Archive for May, 2009

ADUN UMNO TERENGGANU ISYTIHAR BEBAS?

Posted in Ahmad said, Terengganu, UMNO on May 31, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Hari ini atau esok, mungkin juga lusa… Begitulah dunia politik adanya.

Jeng…jeng…jeng…akan ada sesuatu yang mengejutkan? Akan berubahkan landskap politik Terengganu?

Atau dengan perkataan lain, akan adakah lagi gerakan untuk menggantikan Menteri Besar Terengganu?

Ada satu blog mengatakan “tanggal 31 Mei … dinantikan penuh debar. Mungkinkah sesuatu yang mengejutkan akan berlaku selepas tarikh itu?”

Apa pun, rupa-rupanya seperti disebutkan oleh beberapa blok orang politik Terengganu, isu Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu belum selesai walaupun Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah mengatakan ia selesai.

Pertemuan di Putrajaya yang diatur oleh Hishamuddin baru-baru ini rupa-rupanya menyemarakkan lagi kemarahan kumpulan tertentu – Datuk Ahmad Said masih tercegat sebagai Menteri Besar. Bak kata Ahmad Said sendiri, “saya masih di sini”.

Apakah yang dikatakan akan mengejutkan itu?

Kalau tidak balik ke Kuala Lumpur, banyak perkara di Terengganu saya tidak ketahui. Saya akui dengan berada di keliling penyokong Ahmad Said, saya kurang maklumat.

Namun, apabila duduk dengan beberapa blogger Kuala Lumpur dan sesetengahnya berasal dari Terengganu, maklumat lebih banyak dan semakin meluas.

Dengan kata lain apabila saya ‘lompat dari bawah tempurung’, saya mengetahui lebih banyak apa yang dilakukan oleh mereka yang menentang Ahmad Said.

Persoalannya, benarkah akan ada yang mengejutkan selepas 31 Mei (hari ini), esok dan lusa?

Ura-ura atau khabar angin begitulah.

Khabarnya – betul atau tidak belum dapat dipastikan – akan ada Ahli Dewan Undangan Barisan Nasional (BN) dari UMNO akan mengisytiharkan dirinya bebas.

ADUN ini dikatakan memang terkenal lantang menentang Ahmad Said dan beberapa kali menyuruh beliau ‘berhenti atau turun sahaja’ dari jawatan Menteri Besar.

Kata-katanya itu bagaikan Ahmad Said ‘naik’ jadi Menteri Besar’ kerana Ketua Bahagian UMNO Kemaman itu mengisytiharkan dirinya sendiri.

Beliau menyuruh Ahmad Said berhenti bagaikan Ahmad Said yang melantik dirinya. Sedangkan hakikatnya, Ahmad Said jadi Menteri Besar kerana:

Dipersetujui oleh istana;
• Diperakukan oleh Majlis Tertinggi UMNO;
• Diterima oleh Presiden UMNO dan Timbalan Presiden; serta
• Diperakukan oleh semua ADUN BN, termasuk oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh (kerana itu beliau hadir pada majlis angkat sumpah).

Berbalik kepada ura-ura ada ADUN UMNO akan isytihar sebagai ADUN Bebas, khabarnya selain yang seorang ini, ada tiga yang lain akan menurut jejaknya.

Mereka ini dikatakan lantang seperti ketuanya mendesak Ahmad Said berundur dan tidak putus-putus memperkecilkan Ahmad Said.

Persoalannya, jika benar akan berlaku keadaan ini, apakah Ahmad Said akan kecundang?

Yang pasti, mereka yang mengisytiharkan mereka calon Bebas dengan sendirinya keluar dari UMNO.

Apakah mereka ini sanggup melakukannya selepas menjalankan pelbagai usaha untuk menegakkan UMNO kembali teguh selepas kalah pilihan raya umum 1999?

Juga apakah mereka bersedia melepaskan segala ‘kesenangan’ yang disumbangkan oleh UMNO selama ini?

Yang keduanya, akan ada hukuman untuk mereka – kerana mensabotaj parti dan kerajaan negeri yang akan memungkinkan kepada pembubaran DUN.

Persoalannya, benarkah rakyat menolak Ahmad Said atau hanya kerja kumpulan yang mahu menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar?

Dan jika diadakan pilihan raya baru, apakah kumpulan yang mengisytiharkan diri mereka Bebas akan menyokong pembangkang?

Juga apakah jika mereka bertanding semula, rakyat akan memilih mereka?

Ketika ini DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS lapan kerusi.

Kalau benar empat ADUN ini keluar daripada BN dan mengisytiharkan diri mereka Bebas dan menyatakan sokongan kepada PAS, bermakna mereka bersama PAS memiliki 12 kerusi.

Pembangkang belum dapat majoriti dan YAB Dato’ Ahmad bin Said tidak perlu meletakkan jawatan.

Ini bermakna, kalau empat ADUN itu keluar UMNO dan mengisytiharkan diri mereka bebas, belum pasti mereka akan menang.

Mungkin rakyat turut meluat tengok gelagat mereka.

Mungkin ada kerusi yang akan jatuh ke tangan pembangkang tetapi tidak semua kerana Ahmad Said menunjukkan beliau adalah pemimpin rakyat, selain mendapat sokongan padu pucuk pimpinan parti dan istana.

Tunggulah sejauh mana benarnya berita berkenaan. Bagaimanapun jangan menghukum saya membawa berita palsu atau sengaja membuat serkap jarang, kalau tidak ada apa-apa yang berlaku.

Mungkin ketika ini mereka yang bercadang melakukan tindakan ini sedang memikirkannya semula. Kenapa? Beranikah mereka hilang dan kalah semuanya?

Apapun, saya sebenarnya amat berharap ura-ura kejadian seperti ini tidak akan berlaku. Ia tidak baik untuk UMNO, diri mereka dan rakyat Terengganu khususnya.

Tetapi jika jadi juga…banyak pihak akan merana, termasuklah mereka yang merangka dan merencana program yang bersifat derhaka, mensabotaj UMNO dan kerajaan negeri yang jelas bersifat sia-sia kerana sukar untuk Ahmad Said jatuh seperti nangka buruk.

Ahmad Said adalah pemimpin dan pejuang. Dia tidak mudah menyerah kalah apa lagi di pihaknya ada rakyat dan istana.

Di situlah kekuatan sebenar Ahmad Said walaupun sejak setahun lalu diuji dengan pelbagai cara dan ‘senjata’!

Advertisements

PENERANGAN BIAR ‘JELIRA’ KE BAWAH

Posted in Parti, UMNO on May 30, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Saya tidak pasti apa jalan terbaik melakukan kerja penerangan untuk orang UMNO agar ia ‘jelira’ (dapat dirasa) hingga ke bawah.

Tetapi sebagai pekerja untuk penerangan UMNO di Ibu Pejabat UMNO antara 1999 dan 2002, iaitu ketika UMNO di serang teruk dan ramai yang berpaling dari UMNO kerana menyertai reformasi dan PAS, kerja-kerja penerangan yang dilakukan oleh dua Ketua Penerangan ketika itu – Tan Sri Mohd Yusof Nor dan Datuk Mustapa Mohamed – bagi saya usaha bersungguh-sungguh yang patut dipelajari.

Bukan sekadar menghadapi reformasi tetapi semua bentuk penerangan cara lama dan baru perlu digemblengkan kerana ketika inilah penggunaan internet mula berleluasa oleh pembangkang.
Malah, pada pilihan raya umum 1999. UMNO dan Barisan Nasional (BN) amnya ketinggalan jauh berbanding pembangkang.
Buku-buku politik juga melimpah pasaran dengan keberanian penulis tanah aiur termasuk menggunakan gelaran terhadap pemimpin-pemimpin umpamanya MAHAZALIM, MAHAFIRAUN dan bermacam lagi yang tidak pernah terfikir oleh kita.
Saya bertuah kerana mempelajari perkara baru ketika bertugas selain mengamalkan cara lama untuk digabungkan bagi menghadapi pilihan raya 1999 dan 2004.
Bukan mahu mendabik dada atau memuji kerja-kerja yang pernah dilakukan tetapi apa yang disumbangkan oleh semua kakitangan penerangan ketika itu, khususnya oleh Yusof Nor dan Mustapa Mohamed berbaloi!
Mereka berdua dengan dibantu Setiausaha Kerja UMNO ketika itu – Tengku Adnan Tengku Mansor – mereka tidak pernah putus asa menganjurkan ceramah walaupun ada ketika hanya tidak sampai sepuluh orang yang datang. Terpaksa menelan cemuhan dan sebagainya kerana ketika itu era reformasi!

Jadi apabila Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan mengatakan UMNO sedang merangka Piawaian Prosedur Operasi (SOP) sebagai garis panduan untuk menilai petunjuk prestasi utama (KPI) kepada jentera penerangan UMNO, ia sesuatu yang amat baik.

Matlamatnya untuk ‘memperbaiki kelemahan yang ada’ selain mempertingkatkan lagi gerakan.
Benar kata Ahmad, sebelum ini tidak ada satu garis panduan khusus bagi jentera penerangan UMNO terutama di peringkat cawangan.

”Ini kerana setiap aktiviti penerangan hanya berpusat kepada peringkat bahagian, negeri dan ibu pejabat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama Ketua Penerangan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian-Bahagian Pahang, malam semalam.

Bayangkan UMNO ada 62,843 jentera penerangan UMNO di seluruh negara.
Jika sekiranya diaktifkan dan menjalankan aktiviti secara terus dengan rakyat, sudah pasti mampu bersaingan sengit dengan penerangan pembangkang.

Namun, kenapa selama ini penerangan UMNO ketinggalan?

Bagi saya jawapan tetap berpusat di Ibu Pejabat UMNO.
Apapun, meratapi atau menyalahkan pihak yang sudah menjalankan kerja sebaik mungkin hanya bagaikan ada niat tidak baik kita, jika diteruskan.

Sejauh ini usaha menggerakkan kerja-kerja menjawab tohmahan sudah dilakukan, walaupun banyak usaha boleh dilakukan dengan lebih baik lagi.

Sebagai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pasti tahu banyak perkara kerana ketika saya bekerja di Ibu Pejabat UMNO, beliau ialah Setiausaha Kerja yang begitu gigih memperkukuhkan Ibu Pejabat yang ketika itu jelas moralnya agak menjunam.

Apa yang pasti, Ahmad jangan bekerja berasingan dan kakitangan bahagian penerangan jangan terpisah dengan pejabat Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja.

Bagi saya ketika ini pasukan yang ada di Ibu Pejabat UMNO boleh merangka semula program yang mampu menaikkan semula ‘semangat’ dan maruah’ UMNO.

Apa yang penting, penerangan jangan dibuat secara besar-besaran. Memanggil ke PWTC untuk isu-isu tertentu banyak menghabiskan masa dan wang. Asyik-asyik orang yang sama juga datang.

Mengumpul orang yang sama tidak ada gunanya.

Adalah lebih elok jika penerangan dibuat dalam kumpulan tidak berapa besar dan ikut segmen serta isu.

Teknologi semasa mampu menyalurkan maklumat tanpa menjemput ahli ke PWTC. Cukup jika jentera di bahagian aktif membuat penerangan untuk cawangan dan seterusnya.

Soal penting ialah isu dan penerangannya sesuai dengan keadaan setempat. Politik sekarang bersifat kepentingan dan kepimpinan setempat.

Adalah wajar jentera penerangan Ibu Pejabat memperkasakan jentera setempat dengan teknologi dan bahan penerangan yang bersesuaian dengan keadaan setempat.

Sejarah membuktikan UMNO menurun setiap sedekad dan akan kembali melantun lima tahun selepas itu.
Kajilah pilihan raya lepas umpamanya pada 1986, UMNO kuat dan menurun pada 1990 tetapi kembali kukuh pada 1995 dan menurun pada 1999. Dengan usaha gigih semua pihak dan landasan kukuh, UMNO kembali teguh pada 2004 tetapi ‘menjunam semula’ pada 2008.
Saya yakin dengan kesungguhan kakitangan penerangan dan usaha gigih Ahmad – jika dilakukan dengan pendekatan sesuai dan semasa – UMNO akan kembali teguh.
Cuma pemerhatian saya ialah, kakitangan di Ibu Pejabat UMNO, khususnya penerangan jangan ada kepentingan peribadi umpamanya mahu menduduki jawatan penting dalam parti atau bahagian.
Mereka adalah gurka, bukan calon untuk jawatan teretntu dan memperkudakan kedudukan di Ibu Pejabat UMNO untuk kepentingan diri.

Presiden UMNO perlu memilih atau ‘menggaji’ kakitangan yang memang tujuannya bekerja bukan mendapat kedudukan dalam parti jika berkhidmat di Ibu Pejabat UMNO.
Saya yakin dengan jumlah kakitangan penerangan di seluruh negeri, bahagian dan cawangan jika digerakkan bukan sahaja akan menggerakan penerangan UMNO tetapi juga menarik minat anggota baru.

Apapun, Ahmad perlu menjamin SOP benar-benar menjadi kenyataan ndan janji untuk menyiapkannya dalam tempoh sebulan lagi untuk diguna pakai terutama bagi jentera penerangan di peringkat cawangan dapat direalisasikan.

Jangan cepat memperkecilkan usaha Ahmad. Presiden UMNO pasti tahu kekuatannya, kalau tidak, tak kan Datuk Seri Mohd Najib Razak sangat yakin kepada beliau.

MANEK URAI – MUSTAPA KENA BUKTIKAN

Posted in Kelantan, MANEK URAI, mustapa, Pemilihan UMNO on May 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Cabaran untuk Datuk Mustapa Mohamed sudah bermula. Beliau perlu buktikan keberkesanan kepimpinannya.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengumumkanPengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil N 41 DUN Manek Urai.

Baru diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, beliau sudah pun berdepan dengan tugas berat.
Berbanding dengan pengerusi sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa, Mustapa dalam keadaan yang lebih mencabar.
Pada pilihan raya kecil Permatang Pasir pada November 2005, UMNO kelantanm berada pada kedudukan lebih selesa kerana menang agak besar pada pilihan raya umum 2004 dengan 21 kerusi.

Kali ini Mustapa berbekalkan hanya enam kerusi, termasuk dua kerusi di Bahagiannya sendiri.
Biarpun Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyelia persiapan UMNO bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manik Urai, Kelantan yang akan diadakan Julai ini, peranan Mustapa amat penting.

Mustapa sewajarnya mendapat sokongan dan dokongan seluruh jentera UMNO Kelantan untuk menawan semula kerusi berkenaan.

Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Allahyarham yang mewakili Pas mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di DUN Manek Urai adalah orang Melayu manakala Cina (0.46 peratus ) dan India (0.23 peratus).

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini, beliau berkata Mustapa, yang juga Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan bertanggungjawab mengenai operasi serta keputusan seharian pilihan raya kecil DUN Manik Urai.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi itu Perdana Menteri berkata: “Saya menunggu syor daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan.
Bila sampai masanya, BN akan umumkan.

Ditanya mengenai kriteria calon yang dikehendaki, Najib berkata: “Kita taktetap apa-apa kriteria, kita nak calon yang terbaik.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan pada 6 Julai ini manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai sekiranya ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata kelmarin, proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Kata beliau, sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran.

Pengundian di kawasan DUN itu membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi adalah pemilih pos.

Pilihan raya kecil itu akan mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 22 Mei lalu. ‘Majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu.

Menurut Abdul Aziz, SPR telah melantik Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan dan Pelupusan Tanah), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Fizikal), Mohd. Zulkarnain Baharuddin sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

Katanya, seramai 350 orang petugas akan terlibat dalam mengendalikan pilihan raya kecil itu dan mereka akan diberikan taklimat serta latihan yang mencukupi bagi memastikan proses perjalanan pilihan raya itu berjalan lancar.

Tambah beliau, SPR memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menjalankan pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengingatkan semua parti politik dan penyokong parti supaya mematuhi undang-undang di bawah Subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi.

ANWAR – WHAT IS YOUR PROBLEM?

Posted in penanti, Pilihanraya, PKR, UMNO on May 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Kemaskini)
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bimbang dengan UMNO. Kan UMNO tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menang di pilihanraya kecil Penanti?

Anwar pun pernah mengatakan UMNO sebagai parti sudah semakin reput. Takut apa kepada parti reput?
Kenapa pula Penasihat PKR itu bimbang apabila mengatakan walaupun UMNO/BN pada zahirnya tidak bertanding, namun sebenarnya parti itu bertanding kerana media pro-UMNO berkempen untuk calon bebas.

UMNO juga katanya, menjalankan kempen supaya orang ramai tidak keluar mengundi pada 31 haribulan (lusa) ini supaya peratus keluar mengundi akan turun meleset.
Selainn itu, Anwar berkata, biarpun UMNO tidak bertanding, kempen dalam media cukup kuat, ada kempen supaya jangan keluar mengundi.

Eh Anwar buat-buat tidak perasan ke mengenai kempen dalam media. Bukankah Anwar ialah ‘raja media’ ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan sekarang pun sanggup berbelanja besar untuk menggaji bekas orang penting media perdana, malah media UMNO pun untuk ‘melibas UMNO.

Jadi salahkah kalau media bersimpati dengan UMNO dan mendedahkan keburukan PKR untuk merasuah dan sebagainya.

Selain itu dengan mengatakan PKR meletakkan calon berpendidikan, pengalaman, tokoh dan berakhlak sebagai calon PKR, untuk membantu dan meningkatkan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng, apakah calon bebas orang tidak berpengalaman?

Apakah dengan cara ini Anwar memperlekehkan calon sebelum ini dan apa pula perasaan wakil rakyat PKR yang tidak berkelulusan kedoktoran, apakah anda semua tidak layak?
Apa masalah dengan Anwar? Takut Professor Madya Dr. Mansor Othman kalah atau takut PKR kalah?

Pertanyaan untuk Anwar dan PKR pula, kenapa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding tetapi mereka tetap membawa isu kerajaan, UMNO dan BN?
Apa kena mengena dengan UMNO dan BN pada pilihan raya kecil Penanti sehingga ia terheret sama?

Jawaplah dengan jelas apa yang diperkatakan oleh Aminah Ahmad, calon PKR yang mendedahkan bagaimana PKR mahu merasuah beliau.

Calon Bebas, Aminah Abdullah berkata, beliau tidak menyerang peribadi sesiapa ketika mendedahkan bukti kepada pihak media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung sogokan jawatan dan wang daripada PKR.

Beliau juga mempunyai bukti dalam bentuk rakaman mengenai ‘peristiwa’ di sebuah hotel di Jawi, Nibong Tebal pada tahun 2007.

Dengan jelas beliau sudah menyatakan “peristiwa itu” bukan perlakuan seks, homoseks atau apa-apa. “Jangan salah faham, peristiwa yang berlaku itu bukannya perlakuan serong atau sumbang tetapi bukti mengenai ketidaktelusan dan ketidakadilan pemimpin dalam PKR,” kata Aminah.

Pendedahan itu dibuat ekoran pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atasnya ketika bersama PKR sebelum ini.

Menurutnya, walaupun diugut dan didesak supaya menarik balik dakwaannya, beliau berpegang pada pendirian tidak akan berganjak mahupun berundur.

Aminah sudah bertegas tidak akan tarik balik dan saya telah menyerahkan notis tuntutan yang diterima hari ini kepada peguam untuk diteliti dan tindakan selanjutnya.

Malah, bukan sikapnya mahu menyerang peribadi sesiapa tetapi kerana menyahut cabaran Pengerusi Badan Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamad Hashim berhubung dakwaan tawaran jawatan dan wang itu.

Bagaikan orang takut, ketika berceramah pilihan raya kecil itu di Guar Jering, Gura Perahu kelamrin, beliau menasihatkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai.
Suka hati UMNO dan BNlah mahu bertanding atau tidak.

Pada ketika orang PAS sendiri tidak melarang UMNO dan PAS bertanding, Anwar pula bimbang tidak tentu hala.

Jadilah gentleman seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ajak UMNO bertanding di Manek Urai. Apa helahnya kita tidak tahu tetapi sekurang-kurangnya dia tidak takut dan bimbang macam Anwar.

Atau you ada masalah kerana kes akan disebutkan di mahkamah tidak lama lagi?

PRINSIP DEMOKRASI TETAP SUBUR

Posted in demokrasi, MB, perak, PKR, Terengganu, UMNO on May 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hari ini saya mengajak penjenguk dan pelayar memahami apa yang ditulis melalui blog www.jaranganakmelayu1.

Ia sesuatu yang menarik untuk didalami dan difahami, khususnya dalam menyelami apa sebenarnya berlaku di Perak dan Terengganu.

Tulisan ini mungkin jawapan kepada penulisan lain dalam blog lain tetap mempunyai tajuk yang sama.

YANG TAK SERUPA DAN TAK SAMA

www.jaranganakmelayu1. blogspot.com (28 May 2009)

Prinsip Asas Raja Berpelembagaam dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Negeri-negeri di Malaysia ialah apabila parti politik yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan dan salah seorang ADUN daripada parti memerintah akan dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan menjadi Menteri Besar.

Contohnya di Perak, keputusan PRU 12, BN 28 kerusi dan PR 31 kerusi. PR telah membentuk kerajaan Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah melantik salah seorang ADUN PR daripada PAS iaitu YB. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Apabila 3 ADUN dari parti memerintah (2 Adun PKR dan seorang dari DAP) telahpun mengisytiharkan keluar parti masing-masing untuk menyokong BN dan menjadi calon bebas, BN telah bertukar menjadi parti majoriti dalam DUN Perak selaras dengan kenyataan Pengerusi BN Perak merangkap TPM (ketika itu), YAB Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan di Putrajaya bahawa BN sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan di Perak.

Pada 5 Feb. 2009 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan telah mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua Parti BN sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.

Dengan merujuk kepada Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan meyatakan bahawa ‘Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan …’

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya parti yang Nizar wakili hanya mendapat sokongan minoriti akibat daripada tiga ADUN PR keluar parti. Soal tidak meletak jawatan adalah bercanggah dengan Fasal di atas dan bukannya perlu ada usul undi tidak percaya berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Soal tiga ADUN berpaling tadah kepada parti lawan itu adalah merupakan SEBAB UTAMA yang perlu dibincangkan di dalam kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Parti Memerintah. Perlu DITEGASKAN di sini bahawa ini adalah soal Parti Pemerintah lawan Parti Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukanlah isu Nizar lawan Dr Zamry.

Akan tetapi kerana Nizar enggan meletakkan jawatan yang menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry sebenarnya tidak perlu naik turun mahkamah kerana ianya jelas dinyatakan di dalam Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bahawa dia wajib meletakkan jawatan.

Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 ADUN BN ini keluar parti daripada BN dan menyokong Parti Pembangkang iaitu PAS di Dewan Undangan Negeri maka barulah situasi tersebut akan sama dengan Perak. Di dalam hal ini MB Terengganu perlulah meletakkan jawatan selaras dengan Fasal 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyebut ‘ … hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’.

Isu Terengganu jelas dan nyata “Tidak Serupa dan Tidak Sama” langsung dengan isu di Perak kerana 10 ADUN ini belum lagi mengishtiharkan keluar parti dan setakat ini tidak pernah menyokong parti pembangkang sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 10 ADUN ini keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada PAS bermakna telah mendapat majoriti dan YAB Dato’ Ahmad bin Said hendaklah meletakkan jawatan. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong tindakan 10 ADUN ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan dan DYMM Sultan akan bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar. Nota: sepuluh ADUN BN yg sekiranya menjadi ADUN bebas masih tidak berpeluang jadi MB kerana tidak berparti, sebaliknya salah seorang daripada ADUN Pas akan dilantik menjadi MB baru berasaskan kepada Prinsip Demokrasi Berpelembagaan ADUN daripada parti akan dipilih.)

Dakwaan telah mendapat majoriti sokongan serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada YAB Menteri Besar masih TIDAK memenuhi prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan untuk menukar MB di mana mereka masih lagi berada di dalam parti yang sama iaitu 24 kerusi BN dan 8 kerusi PAS. Perbalahan mereka ini bolehlah diibaratkan sebagai “ribut dalam cawan’ atau ‘carik-carik bulu ayam’.

Walaubagaimana pun, tindakan 10 orang ADUN ini juga boleh dianggap sebagai menentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di mana pada 27 Mac 2008 Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman. Ia juga boleh dianggap sebagai menentang dan mencabar keputusan DYMM Tuanku Sultan melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said secara teratur mengikut Fasa 12 (2) Undang-Undang Bagi Diri Terengganu di mana Duli Yang Maha Mulia bolehlah bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar.

Ini selaras dengan apa yang telah ditegaskan oleh YB DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu di dalam Malaysiakini.com pada 21 Mei 2009 sebagaimana berkata “Berdasarkan perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, dan kedudukan wakil rakyat BN yang perlu memikul tanggungjawab dan amanah yang tinggi, sentiasalah bermusyawarah sesama kita untuk menyelesaikan sesuatu (masalah) tanpa dibincangkan di khalayak ramai,” katanya.

Persoalannya, adakah kumpulan 10 ADUN ini terus tidak akur dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong YAB Dato’ Ahmad bin Said selaku Menteri Besar, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Menteri Besar dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB Terengganu ini dan seterusnya kepada Parti UMNO dan Barisan Nasional.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak MB dan semua 10 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan bahawa mereka akan keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti PAS. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, YAB Menteri Besar perlulah menerima hakikat ini. Dalam hal ini soal maruah dan prinsip MB TIDAK TIMBUL sama sekali kerana ianya telah termaktub di dalam Prinsip Demokrasi Berpalimen Raja Berpelembagaan selaras dengan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Tidak sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 10 ADUN bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB, bermakna walau apapun tuduhan, tohmahan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka masih lagi dalam Kerajaan Barisan Nasional dan soal sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB tidak timbul sama sekali kecuali mereka keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti Pembangkang.

Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka masih lagi berada di dalam Parti Barisan Nasional dan perbuatan mereka ini tidak mengurangkan dan menjejaskan majoriti ADUN BN di Dewan Undangan Negeri di mana DYMM Tuanku Sultan telah melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka ini ialah memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya kepada MB yang mengetuai Kerajaan Negeri (Parti Barisan Nasional) terutamanya di dalam Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan selari dengan 1Malaysia.

tidak lagi yakin dengan kewibawaan MB untuk menerajui politik dan pentadbiran negeri adalah tidak relevan. Bermakna dalam bahasa yang mudahnya mereka masih lagi menjadi kumpulan ADUN majoriti yang menjadikan YAB Dato’ Ahmad Said layak dilantik sebagai MB oleh DYMM Tuanku Al-Sultan. Tidak berbangkit soal mendapat sokongan majoriti seperti di negeri Perak. Dalam demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, parti politik yang menang dengan hanya satu undi sudah dianggap menang dan membentuk kerajaan dan seorang ahlinya akan dilantik sebagai MB oleh Raja.

Namun sehingga hari ini, kalau keadaan 10 ADUN ini masih setia dengan BN, YAB Dato’ Ahmad bin SAid akan tetap kekal sebagai MB kerana parti yang YAB Dato’ Ahmad bin Said terajui di DUN tidak pernah hilang majoriti sokongan ADUN. YAB MB tahu, beliau tidak semudah itu menjual maruah dan prinsipnya serta memegang teguh amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan kepadanya.

Situasi di kedua-dua negeri ini tak serupa dan juga tidak sama. Tak serupa dari segi isu hilang majoriti parti. Tetapi kedua-dua negeri masih berpegang kepada satu perkara yang sama – Prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan serta Undang-undang Tubuh atau perlembagaan.

Perlembagaan adalah perlu bagi menjamin kestabilan politik serta system pemerintahan yang cekap dan adil. Parti politik yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan.

CHIN PEN DAN DOSANYA…

Posted in chin peng, komunis on May 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Siapa Chin Peng? Apa itu komunis?

Ini saya dengar dari mulut anak saya yang berusia 10 dan 12 tahun, pada 2009.
Sedangkan ketika saya berusia 10 tahun, ketika itu pada 1964, ayah saya yang pernah berjuang untuk kemerdekaan (cara rakyat, bukan cara pemimpin) dengan kenalannya seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), saya sudah diberitahu bahawa komunis itu jahat.

Malah nama Chin Peng, ketua komunis Malaysia sering kedengaran di telinga saya bahawa dia lari ke China dan memang mahu menggagalkan penubuhan Tanah Melayu.
Dosanya besar kepada Tanah Melayu dan orang Melayu.
Parti Komunis Malaysia (PKM) mensabotaj ekonomi, umpamanya merosakkan rel dan kereta api, selain menjalankan pelbagai kegiatan kejam.

Apa lagi pada 1964, Malaysia baru sahaja empat tahun bebas daripada ‘ancaman komunis’ dan sedang berdepan dengan ancaman komunis Indonesia yang cuba menggagalkan penubuhan Malaysia yang dilancarkan pada September 1963.
Dengan melakukan sabotaj politik dan ekonomi selain menakutkan rakyat di Tanah Melayu, apakah Chin Peng wajar dibenarkan pulang.

Pendirian kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak akan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali menetap di negara ini, kata Perdana Menteri berkata kepulangan bekas pengganas itu hanya akan menimbulkan rasa tidak puas terutama sekali kepada pejuang negara dan ahli keluarga mereka yang terkorban angkara pemberontakan PKM dari tahun 1948 hingga 1981.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya semalam mengulas saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan supaya kerajaan membenarkan Chin Peng pulang dari Thailand untuk menetap di Malaysia dengan alasan bekas pemimpin komunis itu bukan lagi merupakan ancaman terhadap keselamatan negara.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali semula ke negara ini.

Teng dilaporkan berkata, bekas Setiausa Agung PKM itu yang kini tinggal di Thailand, hendaklah dibenarkan kembali ke Malaysia atas sebab-sebab kemanusiaan dan Chin Peng tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pemimpin Gerakan itu juga berkata, keganasan komunis yang melampau seperti pada-pada tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China dan Rusia telah mengalami transformasi serta kini sedang menuju ke arah perjuangan berasaskan ekonomi, lapor Bernama.

Chin Peng, 85, yang dilahirkan di Sitiawan, Perak dikatakan masih mempunyai saudara mara di Malaysia.

Permohonan beliau menerusi saluran undang-undang untuk menetap di Malaysia ditolak oleh mahkamah pada 30 April lalu.

Kenyataan Teng itu mencetuskan kecaman hebat pelbagai pihak termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan usaha membawa pulang Chin Peng sebagai satu tindakan yang akan menghiris perasaan seluruh anggota dan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Malah, Kementerian Pertahanan mengesahkan terdapat beberapa kumpulan di negara ini dikesan cuba menghidupkan ideologi dan nilai-nilai komunisme.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gerakan itu kini dipelopori badan-badan tidak berdaftar dan tidak kurang juga dari kalangan parti politik.

“Ada semacam usaha yang berbau komunis cuba dihidupkan oleh badan-badan yang tidak berdaftar dan kami dapat hidu. Ada juga yang cuba menghidupkannya melalui parti politik,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke beberapa kemudahan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengenai penyebaran sentimen komunisme di negara ini yang disuarakan beberapa pihak.

Menurut Rais, beliau bimbang kerana sesetengah pihak kini didapati cuba membangkitkan sentimen itu di media cetak dan blog melalui isu membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke negara ini.

“Inilah yang kita anggap satu kedurjanaan, unsur-unsur ini langsung tidak peka dengan pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini di tangan gerila komunis antara tahun 1948 hingga 1960 dulu. Saya yakin rakyat Malaysia tidak mudah tertipu,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung sentimen itu daripada terus merebak.
Kerana itu juga saya menyokong saranan Prof Dr Mohd. Safar Hashim dari Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia yang mencadangkan kertas putih aktiviti komunis 1948-1989.

Katanya, kerajaan memberi peluang sebanyak dua kali kepada PKM untuk menyerah diri. Pertama ketika Rundingan Baling dan kedua, selepas mencapai kemerdekaan. Kedua-duanya ditolak oleh Chin Peng.

Kini, isu komunis kembali diperkatakan. Namun ia bukan isu baru. Perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai, Thailand pada 1 Disember 1989 hanyalah untuk menamatkan pertempuran antara tentera Malaysia dan gerila PKM sahaja. Itulah hakikatnya.

Pada peringkat awal rundingan damai itu, Malaysia mahu PKM dibubarkan tetapi ia ditolak oleh pihak komunis. PKM hanya bersetuju meletak senjata.

Parti itu juga bertegas tidak mahu perjanjian tersebut dilihat sebagai ‘penyerahan diri beramai-ramai.’ Fakta itu dimasukkan ke dalam perjanjian akhir yang menyebut bahawa semua kenyataan selepas itu hendaklah dalam ‘semangat perjanjian’ tersebut dan tidak mengandungi sebarang ‘unsur fitnah yang mengaitkannya sebagai penyerahan atau menyerah diri (oleh PKM).’

Walaupun lemah, PKM tidak mahu dilihat sebagai menyerah kalah dan itulah prinsip PKM terutama Setiausaha Agungnya, Chin Peng, sejak Rundingan Baling pada 1955.
Hakikatnya, walaupun komunis dikalahkan daripada segi ketenteraan di Malaysia, ideologinya masih hidup. Dan ia juga mahu terus disemarakkan.

Jika tidak kenapa PKM tidak mahu membubarkan parti itu? Malah ia mahu meneruskan ideologi Marxist. Inilah yang perlu difahami oleh seluruh warga Malaysia.

Walaupun di negara-negara lain ia kelihatan berundur, bukan bererti kita tidak perlu memberi perhatian lagi. Memang mudah untuk memecahbelahkan berbanding membina. Lebih-lebih lagi kita sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Ingatan keras oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah kena pada tempatnya. Tetapi ia tidak memadai.

Jawapan yang lebih menyeluruh harus datang daripada Kabinet. Mungkin Kabinet wajar menimbang untuk mengeluarkan satu Kertas Putih mengenai PKM dari awal hingga membawa kepada Perjanjian Damai di Hatyai.

Tidak ramai yang mengetahui mengenai perjanjian itu. Mungkin laporan-laporan ketika itu agak terhad. Kini sampai masanya satu penjelasan lebih komprehensif dibuat.

Jika sesuai, jadikan ia sebagai satu Kertas Putih yang boleh digunakan untuk menjelaskan kekeliruan. Ia harus merangkumi kegiatan PKM sejak 1948-1989.

Penjelasan itu boleh dilakukan kerana Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan mengenai kes Chin Peng dan ia tidak perlu dikhuatiri sebagai sesuatu yang sub-judice lagi.

NILAI ‘TUDUHAN’ ANIFAH RM100 JUTA

Posted in Anwar, hanifah, Saman on May 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Anwar saman Anifah RM100 juta. Banyak tu!
Ada duit ke Anifah nak bayar kalau kalah di mahkamah.

Kalaupun keluarga Anifah dan Anifah sendiri mungkin kaya, apakah tuntutan itu berbaloi?
Persoalannya tidak betul ke apa yang didakwa oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari?

Yang pasti, Anwar marah dengan kenyataan Anifah pada 16 Mei lepas di Jabatan Negara di Washington semasa sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton bahawa – Anwar ada menawarkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kepadanya sekiranya pembangkang menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lepas.
Anwar menganggap Anifah ‘berjaya’ mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.Dalam isu seperti ‘mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu’, apakah Anwar tidak pernah buat kepada orang lain?

Tidakkah Anwar pernah melakukan perkara yang sama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Hairannya mereka ini tidakpun membuat tindakan yang sama.
Persoalannya sekarang, siapa lagi yang tahu mengenai tuduhan Anifah itu?

Mungkin kalau ada yang tahu pun cuba menyembunyikannya. Yang pasti antara kedua-duanya sahajalah yang tahu kes ini.

Jadi, Anifah kenalah jawab di mahkamah dan Anwar pula kena buktikannya.
Kalau tidak ada bukti, susah juga Anwar mahu menafikan beliau tidak melakukan perkara itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu dilaporkan hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Anifah bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung kenyataan menteri itu pada satu sidang akhbar di Washington baru-baru ini.

Writ saman itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 2.10 petang oleh firma guaman Messrs S.N.Nair & Partners.

Saman itu menamakan Anifah berdasarkan kedudukannya sebagai seorang individu dan Anggota Parlimen Kimanis sebagai defendan pertama,Menteri Luar sebagai defendan kedua, dan kerajaan Malaysia dinamakan defendan ketiga.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi untuk menahan Anifah melafaz, bercakap atau menulis atau menerbitkan perkataan fitnah itu.

Anwar juga berkata Anifah memfitnahnya dengan menyatakan beliau sedang membuat cubaan untuk membeli Anggota Parlimen dan Anwar memburukkan imej negara.

Anwar juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu.