Archive for the SABAH Category

JEFFREY CHRISTINA KECEWA DENGAN ANWAR…

Posted in Jeffrey, PKR, SABAH on October 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

PKR Sabah terus bergolak dan semalam menghadapi satu lagi tamparan, dengan ketua bahagian Kota Kinabalu Christina Liew mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti semalam mengikut jejak naib presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Liew, yang telah digantikan bagi jawatan timbalan pengerusi PKR Sabah, berkata bagaimanapun beliau kekal sebagai anggota parti dan mengekalkan jawatan ketua bahagian Kota Kinabalu.

“Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada presiden parti hari ini,” katanya.

Liew berkata selama ini beliau percaya yang parti itu adalah adil dan telus sehingga pelantikan Datuk Kong Hong Ming sebagai timbalan pengerusi PKR Sabah dan Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

“Ibu saya terpaksa berdepan dengan pandangan serong orang ramai kerana saya telah digantikan (sebagai timbalan pengerusi) atas alasan yang tidak diketahui.

“Saya telah bekerja keras selama sembilan tahun untuk mempromosikan PKR Sabah. Oleh kerana parti tidak menghargai sumbangan saya, saya berundur dengan bermaruah sekarang,” katanya.

Dr Jeffrey telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR, anggota majlis tertinggi dan anggota biro politik, memberikan tamparan hebat kepada cubaan PKR untuk memperkukuhkan parti itu di Sabah.

Dr Jeffrey, yang dijangka menghantar surat peletakan jawatan ke ibu pejabat parti semalam, akan kekal sebagai anggota biasa parti, menurut bekas pembantu kanannya Kanul Gindol.

Dipercayai majoriti ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin, anak kelahiran Sabah dinamakan sebagai ketua PKR negeri yang baru pada hujung minggu lalu selepas ketua-ketua bahagian menyatakan tidak yakin dengan naib presiden PKR Azmin Ali untuk menerajui PKR negeri.

Di TAWAU, Kong berkata beliau terkejut dengan keputusan Dr Jeffrey untuk meletak jawatan sebagai naib presiden parti, menyatakan Dr Jeffrey telah bersetuju dengan keputusan berhubung pelantikan Ahmad Thamrin sebagai pengerusi perhubungan PKR Sabah yang baru.

“Saya menghormati keputusan (Dr) Jeffrey meletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR, namun tidak bersetuju dengan andaian bahawa pelantikan pengerusi perhubungan PKR Sabah yang baru sebagai tidak mengikut kehendak ketua-ketua cabang (bahagian),” katanya.

Mesyuarat perhubungan PKR Sabah yang diadakan pada 22 Okt lalu di Kota Kinabalu, yang dihadiri semua pemimpin 25 cabang parti dan perhubungan negeri termasuk Dr Jeffrey, bersetuju supaya isu pelantikan pengerusi perhubungan PKR negeri diserah kepada presiden parti, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota dan ketua cawangan PKR zon Tawau.

“Kita anggap isu pelantikan pengerusi perhubungan PKR negeri dalam mesyuarat malam itu sudah selesai. Jadi keputusan yang dibuat Dr Jeffrey ini memang di luar jangkaan saya.

“Sebagai pemimpin berpengalaman, kita harus hormat keputusan mesyuarat rasmi,” katanya.

Kong bagaimanapun yakin keputusan Dr Jeffrey tidak akan menjejaskan kekuatan parti.

Sumber BERNAMA

PENSIANGAN- HENTIKAN ‘PERANG’ 2 JOSEPH

Posted in PBS, SABAH, SPR on February 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kita seakan terlupa bahawa hari ini akan ada keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang, di Kota Kinabalu menentukan sama ada aka nada pilihan raya kecil di Sabah.

Pada ketika tumpuan politik banyak di arahkan kepada mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Sabah akan ada satu keputusan penting hari ini.
Keputusan itu berkenaan bakal menjawab sama ada pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan akan diadakan atau sebaliknya.

Mahkamah Persekutuan dijangka membuat keputusan sama ada menerima atau menolak rayuan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau tanpa bertanding pada pilihan raya umum Mac lalu, tidak sah dan batal.

Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 11 September lalu bagi membatalkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi di sini pada 8 September lalu, berdasarkan petisyen dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai.

Parlimen Pensiangan, kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu mempunyai kira-kira 19,000 pengundi dengan majoritinya masyarakat Murut.

Hakikatnya, beberapa parti politik di Sabah sudah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya itu.

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, khususnya UMNO sudah menyusun jentera dan hanya menunggu waktu untuk digerakkan.

BN umumnya sudah bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil berkenaan dan yakin mampu mempertahankan kerusi itu.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman bulan lalu menyatakan jentera BN kini menunggu keputusan mahkamah sahaja untuk berfungsi.

Persoalannya ‘perang dingin’ antara Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan mengenai parti mana sepatutnya mewakili kawasan Parlimen itu boleh menjejaskan BN.

Kedua-duanya mempunyai kekuatan sendiri, namun jentera parti mana lebih berfungsi yang menjadi perdebatan.

Apa pun apabila BN negeri sudah menyatakan kesediaan, soal jentera parti – sama ada PBRS atau juga PBS – tidak lagi timbul kerana parti yang bertanding akan mewakili BN.

Sementara, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program perjumpaan dengan pemimpin PKR Sabah di Kota Kinabalu, menyatakan kesediaan untuk bertanding.

Selain itu, Parti Maju Sabah (SAPP) yang sudah keluar dari BN Sabah juga dikatakan berminat meletakkan calon bagi mencuba nasib di kerusi berkenaan.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada calon bebas turut akan bertanding jika pilihan raya kecil berkenaan diadakan.

Laporan Berita Harian hari ini menyebut, September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, David Wong Dak Wah, membuat keputusan berkenaan berdasarkan petisyen pilihan raya dikemukakan Andipai pada 9 April lalu yang meminta mahkamah mengiystiharkan keputusan bagi Parlimen Pensiangan tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada penamaan calon 24 Februari tahun lalu, Pegawai Pilihan Raya (RO), Bubudan OT Majalu, mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Andipai lewat mengemukakan borang pencalonan.

Ketika bertanding pilihan raya umum lalu, Kurup yang juga Presiden PBRS melepaskan kerusi DUN Sook yang dimenanginya pada 2004 untuk bertanding kerusi Parlimen Pensiangan.

TAK DAPAT PROJEK BISING, DAPAT PROJEK LAIN PULA…

Posted in BPR, PPRT, SABAH on January 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Entahlah, letih dengan kerenah mereka yang dapat projek kerajaan.

Kenyataan kesal oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Datuk Jainab Ahmad dengan tindakan segelintir kontraktor Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu diambil perhatian berat.

Jika perlu diambil tindakan drastik hingga sampai kepada tindakan BPR, buatlah.

Jangan bagi muka kepada kontraktor seperti yang disebut Jainab. Mereka ini cuba mengaut keuntungan berlebih-lebihan dalam melaksanakan projek itu.

Kata Jainab di Kota Kinabalu pagi ini: “Saya dapati kos rumah yang diperuntukkan bernilai RM40,000 sebuah tetapi rumah PPRT yang dibina tidak mencapai harga yang diperuntukkan.”

Sewajarnya nada kesalan Jainab perlu diambil perhatian berat oleh agensi yang menawarkan projek PPRT. Ini kerana Jainab dengan tegas menegur kontraktor terbabit supaya: “Jangan mengambil keuntungan kos hasil rumah yang dibina secara melampau tanpa mengambil kira keselamatan penghuni yang mendiami rumah PPRT tersebut.”

Sebenarnya perkara seperti inilah yang menjadi punca rakyat marahkan kerajaan – Barisan Nasional (BN), UMNO dan apa juga parti komponen terbabit.

Akibat perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab, yang rosak nama ialah kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Malah, Jainab yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai turut meminta kontraktor-kontraktor supaya tidak membina rumah di kawasan lereng bukit bagi mengelakkan kejadian luar jangka termasuk tanah runtuh.

Dalam hal ini, beliau menasihati kontraktor supaya sentiasa mendapat maklum balas dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum melaksanakan projek perumahan PPRT.

Sambil memberi contoh pembinaan rumah PPRT di lereng bukit berdekatan kawasan Kampung Tebobon, dekat Kota Kinabalu, Jainab berkata projek itu bakal mengundang perkara yang tidak diingini kepada penduduk kampung yang akan menduduki rumah tersebut.

“Sebelum berlaku apa-apa, kita perlu berhati-hati.

Kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan perumahan yang berlaku di Semenanjung seharusnya diambil sebagai iktibar untuk kita merancang pembinaan rumah PPRT secara teratur,” katanya.

Saya berharap akan lebih ramai wakil rakyat atau juga yang berpangkat Pembantu atau Timbalan Menteri dan Menteri berani seperti Jainab.

Syabas dan tahniah kepada Jainab.

Fikirkan pasal rakyat ramai bukan satu dua kontraktor yang sudah mendapat ‘habuan’ kerajaan tetapi tidak memikirkan kepentingan rakyat.

Bukan sahaja mereka ini pentingkan diri tetapi juga boleh mencemarkan nama kerajaan dan meranapkan BN.

JASA UMNO SABAH PERLU DIHARGAI

Posted in BN, SABAH, UMNO on November 12, 2008 by Hambali Abd Latiff

Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak terlepas memerhatikan pertandingan jawatan tertinggi dalam UMNO sekarang.

Bukan sekadar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja yang menjadi minat mereka.
Mereka memerhatikan bagaimana pemimpin UMNO Sabah ‘dilayan’ melalui pemilihan jawatan tinggi UMNO berasaskan kepada sumbangan UMNO Sabah sebagai tunjang kerajaan BN peringkat Pusat.

Mereka berharap UMNO Sabah diberikan layanan sewajarnya kerana kejayaan membangunkan Sabah yang memerlukan penilaian seadil-adilnya daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian di Semenanjung.

Perbincangan dengan beberapa orang pemimpin BN Sarawak menimbulkan beberapa perkara berikut:

1. Kemasukan UMNO ke Sabah bagaikan suatu rahmat kepada seluruh rakyat Sabah dan mereka mengundi BN. Persoalannya sejauh mana Kerajaan Pusat dan UMNO Pusat menghargai sumbangan mereka;

2. Sokongan padu kepada UMNO oleh pemimpin Sabah memerlukan ‘penghargaan setimpal’ dalam meletakkan pemimpin UMNO dalam hiraki UMNO Pusat;

3. Perpaduan pemimpin UMNO Sabah antara sebab Pakatan Rakyat gagal menumbangkan Kerajaan Pusat dan bagaimana pemimpin UMNO Sabah wajar ‘diperlakukan’;

4. Keteguhan dan kestabilan politik Sabah hasil kerjasama pelbagai kaum di Sabah melenyap dan ‘melumpuhkan gerakan’ menuntut dan membawa Sabah keluar dari Malaysia yang kedengaran begitu kuat sebelum ini. Ini juga sumbangan UMNO Sabah yang menjamin paksi kuasa berada dalam keadaan teguh;

5. Pemimpin UMNO bukan meminta banyak. Seperti ditegaskan oleh Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini, pemimpin UMNO Sabah hanya meminta kerusi Naib Presiden dan Majlis Tertinggi sahaja, selain jawatan untuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Kata seorang pemimpin BN Sarawak, jika UMNO melihat pentingnya kerjasama dan sumbangan UMNO Sabah, kedudukan pemimpin UMNO Sabah perlu dihargai dan diiktiraf.

“Jika pemimpin UMNO Semenanjung hanya mementingkan kalangan mereka sahaja dan membelakangkan sumbangan pemimpin UMNO Sabah dalam UMNO, pemimpin BN Sarawak bimbang mereka juga akan diperlakukan sedemikian,” katanya di bangunan Parlimen.

Untuk pemilihan kali ini, bagi jawatan Naib Presiden, Shafie menjadi calon tunggal dari Sabah yang berdepan dengan tiga calon Johor dan seorang masing-masing Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Paling hampir calon UMNO Sabah memenangi kerusi Naib Presiden ialah lapan tahun lalu apabila percubaaan Datuk Seri Osu Sukam gagal.

Sementara daripada 73 layak bertanding Majlis Tertinggi, enam yang layak dari Sabah ialah Datuk Seri Musa Aman Datuk Lajim Ukin, Datuk Anifah Aman, Bung Moktar Radin. Datuk Masidi Manjun dan Datuk Seri Salleh Said Keruak melebihi 10 pencalonan atau 5 peratus kuota kelayakan.

Kelmarin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yahya Hussin mengakui sumbangan UMNO sebagai tunjang kerajaan Barisan Nasional serta kejayaan membangunkan Sabah menjadi bukti kemasukan parti itu ke negeri itu suatu rahmat kepada seluruh rakyat.

Katanya, sejak parti itu bertapak di negeri ini kira-kira 17 tahun lalu, pelbagai perubahan dapat dilihat pada hari ini. Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, antara kejayaan besar UMNO di Sabah ialah memperjuangkan nasib golongan bumiputera Islam dan bukan Islam.

“Sebelum ini kita (UMNO) adalah pembangkang di Sabah, kita ditekan tetapi kini kita telah pun buktikan. Tentunya masih teringat bagaimana keadaan kita ketika menjadi pembangkang dulu. Kita boleh tengok (parti pemerintah masa itu) pilih kasih, banyak daripada kita tidak dinaikkan pangkat, malah biasiswa ditarik dan pelajar kita di luar negara pun dipanggil balik.

“Tetapi apabila UMNO memerintah, semua itu tidak berlaku lagi,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Putatan di Wisma Pertanian di Kota Kinabalu kelmarin. Pada persidangan itu, beliau mengekalkan jawatan apabila menang tanpa bertanding.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, UMNO hari ini semakin bertapak kukuh di Sabah dengan mempunyai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri, meskipun bermula dengan 18 kerusi.

Pada 2 November lalu, Shafie berkata satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin UMNO Sabah sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu berkata, pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan UMNO sebagai tunggak BN perlu diiktiraf dengan meletakkan seorang daripada pemimpin UMNO di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.

“Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Di Dewan Rakyat kini, UMNO Sabah mempunyai 13 kerusi dan menjadi penyumbang kedua terbesar di Dewan Rakyat selepas Johor.

Tidakkah ini menggambarkan betapa sumbangan UMNO Sabah itu memerlukan pengiktifan sewajarnya terhadap kepimpinan negeri itu?

LAJIM JANGAN DIACAH

Posted in SABAH, UMN O on October 26, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tahniah Datuk Seri Lajim Ukin.

Bukan sahaja kerana berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Umno bahagian Beaufort yang disandangnya sejak 1995 sahaja tetapi kejayaan itu tidak akan menyusahkan Perdana Menteri untuk mencari pengganti.

Lajim, 53, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Majlis Tertinggi kini akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua UMNO bahagian itu selain sebagai Timbalan Menteri.

Perlantikannya ke jawatan pusat dibuat Perdana Menteri selepas dua pemimpin UMNO Sabah menolak tawaran dan pemilihannya sebenarnya tepat dengan pengalaman dan sumbangannya kepada UMNO Sabah.

Apa yang menarik mengenai Lajim ialah dia juga pernah membuat keputusan penting yang menyebabkan tergoleknya kerajaan PBS.

Lajim adalah pemimpin PBS paling awal ‘meninggalkan PBS’ untuk menyertai Barisan Nasional dan jasanya kepada UMNO juga amat besar.

Keputusan penting dibuatnya membolehkan kerajaan BN dibentuk dengan Ketua Menterinya, Tun Sakaran Dandai dan kemudian Datuk Seri Osu Sukam dan seterus dan seterusnya melalui penggiliran.

Namun, apabila Kerajaan Negeri berjaya dibentuk, ada yang berpendapat beliau sering ‘diketepikan’ dalam Kabinet Sabah, termasuklah di bawah kepimpinan Datuk Seri Musa Aman yang menyebabkan beliau hampir ‘kecewa’.

Apa pun tuah tetap berada di pihaknya apabila ada yang enggan menerima perlantikan sebagai Timbalan Menteri dari Sabah, beliaulah yang dipilih oleh Perdana Menteri.

Jangan menganggap oleh kerana beliau sebagai ‘pemain pengganti’, Lajim tidak penting dan mudah untuk digertak atau diacah untuk dilawan.

Mengejutkan juga apabila pada majlis perasmian persidangan perwakilan Umno bahagian itu di sebelah pagi kelmarin beliau mengumumkan akan meletak jawatan sebagai timbalan menteri jika gagal mempertahankan jawatannya.

Beliau berhadapan dengan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun, yang menyatakan hasrat berlawan dengan Lajim untuk Ketua Bahagian.

Menurut Lajim, beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyerahkan surat perletakan jawatannya sekiranya tidak dipilih semula sebagai Ketua Bahagian itu.

Katanya: “Saya bukan gila kuasa. Tetapi lebih baik saya undur diri (letak jawatan) dan beri peluang kepada orang lain kalau saya kalah bertanding ketua Bahagian.
Saya rasa janggal untuk memegang jawatan timbalan menteri,’ katanya.
Akhirnya beliau berjaya mengatasi pencabarnya, dengan majoriti 205 undi.

Daripada 555 perwakilan yang mengundi, Lajim meraih 378 undi manakala Azizah Timbalan Menteri Pengangkutan mendapat 173 undi, sementara empat undi rosak.

Itulah Lajim, sikap berani dan kata putus olehnya akhirnya memberikan kemenangan dan kelebihan kepadanya.

Lajim benar-benar pemimpin politik yang mengamalkan pepatah ‘ alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.’

SHAFIE AFDAL DARIPADA SUDUT KEUTUHAN UMNO/BN

Posted in BN, SABAH, Shafie, UMNO on October 23, 2008 by Hambali Abd Latiff

Jika tembok besar menjadi penghalang kepada kejayaan serangan bala tentera Mongol terhadap kerajaan Dinasti Ming, begitulah fungsi UMNO Sabah dalam konteks serangan pembangkang dalam membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Malaysia.

Walaupun mungkin ada yang memperlekehkan perbandingan ini, namun yang nyata, UMNO Sabah begitu penting dan banteng kepada Barisan Nasional (BN).

Ini kerana dengan 13 kerusi yang dimiliki UMNO Sabah di Parlimen, ia ibarat pendinding dan pelindung kerajaan BN daripada ditumbangkan.

Daripada 140 kerusi BN di parlimen, 51 dimenangi di Sabah dan Sarawak. Parti-parti pembangkang memilki 82 kerusi – setiap satu di Sabah dan Sarawak.
Dalam konteks UMNO pula, ia kini mempunyai 79 kerusi di Semenanjung dan Sabah.
Daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 13 milik UMNO, 4 UPKO, 3 SPDP, 2 SAPP dan satu masing-masing PBRS, LDP dan DAP.

Sebelum 16 September 2008, ramai yang menumpukan perhatian kepada Sabah khususnya di kalangan pembangkang kerana menganggap wakil rakyat dari Sabah mudah dibeli.
Analoginya diasaskan kepada pemilihan 1993.

Maksudnya di sini, pada tahun berkenaan, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasratnya melawan Timbalan Presiden UMNO ketika itu – Tun Ghafar Baba – Sabah menjadi tumpuan orang Anwar kerana perwakilan Sabah boleh menentukan undi untuk memihak kepada bos mereka.

Yang nyata, usaha digemblengkan oleh penyokong Anwar dan hebohlah kononnya ‘pink form’ berterbangan melepasi Laut China Selatan ke Sabah dan kerana itu masih melekat di kepala sesetengah orang UMNO dan pembangkang – khususnya penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) – ‘orang politik Sabah khususnya UMNO mudah dibeli!”

Akibatnya, walaupun Ghafar adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah ketika itu, Anwar mendapat sokongan hampir 99 peratus daripada UMNO Sabah.
Ghafar akhirnya mengalah dan dengar ceitanya akibat perbuatan itu, Ghafar tidak memaafkan perbuatan Anwar sehinggalah beliau menutup mata untuk selama-lamanya!

Andaian kejayaan ‘projek pink form’ inilah sebenarnya yang menyebabkan PKR dan Anwar sendiri begitu yakin dapat membentuk kerajaan pada 16 September melalui ‘projek melompat’ ke dalam PKR.

Dan teori serta pengalaman inilah dijual kepada anggota pembangkang yang lain khususnya Pas dan DAP bahawa Pakatan Rakyat mampu membentuk Kerajaan Pusat apabila anggota BN Sabah menyeberang selepas dilaksanakan projek seperti ‘pink form’ pada 1993.

Namun yang nyata, pada 2008, kejadian atau peristiwa seperti 1993 itu sudah ‘tidak laku dan enggan dilayan oleh pemimpin Sabah’ sama ada dari UMNO atau komponen lain dalam BN.
Kenapa berlaku sedemikian?

Pada saya, kepimpinan baru Sabah hari ini sedar bahawa banyak mudaratnya proses memberikan undi secara ‘rasuah’.
Mereka kini sukar digula-gulakan dan pendirian tegas pemimpin UMNO Sabah menolak rasuah politik sewajarnya dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Mereka juga sudah belajar bagaimana kerana silap memberikan undi, banyak masalah politik timbul selepas 1993 dan kesannya masih dirasai hingga ke hari ini.
Dengan kedudukan di mana BN sukar digugat dan kerana faktor Sabah, kerajaan BN terus berdiri tegak dan sekukuh KLCC atau Menara Telekom atau juga Tembok Besar China, personaliti tertentu di Sabah jangan diperlekehkan.

Sumbangan mereka besar dan jangan ada perbuatan memperkecil dan memperlekehkan mereka. Dengan kedudukan itu UMNO Sabah berada di tangga kedua menyumbangkan kerusi UMNO paling banyak di Parlimen selepas Johor sebanyak 16 kerusi UMNO daripada 26 kerusi Parlimen dari negeri itu.

Pemimpin Sabah seperti, Datuk Seri Shafie Afdal, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Lajim Okin, Datuk Anifah Aman, Datuk Abdul Ghafur Salleh serta banyak lagi memang memberikan sumbangan besar.Pemimpin seperti Shafie yang lima penggal berada dalam Majlis Tertinggi UMNO dan menang melalui pertandingan hendaklah diambil kira.
Begitu juga pemimpin lain dari Sabah yang masih kekal memberikan sumbangan, hendaklah juga diberikan perhatian.

Dengan kedudukan dan sumbangan sedemikian, apakah kita patut teragak-agak untuk meletakkan mereka di tempat yang sewajarnya?Yang pasti kini Shafie yang akan bertanding Naib Presiden sudahpun melepasi kuota pencalonan dan sewajarnya UMNO Sabah bersatu menjamin kemenangan Shafie selepas Datuk Seri Osu Sukam hampir mencapai kemenangan untuk Naib Presiden pada pemilihan 2000.

Sewajarnya pemimpin Sabah bersatu di bawah satu jentera untuk menjamin kemenangan Shafie dan beberapa pemimpin lain yang bertanding untuk kerusi Majlis Tertinggi UMNO.
Jika pemimpin Sabah menang, ia bukan untuk Sabah sahaja.
Dan apa ruginya sekiranya Shafie diberikan jawatan Naib Presiden UMNO kerana bukankah ini pengiktirafan terhadap Sabah?

Ia pastinya untuk Malaysia dan demi kerajaan BN yang kukuh dan stabil.
Dengan kestabilan, kerajaan mampu membawa pelbagai bentuk pembangunan untuk rakyat Sabah bagi membolehkan mereka maju dan setanding dengan rakan mereka di Semenanjung.
Juga penting untuk dilihat ialah, jika UMNO Sabah kukuh dan bersatu melalui faktor Shafie, kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri (sehingga ini yang dilihat dan dengan izin Allah adalah Datuk Seri Mohd Najib Razak) selepas Mac 2009 akan menjadi lebih terjamin kerana UMNO Sabah ‘solid’ menyokong kepimpinan beliau.

Yang nyata, sehingga kini UMNO Sabah dilihat sebagai penyelamat BN untuk terus berkuasa dan fungsi itu akan lebih terserlah jika ada pemimpin Sabah, khususnya Shafie menjadi Naib Presiden. Sabah tidak meminta lebih dengan meletakkan calon untuk menjadi Timbalan Presiden atau lebih tinggi tetapi hanya sekadar peringkat Naib Presiden. Kebetulan dua lagi Naib Presiden kemungkinan besar adalah dari Semenanjung.

Adalah adil dan wajar jika satu kerusi Naib Presiden diberikan kepada Sabah yang kebetulan Shafie bertanding bagi pihak Sabah.Pemimpin UMNO Sabah perlu berfikiran jauh dan melupakan sengketa sesama mereka jika ada bagi menjamin kemenangan calon Naib Presiden mereka. Ini kerana peluang kedua ini tidak lagi boleh terlepas begitu sahaja.
Lagipun, dengan angin perubahan yang melanda sekarang dan kebetulan Shafie mendapat pencalonan yang baik, sewajarnya peluang ini dipergunakan sepenuhnya.

Bagi pemimpin UMNO dari Semenanjung, tiada cara terbaik pada musim pemilihan ini selain memberikan kemenangan kepada UMNO Sabah untuk salah satu jawatan tinggi.
Hendaknya, janganlah pemimpin UMNO Semenanjung bersikap orang yang tidak tahu membalas budi kerana dengan adanya kesetiaan dan sikap setiakawan UMNO Sabahlah, kerajaan BN bertahan.

Dan melalui setiakawan UMNO Sabahlah, ramai pemimpin UMNO Semenanjung terus menikmati habuan seperti jawatan penting dalam kerajaan dan agensi-agensi, selain keusahawan dan perniagaan dapat dinikmati kerana Kerajaan Pusat terus berdiri!

FAKTA:

18 Mac 2008 – Sekarang : Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

2004 – 2008 : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

1999 – 2004 : Timbalan Menteri Pertahanan Mei

1999 – Dis 1999 : Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

1995 – 1999 : Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan

1991 – 1993 : Setiausaha Politik Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi