Archive for the MT Category

TERENGGANU DAPAT PENGERUSI PERHUBUNGAN BARU?

Posted in Ahmad said, MT, Terengganu, UMNO on April 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

Cakap-cakap di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kuala Terengganu mengatakan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu akan ditukar.

Siapa calonnya tidak pasti. Datuk Ahmad Said secara jelas mengatakan beliau menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Persoalannya kalau beliau tidak menjadi pengerusi perhubungan negeri, apakah beliau akan digugurkan sebagai Menteri Besar?

Ini kerana dilaporkan oleh Malaysiakini, 18 daripada ADUN tidak lagi menyokong Datuk Ahmad Said. Ini bermakna hanya sebilangan kecil (lima sahaja) yang menyokong Ahmad Said.

Ini bermakna separuh daripada 10 EXCO tidak menyokong Menteri Besar, walaupun Ahmad yang melantik mereka.

ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh mengesahkan 18 ADUN, termasuk enam exco kerajaan negeri menyokong tindakan mendesak Ahmad meletakkan jawatan.

Menurutnya, enam exco terbabit telah mengisytiharkan sokongan mereka baru-baru ini.

Abdul Halim berkata, tindakan untuk menggantikan Ahmad adalah semata-mata untuk menyelamatkan Umno negeri. Bagaimanakah pemimpin UMNO pusat melihat dakwaan ini?

Utusan Malaysia hari ini menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan bersidang Jumaat ini.
Mesyuarat itu adalah yang pertama akan dipengerusikan oleh Presiden baru merangkap Perdana Menteri baru Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pastinya mesyuarat MT itu akan menjadi tumpuan ramai. Ramai yang mahu menjangka bahawa mesyuarat itu adalah mesyuarat yang bakal menentukan hala tuju baru parti itu, yang kini dianggotai oleh saf baru. Dan sudah tentu harapan ahli-ahli UMNO dan juga rakyat di negara yang dinaungi oleh parti itu mahu melihat satu perubahan yang baru berlaku dalam parti itu,” kata Utusan.

Juga diramalkan Presiden UMNO akan mengumumkan nama-nama Pengerusi UMNO Negeri yang baru. Paling hangat di persada senarai ialah Terengganu, diikuti Kelantan serta juga Perlis, Melaka, Kedah, dan Pulau Pinang.

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang mempunyai cirri istimewa kerana ia di bawah pembangkang dan kebetulan Pulau Pinang ia dipegang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh kerana ada masa kira-kira tiga tahun lagi untuk menghadapi pilihan raya umum, UMNO pastinya mahu memperkuatkan gerakan di Kelantan dan Kedah.

Perlis pula berdepan dengan kemelut sama ada Menteri Besar akan diamanahkan dengan tugas berkenaan.

Ada cadangan supaya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin patut mengambil alih jawatan itu.

Menurut teori dari Kuala Lumpur, mudah menukar Ahmad Said jika beliau tidak menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Sekiranya pengerusi perhubungan mahu dituklar, tidakkah calonnya semestinya Ketua Bahagian? Daripada a 24 ADUN BN di Terengganu, hanya tiga orang – Idris (Besut), Ahmad (Kemaman) dan Yahya Khatib Mohamad (Marang) – adalah ketua bahagian.

Apakah Yahya yang paling layak memegang jawatan itu? Sejauh mana kekuatan beliau?

Malaysiakini melaporkan, tujuh daripada lapan ketua bahagian Umno di Terengganu menyatakan sokongan mereka terhadap Ahmad Said untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.
Hanya ketua bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh – salah seorang daripada 18 ADUN di Terengganu yang mendesak Ahmad meletak jawatan – tidak menyokongnya.

Persoalannya, apakah Yahya juga menyokong Ahmad Said?

Dilaporkan, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Ahmad.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha badan perhubungan umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya, mereka menyatakan sokongan kepada Ahmad dalam perjumpaan anjuran Umno negeri di Kuala Terengganu, Sabtu lalu. Idris tidak hadir perjumpaan itu.

Ahmad Said berkata beliau menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, keputusan sama ada mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan itu atau sebaliknya, terletak di tangan Najib.

Katanya, beliau akan menerima segala keputusan Perdana Menteri.

Najib dijangka mengumumkan rombakan jawatan tertinggi UMNO selepas mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO (MT) Jumaat ini termasuk senarai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri.

Khabar angin bertiup kencang bahawa jika tidak dipilih Pengerusi UMNO Negeri yang baru, Timbalan Presiden UMNO dijangka mengambil alih pentadbiran UMNO Negeri.

Soal penting apakah Ahmad Said akan turut digugurkan sebagai Menteri Besar jika beliau dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri?

Jawapannya ya dan tidak.

Beliau mungkin terus menjadi Menteri Besar tetapi tidak lagi ‘berkuasa terhadap UMNO’.
Jika ini berlaku, usaha untuk menjatuhkan beliau tidak berjaya.

Apa jaminan bahawa kumpulan yang menentangnya tidak akan buat kacau sekali lagi?

Muhyiddin mempunyai tugas besar untuk mendisiplinkan ahli dan pemimpin UMNO Terengganu.

Juga tugas besar Muhyiddin ialah menjamin Terengganu tidak jatuh ke tangan PAS.

Advertisements

APA MAKNA PEMILIHAN MT?

Posted in MT, Parti, UMNO on March 28, 2009 by Hambali Abd Latiff


(Isu Sabtu)

Bertanding jawatan tinggi sama ada sebagai Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi – demi memperkuatkan parti atau mendapatkan jawatan dalam kerajaan?

Apakah dengan menduduki kerusi itu kedudukan seseorang dalam kerajaan akan terjamin?
Lebih jauh apakah juga bermakna dengan mendapat jawatan parti, seseorang akan melonjak naik dalam kerajaan?

Soal pokok kepada pertandingan MT bertujuan memperkukuhkan parti.

Kini suara-suara supaya mereka yang menduduki jawatan parti perlu mengutamakan parti terlebih dahulu semakin ketara.

Persoalan ialah apakah pemilihan untuk MT kali ini mencerminkan kehendak ahli untuk meletakkan pemimpin yang mampu menggembalikan maruah parti?

Apakah 25 ahli MT ini mempunyai kelebihan sendiri untuk berjuang demi parti?

Dengan kata lain ahli UMNO akan mempersoalkan mereka yang dipilih, apakah mereka menyumbang untuk UMNO atau untuk kedudukan mereka dalam Kabinet?

Persoalannya, apakah mereka yang kalah tidak lagi perlu menyumbangkan tenaga untuk parti?

Apakah wajar menyerahkan tugas memulihkan parti bergantung bulat-bulat kepada Presiden, timbalan, naib-naib, ahli majlis tertinggi serta barisan pemimpin wanita, pemuda dan puteri?

Bila melihat kepada kekalahan beberapa Pengerusi Perhubungan UMNO pada pemilihan kali ini, banyak persoalan yang timbul di kepala kini.

Apa maknanya kepada kejutan kekalahan semua empat Menteri Besar dan dua Menteri Kabinet yang bertanding Ahli Majlis Tertinggi?

Keempat-empat Menteri Besar yang tewas ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dua menteri Kabinet yang tewas ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut gagal pada pemilihan MT yang keputusannya diumumkan malam ini ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom dan Datuk Hassan Malek turut tewas.

Apakah mereka dilihat tidak mampu menyumbang kepada parti atau negeri-negeri berkenaan memerlukan pemimpin lebih kuat dan mampu membawa arus perubahan?

Atau apakah mereka ini sudah terlalu lama dalam politik dan tidak lagi menggambarkan ‘kepentingan golongan kepimpinan baru’?

Bagaimana yang baru kali pertama mencuba? Juga mungkin ada persepsi bahawa kalaupun kalah, mereka tetap akan dilantik semula dan dengan melantik ‘orang luar’, akan lebih ramai bekerja untuk UMNO.

Tetapi apa pula maknanya kemenangan kepada mereka yang tidak mempunyai jawatan kerajaan, sebaliknya hanya memegang kerusi pengerusi agensi kerajaan?

Kemenangan besar kepada mereka yang yang tidak berada pada jawatan penting dalam kerajaan melebihi 40 peratus.

Apakah mereka menang kerana dilihat mampu memberikan sumbangan kepada parti?

Ramai juga yang menimbulkan pertanyaan, bagaimana mereka ini boleh menang. Apakah kerana mereka berkedudukan sebagai Pengerusi kepada agensi kerajaan yang penting dan boleh menawarkan ‘ganjaran untuk ahli UMNO’ dan bagaimana pula yang tidak berjawatan?

Bagaimana mereka yang tidak berjawatan ini mampu berkempen dan menawan hati ahli UMNO untuk memilih mereka?

Mereka adalah (mengikut nombor kemenangan dan jumlah undi) : (4) Senator Datuk Azian Osman (2,060), (5) Datuk Zainal Abidin Osman (2,054) (10) Dr Mohd Puad Zarkashi (1,700), (11) Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685), (14) Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (1,622), (16) Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad (1,611), (17) Datuk Seri Mahadzir Khalid (1,580), (20) Datuk Bung Moktar Radin (1,517), (21) Datuk Dr Awang Adek Hussin (1,481), (24) Datuk Seri Idris Jusoh (1,275) dan (25) Datuk Azeez Abdul Rahim (1,265).

Mengambil beberapa contoh – Azian ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, Tajuddin (Felcra), Dr Awang (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan Idris (Pengerusi Mara) sementara Zainal adalah Penasihat Kementerian Luar Bandar.

Berbalik kepada soal berbakti kepada parti, adalah menjadi cabaran kepada mereka ini supaya membalas kepercayaan ahli UMNO.

Ujian paling awal adalah tiga pilihan raya kecil. Apakah mereka ini mampu memberikan sumbangan besar menjamin kemenangan Barisan Nasional?

Kita tunggu bagaimana cara mereka bekerja dan bertindak.

Bola sudah berada di kaki mereka!

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Posted in Bahagian, MT, Pemilihan UMNO on November 11, 2008 by Hambali Abd Latiff


Oleh Hambali Abdul Latiff

Rencana Tiga Bahagian

Wajarkah kita menjadikan masalah yang melanda beberapa UMNO Bahagian yang gagal bermesyuarat seperti Larut, Tanah Merah dan Seremban sebagai kes kajian memperbetulkan masalah yang melanda cawangan dan bahagian?

Penyelesaian kepada kes-kes seperti ini amat penting untuk perpaduan dan kesepakatan ahli UMNO demi kekuatan UMNO menghadapi sebarang pilihan raya – umum dan pilihan raya kecil.
Sesuatu harus dilakukan segera bermula dari Ibu Pejabat UMNO, Perhubungan UMNO Negeri hinggalah ke peringkat cawangan agar
perjalanan pemilihan dan pengurusan parti di masa akan datang lebih licin.

Pengajaran tidak datang jika tidak ada masalah melanda. ‘Blessing in Disguise”. Semua pihak perlu melihat kes ini dengan dada terbuka dan menerima baik sebarang keputusan.
Semua mata kini tertumpu kepada Jawatankuasa Pengurusan menggendalikan kes ini demi jawapan dan tindakan sewajarnya untuk dijadikan suatu precedent pada masa hadapan.

1. Kes Pertama – UMNO Bahagian Larut:
2. Kes Kedua – UMNO Bahagian Tanah Merah:
3. Kes Ketiga – UMNO Bahagian Seremban, Tenom & Pengkalan Chepa

(Bahagian Pertama)
1. UMNO Bahagian Larut:

Masalah: Pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti. Alasan penolakan oleh UMNO Bahagian Larut terhadap Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling (Ibu Pejabat UMNO), mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat. (Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.)

Tindakan Bahagian: Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat. (Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.)

Kesan: Mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November 2008 terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

Perkembangan lain:

1. Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Sebelum ini beliau ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 21 September lalu. Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

2. Setiausaha Agung UMNO menjelaskan kepada Agendadaily, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih. Menurut Tengku Adnan, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November.

3. Utusan Malayia kelmarin, 10 November 2008, bertajuk ‘UMNO Larut mahu Hamzah’ melaporkan seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut mendesak supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin bertanding jawatan Ketua Bahagian itu pada mesyuarat perwakilan bahagian yang dijangka diadakan pada 16 November ini. Desakan itu turut dibuat oleh kira-kira 400 ahli dan perwakilan cawangan di hadapan Hamzah dalam satu perjumpaan khas di Bukit Merah Lake Town Resort di Bukit Merah.Kenyataan ketua-ketua UMNO itu adalah jawapan kepada kenyataan Raja Ahmad bahawa Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti.

Kini, selain isu keahlian, ada empat pertanyaan baru di sini:

1. Adakah perhimpunan seperti ini dibenarkan? Bukankah ini kempen terbuka yang dilarang oleh Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi;

2. Sebagai Ahli Majlis Tertinggi, apakah kehadiran Hamzah ke perjumpaan ini menunjukkan beliau sendiri melanggar arahan MT yang melarang perhimpunan diadakan yang sudah dipersetujui bersama oleh anggota MT?

3. Apakah ada ahli Jawatankuasa Pemantau di perhimpunan di Bukit Merah dan siapa penganjurnya? Bagaimana agaknya laporan JK Pemantau itu (jika ada)?

4. Sebagai ahli seumur hidup, adakah peruntukan diberikan keistimewaan kepada Hamzah untuk membayar yuran selepas 31 Disember 2007 bagi melayakkannya bertanding?

Selain itu, Hamzah turut membuat beberapa kenyataan untuk membela dirinya pada perjumpaan Bukit Merah itu:

1. Hamzah buat pertama kalinya membuat pengumuman secara terbuka untuk bertanding jawatan itu setelah mendapat sokongan ahli parti di peringkat akar umbi;

2. UMNO pusat turut memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk bertanding atau ‘memilih dan dipilih’ mengikut perlembagaan UMNO;

3. Tujuan beliau datang ke Bahagian Larut bukan untuk mencipta perpecahan. Beliau sanggup melucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat semata-mata untuk jadi ahli di sini. (Persoalan di sini tarikh beliau melucutkan jawatan berkenaan dan siapa yang bertanding untuk Ketua Bahagian Ipoh Barat);

4. Berhubung keahliannya di bahagian Larut, Hamzah menjelaskan beliau adalah ahli UMNO seumur hidup dan telah berpindah keahlian ke bahagian itu sejak April lalu;

5. Hadir di perjumpaan Bukit Merah ialah wakil kumpulan Othman Sidek (ahli UMNO Bahagian Larut); Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohamad Annuar Ariffin yang baru dipilih pada mesyuarat Pemuda Bahagian dan Naib Ketua Wanita, Mariatul Kiptiah Abdul Rahman.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Larut ini ialah:

a) Bolehkah Raja Ahmad menyekat Hamzah bertanding berdasarkan pekeliling Ibu Pejabat UMNO mengenai yuran.

b) Kenyataan Setiausaha Agung bahawa Hamzah boleh bertanding sah atau tidak?

c) Bolehkah Hamzah menggunakan ahli UMNO Bahagian Larut membuat kenyataan bagi pihak dirinya?

d) Bolehkah perjumpaan dihadiri 400 ahli UMNO dianjurkan? Apakah ini kempen terbuka?

e) Dipantau oleh wakil ibu pejabat atau sebaliknya?

f) Bolehkah ahli MT hadir pada perjumpaan yang memang dilarang oleh MT diadakan seumpamanya?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.
(Ikuti sambungan Bahagian Kedua)

TAK BAGI DUIT TENTU KALAH?

Posted in MT, Pemilihan UMNO, Politik Wang, UMNO on November 4, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tak bagi duit tentu kalah, bagi duit tidak tentu menang. Tapi masih ada harapan. Kalau tak bagi, sah kalah!

Itulah kata-kata yang dihemburkan oleh pelobi calon dan mereka yang berkempen untuk sesetengah calon bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini, sama ada peringkat khususnya peringkat Majlis Tertinggi UMNO (MT).

Ini belum lagi untuk Naib Presiden dan Timbalan Presiden.

Persoalan ialah apakah ahli UMNO, khususnya mereka yang akan mengundi pada pemilihan UMNO Mac ini mampu menjamin bahawa kata-kata “Tak bagi duit tentu kalah, bagi duit tidak tentu menang’ tidak benar sama sekali?

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan awal bulan lalu bahawa kira-kira RM200 juta digunakan untuk tujuan kempen dan membeli undi dalam pemilihan Umno kali ini.

Beliau mengakui bahawa wang diperlukan ketika berkempen tetapi ia tidak seharusnya membawa kepada gejala membeli undi ataupun menggunakan kuasa bagi menghalang pertandingan.

Berikutan itu semalam, beliau mencadangkan supaya diamalkan model Amerika Syarikat dalam soal kutipan dana untuk tujuan berkempen disamping boleh diamalkan dalam Umno untuk mengawal politik wang.

Jelas beliau, usaha semasa mengawal gejala politik wang dalam Umno dan menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sahaja tidak mencukupi.

Banyak pihak mengatakan politik wang kini berleluasa ketika kempen semakin rancak untuk memenangkan calon pilihan pelobi-pelobi politik yang kini dikatakan banyak berkeliaran di Kuala Lumpur.

Hari ini, ketika dakwaan politik wang dalam pemilihan Umno menjadi suatu kebimbangan besar, Tengku Razaleigh mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

Beliau yang gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk jawatan Presiden Umno, berkata, kini permintaan dan tawar-menawar ganjaran bagi pencalonan-pencalonan yang diberikan berlaku secara terbuka.

“Satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta,” kata beliau di Kota Bharu semalam.

Bekas Naib Presiden Umno itu menyatakan demikian pada hari beliau gagal memperoleh pencalonan mencukupi untuk kerusi Presiden sebaliknya ia dimenangi tanpa cabaran oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Dua minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan ‘berpeluang’ memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Sambil menekankan amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai, Dr. Mahathir berkata: “Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.”

“Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok.

“Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa,” kata beliau yang mengulas isu yang sama buat kali kedua dalam seminggu menerusi blognya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengupas masalah ini apabila mengatakan gejala itu jika tidak dibanteras akan mewujudkan sesuatu yang tidak sihat dalam parti.

Bercakap di Slim River, pemimpin politik yang menggunakan ejen atau orang tengah sebagai pelobi dalam kempen bagi menghadapi pemilihan UMNO Mac depan boleh menyebabkan politik wang berleluasa dalam parti itu.

”Pasukan pemantau yang dilantik Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu mengawasi ejen atau pun orang tengah ini bagi memastikan tidak berlaku gejala rasuah,” katanya.

Sehubungan itu, Azalina berkata, setiap calon yang dipilih untuk bertanding jawatan dalam parti perlu berdasarkan pada kebolehan mereka untuk bekerja.

Presiden UMNO pada sidang media selepas Mesyuarat MT petang Jumaat lalu meminta ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan UMNO balik ke kawasan masing-masing.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah memberi amaran kepada mereka yang berada di hotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau dan dikenakan tindakan.

Amaran berkenaan merupakan salah satu daripada empat garis panduan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengawal sebarang penyelewengan sepanjang tempoh berkempen menjelang Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac depan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terdapat laporan mengatakan ramai ejen, pengurus kempen dan perayu undi berada di hotel-hotel di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri untuk berkempen.

Dan sudah pasti apabila berkempen akan ada duit yang mengalir dan ini dibimbangi akan menguatkan lagi ‘permainan politik wang’.

Apapun, pelobi dan ahli UMNO tahu calon mana yang bermain duit dan siapa yang tidak.
Seharusnya calon-calon terlebih dahulu diberikan amaran kerana pelobi dan pekerja hanya akan bekerja bila ada ‘massuk’ (masuk).