Archive for April, 2009

10 ADUN PATUT LETAK JAWATAN?

Posted in sms ugutan, Terengganu, UMNO on April 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Rakan lama saya, Zabidi Saidi (bekas Editor Watan (baru),menulis melalui bloknya, Memo Belakang bahawa Dr. Ramzi Zubir bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh jadi dalang mengirim sms ugut tiga orang ADUN.

Sejauh mana berita yang dibawa Zabidi ini benar, tidaklah diketahui kerana dua pegawai polis Terengganu menafikan bahawa polis memburu Dr Ramzi.

Kata Zabibi: “Jika benar Dr. Ramzi terlibat, maka 10 ADUN ini perlu letak jawatan kerana mereka tidak ada niat lain selain memalukan kerajaan BN sendiri.”

“ Oleh itu Najib Razak selaku Presiden UMNO perlu melihat kes ini secara serius. Inilah ujian pertama bagi Hishamuddin (Hussein) sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Semoga beliau dapat mempertahankan Terengganu dari jatuh ke tangan PAS? Janganlah dalam sejarah nanti, nama anda disebut sebagai pengerusi perhubungan UMNO Terengganu ketika BN Terengganu tumbang pada pilihanraya umum 2012,” kata Zabidi.

Beliau berkata , Khamis lepas beliau bertemu dengan seorang G7 dari Hulu Terengganu di The Mall dan beliau memberitahu “Dr. Ramzi Zubir bekas setiausaha politik Idris Jusoh jadi dalang mengirim sms ugut tiga orang ADUN. Sabtu lalu polis mengesahkan sedang mencari Dr. Ramzi.”

Zabidi membuat andaian: “Maknanya hebat juga puak Idris mahu memalukan Ahmad Said terpaksa mencipta sms ugutan sendiri, sehingga tujuh orang yang tidak menerima ugutan pun tidak menhadiri sidang Dewan Undangan negeri.”

Kedua-duanya dilaporkan oleh Berita Harian. Laporan pertama pada Ahad yang metik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata beliau keliru dan terkejut apabila beberapa akhbar melaporkan polis mencari Ahmad Ramzi kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

Laporan keesokan harinya yang memetik Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, sekali lagi menafikan laporan bahawa polis sedang mencari Dr Ahmad Ramzi, bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, polis negeri kesal dengan tindakan beberapa akhbar yang menyiarkan laporan itu.
Sehari sebelum itu, bukan sahaja akhbar malah BERNAMA (Berita Nasional Malaysia), saya ulangi, BERNAMA melaporkan:

Kita tidak pasti kenapa polis menafikannya kerana laporan menganggu siasatan atau memang Dr Ramzi tidak terbabit.

Menghairankan Dr Ramzi tidak diketahui di mana beliau berada dan telefonnya juga tidak berjawab.

Baru-baru ini, Polis Terengganu yakin membuat beberapa tangkapan termasuk perancang utama kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugut bunuh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini dalam tempoh seminggu lagi.

Mohd Fauzi, berkata polis sudah mengenal pasti perancang utama kes itu dan gerakan mencarinya giat dilakukan.

Katanya, polis ke rumah perancang utama itu di Marang tetapi gagal menemuinya. Polis percayai lelaki berusia 40-an itu meninggalkan negeri ini dan berada di tempat lain,” katanya,
Mohd Fauzi berkata, polis percaya lelaki itu masih dalam negara ini dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan.

Perancang utama SMS ugut bunuh itu dikesan apabila polis menahan kerani berusia 31 tahun yang bekerja dengan syarikat teknologi maklumat di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada jam 9.30 malam Isnin minggu lalu.

Bagaimanapun lelaki itu sudah dibebaskan selepas ditahan reman seminggu.

PERKEMBANGAN TERBARU ‘SMS UGUT BUNUH’

Posted in sms ugutan, Terengganu, UMNO on April 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Untuk ketahui perkembangan terbaru mengenai sms ugut wakil rakyat, ikuti tulisan Mohd Sayuti Omar melalui blognya MSOMerahTinta (www.msomelayu.blogspot.com)
Pengirim SMS Ugut Wakil Rakyat Berlindung di Bukit Keluang?

Tuesday, April 28, 2009 SEHINGGA kini tidak diketahui bagaimana kesudahan mengenai kejadian beberapa orang Adun UBN Terengganu yang diugut menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang sidang DUN Trengganu dua minggu lalu.

Semalam katanya polis telah pun membebaskan seorang lelaki yang disyaki terlibat mengirimkan SMS berunsur jenayah itu selepas direman beberapa hari. Apakah polis sudah selesai mengadakan siasatan dan segala punca dan permasalahannya sudah diketahui? Apakah lelaki yang direman itu terlibat atau pun ada dalang lain yang menyuruh dan mengupah lelaki yang direman itu melakukan perbuatan berunsur jenayah itu?

Persoalan ini perlu dijawab dan dihuraikan segera. Siapakah lelaki yang direman itu? Menurut laporan awal dia juga seorang blogger yang banyak menulis cerita-cerita politik dari Terengganu. Mulanya saya ingat Mubin blogger “Jarang Anak Melayu” atau Zabidi Saidi blogger “Memobelakang”, sebab mereka anak Terengganu yang rajin menulis dan mendedahkan kebusukan penyu-penyu mati dan cerita birai-birai pantai Terenganu yang penuh dengan sampah dan berbau hampak. Tidak mereka rupa-rupanya tetapi orang lain. Identiti lelaki yang ditangkap itu tidak jelas dan pejabatnya juga kabur.

Kebetulan kelamrin sambil minum di sebuah restoran di sebuah pusat membeli belah saya berjumpa dengan seorang yang arif mengenai politik Terengganu dan mendakwa mengetahui cerita dalam kilas politik negeri Tok Ku Paloh tersebut. Sumber ini juga rapat dengan Umno dan kenal semua orang besar dan orang kecil dalam Umno baik di Kuala Lumpur maupun di Kuala Terengganu. Ada cerita mengejutkan saya yang terkeluar dari mulut kawan ini.

Menurutnya rupa-rupa lelaki yang direman itu bekerja di ibu Pejabat Umno. Dia bekerja dengan salah seorang pegawai di situ? Duk… duk hati saya bergeduk mendengar cerita ini. Apakah kisah SMS yang berlaku di Terengganu itu dimonitorkan dari ibu pejabat Umno?

Kalau benar begitu kenapa pulak ianya jadi begitu. Apa yang tidak kena dengan Ibu pejabat Umno dengan Ahmad Said di Terengganu. Apakah ibu pejabat Umno sendiri ada peranan untuk menghuruharakan Umno Terengganu? Untuk apa? Al Kisah berbalik kepada seorang pegawai bekas Menteri Besar yang kini dikatakan sedang diburu polis. Apakah ianya sudah menyerah diri ataupun sudah ditangkap? Mulanya berbelit sedikit cerita ini.

Ada laporan dalam akhbar mengatakan polis tidak mencari bekas setiausaha kepada bekas MB ini. Tetapi kalaulah benar dia tidak dikehedaki kenapa menyembunyikan diri? Selalunya orang yang berani lagi benar akan tampil ke hadapan dengan penuh bertanggungjawab. Dia akan pergi sendiri ke balai polis atau ke pejabat akhbar bagi menjelaskan dan membersih dirinya. Tetapi lain hal pula dengan yang seorang ini! Manakala dari satu sumber di Besut Terengganu katanya orang ini kelihatan pernah muncul berdekatan dengan Bukit Keluang.

Apakah dia berkelah atau berihat di situ ataupun buat apa? Bukit Keluang terletak dalam kawasan Besut. Ketua Umno Besut ialah Idris Jusoh. Apakah orang berkenaan sedang mencari suaka politik di Besut? Masakan sampai begitu sekali. Elok juga kalau polis hantar anggotanya meninjau di sekitar Bukit Keluang. Cuba jenguk dalam gua di bukit itu takut-takut orang berkenaan ada menyorot di dalam gua itu. Jangan rasa hairan dan anih, orang takut akan baut apa saja termasuk menyamar dan memperalatkan orang lain. Apa lagi orang politik mereka boleh lakukan apa saja.Mungkin kalau sudah terlalu takut mereka tidak peduli lagi kepada keluang atau tahi keluang yang memenuhi gua berkenaan.

Semoga polis akan menyelesaikan kes SMS ugut itu kerana kesian juga kepada Rosol Wahid dan kawan-kawannya, gara-gara SMS itu menyebabkan mereka mungkin takut untuk melaram di waktu malam kerana bimbang nyawanya terancam. [wm.kl. 11:30 pm 28/04/09] Elok juga kalau polis hantar anggotanya meninjau di sekitar Bukit Keluang.

RAKYAT DIDAHULUKAN

Posted in Malaysia, Najib on April 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan pembaharuan struktural dalam perkhidmatan awam dengan mengesyorkan proses saling penyerapan di antara bakat-bakat sektor awam dan swasta.
Cadangan ini adalah sebahagian dasar memperluaskan dasar pembaharuannya sejak dilantik Perdana Menteri awal bulan ini dengan kali ini mengemukakan syor dasar pintu terbuka bagi sektor perkhidmatan awam.

Syor itu merupakan satu daripada tiga pembaharuan struktural dalam usaha modenisasi sektor awam yang diketengahkan oleh Perdana Menteri.

Dasar pintu terbuka itu akan membolehkan pegawai perkhidmatan awam dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebaliknya untuk saling menimba pengalaman.

“Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara,” kata beliau semasa menyampaikan amanat pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh di sini hari ini.
Selain itu Najib berkata bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap hingga menjadikan mereka organisasi yang hebat.

Di bawah kaedah ini, Perdana Menteri hari ini berkata, sudah tiba masanya jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan lain selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

“Kedua, saya juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan ke perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman.

“Ketiga, bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam juga perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan oleh syarikat-syarikat seperti Petronas termasuk Bank Negara.

“Kita juga akan menghantar pegawai terbaik dalam kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti di Kennedy School of Government di Universiti Harvard dan Wharton Busniness School di Universiti Pennsylvania,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Ikuti ucapan Perdana Menteri berikut:

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI DI MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE-10

TEMA: SATU MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

1. Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur setingginya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua satu proses peralihan kuasa yang tertib, licin dan sempurna telah berlangsung pada 3hb April yang lalu. Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan kepada YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi yang telah memungkinkan peralihan tersebut berjalan dengan begitu baik. Justeru, saya berasa amat sukacita kerana inilah julung kali saya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke sepuluh atas kapasiti sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

2. Saya majukan ucapan terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri Mohd. Sidek Hj. Hassan, Ketua Setiausaha Negara dan juga kepada Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan juga kepada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) atas perencanaan dan pengaturan majlis ini bagi saya menyampaikan gagasan, hasrat dan harapan secara langsung kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

3. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari seluruh pelosok negara menjadi manifestasi komitmen dan iltizam tuan-tuan dan puan-puan kepada perkhidmatan awam yang telah lebih lima dekad menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan negara. Sungguhpun inilah kali pertama saya bercakap sebagai ketua kerajaan, hakikatnya saya telah lama kenal sebilangan besar tuan-tuan dan puan-puan sepanjang perjalanan kepimpinan dan politik, lebih 33 tahun.

4. Mengimbau sejarah, kira-kira empat puluh tahun yang lalu, Allahyarham ayahanda saya telah diamanahkan sebagai Pengarah MAGERAN. Pada saat dan ketika itu, perpaduan kaum ibarat retak seribu dan rakyat Malaysia sudah hampir hilang harapan. Selaku Pengarah MAGERAN, ayahanda saya telah berjaya memulihkan demokrasi serta harapan rakyat Malaysia dengan dibantu oleh anggota perkhidmatan awam yang amat berintegriti, berkebolehan, berwibawa dan berdedikasi. Pendek kata, ramai daripada pendahulu-pendahulu tuan-tuan dan puan-puan adalah mereka yang berada di barisan hadapan dan sangat instrumental dalam usaha memulihkan negara pasca episod hitam 13 Mei 1969.

5. Sekali air bah sekali pantai berubah. Salah satu hakikat zaman adalah perubahan; Untuk maju manusia perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan manusia perlu menerajui perubahan, sebaliknya jika hanya bernostalgia dengan sejarah kejayaan lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru akan menyebabkan gejala jumud dan beku membudaya. Oleh itu setiap generasi penjawat awam perlu membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa. Melalui kaedah ini barulah mereka boleh memainkan peranan secara berkesan sebagai pemelihara kepentingan awam.

6. Satu ketika dahulu penjawat awam Malaysia mempunyai reputasi yang amat cemerlang bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi juga di peringkat rantau dan antarabangsa. Bukan maksud saya untuk mengatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia hari ini tidak secemerlang dahulu kerana telah terbukti bahawa perkhidmatan awam Malaysia telah memainkan peranan yang pro-aktif di dalam proses transformasi negara dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian. Namun kayu ukur dan tanda aras hari ini telah berubah akibat proses globalisasi, ledakan maklumat dan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Sesungguhnya penambahbaikan yang ingin saya lakukan adalah satu kesinambungan kepada transformasi berterusan sektor awam yang telah dimulakan sejak lama dahulu.

PENJAWAT AWAM : DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN EKONOMI

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Hakikatnya, hari ini kita berhadapan dengan dua cabaran monumental. Pertamanya cabaran jangka pendek dan keduanya cabaran jangka panjang. Di bawah cabaran jangka pendek ini terdapat tiga cabaran berkaitan. Cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku. Cabaran jangka pendek kedua ialah untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada, dengan kadar paling pantas. Cabaran jangka pendek ketiga ialah untuk membantu rakyat Malaysia bagi menangani keperitan hidup yang dialami.

8. Manakala cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan kepada satu model yang baru berteraskan kreativiti dan innovasi. Di bawah model baru ekonomi ini kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan bagi menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru pada masa yang sama menggalakkan sektor pembuatan untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

9. Langkah-langkah ini diharapkan agar dapat menyelesaikan secara tuntas kemelut yang dialami negara selama ini dari segi ekonomi iaitu “of being neither here nor there” yakni, sementara kita bukan lagi boleh dianggap sebagai pusat sektor pengeluaran berkos rendah, kita juga belum berupaya melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama.

10. Model baru ekonomi ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk meningkatkan statusnya dari sebuah negara “upper middle income” kepada negara “high income” dan dalam masa terdekat meletakkan kita kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju.

11. Saya yakin dan percaya bahawa sektor perkhidmatan awam akan terus mampu memainkan peranan bagi menangani cabaran-cabaran ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya membantu dalam proses transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

SATU MALAYSIA

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Apabila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah mengutarakan konsep Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Konsep ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman. Selama ini pun, Malaysia berjaya kerana kita menjadikan kemajmukan rakyat yang ada sebagai sumber kekuatan walaupun kita telah menyaksikan banyak negara didunia telah hancur dek faktor kemajmukan. Malah kita juga telah merasai sedikit sebanyak bagaimana kemajmukan yang tidak diurus dengan betul telah hampir meranapkan negara seperti mana yang telah dialami semasa tragedi 13 Mei.

13. Maka yang demikian, suka atau tidak suka, kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan. Konsep ini tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah dimaktub dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan prinsip prinsip Rukun Negara.

14. Di bawah Konsep Satu Malaysia ini setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan kita bantu. Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan. Sesungguhnya lagi janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah warganegara kelas dua di negara tercinta ini, kerana setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara, setiap mereka perlu dimanfaatkan sebaiknya.

15. Ketahuilah, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing sepertimana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab. Janganlah mana-mana pihak terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

16. Di bawah Konsep Satu Malaysia kita perlu memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan. Bagi kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta. Malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak. Dari itu, seorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik manapun, tetapi ternyata mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik.

17. Maknanya, kita boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan ‘outcome’ yang sama. Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibubapa, keluarga atau masyarakat setempat, kerajaan juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga juga usahawan untuk berjaya. Apa yang kerajaan boleh buat seperti yang saya katakan tadi, adalah menyediakan garis permulaan yang adil. Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari Satu Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) dalam satu keluarga besar.

PENJAWAT AWAM: DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN PENTADBIRAN
MODENISASI SEKTOR AWAM

Tuan-tuan dan puan-puan,

18. Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur pada abad ke-21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semua rakyat Malaysia mengoptimakan potensi mereka. Di sini peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, luwes dan berani berubah adalah amat mustahak. Saya amat gembira kerana dalam melaksanakan inisiatif modernisasi ini saya telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Sesungguhnya pembaharuan yang akan dilakukan ini bukanlah bersifat ‘top down’ tetapi sebaliknya melibatkan gabungjalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.

19. Usaha ini memerlukan proses modenisasi menyeluruh yang melibatkan bukan sahaja modenisasi paradigma tetapi juga struktural. Kita memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Apa yang saya maksudkan dengan anjakan paradigma adalah pertamanya anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai korporat. Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam.

20. Keanjalan ini penting bagi menghadapi cabaran untuk berjaya di dalam ekonomi baru yang ditandai oleh proses globalisasi. Kita harus mengubah kerangka minda, strategi dan kaedah bekerja jika kita ingin memanfaatkan fenomena yang ada. Sesungguhnya “extraordinary times requires extraordinary measures”. Sektor awam perlu menjadi pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengenepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam. Penjawat awam sekali-kali tidak boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisa akhirnya adalah rakyat.

21. Anjakan paradigma kedua ialah beralih daripada budaya output dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik. Perkhidmatan awam harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan ‘output’ kepada kejayaan yang berasaskan ‘outcome’. Misalnya dalam bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian yang utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral pelajar. Begitu juga dalam hal menangani gejala penagihan najis dadah, perhitungan kita bukan hanya berapa kepada berapa banyak pusat serenti yang mampu dibina, akan tetapi berapa ramai penagih yang berjaya kita pulihkan. Contoh lain pula ialah penekanan kita bukan pada bilangan mesyuarat yang diadakan atau kekerapan lawatan ke luar negeri tetapi kepada apakah hasil yang tercapai daripada mesyuarat dan lawatan yang telah dibuat.

22. Anjakan paradigma ketiga adalah anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat. Kita memperakui sistem birokrasi yang ada di Malaysia telah membawa pembangunan ke seluruh penjuru negara sejak lima puluh tahun yang lalu, namun hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global. Jika diteliti perbelanjaan emolumen untuk pembiayaan sektor awam ianya terus meningkat saban tahun. Hakikatnya kerajaan membelanjakan satu perempat daripada perbelanjaan pengurusan setiap tahun untuk emolumen sektor awam. Pada tahun 2007 kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji asas kakitangan awam dari 7.5 peratus sehingga 35 peratus. Dari segi peruntukan, kerajaan telah pun membelanjakan jumlah yang besar untuk membiayai emolumen sektor awam pada tahun 2006 dengan sejumlah RM 28 billion untuk tujuan ini. Angka ini telah meningkat kepada RM 32 billion pada tahun 2007 dan kepada RM 41 billion pada tahun 2008. Persoalannya, dibenak rakyat tertanya-tanya, adakah perbelanjaan ini berbaloi. “Are the rakyat getting value for their tax dollars?”.

23. Lantas, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. “We do not need mere seat warmers, we need actual doers”. Di sudut yang lain pula, kenapa kita harus secara operasionalnya terus-terusan mengamal tatacara kerja yang usang, menyulitkan lagi melambatkan jikalau ia dapat dilaksanakan atau disiapkan dalam masa yang cepat. Perkara ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan, usaha dan tekad, ia tidak mustahil. Suatu masa dahulu untuk membuat atau memperbaharui pasport antarabangsa baru mengambil jangka masa yang panjang namun kini ianya boleh disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja.

24. Dalam konteks ini juga, salah satu perkara yang sentiasa menjadi rungutan orang ramai ialah khidmat kaunter yang lambat. Rakyat mengeluh kerana walaupun jumlah kaunter dilihat begitu banyak namun kebanyakan waktu jumlah kaunter yang dibuka pada waktu puncak tidak pada jumlah yang optima yang dapat menangani jumlah pelanggan. Begitu juga jika rakyat menelefon jabatan-jabatan kerajaan pegawai atau kakitangan tidak menjawab atau jikapun mereka menjawab mereka mengatakan tidak tahu. Walaupun bukan semua yang terbabit akan tetapi hal ini telah menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara. Justeru kenapa masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada birokrasi yang bersifat memudah cara. Saya lihat, salah satu langkah terbaik ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kaedah e-filingnya yang merupakan pendekatan yang memudahkan penuh kreativiti dan innovasi.

25. Anjakan paradigma yang keempat pula daripada produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan innovasi. Kalau selama ini kita mengukur pencapaian dari segi produktiviti, hari ini ukuran ini perlu ditambah baik melalui kreativiti dan innovasi. Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok (incremental), manakala jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan inovasi, ia akan memberikan kita penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap).

26. Jelasnya, produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan innovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia. Tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan menubuhkan jabatan/agensi baru atau menambah kakitangan adalah pandangan yang tidak tepat. Dengan kemajuan teknologi maklumat produktiviti setiap pegawai dan kakitangan boleh dioptimakan. Kita perlu mengawal saiz kerajaan kerana kerajaan tidak tahu semuanya atau mempunyai penyelesaian kepada setiap permasalahan. Realitinya, era kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir.

27. Semua jabatan dan agensi kerajaan harus memaksimumkan aplikasi kreativiti dan inovasi ini. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kepuasan hati klien sektor awam yang utama iaitu rakyat. Idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan hanya semata-mata ianya tidak konvensional. Untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebagai tanda aras kecemerlangan peringkat global maka budaya pemikiran diluar kotak kebiasaan perlu menjadi norma harian dan rutin bukannya kepelikkan. Barulah nanti wujud persekitaran kerja yang dinamik lagi bertenaga dan berdaya saing.

Tuan-tuan dan puan-puan,

28. Dari segi pembaharuan struktural, pertamanya saya ingin mencadangkan kaedah ‘sistem kemasukan pelbagai peringkat’ ke dalam perkhidmatan awam. Di bawah konsep ini kita akan akan dapat memanfaatkan proses ‘cross fertilization’ di antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta. Sudah tiba masanya kini jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik. Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat.

29. Keduanya saya juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan pula ke perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman. Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

30. Oleh itu ketiganya bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap serta telah menjadikan mereka organisasi yang hebat. Kita akan menghantar yang terbaik dikalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

31. Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik. Saya mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama kita menambah baik sistem dari dalam. Marilah bersama menyertai perkhidmatan awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara saudari demi pertiwi. Kita sedar buat masa ini kita tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta kepada saudara saudari tetapi apa yang kita boleh tawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara. Walau apapun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambahbaik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara dan saudari dihargai.

32. Di atas segalanya, saya amat maklum bahawa mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak. Paling utama harus ada kesefahaman diantara anggota pentadbiran sebagai pengubal dasar dan anggota perkhidmatan awam sebagai jentera pelaksana dasar. Ini kerana, sebaik manapun dasar yang telah digubal tanpa mekanisme pelaksanaan yang cekap maka matlamat dasar tidak akan mampu direalisasikan.

33. Lantaran itu, baru-baru ini, semasa mengumumkan anggota Kabinet, saya telah menggariskan jangkaan terhadap pencapaian mereka. Saya telah mengamanahkan mereka untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi kepentingan rakyat. Sehubungan itu saya turut mengumumkan satu sistem petunjuk utama prestasi (KPI) yang akan dirangka bagi mengukur pencapaian mereka.

34. Namun, semboyan berkhidmat ini tidak terhenti setakat para anggota kabinet, anggota perkhidmatan awam adalah merupakan rakan kongsi utama kepada anggota pentadbiran untuk menunaikan komitmen kita kepada rakyat Malaysia dalam memberikan khidmat yang terbaik. Justeru, saya berdiri di sini pada hari ini, bagi mengulangi seruan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar menumpah khidmat kepada rakyat dengan sepenuhnya.

35. Saya yakin dan percaya dengan pelaksanaan sistem pengurusan yang berteraskan pengiktirafan perkongsian antara anggota pentadbiran dan penjawat awam merupakan satu-satunya jalan untuk kita menempa kejayaan pembaharuan yang besar. Perubahan tidak datang hanya dengan pengumuman atau berucap mengenainya. Ia terhasil daripada dedikasi dan kerja keras sepasukan manusia yang diikat oleh apa yang disebut dalam istilah bahasa Arab sebagai wa’ad dan bai’ah yakni satu tautan persetiaan dan perkongsian komitmen yang padu antara penjawat awam dan pentadbiran.

Tuan-tuan dan puan-puan,

36. Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian. Kepimpinan berteraskan pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan. Sebab itulah saya telah merangka KPI kerana piawai kepada pencapaian itu perlu ada. Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif. KPI ini bukan alat atau kaedah untuk menghukum atau mendera kakitangan awam tetapi sebagai kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian. Ingatlah bahawa setiap sen dan ringgit yang kita terima akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja didunia ini tetapi juga di akhirat.

37. Sesungguhnya, modenisasi sektor awam adalah suatu usaha murni yang besar dan berterusan. Saya tidak mahu mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam didalam usaha pembaharuan ini. Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan. Selepas ini kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk- muluk tetapi kosong. Apa yang mustahak, kerja mesti dijalankan.

38. Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi, tidak perlu bimbang. Janganlah menganggap diri tuan-tuan dan puan-puan sebagai wira yang tidak didendang. Kepada mereka yang pencapaiannya kurang memuaskan pula, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi diri. Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Oleh yang demikian, di bawah konsep rakyat didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien yang terutama.

39. Penjawat awam perlu dilihat memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat. Ini kerana sebab musabab atau raison d’etre kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk mengkhidmati rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Dalam hal konsep rakyat diutamakan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku’. Jadinya, saya berasakan bahawa kita perlu mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya dalam tamadun Islam yang sungguh menakjubkan itu. Moga, dapatlah kita beriktibar daripadanya dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam khidmat masing-masing.

40. Bertolak dari situ, pada hemat saya jua, jika kita benar benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut. Sebab itulah saya sangat menekankan empati dalam pentadbiran saya agar penyelesaian yang kita capai bagi setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

41. Yang paling mustahak, saya inginkan pentadbiran saya menjadi pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat. Pentadbiran yang berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat. Justeru, sebaik saya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri saya telah mulakan siri walkabout atau tinjauan mesra dan prihatin di kawasan-kawasan tertentu, bukan sahaja bagi membolehkan saya mendekati rakyat, tetapi lebih penting, supaya saya dapat merasai kepekaan secara visual dan merasai sendiri melalui panca deria saya akan segala bau dan hiruk pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang-ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

42. Contohnya juga, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita tidak sendiri turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini. Di noktah ini, saya sayugia teringat kepada pendekatan Allahyarham ayahanda saya yang turun merapati rakyat ke kampung-kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan, menaiki basikal dan berperahu. Memang jelas, pengalaman yang diperolehi itu amat berharga, dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh dari realiti kehidupan. Sebab itulah saya mahukan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turun padang dari masa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing. “We must understand our stakeholders in order to be able to deliver what they require”. Nescaya, insya Allah, rakyat akan menerima kita sepenuhnya.

43. Akhir kata demi rakyat, tunjangkan dan tampilkanlah penjawat-penjawat awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi. Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

PENANTI – WAJARKAH UMNO BERTANDING?

Posted in penanti, PKR, UMNO on April 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Barisan Nasional (BN) mahu bertanding atau tidak di Dewan Undangan Negeri Penanti?
Jangan hanya kerana Tun Dr Mahathir Mohamad mahu UMNO bertanding yang seakan disokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO menukar pendiriannya untuk bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menganggap pilihan raya seperti ini hanya akan merugikan wang rakyat.

PKR yang begitu yakin akan menang sudah menemui calon menggantikan bekas ADUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang meletakkan jawatan tersebut awal bulan ini.

Timbalan ketua perhubungan PKR negeri Dr Mansor Othman – seperti diura-urakan sebelumnya – disebut-sebut terpilih mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil Penanti bulan depan.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan calon PKR itu malam ini.
Pilihanraya kecil kerusi DUN itu dijadual diadakan antara 23 hingga 31 Mei ini berikutan timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng meletakkan jawatanb. Beliau juga meletakkan jawatan exco pada 8 April lalu dan kemudian melepaskan jawatan ADUN pada 16 April lepas.

Kekosongan jawatan kedua penting itu pernah menimbulkan salah faham terbuka antara ketua menteri dan Anwar kira-kira dua minggu lepas berhubung kelewatan mencari pengganti Mohammad Fairus.

Apapun, UMNO akan menentukan pendiriannya sedikit masa lagi sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang 23 Mei ini.

Biro Politik parti yang dipengerusikan oleh Najib akan bersidang dalam tempoh terdekat untuk memuktamadkan keputusan tersebut.

Jumaat lalu, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO telah menyerahkan kepada biro politik parti tersebut untuk membuat keputusan.

Menarik pada pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan parti-parti politik yang bertanding mewujudkan pondok panas pada hari pengundian.

Langkah itu mampu mengelakkan ketegangan di kalangan para penyokong parti sekali gus mewujudkan suasana lebih tenteram bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Penanti, Pulau Pinang ditetapkan pada 23 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika mengumumkan perkara itu memberitahu pembuangan undi pula ditetapkan pada 31 Mei.

SPR menetapkan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil itu nanti adalah Daftar Pemilih Induk 2008 yang telah dikemaskini sehingga 16 April lalu.

Daftar pemilih Pilihan Raya Kecil DUN Penanti mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Apa yang perlu difikirkan dalam konteks Penanti ialah:

1. Jika menang akan memberikan keyakinan baru kepada UMNO dan jika kalah, siri pembubaran DUN dan Parlimen seperti yang dimahukan Anwar akan menjadi bertambah rancak;

2. Jika UMNO bertanding, ia bagaikan ‘undur belakang untuk kebaikan’ namun dimanakah rasional merugikan wang rakyat;

3. Jika menang reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan menonjak dan jika kalah ia semakin merudum;

4. Jika bertanding aka nada tuduhan Najib mengikut telunjuk Dr Mahathir dan sebelum ini Muhyiddin seperti menyokong kenyataan Dr Mahathir;

5. Jika bertanding, wang rakyat akan dikorbankan sedangkan kerusi itu tidak akan mengubah apa-apa; dan

6. Akan ada orang yang akan untung daripada pilihan raya kecil ini kerana selalunya walaupun calon kalah pilihan raya kalah tetapi ‘ada orang UMNO yang akan menang’ kerana mendapat pelbagai kemudahan dan wang’ hasil peruntukan pilihan raya berkenaan.

Apa pun, UMNO Pulau Pinang sudah pun menyatakan kesediaannya menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini dan hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada pucuk pimpinan parti untuk menggerakkan jentera pilihan raya.

Persiapan termasuk di peringkat UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah dibuat sejak kerusi itu dikosongkan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin 16 April lalu.

Dulupun, UMNO Pulau Pinang menyatakan sedia untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh tetapi apa hasilnya?

Persoalannya kesediaan dalam bentuk apa? Ceramah atau pekerja?

Bagaimana strategi dan jentera mempengaruhi pengundi?

APA MAINAN BERITA HARIAN

Posted in Ahmad Ramzi, Berita Harian, Terengganu on April 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Apakah Berita Harian atau wartawannya cuba ‘membela kumpulan tertentu’ dalam krisis Terengganu apabila mengatakan polis menafikan mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohammad Zubir, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa akhbar kelmarin (selain keluaran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad) memetik polis sebagai berkata, polis mencari Ahmad Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu awal minggu lalu.

Selasa lalu, polis menahan kerani itu di Bandar Baru Bangi, Selangor dan merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi dari rumah lelaki itu.

SMS ugutan bunuh diterima Rosol yang juga Adun Ajil serta Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), dihantar daripada nombor dikatakan milik pegawai kanan di pejabat Menteri Besar.

Anehnya hari ini Berita Minggu melaporkan dari Kuala Terengganu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata beliau keliru dan terkejut apabila beberapa akhbar melaporkan polis mencari Ahmad Ramzi kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

Kita kini keliru:

1. Benarkah Mohd Fauzi menafikan semua laporan akhbar itu?

2. Benarkah akhbar membuat kenyataan salah?

3. Benarkah wartawan Berita Harian bercakap sendiri dengan Mohd Fauzi?

4. Atau jika pun Mohd Fauzi bercakap dengan wartawan berkenaan, apakah beliau bercakap mengenai berita atau gambar yang disiarkan oleh beberapa akhbar berkenaan.

Yang menghairankan, akhbar lain tidakpun menyiarkan kenyataan Mohd Fauzi. Apakah berita ini ekslusif?

Wah, bagus betul wartawan berkenaan.

Persoalan lain, kalaulah tidak benar pula penafian itu, Mohd Fauzi perlu ,memberitahu satu Malaysia beliau tidak membuat kenyataan itu.

Apakah Ketua Polis Terengganu, merestui kenyataan Mohd Fauzi? Apakah Ketua Polis Terengganu tidak tahu perkembangan siasatan mengenai kes sms ugut bunuh berkenaan?
Jika tidak benar, kenapa pula berita itu disiarkan?

1. Apakah kerana semalam hari Sabtu dan bos besar tidak di pejabat, berita berkenaan dilepaskan?

2. Apakah kerana wartawan berkenaan yang sering mendakwa kepada rakan-rakannya ‘rapat dengan Dato’ Manja Ismail’ (Pengarang Kumpulan BHSB) maka story beliau dilepaskan begitu sahaja?

3. Atau apakah wartawan berkenaan membawa suara seseorang atau kumpulan tertentu di Terengganu. Jika demikian, Berita Harian tidak lagi bebas dan menjadi ‘ejen kepada kumpulan tertentu?

Yang menariknya, Berita Harian turut menyiarkan kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menafikan laporan media yang memetik sumber dan mengaitkan lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis di sebelum ini dengan seorang daripada 10 Adun yang tidak hadir pada hari kedua sidang DUN minggu lalu.

Soalnya polis mengatakan pihaknya sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

TUGAS BERAT HISHAMUDDIN

Posted in Ahmad said, Terengganu, UMNO on April 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berdepan dengan tugas berat.
Ada dua pandangan berbeza yang ketara antara kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteriu Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.

Selain itu Kumpulan 10 yang menentang Ahmad Said sudah membuat kenyataan bahawa mereka tidak mahu berdamai.
Persoalannya siapa serang siapa dan siapa yang menawarkan perdamaian.
Amat aneh apabila dalam kes ini, yang kena serang (Ahmad Said) yang kena serang ajak berdamai dan pihak yang menyerangnya, enggan berdamai.

Presiden parti dan Perdana Menteri perlu melihat isu ini dengan serius.
Ahmad Said berjanji akan bekerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, bagi mengukuhkan parti itu di negeri ini.

Sebagai Timbalan Pengerusi, beliau akan membantu Naib Presiden UMNO itu melaksanakan tugas tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pelantikan Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Bekas Menteri Besar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata, pelantikan Hishammuddin diyakini dapat menangani isu krisis kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Idris sebaliknya berkata pelantikan Naib Presiden Umno itu, juga akan dapat menyelesaikan masalah pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Selain itu, Idris yang juga Adun Jertih, berkata ia juga dapat menyelesaikan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah dinafikan kuasa kepada Adun oleh Menteri Besar, sebelum ini.

Jelas ada perbezaan ketara dalam kedua-dua kenyataan ini di mana Ahmad Said tidak langsung menimbulkan kemelut politik dan serangan terhadap beliau, sebaliknya Idris nampaknya belum berpuas hati dengan apa yang difikirkannya patut diselesaikan hasil perubahan kepimpinan Terengganu itu.

Kepada Ahmad Said beliau menganggap Hishammuddin yang bukan asing kepada Terengganu akan membolehkan gandingan mereka ‘adalah yang terbaik’ bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Said tidak menyebut langsung soal ‘serangan terhadapnya’ yang sepatutnya beliaulah merasa tertekan dan mengharapkan Hishamuddin dapat meredakan politik Teren gganu yang masih terasa bahangnya.

Selain itu Ahmad Said berharap benar agar ahli UMNO di semua peringkat menerima keputusan itu dan memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan UMNO negeri yang baru untuk mengukuhkan parti.

Idris pula percaya pentadbiran parti akan jadi lebih baik dan tersusun, yang membawa makna jelas bahawa UMNO Terengganu kini dalam keadaan ‘huru hara’.

Kelab Penyokong BN Terengganu semalam menolak pelawaan Ahmad Said untuk berdamai dan kembali bekerjasama dengan ADUN yang dilabel sebagai penentangnya bagi mengembalikan semula kestabilan politik di negeri ini.

Setiausahanya, Alias Abdullah, berkata kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu pernah diucapkan ketika mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar pada Mac tahun lalu, apabila mengatakan berazam menjadi pemimpin berjiwa besar dan tidak meminggirkan wakil rakyat yang pada awalnya tidak menyokong beliau.

“Bukan saja ucapan itu tidak pernah direalisasikan, Ahmad sebaliknya sentiasa melabelkan sebahagian besar wakil rakyat BN sebagai kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Hishamuddin terpaksa berdepan dengan cabaran bagaimana membawa Kumpulan 10 untuk duduk semeja dengan Ahmad Said.

Persoalan juga, bagaimana Hishamuddin akan ‘menguruskan isu sms ugut bunuh’ jika perkembangan seterusnya semakin membuktikan ada pengikut orang penting politik daripada Kumpulan 10 itu melakukan perbuatan berkenaan.

Ini berikutan polis sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

DR AHMAD RAMZI YANG DICARI POLIS

Posted in SMS fitnah, Terengganu, UMNO on April 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tiada lagi komplikasi atau blur-blur. Terang lagi bersuluh.
Seorang pengunjung Law (LLB) Center, bertanya melalui posting saya ANTARA UBI GADUNG DAN AIR NIRA(2) semalam: “who would it be the said dr?” sementara Tom yam Pok Tek berkata: “…amat mengelirukan politik terengaganu ini,silap2 runtuh pemerintahan BN ganu”.

Bagi saya ia tidak rumit kalau diselesaikan mengikut selera orang Terengganu. Melainkan jika ada campurtangan yang tidak berkaitan, Terengganu tidak akan bergelora.

Kini ikut selera Datuk Seri Hishamuddin Husseinlah kemana beliau mahu membawa politik Terengganu, walaupun timbalannya ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri.

Apapun, untuk menjawab pengunjung Law (LLB) Centre, jawapannya seperti berikut:

SMS ugut ADUN: Polis Terengganu cari bekas calon BN

Sabtu April 25, 2009

KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga Adun itu menerima SMS ugutan berkenaan.

“Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, Mohd Fauzi berkata, polis telah berusaha mencari Ahmad Ramzi di rumahnya tetapi tidak berhasil.

Ahmad Ramzi bertanding pada kerusi Parlimen kawasan Marang pada pilihan raya umum lepas tetapi tewas.

Pada 13 April lalu, ADUN Ajil, Datul Rosol Wahid, Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) menerima ugutan SMS yang mengancam keselamatan mereka yang dipercayai berhubung isu politik di Terengganu.

Sebelum ini, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.

Mohd Fauzi berkata, perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

“Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat petunjuk sama ada ADUN-ADUN di negeri itu terlibat dalam kes tersebut atau sebaliknya. BERNAMA