Archive for the stadium Category

PUNCA STADIUM RUNTUH – APA TINDAKAN SELANJUTNYA?

Posted in runtuh, stadium on January 8, 2010 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan negeri Terengganu dijangka akan menerima laporan jawatankuasa siasatan yang mengkaji punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara.

Laporan itu menyebut beberapa faktor menyebabkan keruntuhan stadium berkenaan pada 2 Jun tahun lepas.

Antara puncanya ialah:


1. Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi;
2. Faktor reka bentuk yang tidak memadai;
3. Bumbung yang tidak dibina dengan sempurna;
4. Kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek;
5. Pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan; selain
6. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium.

Laporan Benama menyebut, bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, runtuh Jun tahun lepas.

Menurut laporan jawatankuasa siasatan kejadian itu, faktor reka bentuk yang tidak memadai, bumbung yang tidak dibina dengan sempurna dan kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang mendedahkan laporan jawatankuasa siasatan itu hari ini berkata, siasatan juga mendapati pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan selain dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium berkenaan.

Mengulas perkara itu, Shaziman berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang juga bersetuju supaya laporan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, manakala satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Shaziman, yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Hubungan Kerinchi Arah Utara Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dekat sini, berharap kerajaan negeri Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan.

“JKR juga telah memaklumkan kepada kerajaan Terengganu supaya kerja-kerja mengubah runtuhan yang ada di kawasan stadium itu boleh dilakukan dan kerja-kerja pembaikan boleh dimulakan,” katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium berkenaan di Gong Badak yang berharga RM300 juta dan siap dibina pada Mei tahun yang sama untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh secara tiba-tiba.

Ekoran kejadian itu, sebuah jawatankuasa siasatan terdiri daripada 10 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan profesional berkaitan diberi masa enam bulan untuk melaksanakan penyiasatan dan menyiapkan laporan akhir ekoran kejadian keruntuhan bumbung utama stadium berkenaan.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawab antara lain untuk mengenal pasti punca kejadian, mengesyorkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian itu berulang dan mengemukakan cadangan pembinaan semula stadium.

Setelah mengetahui puncanya, apakah tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang terbabit yang bertanggungjawab terhadap masalah itu?

Berapa lama lagikah stadium akan dibiarkan sedemikian atau akan dibaiki segera?

LEPAS SATU, SATU – TAK HABIS-HABIS

Posted in Ahmad said, runtuh, stadium, Terengganu on July 30, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sudah 4 – 0. Cakap salah, tak cakap lagi salah.

Bukan saja-saja nak cakap tetapi jika semakin membebankan dan memburukkan imej kerajaan negeri, bukan Ahmad Said sahaja akan melenting. Rakyat juga tertanya-tanya.
Apakah dah jadi?

Mulanya bumbung stadium runtuh, kemudian Pusat Akuatik bocor dan selepas itu, Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditutup. Kini atap lapangan terbang pula melayang.

Entahlah, Menteri Besar pasti perlu menjawab banyak persoalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Dalam usahanya meletakkan rakyat segala-galanya, kejadian yang melanda satu persatu pastinya menggugat pentadbiranya yang menekankan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Apa nasib malang. Semuanya terpaksa ditanggung kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said ketika ini.
Malu ada, geram pun ada. Seolah-olah Terengganu ini lekeh sangat. Cap ayam katakan.

Tapi semua ini siapa punya angkara?

Fikirkan sendiri kejadian-kejadian ini, apakah ia ujian untuk Ahmad Said atau memang ia ketentuan Tuhan :

1. Bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh dan ditutup ke tarikh yang belum diketahui;

2. Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut ditutup untuk orang ramai. “Kolam renang ini baru siap setahun, tetapi tetapi keadaannya sekarang seolah-olah sudah berusia lebih 10 tahun,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang meninjau pusat itu.

Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta itu dikesan berlaku kebocoran dan besi berkarat serta mempunyai beberapa kecacatan yang membahayakan keselamatan orang ramai.

3. Jabatan Kerjaraya Pusat turut mengeluarkan arahan supaya Stadium Tertutup Gong Badak ditutup buat sementara kerana kerosakan kecil pada peralatan stadium berkenaan.

4. Terbaru, siling di bahagian bumbung utama Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhampiran Kompleks Menara Kawalan tertanggal lagi. Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood berkata, pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu.

Dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Ini sudah pasti menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu.

Hakikatnya, masalah siling tanggal di beberapa bahagian LTSM ini menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan. Ahmad Ramli menjelaskan, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

LTSM sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Apa yang pasti, semua masalah ini ada kaitan dengan JKR.

Kita hanya berharap JKR bukan sahaja terbabit dengan kerja-kerja memperbaiki kemudahan-kemudahan ini tetapi juga menunaikan janji untuk membawa mereka yang ‘menyeleweng dan cuai’ ke muka pengadilan.

Berbuatlah segera kerana tidak lama lagi rakyat pula akan membuat perhitungan apabila tiba pilihan raya.

APA NAK JADI1: 2B (BENGANG & BINGUNG)

Posted in runtuh, stadium, Terengganu on July 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

“Saya terkilan kerana di Terengganu bukan saja Kompleks Akuatik menghadapi masalah tetapi bulan lalu, (sebahagian) bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Sekali lagi membabitkan pengawasan projek yang lemah? Siapa yang bertanggungjawab? Bukankah JKR?

JKR Terengganu dilaporkan bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, dan pastinya banyaki persoalan bermain di kepala walaupun ketika ini tiada pihak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah atau sebaliknya.
Yang pasti sudah ada jaminan daripada JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Jika JKR Terengganu ternyata melakukan kecuaian, di mana mahu diletakkan muka Pengarahnya?

Atau apakah orang lain turut terlibat dalam masalah ini?

Pertanyaanya, siapa kontraktornya, individu mana di belakangnya, siapa meluluskannya dan individu mana yang mnengawasinya?

Bagaimana pula kata rakyat Terengganu?

Rakyat Terengganu pasti mulai tertanya-tanya dan jelak dengan projek yang sebelum ini dibanggakan sebagai ‘Impian Menjadi Kenyataan’.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pun akan turut mengulas kalau beliau ada di Kuala Terengganu.

Saya mengulas isu ini pada 7 Jun 2009 dengan mengatakan apabila Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik ini mesti ada sebabnya.

Ini kerana kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila pusat itu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita seminggu sebelum itu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Menurut sebuah blog, satu sumber yang dipercayai memberitahu bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Siapa tidak bengang dan bingung (2B) apabila kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia ke-12 yang dihoskan Terengganu pada Jun tahun lalu, kini bocor.

Berikutan itu, Kementerian Kerjaraya mengarahkan Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta yang baru setahun disiapkan ditutup sementara mulai semalam .

Ini kerana kualiti kemudahan dan tahap keselamatan yang menyebabkannya tidak sesuai digunakan orang ramai.

Shaziman berkata, pasukan penyiasat Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan yang tidak mencapai mutu ditetapkan sehingga berlaku kebocoran dan kerosakan peralatan.

“Kami sudah memeriksa persekitaran termasuk di bahagian bawah tanah dan mendapati banyak kebocoran. Kita dapat lihat soket elektrik yang terdedah kepada kebocoran air dan ini semua tidak selamat digunakan,” katanya selepas meluangkan lebih sejam mengetuai pasukan penyiasat JKR melawat kompleks itu di Kuala Terengganu kelmarin.

Pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu. Sekali lagi timbul persoalan sama ada “JKR vs JKR” seperti dalam isu Stadium Sultan Mizan.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

Menurut laporan Berita Harian, Shaziman berkata, kerosakan kompleks itu mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengawasan projek yang lemah kerana perlu disiapkan segera, tetapi itu tidak patut menjadi sebab membolehkannya disiapkan tanpa ikut spesifikasi.

“Projek ini dalam tempoh jaminan dan kita mengarahkan kontraktor melakukan kerja pembaikan sebaik mungkin,” katanya sambil menambah laporan penyiasatan lengkap kompleks itu diserahkan kepadanya oleh JKR Pusat 10 hari lagi.

Dalam maklum balas segera, Judin berkata, JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Judin berkata, JKR Terengganu bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, bagaimanapun pihaknya masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah, sebaliknya JKR akan membuat penilaian secara menyeluruh.

“Ketika ini kami mempunyai beberapa pandangan tetapi ia masih belum boleh dijadikan kesimpulan terhadap apa yang berlaku kerana ia mestilah berasaskan kepada fakta dan laporan yang akan diterima nanti bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

PERUNDING UK SIASAT BUMBUNG STADIUM RUNTUH

Posted in runtuh, stadium, Terengganu on July 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Petang ini saya membaca Utusan Online dan Berita Harian Online yang membawa tajuk Perunding UK dilantik siasat bumbung stadium runtuh.

Ia bukan baru bagi saya kerana semalam dalam teganuku.blogspot.com ada melaporkan perkara ini yang memetik berita asal dari the Star.

Bagaimanapun oleh kerana ia sesuatu yang penting, baik juga kalau penjenguk dapat membaca kenapa Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said membuat keputusan yang disifatkan ‘pusingan 360 darjah’.

Pada kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 2 Jun lepas, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bahagian bumbungnya runtuh.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kira-kira setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas.

Isu Stadium – Kerajaan Terengganu ubah fikiran?

Oleh Teganuku on Friday, July 3, 2009

Jelas Kerajaan Terengganu sudah pusing 360 darjah dengan bersetuju untuk mewujudkan semula jawatankuasa penyiasatnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata Khamis lalu, kerajaan Terengganu akan melantik perunding dari Britain untuk mengetahui punca runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak.

Menurut laporan The Star itu, perunding Britain itu mempunyai pejabat cawangannya di Kuala Lumpur.

Blog ini 24 Jun lalu menyiarkan satu cadangan daripada seseorang bernama Aqil Farhan supaya kerajaan negeri menilai semula agar jawatan kuasa penyiasat bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Terengganu.

Ini kerana jika ada dua badan, perbandingan boleh dibuat dan apa-apa cadangan boleh digabungkan.Pada 10 Jun lalu, Ahmad Said dilaporkan berkata hanya sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung stadium berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, anggota penyiasat itu dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk pensyarah universiti.

Ahmad Said beria-ia mengatakan akan mewujudkan jawatankuasa penyiasatan peringkat negeri. Malah katanya, ia bukan terdiri daripada pakar tempatan, sebaliknya dari luar.

Bagaimanapun, selepas ‘dinasihat’ Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor, Ahmad Said dikatakan ‘tunduk’ kepada nasihat itu.

Persoalannya, bagaimana Kementerian Kerja Raya mahu menyiasat dan menilai kerja-kerja Jabatan Kerja Raya?

Kata pendapat itu, mengharapkan ‘bapa siasat anak’ atau ‘abang siasat adik’ tidak akan mendatangkan kepuasan kepada banyak pihak.

Aamat menarik jika kerajaan negeri dapat mewujudkan jawatankuasa penyiasatannya sendiri.
Biarlah rakyat membezakan keputusan siasatan antara dua jawatankuasa itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh juga menyatakan kesediaannya memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak itu.

Idris yang turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap, berkata sehingga kini beliau belum dipanggil SPRM.

T’gganu to get Brit consultant to probe stadium roof collapse

By R.S.N. MURALI (The Star)

KUALA TERENGGANU: The Terengganu government will appoint a consultant from Britain to determine the actual cause of the Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium roof collapse in Gong Badak here on June 6.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said said the government had earlier rescinded the decision to establish its own investigation team to avoid any clash with the team set up by the Federal Government.

“However, after taking into account the necessity of having an independent investigation panel, the state government decided to appoint a reliable firm for the task.

“The British consultant that we are close to appointing also has a regional office in Kuala Lumpur,” he said in Kuala Terengganu, late Thursday.

Ahmad said the British firm — which he declined to name — would submit its investigation papers to the state government, while the Federal team will answer to the Cabinet.

He said his administration decided on its own probe team because the state government also had to take responsibility for the incident.

Ahmad said the consultant, once appointed, will be given three months to produce a probe on the roof collapse at the east wing of the RM292mil stadium.

He said the state government was currently discussing the fee to be paid, and other issues, before officially appointing the consultant.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata stadium itu ditutup sehingga kerja-kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang dilantik.

Katanya kerajaan Terengganu bersetuju melantik konsultan swasta itu kerana berpendapat perlunya dua pihak yang menjalankan siasatan tersebut, iaitu bagi kerajaan pusat dan negeri.
Beliau berkata segala perbelanjaan untuk khidmat perunding dari UK itu akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata beberapa gelanggang yang ada di stadium itu seperti gelanggang skuasy dan bola sepak terpaksa ditutup dan kejohanan-kejohanan yang sepatutnya diadakan di situ, dipindahkan ke tempat lain.

TERENGGANU WAJAR ADA BADAN PENYIASATAN SENDIRI

Posted in stadium, Terengganu on June 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Saya tertarik dengan pendapat seseorang yang bernama Aqil Farhan bertajuk “Kerajaan Negeri perlu ada jawatankuasa penyiasat sendiri dalam blog teganuku.blogspot.com hari ini.

Selain mengulas penulisan saya mengenai “STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR” beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri Terengganu memikirkan semula agar menubuhkan jawatankuasa penyiasat keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan.
Dengan alasan-alasannya sendiri Aqil Farhan berpendapat jawatankuasa itu penting sebagai second opinion yang tentunya bebas daripada sebarang ikatan.

Saya menyokong dan bersetuju dengan pendapat dan cadangan beliau.

Apa yang penting di sini ialah, jawatankuasa jika ditubuhkan bertujuan menyiasat sebuah projek kerajaan negeri sendiri. Tindakan ini wajar.

Persoalan ialah apakah ia akan dianggotai oleh pakar tempatan atau luar negara?
Jika ditubuhkan apakah ia akan digerakkan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri atau terus di bawah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said?

Perlu diingat bahawa SUK serta pegawai-pegawai lain dari Jabatan Kerja Raya (JKR), kakitangan syarikat kontraktor dan arkitek kini turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ‘mengamuk’ minggu ini untuk melengkapkan siasatan mereka berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh 2 Jun lalu.

Ikuti apa sebenarnya yang dikatakan oleh Aqil Farhan:

PENDAPAT SAYA…

Kerajaan Negeri perlu ada jawatankuasa penyiasat sendiri

Oleh AQIL FARHAN (teganuku.blogspot.com. – Wednesday, June 24, 2009)

Saya tertarik dengan penulisan Hambali Abdul Latiff secara bersiri melalui blognya hambali1.blogspot.com yang dipetik oleh blog ini semalam.

Penulisan itu mendedahkan pelbagai kemungkinan punca runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di Kuala Terengganu yang runtuh mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.

Apapun ia hanya pendapat peribadi. Banyak cara boleh siasat. Bercakap mengenai penyiasatan ini, ada dua perkara penting boleh dirujuk. Pertama ialah soal badan penyiasatan itu sendiri dan kedua, berapa lama siasatan boleh dijalankan.

Tempoh siasatan akan menentukan bila stadium akan mula diperbaiki. Mengenai badan penyiasat yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat ini ia agak pelik sedikit. Ia bagaikan ayah akan siasat anak atau abang siasat adik.

Gara-gara jawatankuasa penyiasat ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dihentam dan dituduh tidak tegas dan cakap kosong apabila mengatakan Kerajaan Negeri tidak akan menubuhkan badan siasatannya sendiri.

Ini kerana sebelum itu, Ahmad Said beria-ia mengatakan akan mewujudkan jawatankuasa penyiasatan peringkat negeri. Malah katanya, ia bukan terdiri daripada pakar tempatan, sebaliknya dari luar. Bagaimanapun, selepas ‘dinasihat’ Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor, Ahmad Said dikatakan ‘tunduk’ kepada nasihat itu.

Kononnya Shaziman membuat cadangan itu berikutan nasihat daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan satu badan sahaja. Persoalannya, bagaimana Kementerian Kerja Raya mahu menyiasat dan menilai kerja-kerja Jabatan Kerja Raya?

TIdakkah pelik jika bapa menyiasat anaknya sendiri? Tentu akan ada pelbagai ‘perasaan’ yang sedikit sebanyak menghala kepada favouritism.
Tidak tahulah. Yang melantik jawatankuasa itu lebih arif. Dilaporkan, badan penyiasat dilantik untuk menilai dan mencari punca mengapa bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh. Pada 10 Jun lalu, Ahmad Said dilaporkan berkata hanya sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, anggota penyiasat itu dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk pensyarah universiti.

”Apa-apa keputusan lanjut akan diketahui selepas ini dan kerajaan negeri diminta agar menubuhkan sebuah sahaja badan siasatan mengenainya untuk mengelakkan kekeliruan,” Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah projek kerajaan Terengganu dan dibawah pengawasan Jabatan Kerja Raya.

Kerana itu mesyuarat Exco hari ini patut menilai semula jawatan kuasa penyiasat bebas yang patut ditubuhkan oleh Kerajaan Terengganu. Ini kerana jika ada dua badan, perbandingan boleh dibuat dan apa-apa cadangan boleh digabungkan.

Mengharapkan ‘bapa siasat anak’ atau ‘abang siasat adik’ tidak akan mendatangkan kepuasan kepada banyak pihak.

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR

Posted in JKR, stadium, Tuanku Mizan on June 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bahagian Akhir – ‘JKR vs JKR”?

Dalam Bahagian Kedua mengenai ‘Kos & Kontrak’ saya mengatakan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Sebenarnya dalam konteks pengawasan, ia adalah di bawah bidang kuasa Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu dan wakil Pegawai Penguasa pula ialah Pengurus Kanan Pembinaan Pasukan Pengurusan Projek JKR Terengganu.

Sebelum ini saya sudah menyatakan kontraktor mana dan berapa harga diperuntukkan untuk membina stadium ini. Rasanya tidak lengkap kalau tidak memperkatakan mengenai arkitek stadium ini kerana ia sangat penting untuk didalami peranan sebenar arkitek berkenaan.

Ada yang mengetahui dan kenapa yang tidak mengetahui, arkitek terbabit dengan Stadium Sultan Mizan ini ialah Senibahri Arkitek.

Alamat syarikat ini ialah di 41-2, Jalan 2/27F, Seksyen 4 KLSC, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur selain pejabat cawangan di No.30, PT 3525, Tingkat Satu, Pusat Niaga Paya Keladi, 20100 Kuala Terengganu.

Arkitek, konsultan dan kerja pengawasan atau seliaan kepada projek stadium ini dikatakan tidak begitu berfungsi pada ketika pembinaan stadium berkenaan dijalankan.

Saya mendengar khabar bahawa JKR tidak begitu memberikan ruang kepada syarikat arkitek bertanggungjawab untuk ‘memberikan nasihat’ dan ‘menyelia’ projek ini kerana sebab-sebab tertentu.

Dikatakan JKR bertegas menggunakan kepakaran mereka sendiri kerana menganggap syarikat arkitek ini tiada pengalaman dalam konteks pembinaan.

Sejauh mana benar ataupun tidak belum dapat dipastikan namun, adalah pelik sedikit apabila arkitek yang mereka-bentuk stadium ini disisihkan begitu sahaja.

Selain itu dikatakan ketika masa pembinaan, tiada pihak yang benar-benar menyelia dan menjamin supaya pembinaan dan pemasangan atap atau bumbung dilakukan secara sewajarnya.

Benar kontraktor Korea Selatan yang diberikan tugas dalam konteks membeli peralatan dan sebagainya tetapi siapa pula yang memasangnya?

Apakah mereka dilatih untuk memasang bumbung yang bercirikan ‘Space Frame’ berkenaan?

Dengar khabarnya juga, di pihak kontraktor pula, kerana mahu menjimatkan perbelanjaan, mereka tidak meletakkan pengawas atau penyelia di tapak pembinaan dan menurut pakar pembinaan, cara ini salah kerana projek tidak diseliakan dengan betul.

Persoalannya, bagaimana JKR boleh membenarkan kontraktor berbuat demikian untuk menjamin pengawasan rapi?

Persoalannya, jika JKR tidak mempunyai pakar atau cukup kakitangan, kenapa kerja-kerja seliaan mahu dilakukan sendiri?

Selain itu, apakah seliaan dilakukan secara ‘standing’ atau ‘periodic’?

Wajarkah pengawasan dilakukan tanpa sepenuh masa? Apa jadi jika stadium itu runtuh pada malam perasmian stadium atau pada malam perasmian Sukan Sukma atau perlawanan akhir bolasepak antara Perlis dan Terengganu? Boleh dikatakan pada malam itu seramai 40,000 orang berada dalam stadium berkenaan (pada satu masa).

Mungkin orang terbaik boleh menjelaskan sama ada perkara ini benar atau sebaliknya ialah Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah yang ‘banyak tahu’ mengenai pembinaan stadium ini.

Agak menghairan juga apabila Raja Bahrin ‘tidak bercakap banyak’ – apakah beliau cuba melindungi atau tidak mahu ada pihak yang terbabit – terdedah kepada siasatan dan sebagainya.

Dalam konteks peranan arkitek, penyelia atau juga pengawasan ini rasanya dalam konteks pembinaan stadium ini, realitinya ialah ‘JKR vs JKR’.

Maknanya, JKR yang menjadi pengawai terpaksa menilai penyeliaan yang dilakukan oleh kakitangan JKR sendiri, bukannya ‘JKR vs kontraktor’.

Tidakkah mungkin ini antara faktor menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium berkenaan?

Ada banyak lagi perkara boleh diperkatakan tetapi saya akan menyatakannya secara berasingan kemudian.

Yang pasti keruntuhan itu memberi kesan kepada maruah, nama baik kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, kontraktor Bumiputera dan industri pembinaan negeri seluruhnya.

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR

Posted in rasuah, runtuh, stadium, Terengganu, Tuanku Mizan on June 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bahagian Kedua – Kos & Kontrak

Difahamkan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya. Bagaimanapun, banyak fakta dan persoalan yang boleh dijadikan modal perbincangan:

Apa yang diketahui umum, kos kontrak asal ialah RM191,181,280.80 bagaimanapun telah meningkat kepada RM226,872,740.80 (berdasarkan ATDA 20 November 2005).

Anehnya ATDA pindaan 16 Julai 2008 memberikan ruang untuk ditingkatkan kos kontrak sehingga RM343,804,800.00.

Walaupun tidak sampai kepada kos ATDA pindaan, namun kos kontrak semasa yang disebut sebanyak RM292,899,941.68 menggambarkan betapa nilai kos stadium ini meningkat lebih RM100 juta daripada kos asal kontrak.

Persoalannya kenapa ia boleh meningkat begitu tinggi dan pindaan melalui ATDA siapa yang putuskan?

Sementara itu, bagi bumbung yang runtuh pula, nombor kontrak ialah JKRNT(T)2/2005.

Maklumat kontrak yang diputuskan bagi kerja-kerja bumbung diperuntukkan sebagai Wang Kos Prima (prime cost sum) ialah sebanyak RM28,000,000.00

Bagaimanapun, keputusan mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Perolehan Negeri pada 9 April 2006 memutuskan kontrak diberikan kepada Swissma Building Technologies , Nam Fatt/Sowon Plant Construction Compony Ltd (Korea) JV bernilai RM35,246,600.00

Melihat kembali kepada kos dan kontrak yang ditunjukan di atas, ada beberapa persoalan yang boleh difikirkan bersama:

1. Dalam kes pembinaan bumbung, kenapa kontrak diberikan kepada syarikat Korea?
2. Sistem yang dipakai iaitu Space Truss – sebenarnya teknologi ini turut dimiliki syarikat tempatan tetapi apa kelebihan syarikat Korea berkenaan?
3. Kenapa kosnya berubah begitu banyak antara Wang Kos Prima dengan yang diputuskan lembaga?

Apakah dengan memberikan kontrak kepada syarikat Korea ini ada pihak mungkin mendapat keuntungan tertentu termasuk dibawa melawat beberapa stadium di Korea Selatan dan di Eropah yang menggunakan sistem yang sama.

Saya hanya mengandaikan sahaja, bukan tuduhan dan jika tidak benar, pasti aka nada jawapannya – mungkin melalui blog-blog tertentu yang menjadi jurucakap puak-puak tertentu.

Dan sekali lagi saya ingin ingatkan blog yang mengaitkan isu bumbung runtuh ini dengan Datuk Seri Idris Jusoh serta ‘orang-orangnya’ supaya jangan mengaitkan nama beliau lagi.

Saya tidak mahu lagi mendengar atau membaca kenyataan jahat seperti: “Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.”

Ikuti Bahagian Ketiga – Stadium Sultan Mizan – Apa ceritanya selepas ini?

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR

Posted in rasuah, runtuh, stadium on June 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

Selepas reda dengan pelbagai komen dan respon daripada pelbagai pihak – Kerajaan Negeri, Kementerian Kerja Raya, kontraktor, mereka yang disabitkan serta blogger yang mengemukakan pelbagai pandangan, mulanya saya merasakan tiada apa lagi mahu ditulis.

Malah, adalah lebih baik menunggu sahaja laporan sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Bagaimanapun, apabila membaca beberapa blog, ada satu kenyataan menarik daripada sebuah blog yang penulisnya orang Terengganu, membuat saya berusaha menyelidiki beberapa fakta tambahan.

Ini kerana cara beliau menulis sedikit melampau. Kalaupun mahu spin janganlah pula babitkan nama-nama besar seperti Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.

Saya benar-benar tidak faham dan pelik sungguh penulis ini, apabila melalui blognya mengatakan: “Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.”

Melampau sungguh kata-kata ini. Siapa yang kata perkara-perkara tidak baik seperti ini hanya dikalangan orang-orang Idris sahaja?

Seharusnya kalaupun marah kerana sebab-sebab tersendiri, jangan kaitkan nama sedemikian rupa kerana kejahatan dan “yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram” ada di mana-mana mungkin juga pada penulis berkenaan.

Yang pasti sejak tidak ada lagi ‘duit masyuk, tidak lagi dapat ke luar negara dan terpaksa kembali bertugas di tempat asalnya (kerana bos dan turun pangkat), ramai yang merasa terhimpat dan meroyan tidak tentu pasal.

Atau juga mungkin penulis ini sudah mula berpaling tadah dan mengiakan apa yang ditulisnya dan semua perkara buruk itu ada kaitan dengan ‘orang-orang kem Deris Jusoh sahaja”?
Tak faham, tak faham.

Apapun, isu bumbung stadium runtuh ini dijangka akan menjadi salah satu perkara menarik jika ada pihak, khususnya pembangkang mengemukakannya di Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Pengerusi DAP Terengganu, En. Ng Chai Hing berkata DAP akan membawa isu Tragedi Bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada 2hb Jun lalu ke sidang Parlimen selepas pihaknya membuat laporan di balai polis pada 3hb Jun lalu mengenai kejadian bumbung stadium runtuh.

Beliau berkata ada sesuatu yang tidak kena dalam tagedi bumbung runtuh itu kerana Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, baru berusia setahun.

Apapun, bagaikan saya katakan tadi, nampak gayanya saya akan perturunkan beberapa fakta yang tujuan saya ialah mengajak pembaca dan penjengkuk memikir, menilai dan menyelidik sendiri mengenai kedudukan sebenar pembinaan Stadium Sultan Mizan selain pandangan beberapa pakar mengenai stadium berkenaan.

Bahagian Pertama – Latar Belakang

Ada blogger yang menganggap berita tiga pemimpin UMNO akan didakwa berhubung suapan bernilai RM3 juta bagi projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebagai sesuatu yang menggembirakan kerana mereka bukan daripada puak Idris Jusoh.

Maksudnya, padan dengan muka dua pemimpin berkenaan dan dakwaan di atas penyelewengan projek MRR2, terhadap Bendahari UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik dan Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Md Hassan adalah ‘balasan’ kerana mengaitkan ‘puak Idris’ dengan kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh.

Bagi saya, siapa orangnya tidak lagi penting tetapi dua kes ini menjadi kepentingan awam dan membabitkan rakyat sebagai pengguna.

Dalam kes MRR2, jambatan sering menghadapi masalah dan dalam kes Stadium Sultan Mizan, ada beberapa perkara termasuk kontrak, kos dan kegunaan stadium boleh diperkatakan panjang lebar.

Bercakap mengenai kontrak, elok kalau kita tinjau dahulu apakah sebenarnya yang dibina. Ia adalah “pembinaan Stadium Utama di Kompleks Sukan terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Gong Badak, Kuala Terengganu.”

Komponen utama di Stadium ini ialah:

1. Berkapasiti 40,000 orang dan direka bentuk untuk diperbesarkan kepada 56,000 orang pada masa hadapan;
2. Mempunyai gelanggang boling sebanyak 48 lane;
3. Gelanggang skuash;
4. Bilik-bilik pameran;
5. Kiosk/Gerai;
6. Ruang pejabat MSNT;
7. Kemudahan lift sebanyak 6 Nos; dan,
8. Scoreboard elektronik.

Siapakah kontraktor utama bagi pembinaan ini?

Ia adalah Bina Struktur-Emarcom-Genggam Mercu.Nama penuh kontraktor berkenaan ialah Bina Struktur Sdn Bhd (285512-H), Emarcon Sdn Bhd (411178-U) dan Genggam Mercu Sdn Bhd (354201-H). Alamat ialah di: Lot PT1495 & 1496, Tingkat Atas, Taman Kuala Ibai Landmark, Kg Tok Adis, Kuala Ibai, 20400 Kuala Terengganu. Kelas A (Bumiputera).

Dalam konteks perkembangan kerja pula, pembinaan itu menetapkan bahawa Tarikh Milik Tapak – 27 Mac 2005; Tarikh siap kerja – 22 September 2007; Tempoh masa kerja ialah 30 bulan.

Tarikh lanjutan masa dibenarkan ialah No.1 – 31 Januari 2008, No.2 – 30 April 2008 dan No.3 – 30 November 2008.

Selepas mengetahui latar belakang kontraktor dan tempoh kerja, kita beralih pula kepada kos pembinaan stadium berkenaan.

Jangan lupa ikuti Bahagian Kedua – Kos & Kontrak

JANGAN IKUT SEDAP MULUT!

Posted in rasuah, SPRM, stadium, Terengganu on June 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Wartawan sebuah laman yang berslogankan ‘Media Informasi Terkini’ jangan buat laporan ikut ‘sedap mulut’.

Check fakta betul-betul dan jangan main kait-kait nama orang tertentu dengan isu rasuah atau salahguna kuasa dalam isu bumbung stadium runtuh.

Mereka yang sengaja disebut-sebut sebagai yang patut disiasat oleh SPRM boleh saman laman ini, jika mendapati ia membuat berita palsu atau berunsur fitnah.

Nantikan tidak mampu bayar saman oleh mereka!

Hari ini, laman berkenaan menyiarkan sebuah bahan bertajuk “Tragedi Bumbung Stadium Runtuh: SPRM akan memanggil bekas Exco kerajaan Negeri’.

Dua daripada yang disebut dalam posting itu sudahpun menjelaskan di akhbar bahawa mereka tidak terbabit dan tidak ada sebab untuk dikaitkan keruntuhan Sultan Mizan itu dengan mereka.

Apapun, sila baca dengan teliti dan buat penilaian sendiri apakah wajar bekas Exco Kerajaan Terengganu dikaitkan dengan siasatan oleh SPRM.

TRAGEDI BUMBUNG STADIUM RUNTUH; SPRM AKAN MEMANGGIL BEKAS EXCO KERAJAAN NEGERI

Written by Wartawan Buletin

Saturday, 13 June 2009 02:23
KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurang tiga orang bekas Exco kerajaan negeri dan beberapa pegawai senior dari Jabatan Kerja Raya negeri akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan tragedi bumbung runtuh Stadium Sultan Mizan Zainal.
Satu sumber menyatakan bekas Exco kerajaan negeri mempunyai maklumat penting dalam membantu merungkai kejadian yang memalukan 2 Jun lalu.
Sumber tersebut turut menyebut dokumen melibatkan pemilihan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pemasangan atap Stadium bernilai RM300 juta itu akan diperolehi dari pihak berkenaan.

“Kami telah mengenalpasti nama beberapa individu penting bagi membantu penyiasatan,”kata sumber tersebut yang tidak mahu menyebut nama bekas Exco terbabit dan individu yang akan dipanggil.

Tiga orang yang bertanggungjawab memastikan Stadium tersebut siap menjelang SUKMA 2008 adalah Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (Kemudahana Awam dan Infrastruktur), Dato’ Din Adam (Belia dan Sukan) dan Dato’ Rasol Wahid (Islam Hadhari dan Kebajikan)

Din dan Rasol masih berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, sebelumnya menjadi Exco kerajaan dibawah bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

RASOL WAJAR BERSIHKAN DIRI

Posted in runtuh, stadium, Terengganu on June 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa kaitan Datuk Rasol Wahid dengan keruntuhan Stadium Sultan Mizan, 2 Jun lalu?

Apa kaitannya dengan kontraktor yang membina stadium berkenaan? Apa salahnya?
Bagi saya adalah wajar jika Rasol beruaha membersihkan dirinya.
Kenapa ada perbualan di kedai kopi menyebut nama beliau dan beberapa yang lain.
Saya menyokong pandangan beliau kenapa mesti mengaitkan beliau dengan kontraktor yang membina stadium ini. Apakah tidak ada kerja lain mereka yang cuba ‘memburukkan beliau’ berterusan dalam konteks runtuhnya stadium berkenaan.
Sebenarnya adalah sesuatu yang menyakitkan menunggu untuk nama dibersihkan.
sms, e-mail dan perbualan tidak boleh dihentikan begitu sahaja oleh Rasol.
Sakitnya Rasol seperti sakitnya Wan Ahamad Wan Muda apabila dituduh menghantar ‘sms ugut bunuh’. Kalau mahu tahu rasa sakitnya, Rasol boleh tanya Wan Ahamad.

Bagi saya awal-awal lagi kita sudah jelas bahawa Rasol tiada kaitan dengan Stadium Sultan Mizan.
Malah adalah tidak adil juga untuk mengaitkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Datuk Din Adam dan beberapa individu lain dalam kes ini.

Kalau tidak tahu apa-apa mengenai pembinaan dan kontrak membina stadium ini jangan buat hal.Jangan tidak tentu pasal berbual di kedai kopi mengaitkan mereka ini.Jangan nak tuduh sembarangan. Siasat dulu hujung pangkalnya.

Kata Rasol: “…saya tidak tahu kenapa saya dikaitkan. Adakah kerana saya baik dan rapat dengan kontraktor ini? Wallahualam…Tapi ingin saya jelaskan di sini saya baik dengan semua orang termasuk rakan-rakan pembangkang. Pada saya semua adalah rakan-rakan saya… Tetapi bagi saya yang benar akan muncul juga nanti. Cuma masa dan ketika sahaja InsyaAllah.”

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Rasol melalui blognya yang merasakan tidak sewajarnya kontraktor tempatan (Terengganu) dilabelkan sebagai ‘cap ayam’.
Menurut Rasol: “…saya merasa kesian kepada kontraktor Terengganu dengan peristiwa yang terjadi ini. Sedikit sebanyak saya fikir akan terkena tempiasnya. Ada saya dengar bahawa kerana tragedi ini kontraktor Terengganu akan dipersoalkan reputasi mereka…cap ayamlah katakan….”

Ini kerana menurut Rasol, semua orang tahu bahawa atap yang runtuh itu dibina oleh kontraktor luar bukannya orang kita.
‘Saya mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat nanti…InsyaAllah kita kan tahu puncanya nanti. Pada saya kejadian ini banyak pengajarannya. Saya mendoakan agar ia adalah tragedi buruk terakhir di bumi Darul Iman ini.”

Dalam Sinar Harian 4 Jun 2009, Rasol berkata paling dikesalkan , apabila terdapat suara nakal yang cuba menyalahkan kontraktor tempatan berhubung insiden itu.

Katanya: “Saya rasa tidak revelan mengaitkan isu menyiapkan secara tergesa-gesa kerana dari segi teknikalnya perkara itu tidak timbul. Jika ada masalah kita boleh tangguh dahulu’.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri itu turut melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana ikon yang dibanggakan tidak mampu bertahan lama, hanya setahun sahaja selepas siap dibina.

Bukan Rasol sahaja, ikon di sini bukan hanya stadium itu sahaja tetapi nama pada stadium itu turut dicemarkan.

Keruntuhan itu memberikan kesan buruk kepada nama Yang di-Pertuan Agong dan amat wajar jika Tuanku Mizan Zainal Abidin murka selepas diperkenankan namanya digunakan apabila sewajarnya stadium yang gah itu diselenggara dengan baik.

Apalagi, dalam keadaan jaminan masih ada, sewajarnya siapa juga kontraktor atau subkontraktor yang diamanahkan menjalankan tugas dengan baik.

Apapun usaha Rasol setakat ini, perbualan kedai kopi akan berterusan.
Rasol tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak akan mampu menyekat orang ramai bercakap mengenainya.

Hanya Jawatankuasa Penyiasatan Bebas menyiasat punca kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan sahaja mampu membersihkan namanya.

Kita sama-sama berdoa siasatan dapat dipercapatkan , bukan sahaja membantu Rasol membersihkan namanya tetapi juga untuk orang ramai mengetahui punca sebenar runtuhnya Stadium Sultan Mizan itu.