Archive for the isu Category

PENGGUNAAN KALIMAH “ALLAH” – KELIRU & JANGAN MENGELIRUKAN…

Posted in Allah, isu, kalimah on January 6, 2010 by Hambali Abd Latiff

YB Zulkifli Nordin mengemukakan pertanyaan melalui blognya: “Saya mahu tanya puak-puak Melayu yang beriya-iya sangat nak benarkan Kristan Malaysia guna nama ALLAH sebagai ganti nama Tuhan yang mempunyai anak Jesus saperti mana kepercayaan Kristian, sudah kah mereka bertanya kepada Pope Benedict, Ketua Agama Kristian?

Sudahkah satu survey dibuat dikalangan Kristian di Malaysia apakah mereka mahu nama Tuhan mereka sekarang menjadi ALLAH? Apakah statistik yang sudah dibuat untuk menunjukkan peratus Kristian Malaysia yang benar-benar mahu tukar nama Tuhan mereka kepada ALLAH? Pelik bangsa Melayu ni, beriya-iya benar dia nak menjual nama Tuhannya sendiri..demi apa??”

Zulkifli melalui blognya memperturunkan kontroversi yang berlaku di kalangan Kristian Eropah apabila ada cadangan nama ‘God” ditukar daripada Jesus kepada ALLAH. Bacalah sendiri pada akhir entri ini yang saya salin daripada http://zul4kulim.blogspot.com.

Kerana itu, satu keputusan atau pendirian tegas perlu dalam menentukan sama ada penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly – boleh atau tidak boleh dipakai?

Jangan lagi membiarkan masyarakat terkeliru dengan kenyataan pihak-pihak yang mendakwa diri mereka mewakili parti, NGO atau tokoh Islam.

Soalnya kini mana satu mahu dipakai pendapat kerana ia bercelaru dan terus bercelaru.


Pendirian PAS atau kenyataan oleh pemimpin PAS jelas berbagai -menggambarkan betapa parti yang mendakwa ia parti Islam pun tidak sehaluan.

Di pihak kerajaan dan UMNO pendirian mereka jelas walaupun dianggap mempunyai ‘provokatif jahat’.
Malah, sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald-The Catholic Weekly.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, keputusan itu diambil dalam sesi perbincangan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama kumpulan NGO itu semalam. “NGO-NGO Islam juga menyokong semua langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menjaga keharmonian dan keamanan negara serta semua penganut agama tanpa

membelakangkan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara,” katanya semalam.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan.
Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Pada ketika PAS Pusat mengambil pendirian dan menegaskan bahawa perkataan “Allah” boleh digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi, kenyataan bercanggah turut dikeluarkan oleh pemimpin penting PAS seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Harun Taib.

Harun menegaskan bahawa PAS sama sekali tidak akan bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan di gereja katolik.

Nik Aziz pula berpendapat penggunaan kalimah Allah oleh agama lain tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam. Mursyidul Am PAS berkata, biar pun dari segi hukum membenarkan agama ‘samawi’ seperti Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah itu tetapi dibimbangi ia disalah gunakan pihak tertentu.

Agak mengejutkan ialah apabila pemimpin PAS seperti Khalid Samad yang dianggap bertopeng parti Islam terus sikap berdegil dengan hujah-hujahnya yang masih berkisar kepada istilah Allah bukan hanya kegunaan orang Islam, apabila mengatakan al-Quran  membenarkan istilah Allah digunakan orang bukan Islam, dan Rasulullah tidak menghalang.

Sebuah blog yang menyifatkan Khalid sebagai “Archbishop” menyokong pandangan Zulkifli Nordin yang menyanggah dan menjawab balas hujah Khalid. Zulkifli mempersoalkan kenapa Khalid Samad, seorang ahli politik PAS boleh menerima hujah yang lahir dari ugama yang sesat kaedah keesaaan tuhannya. Itu yang timbul gesaannya Khalid keluar parti PAS.

Bagi Parti PAS pula, ia berpendirian – penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan, agar ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

Pendirian PAS tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Lajnah Politik yang diadakan di sini semalam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik, Herald pada Khamis lalu.

Perbincangan yang dihadiri oleh 25 ahli itu dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharruddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan dua orang Naib Presiden, Salahuddin Ayub serta Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib jelas tegas apabila mengatakan PAS sama sekali tidak akan bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan di gereja katolik.

Menurut Harun yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, penggunaan dalam penerbitan Herald The Catholic Weekly dilihat sebagai satu penghinaan terhadap agama dan juga umat Islam.

Lebih jelas katanya, keadaan itu dilihat boleh mengundang kekeliruan orang Islam di seluruh negara dan dikhuatiri penggunaan kalimah agung itu tidak mengikut maksud sebenar sebagaimana dalam Islam.

“Saya tidak bersetuju kerana ia boleh mengelirukan umat Islam, tidak semua mereka guna mengikut maksud sebenar perkataan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama katanya, kepercayaan orang Islam dan bukan Islam juga berbeza apabila Islam meyakini Allah bersifat Esa yang jelas bercanggah dengan kepercayaan agama lain.

Harun berkata, penggunaan kalimah itu memberi kesan amat besar kepada umat Islam yang boleh mengguris perasaan mereka.

Nik Abdul Aziz menjelaskan, biar pun dari segi hukum membenarkan agama ‘samawi’ seperti Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah itu tetapi dibimbangi ia disalah gunakan pihak tertentu.

Beliau berkata, masalah penggunaan kalimah Allah timbul kerana tiada badan perunding antara pihak Islam dan Kristian yang menyelesaikan kemelut itu dengan baik menyebabkan ia kini menjadi isu sensitif.

“Kita bimbang dan takut orang ini salah guna perkataan Allah iaitu salah guna dalam pengertian, sebab itu dalam fiqah kita boleh sekat orang bukan Islam guna perkataan Allah walaupun benda itu harus.

“Saya juga bimbang kalimah ini disalah guna sehingga menyebabkan orang Melayu beragama Islam keliru… dia kata sana Allah, sini pun Allah sehingga akhir-akhir ini dia minta gereja pun dipanggil masjid Kristian.
“Pengunaan Allah boleh tetapi dibimbang disalah guna, jadi lebih baik kita berhenti daripada membenarkan agama lain guna perkataan Allah,” katanya.

Pada 1 Mac 2009, Nik Abdul Aziz dalam sidang akhbar di sini menegaskan, tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan.

Ini kerana, kata beliau, dalam al-Quran sendiri ada menceritakan bahawa orang bukan Islam telah menggunakan perkataan Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi.

Sementara itu, Nik Aziz berkata, masalah penggunaan kalimah Allah timbul kerana tiada badan perunding antara pihak Islam dan Kristian untuk menyelesaikan kemelut itu dengan baik menyebabkan ia kini menjadi isu sensitif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya badan rundingan itu diwujudkan secepat mungkin.
Beliau tiada halangan jika dipanggil menjadi ahli panel dalam majlis rundingan tersebut bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad hasil mesyuarat PAS kelmarin berkata: “PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

“Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al Imran ayat 64,” kata

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yabg boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.
Siapa agresif dan provokatif jahat dalam soal ini?

Oleh itu katanya, PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Apa juga pertelingkahan, sewajarnya kita semua tunggu keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) petang ini untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah.

Timbalan Pendaftar, Nik Isfahanie Abd Rahman menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi memfailkan notis penangguhan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi sekitar tengah hari semalam.

Andi memberitahu pemberita, sijil kesegeraan turut difailkan bersama-sama notis itu bagi mendapatkan tarikh pendengaran awal.

Hakim Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah itu akan mendengar permohonan itu pada kira-kira 2.30 petang ini dan keputusan terletak di tangan beliau.

(Petikan daripada http://www.christianpost.com/article/20070823/is-calling-the-christian-god-allah-wrong/index.html)

IS CALLING THE CHRISTIAN GOD “ALLAH” WRONG:

One of America’s pre-eminent evangelicals is challenging the advice of a retiring Roman Catholic Bishop in the Netherlands who has raised eyebrows worldwide by suggesting Dutch Christians pray to “Allah.”


Dr. R. Albert Mohler, Jr., president of The Southern Baptist Theological Seminary, argues that it is inappropriate for Christians to call God Allah based on irreconcilable theological differences associated with the name Allah and core Christian beliefs.
The key condition behind calling the Christian God Allah is that Allah must refer to the same God as the one in the Bible. However, this requirement presents “a huge problem for both Muslims and Christians,” contends M ohler.

The theologian pointed out that the Qur’an explicitly denies that Allah has a son, and Islam considers the idea of a triune God to be blasphemy.

“Thus, from its very starting point Islam denies what Christianity takes as its central truth claim – the fact that Jesus Christ is the only begotten Son of the Father,” wrote Mohler on his web blog Wednesday.

“If Allah has no Son by definition, Allah is not the God who revealed himself in the Son. How then can the use of Allah by Christians lead to anything but confusion …and worse?”

Last Monday, during an interview with a Dutch TV program, 71-year-old Bishop Tiny Muskens promoted the idea of Dutch Christians calling God Allah, believing that it would ease much of the conflict between the Christian and Muslim faiths. Muskens contended that God doesn’t mind what He is called and the arguments over what to call Him is an invention of man.

“Allah is a very beautiful word for God. Shouldn’t we all say that from now on we will name God Allah? …What does God care what we call Him? It is our problem,” said Muskens, according to The Associated Press.

The retiring bishop was a former missionary to Indonesia – the most populous Muslim country in the world – for eight years, where he said priests used the name “Allah” while celebrating Mass.

In response, Mohler pointed out that it would be difficult to support the argument that “Allah” can be used as a generic term for God. The theologian said separation of Allah from the language, theology, and worship closely associated with it is difficult. Moreover, even non-Arabic speaking Muslims use Allah when referring to their god.

Another irreconcilable difference is that Jesus commanded his followers to baptize “in the name of the Father and of the Son and of the Holy Spirit.”

“When this command is taken seriously and obeyed, the whole issue is greatly clarified – a Christian cannot baptize in the name of Allah,” stated Mohler.

“So Bishop Muskens is disingenuous at best when he suggests that God does not care about His name. This is not a matter of mere ‘discussion and bickering,’” said Mohler.

“If Allah has no son, Allah is not the father of our Lord Jesus Christ…This is no mere ‘discussion and bickering.’ This is where the Gospel stands or falls,” the theologian concluded.

Bishop Muskens in the past endorsed other controversial ideas which went against the Vatican leadership – such as those who are hungry can steal bread and that condoms should be permissible in the fight against HIV/AIDS.

ROSMAH LIABILITI KEPADA NAJIB?

Posted in isu, Najib, Rosmah on December 19, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ternyata Datin Seri Rosmah Mansor kini semakin diserang dan dihimpit dengan pelbagai tuduhan.


Sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah akan terus menghadapi pelbagai tohmahan pada ketika tohmahan

sebelum ini pun belum terjawab.

Saya tidak faham apakah tiadanya jawapan untuk itu – apakah pihak yang kena tuduh atau yang turut terbabit seperti Perdana Menteri merasakan ia isu remeh dan tidak penting?

Sekali atau dua kali boleh tepis tetapi kalau sudah bertindan-tindan, ia akan menimpa diri dan sukar untuk membebaskan daripadanya.

Bagi empunya diri boleh mengatakan dia ‘tidak kisah, tidak peduli atau tidak hairan’ namun hakikatnya kelak rakyat yang akan menentukan sokongan dan undi.

Tidakkah isu-isu seperti ini akan digunakan oleh pembangkan menjelang pilihan raya nanti? Betul atau salah tidak penting tetapi persepsi rakyat yang menentukan undi kepada Barisan Nasional (BN).

Najib perlu berdepan dan terpaksa menanggung sama jika ada masalah menimpa isteri atau pegawai-pegawainya, termasuk Setiausaha Politiknya.

Jika pasukan yang menjaga kepentingan publisiti dan imej Najib merasakan tuduhan – tuduhan liar atau berasas – merasakan perkara ini tidak penting, mereka adalah silap.

Selepas isu Altantuya, isu Rosmah dengan keluarga angkat, ‘bini puaka’dan banyak lagi, kali ini ahli parlimen PKR Tian Chua pula mendakwa individu yang tidak dikenal pasti telah menghantar RM600,000 melalui pengurup wang kepada Datin Seri Rosmah Mansor ketika isteri perdana menteri berada di Dubai, Ogos tahun lalu.

Tian Chua berkata, beliau mempunyai dokumen yang membuktikan berlakunya transaksi yang melanggar undang-undang tersebut.

Beliau bagaimanapun, tidak tahu tujuan wang itu digunakan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Tian juga mendakwa bahawa dua tokoh korporat melakukan kesalahan yang sama.

Beliau mendakwa Datuk Abu Sahid Mohamad telah menghantar RM22.2 juta ke United Kingdom antara Jun dan Ogos 2008, melalui pengurup wang Salamath Ali. Ia didakwa untuk membeli hartanah.

Tian juga mendakwa ahli perniagaan Syed Mohammad Syed Nursin pula menghantar RM1.19 juta ke UK melalui Salamath Ali, juga untuk tujuan membeli hartanah.

Syed Mohammed adalah adik kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Tian berkata, beliau mempunyai salinan surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Bank Negara kepada pengurup tersebut, memintanya menjelaskan mengenai pengiriman wang secara haram itu.

Ahli parlimen Batu menggesa Bank Negara supaya menyiasat orang yang menghantar wang tersebut dan bukan hanya memfokuskan siasatan kepada pengurup terbabit sahaja.

Saya berharap Perdana Menteri dan pegawainya jangan mengganggap isu atau tohmahan terhadap Rosmah sebagai kecil dan lekeh kerana mereka yang bertugas di bawah sukar menepis tuduhan ini, khususnya di kalangan rakyat.

Dengan kemudahan internet hingga ke keluar Bandar, media baru yang digunakan pembangkang cepat mengambil peluang di atas perkara seperti ini.

Najib sebagai Perdana Menteri yang menekankan kepada integriti dan kerajaan yang bersih perlu menepis dengan bijak isu yang melanda Wanita Pertama Malaysia.

Cakap-cakap semakin kerap dan suara semakin tinggi bahawa imej Najib bukan dicemarkan oleh dirinya sendiri tetapi oleh mereka di sekelilingnya, khususnya isteri dan pegawai-pegawainya.

Wahai pegawai Najib, tolonglah lekas bertindak.

Ia agar Najib yang berusaha memulihkan imej UMNO dan BN tidak dibebankan oleh masalah di sekelilingnya.

Jangan beliau nanti dipersoalkan.

Hapuskan segera tohmahan bahawa Rosmah menjadi liabiliti kepada Najib dan jika perlu bertindak, bertindaklah segera kepada mereka yang membuat ‘tuduhan liar’itu.

ROSMAH TIDAK HERAN…

Posted in isu, Rosmah on December 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak risau dengan begitu banyak tuduhan jahat dan liar dilemparkan terhadapnya oleh pihak yang bersikap memusuhi beliau.

Bercakap di Singapura, Rosmah berkata sebagai isteri Perdana Menteri beliau lebih fokus dalam kerjanya untuk membantu rakyat mendapatkan kehidupan lebih sempurna dan baik, begitu juga masa depan.

“Saya tidak punya masa untuk melayan mereka,” katanya kepada media Malaysia di sidang akhbar di sini hari ini bila ditanya tentang perasaannya terhadap banyak tuduhan negatif yang tersebar dalam negara yang mengaitkan diri beliau.
Rosmah berkata beliau, malahan suaminya juga, tidak terjejas tumpuan atau terlalu mengambil kisah oleh dakwaan itu oleh kerana mereka fokus dalam kerja.

Rosmah berkata bila beliau bertemu dengan isteri-isteri pembesar asing, mereka memberitahunya mereka juga menjadi sasaran parti politik pembangkang.

“Jadi, isu ini adalah budaya universal, datang dari orang-orang yang tidak senang dengan kerajaan,” kata Rosmah, dan menambah tuduhan itu lebih hebat bila pilihan raya semakin hampir.

Rosmah berada di Singapura untuk menghadiri Forum Pemimpin Wanita Asean di mana beliau menyampaikan ucaptama mengenai kepimpinan wanita dalam era baru.

BUMIPUTERA HANYA TUNTUT SEPARUH HAKNYA…

Posted in bumiputera, isu, Mahathir, Melayu on December 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Buka dan kangkanglah seluas-luasnya.

Dedahkan segalanya-galanya mengenai keistimewaan Bumiputera. Inilah yang dimahukan oleh DAP dan sekutu-sekutunya.

Inilah juga yang dimahukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila ramai pemimpinnya menganggap menjadi suatu keadilan jika Bumiputera dikurangkan hak mereka dan bukan Bumiputera ditambah hak mereka untuk menjadi sama rata.

Bagi kedua-dua parti ini, keadilan akan hanya akan dicapai apabila seluruh rakyat negara ini, Bumiputera dan bukan Bumiputera menikmati hak dan peluang sama rata, walaupun hakikatnya Bumiputera ketinggalan jauh.

Bukan sahaja di bidang pelajaran dan ekonomi tetapi hak mendapat kesamarataan turut membabitkan sosl-soal kepentingan sosial lain.

Walaupun mendapat hak sama rata politik tetapi bukan Bumiputera tetap tidak berpuas hati sampai kepada tahap mereka ‘mempersendakan’ agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Mereka buat-buat tidak faham dan mempersoalkan usaha mengangkat kedudukan kaum Bumiputera dalam arus perdana pembangunan negara.

Biarpun usaha itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan namun mereka menggambarkannya sebagai dasar ‘pilih kasih’ dan ‘tidak adil’ kepada bukan Bimputera.

Lebih menghairankan apabila ada Bumiputera sendiri mahu memperjuangkan hak orang lain dan ‘memberikan dengan banyaknya hak mereka…jika ada Bumiputera bercakap mengenai hak-hak yang patut mereka nikmati, mereka dicop ‘Rasis’.

Bolehkah kita mengatakan seseorang itu rasis sedangkan mereka memperjuangkan hak yang patut mereka kecapi?

Lagipun apa yang Bumiputera tuntut adalah sebahagian sahaja daripada apa yang patut mereka dapati berasaskan jumlah penduduk di negara ini.

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, walaupun penduduk Bumiputera hampir 60 peratus daripada jumlah penduduk tetapi kuota yang ditetapkan hanya 30 peratus sahaja.

“Ini bukan perkauman… kita hanya tuntut separuh daripada apa yang sepatutnya kita tuntut. Ini tunjukkan kita bukan perkauman. Kalau perkauman kita (sudah) tuntut 60 peratus. Malahan nak capai 30 peratus pun tidak mudah,” ujarnya.

Beliau menegaskan, jika wujud ketidakseimbangan dari segi pengagihan ekonomi, mereka yang ketinggalan akan merasa benci dan iri hati dan mungkin akan bertindak liar dan perkara inilah yang mahu dielakkan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, tumpuan dan peluang lebih yang diberikan kepada kaum Bumiputera tidak bermakna kaum-kaum lain diketepikan.

Dr Mahathir juga berkata, adalah penting bagi kaum Bumiputera untuk memiliki pengetahuan dalam bidang pengurusan perniagaan kerana ramai daripada mereka tidak tahu menggunakan wang sebagai modal atau melabur sebaliknya hanya untuk membeli-belah.

“Kita perlu tukar pemikiran Bumiputera. Wang itu apabila dilabur memberi pulangan dan dengan itu meningkatkan kekayaan mereka.

“Biasanya mereka bila dapat wang berbelanja… kadang-kadang lebih belanja daripada wang yang ada dan ini wujudkan masalah,” katanya.

Selain itu Dr Mahathir menegaskan bahawa peluang memasuki universiti awam yang diberikan kepada lebih ramai kaum Bumiputera berbanding kaum lain di negara ini tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk melabelkan kerajaan mengamalkan sifat perkauman dan meminggirkan kaum-kaum lain.

“Peluang kepada lebih ramai Bumiputera berbanding kaum lain adalah bagi memastikan keseimbangan pembangunan kaum agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan yang akan hanya memberikan pelbagai kesan negatif.

“Jumlah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kini hampir sama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kemasukan pelajar Bumiputera amat kecil iaitu hanya di sekitar 10 peratus sahaja dan selebihnya kaum-kaum lain,” katanya dalam ucaptama bertajuk ‘UUM 25 Years Expectation vs Reality’ di Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) 2009 di Sintok semalam.

Dr Mahahtir berkata, perkara itu berlaku kerana tidak ramai kaum Bumiputera mampu melanjutkan pelajaran ke IPTS disebabkan masalah kewangan yang terhad.

“Oleh itu, kita tidak harus berasa bersalah (semata-mata) kerana kita adakan tempat untuk Bumiputera. Kita ada hak untuk dapat kedudukan seimbang di negara ini. Kita nak hak secara berpatutan,” katanya.

MELAYU YANG SOPAN, SABAR DAN ISLAM…BAGAIMANA BOLEH BERPECAH?

Posted in isu, Melayu on September 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Terkejut juga saya apabila dibisikkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda ketika berbuka puasa di Kuala Lumpur kelmarin bahawa ada seseorang dari Arab Saudi mahu berjumpa saya di pejabat Menteri Besar.

Saya tanya beliau siapa, namun Wan Ahmad hanya tersenyum. Katanya, dia ini membaca blog saya dan menetap di Mekah.

Saya membayang-bayangkan rakan lama – wartawan, diplomat atau juga kenalan ‘kebetulan’ seperti dalam kapal terbang, kereta api dan sebagainya.

Bagaimana saya boleh ada kawan di sana? Atau mungkin kenalan ketika menghadiri sidang kemuncak OIC yang beberapa kali pernah saya hadiri. Atau mungkin juga dari Bank Pembangunan Islam (IDB).

Dari Libya dan Lebanon yang sering saya lawati? Tidak mungkin.

Saya tidak menemui jawapannya.

Tengah hari tadi saya ke tingkat 16 Wisma Darul Iman kerana orang Arab ini akan menemui Menteri Besar.

Sementara dia dipanggil masuk, saya sempat menjengahnya. Terkejut besar saya kerana dia memang Arab tetapi keturunan Arab. Sudah tinggal di Arab Saudi sejak hampir 30 tahun lalu. Dia berhijrah ke negara berkenaan pada 1980.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Halim Al-Kahiri berasal dari Terengganu dan kini adalah tuan punya Kumpulan Bin Nagi (Bin Nagi Group).

“Saya gembira jumpa Hambali….saya baca blog saudara di Mekah,” katanya dalam bahasa Melayu dengan sedikit pelat Teranggu.

“Saya berjumpa saudara untuk menyatakan kerisauan saya mengenai perpecahan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Lantas beliau menggembalikan era 80-an apabila ketika itu Malaysia kurang dikenali. Katanya, jika di luar negara apabila ditunjuk passport, selalunya polis atau kakitangan imigresen di negara asing akan bertanya, ada dari Afrika? Atau anda dari Indonesia? Dan yang agak mengetahui sedikit rantau Asia akan tanya “Malaysia dekat Singapore ke?”

Namun menurut Sheikh Halim, segala-galanya berubah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Malaysia bukan sahaja dikenali tetapi rakyat Malaysia mula diiktiraf kepakaran mereka dan tidak pelik kini ada lebih 50 pakar pelbagai bidang Malaysia di Arab Saudi sahaja.

Kata-katanya projek yang dilaksanakan oleh orang Malaysia di Arab Saudi diiktiraf baik dan bermutu.

Malah, menurutnya kerajaan Arab Saudi begitu menghormati tetamu dari Malaysia, termasuklah jemaah haji.

Baginya, kebimbangan mengenai perpecahan ini bukan semata-mata kerana kepentingan politik.
Beliau hairan bagaimana orang Melayu dan Islam di Malaysia yang lemah lembut, penyabar, bersopan dan beradab boleh memaki-hamun, mencerca sehingga turun ke jalan raya menunjuk perasaan.

Menurutnya sikap pemarah, pendendam dan melakukan pelbagai perangai yang memalukan bukan tradisi dan budaya Melayu.

Lantas katanya, mesti ada pihak yang mengajar atau menanamkan perangai buruk sedemikian yang menyebabkan ia menjadi ikutan.

Bagi Shekih Halim, orang Melayu dan Islam sewajarnya bertaut kembali kerana kekuatan Malaysia akan terjejas jika orang Melayu bertelingkah sesame sendiri.

“Saya harap melalui tulisan saudara, mesej boleh disampaikan kepada pemimpin dan orang biasa bahawa perpecahan Melayu akan menyebabkan perpecahan Islam.

“Jika orang Islam berpecah, kita tidak akan lagi dihormati. Belajarlah dari kejadian di Palestin, Somalia dan beberapa negara Islam lain,” tegasnya.

ZULKIFLI NOORDIN BIDAS ‘PAK JANGGUT’

Posted in agama, Hindu, Islam, isu on September 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sumber: Utusan Malaysia
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al- Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
(Sang Lembu merenung masa depannya yang terjamin keselamatannya dalam negeri Selangor Darul … dengan kawalan rapi anggota keselamatan lengkap bersenjata)

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling jelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,’’ katanya.

Zulkifli berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim. blogspot.com/ bagi mengulas isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam yang dirancang kerajaan negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tetapi dibantah penduduk Islam di situ.

Ia menyebabkan 12 penduduk Islam di kawasan itu dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram mengarak kepala lembu di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti individu yang digelar ‘Pak Janggut’ itu.

Zulkifli berkata, memang umat Islam disuruh berlaku adil termasuk kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam tetapi ia hanya terhad kepada soal menjaga kebajikan mereka termasuk memelihara tempat ibadah.

Katanya, umat Islam di situ bagaimanapun dilihat seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara dan hidup dalam keadaan aman harmoni berdasarkan status quo mereka.

“Umat Islam di situ dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dan perintah itu dikatakan dibenarkan di dalam al-Quran.

“Malahan mereka dikatakan berdosa kerana tidak mengikut al-Quran untuk membenarkan pembinaan kuil itu,” jelasnya.

Katanya, pembinaan kuil itu telah banyak diputar belit dan digembar-gemburkan sehingga menyebabkan isu sebenar pencerobohan tanah di kawasan itu untuk menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

“Isu demonstrasi kepala lembu pula diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, tindakan yang dilakukan penduduk Seksyen 23 itu mengadakan perhimpunan haram dengan membawa kepala lembu dan memijaknya tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan persepsi yang negatif.

Katanya, ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam isu tersebut contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor itu.
ALBAQARAH: ALAHAI SANG LEMBU
Oleh Zulkifli Noordin (9 September 2009)

Salam 2 all.

Surah yang pertama selepas Ummul Kitab Al Fatihah dikenali sebagai Surah Al Baqarah-iaitu Surah Lembu. Diceritakan bagaimana sepeninggalan Nabi Musa as menerima wahyu di Bukit Tursina, pengikutnya Bani Israel telah menjadikan anak lembu sebagai bahan sembahan setelah diperdaya oleh Samiri. ALLAH melaknat Bani Israel dan memerintahkan mereka supaya menyembelih seekor lembu, sebagai bukti keikhlasan mereka bertaubat nasuha dan meninggalkan sembahan tersebut. Bani Israel akhirnya menyembelih seekor lembu sebagaimana yang diperintahkan ALLAH.

Surah Al Baqarah adalah surah yang membahagikn kategori manusia kepada 3 golongan. Pertama golongan beriman, yang menjadikan Al Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan, yang meyakini perkara yang ghaib, mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat.

Golongan kedua adalah golongan kafir-mereka yang secara terang menolak ketuhanan ALLAH dan mempertuhankan berhala, yang menjadikan manusia sebagai anak tuhan, yang menjadikan batu, kayu, lembu dan pelbagai haiwan dan lain-lain sebagai bahan sembahan.

Golongan ketiga dikenali sebagai golongan munafik, golongan yang nampak lahirnya macam Muslim. Mereka berjanggut serban, mereka melabel diri mereka Islam, tetapi merekalah golongan gunting dalam lipatan, golongan yang sebenarnya menghancurkan Islam. Mereka musuh dalam selimut, dan mereka ini lebih merbahaya daripada kafir kerana mereka berselindung dibalik serban dan janggut, mereka berhujjah menggunakan Al Quran. Mereka ini dila’nat ALLAH, dan tempat mereka didalam neraka wail, neraka yang paling bawah!

Hari ini, 12 orang Muslim diheret ke Mahkamah Shah Alam, atas tuduhan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan atas tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana “menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan sengaja melukakan perasaan penganut Hindu”. Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis. Mereka ialah Jainudin Md Yusuff, Mohd Jurit Ramli, Mohammad Nordin Zakaria, Jamil Mohamad Isa, Rahimuddin Md Harun and Azhari Shaari. Kes mereka semua akan disebut semula 21.10.2009 depan. Ternyata mereka datang daripada kesemua parti politik orang Melayu Islam – 4 ahli PAS, 1 orang ahli PKR dan dan 7 ahli UMNo. Ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah.

Episod kepala lembu ini menunjukkan betapa bangsa Melayu hari ini begitu mudah diperlembukan. Baik yang berkopiah, mahupun yang bersongkok. Samada yang berserban, mahupun yang bersampin. Demi kerana sebiji kepala lembu, bangsa Melayu memekik takbir mempertahankan hak lembu sehingga ketitisan darah lembu yang terakhir, mempertahankannya daripada ancaman keris-keris durjana.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan melampau para demonstran yang membawa kepala lembu dan memijaknya kerana membantah tindakan kerajaan Selangor mengarahkan pembinaan kuil besar di Seksyen 23 Shah Alam. Itu tindakan yang tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al Quran. Walaupun ada yang menyatakan tujuan membawa kepala lembu itu adalah untuk menunjukkan betapa bodoh MB dan beberapa pemimpin Melayu beragama Islam dalam negeri Selangor, yang bertindak saperti lembu yang diperbodohkan, namun persepsi yang timbul jelas membawa kepada kemelut penghinaan kepada penganut agama Hindu yang mempertuhankan dan mempersucikan haiwan lambu ini.

Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan segelintir daripada mereka yang menghadiri dialog dengan Menteri Besar, yang menjerit-jerit saperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun tanpa adab dan batasan. Tindakan tegas dan keras mesti diambil terhadap mereka, termasuk yang mengeluarkan kenyataan menghina azan dan Islam.

Ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati kita. Mengapa tidak diambil jalan lain, contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor tersebut. Ada ramai peguam yang saya kira bersedia memberi khidmat untuk tujuan tersebut.

Namun apa yang lebih penting, episod lembu ini telah diputarbelitkan dan digembar-gemburkan oleh banyak pihak termasuk dikalangan Pak Janggut dan Pak Keris sehingga isu sebenar pencerobohan tanah di Seksyen 23 untuk tujuan menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

Dimana suara-suara Pak Janggut dan Pak Keris ini apabila Jeff Ooi melabel mereka yang bercita-cita untuk melaksanakan Islam sepenuhnya sebagai ekstremis. Sehingga hari ini Jeff Ooi terus dengan sifat bongkak dan angkuhnya enggan menuntut maaf atas kebiadapannya.

Sehingga ke hari ini Jeff Ooi masih bebas, tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadap keceluparan beliau. Mengapa Peguam Negara tidak bertindak tegas terhadap Jeff Ooi. Mengapa Jeff Ooi tidak dikenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan, mahupun Seksyen 298A Kanun Kesiksaan?

Mana dia suara para pejuang serban melilit dan Pak Janggut & Pak Keris, apabila dalam kes hukuman rotan terhadap Kartika Sri Dewi Syukarno, Majlis Peguam dengan angkuh memperlekeh hukum sebat bagi peminum arak beragama Islam. Kenyataan biadap Majlis Peguam, menghina hukum syara’ dengan menyatakan hukuman sebat ini sebagai tidak berpeikemanusiaan dan zalim. Undang-undang Islam disamakan dengan hukuman barbarik.
Tetapi Pak Serban dan Pak Janggut diam seribu bahasa.

Yang dihingar-bingarkan sikap kasar umat Islam semada dialog dengan MB Selangor pada Sabtu 15 Ramadhan 1430/ 05 Sept 2009. Yang diperbesarkan kata-kata kesat dan biadap orang Melayu dalam dialog itu. Tetapi kenyataan wakil Hindu semasa dialog tersebut menghina azan dengan biadap menyatakan azan lima kali sehari adalah satu gangguan langsung tidak dipedulikan, malah tiada tindakan pun dikenakan. Mana pergi suara Pak Janggut dalam hal ini saya pun tak tahu! Apa tindakan Peguam Negara langsung tidak kedengaran!

Yang paling jelik, ada dikalangan Pak Janggut sanggup memutarbelit ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Malah umat Islam Seksyen 23 dipersalahkan kerana tidak bersikap “adil” dalam membantah pembinaan kuil dikawasan kediaman mereka. Umat Islam dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dikawasan kediaman mereka, dan perintah itu dikatakan dibenarkan oleh Al Quran. Malahan umat Islam dikatakan berdosa kerana tidak mengikut Al Quran untuk membenarkan pembinaan kuil. Si Pak Janggut lupa awal-awal surah Al Quran ALLAH menceritakan tentang penyembelihan terhadap lembu yang menjadi sembahan manusia kufur.

Memang kita umat Islam disuruh berlaku ‘adil, termasuk terhadap kafir dhimmi yang duduk tunduk dibawah pemerintahan Islam. Tetapi kita disuruh hanya berlaku ‘adil dalam hal menjaga kebajikan mereka. Dalam soal ketuhanan, tidak timbul soal ke’adilan. Ini soal aqidah, bukan lagi soal wadah. Kita memelihara tempat ‘ibadah mereka, bukan mengujudkan yang baru dicelah kediaman kita. Sultan Salahuddin Al Ayubi memelihara kesucian synagogue dan gereja yang sedia ada semasa membuka Kota Baitul Maqdis, bukan dengan membina kuil, tokong, gereja atau synagogue yang baru bersebelahan Masjidil Aqsa!

Apa yang menghairankan, ,mengapa pulak umat Islam yang disuruh bertolak ansur. Mengapa langsung tiada suara dari Pak Janggut menasihatkan kaum Hindu supaya bertolak ansur. Seksyen 23 ada 337 keluarga, tidak sampai 40 beragama Hindu. Mengapa mereka tidak boleh bertolak ansur. Bukan kita menghalang mereka ber’ibadat. Masih banyak lagi kuil dan tempat ‘ibadat yang mereka punyai.

Mengikut statistik, dalam negeri Selangor ada 4.3 juta penduduk. Daripada jumlah itu, majoritinya umat Islam sebanyak 2.5 juta dengan masjid hanya sebanyak 259 buah. Sebalik nya masyarakat Budha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong. Kaum Hindu pulak, yang berjumlah 647,000 mempunyai 810 kuil berdaftar (ini tidak termasuk kuil yang haram dan tidak berdaftar!). Dan bagi 50,000 penganut Kristian di Selangor, cuba kira berapa jumlah gereja mereka! Malahan tuhan patung hindu yang terbesar didunia juga dok tersergam berdiri dalam negeri Selangor (ehsan daripada Kerajaan UMNo/ Be End dulu)! Itu pun umat Islam dikatakan masih tidak ‘adil, masih tidak bertolak ansur!?

Semasa saudara kita umat Islam membeli rumah di Seksyen 23, langsung tiada dalam pelan akan dibina kuil Hindu yang besar disitu. Saya cukup yakin kalau umat Islam tahu akan dibina sebuah kuil Hindu dalam kawasan perumahan mereka, sudah pasti ianya akan mempengaruhi keuputusan mereka untuk melabur ratusan ribu membeli rumah disitu.

Tidak ada umat Islam, jika diberi pilihan, mahu tinggal dikawasan yang ada kuil Hindu, tokong, gereja atau lain-lain, apatah lagi yang mega dan yang besar. Saya cukup yakin umat Islam Seksyen 23 memilih melabur ratusan ribu membeli rumah disitu kerana tiadanya kuil, tokong atau gereja besar disitu. Kalaulah mereka tahu akan dibina kuil hindu besar disitu, sudah tentu mereka tidak akan melabur ratusan ribu membeli rumah di Seksyen 23!

Tetap hari ini kelihatan seolah-olah umat Islam di Seksyen 23 tiada hak langsung untuk bersuara, untuk hidup dalam keadaan aman harmoni, berdasarkan status quo mereka.

Seolah-olah umat Islam yang bersalah kerana tidak berlaku ‘adil, tidak mahu bertolak ansur untuk sebuah kuil besar dibina dikawasan kediaman mereka walaupun dalam pelan asal tidak ada pun ujud cadangan tapak pembinaan kuil. Malahan bantahan umat Islam diperlekehkan, dituduh tidak beradab, dihina sebagai golongan pelampau. Yang diperagungkan ialah kepala lembu!

Apabila melihat gambar lembu diatas, saya dapat bayangkan betapa lembu tersebut berasa aman damai kerana walaupun seekor, tetapi keselamatannya dijamin oleh anggota keselamatan yang lengkap bersenjata. Renungan tajam dan syahdu sang lembu jelas menujukkan keyakinan akan masa depannya di dalam negeri Selangor Darul Ehsan ini. Betapa dalam negeri Selangor ini, bukan sahaja keselamatannya terjamin, dia boleh pergi kedai runcit untuk order arak satu tong, dan pasti akan ada ahli mesyuarat kerajaan negeri yang akan mempertahankannya. Malahan akan ada Pak Janggut yang akan membaca ayat Quran untuk menjamin keselamatannya!

Tapi bila melihat gambar dibawah, sedih kita melihat umat Islam digiring (entah ke digari) saperti lembu masuk ke kandang OKT! Itulah nasib umat Islam dalam negerinya sendiri. Lembu yang mereka maksudkan sebagai lambang kebodohan dan kelembuan seorang pemimpin, kini diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain. Dan akhirnya, mereka disumbat kekandang dan diperlembukan!

Mungkin satu hari nanti tak lama lagi akan ada Pak Janggut memetik Quran dan hadis supaya umat Islam berlaku ‘adil dan menasihatkan umat Islam supaya jangan baca lagi Surah Al Baqarah, demi menjaga hati pengikut tuhan lembu ini. Mungkin Peguam Negara akan mengenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan atau Seksyen 298A Kanun Kesiksaan kepada mereka yang membaca Surah Lembu ini!! Atau apakah nanti umat Islam tidak dibenarkan lagi menyembelih lembu sebagai qurban di ‘Eidul Adha, kerana khuatir menyentuh perasaan kaum Hindu?!

Apalah nasib umat Islam, diperlembukan oleh kaum sendiri! Pak Janggut memaki Pak Keris, Pak Keris menempelak Pak Janggut, tapi yang akhirnya menjadi mangsa ialah umat Islam yang kerdil di Seksyen 23, yang hanya mampu melihat Pak Janggut dan Pak Keris bertelagah dan bertikam sesama sendiri. Gajah sama gajah bertandukan, lembu jugak yang menang!
Wassalam.

KONTRAK SOSIAL – PENGORBANAN BESAR ORANG MELAYU

Posted in isu, Melayu, merdeka, UMNO on September 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Individu lain mungkin masih muda. Kata-kata mereka tidak dipedulikan kerana dianggap ‘masih mentah’.

Jika pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau veteran lain mengecam perosak perpaduan dan mereka yang mempersoalkan kontrak sosial, mereka dikatakan berpihak dan berbau UMNO.

Tetapi bagaimana dengan individu yang disanjung rakyat dan pernah menjadi Yang DiPertuan Agong pada ketika usia Malaysia masih muda?

Yang dimaksudkan ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah?

Tuanku Sultan adalah bekas Yang di-Pertuan Agong dari 21 September 1970 hinggga 20 September 1975.

Golongan muda mungkin tidak merasai betapa sukarnya tempoh ini kerana ia adalah selepas tragedi 13 Mei 1969 selain untuk kali pertamanya Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya umum 1974 selepas negara berada di bawah kuasa MAGERAN.

Malah, pada tempoh inilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan dan Tuanku Sultan amat memahami bagaimana perundingan kontrak sosial kali kedua diadakan.

Dalam konteks politik untuk kali pertamanya UMNO dan PAS duduk semeja melalui kerjasama Barisan Nasional, selain tolak ansur yang begitu padu dalam membentuk DEB.

Kita jangan lupa bahawa setiap rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen perlu perkenan Yang DiPertuan Agung untuk ia menjadi undang-undang.

Dan dalam tempoh getir itu, Tuanku Sultan sudah pasti dimaklumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein selain terbabit dalam perbincangan perkara-perkara yang membabitkan tolak ansur dan perundingan untuk menjamin Malaysia menuju ke suatu tahap baru melalui DEB.

Malah satu lagi perkara penting ketika pemerintahan Tuanku ialah terlancarnya Rukun Negara yang menjadi asas amalan dan rujuk demi perpaduan Malaysia.

Tuanku Sultan tidak akan memperkatakan mengenai isu perosak perpaduan dan kumpulan yang antikontrak sosial jika tidak melalui pengalaman yang menakutkan ketika menjadi ketua negara.

Apakah apabila individu seperti ini menyuarakan pandangan seperti ini ia didasarkan kepada kepentingan parti seperti UMNO atau memang menyedari kini sudah benar-benar wujud perosak perpaduan dan mereka yang antikontrak sosial?

Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada 18 Ogos lalu, memberi amaran negara akan huru-hara dan masyarakat ditimpa bencana jika kontrak sosial dipertikaikan serta dijadikan bahan politik.

Titah baginda, keamanan yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

‘‘Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.

‘‘Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum lain. Oleh itu, tidak wajar kontrak ini dipertikai, disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia,’’ titah baginda.

Tamadun dan kemerdekaan negara akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal dan semua pihak perlu ingat bahawa kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan adalah perkara suci yang mempunyai ’rahsia’.

Natijahnya, ia harus dipertahankan kerana ia menjamin kerukunan serta keamanan negara seperti dibuktikan sejak 52 tahun yang lalu.

“Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara,” titah baginda semasa merasmikan seminar khas Perlembagaan Persekutuan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Saya yakin Tuanku Sultan bertitah untuk meningatkan rakyat semua kaum kerana kebelakangan ini keharmonian yang wujud sekian lama mula terjejas ekoran adanya pihak tertentu yang berani mempertikaikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, antara sebab yang dikenal pasti berlakunya pertikaian mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah kedangkalan pihak-pihak tertentu terhadap latar belakang sejarah mengapa ia dimaktubkan.

Selain itu, titah baginda, ia juga disebabkan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diaplikasikan di negara ini tanpa bertunjangkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara.

“Situasi ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada ketegangan kaum,’’ titah baginda.

Persoalannya, apakah UMNO dan sekutunya yang antikontrak sosial dan menjadi makhluk perosak perpaduan?

Jika bukan UMNO, siapa lagi?