Archive for the UMNO Category

JUARA RAKYAT – GAGAL BOLEH HANCURKAN UMNO

Posted in Melayu, Rakyat, UMNO on December 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Transformasi besar buat UMNO.

Mendengar slogannya sahaja sudah cukup gah. Kalau sebelum ini UMNO sering dikaitkan sebagai ‘pembela rakyat’ kini ia menjadi ‘Juara Rakyat’.

Secara rasminya UMNO Pembela Rakyat akan bermula 9 Januari ini apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan melancar slogan bersama dengan programnya pada 9 Januari depan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selain membuka ruang peluang kepada bukan Melayu, UMNO tidak perlu mempunyai slogan sedemikian, jika rakyat memahaminya.

Namun sebagai langkah besar dan transformasi besar untuk UMNO melangkah terus pada dekad ke 21, UMNO yang ditubuhkan pada dekad 40an, perlu menyatakan kepada rakyat – khususnya generasi muda – bahawa ia tetap berjuang dulu, kini dan selamanya.

Tradisi parti untuk benar-benar menjuarai kehidupan rakyat bukan slogan main-main kerana ia memerlukan dokongan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi di pihak rakyat.

Dengan program yang tersusun, bersepadu dan mantap UMNO boleh menterjemahkan hasrat menjadikan parti itu sebagai juara bukan sahaja untuk seluruh sayap dan parti UMNO tetapi juga sebagai ‘penghulu’ komponen Barisan Nasional (BN).

Slogan atau tema ini mungkin sengaja dipilih bagi menjamin UMNO terus menjuarai kehidupan rakyat. UMNO perlu meneruskan tradisinya membela rakyat, membangunkan negara dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan melalui tradisi membela rakyat.

Biarlah pakatan pembangkang datang sebagai satu jenama untuk pembangkang tetapi yang penting UMNO perlu tetap dan terus menjuarai rakyat bukan setakat pakat-pakat dan tiba mendabik dada sebagai juara di hati dan minda rakyat.

Dalam menjamin rakyat tidak ‘tawar hati’ dengan UMNO, slogan ini perlu dijayakan dan jangan ia menjadi slogan pilihan raya dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO kini diperlekeh dan ‘dihina’ begitu teruk sekali. Menyakinkan orang muda satu hal dan mengekalkan sokongan orang dewasa dan tua juga satu hal.

UMNO berdepan dengan tekanan dan cabaran sokongan kerana ‘perbuatan beberapa pemimpinnya’ yang masih sehingga kini masih ada dalam UMNO, selain terus memegang jawatan.

Cabaran baru kepada pemimpin yang baru dipilih pada perhimpunan agung lalu ialah menjamin diri mereka benar-benar menjadi ‘Juara Rakyat’ selain membantu pemimpin yang sudah ‘dibenci’ rakyat untuk diterima kembali.

Dengan kata lain, UMNO perlu menjamin bekerja dua kali ganda, menghapuskan imej lamanya dan menonjolkan dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’ yang sebenar-benarnya.

Jika ia gagal melakukannya, imej UMNO akan menjadi lebih buruk dan selepas ini kalaupun ada usaha untuk bangkit, ia akan tetap menerima padahnya.

Yang diharapkan, dengan pelancaran program tersebut yang amat penting kepada bukan sahaja UMNO tetapi BN, UMNO mampu untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti.

Sudah pastinya agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah untuk menunjuk dan mengingatkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat.
Kita tidak mahu mendengar pemimpin UMNO sukar didampingi, program UMNO untuk diri bukan untuk parti dan bermacam perasaan tidak puas hati lagi.

Selepas ini bukan slogan sahaja yang perlu menyerap di hati dan sanubari rakyat tetapi program dan ‘kelakuan sebenar UMNO’ berjiwakan ‘Juara Rakyat’.

PENGERUSI BN PULAU PINANG – ALASAN UMNO KUKUH…

Posted in Gerakan, Pulau Pinang, UMNO on December 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

Gerakan pegang jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang selama 35 tahun. Masa yang lama.

Walaupun pernah suatu ketika UMNO menang lebih banyak kerusi daripada Gerakan dan komponen lain, UMNO akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).


Selain tidak ‘merampas’ jawatan Ketua Menteri, UMNO juga akur Gerakan terus menjadi Pengerusi BN.
Semalam Naib Presiden Gerakan, Senator A Kohilan Pillay berhujah, UMNO perlu menghormati keputusan yang dibuat kepemimpinan tertinggi BN yang mengiktiraf Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang sejak 35 tahun lalu.
Untuk rekod, jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil UMNO dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.


Kata Kohilan, pengiktirafan itu tidak perlu dipersoalkan mana-mana komponen parti BN kerana ia sudah

mencapai kata sepakat antara pucuk pemimpin BN sejak parti itu bergabung.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Selangor berkata, walaupun keputusan itu tidak termaktub dalam perlembagaan parti, ia sudah mencapai persefahaman yang jelas dan menjadi panduan kepada pemimpin BN selama ini.

Bagus kalau ingat begitu. Gerakan dan komponen lain tidak menng satu kerusi pun berbanding Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua Parlimen.

Apa maknanya dari segi sokongan orang Cina dan India di Pulau Pinang? Mereka menolak Gerakan tetapi orang Melayu dan sebilangan bukan Melayu masih setia dengn UMNO.

Cadangan menukar Pengerusi BN Pulau Pinang itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Malah Kohilan berkata, Gerakan juga mengatakan BN Pusat yang lantik Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang untuk terus mentadbir, bukan Gerakan yang lantik dan pelantikan ini dipersetujui Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Gerakan, semua pihak kena hormati keputusan itu dan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Gerakan untuk terus menerajui Pulau Pinang, tidak kira pada masa parti itu kalah atau menang besar pada pilihan raya.

Di pihak UMNO pula, kenapa ia mahu jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu?

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu adalah munasabah kerana hanya wakil UMNO telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lepas.

“Parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun di Pulau Pinang,” kata Zahid.

Selain itu usaha ini adalah bertujuan mengukuhkan kedudukan perikatan itu di peringkat negeri.Gerakan dikatakan gagal menjalankan program untuk menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Soal penting kata Zahid, UMNO Pulau Pinang tidak puas hati dengan Gerakan yang langsung tidak menjalankan program memastikan BN kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.
Kata Zahid, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan kelmarin setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya dansekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.

“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya,

Jelas, permintaan UMNO Pulau Pinang ini benar-benar menguji kewibawaan dan keputusan Najib.
Yang pasti sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN dan lebih penting kemenangan BN di Pulau Pinang.

Kenapa kemenangan BN dilihat penting?

Pertama, kemenangan BN akan membolehkan Pulau Pinang dibangunkan seiring dengan kepentingan Pusat.
Kedua, pembangunan Pulau Pinang yang kini dilihat cenderung kepada sesuatu pihak sahaja perlu diperbaiki kerana sebelum ini kerajaan pimpinan Gerakan sudah ditegur.

Apabila pembangkang mengambil alih, pembangunan dilihat menjurus kepada kepentingan kaum tertentu sahaja dan kumpulan miskin terus terhimpit.

Najib perlu melihat semua sudut dan jikapun masih mahu mengekalkan status quo, kepentingan mereka yang diwakili UMNO hendaklah diberikan perhatian penuh.

Jangan biarkan apa yang berlaku kepada rakyat Pulau Pinang seperti ketika kepimpinan Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sokongan rakyat kepada UMNO menggambarkan kehendak pengundi.

KHAIRY DILANTIK TIMBALAN MENTERI?

Posted in ISA SAMAD, Khairy, PEMUDA, Timbalan Menteri, UMNO on December 10, 2009 by Hambali Abd Latiff

Cerita mengenai Khairy Jamaluddin akan dilantik sebaga Menteri sudah lebih sebulan lalu tersebar melalui blog.

Namun hari ini, sebuah portal berita melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, itu berkemungkinan tidak dilantik menteri tetapi sebagai timbalan menteri dalam perubahan kecil peringkat kementerian yang akan dilakukan tidak lama lagi.

Menurut portal Malaysia-instinct.com, pelantikan itu kemungkinan menjadi kenyataan jika perletakan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib diterima.

”Khairy dijangka diberikan jawatan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan tidak semestinya mengisi vakum di Kementerian Pelancongan jika Sulaiman Abdul Rahman berundur,” menurut portal berkenaan di sini hari ini.

Malah penggendali sebuah blog hari ini menyebut semalam beliau dihubungi oleh “orang penting” dari Putrajaya – sama ada berita ini benar-benar betul atau sahih hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Kata blog berkenaan: “Menurut sumber tersebut Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Kahiry Jamaluddin akan dilantik sebagai Timbalan Menteri di sebuah kementerian. Hal ini adalah disebabkan desakan daripada beberapa pihak – khususnya salah seorang daripada menteri kanan.

Saya tidak mahu komen banyak. Biarlah rakyat yang menilainya. Lagi pun dasar DS Najib sekarang adalah mendahului kehendak rakyat. Jika rakyat mahukan KJ sebagai Timbalan Menteri, apa yang boleh DS Najib lakukan lagi? Bukankah hal yang sama berlaku ke atas TS Isa Samad? Sekarang rakyat sudah boleh terima sesiapa sahaja sebagai pemimpin. Perasuah, Peliwat, Penzina, semuanya boleh diterima.

Walau berbuih mulut kita menegur – jika rakyat mahukan sebegitu – kita terima aje la. Kesimpulannya hanya satu : Mungkin Khairy terpaksa dilantik menjadi Timbalan Menteri bagi tujuan mendapatkan sokongan daripada kumpulan beliau. Atau mungkin juga DS Najib berfikiran bahawa untuk menyatukan UMNO semula, Khairy terpaksa dilantik sebagai Timbalan Menteri. Dalam politik – apa-apa pun boleh terjadi. Namun demikian, saya tetap berpendirian, bahawa buat masa sekarang Khairy tidak sesuai dilantik apa-apa jawatan – paling sesuai adalah selepas PRU ke 13 nanti, itu pun jika beliau berjaya menyatukan Pemuda UMNO. Nak kecewa pun tiada gunanya lagi. Jika DS Najib mahukan Khairy – apa kita boleh buat? Wallahualam. Mohon komen daripada sahabat blogger sekalian.

Sebelum itu, blog Anak Omak pada 18 November lalu melaporkan: “Macam dirancang, Zahid (Hamidi) yang beriya-iya memberitahu Pemuda di Permatang Pasir bahawa dia akan kempen untuk Khairy dijadikan Menteri. Lepas PRK Bagan Pinang, Zahid dan Khairy segera ke luar negara bersama. Apa yang dirancang budak Anwar Ibrahim dua orang ini?

Masa perlantikan Menteri, dia rasa cukup malu dan perasaan cemburu Khairy dengan Mukhriz dan Razali yang dilantik Timbalan Menteri begitu meluap-luap. Maklumlah dia rasa dirinya pagi pandai dan hebat dari kedua mereka berdua. Dengar khabar omakj pun ikut bisingd an menalipon orang sana sini.

Yang paling dia kecewa bila Razali dapat portfolio Belia dan Sukan. Selama ini dia mahukan sangat portfolio itu. Ini adalah cara dia boleh menguatkan dirinya sebagai Ketua Pemuda dan di kalangan generasi. Asas sokongan pemuda sekarang akan menjadi asas sokongan untuk politik masa depan kelak.

Geram saja dia tengok Razali dapat jadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Sudah pulak itu, Razali lagi popular dengan akar umbi UMNO dari dirinya. Dia kasi peluang untuk Razali mengetuai jentera Pemuda di Pilihanraya-Pilihanraya kecil tapi ini hanya buat akarumbi berharap Khairy dicaj rasuah oleh SPRM dan diganti dengan Razalai.

Lalu Khairy membisik arahan kepada pengikut-pengikutnya yang bodoh boleh menggelar dirinya sebagai ‘sir” untuk sabotaj Razali. Di bawah diarahkan supaya sebarang program dengan Razali tidak dihadhiri pemuda akarumbi. Sebarang usaha Razali di Pilihanraya Kecil dicantas dan digagalkan. Tidak lagi dibesar-besarkan Razali sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Pemuda.””

Apapun, menurut laporan Utusan Malaysia Online semalam, portal yang melaporkan Khairy akan dilantik itu mengatakan sebab pelantikan dibuat ialah sebagai menghormati jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Baru-baru ini, Perdana Menteri memberitahu bahawa tiada rombakan Kabinet akan dilakukan dalam jangka masa terdekat melainkan beberapa perubahan melibatkan timbalan menteri.
Beliau juga mengesahkan bahawa Sulaiman telah menyampaikan hasrat untuk berundur sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Khairy sebelum ini tidak diberikan sebarang jawatan dalam mana-mana kementerian sebagai memberikan ruang untuk beliau menumpukan perhatian menarik kembali sokongan golongan muda kepada UMNO.

PAS KEMBALI BERTAUT, UMNO JANGAN TERHEGEH-HEGEH…

Posted in EGM, PAS, UMNO on October 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tidak mengejutkan. Semalam saya kataka, ribut dalam PAS bagaikan ‘gelora dalam secawan kopi.”

Ternyata selepas mesyuarat khas semalam, yang panas mungkin hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi selepas itu PAS bertaut kembali, setidak-tidaknya pada luaran.

Apapun, ‘api dalam sekam’ dalam PAS akan tetap membara, khususnya dalam isu PAS Selangor pada ketika UMNO semakin bertaut dan sokongan kepada Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib sudah kuat dan padu.

Mesyuarat semalam memang panas bagai kopi panas sehinggakan Nik Aziz meninggalkan mesyuarat lebih awal, namun segala-galanya kini kembali tenang.

Mesyuarat bermula jam 9 malam, tetapi Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dilihat meninggalkan mesyuarat itu kira-kira jam 10.45 malam.

Dalam mesyuarat itu, Nik Aziz turut menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan dalam blognya http://www.blog.tokguru.com.

Yang pasti akhirnya selepas bermesyuarat malam semalam, tiada apa yang boleh diperkatakan secara khusus mengenai hasil mesyuarat berkenaan.

Tidak perkara utama dibicangkan dan hasilnya tidak akan ada EGM, akan ada siasatan dalaman terhadap PAS Selangor dan isu kerajaan Perpaduan kini ditutup rapat oleh PAS.

PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar akan disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi di Ibu Pajabat PAS, Jalan Raja Laut, berkata mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Isu ini menarik untuk disusuli kerana apakah bentuk siasatan dan tindakan akan dikenakan terhadap PAS Selangor, khususnya Datuk Dr Hassan Ali.

Ada pihak pada mesyuarat malam semalam mencadangkan beliau digugurkan daripada Exco.

Saya yakin selepas ini, untuk mengurangkan tekanan kepada pemimpin dan sebilangan ahlinya, UMNO akan menjadi sasaran serangan. Ubah atau alih pandangan, katakan!

Seperti dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana cuba menjadikan UMNO dan idea kerajaan perpaduan sebagai ‘kambing hitam’ dalam konflik dalaman membabitkan pimpinan tertinggi mereka.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan perkembangan semasa sebenarnya berlaku pertembungan kepentingan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Sebab itu sekarang mereka nak bersilat dalam gelanggang, tepis sana tepis sini supaya mereka dapat atasi masalah mereka. Dia cari ‘kambing hitam’, ‘kambing hitam’ ini UMNOlah, sedangkan kita berniat baik dan ikhlas,’’ katanya.

Bagi saya, UMNO tidak lagi menimbulkan isu kerajaan perpaduan. UMNO jangan jadi ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ dengan PAS.

Kalau mahu mengajak perpaduan, tidak usahlah melalui usaha politik kerana PAS ternyata tidak mahu. Kalau sesetengah pemimpinnya mahu sekali pun, pemimpin tertinggi PAS lebih berminat bekerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan bukan Islam.

Bukan Islam ternyata lebih mulia di mata pemimpin PAS.

Bak kata pengulas dalam berita mengenai mesyuarat semalam dalam Harakahdaily, Yusoff Abdul: “Sepatutnya tidak lagi timbul sebarang perbahasan berkaitan perkara tersebut. Musuh – musuh Islam sentiasa mencari jalan dan memperalatkan segolongan yang mengaku Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum syara,. mereka ini hanya menyalak untuk menarik perhatian awam akibat daripada kehilangan sokongan yang ketara dikalangan rakyat semasa pilihanraya umum lalu. Tekanan jiwa yang dialami oleh golongan tersebut semakin ketara. Qunut Nazilah adalah senjata utama kepada pendukung gerakan islam. Insya Allah yang Haq pasti menang dan Kebathilan pasti akan menemui kehancuran.”

Jelas di sini, musuh Islam yang dimaksudkan adalah UMNO dianggap sebagai ‘kebatthilan’, bukannya bukan Isla.

Malah Pemuda PAS Pusat semalam sudah memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya tidak lagi membangkitkan isu kerajaan perpaduan kerana ia tidak lagi menjadi keperluan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan At-Tantawi, berkata pendirian Pemuda PAS selaras dengan isu dibangkitkan Nik Aziz yang tidak setuju penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Hadi berkata, PAS membuat keputusan untuk menutup pintu perbincangan dengan Umno dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.

“Isu kerajaan perpaduan memang dibangkitkan kepemimpinan Pas ketika kerajaan BN diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jadi, apabila sekarang sudah bertukar Perdana Menteri, maka isu berkenaan (rundingan kerajaan perpaduan) tak berbangkit lagi,” katanya.

“Tok Guru Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai pencetus idea itu telah tutup buku… dah tak bincang lagi sebab suasana tidak mengizinkan dan syarat tidak dipatuhi (pemimpin Umno dan BN) dan keperluan pun tak wujud sekarang.

Jadi, kerajaan perpaduan tidak lagi berbangkit. Malah, perkara ini juga diputuskan dalam Muktamar Agung Pas Pusat baru-baru ini yang mahu mengukuhkan kerjasama dalam pakatan pembangkang,” katanya semalam.

Beliau menyatakannya mengulas pendirian Pemuda PAS Pusat mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan BN seperti yang dicetuskan parti itu sebelum ini.

Saya berharap sangat, dalam mendekati PAS, UMNO bersuara sebagai satu pasukan dan sebarang kenyataan biarlah selepas mendapat pelepasan Majlis Tertinggi atau ibu pejabat.

Jangan membuat kenyataan-kenyataan yang UMNO terhegeh-hegeh kerana ketika ini UMNO sebenarnya jauh lebih bersatu berbanding PAS atau PKR sekarang.

BACA DAN SIASAT DULU…

Posted in Khairy, Paklah, perhimpunan, UMNO on October 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Jangan percaya bulat-bulat…

Terkejut juga membaca entri ini dan sukar mempercayai. Tak kanlah gara-gara ada kereta maka tuannya pun ada dalam kereta.

Kalau tidak benar, tolaklah ke tepi – tapi kalau benar bagaimana?

Entri ini dibuat oleh salah sebuah blog 15 Oktober (Khamis lalu)

Apa pun, entri ini amat menarik untuk dibaca:

Kereta KJ10Q, pertemuan Anak Omak dengan Bapa mertuanya WCH 13 Gambar ini diambil di hadapan Bangsar Village pada jam 9 malam tadi. Beginilah keadaannya apabila seorang bekas PM pergi ke sesuatu tempat, semua bekas PM diberi ‘pengawal peribadi kerajaan’

Apa yang kami ingin ceritakan disini ialah tentang seorang bekas PM yang tidak berpegang pada janjinya, sepatutnya malam ini Abdullah sleepy ada majlis rumah terbuka di Ancasa hotel, bersebelahan Puduraya, setelah kami membuat siasatan kami dapati yang Abdullah telah memberitahu orang-orang Kepala Batas yang dia tidak dapat hadir ke majlis tersebut disebabkan demam.

Sekiranya benar Abdullah demam, kenapa kereta dia bersama-sama dengan menantu dia berserta dengan pengawal peribadi kelihatan di Bangsar? Majlis rumah terbuka kepala Batas itu sepatutnya bermula jam 9 malam tadi.

Hebat betul mainan anak-beranak ini, mereka bersama-sama menipu rakyat Kepala Batas, sekiranya Abdullah sakit dan tidak mampu untuk ke majlis rumah terbuka, bagaimana pulak dia boleh berada di Bangsar Village? Siang tadi sepatutnya Abdullah ke PWTC untuk menghadiri persidangan itu namun kelibatnya tidak kelihatan langsung hingga persidangan ditangguh.

Kami juga diberitahu sebanyak 7 buah bas turun dari Kepala Batas untuk meraikan Abdullah, akhirnya mereka tertipu, kami amat bersimpati dengan orang-orang kampung dia!

“DOLLAH TIPU ORANG PALA BATAIH, DALAM NGANTUK-NGANTUK, AKAI DOK JALAN JUGAK, HARAM!”

Sumber: Anak Omak!

House PK: Apa nak jadi ni wahai Dollah Al Flip wal Floppy? Kenapa kau sanggup buat macam ni? Tak habis-habis nak menipu je kau ni ya Dollah? Apa inikah ajaran Islam Hadhari? Ada ke patut, orang tengah tunggu nak jumpa kau, depa tu datang dari jauh pulak tu, tapi kau boleh pi lepak dengan menantu hantu kau! Kesian orang-orang kampung kau Dollah oi!

Pastu aku terbaca keratan akhbar Berita Harian online yang berbunyi:
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dihubungi berkata Abdullah telah menghubungi beliau dan memaklumkan tidak dapat hadir hari ini kerana mengalami batuk dan sakit tekak.

“Tun telah menghubungi saya dan Presiden, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.

Tengku Adnan berkata tengah hari ini Abdullah sekali lagi menghubungi beliau untuk memaklumkan beliau baru pulang daripada mendapatkan pemeriksaan doktor.

Aku confuse sekarang ni, nak pi rumah terbuka tak boleh na, nak pi perhimpunan pun tak leh tapi nak pi Bangsar Village boleh pulak ya, awat Dollah Al-Flip wal Floppy, sana ada hospital besar ka? Atau tengah plan macamana nak jadikan menantu hang Menteri kot?

Jawab la Dollah Sleepy head, kita pun nak dengar jugak apa penjelasan kau pasal isu ni!!!

AZEEZ (PUTERA UMNO) PEMBOHONG?

Posted in putera, UMNO on October 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kalau tidak benar saman sahaja. Apa ditunggu lagi.

Ini soal maruh. Ada Masters kata tiada dan macam-macam lagi.

Ahli Majlis Tertinggi, Abdul Azeez Rahim perlu bertanggungjawab atas maruah dirinya. Tak kan hendak biarkan orang mengatakan beliau ‘pembohong’ dan ‘penipu’.

Saya hairan kenapa perkara lama dikitar semula. Apakah kerana gara-gara Azeez Rahim dakwa dia kena belasah pada hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang?

Saya tidak merujuk kepada kenyataan Salahuddin Ayub mengenai ‘pembohongan Azeez’ baru-baru ini tetapi entri Roslan SMS melalui blognya pada 8 Oktober 2009 bertajuk “WAWANCARA BERSAMA TERAJU PUTERA UMNO BANYAK YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN”.

Entri ini sebenarnya yang dikitar semula dan pernah disiarkan pada 21 Jun 2005 dan 4 Ogos 2005.

Baca entri berkenaan melalui blog Roslan SMS Corner:

WAWANCARA BERSAMA TERAJU PUTERA UMNO BANYAK YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN

Dalam laman web Agendadaily di http://www.agendadaily.com dimuatkan wawancara eksklusif bersama Ketua Putera Umno yang baru ditubuhkan iaitu Abdul Azeez Abdul Rahim. Putera Umno, iaitu Biro dari Pergerakan Pemuda Umno ini diberikan tugas menawan anak-anak muda sekitar 18 hingga 25 tahun dan mereka ini mahu dilatih dan diberikan pendedahan agar menjadi instrument kearah mencapai cita-cita Malaysia maju pada tahun 2020.

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Beliau memberi contoh Azeez ada berkata:

Itulah mulanya saya berjaya sehinggalah saya dapat jual kereta pada mat salleh dan saya ada 7 showroom . Saya ada di tapak Giant Kelana Jaya sekarang, jalan Kelang Lama dan dalam Subang Parade, itu ada jual kereta mewah.

Di dalam Subang Parade tidak ada showroom kereta. Kalau ada pun berkala pada musim-musim tertentu, tidak ada showroom yang kekal. Takkanlah Azeez nak mendakwa showroom seumpama itu sebagai sebahagian dari kononnya 7 showroomnya itu.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:

Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:

Sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di Amerika

Menurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Dalam wawancara ini Azeez turut berkata:

Sesuatu yang salah tetap saya kata salah, haram tetap haram halal tetap halal prinsip saya jelas, saya tidak mahu kerana kawan saya nak pusing cakap, itu saya tak mahu! Bagi saya apa mak cakap adalah benar belaka.

Dan dalam hal ini berdasarkan kenyataan sumber sebagaimana yang telah dinyatakan, tidaklah salah kalau kita mula meragui kenyataan Azeez di atas. Kalau yang salah itu benar-benar salah, maka banyak yang perlu diperbetulkan oleh Azeez dan sedih melihatkan Umno akan menyerahkan nasib anak-anak muda kepada seorang yang kredibilitinya sangat-sangat dipertikaikan.

Kesimpulannya renunglah apa lagi kata Azeez dalam wawancara itu:

Pak Lah ke sana sini menyebut Islam Hadhari, yang faham siapa, ketua bahagian pun ada yang tak faham, apatah lagi akar umbi, jadi peluang yang berikan pada saya ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya, saya akan pergi ke akar umbi untuk menterjemahkan apa itu mari bekerja bersama saya bukan untuk saya.

Posted by roslan sms at 11:05:00 PM 0 comments

Atas permintaan ramai dan sempena PRK Bagan Pinang, berikut saya terbitkan kembali posting saya bertarikh 4 Ogos 2005: (http://n32.blogspot.com/2005/08/ketua-putera-umno-bukan-samseng.html)
Ketua Putera Umno bukan samseng jalanan tetapi …….

Pada 21 Jun lalu saya ada memuatkan dalam blog saya (http://n32.blogspot.com/) ulasan berkenaan temuramah Ketua Putera Umno Azeez Abdul Rahim dalam Agendadaily (http://www.agendadaily.com/). Dalam ulasan saya itu saya mengenengahkan maklumat yang diterima dari sumber yang boleh dipercayai berkenaan jawapan dan ulasan Azeez dalam temuramah itu.

Menurut sumber tadi kebanyakan maklumat yang diberikan Azeez dalam temuramah itu samada telah diselewengkan atau palsu ataupun pembohongan.

Saya terbitkan kembali ulasan saya itu:

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri.

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di AmerikaMenurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Pihak Agendadaily telah membuat temuramah susulan dengan Azeez barangkali ekoran perkembangan ini (atau barangkali agendadaily pun menerima maklumat yang sama). Jelas kenyataan Azeez kali ini semakin mengeruhkan keadaan malah hampir mengesahkan maklumat yang diperolehi dari sumber itu dan banyak lagi yang masuk setelah berita Azeez ini dibawa kepengetahuan umum.

Azeez tidak menafikan yang beliau banyak terlibat dengan kes-kes di mahkamah yang ada diantaranya masih belum diputuskan apabila beliau berkata dalam temuramah kali ini:

Dalam bab ada orang dakwa saya ada kes mahkamah …memang betul. Siapa saja yang berminat nak tahu sangat betul tak betul boleh pergi check kat mahkamah..memang dulu waktu zaman saya mula berniaga.. memang ada unsur-unsur dalam perniagaan… kata saya nak tembak orang dan sebagainya.

Selain itu dalam penjelasan beliau kepada Agendadaily Azeez tidak menyentuh langsung berkenaan syarikat Wilayah Arms yang didakwanya dibeli dari Almarhum Sultan Selangor (dalam temuramah pertama). Berdasarkan rekod Almarhum Tuanku memang TIDAK PERNAH memiliki mana-mana lesen mengedar ataupun menjual senjat api!

Manakala berkenaan ijazah Masters yang didakwanya diperolehi beliau di Amerika Syarikat (yang dinafikan oleh kenalan-kenalan rapat beliau) Azeez berkata dalam temuramah baru ini:

Pasal ada orang bawa mulut kata saya tak ada kelulusan universiti luar negara kata saya temberang dan sebagainya.

Itu terpulanglah..kalau saya tak ada mana mungkin saya berani nak bubuh kelulusan itu dalam biodata saya.

Universiti saya belajar bukan universiti yang kolot..itu antara universiti tertua di Amerika iaitu Preston University di Wyoming,Amerika Syarikat.

Tak kan saya masuk universiti balik kosong, mustahil, lainlah kalau universiti negara-negara kita tak percaya kesahihhannya, ini semua ada rekod.

Tak mungkin saya nak bohong, apa tujuan saya nak bohong.

Akan tetapi penjelasan ini sahaja sudah merupakan satu pembohongan baru!

Jeff Ooi pemilik blog SCREENSHOTS (http://www.jeffooi.com/) telah membuat kajian berkenaan Preston University ini sebagaimana yang didakwa Azeez dan Jeff mendapati:

Preston University of Wyoming – which was established in 1994, and held its first graduation ceremony in 1997 – is ONE OF THE OLDEST UNIVERSITIES IN THE US?

Bagaimana Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1994 (baru 11 tahun) itu boleh dikatakan oleh Azeez sebagai ANTARA UNIVERSITI TERTUA DI AMERIKA SYARIKAT!

Apa pun penjelasan Azeez ini makin menimbulkan pelbagai lagi kecelaruan dan kesangsian terhadap kewibawaan dan status beliau sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya memimpin golongan muda, genarasi pelapis dalam Umno. Kemungkinan Azeez bukan lah samseng jalanan (sebagaimana tajuk temuramah susulan beliau dalam agendadaily), kerana hanya seorang samseng profesional sahaja sebenarnya yang mampu melakukan semua yang diatas!

Selamatkanlah anak-anak anda dari terjebak di dalam Putera Umno ini.

TAHNIAH UNTUK SEMUA DI UMNO LARUT

Posted in LARUT, UMNO on October 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bukan untuk Raja Ahmad sahaja, tetapi juga Hamzah Zainuddin dan juga Mohd Daud.

Paling penting, Zamry sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak berjaya mengatasi ‘perang Larut’ hampir 11 bulan.

Padanlah Raja Ahmad berdiam diri sahaja dan tidak lagi bersuara mengenai ‘masalah bahagiannya’. Rupa-rupanya semua sudah beres!

RAJA Ahmad (tengah) diapit Hamzah (kanan) dan Mohd Daud (kiri) berkompromi demi parti sambil disaksikan Muhyiddin dan Zambry pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut di Selama, kelmarin.

Kalau dari awal begini kan bagus. Tidak adalah kemelut dan ibu pejabat UMNO pun tidak pening.

Persidangan perwakilan bahagian itu tertangguh beberapa kali selepas berlakunya perbalahan antara Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dan Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga Ahli Parlimen Larut yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan.

Mesyuarat yang mulanya dijadualkan 2 November tahun lalu ditangguhkan beberapa kali selepas Raja Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah mengumumkan Umno Larut menolak pencalonan Hamzah atas alasan teknikal.

Hamzah bukan sekadar Ahli Parlimen tetapi juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Jadi eloklah kalau beliau tidak ‘merebut’ Ketua Bahagian. Biarkan sahaja Raja Ahmad menjadi Ketua Bahagian Larut.

Lagipun, dia menyokong dengan laluan mudah kepada Hamzah untuk bertanding sebagai ahli parlimen. Tiada sabotaj pun seperti di sesetengah bahagian.

Sebelum ini Raja Ahmad adalah ahli Parlimen tetapi diturunkan ke kerusi DUN Titi Gajah.

Saya ada menulis beberapa siri rencana ketika kemelut bahagian antara Oktober dan Disember tahun lalu bersama-sama dengan beberapa bahagian lain sebelum pemilihan yang lalu, termasuk bahagian Tanah Merah Kelantan, Seputeh Wilayah Persekutuan dan juga Bahagian Tenom di Sabah.

Kesian juga kepada perwakilian UMNO Larut pada perhimpunan tahun lalu apabila datang sebagai pemerhati dan tidak pun ada tempat untuk mereka di Dewan Merdeka.

Namun Alhamudulliah, kini segalanya-galanya kembali asal dan diharapkan tiga pihak yang ‘bersengketa’ sebelum ini akan melupakan segala-galanya demi UMNO.

Kepada Hamzah, mahu direbutkan apa lagi Ketua bahagian kerana selain menjadi Ahli Parlimen, beliau sibuk dengan tugasnya sebagai Pengerusi Felcra.

Dengan berlangsungnya persidangan perwakilan Umno Bahagian berkenaan selepas tertangguh hampir setahun berikutan kerana kemelut kelayakan calon yang ingin bertanding, kini menjadikan kesemua barisan jawatankuasanya kekal tanpa bertanding.

Mesyuarat perwakilan itu berlangsung dalam suasana mesra dan menyaksikan semua jawatan tidak ditandingi.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana akhirnya Umno Bahagian Larut dapat mengadakan sidangnya setelah tertangguh beberapa kali kerana kemelut yang dihadapi,” kata Raja Ahmad.

Bahagian Larut sepatutnya berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, walaupun baru dilantik beberapa bulan lalu tetapi berjaya membuka ruang kepada 385 perwakilan bahagian itu bermesyuarat dalam suasana mesra.

Zambry yang diberi tanggungjawab mencari penyelesaian mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Timbalan Ketua bahagian itu, Datuk Mohd Daud Yusof.

Kumpulan itu akhirnya berjaya meyakinkan Hamzah untuk berkompromi dan menarik diri daripada bertanding, sekali gus memberi laluan kepada Raja Ahmad kekal ketua bahagian, manakala Mohd Daud dengan jawatan yang disandangnya.

Penyelesaian kepada kemelut ini bermakna semua 191 bahagian UMNO sudah bermesyuarat.
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan ahli Umno Larut serta menyifatkan semua pihak menunjukkan kematangan, tolak ansur selain sayangkan parti sehingga membolehkan Umno bahagian itu mengadakan mesyuarat.

Kemampuan bahagian itu mencapai kata sepakat dan berkompromi juga menunjukkan ahli Umno mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah dalaman tanpa membabitkan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

MOHD ISA JADI TARUHAN PERTAHANKAN BN

Posted in Bagan Pinang, Calon, Pilihanraya, UMNO on October 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Mampukah Tan Sri Mohd Isa Samad menjadi taruhan mempertahankan maruah Barisan Nasional (BN) yang sudah beberapa kali kecundang dalam pilihan raya kecil?

Sebagai insan yang digemari penduduk tempatan, Mohd Isa akan kembali popular dalam partinya – UMNO – sekiranya beliau menang.

Secara peribadi, Mohd Isa memang popular dengan ahli UMNO – tidak keterlaluan kalau dikatakan lebih popular daripada Timbalan Presiden UMNO sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Naib-Naib Presiden UMNO yang ada sekarang.

Penyokong UMNO bagaikan boleh dan melupakan ‘kesilapan Tan Sri Isa’ pada 2004. Lagipun, bukan Mohd Isa sahaja melakukan perkara sedemikian. Cumanya beliau tidak bernasib baik kerana ketika melanggar ‘lampu merah’ polis trafik kebetulan membuat laluan di situ. Kereta lain yang membuat kesalahan sama terlepas kerana terlebih dahulu atau terkemudian daripada kehadiran polis trafik di situ.

Mohd Isa adalah ‘pemenang’ kerusi Naib Presiden 2004 dan ketika itu bintangnya dilihat cerah kerana menduduki tempat pertama kerusi Naib Presiden UMNO berbanding Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketika itu penyokong Mohd Isa melihat beliau berpotensi besar untuk melompat ke kerusi Timbalan Presiden kerana pemimpin seperti Datuk Seri Zahid Hamidi , Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal jauh lebih junior.

Pada ketika sesetengah pemimpin UMNO, khususnya pemimpin veteran seperti Tun Dr Mahathir Mohamad ‘melihat sebelah mata’ kepada Mohd Isa, beliau sebenarnya masih ramai penyokong. Itu belum termasuk yang bersimpati kepadanya kerana seolah-olah beliau dijadikan kambing hitam dalam kes politik wang dalam UMNO.

Cumanya, jangan ada sabotaj pihak yang bimbang Mohd Isa kembali ‘ke kencah politik perdana UMNO’ kerana jika ini berlaku, memanglah sah ada usaha untuk membunuh karier politik Mohd Isa.

Hujan lebat yang turun di sekitar bandar Port Dickson pagi ini membawa pelbagai tafsiran. Apakah ia hujan rahmat atau member isyarat bahawa ada pihak yang kalah sebagai isyarat akan dibasahkan teruk dan hanyut bersama air lumpur ke Selat Melaka.

Memanglah hujan itu tidak menghalang proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Begitu juga dengan penyokong parti yang bertanding, mereka tidak berganjak untuk terus memberikan sokongan kepada calon masing-masing walaupun dalam keadaan basah kuyup.

Namun pilihan raya ini akan menguji Barisan Nasional (BN) kerana ia adalah DUN milik BN. Sebelum ini BN boleh mendakwa ia bertanding untuk ‘merebut’ kerusi lawan dan sewajarnya kalah.

Jika pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada awal tahun menyaksikan BN gagal mempertahankan kedudukannya, pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ini menjadi kayu ukur sejauh mana BN mampu mempertahankan DUN miliknya dengan ‘segala bala tentera’ yang diturunkan.

Pagi ini, Kira-kira 10,000 penyokong dua parti utama, BN dan Pas berkumpul berhampiran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) seawal pukul 6.30 pagi. Calon Pas Zulkefly Mohamad Omar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan penyokong mula berarak dari Markas Induk, Batu 6 Bagan Pinang sejak 7 pagi dan tiba pada pukul 8.15 pagi ini.

Sementara calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin komponen tiba pada kira-kira 8.30 pagi.

Khabarnya, ada beberapa insiden yang tidak diingini berlaku dan pastinya jika tidak kerana hujan, suasana penamaan calon akan lebih panas dan membara.

Pengerusi Putera UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dipukul oleh penyokong parti lawan ketika berarak mengiringi calon Barisan Nasional (BN) menuju ke pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini hari ini.

Katanya, beliau dipukul oleh sembilan orang penyokong parti lawan dan telah diselamatkan oleh anggota polis yang bertugas.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan calon Pas, Zulkifly Mohamad Omar. Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid gagal mengemukakan borang sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi. Sebelum itu borang pencalonannya di tolak kerana penyokong bukan dari kalangan penduduk tempatan Bagan Pinang.

Selepas tempoh bantahan tamat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan hanya Mohd. Isa dan Zulkifly akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

AHMAD SAID TIDAK ADA KENA MENGENA…

Posted in Dadah, PEMUDA, UMNO on October 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Semalam saya mengulas mengenai ‘Isu Dadah dan Pemuda UMNO Kemaman (1)’ dan antara petikan yang saya ambil ialah “Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan…”
Hari ini portal berita pro-PAS membuat pembetulan. Terima kasih kerana pembetulan berkenaan. Baguslah…menyedari ada kesilapan dan terus membuat pembetulan.

Disiarkan pembetulan dimaksudkan.

PEMBETULAN…

Pembetulan pada berita Pimimpin UMNO Menagih Dadah – Sudah Tiba Masanya Menukar Kerajaan

Merujuk kepada berita yang bertajuk diatas, Haji Hanafiah telah menelefon Buletinonline hari ini untuk membetulkan kesilapan catatan yang TIDAK DISENGAJAKAN dibuat oleh wartawan Buletinonline.

Kesilapan tersebut berpunca dari salah pendengaran kerana ketika Hanafiah membuat kenyataan tersebut, beliau membuat panggilan telefon dari Port Dickson, dalam gerakerja kempen pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Dalam para 8 berita tersebut telah ditulis sebagai ; Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan.

Kenyataan yang sebenarnya adalah; Haji Hanafiah menyifatkan Ahmad Said turut gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih sehingga anak buah Ahmad sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial berkenaan.

Buletinonline kesal atas segala salah faham yang timbul.

ISU DADAH & PEMUDA UMNO KEMAMAN (1)

Posted in Dadah, PEMUDA, UMNO on October 2, 2009 by Hambali Abd Latiff

Beginilah…apabila Mat Sabu (Mohamad Sabu) ditangkap berkhalwat di hotel Perdana Kota Bharu sekitar 1990-an, riuh rendah orang PAS mengatakan Mat Sabu jangan dipersalah atau dikatakan beliau berkhawat sebelum dibuktikan bersalah.

Dipendekkan cerita, Mat Sabu lepas. Peguam yang bergelut untuk membebaskan Mat Sabu ialah Datuk Shukri Mohamad ( daripada Parti Melayu Semangat 46 kemudian masuk UMNO). Maknanya Mat Sabu ‘jangan dianggap bersalah sebelum dibuktikan bersalah’, kata pemimpin PAS ketika itu.

Ternyata selepas itu Mat Sabtu hidup sebagai orang bebas dan tidak ada kena mengena dengan tuduhan khalwat dengan isteri orang – Mat Sabu kini orang bersih.

Namun sebelum dia ‘dibersihkan’ oleh Shukri, Mat Sabu juga berada dalam keadaan seperti orang lain yang menghadapi pertuduhan.

Bagaimanapun, dalam kes pemimpin Pemuda UMNO Kemaman yang ditahan polis kelmarin ‘kononnya menagih dadah’ pemimpin PAS Terengganu cepat melatah dengan mengatakan sudah tiba masanya rakyat ngeri Terengganu khususnya dan satu Malaysia amnya menolak UMNO dan Barisan Nasional kerana kepimpinannya korup, rosak akhlak dan moral.

Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Haji Hanafiah Ramly@Mat, mereka yang ditangkap adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Ahmad Tarmizi Johar dan Ahli Jawatankuasa UMNO, Bahagian Japilus Ismail.

Selain itu katanya, abang Japilus yang turut ditangkap disyakki menjadi pengedar dadah tersebut dan ketiga-tiga mereka merupakan pimpinan pelapis yang telah dididik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang juga adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Apakah pemimpin PAS Terengganu seperti Haji Hanafiah sudah yakin mereka itu bersalah? Benarkah mereka itu melakukan perbuatan itu, termasuk abang Japilus yang dikatakan mengedar dadah?

Apa bukti yang mereka ini ada? Jangan cepat melenting, silap-silapkan kena saman malu!
Begitu juga dengan kenyataan Hanafiah yang mengaitkan kes ini dengan Datuk Ahmad Said.

Beliau menyifatkan Ahmad Said gagal melahirkan kepimpinan UMNO yang bersih kerana menurutnya Ahmad Said sendiri turut dikaitkan dengan masalah-masalah sosial yang berkenaan.

Apa maksud Hanafiah Ahmad Said turut dikaitkan dengan masalah social berkenaan? Ahmad Said juga penagih atau bersangkutan dengan penagih?

Hanafiah jangan cari pasal. Bagaimana sekiranya mereka yang ditahan itu terbukti tidak terbabit?

Juga, memandangkan polis baru menahan dan perbicaraan belum dilakukan, janganlah buat andaian yang berbagai.

Tidak perlulah pemimpin PAS menyeru semua rakyat Terengganu dan Malaysia supaya bersama-sama kepimpinan pakatan pembangkang yang menurut pemimpin PAS mereka adalah bersih dari masalah korupsi, bebas keruntuhan akhlak dan tinggi moralnya.

Jangan terlalu angkuh kerana pemimpin PAS juga menghadapi masalah yang sama dalam soal korupsi dan soal moral.

Bagaimana dengan kejadian pemimpin PAS memukul isteri, mengabaikan isteri atau menggunakan dana parti untuk kepentingan peribadi?

Bagaimana dengan wakil rakyat PAS yang tidak ‘berfungsi’ dan hanya mengambil gaji tetapi tidak berbakti kepada rakyat? Bukankah ini antara perbuatan yang salah dan dilarang oleh Islam?

Walaupun belum ada yang ‘sangkut’ di tangan SPRM kerana kes rasuah umpamanya di kalangan pemimpin politik Kelantan tetapi masa akan menentukan bahawa ‘pelanduk boleh melupakan jerat’ tetapi ‘jerat tidak akan melupakan pelanduk’?

Beberapa siasatan membabitkan rasuah di kalangan pemimpin pakatan pembangkang di Selangor dijangka akan menyerlahkan kebenaran bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa melampaui parti, bangsa atau juga agama.

Jadi, tunggu keputusan mahkamah sebelum menghukum dua Pemuda UMNO berkenaan dan sambil itu tidak adil mengaitkan Ahmad Said atau sesiapa juga pemimpin Terengganu dengan kes berkenaan.