Archive for the MB Category

WAN AHAMAD DALAM PENTADBIRAN & POLITIK TERENGGANU

Posted in Ahmad said, MB, SUK, Terengganu on January 3, 2010 by Hambali Abd Latiff

(Bahagian Pertama)
Ketika ini ada ada pihak menjaja nama Wan Ahamad Wan Muda – Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Terengganu – sebagai akan mengambil alih jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu menggantikan Datuk Mokhtar Nong.

Bagi saya tujuannya bukan untuk positif tetapi negatif. Nak mengutuk ‘Mat Said’ lah tu!

Dari mana sumber dipetik dan siapa menyiarkan berita entahlah…tapi orang di Pejabat SUK ada menceritakannya walaupun hakikatnya ia tidak benar walaupun 10 peratus.

Yang menarik pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini – 21 – 23 Disember 2009, nama Wan Ahamad ditimbulkan oleh ADUN Barisan Nasional (BN) dan sudah pastilah soal negative.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said terpaksa mempertahankan Wan Ahamad dan kenapa beliau dilantik.

Bagi mereka yang ‘tak selesai’ dengan Wan Ahamad, akan tetap mengungkit Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar ini dan paling menonjol melalui beberapa blog milik mereka yang terang-terangan menentang Ahmad Said atau juga melalui pembantu atau ‘macha-macha’ mereka, termasuklah sebuah blog seorang guru yang banyak mempertikaikan dasar-dasar kerajaan negeri.

Melalui satu blog bekas pegawai kanan Datuk Din Adam ketika menjadi Exco kerajaan negeri di bawah tajuk ‘Yang Popular & Terpopular’ (21 November 2009), entri berkenaan menyebut:

“MB Mat Said kehilangan seorang lagi orang kuat dan orang kanan yang boleh dikatakan amat dipercayai dan 100 peratus cakap-cakapnya dipatuhi oleh MB Mat Said. Orang kuat kedua ini menjadi amat berkuasa dan digeruni oleh banyak orang dalam pentadbiran kerajaan negeri, sehinggakan bos nombor satu dalam pentadbiran negeri pun seperti kehilangan kuku serta tidak mampu untuk mengatasi orang ini. Demikian hebatnya ‘budak tingkat 16’ ini. Demikian berpengaruh dan berkuasanya orang yang juga mendapat ‘jawatan baru’ sebagai Menteri Besar Kedua (MB2) sepanjang berada di Tingkat 16 Wisma Darul Iman itu. Dan sekarang MB Mat Said telah kehilangan lagi. Sama ada sengaja dihilangkan mahupun terhilang, yang pasti ‘budak tingkat 16’ ini sudah sah menghilangkan diri. Bagaimana kaedah ‘menghilangkan’ budak tingkat 16 atau MB2 ini, hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu. Pun demikian, khabarnya budak tingkat 16 ini telah di…….. (diluluskan atau diarahkan atau diminta atau disyorkan atau dipohon atau dihalalkan cara – pilih satu yang paling sesuai) untuk melanjutkan pelajaran. Di mana, ke mana dan berapa lama, itu kena tanya MB Mat Said.”

Cara penulisan dengan menggunakan perkataan seperti ‘100 peratus cakap dipatuhi’, “amat berkuasa dan digeruni”, ‘bos nombor satu dalam pentadbiran negeri seperti kehilangan kuku’ serta “di mana, ke mana dan berapa lama” (melanjutkan pelajaran), memberikan kesan negatif kepada pentadbiran dan nama Ahmad Said sendiri.

Tujuan dan matlamat blog ini menimbulkan isu Wan Ahamad ini ibarat membaca buku nipis (mengambil istilah digunakan Ahmad Said untuk membandingkan cara mentafsir dalam politik – antara buku tebal dengan buku nipis).

Maknanya, buka muka surat pertama dan kedua sudah tahu tujuan atau isi penulisannya!

Walaupun penulisnya membiarkan persoalan dijawab sendiri tetapi matlamatnya jelas dan sudah pasti Wan Ahamad tahu untuk memberikan jawapan, mungkin di mahkamah!

Nama Wan Ahamad mula melonjak naik apabila isu pertukaran kakitangan kerajaan Terengganu (TCS) akhir tahun 2008 (mulai 1 Januari 2009).

Beliau dikatakan merancang pertukaran berkenaan, walaupun hakikatnya yang mengeluarkan senarai ialah bahagian.

Sepanduk-sepanduk yang digantung mempersoalkan ‘siapa yang mentadbir Terengganu sekarang”? Nama Wan Ahamad (ejaan salah di sini) terpampang besar malah beliau dikatakan bersekongkol dengan Wan Lutfi dan Husin Botak. Nama lain tidak penting tetapi

Selepas isu itu reda beberapa ketika, tup-tup nama Wan Ahamad melonjak lagi. Kali ini lebih hebat.

Beliau dikatakan orang yang memiliki telefon bimbit yang menghantar sms ugut bunuh kepada beberapa ADUN yang menyebabkan wujudnya ‘Kumpulan 10’ yang memboikot sidang DUN Terengganu pertengahan tahun lalu.

(Ikuti bahagian kedua)

ROMBAKAN EXCO – BERITA PEMANAS MENJELANG SIDANG DUN?

Posted in Ahmad said, DUN, MB, Terengganu on July 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tergamam saya membawa blog www.teganuku.blogspot.com kelmarin yang membawa tajuk “Tiada rombakan exco dalam tempoh terdekat – MB Terengganu”.

Ingatkan ia soalan semata-mata dan apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengatakan tiada rombakan, ia tidak menjadi bahan berita.

Akhbar harian tempatan di Terengganu menjadikan jawapan Menteri Besar itu sebagai tajuk utama. Bagi saya mungkin kerana tidak ada isu politik yang panas di Terengganu sehari dua ini maka soalan ‘cepu emas’ seperti itu itu mampu menghidangkan bahan untuk berita lebih panas.

Saya tidak faham bagaimana wartawan boleh tanya soalan mengenai rombakan Exco.

Kata orang, tiada angin dan tiada rebut, tiba-tiba soalan diajukan kepada Menteri Besar selepas mesyuarat Exco petang Rabu (kelmarin).

Seperti biasa Ahmad Said tenang tetapi di wajah setiausaha akhbarnya, Rosli Zakaria, nampak gusar dengan soalan yang tidak diduga sama sekali. Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam tenang seperti bosnya juga.

Ketika berbual dengan wartawan Bernama dan The Star sebelum itu, saya ditanya apakah mendengar sesuatu mengenai perkara itu. Oleh kerana memang tidak dengar apa-apa, saya tidak begitu melayan tajuk berkenaan kerana ada dua tiga perkara lain lebih penting.

Namun ternyata bagi beberapa wartawan Terengganu –soalan itu memang sudah tersedia untuk ditanya. Apakah ia soalan ‘planted’ atau memang ada desas desus di mengenai perkara itu.

Yang pasti, selepas mesyuarat Rabu lalu tidak nampak pun sebarang tanda ada ‘krisis Exco’. Yang tidak hadir mesyuarat pula bukan memulaukannya tetapi kerana ada tugas di luar negara.

Bagi saya oleh kerana suasana politik di Terengganu ketika ini dingin sedikit dan cerita ini mungkin sebagai pemanas berita menjelang pertengahan Ogos apabila sidang DUN akan diadakan.

Apapun, Ahmad Said menafikan dakwaan akan ada rombakan barisan Exco.

Tidak timbul persoalan untuk memperkuatkan jentera pentadbiran, selain menyingkirkan anak buah yang tidak ‘sebulu’ dengannya.

Itu bukan gaya kepimpinan Ahmad Said kerana baginya selepas beliau melantik dan diperkenankan istana semua pihak harus bekerja sebagai satu pasukan menjayakan misi ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Jika ada yang mahu menikam atau menembak dari belakang itu Ahmad Said tidak ambil peduli. Yang penting agenda pentadbiran dan pembangunan yang menekankan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya perlu dilaksanakan.

Mereka perlu diberikan peluang dan kini baru masuk setahun setengah dan tidak wajar mengatakan mereka lemah atau tidak membantu Menteri Besar.

Sambil menegaskan perkara itu tidak pernah berbangkit, Ahmad berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan barisan Exco sedia ada dan tidak pernah merancang untuk membuat rombakan.

“Siapa kata? (rombakan Exco). Setakat ini semuanya (pelaksanaan tugas Exco) berjalan dengan sempurna. Kita berilah peluang pada mereka (Exco) sekurang-kurangnya pegang jawatan satu penggal. Kalau satu setengah tahun nak tengok prestasi memanglah tak dapat.

“Tidak adillah jika (baru) setengah jalan kita tukar (barisan Exco). Buat masa ini, saya berpuas hati dengan kerjasama serta prestasi mereka (Exco) dan tidak ada perancangan untuk membuat perubahan barisan Exco,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Khabar mengenai kemungkinan Ahmad Said merombak barisan Exco tersebar luas dan menjadi buah mulut orang ramai di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Hanya akhbar yang mengatakan Ahmad Said merancang merombak kepemimpinan beberapa Exco sedia ada bagi memperkukuhkan barisan pentadbirannya untuk mengurus dan merencana agenda pembangunan negeri.

Juga akhbar yang mengatakan wujud dakwaan bahawa Ahmad Said mahu menyingkirkan Exco tertentu yang tidak sealiran dan tidak boleh bekerjasama baik untuk membantunya memacu pembangunan Terengganu.

“Saya tidak tahu dari mana anda dengar berita ini. Setakat ini, saya berpuas hati dengan barisan Exco yang ada dan tidak pernah merancang untuk membuat rombakan. Kata orang, tahun pertama tahun bulan madu, tahun kedua baru nak laksana perancangan, jadi kita bagi masa pada mereka buktikan kemampuan,” katanya.

Memanglah banyak cakap-cakap bahawa pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Ahmad dikatakan agak goyah kerana tidak mendapat kepercayaan dan sokongan sebahagian besar wakil rakyat di negeri ini, terutamanya golongan yang sebelum ini menjadi penyokong kuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Namun mereka bukan kalangan Exco dan selepas mengangkat sumpah mereka seharusnya beriringan dengan Ahmad Said bukan melencong kepada pihak lain.

Kalaupun ada ‘musuh dalam selimut’ itu bukan masalah Ahmad Said. Yang harus dipersalahkan ialah Exco berkenaan kerana tidak ‘setia’ tetapi Menteri Besar tidak pernah pun menimbulkan rasa tidak puas hatinya kepada barisan Exco.

Kemelut politik di negeri ini yang bermula sejak Ahmad dilantik menggantikan Idris pada Mac 2008 memuncak pada April lalu apabila sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikatakan mahu mengemukakan usul undi tidak percaya kerana tidak puas hati dengan corak pentadbiran Ahmad yang dikatakan tidak telus dan membuatkan wakil rakyat berasa mereka dipinggirkan.

MOHD NIZAR MEROYAN LAGI

Posted in Harakah, MB, Nizar, perak on July 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Spin apa lagi ni? Oleh Harakahdaily atau oleh Mohd Nizar?

Kononnya akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak dalam masa terdekat untuk membolehkan pilihan raya baru diadakan.


Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang yang memang meroyan dan gila talak untuk menjadi Menteri Besar dipetik oleh Harakahdaily sebagai berkata, punca dibubarkan DUN ada dua:

1. Kerana prestadi kerajaan semakin dipertikai; dan

2. Ahli Parlimen dan wakil rakyat BN menyetujui berlaku kekalutan.

Yang aneh, Mohd Nizar tidak berani menyebut dengan jelas siapa ahli Parlimen dan wakil rakyat berkenaan?

Mohd Nizar melaungkan keyakinan keadaan yang kucar-kacir yang berlaku di Perak sejak rampasan kuasa berlaku kini semakin membimbangkan dan menyebabkan pembubaran DUN terpaksa dilakukan.

Menurut Harakahdaily tanpa menyebur atau memetik sesiapa mengatakan “Keyakinan beliau itu berasas kerana prestasi kerajaan yang memerintah di Perak hari ini semakin dipertikai.

Kerajaan sedia ada juga dikatakan tidak mampu mentadbir dengan baik berikutan situasi yang tidak tentu hala yang melanda negeri tersebut.”

Pelikkan cara reporting seperti ini, seolah-olah Harakahdaily pula jadi jurucakap.
Mohd Nizar berpendapat paling tragis dalam masa terdekat juga Sidang DUN Perak perlu diadakan berhubung kelulusan Belanjawan 2010 yang pastinya sekali lagi akan mengundang kekecohan.

Kekecohan apa? Siapa akan membuat kecoh?

Mengenai Bajet ini, kerajaan pembangkang di Perak pernah embentangkan Bajet Negeri Perak bagi tahun 2009 berteraskan prinsip adil, amanah, telus, wibawa dan berkebajikan untuk kemakmuran negeri dan rakyat tanpa membezakan fahaman agama, bangsa dan fahaman politik.

Bagaimanapun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak ketika itu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Hulu menganggap Bajet 2009 Kerajaan Negeri Perak itu tidak menampakkan apa-apa kelebihan atau keistimewaan malah ia bersifat ‘lebih kulit daripada isi.’

”Itulah sebabnya semasa membahaskan bajet tersebut saya katakan bajet yang dibentangkan itu hambar, daif, tidak produktif dan non-developmental. Bolehkah matlamat hendak memakmurkan rakyat dan negeri Perak tercapai kalau peruntukan pembangunan dalam bajet itu dikurangkan?

”Bagaimana dasar negeri berkebajikan boleh diteruskan kalau sumber pendapatan negeri tidak mampu dipertingkatkan melalui langkah-langkah yang produktif dan membangun,” katanya pada November lalu.

Menurut Harakahdaily semalam, Nizar turut mendedahkan beberapa ahli Parlimen dan wakil rakyat BN turut menyetujui kekalutan yang berlaku di Perak boleh diselesaikan hanya dengan pembubaran Dun Perak bagi membolehkan pilihan raya kecil negeri diadakan.

Media rasmi PAS itu mengatakan keyakinan DUN Perak akan dibubarkan berdasarkan apa yang diperkatakan Mohd Nizar itu selain Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang mendedahkan akan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak.

Sebelum ini Halim yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa dalam wawancaranya bersama Harakah ada mendedahkan bahawa pembubaran Dun Perak mungkin akan berlaku selepas PRK Manik Urai.

“Saya menjangkakan pilihan raya Negeri Perak mahu atau tidak akan diadakan, sebab itu kita cadang mahu buat persiapan apa yang patut hadapi pilihan raya Perak,”tegasnya.

Berikutan itu beliau turut menyatakan betapa pentingnya JPP yang dikendalikan, bersedia awal dengan memantapkan ahli-ahli jawatankuasa mengenai ilmu pilihan raya.

TIDAK BUBAR DUN PERAK – TINDAKAN SULTAN BETUL

Posted in MB, perak, Sultan on June 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sumber Bernama

Tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah betul kerana dewan itu baru sahaja berumur setahun, kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Md Raus Sharif.

Dalam penghakiman 49 muka surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini, Hakim Raus berkata bagi membolehkan dewan itu dibubarkan mengikut Artikel 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak seperti yang dimohon oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dewan itu perlu menamatkan tempoh lima penggal apabila satu pilihan raya bakal diadakan.

“Faktanya sudah diketahui umum bahawa pilihan umum baru sahaja diadakan setahun lalu,” katanya dalam penghakiman bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan Jumaat.
Hakim Raus berkata peruntukan yang dipohon Nizar adalah tidak betul apabila memohon supaya dewan dibubarkan.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Nizar telah memohon pembubaran itu mengikut Artikel 36, yang adalah peruntukan biasa yang memberi kuasa kepada Sultan untuk memprorog atau membubarkan dewan selepas tempoh lima penggal berakhir.

Dalam penghakimannya hari ini, Raus berkata persoalan Perak mempunyai dua menteri besar tidak timbul dan ini kerana Artikel 16 (6) menuntut bahawa sebaik menteri besar itu tahu beliau tidak mendapat keyakinan di kalangan anggota dewan, beliau sepatutnya mengambil langkah yang terhormat dengan meletakkan jawatan.

“Jika menteri besar enggan atau tidak menyerahkan peletakan jawatannya dan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seperti dalam kes ini, ia tetap kekal bahawa Ahli Majlis Mesyuarat telah dibubarkan (yang termasuk menteri besar) bahawa majoriti angota dewan telah hilang keyakinan terhadap menteri besar itu.” katanya.

Oleh itu, Raus berkata oleh itu Sultan tidak perlu untuk menyingkirkan Nizar dan anggota lain majlis mesyuarat kerajaan.

Katanya pelantikan Dr Zambry dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan amalan demokrasi.

“Sultan Perak, dalam menjalankan kuasa prerogatifnya mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, adalah bebas untuk melantik menteri besar yang lain menggantikan Nizar,” katanya.

Raus berkata Sultan, bagaimanapun, mesti melantik seseorang yang mendapat keyakinan majoriti anggota dewan negeri dan dalam kes ini, tidak syak lagi Dr Zambry mendapat sokongan majoriti daripada 31 daripada 59 anggota dewan.

“Keadaan dalam kes ini jelas menunjukkan bahawa pada 5 Feb, Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada anggota dewan negeri. Surat yang menyatakan sokongan 31 anggota dewan kepada Barisan Nasional telah diserahkan kepada Sultan Perak,” katanya.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Artikel 16 (6) tidak menunjukkan keperluan mandatori bahawa usul undi tidak percaya yang diluluskan oleh dewan terhadap seorang menteri besar sebelum ia gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan.

“Sebenarnya apabila seorang menteri besar gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan boleh ditentukan dengan cara lain. Ia tidak perlu semata-mata bagi undi yang dibuat di dalam dewan,” katanya.

Sementara itu, Hakim Ahmad Maarop, yang bersidang dalam kes itu bersama Raus, dan Zainun berkata Nizar mesti meletak jawatan sebaik gagal mendapat keyakinan majoriti anggota dewan dan apabila Sultan enggan memenuhi permohonannya untuk membubarkan dewan.

“Keenganannya untuk meletak jawatannya dan anggota Majlis Mesyuarat kerajaan bukanlah satu pelanggaran konvensyen dan tidak demokratik tetapi lebih penting, ia melanggar arahan perlembagaan mandatori di bawah Artikel 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri dan oleh itu tidak berperlembagan.

“Oleh itu, oleh kerana ia tidak dapat menguasai keyakinan majoriti anggota dewan, ianya tersirat bahawa keenganannya untuk meletak jawatan, anggota majlis mesyuarat kerajaan adalah terbubar dan jawatan menteri besar dikosongkan.”.

Ahmad berkata beliau juga berpandangan bahawa kuasa Sultan untuk membuang menteri adalah tersirat semasa menteri besar enggan meletak jawatan walaupun ia gagal mendapat keyakinan majoriti dan Sultan menggantung permintaannya untuk membubarkan dewan.

“Dalam penghakiman saya, keadaan yang dihadapi Baginda di Perak adalah satu-satunya keadaan dan baginda dalam keadaan kritikal telah melaksanakan kuasa perlembagaannya mengikut undang-undang tubuh negeri, yang telah dilaksanakan tanpa ragu-ragu, semata-mata untuk kepentingan rakyat negeri Perak,” katanya

Penghakiman Datuk Zainun Ali pula akan dikeluarkan pada Isnin.

Pada 22 Mei, Mahkamah Rayuan dengan tiga hakim yang bersidang diketuai Raus membenarkan rayuan yang dibawa oleh pesaing Nizar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah menteri besar Perak yang sah.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permintaan Nizar untuk membuat rayuan pada 9 dan 10 Julai.

Mohamad Nizar dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihan raya umum ke-12.

Tidak sampai setahun, mereka kehilangan tiga anggota parti yang mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Nizar untuk meletak jawatan dan melantik Dr Zambry selepas mendapati bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan negeri.

Berikutan itu, Nizar memohon supaya mahkamah mengisytihar dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan untuk mendapatkan injunksi melarang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.

UMNO TERENGGANU – SIAPA LAYAK?

Posted in Ahmad said, MB, Terengganu, UMNO on June 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Menarik juga sidang media Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika menjawab soalan pemberita mengenai kepimpinan UMNO Terengganu, di Tingkat 16 semalam.

Mungkin bagi pemberita yang tidak dapat menangkap apa yang tersirat di kepala Ahmad Said, mereka tidak boleh membuat sebarang berita atau analisis.

Memangpun sukar untuk membuat analisis. Pertama ia kurang mampu dilakukan pemberita masa kini dan kedua mungkin pengarang di Kuala Lumpur enggan pakai analisis kalau bukan daripada pemberita atau wartawan pengalaman.

Namun dengan kehadiran wartawan yang sudah agak lama di Terengganu pada sidang media itu umpamanya Saudara Helmi (Bernama), Aziah (Utusan Malaysia) dan Wan Ramli Wan Muhamad (Utusan Malaysia), saya mengharapkan ada sesuatu perkara yang akan ditimbulkan oleh mereka mengenai tajuk ini.

Ahmad Said hanya menjawab ‘tidak tahu’ bila Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri akan diadakan, ‘tidak tahu’ siapa akan dilantik dan ‘tidak tahu’ mengenai kemungkinan dua orang kuat yang dilantiknya, iaitu Setiausaha dan Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri akan diganti.

Jawapan itu bagi saya bukan untuk mengelak spekulasi tetapi meminta wartawan mentafsir dan membuat andaian berasaskan perkembangan semasa politik Terengganu dan nasional seluruhnya.

Selain pergolakan dalam UMNO dan ‘kuasa melantik’ kini beralih ke Kuala Lumpur dan bukan Kuala Terengganu selepas Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, PAS Terengganu kelmarin dengan jelas sudah menyatakan matlamat perjuangan mereka.
PAS Terengganu dengan penuh yakin sudah menetapkan bahawa kepimpinan baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan KERAJAAN BARU.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib yakin dengan gandingan pimpinan baru yang mantap dari pelbagai lapangan dan bidang professional, PAS mampu menang dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

”InsyaAllah, agenda utama selain memperkuatkan parti ialah mengambil alih (kerajaan) atau mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan kerajaan,”katanya dalam sidang media khas di Pejabat PAS Terengganu semalam.

Dalam kegawatan politik yang melanda PAS Pusat ketika ini, PAS Terengganu menunjukkan kepada rakyat Terengganu, mereka mantap dan wujud perpaduan di kalangan mereka – matlamatnya KERAJAAN BARU menggantikan Kerajaan Barisan Nasional (BN).
UMNO pula bagaimana?

Yang nyata ia masih terkial-kial dan mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi melantik ‘petugas UMNO’ di Terengganu masih belum diumumkan.

Apakah Hishamuddin sukar membuat pilihan kerana ramai yang berwibawa atau ramai yang tidak berwibawa dan meninggalkan kumpulan yang dikira kurang mantap untuk menjamin kemenangan kepada UMNO dan BN?

Laman web dan pencacai politik mula meramalkan bahawa dua Datuk R – Setiusaha dan Bendahari Rosli Mat Hassan dan Roslan Awang Chik – akan digugurkan dan digantikan dengan muka baru.

Begitu juga dengan lantikan-lantik ahli jawatankuasa lain, termasuklah juga Datuk Zuber Embong sebagai Ketua Penerangan.

Namun ada persoalannya. Pertama, siapa yang layak; Kedua, mampukah mereka memenangkan UMNO kerana yang dilantik dijangka akan kekal sehingga pilihanraya umum akan datang dan beberapa orang daripada mereka akan menjadi calon; dan Ketiga, bagaimana mereka akan menyumbang kepada kekukuhan kepimpinan negeri yang akan memberi kesan kepada kedudukan Hishamuddin sebagai Naib Presiden UMNO dan Ahmad Said untuk jawatan UMNO di peringkat pusat.

Tetapi paling penting ialah soal pilihan raya umum akan datang.

Dalam konteks UMNO Terengganu ketika ini, jika Rosli dan Roslan atau Zuber tidak layak, siapa yang sebenarnya layak?

Ikuti Bahagian Kedua esok

PRINSIP DEMOKRASI TETAP SUBUR

Posted in demokrasi, MB, perak, PKR, Terengganu, UMNO on May 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hari ini saya mengajak penjenguk dan pelayar memahami apa yang ditulis melalui blog www.jaranganakmelayu1.

Ia sesuatu yang menarik untuk didalami dan difahami, khususnya dalam menyelami apa sebenarnya berlaku di Perak dan Terengganu.

Tulisan ini mungkin jawapan kepada penulisan lain dalam blog lain tetap mempunyai tajuk yang sama.

YANG TAK SERUPA DAN TAK SAMA

www.jaranganakmelayu1. blogspot.com (28 May 2009)

Prinsip Asas Raja Berpelembagaam dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Negeri-negeri di Malaysia ialah apabila parti politik yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan dan salah seorang ADUN daripada parti memerintah akan dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan menjadi Menteri Besar.

Contohnya di Perak, keputusan PRU 12, BN 28 kerusi dan PR 31 kerusi. PR telah membentuk kerajaan Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah melantik salah seorang ADUN PR daripada PAS iaitu YB. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Apabila 3 ADUN dari parti memerintah (2 Adun PKR dan seorang dari DAP) telahpun mengisytiharkan keluar parti masing-masing untuk menyokong BN dan menjadi calon bebas, BN telah bertukar menjadi parti majoriti dalam DUN Perak selaras dengan kenyataan Pengerusi BN Perak merangkap TPM (ketika itu), YAB Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan di Putrajaya bahawa BN sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan di Perak.

Pada 5 Feb. 2009 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan telah mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua Parti BN sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.

Dengan merujuk kepada Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan meyatakan bahawa ‘Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan …’

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya parti yang Nizar wakili hanya mendapat sokongan minoriti akibat daripada tiga ADUN PR keluar parti. Soal tidak meletak jawatan adalah bercanggah dengan Fasal di atas dan bukannya perlu ada usul undi tidak percaya berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Soal tiga ADUN berpaling tadah kepada parti lawan itu adalah merupakan SEBAB UTAMA yang perlu dibincangkan di dalam kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Parti Memerintah. Perlu DITEGASKAN di sini bahawa ini adalah soal Parti Pemerintah lawan Parti Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukanlah isu Nizar lawan Dr Zamry.

Akan tetapi kerana Nizar enggan meletakkan jawatan yang menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry sebenarnya tidak perlu naik turun mahkamah kerana ianya jelas dinyatakan di dalam Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bahawa dia wajib meletakkan jawatan.

Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 ADUN BN ini keluar parti daripada BN dan menyokong Parti Pembangkang iaitu PAS di Dewan Undangan Negeri maka barulah situasi tersebut akan sama dengan Perak. Di dalam hal ini MB Terengganu perlulah meletakkan jawatan selaras dengan Fasal 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyebut ‘ … hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’.

Isu Terengganu jelas dan nyata “Tidak Serupa dan Tidak Sama” langsung dengan isu di Perak kerana 10 ADUN ini belum lagi mengishtiharkan keluar parti dan setakat ini tidak pernah menyokong parti pembangkang sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 10 ADUN ini keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada PAS bermakna telah mendapat majoriti dan YAB Dato’ Ahmad bin Said hendaklah meletakkan jawatan. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong tindakan 10 ADUN ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan dan DYMM Sultan akan bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar. Nota: sepuluh ADUN BN yg sekiranya menjadi ADUN bebas masih tidak berpeluang jadi MB kerana tidak berparti, sebaliknya salah seorang daripada ADUN Pas akan dilantik menjadi MB baru berasaskan kepada Prinsip Demokrasi Berpelembagaan ADUN daripada parti akan dipilih.)

Dakwaan telah mendapat majoriti sokongan serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada YAB Menteri Besar masih TIDAK memenuhi prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan untuk menukar MB di mana mereka masih lagi berada di dalam parti yang sama iaitu 24 kerusi BN dan 8 kerusi PAS. Perbalahan mereka ini bolehlah diibaratkan sebagai “ribut dalam cawan’ atau ‘carik-carik bulu ayam’.

Walaubagaimana pun, tindakan 10 orang ADUN ini juga boleh dianggap sebagai menentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di mana pada 27 Mac 2008 Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman. Ia juga boleh dianggap sebagai menentang dan mencabar keputusan DYMM Tuanku Sultan melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said secara teratur mengikut Fasa 12 (2) Undang-Undang Bagi Diri Terengganu di mana Duli Yang Maha Mulia bolehlah bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar.

Ini selaras dengan apa yang telah ditegaskan oleh YB DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu di dalam Malaysiakini.com pada 21 Mei 2009 sebagaimana berkata “Berdasarkan perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, dan kedudukan wakil rakyat BN yang perlu memikul tanggungjawab dan amanah yang tinggi, sentiasalah bermusyawarah sesama kita untuk menyelesaikan sesuatu (masalah) tanpa dibincangkan di khalayak ramai,” katanya.

Persoalannya, adakah kumpulan 10 ADUN ini terus tidak akur dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong YAB Dato’ Ahmad bin Said selaku Menteri Besar, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Menteri Besar dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB Terengganu ini dan seterusnya kepada Parti UMNO dan Barisan Nasional.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak MB dan semua 10 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan bahawa mereka akan keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti PAS. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, YAB Menteri Besar perlulah menerima hakikat ini. Dalam hal ini soal maruah dan prinsip MB TIDAK TIMBUL sama sekali kerana ianya telah termaktub di dalam Prinsip Demokrasi Berpalimen Raja Berpelembagaan selaras dengan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Tidak sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 10 ADUN bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB, bermakna walau apapun tuduhan, tohmahan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka masih lagi dalam Kerajaan Barisan Nasional dan soal sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB tidak timbul sama sekali kecuali mereka keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti Pembangkang.

Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka masih lagi berada di dalam Parti Barisan Nasional dan perbuatan mereka ini tidak mengurangkan dan menjejaskan majoriti ADUN BN di Dewan Undangan Negeri di mana DYMM Tuanku Sultan telah melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka ini ialah memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya kepada MB yang mengetuai Kerajaan Negeri (Parti Barisan Nasional) terutamanya di dalam Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan selari dengan 1Malaysia.

tidak lagi yakin dengan kewibawaan MB untuk menerajui politik dan pentadbiran negeri adalah tidak relevan. Bermakna dalam bahasa yang mudahnya mereka masih lagi menjadi kumpulan ADUN majoriti yang menjadikan YAB Dato’ Ahmad Said layak dilantik sebagai MB oleh DYMM Tuanku Al-Sultan. Tidak berbangkit soal mendapat sokongan majoriti seperti di negeri Perak. Dalam demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, parti politik yang menang dengan hanya satu undi sudah dianggap menang dan membentuk kerajaan dan seorang ahlinya akan dilantik sebagai MB oleh Raja.

Namun sehingga hari ini, kalau keadaan 10 ADUN ini masih setia dengan BN, YAB Dato’ Ahmad bin SAid akan tetap kekal sebagai MB kerana parti yang YAB Dato’ Ahmad bin Said terajui di DUN tidak pernah hilang majoriti sokongan ADUN. YAB MB tahu, beliau tidak semudah itu menjual maruah dan prinsipnya serta memegang teguh amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan kepadanya.

Situasi di kedua-dua negeri ini tak serupa dan juga tidak sama. Tak serupa dari segi isu hilang majoriti parti. Tetapi kedua-dua negeri masih berpegang kepada satu perkara yang sama – Prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan serta Undang-undang Tubuh atau perlembagaan.

Perlembagaan adalah perlu bagi menjamin kestabilan politik serta system pemerintahan yang cekap dan adil. Parti politik yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan.

SULTAN TIDAK BOLEH PECAT MENTERI BESAR

Posted in MB, Nizar, perak on May 19, 2009 by Hambali Abd Latiff

Dalam penghakiman 78 muka oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang dikeluarkan kepada media semalam, menyatakan dengan jelas Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya.
Ini kerana beliau (Menteri Besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Abdul Aziz berkata sebaik saja Menteri Besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada siapa lain.
Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

“Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Berlandaskan keputusan itulah beliaubeliau mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11 Mei lalu.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Artikel 16, ia mensyaratkan bahawa dewan undangan adalah pihak yang menentukan sama ada ia menaruh keyakinan terhadap Menteri Besar selaku ketua majlis eksekutif menerusi undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

“Saya berpendapat bahawa pemecatan Menteri Besar oleh Baginda atau oleh sesiapa lain tidak sekali-kali dipertimbangkan di bawah Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak,” kata beliau.

Beliau berkata fasal 7 Artikel 16 undang-undang tubuh itu memperuntukkan bahawa kecuali Menteri Besar, anggota-anggota lain Majlis Eksekutif memegang jawatan atas perkenan Sultan dan mereka (anggota eksekutif) boleh dipecat dari jawatan oleh Sultan yang bertindak atas nasihat Menteri Besar.

Abdul Aziz berkata Sultan Perak telah menemui dan menginterbiu tiga anggota dewan negeri yang menjadi anggota bebas dan seorang lagi anggota dewan yang sebelumnya keluar dari Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian menyertai semula parti itu dan mereka memberitahu Sultan tentang sokongan mereka kepada BN secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, walaupun menerusi pertanyaan Sultan, Baginda berpendapat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat sokongan majoriti anggota DUN, ini tidak bermakna Baginda boleh membuat keputusan bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti dewan berkenaan.

Beliau berkata pendapat peribadi atau keputusan Sultan tidak relevan kepada maksud Artikel 16 (6) yang memperuntukkan bahawa “jika Menteri Besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan, maka, kecuali atas permintaannya, Baginda membubarkan dewan, beliau dikehendaki mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif”.

Abdul Aziz mendengar prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Mohammad Nizar, 52, memohon writ “quo warranto” dikeluarkan terhadap Zambry untuk memberi sebab atas asas apa atau kuasa apa beliau adalah menteri besar yang sah.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Mohammad Nizar, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam plihan raya umum ke 12.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mempunyai 28 kerusi masing-masing, selepas tiga anggota dewan dari pakatan itu keluar parti untuk menjadi anggota bebas dan yang keempat melompat semula dari PKR kepada Umno.

Sultan kemudian meminta Mohammad Nizar meletak jawatan menteri besar dan Zambry mengangkat sumpah selepas mengisytiharkan bahawa Barisan Nasional mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Mahkamah Rayuan, pada 12 Mei, membenarkan perintah penangguhan keputusan itu kepada Zambry dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar bersama permohonan Mohammad Nizar mengetepikan perintah penangguhan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga berkata beliau tidak meragui bahawa Sultan mempunyai budi bicara mutlak berhubung pelantikan Menteri Besar dan tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran DUN.

“Saya tidak pernah meragui tentang pelaksanaan prerogatif diraja untuk melantik seorang Menteri Besar mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak semata-mata berdasarkan pendapat peribadi Baginda.

“Dan bahawa Baginda boleh memilih apa carapun bagi memuaskan hati dan membuat keputusan sewajarnya tentang siapa yang mendapat keyakinan majoriti DUN hingga beliau boleh dilantik sebagai menteri besar untuk memimpin majlis eksekutif,” katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata perkara yang sama tidak boleh dilakukan berhubung Artikel 16 (6) dalam memutuskan sama ada Menteri Besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan – Bernama

Nota: Saya berharap sangat untuk mendengar pandangan lain mengenai penghakiman ini. Apa kata Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Nazri Aziz atau juga Datuk Zaid Ibrahim mengenai soal ini. Tolong jawablah mereka yang pakar undang-undang.