Archive for the DUN Category

BERILAH PELUANG DR ZAMBRY BENTANG BAJET 2010

Posted in DUN, perak on October 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Harap-harap jangan ada pihak membuat kacau atau mencabar polis di Ipoh hari ini.

Ini kerana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini untuk pembentangan Bajet 2010 negeri. Berilah peluang untuk Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjalankan tugasnya.

Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak (BN BBC Perak) malam semalam meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap rancangan pihak tertentu untuk mengganggu DUN Perak hari ini.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail, berkata beiau difahamkan ada pihak terbabit akan menggunakan taktik kotor dengan menyamar sebagai ahli Pergerakan Pemuda Umno dan penyokong kerajaan.

Katanya, mereka terbabit merancang untuk membuat kecoh dengan menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terutama daripada pakatan pembangkang daripada menghadiri sidang DUN itu.

“Ini akan membuktikan tuduhan liar yang Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kekerasan bagi menghalang mereka daripada menghadiri sidang DUN.

“Saya ingin menegaskan kegiatan tidak bertamadun dan biadap ini bukan tradisi dan budaya Umno.

“Saya juga memohon supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan supaya cubaan ini tidak dapat direalisasikan,” katanya pada sidang media di Ipoh malam tadi.

Polis boleh berjaga-jaga dan menyiasat dakwaan ini.

Nadzri berkata, beliau sudah mendapat jaminan daripada Ketua Pemuda Umno Perak bahawa ahli pergerakan itu tidak pernah berniat atau berhasrat untuk menghalang mana-mana Adun daripada menghadiri sidang DUN itu.

Katanya, taktik kotor itu bukanlah satu perkara luar biasa kerana sejak Barisan Nasional menubuhkan kerajaan negeri pihak terbabit mencuba pelbagai cara untuk meruntuhkannya.

“Saya bagi pihak Adun penyokong kerajaan mengutuk sebarang usaha tidak bertamadun ini,” katanya.

Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak semalam turut menafikan khabar angin akan bertindak ganas bagi menghalang ADUN Pakatan Rakyat menghadiri sidang DUN esok.

Ketuanya Maslin Sham Razman menegaskan perbuatan tidak bertamadun itu bukanlah budaya yang diamalkan Pemuda Umno dan BN selama ini.

“Kami menghormati undang-undang dan sistem demokrasi yang menjadi tulang belakang negara ini. Saya yakin dan percaya cerita yang tersebar ini dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan memburuk-burukkan imej BN,” katanya dalam sidang akhbar di Ipoh malam semalam.

Polis sudah mengingatkan orang ramai supaya tidak berhimpun berhampiran bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak sepanjang tempoh berlangsung Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari yang bermula hari ini.

Ia bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, polis banyak menerima maklumat terdapat pemimpin-pemimpin parti tertentu dalam ceramah mereka sebelum ini yang menyeru orang ramai supaya berhimpun di bangunan SUK.

“Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang.
Tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram, termasuk mereka yang merancang atau yang menganjur perhimpunan-perhimpunan itu,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

ROMBAKAN EXCO – BERITA PEMANAS MENJELANG SIDANG DUN?

Posted in Ahmad said, DUN, MB, Terengganu on July 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tergamam saya membawa blog www.teganuku.blogspot.com kelmarin yang membawa tajuk “Tiada rombakan exco dalam tempoh terdekat – MB Terengganu”.

Ingatkan ia soalan semata-mata dan apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengatakan tiada rombakan, ia tidak menjadi bahan berita.

Akhbar harian tempatan di Terengganu menjadikan jawapan Menteri Besar itu sebagai tajuk utama. Bagi saya mungkin kerana tidak ada isu politik yang panas di Terengganu sehari dua ini maka soalan ‘cepu emas’ seperti itu itu mampu menghidangkan bahan untuk berita lebih panas.

Saya tidak faham bagaimana wartawan boleh tanya soalan mengenai rombakan Exco.

Kata orang, tiada angin dan tiada rebut, tiba-tiba soalan diajukan kepada Menteri Besar selepas mesyuarat Exco petang Rabu (kelmarin).

Seperti biasa Ahmad Said tenang tetapi di wajah setiausaha akhbarnya, Rosli Zakaria, nampak gusar dengan soalan yang tidak diduga sama sekali. Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam tenang seperti bosnya juga.

Ketika berbual dengan wartawan Bernama dan The Star sebelum itu, saya ditanya apakah mendengar sesuatu mengenai perkara itu. Oleh kerana memang tidak dengar apa-apa, saya tidak begitu melayan tajuk berkenaan kerana ada dua tiga perkara lain lebih penting.

Namun ternyata bagi beberapa wartawan Terengganu –soalan itu memang sudah tersedia untuk ditanya. Apakah ia soalan ‘planted’ atau memang ada desas desus di mengenai perkara itu.

Yang pasti, selepas mesyuarat Rabu lalu tidak nampak pun sebarang tanda ada ‘krisis Exco’. Yang tidak hadir mesyuarat pula bukan memulaukannya tetapi kerana ada tugas di luar negara.

Bagi saya oleh kerana suasana politik di Terengganu ketika ini dingin sedikit dan cerita ini mungkin sebagai pemanas berita menjelang pertengahan Ogos apabila sidang DUN akan diadakan.

Apapun, Ahmad Said menafikan dakwaan akan ada rombakan barisan Exco.

Tidak timbul persoalan untuk memperkuatkan jentera pentadbiran, selain menyingkirkan anak buah yang tidak ‘sebulu’ dengannya.

Itu bukan gaya kepimpinan Ahmad Said kerana baginya selepas beliau melantik dan diperkenankan istana semua pihak harus bekerja sebagai satu pasukan menjayakan misi ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Jika ada yang mahu menikam atau menembak dari belakang itu Ahmad Said tidak ambil peduli. Yang penting agenda pentadbiran dan pembangunan yang menekankan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya perlu dilaksanakan.

Mereka perlu diberikan peluang dan kini baru masuk setahun setengah dan tidak wajar mengatakan mereka lemah atau tidak membantu Menteri Besar.

Sambil menegaskan perkara itu tidak pernah berbangkit, Ahmad berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan barisan Exco sedia ada dan tidak pernah merancang untuk membuat rombakan.

“Siapa kata? (rombakan Exco). Setakat ini semuanya (pelaksanaan tugas Exco) berjalan dengan sempurna. Kita berilah peluang pada mereka (Exco) sekurang-kurangnya pegang jawatan satu penggal. Kalau satu setengah tahun nak tengok prestasi memanglah tak dapat.

“Tidak adillah jika (baru) setengah jalan kita tukar (barisan Exco). Buat masa ini, saya berpuas hati dengan kerjasama serta prestasi mereka (Exco) dan tidak ada perancangan untuk membuat perubahan barisan Exco,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Khabar mengenai kemungkinan Ahmad Said merombak barisan Exco tersebar luas dan menjadi buah mulut orang ramai di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Hanya akhbar yang mengatakan Ahmad Said merancang merombak kepemimpinan beberapa Exco sedia ada bagi memperkukuhkan barisan pentadbirannya untuk mengurus dan merencana agenda pembangunan negeri.

Juga akhbar yang mengatakan wujud dakwaan bahawa Ahmad Said mahu menyingkirkan Exco tertentu yang tidak sealiran dan tidak boleh bekerjasama baik untuk membantunya memacu pembangunan Terengganu.

“Saya tidak tahu dari mana anda dengar berita ini. Setakat ini, saya berpuas hati dengan barisan Exco yang ada dan tidak pernah merancang untuk membuat rombakan. Kata orang, tahun pertama tahun bulan madu, tahun kedua baru nak laksana perancangan, jadi kita bagi masa pada mereka buktikan kemampuan,” katanya.

Memanglah banyak cakap-cakap bahawa pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Ahmad dikatakan agak goyah kerana tidak mendapat kepercayaan dan sokongan sebahagian besar wakil rakyat di negeri ini, terutamanya golongan yang sebelum ini menjadi penyokong kuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Namun mereka bukan kalangan Exco dan selepas mengangkat sumpah mereka seharusnya beriringan dengan Ahmad Said bukan melencong kepada pihak lain.

Kalaupun ada ‘musuh dalam selimut’ itu bukan masalah Ahmad Said. Yang harus dipersalahkan ialah Exco berkenaan kerana tidak ‘setia’ tetapi Menteri Besar tidak pernah pun menimbulkan rasa tidak puas hatinya kepada barisan Exco.

Kemelut politik di negeri ini yang bermula sejak Ahmad dilantik menggantikan Idris pada Mac 2008 memuncak pada April lalu apabila sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikatakan mahu mengemukakan usul undi tidak percaya kerana tidak puas hati dengan corak pentadbiran Ahmad yang dikatakan tidak telus dan membuatkan wakil rakyat berasa mereka dipinggirkan.

WAJAH ORANG POLITIK SAKIT

Posted in DUN, Nizar, perak, PKR on June 15, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sakit tidak semestinya diakibatkan oleh penyakit selesa burung atau selesema babi.

Selesema politik pun ada sekarang ini. Di Malaysia, sakit dah ‘macam-macam ada’. Selesema politik menjijik dan meloyakan. Penyakitnya seukar diubati. Hanya diri sendiri sahaja boleh mengibatinya.

Doktor politik sukar mengubatinya.
Selesema politik ini hebat. Ia membabitkan orang menjadi meroyan dan gila untuk menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar atau juga Speaker.
Wajah orang sakit selesema politik mudah dikesan tidak seperti selesema burung atau selesema babi.
Perkara pertama sakit selesema politik ialah melalui caka-cakap dan kemudian baru tindakan.
Pagi ini, selesema politik pertama di kesan di Dewan Rakyat.
Siapa penghidapnya? Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
Memalukan dan jijik dengan sikap pemimpin PAS ini yang tindak tanduknya melampaui batas dan sudah tiada hormat kepada Dewan Rakyat – institusi mulia politik itu.

Bagaimanana? Tidak sampai lima minit selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, bekas Menteri Besar itu tiba-tiba diserang selesema politik apabila Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa menghalau beliau keluar dewan.

Arahan itu dikeluarkan oleh ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan “bubar Dewan Undangan Negeri” sebaik sahaja menurunkan tandatangan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang.
Sakit selesema politik Mohd Nizar kemudian melarat apabila memakai lilitan “BUBAR DUN” Perak.
Apabila diminta menanggalkan lilitan itu, Nizar enggan.
Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.
Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok “F”.
Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut.

Turut diarah keluar ialah beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat yang enggan mematuhi arahan Speaker supaya tidak memakai lilitan itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) serta N. Gobalakrishnan (Padang Serai).

Unsur-unsur selesema politik di Dewan Rakyat dapat dilihat jelas apabila ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.

Bukan itu sahaja, tanda-tanda penyakit itu berjangkit semakin ketara apabila Dewan Rakyat terpaksa mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan “BUBAR DUN”.

Insiden itu menyebabkan sesi soal jawab soalan lisan tertangguh 15 minit.

MANEK URAI – MENCARI CALON CAKNA RAKYAT

Posted in DUN, MANEK URAI on June 9, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bekas ADUN Barisan Nasional (BN) DUN Manek Urai, Zulkepli Omar mengatakan dia yang terbaik?
Cuba angkat diri sendiri?
Inilah yang dapat dirumuskan mengenai kenyataannya seperti dilaporkan Malaysiakini bertajuk ‘Beberapa nama bakal calon BN tidak disenangi ahli Umno’.

Menurut laporan portal berita itu semalam, beberapa nama pemimpin Umno bahagian Kuala Krai yang disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan, tidak disenangi ahli dan penyokong Umno.
Beliau mendakwa, mereka termasuklah ketua bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman; naib ketua bahagian, Che Jalal Muda dan ketua Wanita, Rohani Abdul Majid.
Saya diberitahu oleh salah seorang ahli jawatankuasa Bahagian Kuala Krai, beberapa hari lalu, Ramzi memberitahu mesyuarat bahagian itu bahawa beliau ‘tidak berminat menjadi calon’ dan tidak timbul beliau akan bertanding.
Perkara ini jelas dan Ramzi tidak akan berganjak.
Lagipun beliau merasakan anak tempatan lebih sesuai kerana bekas ADUN Dabong itu mahu menumpukan kepada kerja-kerja UMNO di Bahagian itu.
Jadi kenapa Zulkepli menimbulkan perkara ini? Apakah beliau merasakan Ramzi adalah saingannya untuk dipilih semula.

Zulkepli yang mendakwa demikian adalah calon BN dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008. Beliau memenangi kerusi tersebut pada 2004 dengan majoriti 53 undi sahaja.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 2008 beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi oleh calon PAS, Ismail Yaacob dengan majoriti 1,352 undi.

Kerusi tersebut kosong berikutan kematian Ismail bulan lalu kerana sakit jantung.
Hakikatnya, Zulkepli bukanlah wakil rakyat UMNO yang baik selepas menang pilihan raya 2004.
Pada pilihan raya umum 2008, beliau hampir digugurkan.
Difahamkan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa ‘mengeluh’ dengan sikap Zulkepli yang dikatakan mengabaikan kawasannya.

Ramzi juga dikatakan berbelah bahagi ketika itu untuk mencalonkan semula Zulkepli, namun katanya kerana ada ‘desakan’ pihak tertentu, UMNO Bahagian Kuala Krai ‘dipaksa’ memilih beliau.
Jadi, apabila Zulkepli menyatakan kepada media bahawa ‘semua orang lain tidak layak’, apakah beliau sendiri layak?
Zulkifli mendakwa, ketiga-tiga mereka tidak digemari oleh ahli dan pengundi Manek Urai sendiri.

“Datuk Ramzi, walaupun menang tanpa bertanding jawatan ketua Umno bahagian dalam pemilihan lalu, tetapi banyak cawangan Umno tidak senang dengannya,” kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebaliknya, beliau mendakwa, Ramzi yang menyebabkan cawangan-cawangan Umno tidak dapat mencalonkan pemimpin lain untuk mencabarnya.
Ramzi yang saya hubungi enggan mengulas lanjut tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpanan parti untuk menentukan siapa.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai penamaan calon dan pengundian pada 14 Julai.

Mengenai Che Jalal pula, Zulkifli melabelkan pemimpin itu sebagai yang tidak turun ke bawah menemui penduduk setempat.

Katanya, kalau tidak menemui pengundi bagaimana hendak mendapatkan sokongan mereka.

Manakala Rohani pula, kata Zulkifli, tidak mempunyai penyokong dan umurnya pula sudah menjangkau 68 tahun.

Katanya, jika Rohani dipilih sebagai calon BN, ia umpama memberi kemenangan percuma kepada pembangkang.

“Tetapi kalau dia kata hendak bertanding di Manek Urai, tak apalah itu hak dia.

“Apapun wanita tidak sesuai bertanding di Manek Urai. Ini kubu PAS dan kawasan kampung dan banyak ladang pula,” katanya.

Rohani sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut 14 April depan.
Jelas, mencari calon untuk DUN Manek Urai bukan mudah.
Pada ketika PAS mengatakan ia mencari profesional bertaraf ulama, UMNO perlu kemukakan calon yang ‘mesra dan cakna rakyat’ tetapi mudahkah mendapatkannya di Manek Urai.

PENANTI – MEDAN MENDEDAHKAN PERILAKU PKR/ANWAR?

Posted in Anwar, DUN, penanti, PKR on May 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pilihan raya kecil di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti akan menjadi medan untuk menyerang dan mendedahkan perilaku PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Belum apa-apa sudah ada cubaan merasuah calon bebas oleh PKR. Itu satu dakwaan, jika tidak benar nafikanlah.

Jangan pula main saman-saman. Ni cerita sedap ni.

Calon bebas Aminah Abdullah berkata beliau akan mendedahkan bukti bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menawarkan ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, 31 Mei ini.

DUN PENANTI


Jumlah pusat mengundi: 9 buah dengan 32 saluran

Jumlah petugas: 242 orang
Jumlah pemilih berdaftar: 15,384 orang (15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos)
Pecahan pengundi mengikut kaum: Melayu (72.68%), Cina (24.22%), India (2.39%) dan lain-lain (0.71%)

Aminah, 57, tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang turut menafikan beliau ditaja oleh Umno untuk bertanding.

“Saya akan bongkar dengan memberi bukti yang PKR ada menawarkan rasuah terhadap saya selepas saya mengumumkan untuk bertanding pada pilihan raya ini,” katanya selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hari ini.
Aminah yang akan menggunakan simbol kunci pada pilihan raya kecil ini berkata baginya simbol itu adalah sesuatu yang simbolik kerana ia melambangkan kunci kepada pendedahan kepincangan pakatan pembangkang.

Selain Aminah tiga calon lain ialah calon PKR, Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman, 56; Nai Khan Ari,41 (simbol Wau) dan Kamarul Ramizu Idris(bekas calon bebas yang bertanding di Bukit Gantang), 42 (Payung).

Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.
Di pihak Barisan Nasional (BN), Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sudah menegaskan BN tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei ini.

Selain itu, BN tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan raya berkenaan.

Jelas Penanti adalah ujian sebenar untuk PKR. Sebarang kekurangan – kalah atau menurun undi untuk parti itu – akan memberikan kedudukan sebenar pengaruh PKR di Pulau Pinang.
Lebih penting Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan adalah dalam Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR sendiri.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Mohamad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain kaum.

Kehangatan dan kemeriahan pilihan raya kecil kali ini kurang dirasakan memandangkan Barisan Nasional (BN) pada Isnin lepas mengumumkan tidak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

Proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang bermula pukul 9 pagi tadi dalam suasana “tidak semeriah” berbanding lima pilihan raya kecil sebelum ini.

Sesi penamaan calon dibuka tepat pukul 9 pagi dan berlangsung selama sejam dan diikuti sesi bantahan, juga selama sejam.

Hasil pilihan raya kecil ini kelak akan menjelaskan dengan tepat kenapa PKR masih popular atau berkurangan, selain isu-isu yang akan ditimbulkan ialah sekitar perkhidmatan PKR di Penanti dan Permatang Pauh amnya.

Rakyat akan dapat menilai apabila tiada Barisan Nasional (BN) tidak bertanding, isu-isu akan lebih melingkungi PKR dan performancenya sejauh ini.

Tekanan sebenar adalah kepada Anwar yang selama ini begitu ‘bergaya’ memburukkan BN dan UMNO tetapi kali ini beliau ‘dengan penuh gaya perlu mempertahankan PKR’ yang terbukti semakin tertekan.

Dengan kesungguhan Aminah untuk ‘mendedahkan’ apa juga keburukan dan ‘warna sebenar’ PKR. Anwar akan berdepan dengan seribu satu cabaran untuk digalasnya.

Apakah PAS berusaha melindungi dan mempertahankan rakannya kalaupun didedahkan pelbagai kegiatan rasuah dan salah laku dilakukan oleh pemimpin PKR?

Apakah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa akan sekali lagi ke Permatang Pauh untuk berkempen di Penanti?

Apakah beliau ke sana untuk ‘bertahan’ atau ‘menyerang’?

PENANTI – BN TIDAK IKUT RENTAK PEMBANGKANG

Posted in DUN, penanti, PKR, UMNO on May 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Perangkap pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mengena.
Sah sudah Barisan Nasional (BN) tidak tunduk dengan desakan supaya meletakkan calon menentang PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan petang ini, DUN Penanti bukan untuk UMNO masuk gelanggang.

Beliau mengumumkan demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur selama lebih dua jam bermula 4.30 petang.

Najib menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut.
Pada 29 April lalu, saya bertanyakan wajarkah Barisan BN bertanding di Dewan Undangan Negeri Penanti?

Saya meminta difikirkan perkara berikut dalam konteks pilihan raya kecil Penanti ini. Ia termasuk:

1. Jika menang akan memberikan keyakinan baru kepada UMNO dan jika kalah, siri pembubaran DUN dan Parlimen seperti yang dimahukan Anwar akan menjadi bertambah rancak;

2. Jika UMNO bertanding, ia bagaikan ‘undur belakang untuk kebaikan’ namun dimanakah rasional merugikan wang rakyat;

3. Jika menang reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan menonjak dan jika kalah ia semakin merudum;

4. Jika bertanding akan ada tuduhan Najib mengikut telunjuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebelum ini Muhyiddin seperti menyokong kenyataan Dr Mahathir;

5. Jika bertanding, wang rakyat akan dikorbankan sedangkan kerusi itu tidak akan mengubah apa-apa; dan

6. Akan ada orang yang akan untung daripada pilihan raya kecil ini kerana selalunya walaupun calon kalah pilihan raya kalah tetapi ‘ada orang UMNO yang akan menang’ kerana mendapat pelbagai kemudahan dan wang’ hasil peruntukan pilihan raya berkenaan.

Yang pasti BN tidak akan menang mudah keranba PKR begitu yakin akan menang sudah menemui calon menggantikan bekas ADUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan tersebut awal bulan ini.

Pilihanraya kecil kerusi DUN itu dijadual diadakan antara 23 hingga 31 Mei ini berikutan timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng meletakkan jawatanb. Beliau juga meletakkan jawatan exco pada 8 April lalu dan kemudian melepaskan jawatan ADUN pada 16 April lepas.

Kekosongan jawatan kedua penting itu pernah menimbulkan salah faham terbuka antara ketua menteri dan Anwar kira-kira dua minggu lepas berhubung kelewatan mencari pengganti Mohammad Fairus.

Menarik pada pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan parti-parti politik yang bertanding mewujudkan pondok panas pada hari pengundian.

Langkah itu mampu mengelakkan ketegangan di kalangan para penyokong parti sekali gus mewujudkan suasana lebih tenteram bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Penanti, Pulau Pinang ditetapkan pada 23 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.

SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.

Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Apa pun, Najib menggariskan tiga sebab BN enggan bertanding:

Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.
Mesej BN mudah saja, iaitu BN “tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang.”

MEROYAN ATAU KOMIDI?

Posted in BN, DAP, DUN, perak, PKR on February 20, 2009 by Hambali Abd Latiff
Dah macam-macam gila di Perak sekarang. Gila dimaksudkan ialah gila bertindak, gila kuasa dan gila meroyan mahu berkuasa kembali.

Ia berkaitan kes penggantungan Menteri Besar dan nggota Dewan Undangan Negeri oleh speaker DUN Perak daripada menghadiri persidangan.

Pensyarah undang-undang Profesor Dr Aziz Bari menyatakan bahawa Speaker DUN Perak, V Sivakumar selaku speaker mempunyai kuasa untuk berbuat keputusan tersebut.

Ini bermakna sungguhpun Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir tidak berpuas hati dengan penggantungan dan melarang beliau dan enam Exco daripada menghadiri sesi DUN, namun tindakan itu dibuat mengikut peruntukan kuasa yang ada.

Selain Dr Zambry yang digantung 18 bulan, ahli Exco turut digantung selama 12 bulan. Mereka ialah Hamidah Osman (Sungai Rapat), Datuk Ramly Zahari (Manong), Dr Mah Hang Soon (Chenderiang), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) and Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik)

“Speaker ialah ketua Dewan…pada asasnya. Kuasa speaker adalah sama di semua negara Komanwel,”,” katanya ” katanya dalam sebuah laman web.

Abdul Aziz berpendapat di peringkat persekutuan, Speaker Dewan Rakyat sebelum ini pernah beberapa kali membuat keputusan yang dianggap ‘tidak munasabah, menolak usul, menggantung Ahli Parlimen dan sebagainya’.

“Kali ini giliran BN pula merasa,” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sivakumar silap apabila mengumumkan keputusan jawatankuasa itu menggantung Menteri Besar dan enam exco kerajaan negeri.

Beliau berkata Sivakumar sepatutnya merahsiakan perkara itu sehingga DUN bersidang.
Beliau juga berkata jumlah keahlian jawatankuasa itu adalah tidak tepat.

“Ia lima berbanding satu selepas 8 Mac. Tetapi pada 2009, ia berbeza. Sekurang-kurangnya ia sepatutnya empat berbanding dua, bagi menggambarkan jumlah wakil daripada parti yang menguasai DUN sekarang,” katanya.

Yang menarik Pengerusi DAP, Karpal Singh pula berkata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu mendapat kelulusan DUN terlebih dahulu sebelum menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN.

Beliau berkata Speaker V. Sivakumar sepatutnya memanggil persidangan DUN bagi membolehkan keputusan menggantung itu dibahas dan kemudian dibuat undian.

“Mengikut perlembagaan negeri Perak, apabila DUN tidak bersidang, Speaker boleh merujuk sebarang aduan kepada jawatankuasa hak dan kebebasan yang diketuainya.

“Sekiranya beliau mendapati ada kes prima facie, sebarang dapatan dan keputusan mesti dirujuk kepada DUN. Ini pada pandangan saya, bermakna Speaker perlu merujuk perkara ini kepada DUN untuk dibahas dan diluluskan,” katanya.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, kes ini adalah seperti ketika beliau digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 2004, setelah dituduh cuba menyeleweng fakta kepada Dewan, apabila berkata Anggota Parlimen mesti mengangkat tangan kanan ketika mengangkat sumpah jawatan.

“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat kemudiannya membuat keputusan menggantung saya selama enam bulan. Ini dilakukan selepas perkara itu dikemukakan kepada Dewan Rakyat, dibahas dan dibuat keputusan,” katanya.

Sementara dalam laporam New Straits Times kelmarin, seorang profesoir undang-undang dan peguam terkenal memberikan pandangan berikut:

“KUALA LUMPUR: Datuk Dr Zambry Abdul Kadir is still the menteri besar of Perak and he and his executive council can carry out their duties as normal as the legality of their suspension from the state assembly is suspect.

Law professor Dr Shad Faruqi Saleem said Perak legislative assembly Speaker V. Sivakumar has no power to suspend the menteri besar and his six executive councillors.

He said the assembly had to sit and approve the suspension of any member.

“The assembly acts on the recommendation of the Privileges Committee,” he said when commenting on the 18-month suspension of Zambry (Pangkor).
Shad said he doubted the speaker could suspend the seven for such a long period.

He said based on British parliamentary procedure, the speaker could only suspend members of the house for the day on grounds of misbehaviour and general indiscipline.

Lawyer Datuk Muhammad Shafee Abdullah agreed that the position of Zambry and his exco was not affected by the suspension.

“The legislative assembly will only convene in April and they could continue with their job,” he said.

Shafee described the speaker’s action as disrespect to the sultan as it was a “back door (way) of disobeying the royal command”.

He said it was arguably sub judice because there was a pending court action which was substantially on the same issue.

Shafee said the summons against the menteri besar and the executive councillors was not in accordance with the basic tenets of natural justice and rule of fairness.

He said the summons was vague and it appeared that there was no offence committed as their appointments had the blessing and consent of the sultan.”

Bekas Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Abdullah Abdul Wahab berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, yang merupakan sebahagian daripada proses dewan, perlu mendapat persetujuan anggota dewan.

“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang ditubuhkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri hanya boleh membuat syor kepada persidangan dewan, dan adalah hak anggota dewan untuk menerima atau menolak syor yang dibuat itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, jika anggota dewan menerima syor tersebut, ‘barulah hukuman dijatuhkan mengikut peraturan yang ditetapkan’ yang disokong oleh anggota dewan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pula menyifatkan tindakan Sivakumar, melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, dan anggota Exconya daripada menghadiri sesi Dewan sebagai satu komidi.

Beliau berkata, perlakuan Speaker itu juga mempersendakan Dewan berkenaan.

“Speaker bertindak sendiri menjadi hakim dan juri sedangkan beliau tidak langsung mempunyai bidang kuasa itu. “Ini benar-benar kelakar dan satu persendaan dalam seluruh episod,” kata Nazri pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam.