Archive for the Mohd Saiful Category

ANWAR FAIL PERMOHONAN TERUSKAN PERTUDUHAN QAZAF

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on January 8, 2010 by Hambali Abd Latiff

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 63, ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memfailkan notis permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah pagi ini melalui peguamnya yang diketuai Kamar Ainiah

Kamaruzaman.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan tiga responden iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Dalam notis permohonan itu, Anwar memohon perintah mahkamah supaya mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasa yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari dan menghalang Che Mat serta Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.

Anwar juga mendakwa laporan qazaf berhubung pernyataan palsu mengenai beliau meliwat Mohd Saiful Bukhari telah dibuat kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan Jawi pada 9 Julai 2008, dan beliau dipanggil untuk memberi keterangan tetapi masih tiada maklum balas daripada Jawi.

Bagaimanapun, beliau diberitahu status laporan itu telah selesai.
Notis itu juga turut menyebut pada 27 Oktober 2009, Jamil menyatakan Anwar perlu menunggu perbicaraan liwat terlebih dahulu sebelum meneruskan perbicaraan pertuduhan qazaf terhadapnya.

Bagaimanapun dalam notis permohonan itu, Anwar menegaskan perbicaraan yang dihadapinya adalah berlainan.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu jawapan balas dalam tempoh 14 hari daripada pihak pendakwaan.

Kenyataan Tuntutan Qazaf oleh Anwar
Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.
Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. (Gambar – Anwar semasa kali pertama memfailkan tuntutan Qazaf pada 8 Julai, 2008)
Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.
Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26 Jun 2008.
Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.
Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.
Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.
Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.
Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.
Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.
Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak.

BICARA ANWAR – JANGAN TUNDA LAGI…

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on December 1, 2009 by Hambali Abd Latiff

Diharap tiada lagi penagguhan selepas ini. Keadilan perlu bagi kedua-dua pihak. Bukan yang menuduh sahaja memerlukan pembelaan tetapi juga yang tertuduh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibersihkan daripada segala tuduhan oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Kegagalan Anwar dalam permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap Saiful hari ini membuka jalan kepada mahkamah menetapkan perbicaraan kes liwat Anwar selama sebulan mulai 25 Januari hingga 25 Februari tahun depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan tarikh itu setelah menolak permohonan Anwar dengan alasan laporan perubatan dalam kes itu tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah membatalkan pertuduhan .

Hakim juga menyatakan bahawa hanya dengan menunjukkan sebahagian pasukan pendakwa raya pada kes ini adalah sama dalam kes liwat 1998 tidak cukup untuk mahkamah menyatakan pasukan pendakwa raya berat sebelah dan tuduhan kali ini berniat jahat.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan , 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.

ANWAR TAWAR SAIFUL RM5 JUTA?

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on November 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Beberapa laman blog semalam menimbulkan kontroversi apabila wujud dakwaan yang yang mengatakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan sebanyak lima juta.

Tujuannya? Meminta Saiful supaya menarik kembali dakwaannya.

Blog-blog berkenaan mengatakan Anwar mengarahkan ahli perniagaan, Datuk Soh Chee Wen untuk mengadakan perbincangan dengan Mohd Saiful berhubung perkara berkenaan.

Berdasarkan tulisan dalam blog berkenaan juga dinyatakan bahawa Soh telah menggunakan sepupu Saiful sebagai ‘jambatan’ untuk berhubung dengan bekas pembantu Anwar itu bagi menawarkan sebanyak RM5 juta untuk menarik balik kes tersebut.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Saiful, Zamri Idrus menafikan mengenai perkara itu.”Tidak… tidak benar, saya beri jaminan tiada sebarang tawaran dibuat kepada Saiful.

“Perkara ini langsung tidak benar. Saiful tetap dengan pendiriannya dalam kes ini,” katanya.
Menurut mStar Online, Zamri yakin perkara ini sengaja dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan keadaan.

“Saya sendiri tak pasti bagaimana perkara ini boleh timbul, tapi apa yang pasti ia memang tidak benar… mungkin ia sengaja dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Ditanya sama ada Saiful sudah mengetahui mengenai perkara ini, Zamri berkata: “Ya, Saiful juga menyedari mengenai artikel berkenaan, dia sudah baca… malah dia sendiri terkejut dengan kenyataan itu.”

Anwar dituduh meliwat bekas Mohd Saiful, 23 di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.

USAHA ANWAR LEMAHKAN PROSIDING JENAYAH GAGAL

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on September 17, 2009 by Hambali Abd Latiff


Cukuplah. Diharapkan tarikh perbicaraan kes liwat itu akan dapat disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November depan.

Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadapnya diharap akan mempercepatkan proses pendakwaan terhadapnya.

Malah kegagalan Anwar untuk turut sama membabitkan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia sebagai responden kelapan dan kesembilan diharapkan Penasihat Parti Keadilan itu dibicarakan pada tarikh ditetapkan.

Sudah pasti peguam Anwar akan melakukan sesuatu, sama ada merayu atau melalui cara lain untuk terus menangguhkan perbicaraan terhadapnya.

Anwar sebenarnya cuba menangguh-nangguhkan kesnya dan mahkamah mendapati beliau telah menyalahgunakan proses Mahkamah Tinggi bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Hakikatnya, jika benar Anwar mempunyai sebab yang munasabah untuk menggugurkan pasukan pendawaan itu, kenapa permohonan Anwar tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka?

Apa yang berlaku dalam kes ini ialah, rakyat semakin jemu dengan kes ini dan kesian dengan bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, yang mengharapkan perbicaraan dijalankan bagi menegakkan keadilan selepas setahun kes ini tertangguh.

Kegagalan Anwar bermakna Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Noorin Badaruddin, boleh meneruskan tugas mereka tanpa gangguan lagi.

Mereka ini adalah responden pertama hingga ketujuh dalam usaha Anwar melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan permohonan dengan alasan wujudnya berat sebelah atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan oleh responden pertama hingga ketujuh.

Anwar mendakwa pasukan pendakwaan itu mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pertuduhan dibuat dengan niat jahat (mala fide) serta ia adalah kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada 1998.

Dakwanya lagi, Abdul Gani bertindak secara berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kes itu apatah lagi terdapat laporan polis terhadap Peguam Negara itu berhubung konspirasi politik dalam kes tahun 1998 dan insiden ‘mata lebam’.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin semalam mendapati Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu antara lain telah menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Justeru beliau memutuskan untuk menolak permohonan Anwar mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Alizatul menyatakan permohonan Anwar itu tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka.

Walhal, katanya, mengikut Perintah 53 Perintah-Perintah Mahkamah Tinggi 1980, seseorang pemohon dibenarkan mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar sesuatu keputusan atau tindakan oleh pihak berkuasa yang dikatakan salah di sisi undang-undang atau berlakunya penyalahgunaan kuasa.

‘‘Dalam kes ini, pemohon tidak mencabar secara spesifik sebarang tindakan salah oleh pendakwa raya yang membolehkan mahkamah ini menggunakan kuasa penyeliaannya,’’ katanya.

Justeru pada hemat Hakim Alizatul, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.

Beliau turut menegaskan, melalui permohonan itu, Anwar bukan sahaja cuba berusaha melucutkan kelayakan tujuh pendakwa raya terbabit tetapi juga kesemua pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara daripada mengendalikan pendakwaan kes liwatnya.

‘‘Ia adalah sama seperti untuk melemah dan menghentikan prosiding (jenayah) walaupun Sivarasa (peguam Anwar, R. Sivarasa) menyatakan pemohon tidak bermaksud untuk menghentikan keseluruhan pasukan pendakwaan,’’ tegas beliau.

Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Ogos lalu, Anwar memohon kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar keseluruhan pasukan pendakwa raya dilucutkan kelayakan mereka daripada mengendalikan pendakwaan atau rayuan kes liwat tersebut.

Anwar diwakili barisan tujuh peguam diketuai oleh Sivarasa manakala responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai oleh See Mee Chun.

Sivakumar ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya akan menasihatkan Anwar berhubung tindakan selanjutnya yang perlu diambil sama ada memfailkan permohonan baru di Mahkamah Tinggi Jenayah atau mengemukakan rayuan terhadap keputusan semalam.

APABILA KEPERCAYAAN KEPADA MAHKAMAH SEMAKIN LUNTUR

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on September 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hari ini 17 Ramadan, ialah Nuzul Quran. Antara hari baik pada bulan Ramadan.

Quran diturunkan untuk mengingatkan umat Islam tentang keagungan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar ini. Namun di negara kita heboh beberapa ketika sebelum ini mengenai Saiful Bukhari Azlan bersumpah al-Quran bahawa Anwar Ibrahim meliwatnya.

Maka hangat diperbincangkan sama ada wajar, sah dan sebagainya sumpah Saiful. Namun, yang satu lagi subjek – Anwar meliwatnya seolah-olah tidak penting. Lebih menyedihkan kes asyik tertangguh dengan pelbagai kerenah.

Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar dalam blognya baru-baru ini menyatakan rasa kesal terhadap penangguhan kes liwat yang dihadapi oleh bekas majikannya itu ekoran tindakan Anwar mengemukakan beberapa permohonan berkaitan dengan kes tersebut.

Di pihak yang dituduh pula, kenapa mesti mencari alasan untuk menangguhkan perbicaraan? Setiap kali hampir tarikh perbicaraan, ada sahaja alasan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya menfailkan itu dan ini.

Ini menggambarkan kepada masyarakat bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ‘buying time’ dan mendapat hak istimewa. Tetapi untuk apa?

Yang pasti penangguhan kes ini sudah masuk kali kelima. Kes Anwar dituduh meliwat Saiful ini kali pertama disebut di Mahkamah Sesyen pada 10 September 2008 (tahun lepas).

Anwar bagaikan memasang taktik dengan gerak sarafnya walaupun perlu menggadai maruah diri kerana dengan kes ditangguhkan, Anwar boleh mencanang ke seluruh dunia kononnya dia orang baik. Anwar boleh menjelajah di dalam dan luar negara.

Anwar mereka dan menyediakan senarai alasan dengan mengatakan ini satu lagi konspirasi terhadapnya, cerita rekaan Saiful, hakim berat sebelah, pendakwa ada kepentingan, saksi disogok, dan banyak lagilah. Anwar memang ‘teror’ perkara sebegini.

Saiful pula bagaimana? Dia pastinya terpaksa menunggu dan dibelenggu persepsi buruk lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang mempercayai Anwar.

Sudah pasti mahu perbicaraan kes ini disegerakan. Bagi anak muda berusia 23 tahun itu dia bukan sahaja tidak bebas menjalani kehidupan seperti biasa tetapi persepsi buruk dan kesan jangka panjang sedang dihadapinya.

Saiful bukan seperti Anwar. Akibat membuat tuduhan diliwat pada 26 Jun tahun lalu, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, anak muda ini terpaksa membataskan kehidupannya, bukan seperti Anwar yang tidak segan silu bersuara dan menjelajah ke seluruh ceruk rantau.

Malah sebelum itu Saiful dalam blognya berkata, kesnya itu berbeza dengan kes yang lain kerana walaupun beliau merupakan pengadu dan mangsa, namun beliau dicap seolah-olah seperti orang kena tuduh (OKT) di mata umum.

“Jika permohonan itu berjaya (kes gugur), tidakkah ia merupakan satu bentuk penganiayaan kepada saya selaku pengadu dan saksi utama. Pelbagai tohmahan, fitnah, maki hamun dan pelbagai lagi oleh jutaan manusia dilempar kerana tidak mempercayai saya. Tetapi apabila saya bersedia untuk memberi keterangan, masing-masing seperti cacing kepanasan.Walaupun perit menahan diri daripada mendedahkan segala bukti yang ada, saya tetap bersabar kerana saya perlu menghormati keputusan mahkamah,” katanya.

Banyak pendapat mengatakan penangguhan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran.

Selain itu, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah
Sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.

Hakikatnya, Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan.

Tetapi yang nyata, Anwar peduli apa.

Ada pendapat mengatakan apa yang berlaku terutama di Perak hari ini juga adalah antara strategi Anwar mengelak berdepan dengan proses keadilan.

Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional bertanya: “Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan.”

Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral. “Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin. “

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia.”

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha Anwar yang mahu membatalkan kumpulan pendakwaan terhadap kes itu atas sebab-sebab tertentu.

‘‘Bagaimana kalau saya pula kata, R. Sivarasa tidak dibenarkan menjadi peguam bela Anwar kerana Sivarasa adalah seorang yang berkepentingan kepada Anwar selain dia juga ialah ahli Parlimen pembangkang. Boleh saya kata begitu?”

Anwar menurut Nazri, sepatutnya mempertikaikan tanggungjawab seseorang hakim sama ada berlaku adil atau tidak bukan terhadap kumpulan pendakwa raya.

Melihat kepada kes Saiful ini, apakah ini namanya proses keadilan? Jika benar ada keadilan, ia dinikmati siapa? Anwar atau Saiful atau kedua-duanya?

Anwar mungkin menikmati keadilan kerana dia mendapat pembelaan sewajarnya apabila daripada satu barisan hakim ke satu barisan hakim lain dan daripada satu mahkamah ke satu mahkamah lain kesnya disebut.

Anwar juga menikmati keadilan apabila daripada satu penangguhan ke satu penagguhan lain yang sehingga ini menjadi lima dan dalam tempoh hampir setahun.

Anwar juga menikmati keadilan apabila mengemukakan bantahan demi bantahan – dan terbaru mahu barisan pendakwa sedia ada digugurkan . Tujuannya bukankah untuk menyekat atau melewat-lewatkan pendedahan segala bukti dan keterangan oleh pihak pengadu?

Kerana itu timbullah pelbagai pendapat mempersoalkan bagaimana mahkamah dan kerajaan boleh melayan Anwar sedemikian rupa.

Kenapa Anwar mendapat layanan sebegitu?

Apakah kerana dia pemimpin dan Saiful rakyat biasa?

Jika beginilah keadaanya dan Saiful terus dihimpit penangguhan demi penangguhan, mungkinkah rakyat lain yang ada kes dan terpaksa berdepan dengan pemimpin akan mendapat layanan yang sama?

Salahkah rakyat jika kepercayaan menjadi luntur kepada mahkamah dan sistem kehakiman kita gara-gara mahkamah hanya menjaga kepentingan orang besar, berpangkat dan kaya?

SAIFUL – TABAH MENANTI KEADILAN

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on August 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Semalam adalah hari ke 400 penantian Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagi Saiful, hari ini seperti hari-hari lain sebelum ini dan hari-hari berikutnya akan menjadi penantian penting baginya. Hari Perbicaraan.

Dari hari pertama pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, sudah lebih kurang 15 kali perbicaraan ini ditangguh. Perbicaraan Utama sepatutnya bermula pada 1 Julai 2009.

Ia ditangguh atas pelbagai sebab dan alasan. Selain dari menunggu keputusan bantahan/permohonan, Ia termasuklah dengan tertuduh membawa isu yang tidak relevan i.e sijil tidak sah konon kerana kes mata lebam 10 tahun dahulu(memakan masa lebih kurang 11 Bulan, M.Sesyen>M. Tinggi>M.Rayuan), memohon untuk dapatkan bahan bukti dan dokumen asal, memohon untuk gugurkan kes sebelum bicara, ketua peguambela ‘sakit'(akhirnya tarik diri) dan pelbagai alasan lagiSemalam juga genaplah 400 hari dari tarikh beliau membuat laporan polis iaitu pada 28 Jun 2008.

Walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.

Bacalah perasaan dan hasrat Saiful seperti dipaparkan:
PENANTIAN: HARI KE 400

http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com

Hari ini genaplah 400 hari dari tarikh saya membuat laporan polis iaitu pada 28 Jun 2008. Ia juga merupakan jumlah hari sehingga kini(akan bertambah), dimana saya terpaksa menunggu hari Perbicaraan Utama untuk kunjung tiba.

Untuk makluman, walaupun Perbicaraan Utama belum bermula, mengikut rekod, dari hari pertama pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, sudah lebih kurang 15 kali perbicaraan ini ditangguh. Perbicaraan Utama sepatutnya bermula pada 1 Julai 2009.

Ia ditangguh atas pelbagai sebab dan alasan. Selain dari menunggu keputusan bantahan/permohonan, Ia termasuklah dengan tertuduh membawa isu yang tidak relevan i.e sijil tidak sah konon kerana kes mata lebam 10 tahun dahulu(memakan masa lebih kurang 11 Bulan, M.Sesyen>M. Tinggi>M.Rayuan), memohon untuk dapatkan bahan bukti dan dokumen asal, memohon untuk gugurkan kes sebelum bicara, ketua peguambela ‘sakit'(akhirnya tarik diri) dan pelbagai alasan lagi.

Setiap kali perbicaraan/permohonan pula, ia akan memakan masa beberapa hari ataupun berbulan lamanya untuk didengar dan diputuskan. Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir telah mengulas mengenainya(undang2 diperkotak-katik). Walaupun ia ditulis secara umum, namun senarionya persis seperti apa yang sedang berlaku dalam kes saya. Boleh rujuk disini.

Harus berapa lama lagi saya perlu tunggu? Kebiasaannya, isunya adalah tertuduh atau mangsa dalam satu perbicaraan perlu menunggu hari hakim membuat keputusan(Judgement Day) yang kadang kala memakan masa yang agak lama, tapi dalam kes saya, tunggu hari perbicaraan utama pun sudah memakan masa lebih setahun.

Setiap hari ia ditangguh maka risiko(keselamatan saya dan saksi) semakin bertambah. Ini kerana penjenayah(tertuduh) masih bebas. Saya tidak mahu menuduh tertuduh mengancam keselamatan saya namun dari segi logik akal, mereka yang terdesak akan sanggup berbuat apa sahaja.

Selain itu, setelah menanti untuk sekian lama, tertuduh pula mohon supaya pertuduhan digugurkan sebelum perbicaraan(gugur kes).

Sudah banyak artikel saya telah tulis sebelum ini. Boleh rujuk di slot pautan di penghujung entri ini.

Walaubagaimanapun, saya tetap sabar dan redha dengan percaturan Yang Maha Esa. Jika dilihat dari sudut yang positif, saya bersyukur kerana sebenarnya banyak hikmah disebalik kelewatan ini. Itulah kebesaran Allah swt. Saya tidak mahu sebut hikmah-hikmah tersebut, mungkin anda boleh fikirkannya sendiri.

Kepada tunang tersayang, bapa, adik dan seluruh keluarga yang masih bersabar, tidak putus asa memberi sokongan dan dorongan, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Walaupun banyak dugaan yang terpaksa mereka tempuhi sepanjang perjuangan ini I.e dicerca, dimaki, ada yang dibuang kerja kerana saya(kerajaan dan swasta), mereka tetap tabah. Saya doakan semoga Allah terus memberi kekuatan dan keberkatan pada anda semua.

Begitu juga kepada sahabat-sahabat saya , terutama sekali sahabat-sahabat Blogger, ‘Forumer’, walaupun tidak pernah bertemu, saya amat menghargai jasa-jasa anda sekalian. Saya amat terharu dengan sokongan yang telah anda semua berikan selama ini. Saya berdoa semoga berkat keikhlasan bantuan/sokongan anda semua dibalas Allah S.W.T

“Perjuangan belum selesai, hanya mereka yang cekal dan tabah akan berjaya”Tun Dr Mahathir (saya edit sedikit). Justeru, saya akan terus cekal dan tabah! Hari ini hari yang ke 400, biarlah hari yang ke 500, 600, 1000 sekalipun saya tetap akan tunggu dan bersabar. Kebenaran tetap kebenaran, tidak ada apa yang bisa menghapuskannya melainkan Allah swt. Jika tidak dibicara Mahkamah Dunia sekalipun, di Mahkamah Akhirat(Mashyar) PASTI akan dibicarakan jua!

”Justice delayed Is Justice denied”

William E. Gladstone

Kepada Allah saya berdoa dan berserah..

Yang HAK pasti berdiri, Yang Batil Pasti Jatuh!

SAIFUL BUKHARI

KES LIWAT ANWAR DITANGGUH 2 SEPTEMBER

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on July 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kena tangguh lagi.

Selepas empat kali ditunda sejak 1 Julai lalu, perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Amat jelas, kes berkenaan sehingga kini masih di peringkat sebutan lagi bagi memberi laluan kepada permohonan-permohonan Anwar diselesaikan terlebih dahulu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan 2 September depan untuk tarikh sebutan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya dan perbicaraan utama kes berkenaan.

Perbicaraan sepatutnya bermula pada 1 hingga 24 Julai lalu tetapi dijadualkan semula selepas mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar agar pendakwa raya membekalkan dokumen dan barang kes kepadanya.

Permohonan itu juga berkali-kali ditangguhkan atas pelbagai alasan antaranya disebabkan peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah mengadu tidak sihat sehingga dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum beliau menarik diri daripada barisan pembelaan.

Ekoran adanya rayuan pendakwa raya selepas mahkamah membenarkan permohonan Anwar agar dibekalkan dokumen, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah sekali lagi menetapkan 2 September ini untuk sebutan perbicaraan utama kes liwat.

Permohonan Anwar itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya juga akan disebut pada tarikh yang sama.

Hakim Mohamad Zabidin berkata, adalah menjadi undang-undang mantap dalam keadaan yang luar biasa, mahkamah perlu mengambil kira untuk membenarkan sebarang permohonan penangguhan oleh mana-mana pihak.

“Saya dapati sekiranya pihak pendakwa raya berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah bertarikh 16 Julai lalu maka keputusan itu akan menjadi sia-sia jika permohonan (penangguhan) hari ini tidak dibenarkan,’’ jelasnya.

Beliau membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan pendakwa raya untuk menangguhkan pelaksanaan perintah tersebut.

Ia dikemukakan selepas pendakwa raya memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah pada 16 Julai lalu yang membenarkan Anwar dibekalkan dengan dokumen dan barang kes kecuali sampel dan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tempoh tujuh hari.

Antara dokumen yang dibenarkan dibekalkan ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara, salinan nota ahli kimia dan doktor perubatan serta salinan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pendakwaan berhujah, mahkamah perlu membenarkan permohonan penangguhan itu bagi mengelakkan rayuan pihaknya di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.

Menurutnya, keengganan mahkamah membenarkannya akan menyebabkan segala dokumen dan barang kes diserahkan kepada pihak pembelaan.

‘‘Maka jika rayuan pihak kami diterima oleh Mahkamah Rayuan, ia telah menjadi sia-sia dan sudah tidak bermakna lagi kerana dokumen berkenaan telah pun dibekalkan kepada pihak pembelaan,’’ katanya.

Terdahulu, dalam prosiding semalam pihak pembelaan telah memberikan afidavit jawapan berhubung permohonan pihak pendakwa untuk menangguhkan pelaksanaan terhadap perintah untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

Peguam pembela, Amer Hamzah Arshad dalam hujahannya berkata mahkamah tidak boleh menyekat hak yang telah diperuntukkan oleh undang-ung agar pihaknya dibekalkan dengan dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Bagaiamnapun hakim berkata, tidak ada mana-mana pihak yang akan menyekat hak pihak pembela itu memandangkan beliau sendiri yang mengarahkan pihak pendakwa membekalkan dokumen-dokumen berkenaan.

“Tiada siapa yang menghalang, tapi walaubagaimanapun kita kena biarkan Mahkamah Rayuan buat keputusan dahulu.

“Sama ada Mahkamah Rayuan menerima rayuan pihak pendakwa dan sekaligus membatalkan keputusan saya pada 16 Julai lalu kita belum ketahui,” kata hakim Mohamad Zabidin.

Isnin lalu pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani oleh Datuk Nordin, seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi kes liwat berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Rabu lalu untuk mendengar permohonan berkenaan.
Bagaimanapun hakim terpaksa memberikan penangguhan sementara (interim) dan membenarkan pendengaran permohonan itu ditunda ke hari ini bagi membolehkan pembelaan memfailkan afidavit jawapan.

Di dalam affidavit pihak pendakwaan, antaranya menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah pada 16 Julai itu adalah perlu kerana perintah itu berhubung kenyataan saksi yang dirakamkan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang diarahkan dibekalkan kepada Anwar akan memberi impak yang mana akan memudaratkan penyiasatan pendakwaan bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam kes jenayah lain.

Affidavit itu juga menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu juga perlu bagi mengelakkan rayuan pendakwaan terhadap perintah itu di Mahkamah Rayuan menjadi akademik kerana ia adalah persoalan undang-undang yang penting.

Pada 16 Julai, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dalam masa tujuh hari.
Tempoh tujuh hari itu berakhir kelmarin.

Mohamad Zabidin dalam keputusannya, bagaimanapun menolak permohonan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana sampel itu telah disita oleh ahli kimia dan pihak pembela boleh memeriksanya setelah ia dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Antara dokumen yang dibenarkan diberi kepada pihak pembelaan ialah kenyataan Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi, pemilik kondominium berkenaan Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga saksi utama lain.

Dokumen lain ialah salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pos pengawal di Desa Damansara Condominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, dan di kawasan menunggu lif di Blok 11 kondominium itu dari 25 hingga 27 Jun,2008.

ANWAR – SEMUANYA WAN AZIZAH TAHU

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on July 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Analisis Kumbang..(www.analisisringan.blogspot.com.)

Perkara yang paling menarik di dalam kes liwat Anwar yang terbaru ialah apabila dikatakan terdapat tujuh saksi utama di pihak pendakwaraya. Selain Saiful yang menjadi saksi utama, saksi lain pegawai penyiasat Jude Pereira, Hasanuddin, Rahimi, Rashid Othman dan Abd Hamid.

Kumbang tertarik dengan nama Rashid Othman sebagai saksi di dalam kes ini kerana Kumbang pernah mengulas mengenai beliau di dalam blog Kumbang. Kumbang juga pernah menyatakan persoalan “adakah Rashid akan terlibat di dalam perbicaran kes liwat Anwar Ibrahim?”.

Ternyata persoalan Kumbang ada asasnya apabila Rashid akan dipanggil oleh pihak pendakwaan sebagai saksi di dalam kes ini.

Siapa Rashid bin Othman dan apa yang menarik tentang beliau?

Seperti yang diceritakan blogger-blogger anti Anwar pada Kumbang. Ceritanya lebih kurang begini. Samada Anwar keluar daripada penjara dulu atau Rashid keluar dulu. Rashid dikatakan diambil berkerja oleh Anwar Ibrahim untuk menjadi pembantunya dan Rashid dikatakan turut tinggal di rumah Anwar.

Apa ‘portfolio’ Rashid di rumah Anwar tidak diketahui secara jelas, mungkin tukang urut atau orang gaji. Tapi GAP menyebut Rashid berkerja sebagai Tukang Urut.

Perkhidmatan Rashid di rumah Anwar ditamatkan Wan Azizah oleh kerana mungkin Wan Azizah tidak berpuas hati dengan ‘perkhidmatan’ Rashid.Rashid diberhentikan. Peristiwa pemecatan Rashid ini dikatakan berlaku selepas pergaduhan besar antara Anwar dan Wan Azizah yang disebabkan mungkin masalah Rashid ini. Sebab-sebab pemecatan ini masih menjadi misteri. Pelik apabila difikirkan, lelaki dipecat kerana menjadi tukang urut lelaki.

Kenapa Rashid dipecat Wan Azizah?

Adakah Wan Azizah cemburu pada Rashid?

Seperti yang diceritakan rakan Kumbang,Wan Azizah dikatakan sering memberi pesanan kepada pegawai-pegawai Anwar untuk tidak membenarkan sesiapa berada di sekeliling Anwar secara bersendirian. Samada lelaki atau perempuan. Wan Azizah tidak membenarkannya.

Mungkin secara positifnya, langkah Wan Azizah ini adalah untuk mengelakkan sebarang fitnah berlaku terhadap suami beliau. Tetapi pelik apabila difikirkan , Wan Azizah mengambil langkah-langkah berjaga-jaga untuk memastikan bahawa tiada ‘lelaki’ berada bersama Anwar.

Pada Kumbang langkah ini tidak menghairankan kerana mungkin Wan Azizah lebih mengenali siapa suami beliau sebenarnya.

Cerita Rashid tidak habis selepas pemecatan beliau oleh Wan Azizah. Rashid dikatakan bekerja pula untuk Anwar di pejabat lama PKR di Seksyen 16 Petaling Jaya. Selepas beberapa lama, Rashid dikatakan menghilang diri tanpa tujuan dan sebab yang munasabah.

Kemana Rashid menghilang diri? Kenapa Rashid menghilangkan diri?

Apa kaitan Rashid bin Othman dengan kes liwat Anwar Ibrahim?
Kumbang mengetahui tentang Rashid sebagai saksi di dalam kes liwat Anwar Ibrahim ini adalah pada januari lalu. Tetapi maklumat yang Kumbang ketahui ini tidak dapat dipastikan kerana masih lagi menjadi tanda tanya. Tanda tanya ini terjawab apabila pengumuman mengenai senarai saksi ini dibuat minggu lepas.

Mengulas peranan Rashid di dalam kes liwat Anwar Ibrahim, Rashid dikatakan berperanan seperti Sukma Darmawan di dalam kes liwat tahun 1998.

Rashid dikatakan berperanan seperti Sukma apabila :

1.Menjadi penjaga pintu dan mengawasi supaya sesiapa pun tidak menyedari kehadiran Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari dan beliau di dalam 1 bilik.

2.Mengatur pertemuan Saiful Bukhari dan Anwar Ibrahim (sebagai pemandu).

3.Tinggal bersama Saiful Bukhari di tempat kejadian (kondominium Damansara).

4.Tukang Urut kepada Anwar Ibrahim.

Jika melihat kepada peranan yang dipegang Rashid ini maka layaklah Rashid digelarkan sebagai “SAKSI PANAS’ di dalam kes ini. Samada maklumat yang Kumbang terima ini benar atau tidak, Rashid juga mampu untuk menceritakan ‘sejarah perkhidmatan’ beliau yang penuh berliku ini di perbicaraan nanti.

Antaranya :
1)Apa peranan dan kerja beliau di tempat kejadian?

2)Adakah beliau turut hadir di tempat kejadian?

3)Apa hubungan beliau dengan Saiful Bukhari? 4)Apa hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim


Persoalan ini akan terjawab di mahkamah nanti dan apa yang pasti Anwar Ibrahim pasti semakin resah dengan kehadiran Rashid sebagai saksi di mahkamah kerana Kumbang yakin Rashid tahu apa yang kita tidak tahu mengenai Anwar Ibrahim

Kumbang harap janganlah ada penangguhan dan permohonan pembatalan kes lagi kerana ramai daripada kita ingin tahu apakah ‘rahsia-rahsia’ Anwar Ibrahim bersama Rashid’.

Pembatalan kes hanya akan menyebabkan kita semua tidak dapat mengetahui siapakah Rashid sebenarnya pada Anwar dan apa peranan beliau di dalam kes ini.
Sama-sama kita nantikan jawapan kepada segala persoalan ini.

“Penantian satu penyeksaan”

Pendapat anda bagaimana tentang isu ini?

KES ANWAR – PEGUAM, DOKUMEN & SPESIMEN SAIFUL

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on July 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ketua peguam baru yang akan dilantik Anwar bagi menggantikan peguamnya, Sulaiman Abdullah mempunyai tahap kesihatan yang baik dan dapat menjalankan tugas dengan profesional.

Saiful Bukhari dalam laman blognya berkata, perbicaraan bagi mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen berkaitan kes liwatnya telah tertangguh disebabkan ketua peguam Anwar itu menarik diri dari semua kes kerana faktor kesihatan.

“Jika benar, saya doakan beliau cepat sembuh dan beliau diselamatkan daripada terus berada dikancah kebatilan yang amat dasyat. Adakah ketua peguam bela yang baru itu nanti antara lapan peguam yang mewakili Anwar?” katanya.

Apa pun, Mahkamah Tinggi di Jalan Duta semalam memutuskan prosiding kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen itu diteruskan walaupun tanpa peguam utama, Sulaiman Abdullah yang menarik diri dari mengetuai kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu atas dasar salah seorang daripada lapan peguam Anwar boleh menggantikan Sulaiman bagi mengetuai pihak pembelaan.
Katanya, kesemua peguam Anwar telah mengikuti prosiding itu sejak hari pertama.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Menurut Malaysiakini, Sulaiman menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lalu.

Beliau dilaporkan menghadapi masalah pening kepala yang agak teruk dan tidak dapat mewakili mana-mana kes termasuk kes Anwar.

Perbicaraan bagi permohonan dokumen yang berjalan selama hampir dua jam itu ditangguhkan pada pukul 5.10 petang semalam.

Utusan Malaysia pula melaporkan Mahkamah Tinggi memerintahkan pendakwa raya membekalkan beberapa dokumen dan barangan berkaitan kes liwat yang dihadapi oleh Anwar seperti yang dipohonnya kecuali sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan semua dokumen dan barangan tersebut diserahkan dalam tempoh seminggu mulai hari ini selepas membenarkan permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun reaksi segera pendakwaan ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah itu esok.

Dalam keputusannya, hakim tersebut menolak permohonan Anwar agar dibekalkan atau dibenarkan meneliti sampel-sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan dan pada barang-barang yang diambil dari kediaman pemuda itu.

Jelas Hakim Mohamad Zabidin, sampel-sampel tersebut hanya boleh diteliti oleh pihak pembelaan setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes kerana kesemua sampel itu kini telah dibungkus dan dimeterai oleh ahli kimia dari Jabatan Kimia.

”Oleh itu, sebarang gangguan oleh sesiapa terhadap meterai tersebut sebelum dikemukakan di mahkamah pada hari perbicaraan akan mengganggu identiti dan rangkaian keterangan berhubung barang kes tersebut,” katanya.

Manakala dokumen-dokumen dan barangan lain yang diperintahkan dibekalkan itu ialah:

• Pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal dan dua buah lif blok 11 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008.

• Gambar-gambar ‘slides’ yang dibuat semasa ujian ke atas sampel-sampel DNA yang dikatakan diambil daripada pengadu dan kediamannya. Pihak pembela juga dibenarkan melihat ‘slides’ yang dibuat semasa ujian berkenaan di bawah pengawasan pegawai penyiasat dan ahli kimia.

• Nota-nota ahli kimia berkenaan pemeriksaan dan analisis sampel- sampel DNA yang diambil daripada pengadu dan barang-barang di kediamannya.

• Senarai saksi yang akan dikemukakan pada perbicaraan.

• Salinan semua dokumen yang akan dikemukakan sebagai keterangan seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(b) Kanun Aturcara Jenayah (CPC).

• Kenyataan fakta-fakta menyebelahi pembelaan, sekiranya ada seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(c) CPC.

• Salinan nota-nota semua doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikatakan merawat dan memeriksa bekas pembantu Anwar itu termasuk pada 28 Jun tahun lalu.

• Salinan gambar, nota-nota dan laporan hasil pemeriksaan ‘proctoscopy’ yang dikatakan dibuat ke atas pengadu di HKL termasuk pada 28 Jun lalu.

• Laporan dari Hospital Pusrawi dan nota-nota berkenaan pemeriksaan ke atas pengadu. Sekiranya tiada laporan disediakan, satu pengesahan doktor berkenaan bahawa tiada laporan disediakan hendaklah diserahkan kepada peguam bela.

• Salinan kenyataan saksi-saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan. Saksi-saksi tersebut ialah Mohd. Shaiful Bukhari, pemilik kediaman pengadu iaitu Hassanudin Abdul Hamid, isteri Hassanudin yang hanya dikenali sebagai Nursham, Muhamad Rahimi Osman, Mohd. Rasid Mohd. Rosdi dan Dr. Osman Abdul Hamid.

Salinan rakaman video percakapan pengadu yang dikatakan dibuat pada 30 Jun tahun lalu pula tidak perlu diserahkan setelah mahkamah memerintahkan rakaman percakapan pemuda itu di bawah Seksyen 112 CPC dibekalkan.

Hakim Mohamad Zabidin menjelaskan, beliau membenarkan salinan kenyataan saksi-saksi tersebut dibekalkan setelah mendapati ia tidak akan menyebabkan prejudis ke atas kes pendakwaan atau mengganggu gugat kepentingan awam.

”Sebaliknya, ia membolehkan pihak pembelaan mengetahui lebih awal dan lebih jelas kes terhadap tertuduh dan ini mungkin dapat membantu mereka menyediakan pembelaan yang lebih sempurna dan teratur,” ujarnya.

Selepas mahkamah bersidang Anwar yang gembira dengan keputusan itu memberitahu media, beliau perlu menunggu keseluruhan prosiding mahkamah dalam kesnya.

Hakim tersebut kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan perbicaraan penuh kes tersebut dan satu lagi permohonan Anwar iaitu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

ANWAR DIJAMIN DAPAT PERBICARAAN ADIL

Posted in Anwar, Liwat, Mohd Saiful on July 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada tiga perkara menarik mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membicarakan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pertama perbicaraan akan kekal di Mahkamah Tinggi. Bagi yang merayu sudah pasti kecewa kerana ia tidak akan dilangsungkan di Mahkamah Sesyen.

Keduanya, dengan jelas Hakim mengatakan Perdana Menteri tidak berhak mencampuri urusan pendakwaan kes jenayah di negara ini kerana tindakan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Jadi jelas bahawa mahkamah kita sebenarnya bebas dan jangan pula menuding jari mengatakan ada pengaruh-mempengaruhi terhadap keputusan mahkmah.

Ketiga, perbicaraan kes ini akan dijalankan secara adil. Dengan kata lain Anwar tidak perlu bimbang mengenai ketelusan mahkamah walaupun permohonannya ditolak semalam.

Yang pasti, perbicaraan kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Menurut Utusan Malaysia, Mahkamah Rayuan memutuskan demikian hari ini selepas menolak rayuan Ketua Pembangkang itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan sebulat suara itu dimuktamadkan oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdull Hamid Embong. Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Mahkamah Rayuan memberi jaminan bahawa kuasa Eksekutif termasuk Perdana Menteri tidak berhak mencampuri urusan pendakwaan kes jenayah di negara ini kerana tindakan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif bukan merupakan autoriti yang layak berbuat demikian kerana Perkara 145(3) dan Perkara 145(3A) Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk bertindak terhadap pendakwaan jenayah.

Mahkamah Rayuan turut berpendapat, pendakwa raya yang juga Peguam Negara hanya perlu menjawab dalam perkara berkaitan pentadbiran kepada Perdana Menteri bukannya mengenai urusan pendakwaan.

Sehubungan itu, perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijalankan secara adil meskipun bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku pendakwaan berat sebelah terhadapnya.

Anwar ketika ditemui pemberita sejurus selepas prosiding selesai berkata, walaupun tidak terkejut dengan keputusan itu beliau hairan bagaimana mahkamah boleh menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai pengaruh sama sekali terhadap pendakwaan kesnya.

Dengan nada kesal, beliau turut hairan bagaimana kuasa mendakwa dan niat Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pendakwa raya tidak boleh dipertikai sama sekali sedangkan nyata beliau terlibat dalam siasatan kes ‘mata lebamnya.’

Ketika ditanya tindakannya selepas ini, Anwar memberitahu, beliau akan berbincang dengan para peguamnya sama ada untuk memfailkan semakan terhadap keputusan itu memandangkan rayuan tersebut berakhir di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah ketika mendengar rayuan Anwar diminta menimbang fakta bahawa bekas Perdana Menteri selepas didesak pelbagai pihak telah memberi jaminan bahawa Abdul Gani tidak akan terlibat dalam siasatan dan pendakwaan kes liwat tersebut.

Menurut peguam bela, kepastian itu turut diberikan kepada keluarga Ketua Pembangkang itu melalui pertemuan dengan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah di Parlimen pada 1 Julai tahun lalu.

Isu pendakwaan berat sebelah itu timbul setelah Abdul Gani menandatangani sijil pemindahan agar perbicaraan ditukar dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sedangkan ketika itu beliau masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan laporan polis Anwar terhadap insiden ‘mata lebamnya’.

Anwar, 62, merayu ke Mahkamah Rayuan setelah tidak berpuas hati terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan mengekalkan perbicaraan itu di Mahkamah Sesyen.

Pada 5 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan agar perbicaraan kes liwat itu didengar di Mahkamah Sesyen.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada 8 Julai ini di hadapan Hakim Mohamad Zabidin.
Hakim Abdull Hamid ketika menyentuh mengenai kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Abdul Gani menyatakan, mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili pendakwa raya.

Mohd. Yusof dalam hujahnya menyatakan, Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah memberi kuasa statutori kepada pendakwa raya untuk mengemukakan sijil perpindahan agar sebarang kes jenayah yang perbicaraannya belum dimulakan, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat, Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mendapati bahawa sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Abdul Gani itu tidak sah.