Archive for the Pilihanraya Category

PAS, PAKATAN GAGAL BERI KHIDMAT TERBAIK

Posted in Bagan Pinang, BN, Pemilihan UMNO, Pilihanraya on October 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada mengatakan kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Bagan Pinang ialah kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan UMNO atau BN.

Bagi kumpulan ini, kalau letak orang lain boleh kalah dan menolak pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan jika letak calon lain BN pun boleh menang.

Malah, lebih jauh ada mengatakan Mohd Isa lebih popular daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba memainkan isu integriti, rasuah dan sebagainya dengan ‘memburukkan’ pemimpin UMNO tetapi ditolak oleh pengundi Bagan Pinang.

Polimik seperti itu tidak akan selesai tetapi hakikat yang perlu dihayati ialah pada ketika beberapa pemimpin PAS – Salahuddin Ayob, Datuk Mahfuz Omar serta beberapa yang lain menyalahkan undi pos, provokasi, penyokong UMNO merestui rasuah dan sebagainya menyebabkan PAS kalah teruk di Bagan Pinang – ada satu pandangan menarik daripada ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, kekalahan teruk PAS di Bagan Pinang, antaranya, berpunca daripada kegagalan parti itu dan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di negeri yang dimenangi mereka.

“Sejauh mana kita serius berkhidmat di estet-estet? Ini pengalaman saya bersama Kelab Penyokong PAS (KPP).

“Orang India inilah yang beri sokongan kepada kita. Kalau kita tidak serius, (kecuaian) itu tidak baik,” kata Dr Dzulkefly seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.
Beliau mungkin akan berdepan dengan kumpulan dalam PAS yang lebih gemar melihat keluar daripada menilai kelemahan dalaman. Bagi kumpulan berkenaan kekalahan mereka banyak disebabkan oleh pihak luar, khususnya kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya.

Pandangan beliau ini lebih ikhlas dan sebagai pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil itu, diminta mengulas prestasi buruk parti itu di kerusi DUN tersebut semalam apabila, sekurang-kurangnya, gagal mengurangkan majoriti BN.

Ahli parlimen itu berkata sikap Pakatan yang hanya mendatangi pengundi di saat akhir menjelang pilihan raya mestilah dihindari jika PAS dan gabungan pembangkang mahu terus mendapat kepercayaan rakyat.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian sedikit sebanyak mempunyai pendapat yang sejajar dengan Dr Dzulkefly.

Dr Sivamurugan berkata, PAS memberikan lebih tumpuan isu rasuah dan integriti sehingga menenggelamkan isu kebajikan – yang pernah dianggap berjaya meraih perhatian pengundi bukan Melayu.

“Pembangkang kali ini banyak memainkan isu korupsi dan integriti.

“Tetapi selepas 18 bulan memerintah (di negeri-negeri Pakatan), mereka perlu memikirkan strategi lain, dengan menimbulkan isu-isu kebajikan,” katanya.

“Kalau kita lihat, dalam pilihan raya umum sebelum ini, sokongan India dan Cina diperoleh daripada isu kebajikan.”

Dr Dzulkefly mengakui, isu-isu berbangkit di peringkat nasional – seperti kontroversi penjualan arak di Selangor dan perobohan rumah di Kg Buah Pala, Pulau Pinang – sedikit sebanyak memberikan kesan penduduk di kawasan-kawasan lain.

“Kita tidak boleh lagi membuat andaian bahawa isu di peringkat (sesebuah) negeri dan pusat tidak membawa kesan di negeri lain,” katanya, diminta mengulas analisis ringkas akhbar web rasmi parti Harakahdaily.

“Jangan ingat apa yang berlaku di Kedah tidak ada kesan di Bagan Pinang. Ada (kesan).”

Akhbar web itu dalam analisis segera sejurus selepas keputusan diumumkan menyebut, pengundi Cina di Bagan Pinang menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis lengkap keputusan penuh pilihan raya itu dibuat.

Menurut Dr Dzulkefly, daripada awal lagi PAS beranggapan kerusi itu sukar ditawan kerana Bagan Pinang kerusi tradisi BN dan terdapat banyak pengundi pos di situ.

Selain itu, katanya, terdapat sentimen pengundi yang “termakan budi” kepada Isa – yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan kira-kira dua puluh tahun.

“Mereka ada keupayaan untuk memberi, sama ada projek, subsidi, tanah dan imbuhan. Sedikit sebanyak penduduk akan termakan budi,” katanya.

Bekas menteri besar Tan Sri Mohd Isa Samad menggandakan majoriti BN kepada 5,435 undi apabila mendapat 8,013 undi, meninggalkan jauh calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan hanya 2,578 undi.

Pada pilihan raya umum 2008 – rekod terburuk BN – parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN semalam menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN juga berjaya menebus ketewasannya di tiga daripada lapan daerah mengundi pada Mac tahun lalu, semuanya didominasi pengundi bukan Melayu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong (lihat carta).

Kemenangan Isa itu, selain membuktikan ketokohannya masih utuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.

Advertisements

ISA SAMAD – TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI…

Posted in Bagan Pinang, Pilihanraya on October 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bolehkah kita katakan bahawa provokasi penyokong parti yang bertanding menyebabkan sasaran Suruhanjaya Pilihanraya agar 90 peratus keluar mengundi di Bagan Pinang tidak berhasil?


Atau apakah penduduk di kawasan itu sudah yakin dengan kejayaan yang mungkin dicapai oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dan tidak perlu membuang undi?

Semalam, seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu sehingga pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Walaupun ia meningkat sedikit berbanding 10,911 atau 81.59 peratus pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, namun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, kecewa kerana sasaran keluar mengundi kali ini tidak tercapai.

“Saya agak kecewa dengan peratusan ini, saya harapkan peratusan hampir ke 90 peratus, saya tidak tahu apa sebabnya peratusan ini tidak meningkat walaupun hari mengundi diadakan pada hari cuti hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata, SPR akan melakukan analisis mengapa peratusan itu tidak meningkat sebagaimana yang diharapkan.

Ternyata calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan tandingan calon PAS apabila menang besar dengan majoriti 5,435 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan itu memperoleh 8,013 undi berbanding calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, yang mendapat 2,578 undi.

Secara mudah undi yang didapati oleh PAS (pakatan pembangkang hanya 21 peratus) berbanding undi yang dimiliki BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi apabila memperoleh 6,430 undi manakala calon PAS, Ramli Ismail, mendapat 4,097 undi.

Merosotnya undi PAS begitu banyak, hampir sekali ganda dan pertambahan undi kepada BN daripada 6.430 kepada 8.013 menggambarkan bahawa BN dan UMNO ‘bukan teruk sangat’.

Cuma sebelum ini, ruang untuk BN mengetengahkan calon ‘sebaik Mohd Isa’ tidak muncul. Mungkin juga sebelum ini BN membuat keputusan salah mengenai calon.

Bagi saya untuk kali pertamanya isu calon tidak menjadi ‘isu utama’ di kalangan BN atau UMNO. Untuk kali pertamanya juga rakyat tempatan tidak mempersoalkan ‘diri calon’ dan sangat sukar untuk mereka menolak Mohd Isa tidak seperti pada pilihan raya kecil yang lain.

Memanglah bagi PAS dan pakatan rakyat, mereka akan merasa terkilan, bukan sahaja kerana kalah tetapi kempen kononnya mereka bersih daripada BN dan UMNO tidak berjaya memutarkan fakta.

Ternyata Mohd Isa sudah diterima kembali dan seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Mohd Isa sudah menjalani ‘hukumannya’.

Dalam soal ini, nampaknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa peka dan menerima reality bahawa rakyat di Bagan Pinang mahukan Mohd Isa walau dalam keadaan apa sekali pun!

Sementara PAS yang sering berburuk sangka kepada orang lain, khususnya orang UMNO melemparkan komtentar yang bunyinya bagaikan ‘anggur masam’.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, kemenangan Mohd Isa dianggap suatu kegagalan kepada misi integriti nasional.

Katanya dalam kedudukan PAS menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik, PAS (beliau?) malu dengan sikap UMNO yang tidak akan membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik kerana gagal memerangi rasuah.

“UMNO memang menang dalam pilihanraya, tapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah,”kata dalam sidang media yang diadakan selepas PAS di isytiharkan tewas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Tidak apalah, PAS tidak akan melihat kelemahan dirinya tetapi akan terus mempersalahkan orang lain. Itu perangai dan tingkah lakunya.

Bagi BN dan UMNO, pengajaran kes pilihan raya kecil ini penting kerana jika calon tepat, kemenangan tidak sukar untuknya.

Calon yang diterima rakyat tempatan dan berjasa amat penting – bukan kerana dia muda atau pelajaran tinggi. Yang penting rakyat sayangkan diri calon berkenaan, UMNO akan menang.

UMNO dapat melihat bagai pembangkang menang di Kuala Terengganu, Permatang Pasir, Manek Urai atau juga sebelum ini di Permatang Pasir.

Selain itu BN perlu juga menjaga tata susila dan mengelakkan provokasi kerana rakyat akan menilai siapa sebenarnya yang membuat kekacauan dan cuba cari pasal tidak tentu hala.

Rakyat Malaysia cintakan keamanan. Sebarang kekerasan atau pertelingkahan bukan pilihan mereka. UMNO dan BN kena amalkan ‘keamanan’ dan kestabilan sama ada ketika berkempen atau hari membuang undi.

Selain itu, Presiden dan pemimpin tertinggi BN perlu bekerja satu hati dalam memenangkan parti komponen, bukan UMNO, MCA. MIC atau Gerakan dan parti-parti komponen lain bertanding secara berasingan. Bersatu hati untuk kemenangan.

Serangan dan pertahanan terhadap lawan umpamanya dalam konteks pemimpin utama mereka perlu tersusun dan jangan ada pihak yang mahu mengambil kredit atau keuntungan peribadi daripadanya.

Ternyata Penasihat Parti Keadilan Rakyat – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama PAS gagal menambat hati rakyat di Bagan Pinang.

Kepada rakyat di Bagan Pinang, tahniah kerana tidak terpegaruh dengan dakyah pembangkang dan melontar jauh-jauh sokongan anda.

Pemimpin pembangkang pasti akan ‘terkejut beruk’ dengan undi kecil yang diterima oleh mereka.

Walaupun ada menganggap Mohd Isa sebagai ‘calon kitar semula’, pembangkang lupa bahawa calon ‘kitar semula’ milik mereka lebih teruk kerana sudah beberapa kali kalah dalam pilihan raya. Sedangkan Mohd Isa tidak pernah kalah pun dalam pilihan raya – sama ada kerusi DUN mahupun Parlimen.

Itulah, Anwar pun boleh lupa fakta dan ini hanya permulaan. Banyak lagi Anwar akan lupa fakta selepas ini kerana beliau perlu mengumpul fakta mengenai dirinya sendiri bagi mempertahankan maruah dan identitinya sendiri – sama ada di mahkamah atau juga pentas politik.

Kepada Mohd Isa, ingatlah janji-janji kerana daripada rakyat kita datang dan rakyat juga boleh menentukan sama ada kita kekal atau ditendang jauh-jauh, jika gagal berbakti!


ADAKAH PERATURAN BARU ELAK PROVOKASI?

Posted in Bagan Pinang, insiden, Pilihanraya, provokasi on October 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Tidak bolehkah kalau tidak ada provokasi dalam pilihan raya?

Tiada maknanya pada hari penamaan calon, ketika kempen dan pada hari pembuangan undi, penyokong parti dibenarkan berada berhampiran pusat-pusat berkenaan tetapi sebaliknya berlaku pergaduhan.

Menyedih dan memalukan kerana ia berlaku sesama Melayu dan sesama saudara seIslam. Tidak tahulah kalau PAS menganggap penyokong UMNO bukan-Islam.

Kita masih ingat pada dan 1980an ada yang mati dihentak dengan batu jokong dan tidak kurang pula yang berdarah dan bengkak-bengkak kerana sepak terang dan sebagainya.

Jadi adalah baik kalau kerajaan memikirkan mengadakan peraturan baru menyekat perhimpunan sedemikian untuk mengelakkan provoksi berlaku.

Pilihan raya bukan untuk menyebabkan orang luka dan berdarah. Pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

Biarlah ia berlaku dengan aman dan tenteram. Namun ternyata pilihan raya kecil Bagan Pinang penuh dengan provokasi – sejak hari penamaan calon lagi.

Provokasi ini kebanyakannya dilakukan oleh penyokong PAS. Buktinya? Menurut laporan media;

1. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta penulis portal Malaysian Insider dan Harakah Daily diminta beri keterangan tentang dakwaan mengelirukan kononnya penyokong parti itu cedera diserang ahli UMNO.

2. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, gambar mangsa yang ditunjukkan Salahuddin dan disiarkan dalam portal berbeza dengan orang yang membuat laporan polis.

3. Tiada siapa yang tampil membuat laporan polis mengatakan cedera teruk ditetak ‘pedang samurai’.

4. Salahuddin semalam gagal tunjukkan bukti salinan laporan polis atau nama lelaki yang ‘cedera’ ditetak.

5. Ia hanya satu salinan laporan polis seorang penyokong PAS yang mendakwa keretanya dihalang oleh petugas BN.

6. Laman web Harakah sendiri telah menarik balik berita itu.

Jika diteliti kembali, ada tiga perkara mengenai Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Salahudin Ayub.

Pertama dialah yang mendakwa kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim bohong;

Kedua, dia mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah; dan

Ketiga, dia mengaku menyebarkan gambar petugas PAS sebagai untuk menyatakan ia ‘benar-benar berlaku dan bukan direka-reka’.

Salahuddin juga menegaskan pihaknya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan mereka dalam sidang media yang mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah.

“Saya bertanggungjawab penuh dengan penyebaran gambar itu dan memang ia benar-benar berlaku bukan direka-reka,” kata Salahudin kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan keterangan di bawah seksyen 112 (keterangan saksi) di Balai Polis IPD Port Dickson jam 6.45 petang semalam.

Polis meminta Naib Presiden Pas itu, serta penulis portal berita Malaysian Insider dan Harakah Daily tampil memberi keterangan berhubung dakwaan yang mengelirukan kononnya penyokong parti itu dikasari dan diserang oleh ahli UMNO hingga cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam blog berkenaan Salahuddin telah memegang sekeping gambar berkaitan kejadian itu dengan gambaran kecederaan yang teruk ke atas mangsa.

Tetapi kata beliau, gambar mangsa cedera yang ditunjukkan oleh Salahuddin dan disiarkan dalam kedua-dua portal berita itu berbeza dengan orang yang dilaporkan kepada polis.

”Pihak polis telah pun membuat siasatan awal dan setakat ini tiada siapa yang datang mengatakan beliau telah dipukul begitu teruk keadaannya.

”Polis ada menerima laporan dan membuka siasatan dan pihak polis sendiri telah menghantar mangsa ke hospital dan beliau telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Tak ada kesan darah pun. Hanya lebam-lebam saja. Orang itu juga orang lain, bukan yang dalam gambar itu.

“Nama yang disebut sama tetapi gambar memang berbeza. Kalau betul orang itu ada, datanglah buat laporan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PDRM semalam.

Osman berkata, kenyataan yang dibuat itu mengelirukan orang ramai dan mereka terdorong untuk mempercayainya.

Katanya, polis telah berhubung dengan Salahuddin tetapi sehingga hari ini pemimpin Pas itu gagal berbuat demikian.

Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.
Beliau juga mengesahkan gambar yang disiar oleh Harakah Daily itu tidak sama dengan individu yang terlibat, hanya nama sahaja yang sama.

Osman turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keadaan huru-hara.

”Polis akan mengesan individu yang memulakan SMS ini dan akan mengambil tindakan. Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Pada sidang akhbar sama, polis memberi amaran supaya mana-mana parti tidak membina struktur seperti khemah yang digunakan untuk meraih undi.

”Kita akan ambil tindakan jika ada pihak yang cuba menakutkan pengundi pada 11 Oktober ini dan menghalang mana-mana pengundi yang layak.

”Pihak polis akan memeriksa kenderaan yang memasuki laluan di Bagan Pinang ini dan menahan mana-mana pihak yang membawa senjata berbahaya,” kata Osman.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima 66 laporan sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung.

”Daripada jumlah itu, 22 sedang disiasat dan tiada tangkapan dibuat. Baki 44 laporan itu, polis sedang meneliti dan ada yang tidak diambil tindakan contohnya bendera hilang tetapi kemudian ditemui semula,” katanya.

Beliau memberitahu, tiada kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Akta Hasutan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Mesin Cetak.

”Daripada 22 laporan itu, 10 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Seremban untuk mendapatkan nasihat,” jelasnya.

ISA SAMAD MEMANG LAYAK

Posted in Bagan Pinang, Calon, Pilihanraya on October 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Mengenai Tan Sri Mohd Isa Samad ini, saya tidak perlu memperkatakan banyak untuk beliau.
Namun, saya ingin mengajak pembaca kepada satu kenyataan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO DI Paris pada 4 Oktober lalu iaitu Mohd Isa telah menjalani hukuman berat di atas kesalahannya dalam parti.

Dan dia dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang kerana beliau mampu memenangi kerusi itu serta popular di kalangan masyarakat kawasan itu.

Itulah tiga faktor besar. Saya ulangi – beliau sudah menjalani hukuman, popular di kalangan penduduk serta mampu menang.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pertimbangan pilihan raya kecil, parti akan memilih calon yang mampu berkhidmat di satu-satu kawasan dengan berkesan, popular, diterima masyarakat serta kepimpinannya dikehendaki.

Jadi bohonglah mereka yang menuduh kononnya pemimpin tertinggi menolak Mohd Isa, malah Pengerusi BN dan Presiden Umno mengatakan Mohd Isa telah dikenakan tindakan di atas kesalahannya termasuk kehilangan jawatan Menteri dan Naib Presiden namun masih setia kepada parti serta bekerja keras untuk parti walaupun tidak berjawatan.

Jelas Mohd Isa hanya melakukan kesalahan teknikal parti dan bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara.

Sebaliknya ada orang sudah mencemarkan maruah negara serta bersalah di mahkamah tetapi tetap menjadi pujaan pembangkang.

Jelas, Mohd Isa wajar diterima rakyat dan dia mampu memberikan sepenuh khidmat! Tiada orang lain selain Mohd Isa untuk Bagan Pinang.

Tan Sri Isa Samad Untuk Bagan Pinang!

Oleh dukeofmontecristo (mykmu.net)

Beliau di dapati bersalah. Beliau akur. Beliau digantung keahlian 3 tahun. Beliau akur. Beliau dicemuh, dihina dan diumpat, pun beliau akur. Beliau “berehat” dan menerima hukuman dunia dan masyarakat dengan sikap zuhud dan insaf.

Beliau tidak pun cuba untuk menonjolkan diri sepanjang tempoh “rehat”nya. Namun begitu, beliau tetap aktif sebagai insan yang berpegang kuat pada semangat dan jiwa UMNO yang tebal di dalam dirinya. Beliau tidak cepat “melatah” atau “merajuk” melompat ke arah parti lain, jauh sekali menubuhkan parti lain ataupun “memijak” bendera UMNO. Beliau tetap kukuh berjiwa UMNO, demi Islam, bangsa dan tanahair.

Siapa yang tidak melakukan kesalahan atau kesilapan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Namun, Allah juga punya sifat Maha Pengampun kesilapan dan kesalahan hambaNya. Di dalam Islam juga punya perkataan “taubat”, tanda penyesalan dan berazam tidak mengulanginya kesilapan yang lampau. Tan Sri Isa Samad. Insan inilah yang dimaksudkan.

Teguh sungguh jiwanya kepada perjuangan “alif, ba, ta” UMNO. Dikala dia di dalam tempoh “cuti”nya, dirinya tetap sebok berjuang dan berkhidmat kepada masyarakat setempat. Di atas keikhlasan dan jasa juangnya kepada masyarakatlah, maka beliau disukai dan dipuji oleh masyarakat sekitarnya.

Penduduk tempatan di Teluk Kemang pastinya terkilan jika “wakil rakyat tidak rasmi”nya ini tidak terpilih untuk menjadi calon “wakil rakyat rasmi” di Bagan Pinang. Sehubungan itulah maka mereka sebulat suara mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagi calon pilihan mereka.

Itulah kehendak rakyat setempat di Teluk Kemang, khususnya Bagan Pinang. Dikhabarkan bahawa, beliau bukan sahaja menjadi pilihan ahli-ahli UMNO di Bahagian Teluk Kemang, malah Tan Sri Isa juga menjadi pilihan rakyat “atas pagar”, bahkan pengundi pembangkang juga secara diam-diam “meminati” Tan Sri Isa. Itulah pilihan rakyat setempat.

Tidak dinafikan bahawa ada juga pandangan dan suara dari luar Bagan Pinang yang tidak “favor” kepada pencalonan Tan Sri Isa Samad. Malah ada juga pemimpin UMNO, bekas pemimpin UMNO dan blogger-blogger pro-UMNO yang tidak bersetuju dengan pencalonan Tan Sri Isa. Saya berterima kasih banyak kepada pandangan mereka mengenai isu ini.

Memang benarlah pandangan mereka itu. Namun mereka tidak boleh menghukum seseorang itu hanya keran melihat sesuatu kesalahan yang pernah dilakukan oleh individu tersebut. Individu itu telah menerima hukuman setimpal dan beliau juga sudah insaf.

Tiadakah tempat untuk seseorang seperti itu untuk menjadi pemimpin? Bukankah Saiyidina Umar Al-Khattab juga asalnya kafir dan pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup ke perut bumi sehingga mati.

Jika benar tiada tempat untuk insan yang pernah berdosa besar seperti itu untuk berperanan sebagai pemimpin, mengapa beliau diangkat sebagai salah seorang Khulafa’ Ar-Rashidin yang dijamin syurga. Apakah Tan Sri Isa tidak boleh diterima sebagai pemimpin walaupun beliau sudah bertaubat dan insaf? Saya menerima khabar bahawa sebelum disahkan pencalonan calon untuk Bagan Pinang oleh UMNO, Tan Sri Isa Samad begitu aktif turun ke lapangan akar umbi di seluruh Bagan Pinang.

Beliau meminta dan merayu supaya semua ahli UMNO dan rakyat setempat tanpa mengira parti agar memilih calon pilihan UMNO/BN sebagai wakil rakyat mereka. Beliau ketika itu langsung tidak menyentuh mengenai pencalonan dirinya. Beliau sendiri secara peribadinya tidak sedikit pun melobi untuk menjadi calon.

Malah menggesa agar semua penyokong BN agar menerima calon pilihan Presiden UMNO dan MT kerana pastinya pucuk pimpinan akan memilih calon yang “mengutamakan rakyat” dan “mementingkan prestasi KPI perkhidmatannya kepada rakyat”. Beliau begitu ikhlas dan tulus berjuang demi Parti “sebenar” yang menjadi “Pembela Rakyat” ini.

Saya faham. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan dan tulisan saya kali ini. Saya hormati pandangan yang bertentangan, namun saya yakin dengan pilihan saya kali ini. Saya yakin dengan pandangan saya sebagai insan yang tidak terlepas dari salah dan silap.

Saya yakin dengan pilihan saya kerana saya tahu bahawa manusia juga mampu berubah kepada sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.

Dan saya yakin dengan pilihan saya kerana pilihan ini adalah pilihan rakyat pengundi-pengundi di Bagan Pinang dan bukan pengundi dari “luar kawasan” yang hanya “suka komen itu tak betul, ini tak betul”. Apa-apa pun, fikir-fikirkanlah…

BAGAIMANA KALAU KITA PUKUL SALAHUDDIN AYOB PULA

Posted in Bagan Pinang, insiden, Pilihanraya on October 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kenapa? Kerana dia kata mangsa kena pukul bercakap bohong!

Pada 26 September lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan oleh akhbar utama, meminta penyokong PAS hormati Aidilfitri – jangan serang peribadi.

Beliau merujuk kepada penceramah PAS yang akan menyertai kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang agar mereka hanya merujuk kepada soal dasar, bukan peribadi.

Namun belumpun berceramah dan menyerang peribadi, penyokong PAS sudah menyerang bodi (body) atau badan.

Pengerusi Biro Putera UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur selepas kecederaannya semakin serius.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 9.30 malam kelmarin, setelah kecederaan di bahagian leher yang dialaminya selepas ditumbuk oleh penyokong PAS.

Kejadian berlaku ketika sedang berjalan kaki menuju ke pusat penamaan calon di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, kesan daripada serangan itu, bahagian lehernya membengkak dan beliau turut berasa pening serta loya dan dinasihatkan oleh doktor supaya banyak berehat.

Namun agak aneh apabila Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang PAS, Salahuddin Ayub menegaskan dakwaan Azeez yang lebam dipukul Pemuda PAS sebagai satu pembohongan.

Laporan Sinar Harian 5 Oktober, 2009 (kelmarin), memetik Salahuddin berkata, pada hari penamaan calon itu, Azeez telah berjumpa dengan beliau dan menunjukkan kesan lebam terbabit tetapi apa yang dilihat tiada langsung kesan lebam malah bajunya turut masih kemas dan bersih.
“Saya pelik bagaimana dakwaan yang dibuat Azeez yang mengatakan beliau dipukul oleh sembilan orang pemuda Pas tetapi datang kepada saya dengan senyuman dan baju yang masih kemas.

“Oleh itu, saya berpendapat beliau telah berbohong kepada media dan rakyat Bagan Pinang di mana beliau telah mencari satu publisiti murahan,” kata Salahuddin di Markas Tarbiah Pas di Port Dickson kelmarin.

Bagaimana kalau Pemuda UMNO jika terserempak Salahuddin, pukul pula beliau kerana mendakwa Azeez berbohong.

Pukulan jangan kuat tetapi secukup rasa, bukan kerana membalas pukulan terhadap Azeez tetapi pukulan kerana mendakwa Aziz berbohong.

Jangan ada parut atau luka seperti dia mengatakan terhadap Azeez tetapi biar rasanya seperti yang Azeez rasa, mungkin membengkak di dalam.

Kenapa wajar berbuat demikian? Jawapannya kerana pada ketika beliau mengatakan Azeez berbohong, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menyifatkan kejadian serangan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang mencemarkan imej Islam.

Pada ketika Nik Aziz me nasihatkan supaya mereka berbaik semula, Salehuddin bagaikan mahu menyemarakkan lagi kemarahan orang UMNO apabila mendakwa Azeez berbohong sedangkan Azeez terlantar di hospital.

Nik Aziz berkata: “Kalau boleh jangan lanjutkan (teruskan) bukan sahaja masa mengundi, tetapi sampai bila-bila. Itu bukan kita berpolitik dan ia bukan cara Islam pun…sebagai pemimpin PAS saya minta mereka berdamai. Minta maaf dan jangan teruskan lagi. Kita kena guna akal fikiran sebab akal fikiran ini tak menentu. Kita hala tujukan (pemikiran) ke arah Islam.”

Jenis pemimpin PAS apakah Salahuddin ini?

Sepatutnya pada bulan mulia ini – Syawal – Salahuddin mengajak mereka yang terbabit berbaik-baik dan bermaaf-maafan, bukan menuduh orang yang menjadi mangsa sebahagai ‘pembohong’.

Sikap Salahuddin – bekas Ketua Pemuda PAS – tidak wajar dijadikan contoh. Sikap angkuh beliau menggambarkan betapa berbezanya dengan pemimpin lama yang mengambil pendekatan berdamai jika berlaku perselisihan.

Sewajarnya Salahuddin mencari mereka yang melakukan ‘perbuatan melampau’ itu dan mendamaikannya dengan Azeez serta beberapa ahli UMNO yang lain kerana dengan cara itu PAS akan dilihat menekankan keamanan bukan perselisihan.

Kalaupun tidak mahu membawa mereka yang terbabit, Salahuddin boleh memohon maaf bagi pihak mereka, bukannya menuduh Azeez berbohong.

Pakailah nasihat Nik Aziz agar “berbaik semula, lebih-lebih lagi kalau bertumbuk sesama Melayu, makin lagi mencemarkan imej Islam dan orang Melayu. Saya harap mereka yang melakukannya dapat meminta maaf.’

Malah Nik Aziz berharap “kalau boleh jangan lanjutkan (teruskan) bukan sahaja masa mengundi, tetapi sampai bila-bila. Itu bukan kita berpolitik dan ia bukan cara Islam pun.”

Ternyata berdasarkan saranan Nik Aziz, Salahuddin bukan mengambil pendekatan Islam walaupun dia pemimpin yang mendakwa partinya Islam.

Salahuddin lebih berminat kepada ‘perselisihan’ dan ‘permusuhan’.

Wajarkah orang Melayu dan Islam menyokong dan menyanjung pemimpin seperti ini?

KITAR SEMULA, BUKAN ANAK TEMPATAN, UNDERDOG & UNDI POS…

Posted in Bagan Pinang, Pilihanraya on October 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Banyak isu boleh diperkatakan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Paling penting, siapa yang boleh berkhidmat untuk rakyat. Selain itu jangan terlalu yakin. Mesti kerja kuat untuk memenangkan Isa Samad pada pilihan raya kecil ini.

Apa cara sekalipun Isa Samad mesti menang. Sekat sabotaj dan usaha licik pihak tertentu untuk kalahkan pemimpin ini.

Tidak timbul soal calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon ‘kitar semula’. Menurut Mohd Isa, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi Mohd Isa, beliau percaya pengundi di Bagan Pinang akan memilihnya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan bahawa saya masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan pengalaman yang ada.

Selain itu penduduk di Bagan Pinang dari semua kaum akan menyokong beliau kerana ini adalah kali pertama beliau menjadi wakil rakyat di kampungnya.

Mohd Isa sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi sejak 1978 sehingga 2004 sebelum menjadi Ahli Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang disandang sebelum meletakkan jawatan pada 2005.

Mohd Isa mendapat sokongan padu Umno Negeri Sembilan dan UMNO Pusat tetapi tetap memberi amaran supaya BN perlu berhati-hati bagi membetulkan kekeliruan yang akan diwujudkan oleh pihak pembangkang.

Pembangkang mensasarkan rekod Mohd Isa yang pernah digantung keahlian dalam Umno selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang dalam pemilihan parti pada 2004.

Ekoran itu, pembangkang mendakwa BN ‘mengkitar semula’ Isa yang berusia 59 tahun itu untuk bertanding di kubu kuat Umno itu.

Bagi BN khususnya UMNO, pencalonan Mohd Isa sebagai calon paling sesuai untuk bertanding di Bagan Pinang.

Mohd Isa sedar serangan pembangkang dan usaha memperlekehkannya: “Umpamanya ada parti pembangkang menyatakan saya calon kitar semula tapi saya nak sebut di sini bahawa bapak Parti Keadilan, dia lagi kitar semula. Saya cuma tak bertanding tahun 2008 saja, yang dia tu tak bertanding dekat lebih enam tahun…dah hancurlah sampah tu kalau dikitar semula.

Yang penting pengundi di Bagan Pinang jangan terkeliru kerana pembangkang selalunya cakapnya lain manakala perbuatannya lain.

Selain itu, isu-isu seperti anak tempatan dan undi pos semakin diperkatakan. Ia sukar menenggelamkan PAS dengan isu berkenaan. Sebaliknya bagi PAS, ia bertanding sebagai underdog tetapi tetap yakin akan menang.

Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai 13,644 pemilih berdaftar termasuk 4,604 pengundi pos. Pada pilihan raya umum 2008, BN memperoleh 3,080 daripada 5,191 undi pos manakala calon Pas mendapat 1,189 undi.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, ditentang calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri itu.

Biarpun calon PAS bagi pilihan raya kecil ini, Zulkefly Mohamad Omar, semalam mengakui beliau bukan anak tempatan Bagan Pinang, ia bukan faktor yang boleh memberi kelebihan kepada calon BN.

Sebelum ini dalam pilihan raya kecil yang disertai BN, anak tempatan pun tergolek juga.
Isu “anak tempatan” sebenrnya bukan isu, malah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, bukan pun berasal dari negeri itu sebaliknya dilahirkan di Melaka.

Sebaliknya, Zulkefly lebih layak kerana “Saya anak watan Negeri Sembilan,” dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu di Lenggeng.

Zulkefly bukan tidak pernah mencuba dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah bertanding sebanyak tiga kali pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 bagi kawasan DUN Lenggeng, namun tidak pernah menang.

Berbanding Zulkefly, Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982, dibesarkan di Kampung Bagan Pinang.
Mohd Isa sangat disegani penduduk setempat kerana ketokohan dan keramahannya. Namun, apakah ini ukuran kenapa beliau wajar dipilih?

Mungkin kerana kedudukan ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mula main politik dan spinnya berkisar dakwaan bahawa undi pos tidak telus.

Sebelum ini pun, pemerhati politik sebelum ini meramalkan isu undi pos akan dimainkan pakatan Pas-DAP-PKR di Bagan Pinang sebagai strategi kempennya selain isu berbangkit lain.

Melihat pentingnya undi pos dan kerana undi pos ini, Hadi mendakwa ia menyukarkan partinya untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini.

Namun disebalik menyatakan sukar menang Hadi tetap optimis bahawa “Kita sedar peluang untuk menang payah tapi ia (kemenangan) tidak mustahil.”

Sekutu Hadi, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, turut berpendapat sokongan pengundi pos akan menentukan keputusan pilihan raya itu nanti.

Untuk itu, Khalid yang juga Menteri Besar Selangor mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih telus dalam mengendalikan proses pengundian secara pos kebanyakannya membabitkan anggota tentera.

Sebelum ini, PAS mendakwa semakannya mendapati hanya 1,200 daripada 4,604 pengundi pos di DUN Bagan Pinang yang masih tinggal di situ. Mereka adalah anggota tentera yang tinggal di Kem Seri Rusa – satu-satunya kem tentera dalam DUN Bagan Pinang.

Manakala yang lainnya merupakan mereka yang pencen atau yang telah berpindah atau berkhidmat di tempat lain.

Bagi PAS, mengikut kaedah pilihanraya, yang tidak tinggal lagi dalam kem, sepatutnya dia mengundi sebagai pengundi biasa.

Pendapat Hadi dan Khalid turut disokong Naib Presiden Pas yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil PAS bagi DUN Bagan Pinang, Salahuddin Ayub, turut berpandangan sama.

“Kita akui kita parti ‘underdog’ tetapi beberapa indikasi menunjukkan kita ada peluang di Bagan Pinang,” katanya.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pengundi-pengundi di DUN Bagan Pinang, perlu bijak memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Ini kerana pilihan raya kecil itu bukan untuk membentuk kerajaan, sebaliknya bertujuan menentukan wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah mereka di kawasan tersebut.

”Kita mesti sedar bahawa ini adalah pilihan raya kecil, bukan soal membentuk kerajaan. Dalam pilihan raya kecil, apa yang penting ialah khidmat seorang bakal wakil rakyat, siapa yang boleh beri khidmat bakti dan dapat menyelesaikan masalah pengundi di sana.

Hakikatnya, inilah sebenarnya kayu ukur paling utama untuk pilihan raya kecil ini bagi DUN Bagan Pinang.

MOHD ISA JADI TARUHAN PERTAHANKAN BN

Posted in Bagan Pinang, Calon, Pilihanraya, UMNO on October 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Mampukah Tan Sri Mohd Isa Samad menjadi taruhan mempertahankan maruah Barisan Nasional (BN) yang sudah beberapa kali kecundang dalam pilihan raya kecil?

Sebagai insan yang digemari penduduk tempatan, Mohd Isa akan kembali popular dalam partinya – UMNO – sekiranya beliau menang.

Secara peribadi, Mohd Isa memang popular dengan ahli UMNO – tidak keterlaluan kalau dikatakan lebih popular daripada Timbalan Presiden UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Naib-Naib Presiden UMNO yang ada sekarang.

Penyokong UMNO bagaikan boleh dan melupakan ‘kesilapan Tan Sri Isa’ pada 2004. Lagipun, bukan Mohd Isa sahaja melakukan perkara sedemikian. Cumanya beliau tidak bernasib baik kerana ketika melanggar ‘lampu merah’ polis trafik kebetulan membuat laluan di situ. Kereta lain yang membuat kesalahan sama terlepas kerana terlebih dahulu atau terkemudian daripada kehadiran polis trafik di situ.

Mohd Isa adalah ‘pemenang’ kerusi Naib Presiden 2004 dan ketika itu bintangnya dilihat cerah kerana menduduki tempat pertama kerusi Naib Presiden UMNO berbanding Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketika itu penyokong Mohd Isa melihat beliau berpotensi besar untuk melompat ke kerusi Timbalan Presiden kerana pemimpin seperti Datuk Seri Zahid Hamidi , Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal jauh lebih junior.

Pada ketika sesetengah pemimpin UMNO, khususnya pemimpin veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad ‘melihat sebelah mata’ kepada Mohd Isa, beliau sebenarnya masih ramai penyokong. Itu belum termasuk yang bersimpati kepadanya kerana seolah-olah beliau dijadikan kambing hitam dalam kes politik wang dalam UMNO.

Cumanya, jangan ada sabotaj pihak yang bimbang Mohd Isa kembali ‘ke kencah politik perdana UMNO’ kerana jika ini berlaku, memanglah sah ada usaha untuk membunuh karier politik Mohd Isa.

Hujan lebat yang turun di sekitar bandar Port Dickson pagi ini membawa pelbagai tafsiran. Apakah ia hujan rahmat atau member isyarat bahawa ada pihak yang kalah sebagai isyarat akan dibasahkan teruk dan hanyut bersama air lumpur ke Selat Melaka.

Memanglah hujan itu tidak menghalang proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Begitu juga dengan penyokong parti yang bertanding, mereka tidak berganjak untuk terus memberikan sokongan kepada calon masing-masing walaupun dalam keadaan basah kuyup.

Namun pilihan raya ini akan menguji Barisan Nasional (BN) kerana ia adalah DUN milik BN. Sebelum ini BN boleh mendakwa ia bertanding untuk ‘merebut’ kerusi lawan dan sewajarnya kalah.

Jika pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada awal tahun menyaksikan BN gagal mempertahankan kedudukannya, pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ini menjadi kayu ukur sejauh mana BN mampu mempertahankan DUN miliknya dengan ‘segala bala tentera’ yang diturunkan.

Pagi ini, Kira-kira 10,000 penyokong dua parti utama, BN dan Pas berkumpul berhampiran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) seawal pukul 6.30 pagi. Calon Pas Zulkefly Mohamad Omar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan penyokong mula berarak dari Markas Induk, Batu 6 Bagan Pinang sejak 7 pagi dan tiba pada pukul 8.15 pagi ini.

Sementara calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin komponen tiba pada kira-kira 8.30 pagi.

Khabarnya, ada beberapa insiden yang tidak diingini berlaku dan pastinya jika tidak kerana hujan, suasana penamaan calon akan lebih panas dan membara.

Pengerusi Putera UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dipukul oleh penyokong parti lawan ketika berarak mengiringi calon Barisan Nasional (BN) menuju ke pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini hari ini.

Katanya, beliau dipukul oleh sembilan orang penyokong parti lawan dan telah diselamatkan oleh anggota polis yang bertugas.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan calon Pas, Zulkifly Mohamad Omar. Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid gagal mengemukakan borang sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi. Sebelum itu borang pencalonannya di tolak kerana penyokong bukan dari kalangan penduduk tempatan Bagan Pinang.

Selepas tempoh bantahan tamat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan hanya Mohd. Isa dan Zulkifly akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.