Archive for February, 2009

“SINGH IS KING” YANG CELAKA?

Posted in Celaka, KARPAL on February 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kini selepas 24 jam berlalu, siapa yang CELAKA sebenarnya?

Dan bagaimana dengan mereka yang menyokong Karpal Singh, CELAKA jugakah mereka?
Ternyata sehingga ke saat ini, iaitu selepas 24 jam tempoh yang Pemuda UMNO berikan, Karpal Singh yang menganggap dirinya ‘Singh is King’ memang gagal mengemukakan bukti.

Semalam, Pemuda UMNO memberi tempoh 24 jam kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengemukakan bukti bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu perlu segera mengemukakan bukti terhadap tuduhan liar, gila dan berniat jahat yang dibuatnya jika tidak mahu dianggap sebagai seorang penipu yang ketandusan modal.

”Tuduhan beliau telah menimbulkan kemarahan seluruh 700,000 ahli pergerakan ini dan sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama-sama 30 pemimpin pergerakan itu dari seluruh negara di lobi Parlimen hari ini.

Karpal ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semalam, mendakwa sepucuk surat beserta dua butir peluru telah diposkan oleh pergerakan itu ke alamat rumahnya di Jalan Utama, Pulau Pinang pada 19 Februari lalu.

Dalam ucapan itu, beliau juga mengungkapkan ‘Pemuda UMNO celaka’ bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pergerakan tersebut membuat laporan polis dan menganjurkan demonstrasi sebagai membantah hasratnya untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Pemuda UMNO mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Karpal itu kerana ia celupar, kesat dan tidak mematuhi etika Parlimen dan mencabarnya untuk mengulangi apa yang telah disebutnya di luar Dewan.

Hari ini, Pemuda UMNO bertanya masyarakat Malaysia sleuruhnya: “Pernah kita maki dia Singh celaka. Bayangkan bagaimana orang Singh rasa Singh celaka.” Itulah kata-kata anggota Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Beliau melahirkan rasa terguris hati dan marah anggota
Reezal Merican berkata Karpal tidak sepatutnya berselindung di sebalik undang-undang atau kekebalan sebagai wakil rakyat untuk menuduh dan menghina Pemuda Umno.


Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula berkata Pemuda Umno merasa kecewa dengan tindakan Karpal kerana sebagai seorang yang sudah lanjut usia, beliau sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada golongan muda.

“Tetapi sejak kebelakangan ini Karpal menunjukkan contoh yang kurang baik dan menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya.

Advertisements

ANWAR : PEMUDA UMNO BIADAP, GANAS

Posted in DAP, PEMUDA, UMNO on February 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa yang boleh diharapkan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dia akan tetap membela kawannya itu walaupun pergerakan yang pernah dipimpinnya disebut ‘CELAKA’.

Menurut Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, beliau kesal dan mengecam keras tindakan yang dilakukan oleh Pemuda Umno itu.

“Kami mengutuk keras tindakan biadap dan ganas seperti ini dan jika ia dibenarkan akan membahayakan keselamatan ahli Parlimen.

“Kita mahu tindakan segera dan jaminan daripada pihak polis dan kerajaan supaya kemuliaan dewan dan kebebasan ahli-ahli Parlimen terjamin,” katanya ketika ditemui.

Dengan kata-kata Anwar itu, Pemuda UMNO kini selain “CELAKA’, juga BIADAP dan GANAS.

Renungkan sejenak.

Kenapa Pemuda UMNO marah.

Apakah Biadap dan Ganas hanya melalui perbuatan? Bagaimana jika ia dilakukan melalui mulut?
Bukankah pepatah Melayu ada mengatakan “Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Mulut Badan BINASA”.

Jelas, Anwar hanya melihat gelagat dan perbuatan sahaja sebagai Biadap dan Ganas tetapi sanggup pejam mata kepada kata-kata yang boleh mengguriskan perasaan dan mencabar kemarahan orang Melayu.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, tuduhan yang dilemparkan Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu merupakan satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Anggota Parlimen Jerlun menganggap kenyataan bahawa “Singh is King” menunjukkan bahawa beliau sudah terlalu takbur sehingga menganggap dirinya seorang Raja mengatasi kedaulatan Raja-Raja Melayu yang sudah bertakhta sejak turun-temurun.

“Karpal nyata tidak langsung menghormati mahupun mengendahkan tatasusila mesyuarat dan kesopanan Dewan Rakyat.

“Meskipun akhirnya Karpal menarik balik kenyataan yang telah dibuat, saya menggesa beliau digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang dianggap wajar sebagai sempadan yang mesti diawasi oleh ahliahli Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Khairy menegaskan: ” Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan untuk bertindak cepat, manusia macam Karpal ini memang angkuh, memang ingat dia selalu betul dan dia tahu segalagalanya.

“Saya takut kalau kerajaan tidak ambil tindakan mengikut undang-undang kita tak dapat bendung kemarahan rakyat, kemarahan sebilangan besar daripada rakyat masyarakat Melayu terutamanya, dan seluruh ahli pergerakan Pemuda Umno Malaysia,” tegasnya.

“Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang Ahli Parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran. Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

“Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang diPertuan Agong, wakil rakyat Bukit Gelugor itu mendakwa Pemuda Umno yang mengirimkan dua butir peluru yang ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Kami mahu mengingatkan Karpal bahawa bukan Pemuda Umno yang mainmain. Sebenarnya Karpal yang mainmain dengan sentimen rakyat dan bermain dengan api.

Sekiranya beliau tidak bertaubat dan berhenti, kemarahan yang masih membara ini akan menjadi lebih dahsyat,”ujar Khairy.

Kenyataan Khairy itu pada sebelah pagi tetapi pada kira-kira jam 3 petang, dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno Selangor ‘menunjukkan fizikal kekuatan’ dengan bergelut di bangunan Parlimen petang ini berhubung isu Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mengeluarkan perkataan ‘’CELAKA” semalam.

Menurut mStar hari ini, insiden kira-kira pukul 3 petang tadi bermula apabila 13 ahli dari Pemuda Umno dari Bahagian Petaling Jaya Utara dan Gombak mengepung Karpal yang baru tiba di pintu masuk utama ke bangunan Parlimen.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan “Pemuda Umno celaka” dan meminta maaf kepada mereka.

Karpal bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan meminta bantuan daripada pihak keselamatan berhampiran kawasan tersebut menolongnya.

Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila Ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.
Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.

Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya disekat anggota polis dan pasukan keselamatan Parlimen manakala Karpal segera dibawa masuk ke menara Parlimen.

Namun, keadaan panas semula apabila ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo keluar dari bangunan Parlimen dan mencabar Pemuda Umno berdepan dengannya.

Semalam, Karpal menarik balik perkataan “celaka” yang ditujukan kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

ISU TOL –NAJIB JUGA…?

Posted in Kabinet, Tol, Zin on February 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada pelik sikit.

Sekarang Kabinet pun dah boleh main gear gostan. Macam filem P Ramlee jadinya.
Bukan apa, semalam Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini.

Ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

Abdullah berkata walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang.

“Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej ransangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen 10 Mac.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed. semalam mengumumkan kadar tol bagi lima lebuhraya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus) naik sebanyak 5 peratus mulai 1 Mac ini.

Apakah Ir. Mohd Zin membuat pengumuman berasaskan keputusan mesyuarat Kabinet beberapa minggu lepas dan tidak update dengan perkembangan semasa?

Kenyataan Perdana Menteri menggambarkan Menterinya membuat keputusan untuk mengumumkan kadar baru tol ini berasaskan keputusan Kabinet yang ‘sudah tidak boleh dipakai lagi’.

Silap? Kelemahan? Tak tahulah! Hanya Menteri yang tahu.

Dalam kenyataannya, Ir. Mohd Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

“Berikutan penangguhan itu, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta, iaitu RM177 juta kepada Plus, RM38 kepada Sprint dan RM30 juta kepada Akleh,” katanya.

Ir. Mohd Zin berkata, sebenarnya kadar tol di lebuhraya Plus, Sprint dan Akleh sepatutnya dinaikkan pada 1 Januari 2008, tetapi telah ditangguhkan kepada 28 Februari lalu.

Empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Menurut Ir. Mohd Zin lagi, kenaikan kadar tol itu tidak seharusnya dilihat sebagai membebankan kerana mutu dan kualiti lebuhraya berkenaan terjamin, selain menjadi laluan altenatif di kawasan berkenaan.

Kewujudan lebuhraya berkenaan juga, katanya, telah membawa rahmat kepada rakyat dan negara, dengan menggalakkan pembangunan, perumahan, perniagaan dan juga meningkatkan sosio-ekonomi penduduk sekitar.

Walau apa juga dikatakan oleh Ir. Mohd Zin, permintaan Perdana Menteri itu mempunyai makna tersendiri.

Pertama, apakah Menteri Kerjaraya tidak check dengan Abdullah sebelum mengumumkan kadar tol baru itu.

Kedua, apakah Abdullah tidak tahu mengenai tarikh pengumuman sehingga biarkan Menterinya membuat pengumuman dan kemudian minta Menteri timbang semula.

Ketiga, apakah ada permainan politik antara Perdana Menteri dan Menterinya untuk menunjukkan kedua-duanya prihatin kepada rakyat;

Keempat, apa jadi dengan Kabinet sekarang? Boleh main umum dan kemudian timbang semula?; dan

Kelima, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mendengar kajian semula itu akan berdepan dengan pelbagai desakan.

Kalau tidak dapat penuhi permintaan untuk turunkan tol, beliau akan jadi ‘belasahan’ tidak tentu pasal.

Apakah ada ‘udang di sebalik maggie’ dalam isu tol ini?

Menurut Abdullah, kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar,” katanya.

Tak payah ambil pembangkanglah, kerana penyokong kerajaan juga bantah kenaikan tol pada ketika ini.

Di Dewan Rakyat semalam, Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

“Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini,” katanya, lapor Bernama.

Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) tidak menafikan merasai bebanan kenaikan tol biarpun memahami akan perjanjian yang dibuat kerajaan bersama syarikat konsesi lebuhraya.

“Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai,” katanya.

Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, berkata beliau faham bahawa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong turut melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman kenaikan itu dan meminta kerajaan menelitinya semula.

“Kita masih ada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, saya harap perkara ini dikaji semula bagi meringankan beban pengguna jalan,” katanya.

Wee turut merayu kepada Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang akan membentangkan mini bajet pada 10 Mac ini agar memikirkan semula kenaikan kadar tol itu.

PEMUDA UMNO CELAKA

Posted in KARPAL, PEMUDA, UMNO on February 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Mana maruah dan keberanian Pemuda UMNO?

Mana pemimpin yang menghunus keris dan melaungkan “Hidup Melayu”?

Pengerusi DAP, Karpal Singh sudah melaungkan “Pemuda Umno ini celaka” dan apa pemimpin Pemuda UMNO mahu melakukan terhadapnya?

Menggelarkan dirinya Raja, “Singh is King”, Karpal kini berani merendahkan Pemuda UMNO ke darjat paling jijik pernah dibuat oleh seseorang pemimpin pembangkang.

Dua calon Ketua Pemuda UMNO – Khairy Jamaluddin dan Datuk Mukhriz Mahathir adalah dua anggota Dewan Rakyat di mana Karpal mengeluarkan kata-katanya.

Ketua Pemuda UMNO yang akan melepaskan jawatannya – Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga Ahli Parlimen.

Sementara calon Naib Ketua – Datuk Razali Ibrahim juga adalah Ahli Parlimen. Setiausaha Kerja Pemuda UMNO juga anggota Dewan Rakyat.

Walaupun Karpal tarik balik itu setelah dipaksa.

Di mana pemimpin Pemuda ini mahu letak muka? Tidak malu?

Saya mahu lihat apa dibuat oleh Pemuda UMNO. Mungkinkah akan ada perhimpunan seperti pada 1988 di Stadium TPCA?

Hari ini di Dewan Rakyat, Pengerusi DAP Karpal Singh terpaksa menarik balik perkataan “celaka” yang ditujukan kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan Yang di-Pertuan Agong hari ini, wakil rakyat Bukit Gelugor itu pada mulanya menyentuh mengenai 100 laporan polis yang dibuat terhadapnya selepas beliau membuat kenyataan mahu menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung krisis politik di Perak.

“Barangkali ini jadi satu rekod dalam dunia,” katanya.

Selain laporan polis terhadapnya itu, Karpal juga menerima ugutan apabila dua butir peluru ditemui dalam satu sampul surat di kediamannya di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Dua peluru Tuan Speaker. Dalam Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri, jika seseorang memiliki satu peluru dan didapati bersalah hukumannya mandatori maut. Saya mahu tahu di mana celaka Pemuda Umno ini mendapat dua peluru ini.”

Kata-kata Karpal itu menyebabkan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) segera bangun meminta supaya beliau menarik balik kenyataan itu dan menyatakan Karpal tidak boleh menyatakan sedemikian tanpa bukti.

“Pemuda Umno ini celaka. Jangan ganggu saya,” katanya meneruskan perbahasan sebelum keadaan menjadi riuh rendah, mendorong Wan Junaidi menegur Karpal agar tidak menggunakan perkataan itu lagi.

“Bukit Gelugor boleh teruskan ucapan tapi jangan cakap celaka. Ini sepatutnya tidak dipakai YB,” kata Wan Junaidi.

Karpal sekali lagi berkata beliau tidak mahu diganggu dan mengulangi kenyataan yang sama terhadap Pemuda Umno tetapi kemudiannya menarik balik perkataan itu selepas diarah oleh Wan Junaidi.

“Kalau Speaker tak suka saya boleh tarik balik, tak ada masalah. Sudah tarik balik. Saya beri amaran kepada Pemuda Umno jangan main-main dengan saya. Singh Is King,” kata Karpal mungkin merujuk kepada judul sebuah filem Hindi.

PERSAHABATAN SIBER TERPUTUS JUGA AKHIRNYA

Posted in MSO, siber on February 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Terima kasih Saudara Mohd Sayuti Omar (MSO) kerana membenarkan saya menempel alamat blog saya melalui LINK di blog saudara – MERAHTINTA (http://msomelayu.blogspot.com/) – selama kira-kira empat bulan.

Banyak faedahnya menumpang di blog saudara tetapi dari awal saya sudah menjangkakan apa akhirnya. Ini kerana sebelum saya ada juga blog lain yang menumpang dan terpaksa menerima nasib seperti saya.

Kelmarin saya melihat link itu (Hambali Latif) sudah tidak kelihatan lagi.

Saya faham, berapa lama saya harus bertenggek. Saya juga faham kenapa saudara terpaksa memansuhkan link berkenaan daripada blog saudara.

Di pihak saya, saya akan mengekalkan alamat MERAH TINTA di blog saya kerana bagi saya sekali bersahabat, akan bersahabat selama-lamanya.

Namun, jelas persahabatan siber antara saya dan Mohd Sayuti Omar ‘putus terpaksa’.

Cuma ada beberapa persoalan yang saya ingin kemukakan di sini yang rasanya tidak ada orang lain selain Mohd Sayuti Omar sendiri yang boleh menjawab.

1. Adakah Mohd Sayuti Omar sebagai ‘sahabat siber’ meletakkan kepentingan parti yang disokongnya – PAS – mengatasi segala-gala, termasuk persahabatan dengan saya apabila membersihkan alamat blog saya?

2. Apakah Mohd Sayuti Omar memang seorang yang suka melupakan kawan? Bukan orang tidak tahu bagaimana akrabnya Mohd Sayuti Omar dengan Datuk Husam Musa pada suatu ketika. Malah, dia banyak membantu Husam, termasuklah projek Kambing Jamnapari yang hebat diperkatakan pada 2007. Kenapakah Mohd Sayuti tinggalkan Husam, atau sebaliknya? Apakah kerana Husam tidak memberikan habuan untuknya?

3. Mohd Sayuti Omar juga sangat rapat dengan Datuk Ibrahim Ali. Dia ‘memperkenalkan’ Ibrahim kepada Husam yang kemudiannyan dikatakan bertanggungjawab memberikan kerusi Parlimen Pasir Mas kepada Ibrahim. Mungkin betul, mungkin silap pendapat saya ini. Persoalannya kenapa kini Mohd Sayuti Omar ‘membelasah Ibrahim secukup-cukupnya’?

Apakah beliau marah kerana tidak mendapat sebarang habuan daripada Ibrahim?
Saya tidak boleh memberikan apa-apa kepada beliau ketika menumpang meletakkan alamat blog selama empat bulan.

Kalau mengharapkan wang ringgit memang saya tidak ada. Yang ada hanyalah ‘persahabatan siber’ dan itupun sudah tidak wujud lagi selepas Mohd Sayuti Omar membersihkan alamat blog saya daripada blognya.

Apapun terima kasih di atas kebaikan saudara selama ini!

PPSMI – DAP DAN PKR BANTAH JUGA?

Posted in bahasa, Pemilihan UMNO, PKR, PPSMI on February 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sebenarnya isu melindungi atau untuk kepentingan Bahasa Melayu tidak besar.
Ia lebih kepada rangkaian politik tajaan pembangkang dengan puak-puak yang nampak diperalatkan.

Jelas sekali bantahan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) tidak mungkin menjadi ‘isu negara’ kalau ntidak kerana ada pihak yang ‘menyalakan api bantahan’.

Pengakuan bekas Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin bahawa ada tindakan saman dilakukan oleh anaknya terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan kerana telah melanggar Perlembagaan negara yang memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, mula ‘menyelakkan rahsia’ matlamat sebenar.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar Jamaluddin, 10 dinyatakan oleh bapanya pernah menyaman kerajaan pada tahun 2006 beserta beberapa pelajar sekolah yang lain kerana melaksanakan dasar yang menyebabkan sebilangan besar pelajar khususnya kaum Melayu tercicir dalam mencapai kejayaan di kedua-dua mata pelajaran itu.

Saman ini pun dilakukan hanya selepas tiga tahun PPSMI dilaksanakan. Ini bermakna anak Mohammad Nizar belum menduduki peperiksaan dan belum pasti keberkesanan yang sebenar.

Perkara mengenai saman oleh anaknya dinyatakan Nizar dalam ceramahnya di Felcra Kg Serigala, dekat Slim River malam semalam.

“Kita dalam Pakatan Rakyat sudah lama membantah PPSMI dan memperjuangkan bahasa rasmi yang juga ingin dilenyapkan oleh Umno seperti mana yang berlaku ke atas tulisan jawi.
“Anak saya dan beberapa yang lain telah bertindak menyaman kerajaan kerana mencabuli perlembagaan negara yang melindungi bahasa ibunda,” katanya yang turut dibantu dan diwakili oleh tujuh peguam antaranya Hanipa Maidin dan Amiruddin.

Menurut laporan laman web rasmi sebuah parti pembangkang, Lajnah Pendidikan PAS Pusat akan turut menganjurkan ‘Himpunan dan Ikrar : Mansuhkan PPSMI’ hari ini, 23 Februari 2009 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor jam 9.00 malam.

Program ini akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat antaranya, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi GMP, Dato’ Hassan Ahmad, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid; Penggiat Teater, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Ahmad Lutfi Othman dan Wakil-Wakil NGO.
PPSMI dianggap pembangkang membawa kesan yang negatif ke atas pencapaian keputusan peperiksaan pelajar-pelajar Melayu khususnya di luar bandar.

Persoalannya, benarkah Pakatan Rakyat menentang PPSMI?

Mana wakil DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lain? Apakah mereka turut menentang kerajaan kerana mahu ‘mengagungkan Bahasa Melayu”?

Kenapa nampak majlis ini diwakili Melayu sahaja?

Apakah isu PPSMI ini hanya membabitkan kepentingan pelajar Melayu sahaja?

Ada beberapa perkara di sini yang saya rasa Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran perlu berterus terang melalui kajian menyeluruh dan tidak membiarkan bantahan menjadi ‘politik’.

1. Apakah kelemahan diakibatkan oleh kegagalan guru-guru yang mengajar dua subjek dalam Bahasa Inggeris;

2. Apakah persediaan Kementerian Pelajaran melatih guru-guru bagi mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

3. Apa persediaan ibu bapa untuk menerima pengajaran PPSMI?

4. Benarkah ‘bala’ PPSMI hanya jatuh kepada pelajar Melayu?; dan

5. Benarkah benar keputusan PPSMI semakin meningkat dan menyeluruh untuk bandar dan luar bandar?

Hakikatnya, saya tidak nampak begini:

1. Masalah hanya bagi sekolah di luar bandar;

2. Masalah hanya bagi sekolah yang tidak mempunyai guru berkelayakan; dan

3. Masalah hanya bagi ibu bapa yang tidak menyokong usaha ‘menerapkan’ satu lagi bahasa tambahan untuk anak-anak.

Jawapan kepada semua ini saya tidak pasti.

Hanya satu yang pasti, anak saya yang mengambil mata pelajaran sains dan matematik pada peperiksaan UPSR 2008 mendapat A bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan dengan pengantar bahasa Inggeris dan Cina.

Kenapa sekolah Cina tidak bising?

Kerana itu apabila memikirkan wujud bantahan dan kebanyakannya di kalangan orang Melayu, sementara Gapena pula membuat laporan polis, tertanya saya kepada diri sendiri, kenapa orang Melayu menolak dan tidak bersedia?

Dan malang sekali, kemarahan diluahkan melalui saluran pembangkang, bukan seperti bantahan-bantahan mengenai bahasa yang dilakukan pada 1960an dan 1970an melalui badan-badan yang memperjuangkan bahasa.

Kerajaan dan Kementerian Pelajaran jangan menyalahkan pembangkang kerana terbabit dalam isu ini kerana mereka akan menggunakan apa juga saluran untuk mendapatkan kuasa.

Yang penting, umumkan kedudukan sebenar dan buatlah kajian menyeluruh agar pihak yang menentang dapat diredakan.

Soal pembangkang untuk ‘tumpang sekaki’ tidak boleh apa-apa. Itu kerja dia.
Yang penting apa juga kebaikan untuk anak-anak dan generasi kita perlu diteruskan. Atau jika benar merugikan, hentikan!

APABILA PKR KENA SERANG

Posted in Anwar, BN, Pemilihan UMNO, PKR, Selangor on February 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Majlis makan malam ulang tahun pertama kemenangan Pakatan Rakyat, yang sepatutnya diadakan dalam suasana kemesraan dan ceria bertukar menjadi medan melepaskan geram dan kemarahan.

Pemimpin utama mereka ‘naik angin’ dan padang berdepan dengan bangunan Amcorp Mall, Petaling Jaya, malam semalam menjadi medan ceramah ‘mempertahankan diri’ dan ‘silat-menyilat’.

Seronok melihat air muka pemimpin PKR yang selama ini hidung tinggi dan melihat orang lain sahaja yang salah.

Suasan ini menunjukkan kini Pakatan Rakyat khususnya PKR mulai merasan bahan ‘serangan’ dan terpaksa mempertahankan diri.

Jika sebelum ini PKR juara membuat serangan terhadap UMNO dan BN, ia kini bagaikan sudah terhimpit ke dinding.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar, beliau bersama dengan pemimpin Pakatan Rakyat tidak akan menyerah kalah dengan serangan dan gangguan daripada kerajaan BN.

“Kamu boleh mengganggu kami, tetapi tidak sesekali untuk kami mengaku kalah,” katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Jelas apabila mula terkena batang hidung sendiri, pemimpin Pakatan Rakyat yang ‘disanjung’, Anwar jadi ‘hilang akal’ dan marah-marah.

Kerana tidak ada modal mempertahankan diri Anwar membuat kenyataanb: “Mereka merompak wang anda. Mereka rampas tanah anda. Mereka mencuri kontrak-kontrak. Tetapi apabila kita beri lembu kepada orang miskin, mereka mahu mendakwa kita.”

Itulah kata-kata dengan nada marah pada majlis makan malam berkenaan. Kenapa jadi marah?

Mana senyum Anwar yang sering berucap buat kelakar sambil menyindir dan menjatuhkan air muka dan maruah pemimpin UMNO dan BN?

Kenapa tiba-tiba jadi takut dan begitu defensif?

Siasat pun tidak boleh? Apakah pemimpin PKR ‘malaikat’ yang tidak pernah melakukan walau setitik kesilapan?

Apakah pemimpin UMNO sahaja yang berdosa dan buat perkara jahat dan maksiat?

Anwar marah kerana SPRM segera mengambil tindakan terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa menyalahgunakan kuasanya menggunakan wang kerajaan untuk penyelenggaraan kereta miliknya selain menggunakan wang kerajaan Selangor untuk membeli 46 ekor lembu untuk diserahkan kepada penduduk di Bandar Tun Razak.

Pengerusi SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan semalam mendakwa suruhanjaya itu, mempunyai bukti yang kukuh bahawa menteri besar Selangor menyelewang wang kerajaan negeri.

Mengulas dakwaan tersebut, Khalid menyifatkan BN cemburu dan dengki dengan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang mentadbir dengan baik dengan program merakyatkan ekonomi rakyat.

“Pentadbiran PR lebih baik BN yang sudah memerintah negara selama 51 tahun. Kita bekerja dengan baik daripada meraka (BN). Kita lebih baik daripada mereka,” katanya.

Katanya, BN hanya bermimpi untuk menguasai Selangor kerana mimpi mereka itu “hanya satu igauan atau tinggal mimpi sahaja”.

“Apa ingat rakyat ini lembu?” kata Anwar – yang memakai baju batik merah – dengan nada marah pada ,majlis makan malam semalam.

Persoalannya, apabila SPRM mahu menyiasat kes ini bermakna ia tidak mahu rakyat jadi lembu dan terima sahaja apa yang diberikan oleh Kerajaan Selangor. Jika ada unsur salahguna kuasa atau rasuah, rakyat perlu dielakkan menerima habuan sedemikian di masa hadapan.

Lantas Anwar mendakwa tiada siasatan lanjutan terhadap penerimaan komisen pembelian kapal selam yang didakwanya membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan siasatan terhadap bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Bukan sekadar itu saja, malah Anwar turut menempelak Umno dan BN yang menjuarai untuk bercakap soal moral.

“Poorah!… Bagi wakil rakyat yang menipu rakyat, ingat hari ini kamu selamat, (suatu hari) nanti rakyat akan tanam dan kuburkan kamu,” katanya

Bukan itu sahaja, Anwar, Khalid dan Tian Chua juga menyalahkan BN kerana isu gambar bogel Elizabeth Wong.
Hmm…apabila meneliti kesemua ini, amat jelas, banyak perkara yang perlu dijawab boleh PKR yang selama ini mendakwa merekalah pemimpin bersih, parti bersih dan adil untuk semua.
Tetapi jelas kini, apabila berkuasa mereka jadi pelahap malah mementing penyokong sendiri sahaja.

Malah, dalam banyak perkara, kepentingan siapakah PKR jaga?

Juga siapa sebenarnya yang dapat untung daripada kerajaan PKR Selangor?

Apabila marah dan menuduh BN mahu menjatuhkannya dan kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya PKR , demi kepentingan siapa Anwar cuba pertahankan?

Nota- terima kasih kepada Malaysiakini kerana gambar-gambarnya.