang dikaitkan dengan politik wang sebelum bermulanya pemilihan Umno hujung bulan ini.

“Saya fikir elok diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Muhyiddin pula enggan mengulas mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, di Shah Alam, calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak mengiya atau menidakkan desas-desus beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin.

Beliau enggan mengulas perkara itu, sebaliknya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk mengumumkannya.

“Saya tidak cakap pasal ini, kita tunggu pengumuman Lembaga Disiplin esok,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata kegagalan mengumumkan hasil siasatan sebelum berlangsungnya pemilihan parti akan menyebabkan keadaan kelam kabut yang boleh merosakkan parti.

Beliau yang juga calon Naib Presiden berkata, cara terbaik ialah pengumuman dibuat sebelum pertandingan bagi memastikan keputusan lebih awal dapat diambil jika ada calon terbabit dengan gejala politik wang.

“Politik wang wujud dalam banyak parti politik, bezanya Umno dengan parti lain ialah tindakannya dilakukan secara terbuka lebih-lebih lagi dalam suasana perhimpunan agung.

“Siasatan dilakukan Lembaga Disiplin parti tidak seharusnya mendatangkan kemudaratan pada parti,” katanya.