Archive for the Kerajaaan Category

ALHAMDULLILAH…SYUKUR…

Posted in Kerajaaan, rasuah on July 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kerja kuat dan tidak mengira masa bagi kakitangan kerajaan tidak menjamin mereka akan mendapat pembelaan orang penting atau yang berkuasa di sesuatu kementerian.

Itulah yang menimpa Ketua Pengarah Tourism Datuk Mirza Mohammad Taiyab yang terumbang-ambing selama empat tahun, sehinggalah dibebaskan semalam.

Orang boleh lupa panas setahun tetapi akan mengingati hujan walau setengah sehari.

Ramai kawan-kawan yang menjauhi Mirza apabila beliau dituduh melakukan rasuah.
Perkaranya – menerima rawatan pergigian bernilai RM13,860 empat tahun lalu.

Kini ternyata Mirza tidak berlaku salah, namun empat tahun yang menyukarkan, termasuk digantung kerja atau menyakitkan.


BEBAS TUDUHAN RASUAH..Ketua Pengarah Tourism Datuk Mirza Mohammad Taiyab bersama ahli keluarganya sempat melambaikan tangan kepada penyokong beliau sebaik sahaja dibebaskan daripada tuduhan Foto THE STAR

Mirza mengakui setelah digantung tugas beliau berdepan dengan penghinaan akibat tuduhan tersebut.

Beliau digantung tugas sejak 13 Ogos tahun lalu dan beliau akan memutuskan langkah seterusnya apabila lembaga disiplin kementerian berkenaan bersidang.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia itu daripada tuduhan rasuah tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin berkata, pihak pendakwaraya telah gagal membuktikan kes terhadap Mirza.

Oleh itu, katanya, Mirza dilepas dan dibebaskan dari tuduhan tersebut.

Mirza, 52, dituduh menerima suapan RM13,860, daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media, di mana syarikat itu telah membiayai rawatan pergigian Mirza di Clinical Practise Prosthodontic.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di klinik itu di No.15, Tingkat Bawah, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, antara 17 Januari dan 26 Julai 2005.

Pada masa itu, Mirza adalah Timbalan Ketua Pengarah 1 di Kementerian Pelancongan, manakala abangnya, Mirza Mohd Tariq merupakan rakan pengurusan di syarikat Perunding Pakar Media.

Jika didapati bersalah, Mirza berdepan dengan hukuman dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.

Mirza berkata keputusan mahkamah itu membersihkan dirinya daripada sebarang tuduhan.

Advertisements

PASUKAN NAJIB TIDAK ADA MASA BERBULAN MADU

Posted in Kerajaaan, Najib on June 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kata Fuad Hassan, bekas orang kuat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kini dalam UMNO (tidak ikut Anwar Ibrahim ke PKR), UMNO perlukan ‘blood transfusion’.

Diharap dengan suntikan darah baru dapat memberikan tenaga dan kesegaran untuk beberapa lama lagi sebelum ia menghadapi persaraan wajib. Inilah yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang ke enam. Masanya tidak banyak cuma dua tahun.

Untuk itu pasukan Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak ada masa untuk berbulan madu diatas kejayaan lantikan.

Baca pendapat beliau yang dipetik daripada blognya.

UMNO: JANGAN MURUNG TERLALU LAMA Oleh Fuad Hassan (Dakwat & Kertas) ATTACKING IS THE BEST DEFENCE

UMNO perlu melakukan muhasabah diri mengapa ianya kurang mendapat sokongan rakyat dan ini pernah dinyatakan berkali-kali oleh ramai pihak.

Fitrahnya sebagai parti politik tua dan lama berkuasa ia terdedah kepada banyak kelemahan dan kekurangan sehingga jasa besarnya dilupakan.

Langkah dasar keterbukaan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri – menjadi pemangkin kepada pendedahan nanah UMNO, BN dan kerajaan yang menunggu masa untuk terbongkah keluar.

UMNO perlukan ‘blood transfusion’. Diharap dengan suntikan darah baru dapat memberikan tenaga dan kesegaran untuk beberapa lama lagi sebelum ia menghadapi persaraan wajib.

Inilah yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang ke 6. Masanya tidak banyak cuma dua tahun. Untuk itu pasukan DS Najib tidak ada masa untuk berbulan madu diatas kejayaan lantikan.

Disamping pasukan ini bekerja kuat untuk rakyat, mereka perlu sedar bahawa mereka sebenarnya dalam pertempuran persaingan dan permainan untuk menakluk kuasa. Adalah menjadi tanggungjawab utama mereka untuk mempengaruhi fikiran, perasaan, sikap dan perlakuan rakyat agar kembali menyokong perjuangan parti dan negara dalam pilihanraya yang ke 13.

Pendekatan defensif atau mempertahankan diri tidak akan membawa kemenangan. Yang penting cepat sedar terhadap kelemahan dan memperbaikinya segera dan bukannya bersugul-sugul untuk sekian lama tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan. Sekali kalah pilihanraya yang ke 12 sudah seperti negara di langgar garuda !!. Sepi dalam moral yang rendah dan tidak kurang yang cuba main selamat.

Ini masanya UMNO dan BN melakukan pendekatan aggresif. Mereka belum kalah total. ‘Attacking is the best defence’. Kerana ini adalah permainan politik untuk merampas atau mengekal kuasa kerana cita-cita seorang yang ingin menjadi Perdana Menteri yang tak kesampaian.

PKR dan PAS telah meletakkan prinsip bangsa dan agamanya di pintu belakang kerana ingin mengambil hati orang-orang bukan Melayu. Melalui Pakatan Rakyat mereka berjaya mencipta matlamat bersama dan hanya satu – tumbangkan BN.

Strategi mereka ternyata berkesan sebab mereka menyerang dan terus menyerang dari semua posisi dan sudut. UMNO tidak bernafas untuk menjawab. Semua institusi-institusi penting negara seperti Kehakiman, Polis dan SPR sudah dikunci mati oleh Anwar melalui menghilangkan kepercayaan rakyat kepadanya. Bukan semua tuduhan betul, tapi rakyat mempercayainya. Inilah politik.

Bertabur rentak langkah dan tari komponen BN kerana serangan dan fitnah separuh benar daripada PR. Sebenarnya BN memerlukan pahlawan muda dan berani untuk menghadapi serangan ini.

Belumpun lama PKR berkuasa, terlalu banyak kes-kes nyata di kalangan wakil-wakil rakyat mereka yang menyebabkan pilihanraya-pilihanraya kecil yang menyusahkan rakyat terpaksa diadakan. Tetapi nampaknya ini tidak dieksploit dengan kemas oleh BN dan isu-isu ini berlalu begitu sahaja tanpa dilihat sebagai satu kesalahan.

Dalam beberapa minggu lalu terlalu banyak ‘political drama’ yang kita tonton sehinggakan rakyat sudah mulai rasa muak dan jijik.

Dalam sejarah negara tidak pernah kita melihat kaum India yang hanya merupakan 1.8 juta penduduk negara ini ‘naik minyak’ sampai begitu rupa sehingga sanggup memaki hamun pasukan keselamatan negara dan pimpinan yang diistilahkan oleh Hindraf sebagai ‘kerajaan Melayu-Muslim’.

Jika saya diminta menyebut satu usaha positif DS Najib maka ianya adalah kegigihan beliau menangani krisis ekonomi negara dan sudah ada tanda-tanda positif kearah tersebut. Saya percaya jika usaha ini berjaya rakyat akan membuat penilaian semula terhadap tanggapan salah mereka sebelum ini.

Pendekatan beliau untuk tidak melayan provokasi-provokasi Anwar telah menobatkan beliau sebagai PM yang ke 6 lebih awal daripada sepatutnya. Ketenangan beliau yang bersahajalah yang membawa kerajaan Perak tumbang kepada BN berbanding kehebohan Anwar melalui Rancangan 16 September yang gagal.

Kita selalunya merancang, tetapi kita selalu lupa rancangan Allah kepada kita.

SIAPA MEMERANGKAP, SIAPA TERPERANGKAP – ANWAR, NIK AZIZ KETAWA BESAR

Posted in Kerajaaan, PAS, perpaduan, UMNO on June 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan Perpaduan Tutup Buku?

Tidak sama sekali.

Saya amat yakin, dalam PAS ada yang ikhlas walaupun mereka kini ‘diperdaya’ oleh kepimpinan PAS sendiri.

Lambat laun, ada yang tidak akan berpuas hati dengan pemimpin mereka yang menodai kerjasama sesame Islam.

Hakikatnya, jelas dua kali kumpulan yang ikhlas ini ditipu siang hari oleh pemimpin mereka – khususnya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Mustapa Ali.

Walaupun saya marah dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa yang menentang kerajaan perpaduan, namun saya amat menghormati mereka di atas sikap yang konsisten, tegas dan berpendirian.
Yang ‘tiada telor’ ialah Presiden, Setiausaha Agung dan konco-konxo mereka yang boleh menjadi seperti ‘binatang yang boleh bertukar warna dalam sekelip mata’.

Tidak tahulah sama ada pembohongan itu dibenarkan dalam PAS mengikut keadaan semasa atau kerana kepentingan untuk bekerjasama dengan bukan Islam.

Rakyat di negara ini dikejutkan sebelum Muktamar PAS ke 55 mengenai kerajaan perpaduan.
Memang ramai yang biul dan bingung apa itu kerajaan perpaduan – UMNO + PAS atau UMNO/Barisan Nasional (BN) + PAS atau UMNO/BN + PAS.

Saya tidak nampak kerajaan perpaduan melibatkan dua parti pembangkang lain iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Memerangkap

Siapa memerangkap? Tidak jelas apa peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim di belakang PAS. Namun yang sah, Anwar jelas tidak akan berganjak untuk menjadikan pakatan rakyat pengganti BN.

Anwar lebih rapat dengan Nik Aziz dan Husam berbanding Hadi dan Mustapa. Apabila Hadi melaungkan kerajaan perpaduan, Anwar berdiri teguh di belakang Hadi dan Husam. Mereka tegas menolak idea berkenaan.

Mungkin kerana mahu menjamin ada isu yang diperjuangkan untuk menentukan kerusi Presiden miliknya, Hadi dan gandingannya Nasharuddin Mat Isa melontarkan kepada rakyat untuk diperbahaskan.

Namun rakyat tidak begitu termakan dengan umpan ini. Yang termakan sangat ialah pemimpin UMNO.

Apabila pemimpin UMNO menerima baik lontaran ini, pada saat itu PAS yakin bahawa dari segi perang psikologi mereka sudah memihak kepada mereka.

UMNO mula digambarkan sebagai semakin lemah dan perlu tali hayat. Hanya PAS yang mampu menyediakan tali hayat melalui kerajaan perpaduan.

Hadi, Nasharuddin dan Mustapa dilihat begitu ikhlas ketika itu.

Tanpa disedari oleh UMNO, pakatan pembangkang mula mengira-gira langah selanjutnya dan timbullah isu kalau PAS bersatu dengan UMNO atau BN, di mana kedudukan PAS. Di mana akan berada Hadi dan Mustapa?

Bolehkah mereka menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau menteri-menteri?
UMNO dan BN tidak pernah terfikir sehingga itu kerana UMNO dan BN ikhlas untuk perpaduan, bukan jawatan.

Apabila perkara jawatan ini timbul, Hadi mungkin terfikir – Timbalan Perdana Menteri untuknya hanya melalui pakatan pembangkang sahaja kerana tidak mungkin UMNO akan merelakan Tan Sri Muhyiddin Yassin diturunkan pangkat. Dan tidak mungkin Muhyiddin yang begitu sukar mendapatkan jawatan itu sedia berkorban.

Tidak mungkin Muhyiddin yang sanggup berperang dengan Tun Abdullah Badawi melepaskan jawatan begitu sahaja.

Lagipun Timbalan Perdana Menteri kalau ada ruang dan kesempatan boleh menjadi Perdana Menteri.

Pada ketika ini Anwar masuk daun dengan mengatakan kerajaan perpaduan perlu melibatkan DAP dan Pakatan dan tiada kompromi.

Pada ketika yang sama, Nik Aziz menunjukkan kemarahannya kepada Nasharuddin bagaikan ‘pukul anak sindir menantu’ yang bagi saya ditujukan juga kepada Hadi dan Mustapa.

Bagi Hadi, tiada jawatan Presiden tidak ada apa-apa lagi untuknya mencapai kedudukan. Begitu juga Mustapa yang dilantik oleh Hadi perlu akur kepada apa sahaja keputusan Hadi.

Nasharuddin yang ikhlas tersepit apabila Hadi dan Mustapa mengatakan tidak aka nada pertemuan atau rundingan dengan UMNO.

Nasharuddin yang melihat ada cahaya di hujung terowong pada mulanya mula merasai bahang yang tidak terhingga – bukan sahaja dicemuh dan dinista oleh Nik Aziz yang juga Musyridul Am PAS tetapi sikap Hadi dan Mustapa semakin menyulit dan menyusahkan beliau.

Kalau tidak kenapa selepas Nik Aziz memohon maaf dan bersalaman, Nasharuddin tetap membisu?

Apakah beliau kekal dengan sikapnya yang menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa memang perlu kerajaan perpaduan (UMNO+ PAS) itu?

Kini bukan sahaja Hadi terperangkap tetapi Nasharuddin lebih teruk.

Dia tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana rancangannya dengan Hadi kini ditarikbalik oleh Hadi dan Mustapa sendiri. Pada ketika yang sama kedua-duanya tunduk kepada desakan Nik Aziz dan Husam.

Hadi selepas kembali ke tanah air selepas di luar negara menukar sikapnya 360 darjah. Hadi bagaikan tidak lagi menghormati majoriti perwakilan PAS yang mahukan kerajaan perpaduan tetapi berani ‘berjudi’ untuk menyokong Nik Aziz agar kedudukannya sebagai Presiden tidak dicabar.

Hadi tahu bahawa kumpulan Nik Aziz – Husam tidak akan berdiam diri. Dengan kata lain filem “Siapa Besar’ mula dibikin oleh PAS dan jika Hadi tidak ikut rentak Nik Aziz-Husam, ‘kepalanya akan dipancung sebagai Presiden PAS’.

Akhirnya? Kerajaan perpaduan yang menjadi agensa perhimpunan agung PAS ditarik balik oleh Hadi dan tinggallah Nasharuddin berkesaorangan.

Dengan kembalinya Hadi dan Mustapa ke pangkuan Nik Aziz, Nasharuddin tidak mampu berbuat apa-apa lagi dan nasibnya dalam PAS tidak siapa boleh tentukan.

Apakah dia akan menjadi seperti Datuk Asri Haji Muda yang meninggalkan PAS selepas dia ditolak oleh kumpulan muda dalam PAS yang mahukan perubahan pada awal 1980an?

Apakah Nasharuddin juga akan ditolak sekiranya Nasharuddin tetap dengan pendiriannya mempertahankan kerajaan perpaduan.

Mengenali Nasharuddin, beliau bukan mudah berpaling 360 peratus seperti Hadi.
Segalanya mungkin!

Ikuti Bahagian Kedua – Anwar, Nik Aziz ketawa besar

WAHAI PEMIMPIN UMNO, BERHENTILAH MEROYAN!

Posted in Kerajaaan, PAS, perpaduan, UMNO on June 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

Menyambut cadangan kerajaan perpaduan tajaan PAS dianggap pemfitnah dan jahat?

Apabila PAS menoktahkan cadangan kerajaan perpaduan, UMNO pula yang perlu menanggung ‘dosa dan akibatnya’?

Saya dah kata, tidak payahlah bersungguh-sungguh mahu berbaik-baik dengan PAS melalui kerajaan perpaduan.

Saya ahli UMNO no. 02799189 menentang sekeras-kerasnya jika kepimpinan UMNO masih meroyan atau tergila-gila mahu berbaik-baik semula dengan PAS.

Cukuplah, kenyataan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari sungguh mengguris hati.

UMNO bukan dikatakan sahaja sebagai pemfitnah tetapi jahat apabila menyambut cadangan kerajaan campuran.

Saya tidak tahulah kalau Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau naib-naib presidennya boleh menerima cacian itu atau anggapnya perkara biasa.

Sebagai ahli biasa yang tidak memegang apa-apa jawatan, saya boleh bersabar untuk menerima cacaian tetapi jika ada pemimpin UMNO yang masih meroyan dan ‘tergila-gila’ untuk berbaik dengan PAS selepas ini, saya akan memikirkan semula kedudukan dalam parti, untuk apa berada dalam UMNO sebenarnya.

Memang orang kecil seperti saya tidak ada apa-apa pengaruh tetapi sangat mengharapkan pemimpin UMNO memerangi dengan habis-habisan PAS dan sekutunya.

Kenapa? Mereka mempermain dan menghina niat baik kita. Memang pemimpinnya lidah bercabang.

Sebab itu awal-awal saya sudah meminta Perdana Menteri fokus kepada idea dan perjuangan murninya – 1Malaysia.

Dalam posting saya Ahad lalu (20 Jun 2009) di blog ini saya menyebut bahawa bagi saya, baik lupakan sahaja konsep kerajaan perpaduan.

Saya katakan kita jangan menjadi hipokrit – kerajaan perpaduan asal ialah kerjasama UMNO dan PAS – tidak membabitkan parti lain sama ada dalam BN atau pembangkang.

Apa dikhuatirkan, Barisan Nasional (BN) memang sudah ada track record, jadi buat apa mahu mengambil idea PAS – kerajaan perpaduan – yang mahu akan melalaikan UMNO.

Sebaliknya, kerajaan perpaduan tajaan PAS bukan dengan UMNO tetapi dengan DAP dan PKR.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan peluk orang UMNO. Kalau nak tunjuk sangat ikhlas sekadar pegang tangan turun tangga. Itupun kerana mereka sendiri takut jatuh dan ‘bertangankan’ pemimpin UMNO.

Kerajaan perpaduan tajaan PAS hanya untuk cover kemelut parti mereka sendiri dan ternyata untuk ‘memangsakan’ Timbalan Presidennya – Nasharuddin Mat Isa – kerana menang kerusi itu dan orang kuat Nik Aziz – Datuk Husam Musa berjaya memainkan peranan membunuh idea berkenaan.

Kini tergambar di wajah setiap pemimpin PAS bahawa Nasharuddinlah ‘boneka UMNO’ bukan Hadi Awang atau Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali.

Saya sungguh lega apabila Najib berkata, kerajaan BN tetap mampu untuk meneruskan agenda pentadbiran negara meskipun pakatan pembangkang telah menolak idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan PAS.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat hari ini yang menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Nasib baik cepat sedar kalau tidak UMNO akan jadi ‘hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Pakatan pembangkang – PAS, DAP dan PKR – dalam satu mesyuarat hari ini memutuskan untuk menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

Bukan sekadar itu sahaja Majlis Pimpinan pakatan pembangkang juga menyifatkannya suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.

Dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen siang tadi, ia menyifatkan idea itu sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, ia menyatakan pakatan pembangkang mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu yang membabitkan kepentingan negara.

“Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan yang ditandatangani pemimpin tiga parti terbabit iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Nak bincang apa lagi?

Sudah menuduh UMNO jahat dan terdesak tetapi masih boleh mengatakan mereka terbuka?
Apa ni? UMNO begitu rendah sekalikah kedudukannya?

Kenyataannya, UMNO memiliki paling banyak kerusi di Parlimen berbanding PAS, DAP atau PKR dan UMNO jahat?

UMNO hendaklah sentiasa beringat bahawa banyak cara pembangkang boleh mempemainkannya.

Tidakkah keputusan mereka itu memperlekehkan UMNO dan Presiden serta ahli UMNO semuanya masih menerima cacian dan ejekan sedemikian?

Pemimpin UMNO jangan mudah alpa bahawa pembangkang memang bersifat ‘Telunjuk Lurus, Kelingking Berkait’

Jangan marah dengan PAS sebagai tidak jujur dan apa juga mista terhadapnya.

Memang dari awal lagi sebenarnya ramai pemimpin PAS tidak berminat untuk berbaik-baik dengan UMNO tetapi kita nampak sangat ‘tergila-gila’.

Lupakah kita mereka menuduh UMNO macam-macam seperti penyebabkan pembunuhan di Memalilah, zalim kerana menjatuhkan kerajaan pembangkang di Perak atau juga isu-isu membabitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Saya berharap sangat Najib tegas bahawa kerajaan BN masih kukuh dan mampu melaksanakan program pembangunannya.

“Istilah kerajaan perpaduan datang dari mereka (PAS) sendiri. Kita masih tetap dengan pendirian kita, sesuatu yang baik untuk negara mestilah diusahakan bersama walaupun mereka datang daripada parti pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Sebelum ini Abdul Hadi memang melontarkan cadangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan, bagaimanapun idea tersebut mendapat tentangan daripada Nik Abdul Aziz.
Ditanya adakah penolakan cadangan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh PAS itu akan menyebabkan kerajaan BN lemah, Najib berkata: “Tidak timbul soal kerajaan BN lemah sehingga perlukan kerajaan perpaduan.”

Jelasnya, reaksi yang diberikan oleh kerajaan BN terhadap cadangan itu adalah sekadar memberikan respon positif kerana menganggap ianya (kerajaan perpaduan) sesuatu yang baik untuk negara.

Ketika ditanya sama ada penolakan oleh pakatan pembangkang itu akan merugikan orang Melayu, Najib berkata : “Saya rasa tidak. Saya harap mereka menimbang dengan betul apa saja yang mereka buat.

“Kita pula tidak akan terbawa-bawa dengan persoalan sama ada perbincangan ini diadakan atau pun tidak.

“Apa yang penting ialah kita tangani dengan baik perbezaan kita dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara.”

Ditanya sama ada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan ini akan diadakan di masa hadapan, Perdana Menteri berkata bahawa dalam politik, apa saja boleh berlaku.

Memang dalam politik apa sahaja boleh berlaku tetapi biarlah yang berlaku tidak akan menjejaskan UMNO, orang Melayu dan Islam.

KETERBUKAAN KERAJAAN, KESELESAAN RAKYAT

Posted in Kerajaaan, Minyak, Pakatan Rakyat on November 21, 2008 by Hambali Abd Latiff

Beberapa pengumuman yang melegakan rakyat sejak kelmarin mungkin menyukarkan pembangkang untuk terus memperkecilkan keupayaan dan keikhlasan kerajaan.
Kini mereka perlu mencari isu baru atau yang bersifat kontroversi jika mahu terus mengritik atau menyalahkan kerajaan.

Langkah populis yang diumumkan seperti penurunan harga minyak, turunnya harga beras, insentif potongan tol kepada pengguna lebuh raya serta deklasifikasi perjanjian konsesi lebuh raya, pastinya membuatkan rakyat gembira dan merasa lega.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan ini semua akan menyebabkan pembangkang tersepit, lebih-lebih lagi langkah-langkah beberapa kerajaan negeri dikawal pembangkang banyak menimbulkan kemarahan rakyat.

Janji pembangkang untuk memberikan keselesaan kepada rakyat di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sehingga ini belum membuahkan apa-apa.

Ada sahaja kontroversinya, termasuk usaha kerajaan Kedah untuk memperkenalkan kuota 50 pertaus bagi Bumiputera di negeri itu untuk pemilikan rumah.

Langkah-langkah terbaru yang diumumkan kerajaan kelmarin dan semalam dengan sendirinya akan mengurangkan kemarahan rakyat biarpun tiada laungan sokongan untuk menyatakan terima kasih kepada kerajaan.

Dalam keadaan kerajaan sedar betapa rakyat ‘memusuhinya’ seperti ditunjukkan melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 Mac lalu, langkah populis ini akan dapat melembutkan hati rakyat untuk memahami bahawa apa juga tindakan mereka terhadap kerajaan, Barisan Nasional tetap menunaikan janji untuk mengurangkan beban, walaupun dilaksanakan secara berperingkat.

Kelmarin Najib mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan awal bulan ini akan dilaksanakan menjelang suku pertama tahun depan (2009).

Langkah ini menggambarkan betapa Malaysia sentiasa mengamalkan dasar terbuka ke arah melaksanakan langkah tambahan dalam merangsangkan perkembangan ekonomi semasa.

Meskipun krisis kewangan global bertambah buruk berbanding ramalan awalnya, kerajaan tetap yakin unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan tahun depan mampu dicapai
Timbalan Perdana Menteri berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.5 peratus pada tahun ini dan 3.5 peratus pada tahun depan dengan menjamin permintaan domestik terus kukuh.

Najib menjelaskan, untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi itu, kemudahan kredit yang disediakan oleh bank kepada syarikat tempatan termasuk kepada industri kecil dan sederhana (IKS) juga perlu kukuh.

Selain itu kerajaan turut melihat kepada garis panduan domestik yang perlu di liberalisasi dan diperkemaskan agar usahawan tempatan dan asing menjalankan perniagaan dengan selesa dan suasana yang kondusif di negara ini.

Kerajaan bersikap sedemikian untuk menjamin pasaran pelaburan modal kerajaan kekal progresif dan kompetitif.

Secara amnya, keadaan itu akan membuka ruang kepada pelabur, khususnya pelabur asing tetap merasakan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.

Dan dengan pengumuman bahawa petrol diturunkan sebanyak 7 sen kepada RM2 satu liter, iaitu tinggi 0.8 sen sahaja daripada kedudukan ketika mula-mula kerajaan menaikkan harga minyak Jun lalu, rakyat semakin selesa selepas harga bahan api itu diturunkan untuk kali keempat 1 November lalu.

Pada asasnya rakyat Malaysia masih membayar harga yang murah bagi petrol pada kadar AS$0.53 bagi satu liter apabila di China, rakyatnya membayar sebanyak AS$0.70 dan di Sri Lanka pula berharga AS$1.02.

Biarpun ada yang berpendapat jumlah itu agak kecil tetapi ia berlaku pada masa yang sama dengan penurunan harga beras.

Kelmarin juga, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan harga siling beras lima peratus hancur tempatan (ST5) diturunkan sebanyak 20 sen iaitu daripada RM2.80 sekilogram kepada RM2.60 sementara harga beras 10 peratus hancur tempatan (ST10) turut diturunkan harga silingnya kepada RM2.40 daripada RM2.70 sebelum ini iaitu penurunan 30 sen.

‘Pewartaan ini membolehkan kerajaan membuat kawalan terhadap harga tersebut kerana harga beras ini merupakan barang yang dikawal oleh kerajaan dan harga baru ini sudah diwartakan sehari sebelum pengumuman berkenaan.

Sebagai tanda kerajaan serius mengenai perkara ini Mustapa memberi amaran, mana-mana peruncit yang tidak mematuhi harga siling ini boleh diambil tindakan oleh pihak kawal selia padi dan beras di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992.

Turut menggembirakan pengguna, khususnya ibu bapa ialah langkah kerajaan menahan kenaikan tambang bas 100 peratus yang diperjuangkan oleh pengusaha bas.

Kerajaan bimbang kenaikan akan turut member kesan kepada tambang bas sekolah ebih-lebih lagi pada musim persekolahan akan datang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata sebarang kadar baru tambang bas dan teksi, termasuk bas sekolah akan diumumkan pada awal tahun depan dengan mengambil kira kemampuan rakyat dan syarikat pengangkutan awam serta insentif yang diumumkan dalam Bajet 2009.

Katanya, jika pun berlaku kenaikan tambang kelak, ia tiada kaitan langsung dengan harga minyak di pasaran semasa kerana minyak untuk pengangkutan awam telah diberikan subsidi.
Dalam keadaan rakyat gembira dengan penurunan harga minyak, Kementerian Kerjaraya pula mengumumkan bahawa pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite dari 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed mengumumkan selain itu, diskaun tambahan 10 peratus juga akan turut diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas dalam tempoh dan waktu yang sama.

Selain itu, PLUS Expressways Berhad melalui program Loyalti PLUS dengan pengguna kedua-dua lebuh raya boleh menikmati rebat tol lima peratus daripada nilai terkumpul bulanan minimum RM200 bermula 1 Januari.

Ir Mohd Zin berkata melalui pemberian insentif ini aliran trafik bagi lebuh raya PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan) pada waktu tersebut dijangka meningkat.

Mungkin untuk permulaan ini diskaun dilihat kecil dan pastinya setiap pihak mahu ia juga berkuatkuasa pada waktu siang. Kementerian Kerja Raya perlu merundingkan supaya pengguna lebuh raya pada waktu siang sepatutnya diberikan keutamaan.

Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) sudah menyatakan semala, ia mahu diskaun 10 peratus yang diberikan kepada pemandu kenderaan ringan (Kelas 1) menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) diperluaskan sepanjang hari.

Selain itu, mereka juga menuntut supaya kadar diskaun ditingkatkan dan insentif diperluaskan kepada semua jenis pengguna terutama lori kerana ia mampu membantu kerajaan mengurangkan harga barang di pasaran berikutan pengurangan kos pengangkutan.

Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata BNBBC kecewa dengan pengumuman baru-baru ini kerana beranggapan ia langsung tidak memberi kesan bagi memenuhi objektif utamanya iaitu mengurangkan beban pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

Berkaitan lebuh raya ini juga, sebelum ini banyak pihak merasakan perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat kon sesei berat sebelah yang dikatakan lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.

Berikutan itu kerajaan memutuskan untuk mendedahkan kepada umum perjanjian berkenaan membabitkan kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Putrajaya.

Keputusan mendeklasifikasikan dokumen perjanjian dicapai berikutan persetujuan Kabinet pada mesyuarat 17 Oktober lalu terhadap memorandum kementerian itu bertajuk ‘Pengelasan Semula Semua Penjanjian Konsesi Lebuh Raya Yang Sedang Beroperasi Supaya Dapat Didedahkan Kepada Umum.’

Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata Kabinet bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas mendapat persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan klausa kerahsiaan yang termaktub dalam perjanjian terbabit.

Dokumen perjanjian tersebut boleh didapati mulai 1 Januari depan dan dengan mendeklasifikasikan dokumen berkenaan, orang ramai dapat meneliti semua aspek operasi syarikat konsesi lebuh raya termasuk aliran kewangan syarikat berkenaan.

Menteri itu berkata Maju Expressway Berhad dijangka akan memberikan persetujuan untuk turut menyertai 22 syarikat lain mendedahkan perjanjian konsesi mereka dalam masa terdekat.

Ternyata, usaha-usaha kerajaan ini, bukan sahaja rakyat semakin mendapat kelebihan dalam konteks perbelanjaan harian untuk sekeluarga serta jaminan ekonomi yang lebih baik tahun hadapan tetapi mereka juga mula merasai betapa kerajaan semakin telus dalam menyalurkan maklumat pelbagai perkara yang ada kaitan dengan keperluan seharian mereka.