Archive for the Kedah Category

KERANA BABI…

Posted in DAP, Kedah, PAS on July 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada email ditinggalkan dalam blog saya oleh ByPass308.

Saya tertanya-tanya, benarkah ini?

Baca dan renungkan!

INFO TERKINI – MAHFUZ SANGGUP KELUAR PAS !
Oleh 1Utama 1Ismud-Semarak/ByPass308

Saya tak tahu sama ada korang semua perasan tak berita ni, rakan saya dari Ganu Kite petik dari paper Cina, dasyat sungguh tajuknya – MAHFUZ: SAYA KELUAR PAS, jika Kedah sekat Cina makan babi.

Menurut rakan saya yang pernah mengaji di Wei Sin, Ganu tu kata, para pertamanya gini – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika Kedah yang dipimpin MB Pas tidak membenarkan bukan islam atau orang Cina makan babi, beliau bersedia keluar dari Pas.

Beliau menegaskan bahawa Islam hanya haramkan umatnya makan babi tapi tidak sekat Cina makan babi. Beliau harap rakyat tidak terpengaruh dengan laporan Fulamak, yakin betul Mahfuz pada kerajaan Kedah, jangan jadi tunggang terbalik dah le, kerana babi Mahfuz hilang jawatan Naib Presiden, hilang keahlian Pas.

Tapi pastilah dia dah tanya habis-habisan dengan MB Kedah barulah berani buat kenyataan demikian. Terharu giler orang Cina kat Kedah. Tapi menurut teman saya tu, impak berita ni cukup besar kerana ia dipaparkan pada muka depan paper tersebut, tak pulak dia bagitau nama paper tu, saya pun lupa tanya.

Ramai cina memang termakan kenyataan sedemikian, lebih-lebih lagi dibuat oleh pemimpin tinggi Pas. Dah pasti juga “berita baik” ni dijaja oleh Kelab Penyokong Pas untuk raih lebih banyak sokongan bukan Islam.

Oh ya, diberitakan lagi bahawa muka depan paper Cina paling berpengaruh itu turut menjadikan kenyataan hadi sebagai berita lead dengan tajuk Kedah Akan Bina Pusat Ternakan Babi Baru.

Sama-sama kita cari kesimpulan sejauh mana berita sedemikian dapat “memujuk” hati orang Cina dan apa pula kesannya terhadap penyokong pas khususnya, selain Umno. Harap komen cikit,jangan kedekut ilham beb.

Advertisements

KENAPA TIDAK MINTA LEE GUAN AIK LETAK JAWATAN?

Posted in DAP, Kedah, PAS on July 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Aii…tak ada pun yang minta wakil rakyat tunggal bebas di Kedah Lee Guan Aik meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Kalaulah kena kepada ADUN UMNO atau parti lain, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP sudah pasti minta beliau mengosongkan kerusi.

Lihat apa jadi kepada dua bekas ADUN PKR dan seorang ADUN DAP di Perak diminta supaya kosongkan kerusi.

Kenapa DAP dan PKR diam? Pening dengan masalah yang mengganggu mereka di Pulau Pinang?

Hari ini, wakil rakyat tunggal DAP di Kedah Lee Guan Aik mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Bukan itu sahaja, mungkin tiga ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan jika DAP pusat bersetuju dengan keputusan mereka.

Sebagai ADUN bebas dan berkecuali, Lee berkata, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.
Pihak yang benar? Apakah PAS baginya tidak lagi benar?

Lee, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.

“Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak),” katanya.

Katanya DAP negeri sedang menunggu jawapan balas dari DAP pusat mengenai keputusan mereka berundur dari Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Bernama memetik Lee sebagai berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada PAS pada pilihan raya umum lepas.

“Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa Menteri Besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAs) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru”, katanya.

Rabu lepas, DAP Kedah membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Tindakan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya dekat sini.

Pengerusi DAP negeri Thomas Su berkata selain Lee yang akan bertindak seperti ADUN bebas, tiga ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan jika DAP pusat bersetuju dengan keputusan mereka.

DAP KELUAR PAKATAN RAKYAT KEDAH

Posted in DAP, Kedah, PAS on July 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sebabnya?

Isu berkaitan rumah sembelihan babi. Itu saja?

Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar petang semalam.

Sepasukan anggota penguat kuasa MBAS dikatakan merobohkan rumah sembelihan babi itu pada pukul 3.30 petang.

Premis itu dikatakan sepatutnya dirobohkan penghujung Mei lalu, tetapi ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak jelas tegas dalam isu ini. Keputusan ini seharusnya disokong oleh semua pihak.

PAS mempunyai 16 daripada 36 kerusi DUN Kedah. DAP mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

Kita mahu lihat apa kata ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai isu ini. Apakah mereka akan menyokong DAP?

PKR mempunyai lima ADUN iaitu Lunas (Mohd Razhi Salleh), Kulim (Lim Soo Nee) Bakar Arang (Tan Wei Shu) , Sidam (Tan Joon Long @ Tan Chow Kang) serta Bukit Selambau (Manikumar Subramaniam)

Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su memberitahu mStar Online, DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat semalam ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu yang wujud sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP selepas kejadian itu.
Thomas Su menjelaskan DAP Kedah keluar daripada Pakatan Rakyat di negeri ini berikutan rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan Pas menangani isu rakyat, khususnya bukan Melayu.

Su berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar yang dianggotai pemimpin DAP negeri ini di pejabat parti itu di Alor Setar.

Katanya, tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu tidak melambangkan dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang memperjuangkan hak semua kaum di negeri Kedah.

“Keluar, kami sudah buat keputusan… ini keputusan mutkamad kami (DAP Kedah),” kata beliau sambil menambah, atas prinsip dan pendirian parti, pihaknya memutuskan tindakan sedemikian.

Su berkata, ia merupakan antara beberapa isu yang tidak menemui penyelesaian walaupun dibangkitkan dan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Kata beliau, pihaknya akan memanjangkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam waktu terdekat untuk pengesahan.

“Keputusan ini perlu mendapat pengesahan CEC,” katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata DAP memutarbelitkan isu berkenaan. Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada DAP Pusat untuk menentukan tindakan DAP negeri ini keluar daripada Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau bersedia menerima keputusan itu jika DAP negeri ini mengatasi keputusan DAP Pusat.

Beliau berkata, DAP Kedah tidak sepatutnya memutar belitkan isu perobohan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, di sini dan mengaburi mata rakyat hanya untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

“Saya tidak pernah mengarahkan premis itu dirobohkan, tetapi mereka yang minta tangguh selama sebulan. Saya layan dan bagi kerjasama. Saya minta mereka cari tempat baru dulu tapi mereka bohong selepas sebulan tidak ada apa-apa sekarang mereka kata hendak keluar…keluarlah kalau DAP Kedah mengatasi DAP Pusat.

“Saya serahkan Pas Pusat dan pimpinan Pakatan Rakyat Pusat untuk menentukan isu ini. Apa yang saya kesal mereka ini main politik apa…perbuatan ini seolah-olah mahu mengembalikan kerajaan Kedah kepada Barisan Nasional (BN).

“Dulu masa kita bincang mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno mereka kacau sekarang kita sepakat dalam Pakatan Rakyat pun mereka kacau,” katanya.

Isu rumah penyembelihan babi ini merupakan antara beberapa isu yang menjadi punca retaknya kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat Kedah.

Satu lagi isu ialah kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera.
Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah meningkatkan kuota tersebut daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi projek perumahan baru di negeri itu.

ISU BABI, JANGAN MAIN BELASAH JE…

Posted in Babi, Kedah, PAS on November 24, 2008 by Hambali Abd Latiff

Syor boleh, kritik pun boleh. Malah, kalau betul belasahlah. Tapi jangan ambil fakta separuh jalan.

Saya kasihan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang baru kira-kira lapan bulan memegang jawatan, tidak putus-putus ‘dibelasah’.

Belum habis isu kuota 50 peratus pemilikan rumah untuk Bumiputera (saya sokong), kini dibelasah lagi dengan isu babi.

Saya bukan nak sokong Kerajaan PAS Negeri Kedah. Saya ahli UMNO dan akan terus menyokong UMNO, kecuali jika UMNO tidak lagi memerlukan sokongan saya.

Dalam isu babi ini saya terasa ada sedikit tanggungjawab sebagai bekas wartawan dan mahu semua merujuk kepada fakta kelulusan projek ini.

Saya terbaca posting dalam blog Kijang Jantan (http://kijang-jantan.blogspot.com) bertajuk “Kedah Jelapang Padi, Bukan Jelapang Babi” pada Sabtu, 22 November 2008 (kelmarin) menyebut bahawa Negeri Kedah pimpinan PAS berkata pihaknya hanya akan membuka ladang babi moden secara berpusat di kawasan Bukit Selambau dekat Sungai Petani, jika ia tidak mendapat bantahan daripada penduduk tempatan.

Adalah wajar jika mereka membuat rayuan kepada kerajaan Negeri Kedah agar menjalankan kajian impak secara mendalam sebelum melaksanakan projek pembinaan ladang ternakan babi di sekitar kawasan itu.

Kerajaan negeri dalam jawapan bertulis pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-12 memberitahu, tapak seluas 162 hektar itu telah diluluskan pada 4 Disember tahun lalu. Jawapan bertulis itu juga menyebut, hanya satu syarikat dikenal pasti untuk mengendalikan ladang babi tersebut.

Sebanyak 46,000 ekor babi dibenarkan diternak di ladang berkenaan.

Kata Kijang Jantan: “Kerajaan Negeri pimpinan PAS hanya mengambil alih selepas pilihan raya umum Mac lalu. Jadi cadangan ini bukan daripada PAS, ia sudah dipersetujui sejak Barisan Nasional memerintah lagi. UMNO pun terpalit sama. Baguslah kalau Kerajaan Negeri mahu mengambil kira pandangan penduduk.”

Selebihnya Kijang Jantan menyatakan kasihannya kepada penduduk pekan Bukit Selambau dekat Sungai Petani yang bimbang dengan projek berkenaan.

Dan semalam harakahdaily.net melaporkan: “Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

“Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman,” demikian menurut laman-web pembangkang itu.

Menurut harakahdaily lagi, sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional), stesen televisyen (termasuk tv3 dan RTM1 terus menggunakan perkataan ‘hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi’.

Yang menariknya siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008 melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

Tidakkah penyiaran berita sedemikian sudah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009)?

Ini soalan ikhlas daripada saya kerana buku Jawapan Bertulis hendaklah dihormati sebagai buku yang sah untuk DUN Negeri Kedah. Nak marah, marahlah.

Pada sidang media berkenaan, Menteri Besar Kedah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,”jelasnya lagi.

Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Ia semakin panas apabila Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas kini tidak mampu bersuara malah banyak tindak-tanduknya hanya untuk memuaskan parti lain termasuk membenarkan penternakan babi di kawasan kampung orang Melayu.

Katanya, Pas rela menerima perkara itu, malahan tidak lagi berani untuk bercakap mengenai penubuhan negara Islam.

Oleh itu kata beliau, orang Melayu juga tidak boleh mengharapkan Pas untuk melindungi hak-hak keistimewaan mereka memandangkan parti itu lebih kecil daripada DAP walaupun mempunyai penyokong yang ramai.

Semakin haru-birulah jadinya jika kita tidak merujuk kepada sumber asal untuk mengulas sesuatu perkara.

Dalam perkara ini adalah baik jika Kerajaan PAS Kedah menjelaskan kedudukan sebenar, bukan secara menghentam media dan sebagainya.

Penjelasan secara berhemah dan menggunakan fakta yang sudah ada cukup untuk membuatkan rakyat faham.

Jangan kerana salah faham, orang bukan Islam sensitive tidak tentu pasal dengan orang Islam – Melayu khususnya.