Archive for the Sultan Category

LAPORAN PAKAR PERUBATAN TANPA PERKENAN SULTAN KELANTAN

Posted in Kelantan, Sultan on January 5, 2010 by Hambali Abd Latiff

KOTA BHARU (5 Jan 2010): Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, mendakwa laporan panel pakar perubatan yang dilantik kerajaan negeri bagi menilai tahap kesihatan ayahandanya sebagai tidak tepat.

Beliau mendakwa, panel berkenaan tidak pernah menemui ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, sepanjang tempoh baginda menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

“Sejak Tuanku menerima rawatan dari Mei 2009 sehingga kini, panel berkenaan tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan terhadapnya. Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh menyediakan laporan perubatan tahap kesihatan Tuanku Sultan kepada kerajaan negeri pada 24 Disember lalu.

“Lebih-lebih lagi, Tuanku Sultan tidak pernah memperkenankan apa-apa maklumat perubatan peribadinya diberikan kepada panel itu pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, petang semalam.

Beliau memanggil sidang media itu bagi mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di pejabatnya pagi semalam yang mengumumkan panel itu merumuskan baginda kini stabil dan boleh dipindahkan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Nik Aziz juga memaklumkan baginda terpaksa diberi makanan menerusi saluran tiub di perut dan masih tidak dapat menggerakkan tangan serta kaki, daya penglihatan kurang dan percakapan terjejas.
Menteri Besar juga berkata, Sultan Kelantan yang menerima rawatan intensif membabitkan ubat-ubatan, fisioterapi, terapi cara kerja serta terapi pertuturan, menunjukkan kemajuan.

Tengku Muhammad Fakhry juga dukacita terhadap tindakan kerajaan negeri yang menurutnya tidak dimaklumkan kepada bondanya, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Anakanda ketiga Sultan Kelantan itu turut menyatakan kekesalannya terhadap Nik Aziz yang didakwanya gagal menemui Sultan Kelantan pada akhir tahun lalu, walaupun dua kali diarah berbuat demikian oleh baginda.

“Saya dukacita, Menteri Besar dua kali dititah oleh Sultan sendiri melalui telefon untuk menghadap pada akhir 2009, tetapi atas sebab tidak diketahui, tidak menurut titah Tuanku. Jika menghadap, Menteri Besar boleh melihat sendiri perkembangan kesihatan atau menyaksikan sendiri sebarang titah Tuanku.
“Saya amat kesal dan dukacita atas tindakan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang mengadakan sidang media mengenai tahap kesihatan Tuanku Sultan dan perakuan panel perubatan yang dibuat tidak berasaskan undang-undang serta peraturan kerajaan dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Berikutan itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau akan merujuk kepada panel peguamnya bagi mengambil tindakan undang-undang atau langkah sewajarnya mengenai perkara itu.

Beliau juga mendakwa, penubuhan panel perubatan tidak pernah memaklum dan mendapat perkenan Raja Perempuan Kelantan yang menjaga Sultan Kelantan sepanjang masa sejak dimasukkan ke hospital berkenaan.

Ditanya sama ada beliau membantah cadangan membawa balik ayahandanya mendapatkan rawatan di negara ini, Tengku Muhammad Fakhry berkata: “Saya rasa bukan (soal) membantah atau menerima. Kena tanya pesakit itu sendirilah.

“Orang lain tak boleh buat keputusan bagi pihak orang lain, terutama Tuanku sendiri dan Raja Perempuan berada di sana selama 24 jam sejak hari pertama. Jadi, secara sopan santun, itulah yang sepatutnya berlaku,” katanya sambil menambah ayahandanya amat merindui rakyat dan negeri.

Nik Aziz, ketika membacakan kenyataan akhbar dua halaman itu berkata, panel dianggotai pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Institut Jantung Negara (IJN) dan HKL, dilantik susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 November tahun lalu.

Beliau berkata, panel berkenaan mendapati HKL paling sesuai untuk meneruskan rawatan baginda kerana mempunyai pakar seperti ahli terapi serta peralatan yang mencukupi, selain kemudahan Wad Diraja.

Sejurus membacakan kenyataan itu, Nik Aziz menolak menjawab sebarang pertanyaan media, termasuk mengenai kos rawatan serta tarikh baginda akan dibawa pulang ke Malaysia.


Sumber: Berita Harian

Advertisements

NAK JAGA SULTAN SEORANG PUN TIDAK RETI!

Posted in Kelantan, Nik Aziz, Sultan on January 5, 2010 by Hambali Abd Latiff

Itulah ungkapan yang saya terima daripada seorang rakan di Tumpat. Beliau bukan orang UMNO tetapi

kecewa dengan sikap kerajaan Kelantan menangani isu yang berkaitan dengan Sultan Kelantan.

Paling memalukan ialah apabila kenyataan kerajaan negeri mengenai permohonan kerajaan negeri secara terbuka agar Sultan Kelantan yang kini dirawat di Singapura dibawa pulang untuk mendapat rawatan susulan dalam negara.

kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh memberi gambaran yang tidak baik dan mungkin ‘mengguris’ pihak istana. Dipercayai bahawa permohonan dibuat mungkin kerana kos perubatan baginda yang dianggap besar.

Pemimpin politik Kelantan melihat kenyataan itu dibuat berikutan kedudukan kewangan yang meruncing. Apapapun banyak pihak menganggap kenyataan Nik Aziz itu dibuat tanpa berfikir panjang.

Tuanku Ismail Petra mendapat rawatan di Singapura Mei lalu dan anakanda baginda, Tengku Muhamad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja sehingga baginda pulih.

Pada 2 Disember lalu, Nik Aziz memberitahu media, kerajaan negeri memohon Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dibawa kembali untuk menerima rawatan susulan di negara ini. Cadangan yang mendapat kelulusan mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan Menteri Besar itu dikatakan dibuat berdasarkan kepada hasrat dan keinginan rakyat negeri ini.
Nik Aziz dilaporkan berkata: “Memandangkan keadaan baginda, jadi atas dasar hasrat dan keinginan rakyat, kita mencadangkan kepada pemangku raja supaya sultan yang sedang gering dan dirawat di Singapura dipindahkan ke negara ini.”

Amat jelas bahawa kerajaan Kelantan bagaikan anak yang tidak tahu untuk’mencari sumber kewangan nak berubat seorang ayah yang sedang sakit’, kata rakan saya itu.

Jelas menurutnya Kerajaan PAS Kelantan sebenarnya tidak reti (tidak tahu dan berupaya) untuk menjaga kebajikan sultannya sendiri.

Seperti ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Husin baru-baru ini, amat jelas masalah kewangan kerajaan negeri yang semakin tenat tidak dapat dinafikan lagi oleh pemimpin PAS.

Bukti jelas ialah pembentangan bajet Oktober lepas yang menunjukkan negeri itu menghadapi defisit besar.
Memburukkan keadaan, kerajaan negeri seolah-olah tidak tahu mencari punca kewangan baru selain sumber hsil balak dan tanah dan tindakan Nik l Aziz sendiri sejak kebelakangan ini yang terlalu berharap mendapatkan royalti minyak bagi menampung perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran yang semakin bermasalah membuktikan lagi kelemahan jentera kerajaan negeri dalam mencari punca pendapatan baru.

Perkara gagal mencari sumber baru ekonomi Kelantan sudah diberikan teguran beberapa kali oleh Sultan Kelantan sendiri pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan 2007 lalu.

Sementara itu, kerajaan negeri turut diminta memberi penjelasan berhubung desas-desus yang bayaran kos rawatan Sultan Kelantan di Singapura tertunggak lebih RM1 juta.

Ia bukan sahaja memalukan malah akan mengecewakan baginda, pihak istana malah rakyat sendiri dan juga boleh memberi gambaran yang amat tidak menyenangkan serta menjejaskan institusi istana yang amat dihormati.

Yang diharapkan ialah desas-desus ini tidak benar, apatah lagi ketika baginda masih mendapat rawatan dan mendoakan baginda pulih dan kembali ke Kelantan.

Desas-desus itu dikaitkan dengan isu layanan pihak pentadbiran negeri yang dikatakan tidak begitu menyenangkan terhadap Sultan Kelantan sepanjang baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin berkata, sekiranya benar masalah itu berbangkit adalah wajar kepimpinan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikannya.

Dali juga berharap kerajaan negeri memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai status kesihatan baginda agar rakyat tidak tertanya-tanya.

Selain isu rawatan dan kos yang tertunggak, isu baru membabitkan Sultan Kelantan yang sedang dirawat ialah kenyataan kekecewaan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra apabila beberapa pegawai kanan kerajaan tidak menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, walaupun dititahkan baginda supaya berbuat demikian.

Berikutan itu, katanya, Sultan Kelantan tidak dapat menyampaikan titah supaya keanggotan dalam Majlis Perajaan Negeri (MPN) dikembalikan kepada senarai asal dan titah penarikan balik darjah kebesaran terhadap tujuh individu.

Menurutnya, disebabkan pegawai kanan terbabit tidak menghadap Sultan maka beliau sebagai anakanda telah pergi sendiri menemui baginda untuk menerima titah tersebut.

“Pegawai kanan kerajaan negeri telah dipanggil menghadap, Setiausaha Sulit pun belum hadir atau tidak dibenarkan hadir, saya pun tidak tahu.

“Sebagai anakanda ketiga baginda, apabila Tuanku sampaikan titah (arahan), saya mesti melaksanakannya. Titah baginda mengenai pemecatan ahli MPN dan penarikan balik darjah kebesaran itu terkandung dalam surat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, surat tersebut mempunyai cap jari Sultan Kelantan serta tandatangan dua saksi, seorang pensyarah di Universiti Darul Iman (UDM) dan doktor yang merawat baginda.

“Itu (pemecatan dan penarikan balik darjah kebesaran) satu titah daripada Tuanku, kita harus laksanakan dan kalau pihak tertentu tidak percayakan surat ini, sila menghadap Tuanku sendiri. Saya ingin tegaskan, Alhamdulillah, Tuanku makin sembuh,” katanya.

Pada masa yang sama, Tengku Muhammad Fakhry menafikan berlaku pergolakan di dalam Istana Kelantan sehingga menyebabkan ayahandanya mengeluarkan titah memecat beberapa pegawai tertinggi istana dan menarik balik darjah kebesaran terhadap individu-individu tertentu.

Beliau berkata, baginda sendiri telah mengeluarkan titah untuk memecat beberapa nama dalam MPN namun sebab pemecatan itu hanya diketahui oleh baginda.

Tengku Muhammad Fakhry atas kapasitinya sebagai Tengku Temenggong semalam mengedarkan termasuk kepada pihak media surat bertajuk ‘Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan’ yang mendakwa Sultan Kelantan tidak bersetuju dan tidak mengesahkan sebarang pelantikan baru atau pemecatan daripada senarai asal anggota MPN yang dilantik pada 21 Mei 2009. Dengan itu, baginda menitahkan melalui beliau supaya keahlian dalam MPN diubah kepada yang asal.

Surat ditandatangani sendiri Tengku Temenggong itu juga menyatakan, baginda mengarahkan penarikan balik beberapa darjah kebesaran bergelar “Datuk” kepada tujuh individu.

MPN yang ditubuhkan Sultan Kelantan dan dianggotai lapan individu yang diperkenankan baginda termasuk Tengku Temenggong.

Ia berperanan mengendalikan hal ehwal istana dan adat istiadat Kesultanan Melayu Kelantan termasuk pelantikan sultan.

Surat bertarikh 31 Disember itu dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias dan salinan kepada kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Gambar Sultan Kelantan dirawat pada Ogos lalu.

TIDAK BUBAR DUN PERAK – TINDAKAN SULTAN BETUL

Posted in MB, perak, Sultan on June 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sumber Bernama

Tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah betul kerana dewan itu baru sahaja berumur setahun, kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Md Raus Sharif.

Dalam penghakiman 49 muka surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini, Hakim Raus berkata bagi membolehkan dewan itu dibubarkan mengikut Artikel 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak seperti yang dimohon oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dewan itu perlu menamatkan tempoh lima penggal apabila satu pilihan raya bakal diadakan.

“Faktanya sudah diketahui umum bahawa pilihan umum baru sahaja diadakan setahun lalu,” katanya dalam penghakiman bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan Jumaat.
Hakim Raus berkata peruntukan yang dipohon Nizar adalah tidak betul apabila memohon supaya dewan dibubarkan.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Nizar telah memohon pembubaran itu mengikut Artikel 36, yang adalah peruntukan biasa yang memberi kuasa kepada Sultan untuk memprorog atau membubarkan dewan selepas tempoh lima penggal berakhir.

Dalam penghakimannya hari ini, Raus berkata persoalan Perak mempunyai dua menteri besar tidak timbul dan ini kerana Artikel 16 (6) menuntut bahawa sebaik menteri besar itu tahu beliau tidak mendapat keyakinan di kalangan anggota dewan, beliau sepatutnya mengambil langkah yang terhormat dengan meletakkan jawatan.

“Jika menteri besar enggan atau tidak menyerahkan peletakan jawatannya dan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seperti dalam kes ini, ia tetap kekal bahawa Ahli Majlis Mesyuarat telah dibubarkan (yang termasuk menteri besar) bahawa majoriti angota dewan telah hilang keyakinan terhadap menteri besar itu.” katanya.

Oleh itu, Raus berkata oleh itu Sultan tidak perlu untuk menyingkirkan Nizar dan anggota lain majlis mesyuarat kerajaan.

Katanya pelantikan Dr Zambry dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan amalan demokrasi.

“Sultan Perak, dalam menjalankan kuasa prerogatifnya mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, adalah bebas untuk melantik menteri besar yang lain menggantikan Nizar,” katanya.

Raus berkata Sultan, bagaimanapun, mesti melantik seseorang yang mendapat keyakinan majoriti anggota dewan negeri dan dalam kes ini, tidak syak lagi Dr Zambry mendapat sokongan majoriti daripada 31 daripada 59 anggota dewan.

“Keadaan dalam kes ini jelas menunjukkan bahawa pada 5 Feb, Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada anggota dewan negeri. Surat yang menyatakan sokongan 31 anggota dewan kepada Barisan Nasional telah diserahkan kepada Sultan Perak,” katanya.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Artikel 16 (6) tidak menunjukkan keperluan mandatori bahawa usul undi tidak percaya yang diluluskan oleh dewan terhadap seorang menteri besar sebelum ia gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan.

“Sebenarnya apabila seorang menteri besar gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan boleh ditentukan dengan cara lain. Ia tidak perlu semata-mata bagi undi yang dibuat di dalam dewan,” katanya.

Sementara itu, Hakim Ahmad Maarop, yang bersidang dalam kes itu bersama Raus, dan Zainun berkata Nizar mesti meletak jawatan sebaik gagal mendapat keyakinan majoriti anggota dewan dan apabila Sultan enggan memenuhi permohonannya untuk membubarkan dewan.

“Keenganannya untuk meletak jawatannya dan anggota Majlis Mesyuarat kerajaan bukanlah satu pelanggaran konvensyen dan tidak demokratik tetapi lebih penting, ia melanggar arahan perlembagaan mandatori di bawah Artikel 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri dan oleh itu tidak berperlembagan.

“Oleh itu, oleh kerana ia tidak dapat menguasai keyakinan majoriti anggota dewan, ianya tersirat bahawa keenganannya untuk meletak jawatan, anggota majlis mesyuarat kerajaan adalah terbubar dan jawatan menteri besar dikosongkan.”.

Ahmad berkata beliau juga berpandangan bahawa kuasa Sultan untuk membuang menteri adalah tersirat semasa menteri besar enggan meletak jawatan walaupun ia gagal mendapat keyakinan majoriti dan Sultan menggantung permintaannya untuk membubarkan dewan.

“Dalam penghakiman saya, keadaan yang dihadapi Baginda di Perak adalah satu-satunya keadaan dan baginda dalam keadaan kritikal telah melaksanakan kuasa perlembagaannya mengikut undang-undang tubuh negeri, yang telah dilaksanakan tanpa ragu-ragu, semata-mata untuk kepentingan rakyat negeri Perak,” katanya

Penghakiman Datuk Zainun Ali pula akan dikeluarkan pada Isnin.

Pada 22 Mei, Mahkamah Rayuan dengan tiga hakim yang bersidang diketuai Raus membenarkan rayuan yang dibawa oleh pesaing Nizar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah menteri besar Perak yang sah.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permintaan Nizar untuk membuat rayuan pada 9 dan 10 Julai.

Mohamad Nizar dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan pembangkang DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihan raya umum ke-12.

Tidak sampai setahun, mereka kehilangan tiga anggota parti yang mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Nizar untuk meletak jawatan dan melantik Dr Zambry selepas mendapati bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan negeri.

Berikutan itu, Nizar memohon supaya mahkamah mengisytihar dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan untuk mendapatkan injunksi melarang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar.

SULTAN AZLAN SHAH TIDAK PECAT MOHD NIZAR

Posted in MB, perak, Sultan on May 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Saya tidak faham kenapa MStar semalam mengutamakan berita “Pelantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan” daripada “Pelucutan jawatan Nizar akibat hilang kepercayaan, hujah – Peguam Negara”.
Kenapakah berita yang memetik afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu diutamakan?

Sedangkan laporan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar kerana pelucutan jawatannya dibuat secara sah mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kerana beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri adalah lebih adil.

Hujah Peguam Negara itu itu sewajarnya diutamakan, kalaupun afidavit mahu turut dilayan. Di manakah pendirian MStar dalam perbicaraan ini?

Apakah MStar mahu menggambarkan tindakan Sultan Perak tidak tepat, kurang teliti dan melanggar Perlembagaan Perak?

Abdul Ghani berhujah bahawa Tuanku Sultan telah mematuhi Perlembagaan Perak dan telah menimbang dengan teliti fakta dan perkembangan sebelum mengisytiharkan pada 5 Februari lepas bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan itu.
Apakah The Star mahu membela Mohammad Nizar, 52, yang memohon perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah?

Apakah The Star menyokong Muhammad Nizar bagi mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Dr Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari, daripada menjalankan tugas itu?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari lepas, menggantikan Mohammad Nizar adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.

“Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan.

“Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undangundang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar,” kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.

Abdul Gani berkata untuk menentukan tidak berlaku sebarang kecacatan dalam keputusan Baginda, Sultan Azlan Shah telah memanggil dan menyoal tiga anggota Dewan, yang dahulunya daripada partiparti pakatan pembangkang, terdiri Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) bagi memastikan bahawa Barisan Nasional mendapat sokongan mereka.

“Baginda telah menemui kesemua 31 anggota Dewan yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional,” katanya.

“Saya dapati bahawa Baginda Sultan Perak telah menjalankan tugas dengan cara paling hormat,” kata Abdul Gani dalam penghujahannya selaku pencelah dalam prosiding semakan undangundang yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada 13 Feb lepas.

Abdul Gani berhujah bahawa oleh kerana Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan, beliau secara automatik hendaklah meletak jawatan sebagai Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
“Perkataan ‘hendaklah meletak jawatan’ dalam Perkara 16 (6) bermaksud ‘mandatori’. Jika kita kehilangan kepercayaan, adakah kita masih hendak tunggu.

“Sebaik saja seseorang itu kehilangan kepercayaan, dia mesti meletak jawatan. Kita tidak boleh ada seorang Menteri Besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti,” katanya.
Abdul Gani berkata bahawa Sultan Perak tidak pernah memecat seorang Menteri Besar sebaliknya Menteri Besar hendaklah meletak jawatan jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan.

“Itu adalah undang-undang dan itulah proses demokrasi,” katanya.
Abdul Gani juga memberitahu mahkamah bahawa perlembagaan tidak mempunyai peruntukan agar satu usul undi tidak percaya dibuat sebelum Mohammad Nizar boleh dilucutkan jawatan.
“Baginda Sultan Perak sendiri telah memastikan perkara sebenar, dengan memanggil kesemua 31 anggota Dewan berkenaan, sebelum membuat keputusan bahawa pemohon (Mohammad Nizar) telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan,” katanya.

Sebelum itu, Mohammad Nizar ketika menyambung keterangan semasa disoal balas, berkata beliau hanya tahu mengenai penarikan balik surat letak jawatan tiga ADUN berkenaan selepas menghadap Sultan Perak pada 5 petang 4 Februari.

“Saya hanya tahu selepas saya keluar dari Istana, apabila pegawai saya memberitahu melalui telefon pada pukul 6 petang, bahawa keluar kenyataan dalam berita menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa ketiga-tiga ADUN melompat ke parti Barisan Nasional dan BN ada majoriti,” katanya.

Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008 memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:

* Beliau telah menasihat dan memohoan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;

* Tidak ada pembubaran DUN;

* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;

* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar. Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak.

“Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu,” kata beliau.

Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab.

“Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya,” kata Sulaiman.
Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.

“Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bilabila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti,” katanya.

Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.

Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.

Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.

“Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik,” kata beliau.
Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung hari ini.

BUKIT GANTANG – MEDAN HASUT RAKYAT?

Posted in Bukit Gantang, Nizar, Sultan on March 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pilihan raya kecil adalah untuk memilih atau mengganti pemimpin.

Jika ia medan untuk menghasut dan menabur fitnah, baik tidak ada pilihan raya.

Jika pilih raya kecil boleh membawa kepada perpecahan dan kebencian di kalangan rakyat kerana hasutan pemimpin, adalah wajar diambil tindakan bersesuaian mencegah kejadian itu daripada berlaku.

Amat bahaya jika perbuatan berterusan menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Kalaupun pembangkang sudah mengenal pasti calon mereka, iaitu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini, perbuatan sedemikian akan mengeruhkan lagi keadaan di Perak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan calon berkenaan di padang Taman Kota Jaya, Simpang malam semalam.

Cara mempertahankan kerusi dengan mencemar dan mencemuh orang lain adalah perbuatan melampau, apalagi jika poster dan risalah sudah dipasang di kawasan Parlimen berkenaan sedangkan penamaan calon pun belum.

Kelmarin, Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin meminta pakatan pembangkang berhenti menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil tersebut.

Katanya, pada masa ini, banyak risalah serta kain rentang menghina Sultan dan Mufti Perak dipasang sekitar kawasan Parlimen berkenaan.

Berikuatan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan tindakan pakatan pembangkang yang didakwa sudah ghairah berkempen sedangkan majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang belum lagi diadakan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sebarang bentuk kempen seperti penyebaran risalah serta kain rentang yang mempunyai kata-kata menghina dan menghasut sepatutnya tidak boleh dilakukan sebelum penamaan calon pada 29 Mac ini.

”Gantung bendera pun sebenarnya tidak boleh lagi, kalau sudah penamaan calon barulah boleh berkempen. Pada masa itu kempenlah sepuas-puasnya sehingga tengah malam 6 April ini.

”Bagi saya Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kena ambil tindakan kerana perbuatan menggantung poster dan bendera mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu, jadi kalau sudah ada yang pasang bendera atau poster maknanya ia dipasang secara haram,” katanya.
Apakah MPT tidak peka atau sengaja membiarkan ia dilakukan?

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang turut menyeru kepada pengundi agar menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa seluruh rakyat terus menyokong pakatan pembangkang.

Katanya, niat berkenaan harus diterjemahkan melalui undi kepada PAS sebagai lambang bahawa itulah kehendak sebenar rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Abdul Hadi pula berkata, pengundi di Bukit Gantang bukan sahaja diamanahkan untuk memilih pemimpin tetapi juga untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka tetap bersama pakatan pembangkang.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu pengundi telah memilih calon PAS maka sokongan berkenaan perlu diteruskan supaya pakatan pembangkang dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Apapun, kita akan melihat gelagat sebenar Mohamad Nizar serta PAS pada pilihan raya kecil kali ini dan bagaimana pakatan pembangkang menunjukkan ‘belang mereka’.

TAK ACI MACAM NI…HAKIM NI TAK BOLEH

Posted in PAS, Saman, Sultan on February 19, 2009 by Hambali Abd Latiff

Saya turut terima sms yang mesejnya memerlukan tindakan segera SEMUA BLOGGER yang prihatin terhadap proses keadilan dan keutuhan Institusi Raja-Raja Melayu.

Ia ada kaitan seperti berita menarik daripada http://www.mykmu.net/ ini.

Menurut SMS tersebut, kes petisyen saman bekas MB Perak, Dato Seri Ir. Muhammad Nizar terhadap kerajaan baru Perak akan didengari oleh Hakim Yang Arif Tuan Mohamad Ariff bin Mohd Yusoff.

Secara tidak langsung, petisyen saman ini mempunyai implikasi terhadap keutuhan Institusi Raja dengan mempersoalkan kebijaksanaan keputusan DYMM Sultan Perak.

Hakim Tuan Arif ini dikatakan oleh SMS sebagai pernah menjadi Penasihat Undang-Undang PAS dan merupakan leading council dalam kes petition pilihanraya di Kangar, Perlis di satu masa.

Menurut satu lagi sumber maklumat, Hakim tersebut pernah bertanding di bawah kerusi PAS di Selangor lima tahun lepas. [Terkini 11:00 AM 18/2/09] Maklumat Utusan Malaysia bertarikh Mac 12hb, 2004 menunjukkan beliau bertanding di kerusi DUN Kota Damansara. Beliau (4,827 undi) kalah kepada Dato Mohd Mokhtar Dahlan (12,926 undi).

Barisan peguam PAS yang terlibat dalam petisyen Pilihan Raya N.06 Kubu Gajah dan P.67 Kuala Kangsar pada Jun 2008. Hakim Tuan Arif adalah yang ketiga dari kanan di barisan hadapan.

Ihsan dari blog Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Kelantan
Ini mengkhuatirkan jika benar kerana keadilan boleh dikompromi. Semua blogger dipohon membantu memainkan peranan untuk menyiasat dan mendedahkan sebarang maklumat supaya memastikan proses keadilan dan keutuhan Perlembagaan tidak dicemari.

Sebagaimana yang diketahui semua, Ir. Mohd Nizar telah memfailkan petition saman di Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, Februari 13hb, 2009. Dari laporan berita, saman petition ini telah meletakkan Dato Dr Zambry Kadir sebagai defenden utama.

Penamaan Dr Zambry dilihat oleh penganalisa undang-undang sebagai anih kerana dia tidak terlibat dengan keputusan mengubahkan kerajaan negeri.
Ir. Mohd Nizar telah dihentikan atas kuasa dan keputusan DYMM Sultan Perak dan tentu sekali defenden yang sepatutnya adalah Tuanku Sultan Perak.

Berdasarkan rencana yang telah disiarkan dalam blog ini sini, perkara ini perlu dipandang dengan berat kerana mereka tidak mempunyai asas untuk mempersoalkan keputusan Tuanku Sultan.

Petisyen saman sepatutnya dibuang kerana ia mempertikaikan kuasa prerogatif Raja dalam membuat keputusan dan jika dilayani, boleh membawa impak terhadap integriti Institusi Raja-Raja Melayu.

Tindakan Ir. Mohd Nizar ini hanya merupakan wayang politik Anwar yang mungkin merancang untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap sistem kehakiman dan ini adalah satu kesalahan menghina mahkamah.

Sekiranya bekas Penasihat Undang-Undang PAS telah dijadualkan untuk mendengar petition ini, ia menimbulkan kemungkinan proses keadilan akan dicemari dan keputusan berat sebelah mungkin berlaku. Jika benar Hakim Tuan Ariff mempunyai hubungan dengan PAS, ia sepatutnya mengundurkan diri dari kes ini.

Keadaannya kini seolah-olah apa sekali keputusan mahkamah, Pakatan Rakyat akan mencemarkan proses keadilan dan mahu mempolitikkan keadaan untuk membina saham politik. Perkara ini perlu dilihat dengan serius sekali.

Para blogger boleh membantu untuk mewar-warkan perkara ini dengan membincang dan mendedahkan maklumat-maklumat untuk menghalang sebarang usaha untuk menghalang proses keadilan dijalankan dengan lancar. – http://anotherbrickinwall.blogspot.com

USAHA BERTERUSAN GAGALKAN NAJIB…

Posted in Najib, Nik Aziz, Pak Lah, Presiden, Sultan on February 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bahagian 1

Semakin hampir dengan Mac, semakin banyak pula teori politik yang ditabur dan kenyataan pemimpin pembangkang pun semakin terbuka mengkritik pemimpin UMNO, khususnya yang akan berada di puncak kuasa.

Teori-teori mengatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas Mac ini masih bersebaran.

Ada juak-juak yang menyebarkannya.
Mereka ini mendapat upah daripada kumpulan yang mahu mempertahankan Abdullah setelah tahu mereka ‘tidak akan diterima’ oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak akibat perbuatan mereka yang keterlaluan itu.

Perbuatan mereka itu bukan baru malah sejak beberapa bulan lalu dan siapa kepalanya sudah menjadi “known secret”.

Apapun, untuk tidak menyusah dan mengusutkan politik Malaysia, marilah kita sama-sama menerima dengan tangan terbuka titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen semalam.

Secara terbuka, Seri Paduka Baginda sudah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang bakal menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Razak, bulan depan.

Dalam titah ucapan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, Seri Paduka Baginda berharap peralihan kuasa itu akan berjalan lancar.

“Beta merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepimpinan dan segala sumbangannya terutama dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

“Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar supaya agenda pembangunan negara dapat diteruskan,” titah Seri Paduka Baginda.

Juak-juak yang masih aktif bagaikan tidak reti-reti dengan kehendak Abdullah sendiri apabila pada 8 Oktober tahun lalu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini.
Dengan itu bermakna beliau akan meletak jawatan setelah menjadi Perdana Menteri sejak 31 Oktober 2003.

Bukan juak-juak sahaja yang bekerja untuk menggagalkan Najib.
Lihat apa mainan pembangkang, termasuk PAS apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minta Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ini bukan kali pertama Nik Aziz berkata sebegini.
Nik Aziz bercakap sebelah petang, sedangkan Seri Paduka Baginda bertitah untuk memberitahu rakyat mengenai kedudukan Abdullah dan Najib pada tengah hari.

Apakah Nik Aziz pun buat-buat tidak faham mengenai kedudukan ini?

Apakah Nik Aziz mahu mempertikaikan peralihan kuasa sedangkan Dewan Rakyat sudah dimaklumkan bahawa Abdullah ‘ akan pergi”?

Nik Aziz minta Abdullah pegang jawatan hingga pilihan raya umum depan.
Seperti kata lawi-ayam.blogspot.com, Apakah Nik Aziz ikhlas atau memasang strategi mudah untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN).

Walau apa juga kata Nik Aziz, rasanya beliau melihat kekuatan yang ada pada Datuk Seri Mohd Najib Razak memang sukar untuk PAS rebahkan.

Nik Aziz melihat ‘merebahkan’ Abdullah lebih mudah berbanding Najib dan kerana itu beliau hari ini mengulangi sekali lagi supaya Abdullah diminta kekal jawatan PM sehingga PRU 13.

Walau apa juga alasan diberikan Nik Aziz mengenai Najib tetapi yang jelas Nik Aziz mesti tahu punca kenapa meminta Abdullah jangan berundur selepas perhimpunan agung Umno Mac depan.

Sebab utama menurut Nik Aziz ialah bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.

Kata Nik Aziz, ini kerana PAS melihat sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

Beliau menyeru Abdullah usah mudah menyerah kalah kepada Najib biar pun pada perhimpunan agung Mac depan Presiden Umno sudah beralih kepada anggota parlimen Pekan itu.

“Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

“Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong menghilangkan diri dan hanya muncul bersama Najib di Putrajaya bagi mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakan itu Najib mengadap Sultan Perak bagi membolehkan Menteri Besar BN dilantik.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cara yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri tidak kena adat orang Timur dengan merampas kuasa melalui penculikan wakil rakyat.
“Saya tak dapat terima cara Najib memancing tiga Adun terbabit yang menghilangkan diri dan kemudian muncul di televisyen.

“Kalau di Kelantan perkara seperti itu kita katakan pekerjaan hantu raya yang menyembunyikan orang,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, Abdullah perlu mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi mengekalkan kestabilan negara.

Menurutnya tidak sepatutnya beliau melepaskan jawatan disebabkan faktor kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Nik Aziz menasihatkan Abdullah supaya terus memikul tanggungjawab tanpa mudah menyerah kalah.

“Kalau Dato’ Seri Abdullah rasa tak bersalah dalam hal ini, mengapa harus ambil tindakan untuk berundur? Saya tak faham politik Umno sekarang,” ujar beliau.

Katanya, tidak menjadi halangan beliau terus kekal sebagai ketua kerajaan di Malaysia biar pun bukan lagi mengetuai UMNO.

Saya tidak faham kenapa Nik Aziz menyatakan demikian, sedangkan sudah jelas Seri Paduka Baginda bertitah bahawa Najib akan mengambil alih teraju pemerintahan.

Persoalannya , saya ulangi, apakah Nik Aziz berkata daripada hatinya yang ikhlas.

Atau mungkin juga mulutnya disumbat dengan perkataan oleh penasihat terdekatnya yang memang menjadi ‘orang suruhan Datuk Seri Anwar Ibrahim’ untuk menyerang Najib.

Ini kerana selagi Najib berada di takhta UMNO, orang itu tidak akan tercapai cita-citanya untuk menjadi Menteri atau pemimpin tinggi negara kerana Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

Hanya dengan menjatuhkan Najib atau Abdullah bersekali, barulah matlamat dan hasrat orang yang menjadi kepercayaan Nik Aziz itu boleh memenuhi cita-citanya.

Bagi saya Nik Aziz ada ‘hantu raya’ di dalam suaranya.

Tidak hairanlah kalau bukan saya sahaja terkejut dengan perubahan nada Nik Aziz ini.

Mohd Sayuti Omar (www.msomelayu.blogspot.com) tertanya-tanya dengan sikap Nik Aziz apabila beliau berkata “Gesaan Abdullah kekal PM- Saya harap Tok Guru Nik Aziz tidak ikhlas”.