Archive for the Permatang Pasir Category

NASI SUDAH MENJADI BUBUR…

Posted in BN, Permatang Pasir, PKR on August 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

“Rohaizat adalah kawan saya, saya tahu hati budinya dan dia anak jati Permatang Pasir. Dia sendiri sudah lama menabur bakti di sana. Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan baik kepada masyarakat setempat.

“Saya tampil tempoh hari kerana berasa marah dan kecewa apabila saya dijadikan kambing hitam dalam kes membabitkan koperasi itu (KPGNPP).

Oleh itu, kenyataan terbuka dibuat semata-mata untuk mempertahankan diri saya dan menjelaskan apa yang sudah berlaku.” “Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang terjadi harus dijadikan teladan, bukan hukuman. Secara tidak langsung, saya merasa dibabitkan sama dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

“Tetapi apabila Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.”


Ini antara pernyataan bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat Othman, Yusri Isahak semalam di Kuala Lumpur.

Kenyataan itu dibuat berikutan dakwaan yang mengatakan Rohaizat terlibat dalam penyelewengan melibatkan transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh Yusri bagi pihak Koperasi Pekebun-pekebun Getah Pulau Pinang.

“Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Yusri boleh berasa sedih terhadap serangan peribadi ke atas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir itu.

Yusri juga boleh berasa simpati dengan keadaan ditanggung Rohaizat ketika ini dan memang benar kini Yusri ‘terpalit’ dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

Walaupun Yusri mengaku tidak boleh berdiam diri apabila melihat kenyataannya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap rakannya itu yang disifatkannya sebagai manusia dikenali secara peribadi adalah seorang yang baik hati, namun, bagi saya segala-galanya sudah terlambat.

Pertamanya, kenapa pentas pembangkang dijadikan medan untuk ‘menjelaskan’ dan kedua, kenapa kenyataan pertahankan diri dibiarkan ‘melalut’ hingga boleh menjejaskan imej calon Barisan Nasional berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan Yusri mengadakan sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Yayasan Aman, Penanti, mengenai isu berkenaan yang mana Yusri menyifatkannya dibuat sebagai untuk membersihkan nama baik beliau dan keluarga.

Dalam pada itu, laporan sebelum ini juga pernah melaporkan Yusri tanpa menafikan tuduhan penyelewengan yang berlaku, tidak mahu dipersalahkan secara perseorangan.

Berikutan kenyataan Yusri mengenai kes pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) 20 Ogos lalu, imej Rohaizat sukar dipulihkan kerana jelas berikutan kenyataan itu, pelbagai tohmahan dilontarkan yang menyimpang daripada tujuan asal beliau membuat kenyataan akhbar berkenaan.

Malang sekali, Yusri tanpa sedar atau tidak, melalui kenyataannya itu, ia digunakan untuk menghentam dan memburuk-burukkan Rohaizat habis-habisan.

Yusri boleh mendabik dada mengatakan “sebanyak mana wang dan harta dunia sekali pun tidak akan dapat membeli saya untuk menggadai bangsa, agama dan negara saya…akan timbul tuduhan bahawa saya mendapat ganjaran dan habuan untuk tampil membuat kedua-dua kenyataan akhbar ini (semalam dan tempoh hari)” tetapi ketika ini ia tidak ada apa-apa makna lagi untuk Rohaizat dan BN.

Yusri sendiri ketika ditanya sama ada Rohaizat bersalah atau pun hanya menjadi mangsa keadaan, katanya, beliau bukan dalam kedudukan untuk menyatakan perkara itu, sebaliknya pihak yang lebih tepat adalah mahkamah dan Majlis Peguam.

Kurang 24 jam hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, calon Barisan Nasional (BN) semalam, Rohaizat yakin peratusan pengundi yang menyokongnya akan terus meningkat.

“Majoriti pengundi berjanji untuk menyokong saya, malah mereka bersimpati dengan saya kerana taktik kotor pihak lawan yang menggunakan isu peribadi sehingga menjejaskan maruah keluarga saya,” katanya.

Rohaizat, 38, yang juga Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, berdepan Mohd Salleh Man, 52, daripada Pas, pada pilihan raya kecil itu hari ini.

GARA-GARA BERADU KUAT DENGAN POLIS

Posted in Permatang Pasir, Pilihanraya, PKR on August 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Nasib baik ada seorang sahaja Ahli Parlimen ‘mabuk’.

Kalau dua tiga orang pasti akan jadi lebih kecoh di di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pulau Pinang.

Mabuk apa? Mabuk buat kecoh, mahu jadi jaguh.

Apa yang Ahli Parlimen Padang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Serai N Gobalakhrishnan mahu buktikan?

Beliau mahu menonjolkan dirinya sebagai jaguh? Nak tunjuk samseng?

Ini bukan sekali. Pada pilihan raya kecil Permatang Pauh beliau sudah buat hal.

Siapa mengajar Gobalakhrishnan jadi tidak senonoh dan mengganggu ketenteraman awam?

Kalau dari PKR itu kita tahulah siapa ‘mahagurunya’.

Tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu yang sengaja menimbulkan kekecohan pada proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pagi semalam sangat dikesali.

Persoalannya apa dia buat di situ. Partinya bertandingkah?

Sekadar menumpang sekaki untuk jadi hero tidak reaL dan tidak wajar dipuji. Tidak senonoh.

Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana proses pagi semalam berlangsung dengan aman dengan kawalan pihak berkuasa.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, inilah caranya yang sentiasa dilakukan oleh pembangkang untuk mencabar undang-undang.

“Hari pertama sebelum kita tahu calon yang bertanding lagi, sudah buat perangai yang tidak senonoh.

“Ia tak sepatutnya berlaku, hendak provokasi supaya besok boleh pergi kempen ke bawah, (memberitahu) inilah polis yang tidak bertanggungjawab,’ tegas Muhyiddin..

Berikutan itu beliau ditahan polis bagi membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir berkenaan.

Ketua Polis Negeri Datuk Ayob Yaakob, berkata pada insiden jam 11.30 pagi itu, ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.

Menurut laporan Bernama, Ayob berkata setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.

Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.

“Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans,” kata Ayob.

Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.

BN LAWAN PAS DI PERMATANG PASIR

Posted in BN, Calon, PAS, Permatang Pasir, Pilihanraya on August 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

PAS akan berdepan dengan Barisan Nasional dalam usahanya mempertahankan satu-satunya kerusi miliknya di Pulau Pinang.

Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menyaksikan saingan satu lawan satu apabila hanya Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menyerahkan borang penamaan calon.

BN diwakili oleh Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman manakala PAS pula Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man.

Mulanya pilihan raya kecil ini dijangkakan akan berlangsung tiga penjuru.

Bagaimanapun pakar motivasi ,Kamarul Ramizu Idris yang datang ke pusat penamaan calon tidak menyerahkan borangnya.

Beliau memasuki dewan penamaan calon pukul 9.56 pagi dan terus ke tandas, bukannya ke kaunter serah borang.

Ia disahkan oleh Kamarul sendiri ketika ditemui wartawan, ternyata menarik dari pada saat-saat akhir.

Kamarul mendakwa beliau tersalah jalan dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas, dan oleh itu tidak mempunyai yang mencukupi untuk menyerah borang pencalonan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 15 bantahan tetapi menolaknya dan mengumumkan pencalonan Salleh dan Rohaizat diterima.

Rohaizat menyerahkan borang pencalonnya pada jam 9.03 pagi ini, diikuti oleh Salleh sejurus kemudiannya.

Rohaizat tiba pada kira-kira jam 8.55 pagi dengan diiringi oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala calon PAS, Salleh Man pula tiba kira-kira jam 8.35 pagi bersama para pemimpin parti tersebut dan Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba kira-kira jam 8.45 pagi. Turut kelihatan ialah Setiausaha Aung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden, Salahuddin Ayub.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Ogos ini sebagai hari pengundian.

Pilihan raya DUN Permatang Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Sementara itu, ramai pegawai polis dan petugas media memakai penutup hidung dan mulut. Penyokong PAS memakainya yang memaparkan tulisan ‘PAS untuk semua”.

Pegawai kementerian kesihatan mengedarkan secara percuma penutup hidung dan mulut itu kepada orang ramai di pintu masuk ke pusat penamaan calon itu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengeluarkan enam borang pencalonan dan tiga orang telah membuat bayaran deposit.

RAKYAT PERMATANG PASIR DAHAGAKAN PEMBANGUNAN

Posted in Calon, Permatang Pasir, Pilihanraya on August 15, 2009 by Hambali Abd Latiff

Walaupun Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 17 Ogos ini, semalam dua parti yang akan bertanding dan berdepan secara sengit sudah menamakan calon mereka.

PAS malam semalam menamakan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Salleh Man sebagai calonnya dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos.

Beberapa jam sebelum itu, Barisan Nasional mengumumkan calonnya – setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Rohaizat di Bukit Merah, Permatang Pasir pada sebelah petang.

Sebelum ini Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru.Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemilihan Salleh di pejabat ADUN Permatang Pasir malam semalam.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim serta Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Muhyiddin yakin penduduk di Permatang Pasir dahagakan pembangunan dan mahukan perubahan.

Beliau percaya, seperti di Manek Urai, Kelantan, impian untuk menikmati pembangunan dan kemajuan juga dikongsi oleh penduduk di Permatang Pasir.

Sehubungan itu, katanya, untuk mendapatkan pembangunan yang selama ini tidak mampu diberi oleh pembangkang, penduduk Permatang Pasir perlu memberi sokongan kepada BN yang terbukti mempunyai rekod cemerlang.

“Kalau di Manek Urai (Kelantan), kawasan itu jadi anak angkat tetapi Permatang Pasir akan jadi anak emas Kerajaan Persekutuan kalau penduduk di sini sokong kita,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN di Bukit Merah, Jalan Permatang Pauh, semalam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, berdasarkan pengalaman, Pas tidak berani bercakap soal pembangunan kepada rakyat kerana mereka tidak mampu sama ada daripada segi kewangan mahupun kebolehan untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, parti pembangkang sepatutnya tidak menggadaikan masa depan rakyat semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

“Masa depan tidak boleh dikorbankan hanya untuk kepentingan politik. Politik kita (BN) bukan untuk kepentingan peribadi tetapi bagi menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk di Permatang Pasir perlu menyokong dan memenangkan calon BN untuk memastikan pembangunan yang dikehendaki dapat disalurkan.

“Jika di (pilihan raya kecil) Manek Urai, BN tewas dengan 65 undi, jadi di Permatang Pasir saya mahu lihat BN menang dengan sekurang-kurangnya jumlah undi yang sama,” katanya.

Muhyiddin berkata, rakyat tidak boleh lagi berharap kepada gabungan pembangkang untuk membela nasib mereka kerana pakatan itu kini umpama retak menanti belah dan tidak pernah bercakap dengan nada yang sama.

Apapun, pilihan raya ini dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru, termasuk seorang calon Bebas.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu. Masa untuk beliau membuat keputusan masih ada kerana hari penamaan calon pada 17 Ogos ini.

Baru-baru ini Kamarul Ramizu, 42, berkata beliau bersedia untuk membeli borang pencalonan dari Pejabat Pilihan Raya negeri, semalam.

“Saya sedia untuk bertanding di Permatang Pasir kerana saya telah memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi kempen pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Kamarul Ramizu telah bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Penanti.

PAKATAN, TIDAK BERPAKAT ATAU JENIS ‘ENAU DALAM BELUKAR’

Posted in ADUN, Pakatan Rakyat, Permatang Pasir on August 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Nama hebat, Pakatan Rakyat. Ia adalah pakatan pembangkang.

Tetapi apabila tiba untuk menentukan kerusi atau calon, komponen pakatan itu akan bercakaran terlebih dahulu.

Bukan sekali, sudah banyak kali. Kalau tidak bercakaran mengenai DUN, akan bercakaran mengenai calon.

Kali ini di Permatang Pasir. Kerusi negeri Permatang Pasir kosong apabila wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dari PAS meninggal dunia Jumaat lepas di Insitut Jantung Negara (IJN) kerana sakit jantung.

PAS semalam menyatakan pendirian tegasnya. Ia timbul gara-gara kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan kerusi DUN itu mungkin dimiliki calon PKR.

PKR yang tamak atau PAS semakin terpinggir.

Berikutan itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa dengan tegas mengatakan “Maaf ini kerusi kami”.

Bagi PAS, PKR perlu menghormati dasar yang dibuatnya sendiri mengenai status quo kerusi pilihan raya sebelum membuat cadangan untuk meletakkan calonnya bertanding di Permatang Pasir.

Menurutnya, Anwar pernah berkata bahawa status quo kerusi yang diperuntukkan kepada manamana parti dalam gabungan pembangkang kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Tetapi tiba-tiba kelmarin, Anwar berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi PKR supaya parti itu meletakkan calonnya di kerusi yang dikuasai PAS itu.

Anwar mendakwa kedudukan PKR yang semakin kuat dan mantap di Permatang Pasir.

Mujahid berkata, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti baru-baru ini, PAS pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding di Penanti selepas wakil rakyat PKR, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

“Ketika itu, permintaan kami berdasarkan kepada prinsip tanggungjawab sosial kepada pengundi di situ kerana wakil rakyatnya meletak jawatan atas sebab peribadi dan Anwar kata status quo kerusi itu kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Jadi, perkara yang sama diguna pakai di Permatang Pasir,” katanya sambil menyatakan terkejutnya dengan permintaan akar umbi PKR untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pencalonan dan pilihan raya kecil kawasan itu 10 Ogos ini.