Archive for the Raja-raja Category

7 WASIAT RAJA MELAYU UNTUK RAKYAT MALAYSIA

Posted in Islam, Melayu, Raja-raja on August 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

Suara yang diperdengarkan oleh istana semakin kuat dan jelas.

Apa maknanya itu? Ia bagaikan suatu titah bahawa rakyat ‘sendiri mahu ingat’ bahawa keselamatan dan kestabilan negara adalah kepentingan bersama.

Kenapa suara istana ini semakin diperdengarkan?

Rakyat dalam konteks hari ini, bukan semata-mata orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.

Walaupun ada orang Melayu sendiri merasakan mereka ‘tidak Melayu’, mereka tidak boleh engkar kerana walaupun hari ini rakyat Malaysia bukan lagi 100 peratus Melayu tetapi wasiat yang dikeluarkan ketika penduduk negara ini 80 peratus Melayu dan 20 peratus bukan Melayu, ia wajar dipatuhi semua rakyat.

Begitu juga dengan pihak yang merasakan mereka adalah rakyat Malaysia beragama Islam dan Melayu hanya keturunan – wasiat ini juga untuk mereka.

Kenapa? Pada ‘7 wasiat Raja Melayu’ dipaparkan betapa raja-raja Melayu menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat itu disampaikan ketika raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Apakah wasiat itu?

• Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

• Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

• Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

• Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

• Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

• Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

• Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah semalam ‘membuka kembali wasiat itu’ dan mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat itu.

Hakikatnya Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Raja Nazrin bertitah, wasiat sembilan Raja Melayu dari empat negeri Melayu Bersekutu dan lima tidak Bersekutu itu, disampaikan sebelum merdeka kepada rakyat Melayu, yang juga rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas berjudul Mitos Pribumi Malas, Keintelektualan Masyarakat Membangun dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi di Kuala Lumpur, semalam.

Secara lebih jelas, fasal-fasal terbabit ialah Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1), yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah,” titahnya.

Baginda bertitah, selain berperanan memberi pemahaman terhadap generasi muda mengenai pembinaan negara bangsa, langkah menerbitkan hasil karya lama juga akan memastikan khazanah negara itu tidak lenyap ditelan zaman.

“Beta mendengar Allahyarham Ishak Haji Mohamad ada menghasilkan buku Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, tetapi Beta sendiri sehingga sekarang tidak berpeluang mendapatkan naskhah buku itu.

“Bahan bacaan seperti itu amat penting bukan saja diterbitkan semula, tetapi dijadikan bahan ilmiah wajib di pusat pengajian supaya generasi muda tidak lupa sejarah,” titah baginda.

Advertisements

APABILA AYAT AL-QURAN DIPERSENDA UNTUK POLITIK

Posted in Al-Quran, DAP, PAS, Raja-raja on April 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sebelum ini pertelingkahan berlaku di kalangan orang Islam PAS dan UMNO mengenai penggunaan ayat al-Quran untuk kepentingan politik.

Polimik itu tiada penghujung tetapi ternyata daripada ayat al-Quran itulah UMNO dan penyokongnya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, hingga peringkat kafir-mengkafir.

Dengan kata lain, ayat al-Quran untuk PAS lebih banyak mengukum orang lain tetapi untuk UMNO hanya mengemukakan hujah penerangan semata-mata.

Namun kini, kerana PAS merestuinya, orang bukan Islam sewenang-wenangnya menggunakan ayat al-Quran untuk kepentingan politik.

Malah gimik kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP kononnya mengikuti amalan khaflifah Umar Ab Aziz memulakan episod ini semua.

Kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, dilaporkan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran dan bukan sekali tetapi telah banyak kali ia dilakukan dalam sesi ceramahnya sebelum ini.

Malah BELIAU YANG JUGA Setiausaha DAP Perak, dikatakan mempersendakan ayat suci al-Quran semasa mengadakan ceramah di Bukit Gantang, Perak, malam semalam.

Tindakan Kor Ming yang membaca al-Quran dalam ceramahnya dikatakan dengan tujuan bagi meraih sokongan orang Melayu.

Berikutan itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengutuk tindakan itu apabila Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, Kor Ming wajib meminta maaf secara terbuka terhadap perbuatannya itu yang merupakan penghinaan terbesar kepada umat Islam bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia.

Beliau menegaskan, bagaimana mungkin Kor Ming yang langsung tidak beriman dan mempercayai Allah adalah tuhannya dengan sewenang-wenangnya membaca al-Quran demi agenda politiknya.

“Perbuatan ini cukup melampau, satu penghinaan kepada umat Islam, GPMS mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya, kami mahu beliau meminta maaf kepada seluruh umat Islam,” katanya.

Sementara itu di Taiping, Perak, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan polis terhadap Kor Ming.

Laporan tersebut dibuat oleh Presiden BBPM, Osman Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 6.30 petang semalam.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama ADUN berkenaan mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran tetapi sudah banyak kali dilakukannya bagi meraih sokongan orang Melayu.

“Ini satu penghinaan kepada orang Islam dan kami menuntut Kor Ming meminta maaf kepada seluruh umat Islam.

“Kami juga minta beliau berhenti berkempen menggunakan ayat al-Quran kerana bacaannya bukan sahaja tidak betul malah beliau menyebut ayat yang dibacanya dari ‘Surah Aura’ yang tidak wujud dalam al-Quran, tetapi yang ada surah al-A’raf,” katanya di Taiping.

“Kalau orang bukan Islam boleh mempersendakan ayat suci al-Quran, hina sangatlah kita kerana bertolak-ansur selepas Raja Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu dipermainkan.

“Lebih dikesalkan, ada orang Islam yang hadir pada ceramah itu bertepuk tangan dan bersorak gembira selepas Kor Ming membaca ayat al-Quran walaupun salah,” ujarnya.

Katanya, Kor Ming boleh membaca al-Quran kalau dia memeluk Islam atau pun untuk tujuan pembelajaran perbandingan agama.

RAJA MENGELUARKAN MELAYU DARIPADA HINDU!

Posted in Hindu, Islam.Melayu, Raja-raja on February 20, 2009 by Hambali Abd Latiff

Saya tertarik dengan ulasan amirhamzah64 terhadap posting saya bertajuk “TAK ACI MACAM NI…HAKIM NI TAK BOLEH” dengan menurunkan bahan sejarah untuk kita sama-sama renungi dan fahami.

Terima kasih amirhamzah64. Saya juga muatkan di sini puisi bertajuk Kingdom of Purplaya oleh Cecil Rajendra.

Oleh amirhamzah64

(February 19, 2009 11:31 PM)

Zaman Prasejarah Malaysia dapat dijejaki seawal 200,000 tahun yang lalu berikutan penemuan alatan-alatan yang diperbuat daripada batu dan dijumpai di tapak arkeologi Kota Tampan, Lenggong. Rangka manusia terawal, Perak Man yang berusia 11,000 tahun dan Perak Woman yang berusia 8,000 tahun juga turut dijumpai di Lenggong.

Gangga Negara (abad ke-2-11) dipercayai merupakan kerajaan Melayu Hindu yang hilang dan ada disebut dalam Sejarah Melayu yang kini merangkumi Beruas, Dinding dan Manjung masa kini dalam negeri Perak, Malaysia dengan Raja Gangga Shah Johan sebagai salah seorang rajanya. Penyelidik percaya bahawa kerajaan ini berpusat di Beruas dan ia runtuh selepas serangan oleh Raja Rajendra Chola I dari Coromandel, India Selatan, antara 1025 dan 1026.

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah dan Melaka pada 1511 di tangan Portugis telah menyebabkan baginda berkubu di Bentan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.

Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai “Kesultanan Johor-Riau-Lingga”. Oleh itu kesultanan Perak hari ini mempunyai jurai keturunan dengan kesultanan Melaka.

Hari ini, negeri yang mempunyai sejarah tertua di Malaysia sedang dilanda gelombang dan badai. Sultan yang mempunyai jurai keturunan daripada kesultanan Melaka itu sedang dihina dan diinjak oleh segelintir orang Melayu dan penduduk yang asalnya bukannya penduduk asal negara ini.

Saya ingin mengingatkan kepada Orang Melayu, Walaupun DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong itu adalah pelindung kepada semua rakyat Malaysia dan Raja-Raja Melayu di negeri-negeri itu adalah pelindung kepada seluruh rakyatnya tetapi bukan Melayu memang tidak akan faham tentang sejarah bangsa kita.

Sebab itu lahirlah sebuah puisi baru-baru ini, bertajuk Kingdom of Purplaya dikarang oleh orang yang bernama Cecil Rajendra dan diterbitkan dalam majalah Aliran, menghina orang Melayu dengan berkata bahawa orang Melayu yang berada di negara yang disebut `Tanah Melayu’ itu bukan penduduk asal kawasan ini. Orang Melayu adalah kaum pendatang. Mereka datang merantau dari kawasan-kawasan lain, terutama dari Sumatera, lalu mendakwa inilah `tanah asal’ mereka. Maka dikatakan bahawa orang Melayu itu mula menuntut hak sebagai kaum bumiputera Persekutuan Tanah Melayu, lalu akhirnya mereka menggubal perlembagaan yang menetapkan beberapa hak mereka.

Menurut puisi itu, orang Melayu menetapkan, dalam perlembagaan itu bahawa raja di negara ini ialah raja Melayu, agama rasminya ialah agama Islam, bahasa rasminya ialah bahasa Melayu. Selain ini, orang Melayu yang dianggap kaum pendatang ini, menuntut hak-hak istimewa yang lain lagi, misalnya dalam bidang pendidikan, dalam bidang ekonomi, dalam bidang pentadbiran, dan sebagainya (dipetik daripada rencana DATUK DR. HASSAN AHMAD,Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan)

Bagi orang Melayu, Sultan-sultan Melayu adalah pelindung kepada orang Melayu.TITAH Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan sidang Parlimen bagi penggal kedua kelmarin supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan wajar mendapat perhatian semua pihak.

Yang di-Pertuan Agong antara lain menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tubuh dan tertinggi di negara ini yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa negara mencapai kemerdekaan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah turut melahirkan rasa kecewa kerana sikap biadab sesetengah pihak terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Walaupun kenyataan itu bersifat peribadi dan tidak mewakili mana-mana sultan negeri lain, namun ia sudah cukup untuk melambangkan betapa tercalarnya peranan sultan Melayu pada pandangan masyarakat.

Sememangnya pihak istana mempunyai sebab untuk berasa kecewa dengan sikap pakatan pembangkang mencabar Sultan Perak sehingga tergamak menyaman baginda tidak bertindak demokratik.

Akhir sekali, sewaktu saya masih bersekolah, cikgu sejarah saya pernah berkata, apakah sumbangan terbesar Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu. Katanya’ Jikalau Parameswara tidak memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada “Raja Megat Iskandar Shah”, Melayu pada hari ini masih lagi berugama Hindu. Sebelumnya Parameswara beragama Hindu.

Ini kerana pada masa itu orang Melayu menganggap Raja itu Bayangan Tuhan, dipercayai memiliki kesaktian, bertujuan memperkuatkan status / kedudukan raja, mitos dan lagenda memperkuatkan kedudukan raja, bertujuan untuk membezakan kedudukan raja dengan golongan yang diperintah, konsep orde kosmos/ menjadi raja terulung dan berkuasa terhadap seluruh alam semesta.Sebab itulah jika seorang Raja itu memeluk Islam maka sudah diwajibkan seluruh rakyat jelata mengikutnya.

Apa pun jua tujuannya, Raja-Raja Melayu telah memberikan jasa terbesar kepada Melayu iaitu dengan memilih ISLAM itu sebagai agama baginda.- (www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com)

Kingdom of Purplaya

By: Cecil Rajendra

The Kingdom of Purplaya
is located somewhere in Asia
slightly north of the Equator.

Its people are of mixed origins:
some Indonesians, some Chinese
some Indians, some Portuguese …

Most Purplayans were immigrants
from the neighbouring countries;
only a handful are pure indigenes

who live up in the mountains
and are hunters & fruit gatherers
but not land-owners – just tenants.

These natives – true sons of the soil –
have been made marginal
by usurpers who stole their mantle

claiming that they are the original
god-chosen people of Purplaya and all
others, including indigenes, are mere aliens.

To ensure their privileges in perpetuity
this ‘purple’ bunch of pretenders
(With aid of their colonial masters)

drew up a farcical Constitution
which ensured that King & President
would always be of their persuasion.

They implemented a quota system
to reserve places for their children
in school, college & university;

stuffed ranks of Police & Army
with officers of their nomination
to protect their pockets & property;

and legislated that any question
of their special powers & position
would invite a charge of treason.

These self-anointed ‘purple people’
now enjoy licences unlimited
for they are the only ones free

to libel enemies in their papers
burn effigies on street-corners
while other citizens of the country

face torture & imprisonment
if they criticise the government
or organise any kind of rally

Still, this apartheid autocracy
– the world’s last bastion
of institutionalised racism –

harbours pretensions extraordinary
and lays claim to be
the only true surviving democracy!

CUKUPLAH…JANGAN LAGI CABAR ORANG MELAYU

Posted in Jus Soli, Kontrak Sosial, Melayu, Raja-raja on November 7, 2008 by Hambali Abd Latiff

Hati orang Melayu sudah banyak kali terguris.

Tetapi kepada siapa mahu mengadu? Kementerian Dalam Negeri? Tidak guna kerana tidak ada kesan!

Akhirnya kepada Sultan Melayu jugalah tempat orang Melayu merujuk apabila merajuk.
DAULAT TUANKU!

Rasanya sudah berbuih mulut beberapa Sultan Melayu menitahkan hamba rakyat tertentu di bumi Malaysia ini supaya jangan keterlaluan mencabar oirang Melayu.

Kelmarin Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Sultan Azlan bertitah, secara tersirat pengekalan institusi raja di negara ini adalah usaha meneruskan dan mengekalkan identiti kerajaan berpaksikan Melayu.

Justeru, titah baginda, sebarang pindaan Perlembagaan yang menyentuh kedudukan raja-raja dan bidang kuasa Raja Pemerintah meliputi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak, perlu terlebih dulu mendapat perkenan raja-raja sendiri.

Baginda bertitah, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada seluruh rakyat.

“Raja-raja memahami Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

“Persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam kontrak sosial membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah,” katanya.
Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, kelmarin, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Kira-kira 2,000 wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu Melayu dengan sebahagian besarnya berpakaian kebangsaan, berarak secara aman bagi menyerahkan memorandum sokongan dan ikrar taat setia terhadap institusi beraja di negara ini kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Perarakan anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu turut membawa beberapa sepanduk tertulis perkataan seperti ‘Melayu leka hilang kuasa’, ‘Melayu bukan bangsa pendatang,’ ‘Jangan pertikai Artikel 153,’ ‘Islam Agama Rasmi’ dan ‘Jus Soli tolak ansur kontrak sosial’ dengan diiringi paluan gendang, tiupan serunai dan nafiri.

Antara yang menyertai perarakan itu ialah Presiden GMP, Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail; Presiden Persatuan Darul Ridzuan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas; Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar; Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Ahli Dewan Negara, Datuk Jins Shamsuddin; bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar dan bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

Sebaik Sultan Azlan memasuki dewan itu pada jam 10.45 pagi, Dr Mohd Hilmi mengetuai bacaan ikrar taat setia kepada Sultan Perak dan diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ dan’Hidup Melayu’ sebanyak tiga kali, disusuli dengan titah ucapan Sultan dan jamuan ringan sebelum majlis bersurai.

Titah Baginda, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.

Sultan Azlan mengingatkan, keamanan negara dan kerukunan rakyat tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

Titah baginda, penubuhan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia adalah berteraskan sejarah, evolusi politik, nasionalisme dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan kaum berkenaan dengan institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya di negara ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam semalam berkata peringatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar sesuatu isu terutama membabitkan kepentingan dan keistimewaan orang Melayu tidak dipolitikkan semata-mata untuk mencari populariti murahan, wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak,.

“Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini,” katanya.

Mohd Ali berkata beliau bimbang jika isu ketuanan Melayu, hak orang Melayu dan kontrak sosial terus dipersoalkan dan dipertikaikan oleh mana-mana pihak, ia boleh mencetuskan suasana tidak sihat di negara ini.

“Sebagai orang Melayu kita perlu berani dan tegas mempertahankan hak kita dan bukan bersifat talam dua muka memburuk-burukkan kaumnya sendiri dengan memberi pelbagai tafsiran peribadi mengenai ketuanan Melayu,” katanya.

AKHIRNYA RAJA-RAJA JUGA YANG DIRUJUK

Posted in DAP, Melayu, PKR, Raja-raja on November 5, 2008 by Hambali Abd Latiff

Ketuanan Melayu hanya menguntungkan sesetengah golongan Melayu sahaja?

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat sedemikian?
Siapakah yang dimaksudkan Anwar melalui kenyataannya itu?

Kata Anwar, sewajarnya kita membantu kesemua mereka bersama kaum Cina dan India.
Katanya semalam, perjuangan menegakkan Ketuanan Melayu akan hanya menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sedangkan yang lain masih dalam keadaan ketinggalan.

Beliau juga mahu supaya kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Ibrahim yang mengkritik dasar yang berasaskan kaum yang dianggapnya sengaja dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara dinilai dengan mendalam.

Soalnya ialah apakah Ketuanan Melayu meminggirkan bukan-Melayu?

Dengan kata lain apakah semangat Perikatan dan Barisan Nasional (BN) berteraskan Ketuanan melayu yang suatu ketika Anwar sendiri dokong tidak membantu masyarakat Melayu dan kaum lain?

PKR atau DAPkah yang meletakkan orang Melayu bersama-sama orang Cina dan India seperti kedudukan sekarang ini?

Benarkah kumpulan tertentu Melayu mengambil kesempatan terhadap rata-rata orang Melayu sejak negara mencapai kemerdekaan?

Ketuanan Melayu sebagai dasar dan amalan tidak salah dan jika orang Melayu ketinggalan yang silapnya ialah pemimpin Melayu yang kurang membantu mereka, termasuk Anwar sendiri ketika dalam kerajaan.

Banyak pihak tidak berpuashati dengan pendapat Anwar dan Zaid.

Kerana itu, sekurang-kurangnya 500 orang Melayu dijangka akan menyertai perarakan bagi mengemukakan memorandum sokongan terhadap ketetapan yang diambil pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215, pagi ini.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Dr. Mohd. Hilmi Ismail berkata, memorandum yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar itu merupakan tanda taat setia orang Melayu terhadap institusi Raja Melayu di negara ini.

“’Perarakan ini adalah sebagai menyambut hasil ketetapan Majlis Raja- Raja Ke-215 yang bermesyuarat di Terengganu baru-baru ini mengenai kedudukan institusi raja, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan hak bukan Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

”Saya harap perarakan yang bermula dari Masjid Ubudiah ini akan menjadi peringatan kepada kumpulan tertentu yang sering mempersoalkan hak istimewa orang Melayu,” katanya di Kuala Kangsar.

Mohd. Hilmi memberitahu, perarakan akan bermula pada pukul 9.30 pagi dan peserta dijangka tiba di Dewan Santapan Istana Iskandariah pada pukul 10 pagi.

Polimik mengenai Hak Istimewa dan Ketuanan Melayu ini reda seketika selepas Ketetapan Majlis Raja-Raja Melayu ke-215 tetapi hangat kembali apabila model Ketuanan Melayu dikatakan telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, minggu lalu yang mengkritik dasar Ketuanan Melayu yang dianggapnya berasaskan kaum, walaupun beliau ahli parti pemeritah – Umno – parti terbesar orang Melayu.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Beliau meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.
Hakikatnya Zaid ‘mahu ambil hati siapa’ dan ‘siapa pula yang mahu diredakan oleh Zaid’?

Berikutan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim memohon maaf kepada orang Melayu berikutan kenyataannya konsep ketuanan Melayu gagal di negara ini.

Syed Hamid berkata, kenyataan Zaid yang mempertikaikan hak ketuanan Melayu itu boleh diibaratkan sebagai satu pengkhianatan bekas menteri terhadap bangsanya sendiri yang sudah merdeka dan berdaulat.

“Dia pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Zaid perlu insaf dan memohon maaf kepada bangsa Melayu.

“Jangan biarkan diri kita menjadi alat untuk melemahkan bangsa kita sendiri dan menggadaikan maruah bangsa sehingga orang lain mengambil kesempatan di atas kelemahan kita.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan Zaid sebagai orang yang buta sejarah perjuangan bangsanya, walaupun beliau pernah diletakkan di tempat yang begitu tinggi oleh kepemimpinan orang Melayu negara ini.

“Tanpa sejarah ketuanan Melayu, Zaid tidak berpeluang berada di tempat beliau berada sebelum ini dan mungkin tidak dapat bercakap seperti yang beliau pertikaikan jika negara ini bukan diperintah dan diasaskan oleh ketuanan Melayu,” katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Senator Datuk Zaid Ibrahim mengenai ketuanan Melayu sebagai keterlaluan.

“Zaid perlu bertaubat, jika tidak, Zaid perlu keluar dari rumpun bangsa Melayu,” kata Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Shahidan berkata, jika bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus mempertikai konsep ketuanan Melayu, beliau tidak seharusnya menjadi Melayu lagi kerana sebagai bangsa Melayu Zaid seharusnya membela Melayu bukan memburukkannya.

Kelmarin, Zaid mempertahankan kenyataannya bahawa formula berasaskan konsep ketuanan Melayu mempunyai unsur negatif yang melemahkan kaum itu dan bersifat perkauman.
Beliau bagaimanapun menegaskan, ia tidak bermaksud bahawa beliau mempersoalkan ‘keistimewaan’ orang Melayu dalam Perlembagaan seperti yang cuba digambarkan.

Apa yang sebenarnya, menurut Zaid, konsep itu mencerminkan orang Melayu hanya mahu menjadi ‘tuan’ tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri sendiri.

Katanya: “Seolah-olah orang Melayu ini mahu hak-hak tertentu serta penghormatan dan pengiktirafan tentang kebolehan mereka semata-mata kerana mereka orang Melayu. Ini pada saya bukan gambaran yang sebenar. Imej ini melemahkan orang Melayu sendiri. Ramai orang Melayu mahu penghormatan dan pengiktirafan tentang kejayaan mereka berasaskan kebolehan mereka.

Orang Melayu mempunyai kebolehan luar biasa dan tidak perlu untuk mengamalkan sikap ‘angkuh’ kononnya mereka mempunyai hak yang lebih daripada kaum lain,” ujar beliau dalam kenyataannya di Kota Bharu.

Zaid mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mengecam beliau di samping menuntutnya supaya memohon maaf kerana seolah-olah mengkhianati dan memburukkan bangsa sendiri serta melupakan sejarah perjuangan bangsa.

”Saya tidak terkejut dengan reaksi pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengenai kenyataan saya bahawa model atau formula berasaskan konsep ketuanan Melayu gagal menolong Melayu menuju kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang ekonomi ataupun pelajaran.

”Mereka hanya mahu saya minta maaf sambil menghina kewibawaan dan kesetiaan saya kepada bangsa Melayu,” ujarnya.

”Saya tidak perlu meminta maaf kepada Syed Hamid dan kawan-kawannya. Kepada orang Melayu, saya harap anda dapat membezakan di antara pemimpin yang benar-benar memikirkan kepentingan anda daripada pemimpin yang hanya menggunakan nama Melayu untuk kepentingan politik mereka,” ujar beliau.

Yang pasti Sultan Azlan sudah memberi perkenan untuk menerima semua peserta masuk mengadap dan perarakan itu juga mendapat kelulusan polis.

”Pada majlis itu, semua peserta akan melafazkan sumpah taat setia kepada Sultan Perak dan institusi Raja-Raja Melayu dan saya sendiri akan mempersembahkan memorandum kepada Sultan Azlan,” katanya.

GMP yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak mempunyai sebarang motif politik, sebaliknya berjuang mempertahankan kedudukan orang Melayu, agama Islam dan juga institusi Raja Melayu.

”Kami berasa kesal dengan tindakan segelintir kumpulan dan pemimpin menggunakan isu sensitif ini semata-mata untuk kepentingan politik sedangkan mereka tahu perkara ini sudah dipersetujui sebelum ini.

”Semua perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak wajar terus dipersoalkan. Selagi ia berada di situ, kita sebagai warganegara Malaysia wajar mematuhinya,” tegas beliau.

AMARAN DARIPADA RAJA-RAJA MELAYU

Posted in politik, Raja-raja on October 17, 2008 by Hambali Abd Latiff

Raja-raja Melayu memberi amaran, gejala mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa Melayu, termasuk kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia akan menyebabkan negara huruhara.

Raja-raja Melayu berpendapat gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum.

Perbuatan mempersoalkan perkara itu dilakukan tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini.

Malah, dalam satu kenyataan khas di Kuala Terengganu semalam, Raja-raja Melayu berpendapat, kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

Justeru, Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain.

“Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract,” demikian menurut kenyataan khas itu.

Perbuatan mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

Menurut Raja-raja Melayu, tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak paus hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

Sebenarnya Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Menurut kenyataan Raja-raja Melayu, antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

Untuk lebih jelas ikuti kenyataan Khas Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-215

Kenyataan Khas Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-215

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangakat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini. “Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini. “Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak paus hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara. “Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain.

Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Majlis Raja-raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.” Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan. Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud. Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.