Archive for the media Category

UMNO KURANG MESRA DENGAN MEDIA BARU?

Posted in facebook, media, Najib on December 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Datuk Seri Najib Razak bercakap berbuih mulut mengenai media baru.

Namun, bagaimana pula sambutan dan reaksi pemimpin UMNO, khususnya ketua-ketua Perhubungan Negeri dan ketua-ketua bahagian mengenainya?

Jangan terperanjat, ramai mengatakan media baru órang tak baca’. Yang baca anak muda yang tidak tahu politik.

Bagi mereka ini nampak sangat ‘media baru’seperti blog, facebook, u-tube dan sebagainya tidak penting. Yang penting bagi mereka ialah cara lama iaitu surat pekeliling, ceramah, perjumpaan bersemuka dan sebagainya.

Bagi mereka ‘forum siber’ tidak penting, sedangkan hakikatnya cara itu terbukti berkesan bukan sahaja dalam perniagaan tetapi juga politik.

Pada ketika UMNO masih kurang mesra dengan media baru, pembangkang pula menggunakan apa sahaja cara bagi ‘memesong’pemikiran rakyat, biarpun tahu ada ketikanya etika mereka salah.

Bagi mereka cara tidak penting tetapi matlamat dan mesej paling utama buat mereka.

Bagi pemimpin UMNO pula ramai yang tidak tahu bahawa Barrack Obama menang kerana dibantu media baru yang ternyata mudah merebak dan meluas di negara seperti Amerika Syarikat yang akhbarnya bersifat regional.

Persoalan lagi, kenapa semalam Perdana Menteri mengulangi lagi bahawa beliau sentiasa mengatakan media baru memainkan peranan penting kepada masa depan politik dan sivil rakyat negara ini? Perdana Menteri berkata, medium itu penting bagi kebenaran didedahkan melalui laporan yang bertanggungjawab.

Malah bukan sekadar itu sahaja, Naib amat berminat bila mendapati ada satu Kod Etika Penulis Blog yang mungkin boleh diterima pakai oleh penerbit.

Dalam blognya http://www.1malaysia.com.my, beliau berkata, garis panduan untuk penulis blog itu didasarkan kepada kod etika Persatuan Wartawan Profesional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Berikut adalah beberapa petikan bahawa penulis blog hendaklah:

1.Jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat,

2.Jangan sekali-sekali menciplak;

3.Mengenalpasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan;

4.Jangan sekali-kali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pasti-kan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut;

5.Bezakan antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta;

6.Mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera; dan

7.Perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi.

Amat jelas bahawa Najib sensitif mengenai perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada parti dan kerajaan pada ketika kerajaan memberikan kebebasan kepada media baru untuk cergas.’

Persoalannya bilakah masanya pemimpin UMNO akan melihat cara ini paling mudah mendekati orang muda yang menjadi pengundi baru?

PENDET – KRITIK BIAR BERLAPIT, KREATIF BIAR BERTEMPAT…

Posted in Indonesia, Malaysia, media on September 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa nak dihairankan dengan sesetengah media Indonesia?

Itu satu. Keduanya, siapa dan pihak mana yang sedang mengapi-apikan supaya kedua-dua negara bermusuh?

Siapa tangan ghaib itu?

Nampaknya sesetengah media Indonesia mahu terus menghangatkan isu ini. Jelas mereka bukan mahu cari penyelesaian. Mereka terus ingin ‘bermusuhan’ dan enggan terima apa juga penjelasan Malaysia mengenai isu tarian Pendet.

Hubungan Malaysia-Indonesia renggang berikutan tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dilemparkan media massa Indonesia terhadap Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berkata semalam beliau pelik dengan sikap media Indonesia kerana tetap enggan terima penjelasan mengenai isu tarian Pendet berkenaan.

Ada dua perkara mengenai isu ini. Pertamanya ialah kerajaan Indonesia sudah menerima baik penjelasan diberikan Malaysia.

Menurut Anifah, selepas perbincangan hati ke hati dengan Presiden Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan rakan sejawatnya, Hassan Wirajuda di Jakarta, baru-baru ini, isu berkenaan sudah dapat diselesaikan.

Tetapi lain pula sikap sesetengah media Indonesia yang terus mempersoalkan isu berkenaan, khususnya di akhbar-akhbar.

Isu ini nampaknya berlanjutan walaupun penjelasan sudah dibuat oleh Discovery Channel mengenai kontroversi tarian Pendet ini kepada Kerajaan Indonesia.

Kerajaan Indonesia juga turut menerima penjelasan bahawa kesilapan berpunca daripada pihak Discovery Channel.

Apapun, seperti dilaporkan oleh Berita Harian baru-baru ini, isu tarian Pendet yang mencetuskan kontroversi terbaru antara Malaysia dan Indonesia tidak mungkin berlaku jika pihak bertanggungjawab yang menyiarkan iklan selama 30 saat itu menjelaskan keadaan sebenar dan menuntut maaf serta-merta.

Sebenarnya kerana kegagalan membuat penjelasan segera menyebabkan kemarahan rakyat Indonesia dan digembar-gemburkan oleh pihak media di sini.

Menurut laporan Berita Harian berkenaan:“Discovery Networks Asia-Pasifik yang bertanggungjawab mengendalikan saluran televisyen Discovery Channel sudah memohon ‘maaf sebesar-besarnya’ bagi pihak syarikatnya kepada Menteri Kebudayaan dan Pariwisata, Jero Wacik atas apa yang disifatkannya sebagai ‘kekeliruan kreatif’.

Dalam suratnya kepada Jero Wacik bertarikh 28 Ogos lalu, Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar (Asia Tenggara) syarikat itu, Kevin Dickie, menjelaskan mengenai penggunaan unsur budaya Indonesia dalam klip promosi Enigmatic Malaysia.

Antara petikan isi kandungan surat itu: “Dengan ini kami sampaikan bahawa Discovery Network Asia-Pacific mengetahui wujudnya penggunaan gambar penari Bali dalam klip promosi selama 30 saat untuk program Enigmatic Malaysia. Klip promosi itu menampilkan grafik yang mewakili pelbagai episod dalam siri berkenaan.

“Namun, gambar penari Bali yang dimaksudkan berasal dari pihak ketiga. Untuk pengetahuan, promosi itu bukanlah sebahagian daripada kandungan yang dimaksudkan.

“Kami memohon maaf apabila klip promosi itu menyinggung pemerintah dan rakyat Indonesia, serta penonton (televisyen) kami. Dengan ini, kami ingin menyatakan bahawa klip itu sudah kami hentikan penayangannya di semua rangkaian kami.

“Izinkan kami untuk menjelaskan bahawa kesalahan ini cuma kekeliruan kreatif, sementara semua fakta dan maklumat yang terkandung dalam program berkaitan adalah benar semata-mata.”

Ada pihak yang mula memperkatakan seperti ada usaha pihak tertentu yang sengaja memprovokasi kemarahan rakyat Indonesia.

Jika tidak kerana ada pihak tertentu yang merancang dan merencanakan provokasi sedemikian, tidak akan ada gerakan kumpulan ‘buluh runcing’ atau ‘sapu Malaysia’..

Bagi saya Anifah boleh menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana sudah ke Jakarta membincangkan perkara ini. Namun beliau tidak perlu merasa pelik dengan sikap media Indonesia kerana enggan terima penjelasan dan terus mengulangi isu berkenaan di surat khabar kerana selagi ada tangan ghaib, selagi itulah, media Indonesia sukar untuk diperbetulkan.

Malam semalam, isu tuduhan kononnya Malaysia mengambil tarian Pendet dan Pulau Jemur Indonesia untuk tujuan promosi pelancongan, yang terbukti tidak berasas dan sama sekali tidak tepat itu sudah dianggap selesai dengan penjelasan bukan saja oleh kerajaan Malaysia tetapi juga oleh pemerintah Indonesia sendiri.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia Raja Reza Raja Zaib Shah berkata dengan itu, hampir 6,000 pelajar Malaysia di 13 kampus terakreditasi di seluruh negara 17,000 buah pulau ini tidak lagi perlu khuatir atau terbawa-bawa dengan sentimen antiMalaysia sekalipun terus dipancing oleh media massa Indonesia.

“Bagi kita dan untuk semua pelajar di sini, kedua-dua isu ini sudah kita tutup buku sepenuhnya dan tidak perlu dilayani lagi.

“Ini kerana tuduhan-tuduhan itu tidak benar lantaran Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet yang berasal dari Bali milik kita,” katanya pada sambutan Aidilfitri dengan lebih 200 pelajar perubatan Universiti Padjajaran di Bandung malam tadi.

Yang pasti pemerintah Indonesia sudah memahami kita, cuma media Indonesia yang buat-buat tidak faham.

Kita sudah berusaha sedaya upaya tetapi kalau media Indonesia merasakan ia tidak mencukupi, kita tidak boleh buerbuat apa-apa.

Seperti kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar bahawa pelajar Malaysia setakat ini telah menunjukkan tahap kematangan yang tinggi apabila mereka tidak memberi reaksi keras terhadap laporan negatif media massa Indonesia, sebaliknya menerimanya dengan tenang sambil memberi penjelasan kepada rakanrakan sekuliah.

“Majoriti rakyat Indonesia yang rasional memandang tinggi ketenangan rakyat Malaysia dalam menghadapi tuduhan-tuduhan itu yang akhirnya ternyata tidak benar. Namun, seperti yang dijelaskan oleh Anifah, semua pihak pun hairan apa tujuan media massa tempatan tidak mahu menerima penjelasan dan fakta yang tepat,” katanya.

Yang penting kita dan Indonesia sudah memahami bahawa soal tarian Pendet sengaja diperbesar-besarkan dan biarlah Jakarta mengawal media negara itu yang nampaknya enggan menerima penjelasan kita.

MEDIA ADA AGENDA POLITIK DI TERENGGANU?

Posted in media, politik, Terengganu, UMNO on September 9, 2009 by Hambali Abd Latiff

Satu pertanyaan yang timbul dalam kepala otak saya membaca laporan akhbar nasional atau tempatan akhir minggu ialah ialah apakah ada agenda tertentu dalam laporan beberapa akhbar mengenai politik Terengganu?

Memang wujud kemelut tetapi bukan pertelingkahan. Kenapa bukan pertelingkahan? Ia adalah serangan satu pihak kepada pihak yang lain. Pihak yang diserang tidak menyerang balas dan dengan kata lain ia hanya serangan sebelah pihak.

Kenapa wujud serangan? Ia kerana mahu supaya Datuk Ahmad Said diturunkan daripada kerusi Menteri Besar.

Tidak ada sebab lain dan itulah satu-satunya sebab!

Maka bermacam-macam cara dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bermula dengan permainan terancang yang tidak diketahui asal puncanya.

Keadaan menjadi semakin kalut apabila akhbar nasional yang kini semakin menurun edarannya berbanding Harian Metro dan Utusan Malaysia – Berita Harian – membuat laporan yang jauh menyimpang.

Bukan sekali tetapi berkali-kali – daripada pertukaran pegawai kanan kerajaan negeri hingga kepada bantuan beg dan baju sekolah – laporan yang mempunyai agenda dibuat terhadap kerajaan negeri.

Namun kali ini rasanya kerajaan negeri tidak akan mendiamkan diri.

Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Kuala Berang bersama-sama Datuk Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, ada semacam mainan.

Berita Harian dan Sinar Harian (tidak hairan kerana akhbar ini ada agenda politik sendiri) membuat laporan yang bersifat ‘spin’ dan ulasan serta rencana pula perlu dicara secara ‘read between the lines’.

Persoalan besar ialah mengenai kehadiran ADUN dan Exco ke majlis di Kuala Berang itu.

Apa yang tidak kenanya? Yang tidak kenanya ialah laporan seolah-olah Ahmad Said dipulaukan dan kehadiran Muhyiddin tidak penting untuk ‘menyatukan sementara’ kumpulan yang menentang Menteri Besar berkenaan.

Maka wujudlah laporan kononnya majlis di Kuala Berang Khamis lalu tidak dihadiri oleh mereka yang menentang Ahmad Said.

Berita Harian yang laporannya ditulis oleh Kamal Ahmad, Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin menyebut Exco yang hadir ialah Rozi Mamat (Telemong), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu), Datuk Za’abar Mohd Adib (Rantau Abang), Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) serta ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar .

Sementara ADUN yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut)

Dua Exco tidak hadir ialah Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit), manakala Toh Chin Yau (Bandar) dari MCA.

Itu kata Berita Harian.

Untuk berlaku adil kepada Muhyiddin, Hishamuddin dan Ahmad Said, hanya lima ADUN sahaja tidak adil iaitu Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang) dan Zakaria Abdullah (Paka).

Idris kemudian hadir pada majlis bersama keluarga angkat dan sahur di Setiu.

Sementara Exco kerajaan seperti Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), dan Ashaari Idris (Langkap) hadir pada majlis itu. Tidakkah dengan mengatakan Exco berkenaan tidak hadir, ia mencemarkan nama dua Exco berkenaan. Jangan main-main, ini majlis Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Persoalannya kenapa Khazan Che Mat (Batu Rakit) tidak hadir? Beliau sebenarnya mempunyai tugas mempersiapkan program di Setiu yang dihadiri oleh Hushamuddin pada malam dan paginya.

Muhammad Ramli Nuh (Tepuh) ?Beliau mewakili Menteri Besar ke satu majlis di Kuala Lumpur.

Soalan lain kenapa tidak laporkan kedatangan adalah di luar jangkaan? Lebih 5,000 orang?

Buktinya? Makanan yang disediakan pada majlis itu tidak cukup dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak mengadu pun mengenai makanan yang terpaksa dikurangkan kerana kehadiran ramai lebih penting.

Pada bulan yang mulia ini sewajarnya media jangan turut menjadi pengadu-domba kerana akhirnya yang rugi bukan Ahmad Said tetapi imej UMNO itu sendiri.

Tidak tahulah sekarang sama ada Berita Harian bukan lagi menjaga kepentingan UMNO, sebaliknya memainkan peranan lain yang rasanya jika berterusan akan menjejaskan imej parti berkenaan yang sudah pun tercemar kerana kalah dan kalah dalam pilihan raya kecil.

Apakah media kawalan UMNO itu turut memainkan peranan untuk menjejaskan peluang UMNO menang di Terengganu? Mohon maaf kepada saudara Mior Kamarul Shahid, pengarang kumpulan kerana saya terpaksa mengatakan apa yang saya rasa dan beberapa yang lain turut merasanya.

Jika tidak percaya tunggulah dalam sehari dua ini mungkin ada kenyataan yang lebih besar daripada entri ini.

SHAH RUKH KHAN HINA NABI MUHAMMAD?

Posted in bollywood, media on June 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Akhirnya media juga yang disalahkan. Tersalah petik!

Isu salah petik bukan membabitkan pemimpin dan tokoh politik sahaja. Ia turut membabitkan bintang filem.

Bukan di Malaysia sahaja perkara ini berlaku tetapi di India, ia melibatkan pelakon pujaan ramai – Shah Rukh Khan (Datuk) – sekurang-kurangnya benua Asia dan Eropah.

Shah Rukh Khan terheret ke lembah kontroversi apabila kata-katanya tentang Nabi Muhammad SAW dikatakan telah disalah tafsir dan dicetak sedemikian rupa oleh sebuah majalah “Time’n Style Luxury.”

Pihak majalah telah cepat-cepat mengeluarkan satu kenyataan bagi meredakan suasana panas dari terus bergolak akibat dari salah lapor majalah itu.

Perenggan dalam artikel itu sepatutnya berbunyi begini dan bukan seperti yang tercetak….” kata kenyataan majalah itu.

“Siapakah yang anda anggap tokoh paling impresif dalam sejarah?

“Ramai sekali, tapi ada di antara mereka agak negatif imej mereka seperti Hitler, Napoleon dan Winston Churchill dan mereka ini adalah tokoh sejarah. Kemudian ada Nabi Muhammad dan yang terkini Nelson Mandela. Ada juga yang ‘agak baik’ seperti Gandhiji dan Mother Teresa.’”
Menurut aktor yang bergelar Datuk (Melaka) itu, beliau disalah petik oleh wartawan yang menemuramahnya.

Isu ‘menghina’ Nabi itu menjadi begitu serius sehinggakan beberapa blog di negara kita turut memperkatakannya.

Sebuah blog mengulas, “Onar apalah pulak yang dimainkan oleh si Datuk (Melaka) Shahrukh Khan ni, duduk rumah besar, bini comel, karier masih boleh tahan, tak tau bersyukur rupanya. Sanggup dia perkecilkan Nabi Muhammad SAW sambil membandingkan baginda dengan Adolf Hitler dan Winston Churchill

Fuh…memang tak takut tuhan dia ni, pengaruh filem hindu kot atau dia masih dalam khayalan sebagai hero yang tak mati walaupun dibedil, tapi kena ingat panah petir pun boleh terjadi walau masa tiada hujan. Tuhan maha berkuasa beb.

Semua ni pasal dia celupar ketika ditemubual sebuah majalah, mendakwa bahawaNabi Muhammad SAW merupakan salah seorang tokoh yang paling tidak berpengaruh sepanjang sejarah dunia, malah tidak setanding dengan populariti Adolf Hitler dan Winston Churchill.

Menurut blogger Pendikar Gunung Kriang mencatatkan: “Sebuah madrasah agama Islam di India telah mengkritik dan mengeluarkan fatwa terhadap bintang Bollywood terkenal Shahrukh Khank kerana kenyataannya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.

“Seseorang yang membuat ucapan seperti Shahkhrukh Khan itu adalah kafir dan keluar dari Islam,” kata fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Muhammad Shoib Raza Qadri dan Mufti Mutiur Rahman dari Madraasah Darul Ulum Mazharil Islam., India.

“Dalam sebuah negara Islam, seseorang yang membuat komentar seperti itu harus mempertanggung jawabkan kenyataanya dengan dibunuh. Pernikahan Shahrukh Khan juga tidak sah dan status keIslamannya menjadi batal dan jatuh kafir serta dia tidak boleh dikebumikan dalam tanah perkuburan kaum Muslimin. Orang seperti itu harus segara bertaubat dan meminta maaf untuk kembali ke dalam Islam,” kata fatwa tersebut.

Shahrukh Khan sendiri meskipun beragama Islam namun dirinya beristeri seorang penganut agama Hindu.”

Dilaporkan, sebuah laporan polis dibuat di Stesen Polis Bandra oleh beberapa pihak yang tidak puas hati.

Pihak Mumbai Aman Committe juga telah membuat laporan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Shah Rukh Khan dalam majalah itu.

Pejuang-pejuang Islam dan fundamentalis agama di bandar Mumbai juga tidak dapat memaafkan ‘kesilapan’ Shah Rukh kali ini dan bangkit memprotes apa yang dihamburkan oleh Shah Rukh dalam majalah tersebut.

Desakan demi desakan supaya dikenakan tindakan ke atas bintang terlaris Bollywood ini semakin memuncak hinggakan mengheret tokoh-tokoh agama, ulamak serta mufti-mufti yang warak tentang hukum agama untuk mengeluarkan fatwa mereka.

Antara tokoh agama yang terpaksa memberi kenyataan ialah Maulana Shahbuddin dari Markazi Darul Ifta, Ashraf Usmani dari Darul-Uloom Deoband dan Mufti terkenal bernama Maulana Yaseen Misbahi. Merek terus-terusan didesak untuk keluarkan fatwa terhadap apa yang dinyatakan oleh Shah Rukh Khan itu.

Mujurlah, kesemua tokoh agama itu mempertahankan Shah Rukh dan membuat kenyataan balas bahawa “apa yang tercetak dalam majalah itu hanyalah satu salah faham. Kita tidak perlu keluarkan fatwa atas satu kenyatan media yang salah. Jadi soal keluarkan fatwa tidak timbul sama sekali.”

Bagi menamatkan kontroversi yang sedang meruncing dari berlanjutan, Shah Rukh telah meminta sidang redaksi majalah itu membuat klarifikasi dengan segera untuk menjelaskan apa sebenarnya yang terjadi.

Menurut laporan, orang paling risau sekali di tengah kehangatan kontroversi ini ialah pengarah Karan Johar. Ini adalah kerana dia sedang sibuk menghabiskan filem yang ada unsur Islam iaitu ‘My Name is Khan’ yang turut dibintangi oleh Shah Rukh Khan dan Kajol.

Kontroversi ini menyebabkan Karan terpaksa membuat kajian semula tentang subjek Islam yang cuba diterokanya.

12 JUTA PENGGUNA INTERNET – APA UMNO-BN BUAT?

Posted in Internet, media, PAS, UMNO on June 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tak ada apa-apa? Tak kisah?

Cukup kuat dengan jentera di bahagian atau cawangan? Media baru tiada pengaruh?

Barisan Nasional (BN) ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) ,rangkaian Media Prima (Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, TV3,tv7 dan tv9), Bernama dan bernama tv juga Utusan Malaysia selain media berbahasa Cina dan Tamil?

Ini belum masa Kementerian Penerangan dan Jabatan Penerangan.

Bolehkah rangkaian dipancarkan oleh Astro sebagai alat untuk memberikan maklumat sebenar kepada rakyat?

Persoalannya ada dua. Pertama, apakah semua penggendali stesen dan media cetak dan elektronik menyokong kerajaan? Kedua, apakah yang setia kepada BN itu mampu menjalankan tugas seperti diharapkan?

Ramai lagi saki-baki penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang penting yang dilantik oleh kerajaan sendiri di media utama kerajaan. Mereka ini kumpulan yang mampu ‘bermain wayang’ dan mengancam kerajaan secara senyap

Sementara di kalangan yang menyokong kerajaan, ada yang hanya berminat memegang jawatan dan makan gaji tetapi banyak masa untuk golf, santai atau curut.

Tidak dinafikan mereka setia dengan kerajaan tetapi sekadar menyatakan setia tidak akan mampu mempertahankan kerajaan yang ada.

Persoalan lain ialah apakah penerimaan generasi muda sekarang terhadap rangkaian media berkenaan?

Kalaupun mereka pengikut setia umpamanya Harian Metro atau majalah hiburan apakah ada agenda politik di media berkenaan? Bukankah ia hanya untuk kepentingan jualan dan iklan bukan untuk mengubah pemikiran atau spin terhadap isu-isu tertentu?
Apa BN kaji dalam konteks kepercayaan umum terhadap media tempatan yang dikawal kerajaan?

Hakikatnya BN mungkin masih selesa dengan alat penyamaian media baru.

Sedangkan cara media baru spin isu yang boleh menghentam, memburuk-burukkan, mempersenda dan memperlekehkan kerajaan begitu banyak.

Kebanyakan media baru kini lebih pro kepada pembangkang. Kenapa? Kerana kerajaan melihat peranan media baru kurang penting, sikap yang dipertahankan sejak 10 tahun lalu.

Selain itu media baru dilihat tidak glamour, tidak ramai penonton atau pembaca dan mainan ‘budak-budak muda’.

Sedangkan pembangkang menjadikan media baru sebagai alternatif kepada ‘media rasmi kerajaan’ yang dilihat propaganda dan publisiti murahan.

Pembangkang, terutamanya PAS melihat mereka perlu merebut peluang yang terdedah dengan sejumlah 12 juta rakyat negara ini mengakses internet .

Sekali gus mendekatikan parti itu dengan hubungan yang lebih luas, pantas dan berpengaruh.
Dengan kedudukan pendekatan dan pencambahan teknologi maklumat dalam era globalisasi begitu rapat dengan rakyat, ia memberi peluang kepada PAS untuk berada di sisi segenap lapisan masyarakat dalam negara ini.

Fenomena -fenomena seperi Facebook dan blog seharusnya dimanfaatkan oleh PAS bukan sahaja dalam konteks kekeluargaan dan pengajian tetapi dalam konteks lebih luas termasuklah panyaluran maklumat dalam bidang politik.

PAS berusaha membentuk kumpulan penonton dan pemanggil khususnya dalam siri program realiti yang bersifat wacana intelektual.

PAS memanfaatkan pendekatan ini supaya ada kumpulan penonton dan pemanggilan terus membuat panggilan terhadap rancangan yang disiarkan siaran langsung yang banyak membincangkan isu-isu semasa.

PAS benar-benar mengambil kesempatan ini dalam pelbagai bentuk strategi untuk menyampaikan pendapat dan pandangan dalam pelbagai isu.

Bukan PAS sahaja percaya tetapi saya juga percaya dengan pendekatan ini PAS mampu menguasai pemikiran masyarakat walaupun tidak boleh memonopoli media.

PAS tahu masyarakat luar bandar lebih mempercayai medium penyiaran yang dianggap paling berkesan mempengaruhi mereka, namun PAS tidak berdiam diri dan akan memastikan maklumat akan sampai ke akar umbi.

Dengan wujudnya akhbar alternatif dan blog-blog di dalam internet – sekali gus, maklumat itu disampaikan kepada ahli keluarga yang berada di luar bandar.

PAS membekalkan pelbagai bekalkan maklumat mereka kepada jentera penerangan di peringkat kawasan dengan isu peringkat nasional serta pendirian parti serta dasar yang mampu mengubah pemikiran rakyat bawahan.

Selain itu Lujnah Penerangan PAS sedang mewujudkan kumpulan pembaca dan penulis media utama sebagai usaha membentuk pemikiran dan fikrah rakyat terhadap persoalan dan isu yang berbangkit dalam negara.

Bagaimana dengan Penerangan BN dan UMNO?