Archive for the zaid Category

ZAID IBRAHIM KENA TUNGGU…

Posted in PKR, zaid on June 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Khalid korban kerusi untuk Zaid? Siapa bawa berita angin ini?

Kononnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sanggup mengosongkan kerusi Parlimennya – Bandar Tun Razak – untuk memberikan laluan kepada Datuk Zaid Ibrahim.

Boleh main pas-pas kerusi seperti di Parmatang Pauh antara isteri kepada suami.

Kini di Bandar Tun Razak antara kawan dan kawan, juga dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Baik sungguh pemimpin PKR dan hubungan mereka amat intim sehinggakan sanggup membelakangkan sokongan pengundi hanya demi memperkukuhkan kedudukan ‘orang baru dalam PKR’.

Apakah dengan menjadi Ahli Parlimen, PKR akan lebih dilihat garang kerana Zaid bukan calang-calang Ahli Parlimen bila berada di Dewan Rakyat.

Selain memiliki guaman terkenal dan besar, Zaid juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Bahagian UMNO.

Zaid lantang memperjuangkan isu-isu membabitkan pendemokrasian dan keadilan sosial selain terbabit dengan isu-isu keagamaan sebelum ini.

Pendiriannya yang kadangkala mempersoalkan keputusan kerajaan sendiri menyebabkan beliau dilihat sebagai seorang ‘pejuang’.

Ini sesuai dengan sikap PKR yang menjadikan kerajaan sasaran serangannya.

Zaid turut dilaporkan terkejut dan menyangkal spekulasi terbabit. Beliau mendakwa perkara itu adalah khabar angin yang sengaja dicipta dan diperbesarkan oleh pihak tertentu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dipecat daripada Umno pada Disember lalu menyertai PKR pada 13 Jun lalu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keanggotaan Zaid ke dalam parti itu adalah sebagai satu penghormatan dan lonjakan terhadap perjuangan PKR.

Kelmarin Yang Dipertua PAS kawasan Bandar Tun Razak, Mohd Shukor Abdul Azz berkata beliau dan barisan kepemimpinan PAS kawasan tidak tahu dan tidak mempunyai maklumat kononnya Khalid akan mengosongkan kerusi Anggota Parlimen Bandar Tun Razak.

Mohd Shukor yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat daripada mana-mana seumber untuk mengesahkan spekulasi kononnya akan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Mohd Shukor mengakui isu kekososngan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pernah timbul beberapa bulan sebaik sahaja selesai pilihan raya umum ke-12 lalu. “Ketika itu Khalid baru dilantik sebagai Menteri Besar Selangor”.

“Kami pernah mendengar isu tersebut ketika Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor tetapi selepas setahun berlalu kami tidak pernah mendengar isu ini dibangkitkan kembali,” katanya lagi.

Secara peribadi dia melahirkan kurang setuju jika pilihan raya kecil Parlimen diadakan di kawasan tersebut memandangkan kecenderungan pengundi Melayu masih kurang berpihak kepada Pakatan Rakyat.

“Walaupun Pakatan Rakyat mendapat sokongan padu dari kalangan pengundi bukan Melayu namun sokongan pengundi Melayu amat diperlukan bagi membantu kemenangan calon dalam pilihan raya kecil ini,” katanya.

Shukor menyifatkan situasi politik di Parlimen itu kini 50-50 memandangkan majoriti undi yang diperolehi dalam pilihan raya umum ke-12 lalu adalah 2,515.

Menteri Besar Selangor itu, semalam, bagaimanapun menafikan spekulasi bahawa beliau berkemungkinan akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dipegangnya.

“Isu besar seperti ini biasanya dibincangkan di peringkat Biro Politik PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi perkara ini tidak pernah langsung dibincangkan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau berkemungkinan mengosongkan kerusi itu selepas pilihan raya kecik Manik Urai Julai ini.

Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor berkata, pihaknya berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya atas apa sebab sekali pun.

“Masanya belum sesuai. Ada sesetengah rakyat berasa tidak selesa kerana terlalu banyak diadakan pilihan raya. Kita perlu fokus kepada kerja yang dilakukan.

“Apa pun keputusan di peringkat biro politik, ia adalah keputusan bersama bagi memantapkan parti,” katanya semalam.

ZAID IBRAHIM SERTAI PKR

Posted in PKR, UMNO, zaid on June 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Akhirnya. Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan ‘warnanya yang sebenar’.
Selamat memilih jalan politik yang difikirkan terbaik.
Akan melantun kembalikah Zaid dalam politik selepas ini?
Saya berpendapat peranan Zaid di Kelantan dan pusat akan semakin terserlah. Cuma bersediakan mereka yang tersedia ada membuka jalan atau ruang kepadanya?
Bagaimana dengan orang kuat Zaid di Kota Bharu? Akan ikutkah mereka meninggalkan UMNO?
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ternyata tidak berjaya pujuk Zaid supaya jangan meninggalkan UMNO.
Kalau ‘Pak Lah’ pujuk mungkin Zaid akan teragak-agak.
Ini kerana Zaid berterima kasih kepada Abdullah kerana melantiknya menjadi menteri walaupun tidak bertanding pilihan raya dan gagal pula dalam usahanya menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.
Perlantikan Zaid dipertikaikan oleh ramai pemimpin UMNO Kelantan yang melihat Zaid sering ‘bersendirian’ dan bukan menyertai saf UMNO Kelantan untuk menumbangkan PAS.
Malah, kehadiran Zaid dalam UMNO Kelantan sering dilihat menyukarkan UMNO ‘menyerang PAS’.

Kini Zaid boleh duduk semeja dengan lebih akrab dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa untuk menyekat UMNO Kelantan berkembang, selain ‘mengajar’ betul-betul Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed.

Atau Zaid masuk PKR kerana marah dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Salleh yang dikatakan beberapa pihak melakukan pelbagai ‘cara kotor’ dalam pemilihan UMNO Bahagian dan kini berjaya menjadi Ketua UMNO Bahagian kota Bharu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang melepaskan jawatan itu dan senator akhir tahun lalu telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasmi.

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan sempena Kongres Nasional Khas parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
Zaid juga hadir pada kongres hari ini yang diadakan untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.
Anwar berkata, penyertaan Zaid akan berkuat kuasa selepas penerimaan permohonannya ditandatangani oleh Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Zaid juga akan dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan Biro Politik PKR, kata Anwar.
Zaid sebelum ini merupakan ahli Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru dan pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional.
Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum Mac 2008.
Bagaimanapun beliau melepaskan jawatannya akhir tahun lalu.

Tahniahlah buat Zaid kerana kalau duduk dalam UMNO pun tiada apa, sekadar ahli biasa.
Lagipun, usaha mendekatkan dirinya dengan Datuk Seri Mohd Najib menjadi semakin sukar selagi Fatmi menjadi orang penting Najib.

‘LET ALONE’ ZAID IBRAHIM

Posted in UMNO, zaid on December 5, 2008 by Hambali Abd Latiff

Jangan lagi bercakap mengenai beliau. Jangan pedulikan dia. Jangan lagi memburuk-burukkannya, cukuplah.

Itulah pinta bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim

Bagi kita – sama ada kita melupakan terus Zaid atau tunggu apa sajaklah langkah beliau yang seterusnya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, orang yang begitu sayangkan Zaid pun sudah mengatakan bahawa keputusan Umno untuk memecatnya adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno berkata keputusan telah dibuat dan ia keputusan biasa selain wajar dilakukan.

Kelmarin, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan Zaid dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri acara yang dianjurkan parti pembangkang.

Zaid sendiri pun sudah menyuarakan isi hatinya bahawa ada pemimpin Umno yang tidak suka dengan idea reformasi yang cuba disuarakan dan dibawanya.

“Saya tak diberi peluang untuk jelaskan, tidak dihubungi Lembaga Disiplin Umno,”demikian luahan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak terperanjat dipecat daripada Umno.

Zaid sebagai ‘peguam besar’ mempertikaikan cara keputusan itu dibuat selepas tidak diberi peluang menjelaskan tindakan yang membawa kepada pemecatannya itu.

“Saya tak diberi peluang untuk jelaskan, tidak dihubungi Lembaga Disiplin Umno malah belum terima surat pemecatan sehingga hari ini,” katanya.

Malaslah mahu tanya Zaid siapa pemimpin dimaksudkan.

Sudah pasti bukan Tan Sri Annuar Musa kerana sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, beliau bagaikan ‘tikus dalam beras’ dalam isu Zaid ini sedangkan pemimpin UMNO lain, khususnya dalam Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Bahagian ‘heboh bercerita’.

Ada yang bertanya kenapa Annnuar bersikap sedemikian terhadap Zaid yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu dan juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu?

Kata mereka, sepatutnya Annuar menyatakan pendirian peribadi beliau dan UMNO Kelantan mengenai tindak-tanduk Zaid dan pemecatannya.

Sejauh ini, apa yang dapat dibaca melalui komennya kepada Bernama, Annuar bagaikan tidak mahu masuk campur.
Pada 2 Disember lalu, sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Annuar berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Zaid terlebih dulu.

Untuk itu, Annuar berkata beliau ingin bertemu dengan Zaid.

Menurut laporan Bernama, Annuar enggan mengulas mengenai tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam Sabtu lepas.

“Saya tidak mahu komen lagi. Saya akan berjumpa dengan Zaid untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya pada 2 Disember lalu. Namun, Annuar tidak mahu mendedahkan bila pertemuan itu akan diadakan.

Semalam, Zaid menempelak beberapa pemimpin Umno yang didakwanya menghabiskan masadengan mencemuhnya ekoran tindakannya menghadiri program pembangkang.

“Saya haraplah pemimpin Umno, seperti Datuk Nazri Aziz, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain itu, berhentilah mencemuh saya.

“Saya rasa mereka patut fokuskan kepada masalah negara, (sebaliknya) fokus kepada kerja masing-masing,” katanya dalam satu sidang akhbar semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Abdullah dan mantannya Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Zaid juga ditanya sama ada firma guamannya Zaid Ibrahim & Co yang diasaskan beliau, berjaya selama ini, disebabkan penglibatan beliau dalam Umno.Dalam jawapannya, Zaid berkata, beliau tidak berminat lagi dengan firma guaman sebaliknya memfokuskan usaha kepada kerja-kerja amal.

Malah, Zaid turut menegaskan, beliau tidak akan menyertai sebarang parti politik dalam masa terdekat. Dengan kata lain, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat ini.

Beliau menghargai kebebasan beliau dan akan memberi keutamaan kepada Yayasan .my Future yang ditubuhkannya yang bertujuan memberi pemahaman kepada golongan muda tentang kepentingan demokrasi, peraturan undang-undang, keburukan rasuah dan kepentingan keharmonian kaum.

“Saya akan terus memberi pandangan tentang perkara yang mustahak kepada Malaysia. Kebebasan yang baru saya temui bermakna saya boleh menghadiri sebarang forum dan bercakap tentang isu yang saya rasa mustahak kepada negara,” katanya semalam.

Tegasnya, sekalipun jika UMNO menjemput saya semula untuk menyertai parti itu, saya tidak akan menyertainya, bukan UMNO sekarang.

Selamat Berehat Daripada Politik Datuk!

RUPA-RUPANYA SUDAH ADA ‘MAIN BELAKANG’

Posted in Anwar, zaid on December 4, 2008 by Hambali Abd Latiff
Laku betul Datuk Zaid Ibrahim. Macam ‘goreng pisang panas’ lagaknya Pas tawar, Parti Keadilan pun tawar kemasukannya ke dalam parti mereka.
Cuma PAS bersyarat sedikit. Zaid kena ‘jadi Islam’ sebelum masukl PAS.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata semalam, PAS sedia menerima dan memberi tempat kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dengan syarat beliau insaf dan ikhlas untuk berjuang di dalam sebuah parti yang mendokong dasar politik Islam.

Pas sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk Zaid dan kaum lain berjuang bersama dengan parti itu, katanya.

“Kami terbuka, usahkan Zaid, orang Cina dan India pun kami terima. Cuma yang tinggal kini ialah mekanisme penerimaan itu (sebagai ahli) terpulang kepada jawatankuasa teknikal parti, saya hanya bercakap mengenai dasarnya sahaja.

“Saya lebih suka begini, mana-mana pemimpin UMNO yang telah lama berjuang dalam parti itu dengan menyerang Pas dan Islam. Kalau bolehlah biar dia pula puji Islam, marah balik kepada sekular yang dia pertahan sebelum ini, lepas tu barulah isi borang Pas,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula turut mengakui pernah mengadakan beberapa pertemuan sulit dengan Datuk Zaid Ibrahim dan secara terbuka mengalu-alukan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Anwar, pertemuan antara mereka berdua itu diadakan pada hari Zaid meletakkan jawatan beliau daripada Kabinet lagi.

Mmm, jadi sudah lama juga mereka ‘intim’. Dua musuh duduk bersama bagi merangka untuk menyerang satu musuh – UMNO.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas selesa dengan prinsip Zaid yang dilihat sebagai seorang yang berpendirian tegas dalam menentang undang-undang zalim termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Kini hanya keputusan Zaid sahaja memilih yang mana.

Rasa saya Zaid dalam pilihan ini dia lebih berminat dengan Keadilan kerana dua tiga sebab.
Sebab pertama perjuangan Keadilan rasanya lebih sesuai untuk Zaid, khususnya dalam isu-isu yang menyebabkan beliau kena pecat, khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri; kedua, ‘cara kehidupan Zaid’ mungkin kurang sesuai dengan pemimpin PAS dan ketiga budaya politik PAS yang lebih tertutup mungkin kurang selesa bagi Zaid., lebih-lebih jika mahu duduk semeja dengan mereka.

Rasanya Zahid lebih selesa duduk dengan Anwar, Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng daripada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamad Iraq.

Lagipun, jelas Zaid sebelum ini sudahpun ‘main belakang’ dengan UMNO seperti yang diakui oleh Anwar bahawa mereka pernah bertemu banyak kali secara sulit sejak Zaid meletakkan jawatan.

Kesian kat Majlis Tertinggi UMNO, bincang pasalnya dan berbagai-bagai lagi. Kalau tahu awal ada permainan di belakang, rasanya lebih mudah untuk memecat beliau.

Mungkin Tan Sri Muhyiddin tahu fasal Zaid ini kerana itu bersungguh-sungguh mahu UMNO memecat beliau.

Tetapi tidak tahulah kalau-kalau selepas ini Zaid mungkin mengubah cara politik dan pergaulannya selepas dipecat oleh UMNO Selasa lalu memilih PAS.

Hakikatnya, apabila Zaid digugurkan daripada bertanding dalam pilihan raya umum lalu apabila dikatakan akan menyertai PAS, beliau menolaknya.

ZAID IBRAHIM – RAMALANKU BENAR BELAKA

Posted in pecat, UMNO, zaid on December 3, 2008 by Hambali Abd Latiff

Ramalan saya bahawa Datuk Zahid Ibrahim akan dipecat daripada UMNO pada Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO malam semalam, tepat.

Berkuatkuasa serta merta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Saya mendapat berita bahawa Zaid akan dipecat daripada sumber di Jakarta dan kini keputusan sudah dibuat.

Sabtu lepas, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam dan sehari sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.

Zaid kini berada sebaris dengan mereka yang pernah dipecat UMNO seperti bekas Menteri Kabinet zaman Tunku Abdul Rahman, Abdul Aziz Ishak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Harun Idris, Zaharin Mohd Yassin dan beberapa ahli lain yang kurang popular.

Mohd Sayuti Omar melalui blognya msomelayu, berkata ketika MT sedang mengadakan mesyuarat bermula jam 9:00 malam beliau sedang bersama Zaid dalam satu siri pertemuan khas dengan bekas Ketua Bahagian Umno Kota Bharu itu di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut Sayuti, ketika pertemuan itu Zaid sudah membayangkan tindakan akan bakal dikenakaan ke atasnya. “Tetapi terus terang saya jelaskan kepada you saya tidak akan merasa apa-apa kalau saya dipecat,” katanya, sambil menambah; “saya hairan kenapa ada pemimpin Umno mempersoalkan tindakan saya, padahal siapalah saya,” begitulah katanya.

Katanya, tindakan itu mungkin tidak mengejutkan bekas Menteri berkenaan kerana beliau sudah dapat membayangkan apa yang berlaku apabila beberapa hari ini ramai pemimpin Umno memperkatakan dan mempertikaikan mengenai tindakannya mengadakan pendekatan politik dengan pembangkang.

Selepas bertemu Zaid, Sayuti kemudian bersama saya di The Mall seketika sebelum kami beredar ke Coffee House Puteri Pacific. Ramai kawan-kawan berada di coffee house sementara menunggu berakhirnya mesyuarat berkenaan.

Selain isu Zaid, isu lain yang diperkatakan hangat kini ialah pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
Dalam kami berbual-bual, muncul Tan Sri Annuar Musa bersama beberapa yang lain seperti Datuk Norza Zakaria serta juga Datuk Ikmal Hisham. Annuar singgah sebentar di meja kami sebelum berbincang dengan Norza.

Sebelum itu saya sempat bertanya apakah Zaid dipecat, Annuar tersenyum dan mengangguk tanpa mengulas panjang.

Saya tidak berapa ingat siapa lagi dipecat daripada UMNO tetapi yang pasti Aziz Ishak dipecat selepas beliau berhenti daripada Kabinet pada tahun 1963 selepas tidak bersetuju dengan Tunku dan bertelingkah dengan rakan Kabinet lain apabila ditukarkan ke Kementerian Kesihatan.

Dr Mahathir pula dipecat pada 12 Julai 1969 berikutan tersebarnya surat beliau kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri waktu itu. Surat itu mengkritik cara Tunku Abdul Rahman menguruskan negara yang dikatakan memberikan kelebihan kepada orang Cina.

Sementara Datuk Harun dipecat dari UMNO pada 1976 kerana tuduhan rasuah.
Terbaru sebelum Zaid yang dipecat ialah “Sang Kelembai’ blogger yang mengkritik keras kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29hb September 2006 atas dakwaan bahawa telah melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca bersama Perkara 1 Tata Etika ahli Umno iaitu berkelakuan dengan tujuan menjejaskan kedudukan parti Umno di dalam kerajaan selain menjatuhkan imej dan nama baik parti.

Menurut Sayuti dalam blogspotnya, apabila ditanya apakah beliau akan menyesal jika beliau diambil tindakan dipecat daripada parti berkenaan, Zaid menjelaskan; “Mungkin untuk saya kata mujur dengan tindakan itu tidak boleh, tetapi yang jelasnya saya tidak merasa apa-apa kalau saya dipecat,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam semalam Abdullah yang juga Presiden Umno berkata tindakan yang dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan, katanya.

“Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata keputusan untuk memecat Zaid daripada Umno adalah berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti.

“Keputusan yang kami ambil adalah berdasarkan prinsip. Dalam Umno dari dulu lagi kami ikut garis panduan dalam parti. Apabila kita melanggari garis panduan parti, kita mesti berdepan tindakan disiplin yang biasa,” kata Muhammad kepada pemberita selepas mesyuarat MT itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan terhadap Zaid dicapai sebulat suara.

ZAID DIPECAT MALAM INI?

Posted in UMNO, zaid on December 2, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Terkini)
Dua personaliti dijangka akan menjadi antara tajuk perbincangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dijadual bermesyuarat pukul 8 malam ini.

Pertama ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan kedua, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dijangka akan turut dibincangkan kerana ia penting buat UMNO, khususnya selepas Permatang Pauh gagal ditawan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

MT dijangka akan membincangkan tindakan yang akan dikenakan ke atas Zaid ekoran tindakannya menghadiri majlis perasmian kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR), baru-baru ini.

Sumber memberitahu, Zaid kemungkinan besar akan dipecat tanpa surat tunjuk sebab kerana sebelum ini pun surat tunjuk sebab dalam satu kes lain tidak dijawab olehnya.

Sabtu lalu, Zaid yang hadir pada perasmian Kongres Nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam, dipetik sebagai berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelasnya, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Sementara isu bahagian UMNO yang belum bermesyuarat juga dijangka dibincangkan, termasuk status Tanah Merah dan Larut.

Selain itu rasuah politik juga dijangka menjadi tajuk perbahasan dengan adanya pelbagai perkembangan baru, khususnya kerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memerangi gejala ini.

Apa pun paling menarik ialah isu Arif Shah yang mengatakan beliau masih mempertimbangkan tawaran untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kenyataanya kepada Star Online kelamrin yang beliau memerlukan masa untuk meneliti tawaran tersebut dari pelbagai sudut, menjadi ikutan pemerhati politik.

Seperti Zahid, nampaknya Arif Shah, ingin melihat sama ada Umno masih memerlukan khidmatnya dan tidaklah perlu untuk menafikan niat ikhlas beliau untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

Zaid menafikan beliau akan menyertai PKR tetapi tidak menolak pada masa hadapan.
Jika benar dipecat, Zaid tidak lagi perlu menunggu lebih lama dan mempertimbangkannya sebab-sebab untuk menyertai PKR.

Laporan media pagi ini menyebut mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan membincangkan secara terperinci persediaan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, ekoran kematian mengejut Ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Pertandingan tiga penjuru itu turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi.

ZAID – TINDAKAN TERHADAPNYA BIAR CERMAT

Posted in UMNO, zaid on December 1, 2008 by Hambali Abd Latiff

Mari kita lupa sekejab isu ‘permainan wang’ dalam UMNO.

Kita beraih kepada Zaid Ibrahim.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menganggap kehadirannya pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam kelmarin adalah sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas beliau, kehadirannya adalah untuk mendengar isu yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa di negara ini.

Lebih jelas, Zaid berkata kehadirannya adalah kerana ‘minat politik’.

Ternyata pemimpin UMNO tidak boleh menerima tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri itu kerana hadir pada perasmian Kongres PKR itu.

Katanya perbuatan tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam mengesahkan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan datang.

Soalnya apakah Zaid bermain politik supaya beliau dipecat? Apakah dengan pemecatan itu akan membolehkannya mendapat liputan meluas?

Juga, Zaid mungkin sedang mencari sebab untuk beliau ‘beralih angin’ tetapi sebelum itu meninjau sejauh mana parti pembangkang – PKR atau Keadilan mahukan beliau – juga sejauh UMNO sudah ‘membencinya’.

Zaid yang ditemui media selepas oerasmian itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan. “Saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat,” katanya ringkas.

Menurutnya, beliau menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik. “Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik…itu saja,” katanya.

Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada akan menyertai PKR, beliau tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang itu pada masa depan.

Lebih jauh Zaid menganggap pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.

Zaid juga tidak takut jika UMNO mengambil tindakan terhadapnya. Katanya: “Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini…saya tak berapa sihat.”

Ternyata Zaid tidak heran dengan apa juga tindakan terhadapnya oleh UMNO bukan sahaja kerana peristiwa ini tetapi sebelum ini pun Zaid pernah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO.

Menariknya, Zaid mungkin diminta menulis surat tunjuk sebab kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk menjelaskan sebab utama beliau menghadiri kongres tersebut.

Tetapi hakikat di sebalik itu, Zaid belum lagi menghantar surat tunjuk sebab atas kesalahan membantah ISA dan kini, beliau dikatakan membuat satu lagi kesalahan yang melanggar etika parti.

Bagi pemimpin UMNO, tindakan Zaid ini secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada parti pembangkang tersebut.

Malah, apabila namanya digugurkan bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu selepas pilihan raya umum lalu, beliau dikatakan akan menyertai PAS. Serta merta beliau menafikannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, UMN O bukan tidak berfikiran terbuka, tetapi tindak tanduk Zaid tidak ikut prosedur disiplin parti, ini satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana melanggar disiplin parti.

Lebih sedap apabila beliau mengatakan kerajaan dan UMNO tidak akan rugi jika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ingin menyertai parti pembangkang.

Nazri menganggap Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan penting hingga boleh menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai pihak pembangkang.

Mohamed Nazri berkata, sewaktu Zaid dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri, kebanyakan rakyat langsung tidak mengenali beliau.

Itu sudah menunjukkan bahawa Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan akan menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai PKR.

Bagi Nazri, ‘‘Sebenarnya, kita tidak rugi apa- apa pun kalau benar beliau (Zaid) akan menyertai pembangkang.”

Zaid meletakkan jawatan Kabinet selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya dalam BN terhadap kenyataannya yang membantah penahanan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 12 September lalu.

Di Kota Bharu, tanpa diketahui atau diketahui, walau ada mengatakan Zahid tidak berbuat apa-apa tetapi ‘banyak juga’ yang dilakukan Zaid. Dia ‘pemain politik’ secara diam dengan melawat dan bertemu penyokongnya setiap minggu ketika menjadi wakil rakyat.

Saya pernah menjejaki bagaimana beliau turun ke padang bersaorangan. Walaupun Zaid kaya raya, dia tidak menggunakan ‘body guard’ seperti sesetengah pemimpin UMNO lain yang diiringi berpuluh penyokong.

Pada bulan puasa, Zahid hadir di surau-surau berbuka puasa dengan ‘rakyatnya’ secara senyap=senyap tanpa banyak publisiti.

Di Kelantan juga Zahid mempunyai sebuah NGO yang membantu orang kurang upaya dan banyak lagilah.

Tidak tahulah sama ada UMNO akan ‘rugi’ dan ‘tidak rugi apa-apa’.

Apapun, Zaid perlu menghadapi tindakan kerana bakti dan jasa lain, soal disiplin lain.
Namun, kalau manusia bernama Zaid ini tidak penting untuk UMNO, jika mahu melepaskannya – lepaslah dengan baik.

Dan Zaid pula, kalau tidak perlukan lagi UMNO selepas kaya raya, beralihlah angin secara baik dan jangan jadikan UMNO yang banyak berjasa ini sebagai musuh.

Mengambil kata-kata Zaid sendiri jika pembangkang bukan musuh sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik, begitulah UMNO – pemimpinnya juga mempunyai pandangan berbeza dengan Zaid dalam politik.