Archive for the kerajaan Category

SULTAN TEGUR PIMPINAN KERAJAAN SELANGOR?

Posted in kerajaan, Menteri Besar, Selangor on December 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sebelum menjadi kerajaan negeri, semua boleh janji. Bulan dan bintang pun boleh janji dijanjikan untuk rakyat.

Namun, selepas menjadi kerajaan ternyata pembangkang yang tiada pengalaman menghadapi masalah paling banyak berbanding negeri lain, walaupun hakikatnya Selangor sebuah negeri kaya.

Dalam konteks peruntukan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri, Selangor adalah antara negeri penerima paling besar.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek yang memberitahu Dewan Rakyat beberapa hari lalu, peruntukan pembangunan bagi 2009 untuk Selangor ialah RM4.09 bilion, iaitu yang kedua selepas Wilayah Persekutuan yang menjadi penerima peruntukan tertinggi iaitu RM4.67 bilion.

Johor dan Terengganu yang menjadi antara kubu UMNO, masing-masing hanya menerima RM3.21 bilion dan RM1.39 bilion.

Jadi, apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam terpaksa menegur kerajaan negeri dengan melahirkan kebimbangan baginda dengan keadaan semasa di negeri ini yang meletakkan agenda politik mengatasi pembangunan negeri, jelas menggambarkan betapa Tuanku tidak boleh menyimpan keresahannya.

Malah, teguran keras diberikan oleh Sultan Selangor apabila mengatakan “Beta berharap supaya apa yang beta titahkan ini mendapat perhatian dan tidak dipandang mudah. Janganlah titah ucapan beta ini menjadi seperti peribahasa mencurahkan air di daun keladi iaitu tidak mendatangkan kesan apa juga pun.”

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, kerajaan Selangor yang diterajui PKR sering mengalami krisis demi krisis kerana kepentingan politik diambil kira melebihi kepentingan rakyat.

Isu-isu yang melanda Selangor dengan kes-kes seperti isu perkauman, agama, rasuah, pertelingkahan sesama pembangkang, pembunuhan dan sebagainya menggambarkan Selangor negeri yang paling banyak menghadapi masalah.

Selain itu, dalam konteks pembangunan – kerajaan negeri jelas menyambung sahaja perancangan dan pembangunan kerajaan lalu sambil menokok tambah pembangunan yang menimbulkan pelbagai kekecohan dan kritikan rakyat.

Sedangkan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, isu yang diperkatakan lebih tertumpu kepada kritikan pembangkang dalam isu-isu pembangunan yang ternyata kini menjadi antara tumpuan kerajaan sekarang.

Berdasarkan realiti semasa, Sultan Sharafuddin bertitah, masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan sudah berlalu dan kini waktunya untuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat melaksanakan segala perancangan dan janji yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008.

Ia tidak lain dan tidak bukan untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Kerana itu, Baginda mahu Menteri Besar Selangor dan barisan Exconya melaksanakan tugas mentadbir dan pembangunan negeri dengan penuh dedikasi serta sentiasa mempercayai dan bekerjasama dengan penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu.

“Kerjasama dan kepercayaan antara eksekutif dengan penjawat awam penting bagi memastikan pembangunan di negeri ini berjalan lancar. Beta berkenan supaya pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan telus dan berdedikasi, jangan mengambil kesempatan menyalahguna tanggungjawab demi kepentingan peribadi yang akan merosakkan pentadbiran dan menyusahkan rakyat,” titahnya.

Ternyata baginda juga tidak senang dengan suasana yang berlaku di negeri itu apabila perkara kecil berlaku di Selangor kadangkala dihebah dan diperbesarkan sehingga melampaui batasan dan menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Kerana itu baginda mahu kepemimpinan tertinggi negeri itu agar jangan banyak bercakap saja, sebaliknya melaksanakan perkara berfaedah untuk rakyat.

“Beta percaya rakyat lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal politik. Beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa ini bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa depan,” titahnya pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Keputeraan Baginda ke-64 di Istana Alam Shah.

Benar sekali pandangan baginda apabila mengatakan perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk tidak saling menghormati antara satu sama lain dan hidup bersatu padu demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Baginda mahu melihat rakyat di Selangor bebas bergerak dan tidak berasa takut atau khuatir terhadap keselamatan diri, harta benda dan keluarga.

Justeru, baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan tugas mereka dengan penuh azam dan komitmen bagi menghapuskan jenayah di Selangor.

Baginda juga bertitah, rakyat Selangor yang mahu menyalurkan pendapat atau rintihan bagi mencari jalan penyelesaian perlu menggunakan saluran yang disediakan mengikut undang-undang.

Selain itu, Baginda juga mahu hubungan baik kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dengan kerajaan Pusat dapat diteruskan supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

Namun, apakah ini amalan kerajaan negeri sekarang?

Sikap berkonfrontasi dengan kerajaan Pusat jelas cuba digambarkan oleh pimpinan kerajaan negeri dengan sengaja menimbulkan isu-isu dan kritikan pedas sedangkan kerajaan Pusat tetap bermurah hati dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada kerajaan Selangor.

Itu belum lagi pelbagai bantuan lain kepada rakyat Selangor yang jelas kurang senang dengan tindak tanduk kerajaan negeri.

Pengumuman perlantikan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi adalah bukti kerajaan Selangor sengaja mahu menunjukkan sikapnya yang ‘keras kepala’ walaupun sedar Anwar akan berdepan dengan kes liwatnya di mahkamah.

Kenapa tidak tangguh dahulu perlantikan itu dalam kedudukan Anwar yang sedemikian?

PENSABOTAJ KERAJAAN – WAJARKAH DIBAYAR HABUAN?

Posted in Aidilfitri, kerajaan, Rakyat on September 10, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada kalangan kakitangan kerajaan yang bersikap membenci kerajaan dan ada yang sanggup menyertai perarakan anjuran pembangkang.

Setengahnya juga ada yang membantah secara diam dengan mengundi pembangkang. Namun, apabila kerajaan membayar bonus atau sebarang sagu hati mereka tidak menolaknya.

Malah, saya yakin ada kalangan mereka yang turut mendesak untuk mendapatkan bonus atau saguhati lain.

Apakah bagi mereka ‘halal’ mengambil bantuan itu sedangkan mereka menentang dan mensabotaj pelbagai usaha kerajaan bagi memajukan rakyat?

Apakah mereka menyumbang kepada kerajaan apabila menjadi penentang dan berusaha menggagalkan sebarang usaha kerajaan?

Seramai 860,000 kakitangan awam kumpulan sokongan akan mendapat bantuan khas kewangan membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Kerajaan mengumumkan semalam, pembayaran bantuan khas kewangan itu sebanyak RM500.
Bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Saya mempersoalkan perkara ini kerana dalam sistem pembayaran bonus atau sagu hati, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempersoalkan sama ada seseorang itu menentang atau menyokong kerajaan.

Sedangkan dalam syarikat swasta, pembayaran bonus dan ex-gratia dibayar mengikut pencapaian seseorang, kecuali bonus yang ditetapkan melalui perjanjian bersama. Yang kurang menyumbang kepada syarikat pastilah mendapat pembayaran kurang.

Tetapi tidak dengan kerajaan. Yang malas, ponteng, berniaga di luar, sakit berpanjangan dan yang menentang kerajaan pun mendapat habuan yang sama.

Tahun lepas, 2 juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur semalam menegaskan implikasi kewangan kepada 860,000 kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta.

Keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, wajarkah kerajaan dilihat zalim dan tidak adil?

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jadi kepada penjawat kerajaan khususnya kepala penentang kerajaan, wajar mereka berfikir sejenak, apakah adil mereka menerima bantuan berkenaan?

Memanglah tidak akan nada perkataan terima kasih daripada mereka. Seperti biasa mereka akan mengatakan itu tugas kerajaan untuk menjaga kepentingan kakitangannya.

Juga apakah ‘rezeki mereka halal’ apabila mengambil habuan berkenaan?

Sedangkan hakikatnya mereka tidak menyumbang secara maksimum malah ada yang mensabotaj pula kepada usaha kerajaan memaju dan menstabilkan negara.

Tetapi bagaimana dengan kerajaan negeri yang diperintah pembangkang, apakah mereka juga akan memberikan habuan seperti ini?

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang – apakah mereka akan melakukan sama?

KERAJAAN MAMPU BAYAR BONUS?

Posted in bonus, kerajaan on September 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ini Cuepacs kata. Kalau bayar pun tidak sampai RM500 juta.

Cuepacs mengulangi permintaan awal supaya kerajaan membayar sekurang-kurangnya setengah bulan bonus sebelum Hari Raya dan setengah lagi pada akhir tahun ini.

Mengikut perkiraan Cuepacs, kerajaan hanya berbelanja kurang daripada RM500 juta untuk membayar bonus dan “ia adalah dalam kemampuan kerajaan untuk berbuat demikian”.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hari ini, Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan sebulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Keyakinan itu berdasarkan kepada kenyataan bahawa kerajaan mampu memberikan bonus itu berdasarkan penjimatan dari subsidi petrol, beras dan gula.

Walaupun jumlah itu tidak termasuk di dalam bajet tahun lalu, ia masih lagi boleh memberi pendahuluan dan memasukkannya di dalam bajet yang akan datang bulan depan.

“Kami sebagai penjawat awam sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah dan melaksanakan segala dasarnya dengan berkesan.

“Kami berharap kerajaan sebagai majikan contoh tidak akan mengecewakan 1.2 juta penjawat awam yang sentiasa menunggu bonus untuk membantu dalam perbelanjaan akhir tahun keluarga mereka.

Katanya, penjawat awam patut menerima bayaran itu kerana mereka sudah bekerja keras bagi meningkatkan sistem penyampaian dan mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.

Persoalannya benarkah sistem penyampaian dan mencapai sasaran KPI sudah terlaksana?

APABILA PEGAWAI KERJAAN MENJATUHKAN MARUAH NEGARA

Posted in kerajaan, Malaysia, PATI on July 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

Jika ada negara Barat menuduh kita dalam sesuatu perkara, pemimpin kita khususnya Menteri cuba menidakkannya.

Tujuannya tidak lebih daripada menjamin maruah negara tidak tercemar.

Contohnya, Jun lalu, Amerika Syarikat (AS) memasukkan semula Malaysia dalam senarai hitam negara yang menyeludup manusia, selain Afrika iaitu Chad, Eritrea, Niger, Mauritania, Swaziland dan Zimbabwe.

Menurut laporan itu, Malaysia didapati tidak mematuhi sepenuhnya standard minimum untuk menghapuskan penyeludupan manusia bersungguh-sungguh.

Tiba-tiba sahaja ada berita semalam mengatakan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen Johor termasuk lima pegawai kanan ditahan setelah didapati terlibat dalam sindiket antarabangsa penyeludupan manusia di negara ini.
Mereka bukan sahaja mengambil bahagian dalam penyeludupan tetapi juga peras ugut pelarian Myanmar.

Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu bersekongkol dengan sindiket terbabit dengan menggunakan laluan tikus di sempadan utara negara.

Kakitangan kerajaan sepatutnya menjaga maruah dan menaikkan nama kerajaan dan negara.
Tetapi mereka ternyata menyulitkan negara bukan sekadar diri dan keluarganya semata-mata.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di Johor Bahru, Jumaat lalu.

Memalukan dan di mana mahu diletakkan muka Menteri berkenaan dan maruh kerjaan seluruhnya?

Yang pasti siasatan mendapati, lima pegawai kanan itu menjadi orang tengah untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari utara tanah air.

Menjadi orang tengah – apa tujuan? Mendapat habuan?

Kata Mohd Bakri: ”Mereka akan membawa masuk PATI ini yang kebanyakannya adalah warga Myanmar dengan menggunakan laluan tikus.

”Setiap mereka (PATI) akan dikenakan bayaran antara RM300 dengan RM600 seorang,”. Duit atas angin melalui ‘darah manusia’.

Yang empat lagi rakan mereka pula bertindak menjadi barua dan kuli penghantar warga asing terbabit ke lokasi ditetapkan.

”Sebaik tiba, warga asing itu akan diserahkan kepada sindiket yang sedia menerima mereka. Setiap warga asing perlu membayar RM2,000 seorang kepada sindiket terbabit,” katanya.

Mohd. Bakri menambah, sekiranya warga asing terbabit tidak membayar wang itu, mereka akan dijual kepada pengusaha ikan di negara jiran sebagai buruh paksa sehingga hutang selesai.

Ini menggambarkan betapa kejamnya mereka ini turut terlibat dalam perdagangan dan perhambaan manusia.

”Segala kerja-kerja pengurusan membabitkan ahli-ahli sindiket itu dilakukan melalui perhubungan telefon bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.

”Malah urusan pembayaran wang juga dilakukan melalui bank,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat jumlah mereka yang pernah menjadi mangsa oleh sindiket tersebut.

Katanya, pihaknya turut menyiasat sama ada pegawai kanan itu turut terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen.

”Berdasarkan siasatan awal, kita dapati sindiket itu aktif sejak setahun lalu. Dengan penahanan sembilan suspek ini, kita percaya memecahkan rangkaian mereka,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua mereka kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

”Kita akan memantau dan terus mengesan saki-baki kumpulan berkenaan yang dipercayai masih bebas,” tegas beliau.

NAJIB JANGAN HILANG FOKUS

Posted in kerajaan, Najib, perpaduan on June 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)
Bagi saya, baik lupakan sahaja konsep kerajaan perpaduan.

Jangan menjadi hipokrit – kerajaan perpaduan asal ialah kerjasama UMNO dan PAS tidak membabitkan parti lain sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Jika tidak masakan pemimpin MCA seperti Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek di Pasir Putih, Kelantan kelmarin bernai mengatakan: “Demi kepentingan rakyat, maka MCA juga boleh duduk bincang dengan DAP.”

Apa maknanya ini? Bukankah ia juga konsep kerajaan perpaduan tetapi antara Cina dengan Cina.

Oleh itu, Soi Lek percaya UMNO tidak mungkin membentuk satu kerajaan bersama PAS dan membiarkan parti kaum Cina menjadi pembangkang.

Yang jelas, kerana mahu menjaga hati pakatan pembangkang, pemimpin PAS terutamanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sewaktu dengannya – konsep PAS mengenai kerajaan perpaduan asal sudah lari daripada matlamatnya.

Kalau konsep kerajaan perpaduan mahu dirojakkan, baik tidak usah adakan kerajaan perpaduan kerana konsep Barisan Nasional (BN) dan 1Malaysia sudahpun ada dan lengkap.
Ia lebih baik daripada ‘kawin campur’ melalui pakatan pembangkang.

Agak mengejutkan juga semalam apabila PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan Umno termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan.
Ini disuarakan senditi oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Yang pasti, kenyataan terbaru ini dikeluarkan tiga hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Umno-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Sedangkan sebelum ini, apa yang difahamkan ialah perbincangan hanya membabitkan UMNO-PAS yang menjadikan banyak pihak dalam PAS, khususnya Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang serik dengan kerajaan campuran menentang bulat-bulat.

Malah, sebelum ini Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Justeru, Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Pada 16 Jun lalu, Najib berkata, pihaknya tidak pernah menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebagai reaksi kepada kenyataan itu berkata PAS menerima dengan hati terbuka keyakinan Perdana Menteri mengenai keikhlasan parti itu berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Akibatnya, Nasharudddin diminta oleh Nik Aziz supaya tinggalkan PAS dan masuk UMNO selain kata-kata pedih lain.

Persoalannya apa konsep kerajaan perpaduan terbaru?

Apakah ia UMNO + BN + PAS+ pakatan pembangkang? Kalau begini, sampai kiamat pun sukar untuk dibentuk kerana sebab-sebab yang rakyat sendiri sudah tahu.

Malah, semalam Nik Aziz mendakwa konsep pakatan pembangkang jauh lebih baik daripada kerajaan pimpinan UMNO dan dan kerana itu PAS tidak perlu mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pendiriannya tetap menolak konsep kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) yang hangat diperkatakan kalangan pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu kebelakangan ini.

“Kerajaan pakatan jauh lebih baik daripada kerajaan perpaduan… nak buka lembaran baru kerana apa, yang lama tutup kenapa. Ya… tetap (menentang kerajaan perpaduan)… kami dah kenal Umno,” katanya di Alor Setar.

Jelas dan nyata kini PAS semakin menjauhkan dirinya dari UMNO.

Tidak diketahui sejauh mana UMNO masih mahu mendekati PAS. Yang pasti, PAS lebih selesa dengan sekutunya DAP dan PKR.

Benar juga kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa cadangan rundingan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS bukan keputusan yang bijak kerana ia boleh memberi pelbagai kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sendiri tidak pasti sama ada ahli UMNO bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan.

Hendaknya Najib memberikan arahan supaya jangan membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan ahli UMNO dan rakyat seluruhnya.

Selain itu saya (siapalah saya) ingin mengingatkan Najib, teruskan dengan agenda 1Malaysia itu kerana ia perjuangan yang berpandangan jauh dan mula diterima rakyat. Rakyat Didahulukan, Pencapaian diUtamakan cukup memberangsangkan daripada pakatan pembangkang yang bercelaru.

BN sudah mempunyai rekod pencapaiannya tetapi kerajaan perpaduan pembangkang berkecamuk di mana sahaja – Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan sebelum ini di Perak.

Di Kelantan tanda-tanda menunjukkan ia juga akan berkecamuk sesama sendiri kerana ada puak yang tidak mahu Melayu dan Melayu bersatu selain membenci orang Islam sesama Islam berbaik-baik.

Bagi mereka asal jangan UMNO, yang lain tidak apa kerana UMNO itu kafir dan diharamkan masuk syurga.

Apakah UMNO atau BN yang begitu murni perjuangannya mahu mendekati orang yang bersikap seperti ini?

Adalah baik Najib meneruskan agenda BN dengan memperkukuhkan UMNO dan jika ada yang sudi dari PAS untuk berbaik-baik, terimalah mereka dengan apa cara sekali pun tetapi lupakan kerajaan perpaduan jika ia akan mendatang lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

Fikirkanlah Datuk Seri Mohd Najib Razak!