Archive for the Khalid Category

UNTUK 2 KHALID – INI BARU PERMULAAN…

Posted in Khalid, Pakatan Rakyat, PKR, Selangor on September 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

MARAH … Majlis Dialog antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan penduduk Seksyen 23 Shah Alam berhubung cadangan pemindahan bangunan kuil menjadi hangat apabila penduduk tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. – GAMBAR UTUSAN

Apa orang PAS, DAP atau PKR nak kata katalah. Apa orang besar atau berpangkat mahu menganggap bantahan yang dibuat – termasuk dalam isu kepala lembu – katalah.

Hakikatnya berkat bantahan dan kesungguhan rakyat Selangor menentang cadangan Kerajaan Selangor memindahkan kuil Hindu di Seksyen 19, Shah Alam ke Seksyen 23, kini mencapai kejayaan untuk sementara.

Semalam Kerajaan Negeri memutuskan untuk memembekukan rancangan memindahkan kuil berkenaan, ekoran bantahan keras penduduk Seksyen 23 – tempat kuil itu hendak dipindahkan – dalam sesi dialog pada sebelah pagi.

Bercakap kepada pemberita di kediaman rasminya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Khalid berkata rancangan pemindahan kuil yang mencetuskan kontroversi itu, dibekukan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail turut hadir.

Khalid berkata, selepas kerajaan negeri bertemu PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), maka kita akan kemukakan cadangan mengenai pemindahan kuil tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada pemindahan kuil itu ke Seksyen 23 dibatalkan, Khalid mengulangi bahawa “ia dibekukan”.

Khalid Samad yang masih mahu menegakkan benang basah menyifatkan insiden pagi tadi berpunca daripada salah faham semata-mata ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat.

Yang peliknya pada sesi dialog itu kerajaan negeri membenarkan petugas Unit Amal PAS memasuki dewan di MBSA, tempat dialog itu diadakan. Ini menyebabkan kemarahan penduduk.
Menteri Besar mengakui ia bertujuan membantu pasukan penguatkuasa mengawal keadaan.

Dialog hampir dua jam itu tidak berjalan lancar apabila penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan. Hanya kedengaran bunyi bising dan ungkapan tidak puas hati seperti “tipu”, “kamu mahu keputusan” dan “ya atau tidak?”.

Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa.
Mereka juga enggan mendengar penjelasan lain dan menuntut Khalid Ibrahim membuat keputusan segera sama ada untuk mengekalkan cadangan itu atau memindahkannya ke tempat lain.

Majlis dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen yang kecoh itu dimulakan dengan perang mulut antara lima penduduk yang melepaskan kemarahan mereka kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Apabila majlis dibuka kepada soalan, rata-rata penduduk Melayu mendominasi sesi itu bagi melepaskan geram kepada kerajaan pakatan pembangkang Selangor yang didakwanya sebelum ini lambat memberikan respons untuk berbincang.

Ketegangan itu dilihat sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk setempat beragama Hindu yang tampil memberikan cadangannya, hampir dibaling dengan kerusi.

Sejurus kemudian, berlaku kekecohan kedua apabila beberapa penduduk bertindak menghalau keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan tersebut kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.

Yang pasti dialog pagi semalam sudah menjelaskan betapa rakyat Selangor yang beragama Islam, khususnya yang berada di Shah Alam, tidak lagi boleh berharap kepada Ahli Parlimen dan ADUN mereka – kerana mereka pun sama.

Kemarahan juga menggambarkan betapa dua Khalid – Khalid Ibrahim dan Khalid Samad akan berdepan dengan banyak lagi bantahan kerana kejadian pagi semalam bolehlah dianggap permulaan.

KERAJAAN PAKATAN SELANGOR BERGOLAK?

Posted in Khalid, Pakatan Rakyat, Selangor on August 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan pakatan pembangkang Selangor Darul Ehsan kini sedang bergolak atau dalam krisis?

Pihak yang menyokong kerajaan pakatan pembangkang berusaha mempertahankan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ada yang mengatakan Khalid tidak akan bertahan lama. Malah sudah ada ura-ura mengatakan beliau akan digantikan dalam tempoh terdekat.

Tidak semena-mena, Datuk Dr Hassan Ali menafikan beliau berminat menjadi Menteri Besar. Apakah ada kaitan dalam khabar angin ini?

Beberapa bulan kebelakangan ini, nama wakil rakyat Gombak, Azmin Ali begitu mendadak dikatakan akan menggantikan Khalid.

Lebih diperkatakan ialah apabila cadangan Khalid menggunakan wang zakat ditolak mentah-mentah oleh Sultan Selangor. Khalid terduduk dengan pernyataan Sultan itu dan ia tamparan hebat apabila kedudukan kewangan Selangor kini dikatakan semakin meruncing.

Juga dengan kedudukan Khalid sendiri yang dikatakan akan menghadapi tekanan akibat pinjamannya dengan Bank Islam yang belum diselesaikan, menggambarkan betapa Khalid kini diserang secara peribadi dan kepimpinannya.

Pendedahan oleh blog pro-PAS ‘Malaysian Waves’ yang memaparkan tulisan Tulang Besi mengenai kehilangan ADUN Pelabuhan Kelang menguatkan spekulasi.

Menurut tulisan berkenaan, ADUN Pelabuhan Klang hilang atau diculik yang mungkin mengulangi tragedi (kejatuhan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Nizar di Perak) kejatuhan kerajaan pakatan di Perak.

Menurut Tulang Besai, beliau mendapat maklumat ADUN berkenaan kini ditahap tidak dapat dihubungi.

Baca apa yang ditulis oleh Tulang Besi:

“Saya mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai bahawa ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah sudah sampai ke tahap tidak dapat dihubungi. Situasi ini iras-iras kedua-dua ADUN lompat di Perak tempoh hari.

Mari kita berdoa kerajaan PR Selangor akan dapat mengatasi masaalah ini dengan terbaik mungkin, inshaalah.Ingat, UMNO cuma memerlukan 9 orang ADUN untuk melompat bagi memastikan kerajaan negeri bertukar tangan. Dan dengan Najib Tun Razak sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor, mereka amat “desperate” untuk mengambil alih Selangor.

Saya merasakan UMNO sedang mencuba untuk mendapat kesembilan-sembilan orang ADUN tersebut melalui aksi melompat dari kedua2 PKR dan PAS. Dari PAS, saya yakin paling ramai yang akan melompat hanya dua orang. Yang lain itu masih berprinsip dan beriman.

Dari PKR pula, baru-baru ini bukankah berlaku ADUN PKR sendiri menyerang kerajaan negeri?Saya tidak tahu berapa orang yang mampu bertahan dan berpegang dengan prinsip mereka?

Oleh sebab itu kita semua wajib berdoa dan berusaha supaya kerajaan Pakatan Rakyat berjaya dipertahan dan segala usaha jahat UMNO digagalkan, inshaalah.

Sekiranya saya dibuktikan salah dalam isu ini (yakni Badrul tidak melompat) saya akan menjadi amat gumbira.”

Sama ada pemimpin PKR atau PAS, mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana ternyata krisis demi krisis dan cantas mencantas antara pemimpin di Selangor, sama ada antara parti atau antara pemimpin dalaman parti tidak boleh dibendung lagi.

Pendedahan mengenai salah laku pemimpin DAP membebankan PKR dan PAS. Sementara perbalahan antara pemimpin PAS pula membebankan PKR dan DAP.

Dalam PKR pula ada pelbagai perbuatan sabotaj dan sebagainya yang menjadikan rakyat Selangor kini menyesal mengundi parti pembangkang berkenaan untuk membolehkan mereka menang.

Yang pasti kalaupun usaha menggoncang dan menjatuhkan kerajaan negeri Selangor tidak berjaya dilakukan dalam masa terdekat, pengundi dan rakyat Selangor akan tetap menghukum kerajaan sekarang yang gagal berfungsi seperti diharapkan.

Ikuti posting akan datang, bagaimana kerajaan pakatan pembangkang di Selangor memusnah dan mengecewakan pengundi mereka dan kini bersedia untuk menukar kembali kepada kerajaan Barisan Nasional.

RM66 JUTA, BANYAK TUUU…

Posted in Guthrie, Khalid on August 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

Untuk makluman sahaja. Tidak berani komen. Ini urusan peribadi seseorang.

Mungkin orang lain pun ada kes serupa.

Oleh kerana keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu membabitkan tokoh politik, ia menjadi suatu perkara yang menjadi minat dan tarikan umum.

Mahkamah berkenaan hari ini memerintahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membayar RM66 juta (AS$18.521 juta) kepada Bank Islam bagi pinjaman yang diambilnya pada tahun 2001 untuk membeli saham Guthrie Bhd.

Ia merupakan penghakiman ringkas (penghakiman yang dibuat tanpa perkara itu didengar dalam perbicaraan penuh) oleh Hakim Rohana Yusof dalam kamarnya.
Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman tersebut, sementara menunggu rayuan dibuat.

Ini bermakna Khalid tidak perlu membayar segera jumlah tersebut sehinggalah selesai semua proses rayuan.

Peguam Malik Imtiar Sarwar yang mewakili Khalid berkata, rayuan akan difailkan kerana beliau merasakan perkara itu harus didengar dalam perbicaraan penuh.

“Kita akan fail permohonan untuk penangguhan hukuman awal minggu depan,” katanya.

Bank Islam diwakili oleh peguam Tommy Thomas. Bank menyaman Khalid pada 27 Mei 2007 kerana didakwa melanggar kontraknya kerana gagal membayar balik pinjaman AS$18.521 juta.
Rohana juga menetapkan 16 September untuk sebutan permohonan penangguhan hukuman serta untuk menetapkan tarikh bagi dakwaan balas Khalid.

Khalid telah memfailkan saman balas terhadap bank tersebut pada 18 Mei 2008.

KHALED BELA RONNIE LIU, ZULKIFLI ANGGAPNYA LIABILITI

Posted in DAP, Khalid, PAS on August 5, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ronnie Liu mempunyai kes pertuduhan jenayah di mahkamah kerana didakwa menghalang penjawat awam dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Subang Jaya pada tahun 2007.

Terang dan nyata. Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak boleh berdalih lagi.

Jelas kemarahan rakyat dan pemimpin pakatan pembangkang kepada Ronnie semakin jelas.
Ronnie didesak meletakkan jawatan atau digugurkan sebagai Exco kerana isu arak di Selangor.

Baru-baru ini Wee Choo Keong (Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju) mendedahkan bagaimana terdapat ahli Exco yang dikaitkan dengan kumpulan samseng hingga ada yang mendakwa pejabat Exco tersebut turut dijadikan tempat pertemuan dengan kumpulan-kumpulan samseng tertentu.

Akibat kenyataan itu, Ronnie Liu telah membidas Wee walaupun Wee langsung tidak menyebut nama beliau atau mana-mana ahli Exco.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin hari ini mendesak agar Ronnie Liu dari DAP meletakkan jawatan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Ia ekoran desakan pelbagai pihak termasuk yang terbaru komponen Pakatan Rakyat PAS semalam.

Zulkifli berkata, sekiranya Ronnie Liu enggan meletakkan jawatan beliau mahu Khalid Ibrahim mengambil langkah segera menggugurkannya daripada barisan Exco Kerajaan Selangor sebelum rakyat mengambil tindakan menggugurkan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Wakil rakyat PKR itu menyifatkan Ronnie Liu sebagai “satu liabiliti” kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Melihat kepada keadaan ini, saya mengambil pendirian bersetuju dengan desakan Datuk Dr Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor) supaya Ronnie Liu segera meletakkan jawatan.

“Kehadiran beliau kini adalah satu liabiliti kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor,” kata beliau dalam blognya.

Semalam, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang iaitu Ronnie Liu ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.

“PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.
“PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan,” kata Dr. Hasan lagi.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengadakan mesyuarat mingguan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hasan, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri supaya serius membanteras penjualan arak di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri supaya kontroversi berkaitan isu arak tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam.

Minggu lalu, Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya memulangkan bir yang dirampas di sebuah kedai serbaneka dekat sini.

Kata beliau, ia perlu dipulangkan semula kerana salah faham.

Perkara itu juga telah dikecam oleh Umno Selangor.

Rampasan oleh Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan MBSA itu dibuat selepas menerima aduan daripada penduduk setempat sejak beberapa bulan lalu yang tidak berpuas hati kerana mendakwa premis berkenaan menjual minuman keras kepada umat Islam.

Bagi memastikan enakmen berhubung arak tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin, PAS Selangor juga akan mengeluarkan satu deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Draf berkenaan bukan satu undang-undang baru, sebaliknya hanya sebagai peraturan yang boleh digunakan oleh kesemua 12 PBT yang ada di Selangor.

“Sekarang ini hanya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang boleh ambil tindakan, jadi sekarang ini kita nak bagi kuasa itu kepada penguatkuasa PBT juga,” katanya.

Dalam tulisannya, Zulkifli menambah, belum pun reda isu Azmin Ali, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa yang mendesak supaya barisan Exco Kerajaan Selangor dirombak, kini meletus pula isu baru.

“Desakan Azmin dipercayai kerana terdapat persepsi di kalangan masyarakat umum khususnya di kalangan ahli perniagaan di Selangor bahawa kalau mahu mendapat sesuatu perkara bergerak di Selangor, “jumpalah dua tiga Exco ni, sure lulus punya!!

“Hari ini (semalam) Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN Gombak Setia dalam kenyataannya secara terbuka mendesak supaya Ronnie Liu digugurkan daripada barisan Exco kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum,” katanya.

Beliau menambah, Hasan secara khusus merujuk kepada tindakan Ronnie Liu yang sering campur tangan dalam urusan pihak berkuasa tempatan. “Kenyataan terbuka Hasan Ali itu berpunca daripada tindakan Ronnie mengarahkan penguatkuasa MBSA dan Majlis Perbandaran Subang Jaya memulangkan minuman keras yang telah dirampas daripada peniaga-peniaga yang melanggar peraturan.

PKR BIMBANG SPEKULASI ATAU TAKUT?

Posted in Khalid, PKR, Selangor on February 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hari ini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memanggil semua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pakatan pembakang untuk bertemu dan menjamin tiada yang ‘hilang’.

Fenomena wakil rakyat hilang dalam PKR kini bagaikan suatu kesan ‘domino’ dari Perak, Kedah dan kini Selangor.

Yang peliknya, fenomena kehilangan wakil rakyat PKR dikaitkan dengan ‘isu seks’.

Tidak usah dipanjangkan mengenai isu di Perak dan di Kedah tetapi yang terbaru mengenai kehilangan ADUN di Selangor ini pun sedikit sebanyak dikatakan terpalit dengan isu yang tidak sedap didengar.

Benar atau tidak, ‘tuan badan’ perlu menafikannya!

Menurut Agendadaily.com, sumber PKR memberitahu, ADUN Pelabuhan Kelang yang ‘menghilangkan diri’ itu pernah ‘ tertangkap basah’ dengan seorang wanita oleh isterinya sendiri.

Ikut ceritanya ekoran itu pelbagai tekanan diterimanya daripada keluarga dan ahli-ahli PKR.

Selain itu, beliau juga dikatakan kecewa kerana peruntukan kawasannya ‘disekat’ oleh Menteri Besar Selangor.

Menurut sumber PKR itu sepanjang menjadi wakil rakyat, beliau memang bersifat lone ranger.
Badul Hisham juga dikatakan pernah meluahkan rasa terkilan kerana hanya diberikan tanggungjawab sebagai penyelaras perpustakaan awam kerajaan negeri di Shah Alam sedangkan ADUN PKR lain mendapat kedudukan yang lebih baik seperti pembantu Exco dan jawatan lebih tinggi.

Tidak banyak yang diketahui tentang dirinya kerana bagi kalangan PKR negeri, Badrul Hisham dikategorikan sebagai wakil rakyat yang ‘tidak perform’ dan kurang disenangi oleh Menteri Besar Selangor.

Beberapa orang ahli UMNO kawasan Pelabuhan Kelang yang ditemui kata mereka pun ada dengar cakap-cakap mengenai kisah masalah peribadi ADUN PKR itu.

Namun mereka tidak terkejut jika ada sesuatu hal yang tidak kena melibatkan ADUN itu timbul nanti UMNO akan jadi kambing hitam.

” Setahu kami itu masalah peribadinya dan itu soal dalaman PKR sendiri,”kata salah seorang daripada mereka kepada Agendadaily. com
Khalid mengatakan pertemuan pakatan pembangkang hari ini untuk menghilangkan spekulasi. Apakah benar demikian?

Bukankah pertemuan itu untuk menjamin wakil rakyat berkenaan ‘tidak hilang’ dan boleh membawa kepada sama ada ‘lompat’ atau ‘meletakkan jawatan’?
Kata Khalid, mesyuarat pakatan pembangkang Selangor itu bagi membincangkan bagaimana untuk menghentikan semua spekulasi yang timbul termasuk kehilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah.
Menghentikan spekulasi atau menjamin ADUN di Selangor tidak lompat parti dan bimbang akan rebah seperti di Perak!
Sebagai Menteri Besar Selangor, beliau mengharapkan mesyuarat g akan dihadiri Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat itu turut akan membincangkan isu-isu semasa berkaitan negeri itu.
Beliau turut menafikan mengenai berita kehilangan Badrul Hisham seperti yang ‘dibimbangi’ Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang, Aziz Johari.

”Tak ada …Saya rasa di Klang pun mereka tak jumpa satu sama lain… Tapi sekarang oleh kerana beberapa insiden yang berlaku di Perak kita agak sensitif tentang perkara ini.
”Esok (hari ini) saya akan jumpa dengan semua Ahli Parlimen dan ADUN untuk adakan perbincangan supaya tidak ada spekulasi yang akan diutarakan oleh mana-mana pihak,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri petang semalam.

Kenyataan Aziz di dalam sebuah akhbar tempatan semalam bimbang dengan kehilangan Badrul Hisham sejak lima hari lalu yang kononnya ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN).
Ditanya sama ada semua Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat akan hadir Abdul Khalid berkata, mereka yang ada di dalam negara dan tidak mempunyai urusan yang lebih penting pasti akan hadir.

Menjawab mengenai ura-ura beberapa ADUN pakatan pembangkang di Selangor akan melompat parti, Abdul Khalid sambil ketawa berkata:

”Dia orang tak berani melompat… Ini spekulasi… Pada saya setiap Ahli Parlimen dan ADUN bukan sahaja bertanggungjawab pada parti tetapi juga pada rakyat yang telah mengundi mereka.

”Jadi terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan.”
Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menafikan khabar angin bahawa empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu akan meninggalkan PKR.

Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR negeri, Yaakob Sapari berkata, khabar angin itu tidak mempunyai asas kerana setakat ini tiada ADUN daripada PKR menyatakan hasrat mahu berbuat demikiani.

Katanya, kedudukan pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas masih kuat walaupun Perak telah dikuasai semula oleh Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

“Tidak ada…tidak ada ADUN PKR Selangor akan melompat parti.

” Malah, dalam mesyuarat perhubungan PKR semalam, saya mengesahkan tidak ada perkara sedemikian akan berlaku,” katanya.

Soal sama ada benar atau sebaliknya khabar angin ini, masa akan menentukan tetapi hakikat yang perlu diterima PKR ialah, ia memang dan benar-benar bimbang ‘domino’ keluarnya wakil rakyat PKR akan tetap berlaku.

Cara bagaimana PKR akan menahan atau mencegah wakil rakyat mereka ‘lompat’ atau ‘ letak jawatan’ tidaklah diketahui.

Soal sekarang bukan spekulasi atau khabar angin tetapi ternyata PKR takut akan berlaku lagi ‘ADUN lompat’ dan jika kesan ‘domino’ ini berlaku, akan ranaplah sebuah lagi kerajaan negeri yang dibanggakan PKR!

KUCAR KACIR PKR SELANGOR

Posted in Khalid, Pakatan Rakyat, PKR on December 29, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tidak boleh disorokkan lagi bahawa Pakatan Rakyat (PR) Selangor semakin dilanda krisis dan ia bukan sekadar rebut dalam secawan kopi.

Krisis semakin panas ketika Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang berada di luar negara sehingga 6 Januari depan.

Yang pasti dalam setiap krisis, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terlibat dan menggambarkan betapa Khalid walaupun disegani sebagai tokoh korporat tetapi lemah mentadbir negeri.

Dan apa yang boleh dilakukan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali ialah mengadakan mesyuarat biro politik , lusa (Rabu) bagi membincangkan isu utama dan berkaitan dalam usaha “untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai”.

Beliau sendiri semalam meminta supaya komponen PKR hendaklah duduk bersama dan berbincang bagi menyelesaikan perbezaan dan konflik secara dalaman.

Menurutnya, terdapat banyak saluran dan prosedur untuk berbuat demikian.
Perbezaan pendapat antara mereka semakin menyerlah Jumaat lepas selepas Anggota Parlimen Kapar (S Manikavasagam) mengumumkan bahawa beliau akan keluar daripada Pakatan Rakyat atas alasan tidak bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu.

Dr Syed Husin semalam mahu pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR), gabungan pembangkang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR, yang terbabit dalam perang mulut supaya berhenti dari menimbulkan perbezaan di antara mereka melalui media.

Kenyataannya berbunyi seperti berikut: “Saya ingin menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukkan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media, terutama yang dikuasai parti pemerintah BN. Ini termasuk MB Selangor serta MP Kapar dan juga Speaker Selangor serta MP Klang. Mereka harus duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara dalaman. Ada beberapa saluran dan prosedur bagi berbuat demikian.

Oleh kerana Presiden, Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Umum, Sdr Anwar Ibrahim berada di luar negara sehingga 6hb Januari, saya akan memanggil mesyuarat Biro Politik hari Rabu ini, untuk membincang semua perkara berkatan dan mencari penyelesaian.

Masalah ancaman MP Kapar hendak keluar dari PKR sudah terlalu dibesar-besarkan oleh sesetengah media yang dikuasai oleh part pemerintah. Mereka menyelewengkan sesetengah kenyataan pemimpin Pakatan untuk menunjukkan gabungan itu berpecah.

Memang jelas, tujuan mereka ialah untuk menarik perhatian awam dari kemelut dalam BN dan juga parti-parti komponen utamanya, terutama sekali menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu.”

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar daripada Pakatan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan Khalid dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu.

Khalid pula dilaporkan menjawab bahawa Manikavasagam bebas untuk meletak jawatan jika beliau mahu berbuat demikian dan beliau tidak berminat untuk berjumpa Anggota Parlimen itu atau untuk memintanya menimbang semula keputusannya. Menteri besar Selangor itu bagaimanapun hari ini menafikan berkata demikian.

Bagaimanapun, Santiago dilaporkan bingung selepas Teng menuduhnya bahawa beliau telah dibeli oleh BN dan bersikap seperti seorang pembangkang.
Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Dr Syed Husin selain mendakwa bahawa isu berhubung ancaman Anggota Parlimen Kapar untuk meninggalkan PKR telah didedahkan seara berlebihan oleh media yang dikawal oleh BN.

Dr Syed Husin juga jelas cuba menutup kelemahan PKR apabila mengatakan niat mereka (BN) adalah untuk memesongkan perhatian orang ramai daripada beberapa krisis dalaman BN dan juga di antara parti komponen di dalam kerajaan sehingga kepada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Krisis menjadi semakin mengelirukan apabila akhbar the Star turut diseret dengan mengatakan laporan oleh akhbar itu silap.

Pejabat urusetia media Menteri Besar Selangor memandang berat tindakan the Star yang dituduh memutarbelit fakta dan berharap akhbar berkenaan lebih bertanggungjawab dan tepat dalam laporannya mengenai kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat.

Pejabat itu menafikan yang memetik Khalid sebagai berkata beliau tidak berminat untuk menemui Manikavasagam atau meminta beliau menimbangkan semula keputusannya untuk meninggal PKR.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan hari ini, urusetia tersebut menegaskan bahawa dalam sidang akhbar tersebut, Khalid tidak pernah pada bila-bila masa pun membuat kenyataan seumpama itu.

“Apabila menteri besar ditanya sama ada beliau bersedia untuk menemui ahli Parlimen Kapar itu, beliau menjawab, sebagai seorang ahli parlimen, ia adalah lebih baik bagi ahli Parlimen itu menemui pemimpin parti,” kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, Khalid tidak pernah mengatakan bahawa Manikavasagam bebas untuk meletak jawatan, seperti dalam laporan akhbar tersebut.

“Dalam sidang akhbar tersebut, menteri besar, apabila ditanya, telah menegaskan bahawa ahli Parlimen Kapar itu bebas untuk membuat keputusannya dan bahawa beliau cukup matang untuk membut keputusan yang baik selaku wakil rakyat kepada lebih 100,000 pengundi dalam kawasan pilihanrayanya dan (selaku) seorang ahli PKR.

“Menteri besar juga berulangkali menegaskan bahawa forum terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut adalah biro politik parti berkenaan (PKR),” tambahnya.