Archive for December, 2008

UNDI SIAPA BOLEH DAPAT PAHALA?

Posted in Calon, Pilihanraya, Terengganu on December 31, 2008 by Hambali Abd Latiff

Semalam ketika berbual-bual sambil menikmati bihun goreng dan kopi-O pada ketika hujan renyai-renyai bersama beberapa rakan dari Kuala Lumpur di Kuala Terengganu – termasuk bekas ‘orang kuat’ Utusan Malaysia dan Kosmo, Haji Hamzah Sidek – antara perkara yang diperkatakan ialah apakah Amanat Haji Hadi masih terpakai.

Amanat Haji Hadi yang menyebabkan perpecahan besar umat Islam – kafir-mengkafir – di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu masih sebati dengan pemikiran dan tindakan orang Islam – sebenarnya semakin dilupakan oleh generasi baru.

Amanat yang merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu.

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983.

Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Sedutan ucapan Hadi yang dijadikan Amanat adalah seperti berikut:

Saudara-Saudara Sekelian Percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan Penjajah, mengekalkan Undang-Undang Kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Perjuangan kita adalah Jihad, ucapan kita adalah jihad, Derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (Menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah Syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘Politik Suku, Agama Suku’.

Namun, apakah ia akan kembali muncul pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini?
Sejauh ini amanat berkenaan tidaklah menjadi perkara penting dalam ceramah PAS sebaliknya isu-isu semasa dan tempatan menjadi tumpuan, khususnya wang royalti minyak.
Dalam menilai apakah Amanat Haji Hadi akan timbul semula, tiba-tiba timbul perbincangan mengenai ‘fatwa’ sesiapa mengundi PAS mendapat pahala daripada Allah”.

Persoalannya, jika orang Melayu menolak Barisan Nasional (BN) berdasarkan ‘fatwa’ itu, bagaimana pula kedudukan orang Melayu di negeri lain yang menyokong DAP dan parti bukan Islam lain?

Perkara ini diperkatakan calon BN yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meminta Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong DAP sedangkan ia secara terang-terangan menentang Islam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, jika Menteri Besar Kelantan itu boleh mengeluarkan ‘fatwa’ sesiapa mengundi Pas mendapat pahala daripada Allah, maka beliau perlu menjelaskan kedudukan orang Melayu yang menyokong parti bukan Islam.
Wan Farid meminta penjelasan Nik Aziz bagi mengelakkan kekeliruan kerana selagi penjelasan itu tidak dibuat, maka ‘fatwa’ beliau mengenai dosa dan pahala terbukti semata-mata bertujuan untuk memancing undi.

”Saya fikir kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak mungkin boleh mempengaruhi pengundi Melayu di sini kerana mereka semua tentunya berniat baik, mengundi BN kerana inginkan kebaikan dan kesejahteraan.

”Apakah mengundi BN mendapat dosa? Beliau harus buat penjelasan berhubung Melayu yang menyokong DAP,” katanya selepas menziarahi penghuni Rumah Pangsa Seri Kolam di Kuala Terengganu semalam.

”Yang anehnya fatwa menghukum hanya dikeluarkan kepada Melayu di Kuala Terengganu tetapi di negeri lain tidak,” katanya.

Dalam ceramahnya di mana-mana juga, Nik Abdul Aziz konsisten dalam mendakwa mana-mana pengundi yang mengundi PAS akan mendapat pahala daripada Allah.

Wan Ahmad Farid mempersoalkan adakah berdosa jika masyarakat Melayu mengundi BN yang sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk kebaikan dan kesejahteraan umat.

”Apakah mereka yang menyokong kerajaan BN yang ternyata banyak melaksanakan pembangunan, sekolah, masjid dan kemudahan lain itu berdosa hukumnya,” ujarnya.
Menurutnya, beliau tidak hairan dengan ‘fatwa’ berkenaan kerana pemimpin PAS sering mengeluarkan fatwa menjelang pilihan raya.

SEJARAH HITAM PAS MASIH MELEKAT

Posted in Calon, Pilihanraya, Terengganu on December 31, 2008 by Hambali Abd Latiff

Penyokong PAS sudah senang hati dan lega seperti juga Mohd Sayuti Omar (MSO), beliau senang hati sebab calon PAS pilihan raya kecil Kuala Terengganu sudah ditentukan.
Walaupun nama itu masih dalam poket Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia hanya 24 jam sahaja lagi.

Apapun, MSO ini sangat istimewa kerana beliau tahu apa yang ada dalam poket Hadi.
Siapa ya? Boleh MSO bisik-bisik sikit calon PAS yang akan menentang Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Barisan Nasional (BN)?

Bagaimanapun, menurut MSO, atas amanah dan ikrar beliau tidak boleh menyebut nama calon berkenaan walaupun nama yang dirahsiakan itu sudah ke pengetahuan beliau.

Jelaslah PAS sudah memutuskan nama calon dan dengan maklumat terbaru mengenai siapa calon Pas untuk pilihan raya kecil P 36, Kuala Terengganu pada 17 Januari depan, nama berkenaan sudah final.

Dengan Hadi sudah pun mendapat ilham – tokoh berkenaan akan memikul tanggungjawab besar parti Islam itu.

Menurut MSO, sumbernya di Kuala Terengganu berkata: “Sudah, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah pun ada nama itu. Kini ia tidak perlu dihebohkan lagi,” begitulah sebut sumber berkenaan dari Kuala Terengganu kepada saya selepas Asar tadi.

Bagaimana pun sumber itu menjelaskan atas ikrar dan amanah beliau tidak mahu menyebutnya, cuma menegaskan berkali-kali masalah calon Pas tidak menjadi isu lagi kerana ia sudah ada!

Ditanya oleh MSO apakah calon itu termasuk tiga nama yang disebut-sebut sebelum ini sumber itu tidak menyebut dengan jelas sebaliknya berkata calon yang diturunkan Pas pasti tidak akan mengecewakan sesiapa.

“Semua pihak akan berpuas hati dengan calon pilihan Tuan Guru Abdul Hadi dan kita yakin calon itu akan membawa kemenangan, insyaAllah!” katanya.

Jadi ini bermakna pertelagahan antara kumpulan Erdogan + Klon dan ulama sudah dapat diatasi?

Benarkah semua pihak berpuas hati? Dengan perkembangan ini MSO mengajak kita semua tunggu pengumuman rasmi esok, 1 Januari 2009.

MSO berdoa mudahan calon yang diturunkan PAS dapat membawa kemenangan dan seterusnya sinar baru kepada Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, kalau orang PAS kerana BN sukar menang berdasarkan jumlah undi yang diterima oleh BN pada pilihan raya umum lalu dan faktor calon menjadi penentu, pada umumnya, pengundi di Kuala Terengganu mahu BN terus diberi mandat mewakili mereka pada pilihan raya kecil pada 17 Januari depan.

Kerana apa?

Kerana pengundi di kawasan N 36 itu masih tidak dapat melupakan pelbagai kisah perit yang melingkari kehidupan mereka ketika negeri ini ditadbir kerajaan PAS.

Sentimen mahukan pembangunan dibawa BN jelas kerana BN mempunyai rekod baik sama ada dalam bidang pentadbiran, pembangunan mahupun personaliti pemimpinnya yang tidak gila kuasa.

Antara beberapa kejadian hitam yang tidak dapat dilupakan pengundi ketika Terengganu ditadbir Pas pada 1999 hingga 2004 ialah insiden berebut menjadi imam serta bilal, masjid dijadikan sebagai medan mencerca sesama Islam dan pemimpin Pas yang dikatakan kemaruk kuasa dan menyalahguna harta negeri hingga akhirnya mereka dihukum rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

Rekod kepimpinan PAS Terengganu diketahui umum kerana mereka hanya pandai berhujah mengenai isu agama termasuk akan melaksanakan pelbagai program meningkatkan syiar Islam.

Bagaimanapun, , tiada satu pun usaha untuk memartabatkan syiar Islam dilakukan, selain berebut untuk menjadi imam dan bilal pada semua surau serta masjid yang sebelum itu PAS mendakwa rumah Allah itu haram kerana dibina kerajaan BN.

Ramai berpendapat, dalam tempoh singkat mengambil alih semula pentadbiran kerajaan pada 2004, terlalu banyak program pembangunan yang dilaksanakan BN, justeru agenda itu perlu diteruskan dan hanya pemimpin BN yang mampu melakukan dan memenuhi tuntutan masyarakat.

Di kalangan orang muda, BN menyediakan banyak peluang termasuk peruntukan untuk memberi peluang kepada golongan belia menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan serta kursus kemahiran.

Kerana itu, pada ketika PAS bergelumang dengan masalah calon sehinggalah semalam, BN yakin dapat menambah bilangan undi termasuk dari kawasan kubu kuat PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan berbanding yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata usaha yang dilakukan bagi menarik sokongan kepada BN terutama sejak pilihan raya umum itu, mendapat respons positif dari penduduk setempat.

Katanya perhatian khusus diberikan terhadap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai PAS iaitu Wakaf Mempelam, Ladang serta Batu Buruk namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan DUN Bandar yang dikuasai BN.

“Apa strategi yang kita gunakan untuk tarik pengundi, tak bolehlah saya beritahu, itu rahsia parti. Tetapi saya berkeyakinan, Insya-Allah kita dapat tambah undi di Wakaf Mempelam berdasarkan sambutan yang diberikan penduduk di kawasan-kawasan terbabit terhadap langkah yang telah kita laksanakan, ” katanya beberapa hari lalu.

Ahmad berkata usaha kerajaan membawa perubahan dan pembangunan di kawasan terlibat juga lebih mudah sekiranya kawasan itu dikuasai BN.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata usaha gigih jentera parti dalam menarik sokongan rakyat di kawasan kubu kuat PAS semakin menampakkan hasil apabila sokongan rakyat kepada BN dilihat semakin meningkat.

MANIKAVASAGAM SEKADAR BUAT KECOH?

Posted in kecoh, PKR on December 31, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tidak akan ada teka teki lagi hari ini bagi ‘Mike’, Ahli Parlimen Kapar.

Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya akan menjadi tempat perbincangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada sebelah pagi dan disusuli sidang akhbar pada pukul 3 petang.
Selepas dua kali mengugut untuk keluar daripada PKR iaitu komponen Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam akan membuat keputusan.

Namun, ada pihak meramalkan Manikavasagam tidak akan keluar PKR dan sekadar membuat kecoh sahaja.

Jawatan yang dipegangnya sekarang adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Timbalan Perhubungan Negeri Selangor, Naib Ketua Bahagian Kapar dan Ketua PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa.

Apa pun, bukan sekadar Manikavasagam sahaja tetapi lebih 50 pemimpin India sebelum ini mengugut akan keluar daripada Pakatan Rakyat dan tubuh parti sendiri.
Pemimpin India peringkat nasional dalam Pakatan Rakyat, khususnya dalam PKR bertemu di hotel berkenaan hari ini – pertemuan terbesar sejak pilihan raya umum Mac lalu – bagi menentukan hala tuju kedudukan dan sokongan mereka dalam ikatan pembangkang itu.
Dianggarkan 150,000 ahli parti komponen Pakatan Rakyat merupakan masyarakat India.

PKR adalah anggota komponen Pakatan Rakyat yang memerintah lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Malah hari ini, mesyuarat Biro Politik PKR iaitu badan tertinggi penentu dasar politik parti itu akan membincangkan semua perkara yang berkaitan dan mencari penyelesaian.

Ia akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali kerana Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar ibu negara sehingga 6 Januari ini.

Pertemuan yang dilihat sebagai “amat penting” akan membincangkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan ekoran dakwaan bahawa masyarakat India juga terus ‘didiskriminasi dan dipinggirkan’ oleh kepimpinan ikatan pembangkang itu.

Menurut mstar, forum hari ini yang berpusatkan isu Manikavasagam, yang telah mengumumkan hasrat untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) – akan membincangkan beberapa opsyen.

Antara opsyen ialah keluar beramai-ramai daripada Pakatan Rakyat dan menubuhkan parti sendiri yang bagi mewakili kepentingan masyarakat India ataupun kekal dalam Pakatan Rakyat dengan terus mendesak agar tuntutan masyarakat India dibela dengan adil dan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pertemuan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India.Ketika dihubungi mStar Online lewat petang kelmarin, Pengerusinya, P. Jenapala berkata, “kami mengadakan pertemuan ini untuk mencapai satu pendirian kukuh sama ada mahu kekal dalam PKR, Pakatan ataupun sebaliknya.”

“Jika mahu kekal, kami akan kekal bersama dan jika mahu keluar, kami akan keluar bersama,” kata beliau sambil menegaskan, pertemuan esok sebagai adalah amat penting bagi menentukan nasib masyarakat India selepas sembilan bulan pilihan raya umum ke-12 berlalu.

Jenapala merupakan Timbalan Setiausaha Agung PKR dan telah menyatakan hasrat untuk keluar PKR minggu lalu.Sambil mengakui sudah wujud perasaan tidak puas hati di kalangan sebahagian besar ahli dan pemimpin India dalam Pakatan Rakyat, Jenapala memberitahu, pihaknya mahu mengambil satu pendirian bersama diambil bagi memastikan kepentingan masyarakat India di negara ini terus dipertahankan dalam Pakatan Rakyat.

“Sejak kebelakangan ini banyak pemimpin dan wakil rakyat India dalam Pakatan Rakyat menyatakan pendirian masing-masing, satu persatu satu tentang rasa tidak puas hati mereka.”Jadi kami hendak mendengar semua pandangan bersama dan membuat satu pendirian bersama,” kata beliau.

Beliau menambah, ramai di kalangan pemimpin India dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam PKR menyedari bahawa “mereka tidak boleh kembali kepada Barisan Nasional.”
“Kami mahu tubuhkan satu badan di bawah satu payung iaitu mempunyai satu parti sendiri,” katanya.

Justeru, katanya, perlu membuat pendirian tegas untuk menentukan hala tuju masa depan dengan kemungkinan memikirkan menubuhkan sebuah parti baru bagi masyarakat India.

Jelas beliau, rasa tidak puas hati timbul sekitar isu pelantikan pemimpin India untuk memegang jawatan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan serta memegang jawatan dalam agensi-agensi hubung kait kerajaan (GLC) dan dalam jawatankuasa kampung.

Pertemuan itu diadakan lima hari selepas Manikavasagam menyatakan hasrat untuk keluar PKR.

Pendirian Manikavasagam itu juga berkisar pada perkembangan dalam Pakatan Rakyat dan juga PKR, salah satu komponen ikatan pembangkang itu.Pakatan Rakyat dibentuk selepas prestasi pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Manikavasagam juga dijadual mengumumkan pendiriannya selepas pertemuan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, semalam Manikavasagam membayangkan mungkin tidak akan meninggalkan parti tersebut.

”Kemungkinan besar yang akan saya umumkan esok ialah untuk melepaskan jawatan sebagai MPT atau Timbalan Perhubungan Negeri.

”Apa pun tunggulah petang esok kerana sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas pertemuan dan perbincangan dengan lebih 50 pemimpin India PKR peringkat nasional.
”Saya juga ingin jelaskan yang sebarang keputusan yang saya buat akan dituruti oleh mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kapar, beliau memberitahu, ia akan diputuskan selepas pulang daripada menghadiri satu persidangan di India yang bermula minggu depan.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Manikavasagam akan menemui pemimpin pertubuhan haram Hindraf yang berada di luar negara, P. Waythamoorthy.

Sementara itu mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India, P. Jenapala yang disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Manikavasagam mengesahkan dakwaan itu adalah benar dan beliau memang mengetahuinya.
”Sebab itu saya kata tunggu esok kerana keputusan hanya akan diputuskan esok,” katanya semalam.

NIK AZIZ – MASALAHNYA PADA PAS TERENGGANU

Posted in Calon, PAS, Pilihanraya, Terengganu on December 30, 2008 by Hambali Abd Latiff

Terang lagi bersuluh, PAS ada masalah dalam memilih calon.

Juga benarlah jangkaan bahawa ada pertentangan pendapat antara golongan ulama dan muda (Erdogan + Klon) dalam parti itu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam mengakui kelewatan mengumumkan nama calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menonjolkan kegagalan PAS negeri mencapai kata sepakat dengan golongan ulama dan muda dalam parti itu.

PAS Terengganu juga dikatakan gagal mendapat sokongan mengenai calonnya daripada rakan pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai pilihan sendiri untuk diketengahkan sebagai calon.

”Ini masalah orang sini ( PAS Terengganu) dan bukan saya,” kata Nik Aziz selePAS merasmikan jentera Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dari Kelantan dan Wilayah Persekutuan di Masjid Hiliran di Kuala Terengganu malam semalam.

Benarlah ramalan saya sebelum ini yang mengatakan ada pertentangan pendapat antara ulama dan Erdogan + Klon, bukan sahaja dalam memilih calon tetapi membabitkan beberapa pendekatan lain dalam PAS.

Persoalannya apakah kenyataan Nik Aziz itu ditujukan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidaklah diketahui.

Namun, sedikit sebanyak Hadi terbabit dalam soal pemilihan calon ini kerana beliau bukan sekadar Presiden PAS tetapi menjadi pengaruh paling penting di Terengganu.

Presiden PAS itu baru-baru ini berkata, calon pilihan PAS itu mempunyai ketokohan dan lebih berkelayakan untuk menang berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Kita sudah ada calon… dalam poket saya. Insya-Allah… tunggu 1 Januari depan.
Beliau seorang profesional dan berjiwa rakyat,” kata Hadi

Ditanya adakah calon yang dipilih itu dari kalangan anak Terengganu atau Mat Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, perkara itu akan diketahui 1 Januari ini.

Hadi dikatakan berminat meletakkan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustapa Ali atau Datuk Wan Mutalib Embong bertanding sementara golongan muda pula mahukan Dr Syed Azman Syed Nawawi.

Malah sebelum tiga nama itu ‘naik’, Nik Aziz awal-awal lagi melonjakkan nama Muhammad Sabu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak terlibat dalam pemilihan calon pilihan raya kecil tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa PAS Terengganu.

Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun menafikan wujud masalah dalam menamakan calon parti itu untuk Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebaliknya menyifatkan kelewatan itu sebagai perkara biasa.
”PAS pada kebiasaannya mengumumkan calon yang akan bertanding sehari atau dua hari sebelum tarikh penamaan calon.

”Keputusan mengumumkan nama calon di Stadium Negeri di sini pada Khamis ini pun dikatakan awal daripada kebiasaan,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia semalam.
Jika demikian, kenapa PAS mesti ikut rentak UMNO dan BN mengumumkan nama calon lebih awal?

Saya ingin mengulangi di sini, persoalan lebih besar kepada pertelingkahan pendapat ini ialah apakah PAS mampu mendinginkan pertentangan antara kumpulan Erdodan + Klon melawan kumpulan ulama khususnya di Terengganu?

Pertelingkahan ini sebenarnya turut memberikan kesan kepada kerjasama mereka dengan komponen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia bukan sekadar pemilihan calon tetapi akan terbawa-bawa sehingga kempen.

Bagi saya, sudah PASti dalam kempen PAS dan usaha meramPAS kerusi ini daripada BN, akan ada perbuatan ‘main belakang’, sabotaj dan ‘cas keting’.

Jika kita ingat kembali, siapa bermati-matian di Permatang Pauh? Mereka adalah kumpulan Erdogan + Klon, khususnya Datuk Husam Musa. Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup bertongkat pada hari penamaan calon. Di mana pula kumpulan ulama ketika itu?

Ini bermakna kemungkinan tetap ada bahawa PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan ‘memboikot’ PAS jika kumpulan ulama berjaya mempengaruhi Majlis Syura PAS untuk meletakkan calon bukan Erdogan + Klon.

SIAPA PILIHAN PENGUNDI CINA?

Posted in Calon, Pilihanraya, Terengganu on December 30, 2008 by Hambali Abd Latiff

Apakah yang boleh ditawarkan oleh Pas untuk pengundi di P.36 Kuala Terengganu?

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa sumber-sumber parti itu adalah terhad kerana ia tidak lagi mentadbir Terengganu.

Ditanya mengenai perubahan yang mahu dibawa PAS untuk penduduk Kuala Terengganu jika menang dalam pilihanraya kecil 17 Januari depan, Hadi berkata: “…saya berharap pengundi akan menghantar satu isyarat yang jelas – bahawa mereka menolak Barisan Nasional dan Umno,” katanya.

Bolehkah dengan isyarat sahaja akan memuaskan hati pengundi di Kuala Terengganu, khususnya di kalangan pengundi Cina?

Jelas PAS tidak mempunyai sebarang cadangan dan dengan mengatakan ia tidak lagi mentadbir Terengganu, bukan sesuatu yang diharapkan oleh pengundi Cina di Kuala Terengganu.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,326 pengundi dengan majoritinya kaum Melayu iaitu 87.4 peratus, Cina (11.6 peratus), India (0.7 peratus) dan yang lain (0.3 peratus).
Walaupun hanya 11.6 peratus undi Cina di kawasan itu, ia dilihat penting untuk mengubah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu, DatukWan Ahmad Farid Wan Salleh berkata sokongan pengundi Cina di kawasan Parlimen Kuala Terengganu penting bagi menentukan kemenangan BN.

Baginya, setiap undi itu amat mustahak dan pengundi Cina di kawasan ini amat penting diberikan perhatian. Beliau sudah memulakan sesi perjumpaan dengan pengundi Cina dan mendapati sambutan diberi sangat baik dan memberangsangkan.

Bagi Hadi pula, beliau yakin pengundi Cina akan menyokong parti itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan kerana mereka mendapat faedah sewaktu pentadbiran PAS selama empat tahun sebelum ini.

Presiden Pas itu berkata, ketika beliau menjadi menteri besar, kerajaan negeri telah menghapuskan cukai taksiran untuk pemilik hartanah.

Bagaimanapun, kata presiden PAS itu, apabila Umno kembali memerintah, cukai taksiran itu dikenakan semula.

Katanya, daripada maklumbalas yang diterima, pengundi Cina tidak suka dengan tindakan Umno itu dan berharap mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluluskan pembinaan Dewan Komuniti Cina Kuala Terengganu yang akan dibina di Bukit Kecil dengan kos RM3.3 juta.

Ia akan dibina tahun depan, selain memberikan peruntukan tambahan RM2.8 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu.

Wan Farid yakin pengundi Cina bersama-sama dengan saya bagi menentukan kemenangan BN pada pilihan raya 17 Januari depan.

Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan cuba menemui semua pihak bagi menghadapi pilihan raya ini nanti.

Pada ketika kedua-dua pihak sedang berusaha mempengaruhi pengundi Cina, Pengerusi DAP cawangan Kuala Terengganu, Ng Chai Hing mengingatkan pengundi Cina agar tidak termakan ‘umpan’ dana khas kerajaan Persekutuan yang kini mula diagihkan sebagai ‘Ang Pau’.

“Ang Pau’ ini yang diberikan kepada orang Cina setiap tahun oleh kerajaan Persekutuan kini dilihat dalam konteks politik oleh DAP.

Beliau berkata pembahagian duit ‘Ang Pau’ yang digunakan dari peruntukkan dana khas sedang giat diagih-agihkan kepada penduduk di Bandar Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian tersebut berselindung atas nama sempena Tahun Baru Cina diagih-agihkan kepada penduduk berketurunan Tionghua.

“Saya harap rakyat boleh ambil duit sahaja tetapi undi dalam Pilihan Raya Kecil pada 17 Januari 2009 depan kita (pengundi) tidak gadai hanya kerana ‘habuan’ RM300 sahaja,” katanya.

Malah beliau turut menaja slogan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik, “Orang (BN) bagi duit ambil, orang bagi kain pakai, orang bagi gula kacau, tetapi tiba masa mengundi kita (rakyat) tolak BN undi PAS.”

Sementara Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali yang juga disebut-sebut akan bertanding sebagai calon PAS untuk Kuala Terengganu mengingatkan masyarakat Tionghua supaya tidak mudah termakan ‘umpan’ pilihan raya dengan penyaluran bantuan dana berjumlah RM6.1 juta oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS Terengganu menyifatkan pemberian peruntukan tersebut sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik kerana berlaku disaat Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu bakal diadakan pada 17 Januari depan.

Sebaliknya menurut beliau, PAS tidak mempunyai ‘halangan’ jika kerajaan benar-benar menyediakan peruntukkan demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

Namun begitu, katanya pengagihan peruntukkan yang berlaku pada waktu ini (pilihan raya kecil) sudah tentu mempunyai hubungkait dengan tujuan politik.

“Dia (kerajaan) hendak bantu, kita (PAS) tiada halangan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk masyarakat .

“Tetapi dia (kerajaan) pilih waktu ini sudah tentu ia ada tujuan politik dan kita (PAS) harap masyarakat Tionghua faham bantuan itu bermotif politik,” ujar beliau ketika dihubungi.

Menurutnya, PAS tidak menghalang sebarang peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan BN tetapi melihat perkara tersebut sebagai ‘umpan’ pilihan raya.

Katanya, setiap kali menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil pelbagai peruntukkan dan bantuan diagihkan kepada rakyat yang menjadi amalan parti pemerintah.

Hakikatnya apa yang dikatakan oleh Chai Hing dan Mustapa mengenai ‘Ang Pau’ ini kurang tepat kerana ia sudah diberikan setiap tahun dan hanya kebetulan apabila Tahun Baru Cina disambut pada Januari ini yang turut menjadi bulan kempen untuk pilihan raya.

Kalaupun tidak kerana ada pilihan raya, kerajaan negeri memang mempunyai rancangan membantu orang Cina dan kalau benar jumlah sebanyak RM6.1 juta akan diagihkan, ia wajar dibuat kerana perayaan tahun baru Cina akan disambut akhir Januari depan.

Selain itu orang Cina di Kuala Terengganu boleh menilai sendiri apakah kerajaan negeri pimpinan BN tidak berusaha menyelesaikan masalah bandar yang ditimbulkan oleh DAP termasuk kesesakan jalan, kekurangan parkir kereta, longkang tersumbat, banjir kilat dan pembangunan tidak seimbang.

PAS dan DAP sewajarnya tidak menjadikan bantuan kepada orang Cina sebagai isu kerana ia memang dasar kerajaan negeri pada setiap masa.

KUTIPAN UNTUK TOK MUN LESAP

Posted in Calon, Pilihanraya, Terengganu on December 30, 2008 by Hambali Abd Latiff

“Tak sempat dah…dah tak boleh buat apa-apa. Masa dah singkat sangat”.

“Lagipun, selagi takdok pitih dalam tangan tak boleh cakap. Dah ada baru boleh cakap. InsyaAllah kalau Tok dipanjangkan umur lagi, Tok akan tanding dalam pilihan raya umum depan pulak,” itulah luahan Maimun Yusof, 89 semalam.

Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu yang mencuri tumpuan pada pilihan raya umum lepas, itu mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Punca utamanya ialah deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihanraya ini ‘lesap’.
Pada ketika Maimun menyatakan tidak akan bertanding, Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meneruskan kerja politiknya dengan menemui orang ramai di Kuala Terengganu seramai mungkin.

Beliau yang turun padang semalam bertemu dengan pengundi di Kedai Kopi Ladang.
Pada pilihan raya umum lepas, Maimun memperoleh 685 undi manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (32,562 undi) dan calon PAS, Mohamad Sabu (31,934 undi).Tok Mun Tidak Bertanding Dalam Pilihan Raya nanti.

Maimun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata dia terpaksa melupakan niatnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, apabila tidak menerima sebarang wang untuk digunakan sebagai deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

“Dok payoh (Tak payah) jumpa lagilah, tok tak mboh (tak nak) tanding doh. Takdok pitih (takde duit)… dok buleh buat apa doh (tak boleh buat apa dah)…Nok kumpul duit pun dah dok sempat (nak kumpul duit pun tak sempat),” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Gong Gemia di sini.

Menurut laporan Bernama, Tok Mun berkata walaupun sebelum ini satu laman blog telah diwujudkan bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang deposit dalam pilihan raya kecil itu, namun beliau mendakwa kesemua wang tersebut telah dilesapkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Warga emas itu mendakwa seorang penyokongnya yang turut membantunya dalam pilihan raya umum lepas telah memberitahunya bahawa laman blog tersebut telah berjaya mengutip kira-kira RM160,000.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini dia tidak menerima sesen pun wang daripada laman blog yang menggunakan namanya itu dan tidak pasti pihak yang terlibat dalam melesapkan wang tersebut.

Untuk mengelakkan namanya terus dipergunakan, Tok Mun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 18 Dis lalu berhubung kejadian tersebut.

“Tok dah minta polis sekat laman blog tersebut, duit pun bukan dapat ke Tok. Tak payoh bagi ke situ (blog) lagi,” katanya.

Tok Mun turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini dan kesal ada individu tertentu yang cuba mengaut keuntungan yang mudah dengan menggunakan namanya untuk mengutip wang.

Ditanya sama ada beliau masih berminat untuk bertanding jika ada sekiranya pihak mendermakan wang kepadanya dalam tempoh sebelum penamaan calon nanti, Tok Mun mengganggapnya semua sudah terlambat.

Wan Farid berkata parti pembangkang khususnya PAS tidak mempunyai isu untuk diketengahkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

PAS juga tidak mungkin mampu meraih undi lebih besar apatah lagi mencatatkan kemenangan.
”Pengalaman masa lalu jelas membuktikan rakyat Kuala Terengganu tidak mudah termakan pujuk rayu PAS kerana ia biasanya hanya retorik politik,” katanya.

BN sebaliknya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil dan bertekad meraih sokongan lebih besar daripada pengundi kawasan tersebut.

Wan Ahmad Farid berkata, berdasarkan pertemuan dengan pengundi, beliau diterima sebagai calon BN walaupun ada spekulasi tidak baik sebelum ini.

TAHNIAH HARUSSANI, PROF WAHBAH

Posted in awal muharam, hijrah on December 29, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tahniah kepada Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan ilmuan Islam dari Syria, Prof Dr Wahbah al-Zuhaily kerana dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2008 sempena majlis sambutan Maal Hijrah 1430 hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Putrajaya pagi ini.

Baginda menegur sikap mereka tidak menghormati ulama, suka mengambil jalan mudah dengan mengenepikan ajaran agama, malas berfikir dan berusaha, bermusuhan sesama umat Islam dan mengutamakan kepentingan peribadi tanpa mempedulikan hukum halal dan haram.

Titah Baginda, sikap ini perlu ditinggalkan oleh semua umat Islam kerana unsur-unsur inilah yang telah menjadi kekangan bagi membangunkan ummah yang gemilang.

Sehubungan itu beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya melakukan perubahan demi memartabatkan dan memperkasakan kedudukan Islam ke tahap lebih gemilang.

Baginda bertitah sehubungan itu umat Islam perlu memahami dan menzahirkan wawasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran dan Al-Hadis di mana Islam dan umatnya perlu memberi sinar “rahmatan lil a’lamin” (pembawa rahmat bagi seluruh alam).

Wawasan itu juga perlu dijadikan tunggak ke arah memupuk semangat perpaduan sesama Islam dan bukan Islam agar rangkaian kehidupan sosial yang mantap dapat diwujudkan , titah baginda pada majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1430H/2OO8M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir pada majlis sambutan Ma’al Hijrah yang bertema “Menjana Ummah Gemilang” ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baginda bertitah sempena kedatangan tahun 1430H amat wajar bagi umat Islam di negara ini bermuhasabah, melihat perkembangan dan perubahan hidup yang telah dilalui sepanjang tempoh tersebut.

“Beta percaya, melalui muhasabah diri, kekuatan dan kelemahan yang ada boleh dinilai dengan sebaiknya dan akhirnya umat Islam mampu bergerak ke tahap yang lebih gemilang seperti yang diharapkan,” titah baginda.

Bernama melaporkan, Baginda turut menyeru seluruh umat Islam supaya menyorot kembali kelemahan dan kesilapan diri yang telah dilakukan selama ini sebagai ikhtibar dalam mencorak masa depan yang bakal dihadapi dan juga menilai kembali segala kekuatan yang telah dikurniakan tuhan.

“Beta yakin tema yang sama dipilih bagi sambutan Ma’al Hijrah pada tahun ini mampu mendorong umat Islam untuk berfikir dan menyusun perjalanan masa depan yang lebih teratur sehinga berupaya meletakkan diri dalam persaingan global yang begitu mencabar pada hari ini,” titah baginda.

Baginda menggesa seluruh umat Islam agar sama-sama berusaha dan mempertingkatkan lagi keupayaan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan penuh keikhlasan kerana untuk mencapai sebuah kegemilangan, ia memerlukan pengorbanan dan kegigihan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata umat Islam perlu sentiasa mengutamakan dan memperkukuhkan perpaduan sesama sendiri yang amat penting untuk menjadi benteng yang mantap bagi umat Islam menghadapi tentangan terbuka daripada pihak-pihak yang makin berani mempertikai kewibawaan Islam.

“Tanpa perpaduan dan semangat ukhuwah yang kental, kukuh dan mantap di kalangan umat Islam sudah pasti kita akan mudah dipermainkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mengatur strategi bagi melemahkan kekuatan, kesatuan dan kehebatan umat Islam. Kita tidak boleh membiarkan fenomena ini berterusan,” katanya.

Beliau berkata perbezaan pendapat yang berlaku kerana isu yang remeh perlu diketepikan dan perlu sentiasa bersatu atas isu pokok, antaranya mengenai isu survival umat Islam di masa hadapan.

“Sebab itulah tema Menjana Ummah Gemilang masih relevan untuk dijadikan asas bagi merangsang umat Islam untuk bekerja keras ke arah membangun agama, bangsa dan negara.”

Katanya kerajaan amat peka dengan setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat dan pelbagai isu semasa akan sentiasa dinilai dan diberikan pandangan sebagai panduan kepada umat Islam khususnya dalam mengawal akidah dan keimanan.

“Sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah atau keimanan akan dibanteras. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengadakan penyelidikan bagi mengkaji, menghalusi dan membuat cadangan bagi menjaga akidah umat,” katanya.