Archive for the utusan Category

WARTAWAN UTUSAN MELAYU UGUT PENGURUSAN?

Posted in Najib, rasuah, utusan on July 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Selepas dikejutkan dengan wartawan menulis mengenai ‘reban ayam’ menjadi ‘restoran berahi’ Sabtu lalu, kita dikejutkan pula dengan wartawan mahu berarak ke pejabat Perdana Menteri.

Gara-garanya kerana isu pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu NUJ dikenakan tindakan disiplin kerana membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seingat saya inilah kali pertama kejadian seumpama ini jika berlaku tetapi cara main-main ugutan seperti ini tidak baik.

Masyarakat melihat wartawan sebagai kumpulan manusia rasional dan tidak wajar ugut-mengugut dilakukan, apalagi berarak ke pejabat perdana menteri.

Kepada Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan timbalannya, Othman Mohamad, tenguk-tenguk perkara ini sebaik mungkin.

Ini kerana semua kita naik bermula dengan wartawan biasa dan pernah menjadi ahli NUJ sebelum ke pangkat eksekutif.

Saya yakin Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin yang pernah menjadi wartawan dan setiausaha akhbar Perdana Menteri mampu menyelesaikan isu ini sebaik-baiknya dengan bantuan Aziz.

Kesatuan itu dilaporkan mengancam berarak ke pejabat perdana menteri jika pengerusinya Amran Ahmad dipecat selepas mengadukan dua kes perbelanjaan syarikat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli majlis eksekutif NUJ itu Wan Syamsul Amly Wan Seadey berkata, mereka “tidak teragak-agak untuk bertindak lebih jauh” jika organisasi media itu terus-menerus “cuba menindas suara pekerja”.

“Mula-mula syarikat keluarkan surat tunjuk sebab. Lepas ini mereka akan pecat Amran dan mana-mana ahli yang bersuara lantang membela hak pekerja-pekerja di Utusan Melayu.

“Jika ini berlaku, kami semua membantah sekeras-kerasnya dan mungkin membawa perkara ini ke perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang merupakan presiden Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Amran dikenakan tindakan disiplin tersebut atas dakwaan “menfitnah” kumpulan media berpengaruh itu susulan tindakannya membuat dua aduan kepada SPRM seperti dilaporkan di Malaysiakini dan Harakahdaily.

Difahamkan, beliau diminta membuat penjelasan bertulis kepada pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad selewat-lewatnya Selasa lalu – kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan yang lebih serius diambil terhadapnya.

Bagaimanapun masih belum jelas bentuk-bentuk tindakan tersebut.

Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa “terlalu mahal” RM160,000.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Kesatuan sekerja itu masih lagi bergelut untuk memeterai perjanjian bersama (CA) penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

ULAMA ATAU PROFESIONAL JADI PEMIMPIN?

Posted in PAS, Ulama, utusan on May 10, 2009 by Hambali Abd Latiff

Saya mohon kebenaran daripada Utusan Malaysia kerana memuatkan tulisan Dr Maza ini (Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009).

Saya perturunkan ini untuk tatapan pembaca sesuai dengan perkembangan dalam PAS sekarang.

Kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Encik Aziz Ishak, terima kasih awal untuk kebenaran yang dipohon.

PAS panas memperdebatkan isu kepimpinannya sama ada patut dipegang oleh golongan ‘ulama’ atau profesional? Saya tidak berhasrat memberikan pandangan kerana itu urusan ‘rumahtangga jiran’ yang tiada keperluan untuk campur tangan.
Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Saya masih ingat dalam satu temu bual akhbar Harakah, saya menjawab persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawapan tidak disiarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: “Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah. Dengan menghormati ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas. Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit.

Jika sesetengah tokoh agama yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku”.

Al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang membolehkannya berijtihad menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut khalifah mestilah berketurunan Quraisy. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum. Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: Para imam itu daripada Quraisy (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: “Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraisy disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)”. Ertinya, jika syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraisylah yang mempunyai dalil hadis. Syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik. Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: Apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraisy?

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka.

Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan ini. Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang ‘bukan ulama’ dalam kalangan umat Islam gagal berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi oleh prinsip kehidupan oleh individu pemerintah itu sendiri. Dalam erti kata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negara. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orang ramai? Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil ‘ustaz’? Perkataan ulama berasal dari ‘ilmu’. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah?

Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi ‘kontang’ dalam soal ini, dia tidak layak.
Saya berpendapat perbahasan; sama ada ulama atau profesional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; Apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik?

Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran ‘ulama’ ataupun profesional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari : “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW. Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’iy wa al-Ra’iyyah menyebut: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut.

Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani – walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan ‘ulama’ atau ‘profesional’ yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.

Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Posted in UMNO, utusan on November 11, 2008 by Hambali Abd Latiff

Oleh Hambali Abdul Latiff

Bahagian Kedua (sambungan daripada Bahagian Pertama – Bahagian Larut):

1. UMNO Bahagian Tanah Merah

Latar Belakang: Mesyuarat bahagian Tanah Merah diambil alih Badan Perhubungan Umno Kelantan selepas menerima arahan Ibu Pejabat Umno berikutan bantahan dan masalah yang berlarutan sejak mesyuarat cawangan, Julai lalu.

Ada dakwaan bahawa 27 daripada 117 cawangan dalam Bahagian UMNO Tanah Merah dibatalkan pendaftaran ekoran isu pembayaran yuran. UMNO Tanah Merah diketuai oleh Nik Kemaruzaman Sulung yang memangku jawatan Ketua Bahagian sejak Datuk Hashim Safin meninggal dunia April lalu.

Ada pihak mendakwa kepimpinan UMNO Bahagian Tanah Merah enggan mengiktiraf hak 27 cawangan yang layak bermesyuarat daripada keseluruhan 115 cawangan. Berikutan itu, UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu. Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat.

Masalah: Masalah teknikal berikutan dakwaan wujud anggota hantu pada pemilihan peringkat cawangan. Satu permohonan mahkamah dibuat menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu.Siapa terlibat? Antara anggota Umno bahagian Tanah Merah yang terlibat dengan perintah itu ialah Ketua bahagian yang menang tanpa bertanding, Ikmal Hisyam Abdul Aziz, anggota jawatankuasa Umno bahagian, Ali Akbar Mayim, Bakri@Mohd Bakri Mustafa, Yahya Mustapha dan Rasdi Mohamad.

Tindakan Bahagian: Mesyuarat 8 November 2008 ditangguh dan keputusan mengenainya disampaikan peguam parti dari Ibu pejabat Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengenai masalah teknikal ekoran ada pihak yang menyerahkan satu permohonan mahkamah menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu. Mesyuarat yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah itu yang sepatutnya berlangsung pukul 9 pagi hanya bermula pukul 10.10 pagi, dan sedikit tegang dipercayai disebabkan tindakan pihak yang mendapatkan perintah mahkamah cuba menyerahkan perintah injuksi kepada 32 anggota terbabit. Bagaimanapun, mesyuarat itu ditangguhkan kira-kira 40 minit kemudian sebaik ucapan perasmian oleh Naib Ketua Umno Bahagian Zakaria Hamad, selesai, apabila Pengerusi Tetap Sementara, Ali Akbar Mayim mengumumkan mesyuarat yang dipantau Umno Bahagian Rantau Panjang itu disambung semula pada pukul 1 tengahari untuk mendengar penjelasan Hasfanizam. Mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu selesai diadakan sehari sebelumnya.

Hasfanizam berkata, keputusan menangguhkan mesyuarat bahagian itu dibuat setelah beliau merujuk kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.Persidangan Umno bahagian Tanah Merah semalam dihadiri 452 perwakilan daripada 171 cawangan.

Kesan: Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO. Ia berdasarkan permohonan yang difailkan seorang AJK Umno Bahagian Tanah Merah, Ab Rahman Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kota Baharu 6 November lalu apabila 32 anggota Umno dilarang menggunakan hak mereka daripada bercakap, mengundi, dan memilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu sehingga kes mahkamah diselesaikan. Setiausaha Agung juga memaklumkan kes itu akan dirujuk kepada ibu pejabat Umno dan juga akan dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Umno Malaysia. Perintah itu akan dikuatkuasakan sehingga 20 November akan datang apabila 32 anggota itu diberi hak untuk melantik peguam masing-masing, katanya semasa memberi penjelasan mengenai penangguhan itu.

Perkembangan Lain:

1. Pada 8 Ogos 2008, Setiausaha Agung UMNO berkata, tidak timbul isu pembatalan sebahagian cawangan dalam UMNO Bahagian Tanah Merah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah senarai ahli cawangan itu sedang dikemas kini kerana terdapat unsur-unsur meragukan. Ibu Pejabat UMNO Pusat difahamkan mengeluarkan arahan bahawa semua cawangan yang telah membayar yuran tahunan adalah layak untuk bersidang mengikut perlembagaan parti. Wakil cawangan terlibat mendakwa wujud agenda pihak tertentu bagi mencorakkan pencalonan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan bahagian.Mereka meminta UMNO Pusat meneliti perkembangan itu dan segera mengambil tindakan bagi mengelak perkara tersebut menjadi lebih bercelaru hingga merosakkan imej parti.

2. Setiausaha UMNO bahagian itu, Amran Abdul Rahman mendakwa sebelum persidangan cawangan bermula dari 4 Oktober hingga 10 Oktober lalu, jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan dipengerusikan oleh pegawai khas kepada pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaakub bersetuju untuk menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada bahagian. Bagaimanapun hingga 20 Oktober lalu, laporan yang diminta untuk simpanan bahagian, tidak diserahkan.

Berikutan itu, UMNO bahagian itu membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di berkenaan. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan.

3. Pada 7 Oktober 2008, Umno Bahagian Tanah Merah membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu. Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob. Pemangku Ketua Bahagian, Nik Kemruzaman Sulong, berkata bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.

4. Laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul pada 28 Oktober 2008 mengenai penghantaran Notis Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang lewat dari tarikh yang tertulis pada surat notis itu.

5. Pada, 7 November 2008 lalu, Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan, membuat satu laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa. Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul. Beliau mendakwa, Tengku Adnan menggunakan kedudukan sebagai Setiausaha Agung mengeluarkan arahan bertulis kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan supaya mengambil alih persidangan cawangan dalam bahagian Tanah Merah sebelum tempoh yang ditetapkan. “Tengku Adnan juga membuat fitnah kononnya Umno Bahagian Tanah Merah mengalami masalah pentadbiran,” katanya.

6. Selain laporan polis, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula pada 7 November 2008 dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz bersidang. Mereka didakwa tidak membuat pembayaran yuran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Ikmal Hisham sepatutnya diumumkan sebagai Ketua Bahagian yang baru setelah menang tanpa bertanding.

7. Pada sidang media di Kuala Lumpur yang turut dihadiri bekas Ketua Wanita bahagian, Datin Suhanie Deraman; bekas Ketua Pemuda Umno Tanah Merah, Jusoh Deraman dan bekas Ketua Puteri, Paridah Mat Riffin, Nik Kamaruzaman meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi menyelesaikan beberapa kepincangan yang didakwa berlaku di bahagian itu termasuk ketika mesyuarat Umno cawangan dalam bahagian itu. Beliau bimbang jika tidak diatasi, ia boleh menyebabkan mesyuarat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri tidak sah kerana wujudnya ahli hantu dan ahli yang gagal membayar yuran tahunan dibenarkan mengundi untuk memilih calon. Ketiga-tiga pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri terbabit tidak hadir ke mesyuarat perwakilan sayap pimpinan mereka yang dibuat di tiga lokasi berbeza di Tanah Merah pada 7 November 2008 bagi menyertai Nik Kamaruzaman untuk menyatakan bantahan.

Selain isu keahlian UMNO Bahagian Tanah Merah membantah keputusan Jawatankuasa Pengurusan UMNO menyerahkan penggendalian Mesyuarat Perwakilan UMNO Tanah Merah dan sayap-sayapnya kepada BadanPerhubungan UMNO Negeri mengikut Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO.

1. Benarkah Setiausaha Agong membuat fitnah terhadap JK Bahagian Tanah Merah dan ‘merampas kuasa’ apabila mengarahkan Badan Perhubungan UMNO mengambil alih dan mengatur mesyuarat cawangan Bahagian UMNO Tanah Merah?

2. Benarkan Setiausaha Agung menggunakan kuasanya membenarkan sejumlah 30 daripada 45 cawangan gagal membayar yuran tahunan dan satu cawangan yang lewat membayar Yuran Tahunan menjalankan persidangan cawangan

3. Benarkah Saetiausaha Agung membenarkan cawangan bermesyuarat di luar tempoh ditetapkan oleh MT iaitu 4 hingga 10 Oktober 2008

4. Sebab masalah timbul pada mesyuarat cawangan berbeza antara kenyataan Setiausaha Agung dan Bahagian UMNO Tanah Merah. Setiausaha Agung berkata punca pengambil alihan ialah masalah dalaman pentadbiran Bahagian berkenaan tetapi UMNO Bahagian Tanah Merah berpendapat kegagalan Ibu Pejabat UMNO mengatasi permasalahan termasuk kesahihan penambahan, pengurangan dan pertukaran ahli UMNO serta kepincangan di Bahagian Sistem Maklumat Ibu Pejabat punca sebenar.

5. Benarkah Notis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tidak menepati Perkara 6.2 Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan iaitu “Setiausaha Bahagian hendaklah memberitahu Cawangan dengan bertulis sekurang-kurangnya 14 hari (14) hari terlebih dahulu dipada hari diadakan Perwakilan Bahagian’.

Selain isu peribadi yang ditujukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilih dan Pemantau Negeri Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaacob kenyataan Ikmal Hisham di Utusan Malaysia Online pada 11 Oktober 2008 yang beliau menang tidak bertanding, mengundang banyak pertanyaan. Ulasan mengenai kemenangannya itu dianggap ‘ tidak wajar dibuat’ kerana keputusan rasmi belum dibuat. Difahamkan, sebarang kenyataan keputusan pencalonan cawangan-cawangan hanya boleh dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan atau selepas tujuh (7) hari persidangan perwakilan Bahagian tamat. Ringkasan Laporan Utusan Malaysia Online adalah seperti berikut:

Ikmal Hisham, Ketua UMNO Tanah Merah
http://www.utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Okt. – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut selepas tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Pada mesyuarat cawangan yang berakhir semalam, Ikmal mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).

Bagi jawatan timbalan ketua, ia akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara seorang tokoh agama, Baharudin Yusof yang mendapat 53 pencalonan dan bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan (50) manakala dua lagi individu iaitu Supardi dan ahli jawatankuasa bahagian, Moktar Bahari tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Dalam pada itu, seorang guru, Bakri @ Mohd. Bakri Mustapa turut menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua selepas mendapat 82 pencalonan selepas empat lagi pencabarnya tidak layak untuk bertanding.

Sementara itu, Ikmal Hisham ketika dihubungi di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan yang mencalonkannya dan yakin dengan kebolehannya untuk memimpin serta membawa perubahan kepada parti di bahagian tersebut.

“Saya bersyukur kerana mesyuarat cawangan ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang masalah walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuh sebelum ini,” katanya.

Apapun, harapan bagi UMNO Bahagian Tanah Merah ialah Najib melihat masalah mereka serta mahu keputusan dan budi bicara Tengku Adnan dalam menggendalikan kes bahagian mereka berkiatan dengan individu tertentu turut disiasat.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Tanah Merah ialah:

a) Kenapa UMNO Bahagian Tanah Merah enggan mengiktiraf hak 27 cawangan yang dikatakan layak bermesyuarat daripada keseluruhan 115 cawangan dalam Bahagian itu?

b) Kenapa UMNO Bahagian tidak dibenarkan menghantar Wakil Bahagian ke Persidangan Cawangan;

c) Kenapa salinan Buku Laporan Mesyuarat tidak dibenarkan diserahkan kepada Cawangan dan Bahagian;

d) Kenapa Jadual Persidangan Cawangan tidak dibincang terlebih dahulu dengan Bahagian dan Cawangan;

e) Kenapa laporan dan keputusan rasmi Persidangan Cawangan tidak dimaklumkan kepada UMNO Bahagian walaupun persidangan telah 30 hari berakhir;

f) Benarkah Wakil Pemantau yang dihantar oleh Jawatankuasa terabit membuat Akuan Palsu apabila mengaku menyerahkan Peringatan Persidangan 2007, Kertas Persidangan 2007/2008 dan Laporan Kewangan 2007 untuk simpanan Urusetia Bahagian tetapi sebenarnya tidak berlaku demikian?

g) Knapa membuat perubahan tarikh Persidangan Cawangan tanpa memaklumkan kepada UMNO Bahagian? Dan

h) Kenapa tidak melayan dan responsive terhadap aduan-aduan UMNO Bahagian kepada pelbagai penyelewengan yang dikesan berlaku dalam Persidangan Cawangan?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.

(Ikuti sambungan Bahagian Akhir)

SUKARNYA MENDAPAT MAKLUMAT

Posted in Agendaily, Malaysiakini, UMNO, utusan on October 28, 2008 by Hambali Abd Latiff

Sukarnya mendapat maklumat terkini mengenai pemilihan UMNO yang benar-benar sahih.
Tidak pasti orang lain tetapi saya menghadapi masalah mengumpul maklumat apabila sumber berita semuannya berbeza sama ada daripada sumber rasmi seperti Bernama atau Utusan Malaysia serta daripada portal berita seperti Malaysiakini dan Agendadaily.

Usaha Agendadaily dan Malaysiakini sebagai antara yang terbaik sejauh ini selain Bernama dan Utusan Malaysia yang kadang-kadang agak ketinggalan.

Laporan mengenai jumlah Bahagian UMNO yang sudah bersidang pun pening dibuatnya. Bernama mengatakan sehingga 27 Oktober (semalam), sebanyak 102 sudah bersidang.

Malaysiakini pula melaporkan 103 sudah bermesyuarat dan Utusan Malaysia juga mengatakan 103 tetapi Agendadaily melaporkan 105 UMNO Bahagian telah selesai mengadakan Persidangan Perwakilan masing-masing. Ini bermakna ada 86 lagi UMNO Bahagian yang belum mengadakan persidangan perwakilan mereka.

Lalu cuba ke portal umno-online (http://irc-malaysia.com) lagi tidak boleh diharap. Tidak payah disebutlah.

Sepatutnya pada musim seperti ini laman web UMNO smenjadi tempat rujukan rasmi tetapi itulah keadaan sebenar sumber maklumat UMNO. Tidak boleh diharap!

Inilah masalahnya dengan UMNO, orang lain ada portal, kita mahu ada portal, orang ada website, kita ada website. Walaupun ada usaha menyediakan maklumat pada pautan memgenai pemilihan tetapi tidak juga di update.

Nak harapkan laman UMNO negeri-negeri? Laman UMNO Pahang menunjukkan kemaskini terkini pada Februari 2008.

Cuba juga cari laman web UMNO Sabah tidak juga jumpa, begitu juga dengan Perak. Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Umno Selangor pula yang terbaru ialah berita 13 September bertajuk “Anwar Berdolak-dalik Tentang Rancangan Ambil Alih Kerajaan” sementara cerita terbaru mengenai Ketua Perhubungannya iaitu Tan Sri Muhammad Muhd.

Taib ialah ketika menawarkan diri untuk kembali merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan Disember ini” (Tarikhnya ialah
Bayangkanlah, betapa maklumat mengenai pertandingan yang begitu penting seperti ini daripada UMNO termasuk dari Ibu Pejabat UMNO Kuala Lumpur pun tidak ada.

Dengan berbezanya jumlah bilangan mesyuarat yang dilaporkan daripada empat sumber di atas, maka berlakunya juga perbezaan nombor pencalonan,

Malaysiakini melaporkan, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-103 untuk jawatan presiden . Muhyiddin pula dikatakan memperolehi 65 pencalonan.Manakala dua lagi calon – Datuk Mohd Ali Rustam mendapat 23 pencalonan manakala Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat 17 pencalonan.

Untuk jawatan Timbalan Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein (85), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (62), Datuk Seri hafie Apdal (46), Datuk Khaled Nordin (50) dan Datuk Syed Hamid Albar (22).

Utusan Malaysia pula berkata, Najib mendapat 101, Muhyiddin 63, Mohd Ali Rustam (23) dan Muhammad (15).

Untuk Naib Presiden Utusan Malaysia menyebut Hishammuddin Tun Hussein (83), Zahid (58), Shafie (50) dan Khaled (49).

Bernama berkata Najib menyapu bersih 102 pencalonan sehingga kini sementara Muhyiddin mara dengan jumlah 65 pencalonan. Muhammad mendapat 15 manakala Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan.

Hishammuddin pula dengan 85 pencalonan, Zahid (62), Khaled (50), Mohd Shafie (45) dan Syed Hamid (22).

Bilakah agaknya akan ada satu sistem maklumat yang baik untuk memudahkan rujukan bagi tujuan dan penyelidikan khususnya mengenai UMNO.

Waktu ‘main-main tunjuk kertas’ tidak sesuai lagi ketika ini apa lagi pemilihan ini penting bukan seperti pemilihan biasa.

Ia bagi menentukan Presiden dan Timbalan Presiden yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalannya yang kedua-duanya dari UMNO.

Pada ketika tokohnya begitu gah, sistem penyaluran maklumat mengenai pemilihan UMNO begitu lemah.

Masa masih ada, sebaik-baiknya diperbetulkan semua ini supaya UMNO bukan sahaja gah dari segi nama dan ketokohan pemimpinnya tetapi juga sistem maklumat untuk tujuan penyelidikan, penyaluran dan penyampaian yang berkesan dalam abad ke 21 ini.

TABUNG AZAN UNTUK PERKARA BAIK!

Posted in teresa kok, utusan on October 17, 2008 by Hambali Abd Latiff

Membaca kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang menjelaskan bahawa antara tujuan utama penubuhan ‘Tabung Azan’ adalah untuk membiayai dan melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan masjid, menjadikan saya terpanggil untuk menyokong usaha ini.

Walaupun sebelum ini saya sungguh tersentuh apabila Utusan Malaysia dibantai teruk oleh Teresa Kok dan DAP, saya tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan Syed Ali menyokong Utusan Malaysia.

Dengan tertubuhnya tabung berkenaan, jelas Syed Ali bukan sahaja menjalankan dayausaha untuk menyokong Utusan Malaysia tetapi juga melakukan perkara baik.

Saya rasakan usaha ini wajar disokong bukan kerana Utusan Malaysia banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam semasa tetapi jasanya begitu penting dan bermakna buat orang Melayu.
Saya tertanya-tanya kenapa Musyridul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengatakannya sebagai gimik politik.

Nik Aziz mendakwa tindakan Umno melancarkan Tabung Azan bersama Utusan Malaysia kononnya bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini disifatkan sebagai gimik politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, usaha mereka mewujudkan Tabung Azan bagi membantu akhbar Utusan Malaysia sesuatu yang tidak rasional.

Cuba mencari maklumat, saya menyelidik bukan sahaja melalui utusan-online (http://utusan.com.my) tetapi beberapa blog selain http://rockybru.blogspot.com sudah pun melaporkan mengenai usaha membantu Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Blog seperti http://lawi-ayam.blogspot.com menjalankan kempen “Jom Sokong Utusan Malaysia” sejak 10 Oktober 2008 dengan tema “Mari Ganyang Teresa” selain menyiarkan rencana “Nik Aziz bela Teresa Kok’ sementara http://gegernya.blogspot.com menyokong Utusan Malaysia dan usaha Syed Ali.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Syed Ali ada menegaskan: “Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang mempertikaikan laungan azan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat DAP yang menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan ‘Tabung Azan’ sebagai satu gimik dan mendakwa Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San juga berkata tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti terdapat segelintir anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, kata Syed Ali, pihaknya rasa terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk membantu surau dan masjid menyediakan pembesar suara bagi melaungkan azan kerana ianya adalah sebahagian daripada syiar agama Islam.

“Kita nak cari duit. Kenapa nak laungkan azan tak boleh. Ini Malaysia, sebuah negara Islam. Dan kita nak naikkan semangat orang Islam,” kata Syed Ali.

Tambah Syed Ali lagi, beliau mensasarkan untuk mengutip derma RM30 juta sebagai usaha untuk memberitahu DAP pihaknya mampu berbuat demikian.
Wang yang terkumpul adalah untuk membeli peralatan surau dan pembesar suara serta diberikan di surau-surau.

Ditanya mengenai laporan sebelum ini menyebut penubuhan tabung itu juga bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman oleh Teresa, beliau berkata sebarang sokongan terhadap tersebut adalah dalam bentuk sokongan moral.

Katanya ini kerana Utusan merupakan kumpulan media yang besar dan mampu menyediakan sumber kewangan sendiri untuk membela diri.

Kelmarin, 14 Oktober, mengisytiharkan tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berbunyi: “Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri. Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA. Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”