Archive for the MIC Category

KES RM3B : PEMUDA MIC LEBIH JANTAN

Posted in Jantan, MIC, PEMUDA on October 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pemuda UMNO cakap sahaja. Kata nak repot tapi tidak buat pun!

Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda MIC,S.Vigneswaran yang membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Putrajaya hari ini dengan minta polis membuka semula kes dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Murad ,Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ada simpanan RM 3 billion di luar negara.

Kes yang heboh pada 1999 itu dibangkitkan semula rakan karib Ketua Pembangkang itu, Datuk S. Nallakarupan, kelmarin.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kes itu senyap begitu sahaja selepas Abdul Murad menarik balik akuan tersebut.

Vigneswaran yang kini Pengerusi Kelab Penyokong BN diiringi oleh 40 orang penyokongnya tiba untuk buat laporan polis itu jam 4.30 petang.

Bercakap kepada wartawan Vigneswaran menjelaskan mereka buat laporan polis itu bukan atas permintaan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin tetapi atas rasa tanggongjawab setelah membaca kenyataan akhbar yang dibuat oleh bekas rakan Anwar,Datuk Nallakarupan mengenai dakwaan berkenaan.

Hmmm…beginilah sepatutnya, jangan cakap berdegar-degar tapi akhirnya ‘tangan berbau tahi’.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO dikatakan akan membuat laporan polis meminta pihak berkuasa itu membuka semula siasatan berkenaan.

Nallakarupan dalam kenyataan terbaru mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu seperti didedahkan Abdul Murad pada 26 Oktober 1999 mengawal 20 akaun induk yang diuruskan kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM 3 bilion.

Anwar dikatakan menggunakan wang akaun induk itu untuk memajukan cita-cita politiknya.

Menurut Khairy, polis membuat siasatan rapi kerana semua butiran dan maklumat sudah ada seperti akuan berkanun itu.

Anwar kini dilaporkan berada di luar negara dan dijangka turun berkempen untuk calon PAS pada pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, hujung minggu ini. Ketuanya, Khairy Jamauddin berkata, walaupun itu kes lama tetapi apabila dibangkitkan semula rakan tenis Anwar itu, pasti ada kesahihan hujah dan asas dakwaannya itu.

“Datuk Nalla rakan baik Anwar dulu, pasti beliau apa yang beliau cakap,” katanya pada media seleps melawat bilik gerakan UMNO Kampung Baru Si Rusa, Bagan Pinang, Selasa.

Menurut Khairy, Abdul Murad tidak boleh menarik balik akuan berkenaan sewenang-wenangnya.

“Dengan senario hari ini apabila Barisan Nasional mahupun UMNO dikatakan rasuah, BN patut tentang atau lawan tuduhan pembangkang,” katanya.

Beliau khuatir penangguhan siasatan kes seperti itu membawa kesan buruk dan menyebabkan sokongan rakyat kepada kerajaan merosot seperti pilihanraya umum lalu.

Khairy mahu perkara itu segera disiasat kerana ianya mempunyai kepentingan negara.

Pemuda UMNO berharap pihak polis mengambil tindakan segera terhadap kes itu kerana membabitkan jenayah perdagangan mahupun rasuah.

“Datuk Nallakarupan mendakwa Anwar diketahui mempunyai pelbagai sumbar kewangan yang besar seperti didedahkan Abdul Murad,” ujar beliau.

Kita tunggulah, apakah Pemuda UMNO akan membuat laporan polis atau sebaliknya.

MUDAH MEMAAF SUKAR MELUPAKAN

Posted in Kabinet, Mahathir, MIC on September 17, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ini sikap Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dulu.

Pemaaf dan tidak berdendam.

Setakat mahu mengalungkan selipar ke gambarnya bukanlah besar berbanding kritikan dan cercaan mereka yang menentangnya sama ada dalam UMNO atau pembangkang.

Sepuluh tahun lalu, Dr Mahathir pernah digelar MAHAZALIM, MAHAFIRAUN dan sebagainya, namun Dr Mahathir sudah lali dengan itu semua.

Dan sepanjang empat tahun selepas melepaskan jawatan beliau dikecam daripada pelbagai sudut hanya kerana mengkritik dasar yang dianggap merugikan rakyat.

Beberapa menteri yang beliau lantik dan pernah berkhidmat dengannya turut mengencam beliau, sama kerana dasar kerajaan atau UMNO.

Dr Mahathir pernah keluar UMNO tetapi kembali sejak Datuk Seri Mohd Najib menjadi Presiden UMNO.

Betul juga kalau Dr Mahathir sedih apabila beliau dikecam oleh ahli UMNO sendiri.

Hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana “bukan saya jadi apa-apa”.

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan ianya tidak merugikannya.
Menurut Bernama, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

“Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno.

“Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa,” katanya.
Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.

Ekoran itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab. Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.
Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata : “Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata…suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

“Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya.

Katanya beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota Umno dan bekas anggota kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC.

“Saya duduk dalam Umno dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi,” katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: “Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya,” katanya.

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.
Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu.

KALUNG SELIPAR – SAMY & PERWAKILAN SAMA SAJA

Posted in BN, Mahathir, MIC on September 15, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pengajaran untuk semua. Sama ada anggota parti UMNO, MCA atau MIC dan rakan parti komponen Barisan Naisonal yang lain.

Jangan celupar dan tidak beradab.

Semangat menghormati sesama rakyat dan anggota parti perlu terus dipupuk.

Jangan jadi ‘kurang ajar’ kerana ia bukan budaya Malaysia.

Setakat ini hukuman yang dikenakan kepada perwakilan yang mencerca mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung parti itu Ahad lepas digantung keanggotaannya.

Belum diketahui sama ada tindakan lanjut atau sebagainya tetapi yang nyata MIC sudah bertindak kepada perwakilan yang mahu menggantung selipar pada gambar Dr Mahathir.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini berkata “Saya telah memutuskan untuk menggunakan kuasa yang ada pada saya sebagai Presiden mengikut perlembagaan MIC untuk menggantung keanggotaan perwakilan itu.”

Dalam satu kenyataan. Samy Vellu menjelaskan, perkara itu telah dibincangkan dengan beberapa pemimpin kanan MIC dan mereka bersetuju tindakan itu amat perlu buat masa ini.

Katanya Jawatankuasa Disiplin akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat parti berhubung tindakan yang akan diambil terhadap perwakilan itu.

Samy Vellu tidak mendedahkan identiti perwakilan terbabit.

Tindakan perwakilan yang dianggap ‘kurang ajar’ itu sebenarnya bertentangan dengan semangat BN dan budaya semua kaum di Malaysia.

Apapun, tindakan MIC kepada yang mencadangkan meletakkan “kalungan selipar” pada gambar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka meredakan sedikit kemarahan orang Melayu, khususnya UMNO.

Ramai melihatnya sebagai perbuatan biadap dan tidak menghormati pemimpin tetapi bagi saya kadangkala kerana disebabkan satu dua pandangan yang pelik atau ‘gila’ dalam parti, ia boleh mengeruhkan hubungan antara komponen BN.

Pada ketika BN sedang diuji dengan pelbagai masalah apabila MCA dilanda krisis dan UMNO berdepan dengan ujian getir pilihan raya kecil, seharusnya parti komponen BN meletakkan kepentingan perpaduan sebagai perkara paling penting.

Namun gelagat dan tindakan ‘gila’ setengah ahli parti komponen seperti MIC ini akan menyebabkan orang Melayu dalam UMNO sendiri geram dengan parti komponen lain.

Orang Melayu mulai rasa bahawa sikap bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain kini semakin terhakis.

Sikap kurang ajar bangsa lain terhadap orang Melayu digambarkan melalui cadangan gila sedemikian.

Ini belum lagi kata-kata nista daripada pemimpin kaum bukan Melayu terhadap institusi raja dan agama Islam.

Apapun, dalam isu MIC ini, jelas bukan sekadar perwakilan sahaja nampak “kurang sopan”.
Presiden MIC sendiri mengatakan orang menolak BN bukan dirinya.

Apa yang dapat dikatakan ialah dalam MIC itu sama sahaja antara Presiden dan perwakilan, sama-sama mengambarkan tidak hormat kepada BN, pakatan yang didokong mereka.

Yang penting kini ialah pucuk kepimpinan MIC perlu menjadikan iktibar daripada kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas dengan membaiki perpecahan dalamannya.

Ia perlu berusaha keras memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadapnya – sekurang-kurangnya menyamai rekod kemenangannya pada pilihan raya umum 2004.

PENGUNDI INDIA MENYAMPAH DENGAN SAMMY VELLU

Posted in india, MIC, Samy Vellu on September 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Itu Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu kata, orang tidak menyampah dengannya tapi dengan Barisan Nasional (BN).

Kerana rakyat tolak BN maka MIC hilang banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

“Ketika masa saya (menteri dan ahli parlimen), mereka kata rakyat menyampah dengan saya (dan) itulah sebabnya masyarakat India tidak mengundi BN.

“Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN,” katanya.

MIC kalah enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya serta tewas 12 daripada 19 kerusi DUN.

Dan Samy Vellu sendiri pun turut terbang kerusinya pada kubu kuatnya pada Mac 2008. Parlimen Sungai Siput yang dipegangnya beberapa penggal turut terang.

Persoalan ialah kalau orang tidak menyampah dengannya, tak kanlah rakyat Sungai Siput tolak beliau.

Ini kerana dalam pilihan raya faktor individu atau badan calon turut memainkan peranan penting, selain parti. Kalau jasanyan banyak dan berjaya mengambil hati pengundi Melayu, beliau tidak akan kalah.

Ironinya pengundi India di Sungai Siput ramai yang tolak beliau. Kenapa?

Apakah beliau jaga kawasannya? Apakah cara beliau menjaga itu diterima oleh pengundi yang orang Melayu menjadi majoritinya?

Tan Sri Rafidah Aziz juga tokoh lama dan semua tahu beliau tidak akan dilantik Menteri kerana pelbagai kontoversi. Tetapi kalahkah beliau?

Apakah rakyat di Kuala Kangsar menolaknya? Beliau tetap menang. Kenapa pula BN menang di Kuala Kangsar apabila calonnya dengan jelas dikatakan penuh kontroversi?

Hakikatnya kalau orang sayang Samy Vellu – tidak menyampah dengannya – dia tidak patut kalah.

Tetapi kenapa Samy Velly turut kalah? Salah BN ke?

Kalau mengikut kata Samy Vellu bahawa masyarakat tidak mengundi BN kerana mereka menyampah dengan gabungan tersebut, dan bukan menyampah dengan beliau – bekas Menteri Kerjaraya itu tidak mungkin boleh kalah.

Ahli politik berusia 73 tahun itu berkata, beliau juga dijadikan kambing hitam ekoran kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum lalu.

Dia marah dan melenting apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mendakwa bahawa beliau sebagai Presiden parti tidak pernah membuat apa-apa kepada masyarakat minoriti itu di negara ini.

Samy Vellu kecewa kerana selepas keputusan buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, MIC dipersalahkan apabila didakwa tidak banyak membantu kaum India.

Mana boleh? Dr Mahathir sikap tu, kata Samy Vellu. Beliau berkata kalau dia tidak pernah berbuat apa-apa, tidak akan wujud Kolej Tafe di Seremban dan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, selain pinjaman biasiswa sebanyak RM100 juta kepada pelajar India serta beberapa kemudahan kepada golongan India negara ini.

Dulu dia puji Dr Mahathir dengan tiada tolak bandingnya. Kini dia puji pula Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan menganggap Perdana Menteri ini mampu memperjuangkan nasib orang India.

Mengenai dirinya pula, Samy Vellu berkata beliau tidak boleh undur kerana MIC akan berpecah. Dia tidak boleh undur sebab agenda MIC akan terbantut.

Apakah dengan Samy Vellu terus memimpin MIC, parti tidak berpecah?

Perhatikanlah pemilihan MIC semalam. Ia akan retak besar kerana lebih separuah perwakilan MIC menolak Timbalan Presiden Datuk G Palanivel.

Walaupun tiga calon naib presiden dan jawatankuasa pusat yang disokong oleh Samy Vellu turut terpilih selain Timbalan Presiden berjaya mengekalkan jawatan tersebut dengan menewaskan dua pencabarnya, Datuk S Subramaniam dan Datuk S Sothinathan, kekusutan dalam MIC semakin terserlah.

Palanivel memang 629 undi manakala Datuk S Subramaniam (547 undi) dan Datuk S Sothinathan 280 undi. Palanivel menang dengan majoriti tipis 82 undi.

Selain itu jika dicampur undi yang diperolehi Subramaniam sebanyak 547 undi dan Sothinathan 280 undi – jumlah undi yang menantang Palanivel ialah 827 undi.

Jumlah ini bukan kecil dan Samy Vellu jangan pandai persalahkan BN kerana kekalahan dirinya dan kerusi-kerusi MIC termasuk Parlimen dan negeri bukan kerana onar orang lain.

Jika ia onar pemimpin MIC, Samy Vellu juga perlu memikul tanggung jawab.

Jangan hendak menongkat langit. Presiden UMNO dan MCA sudah berundur diri, Samy Vellu bila lagi?

Jika tidak mampu memimpin dan tidak pula mahu menerima kelemahan diri pada ketika rakyat India hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, baiklah Samy Vellu menilai dirinya.

Jika tidak dapat menerima hakikat, baiklah Samy Vellu kembali ke pangkal jalan, menggerakkan kembali jentera BN di kawasannya agar semua kerusi MIC itu ditawan semula.

APABILA TUN DR M TERHERET SAMA

Posted in Mahathir, MIC on September 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Datuk Seri S Samy Vellu hangin (naik angin) dibuatnya.

Mana tidak hanginnya kalau beliau diminta supaya disingkirkan kerana tidak memberikan peluang kepada orang muda.

Juga Samy Vellu dikaitkan dengan kekalahan Barisan Nasional apabila masyarakat India menolak MIC kerana kepimpinannya.

Ini gara-gara calon timbalan presiden Datuk S Subramaniam dikatakan mendapatkan bantuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk masuk campur dalam pemilihan parti itu.

Subramaniam akan bertanding jawatan timbalan presiden MIC, Sabtu ini.

Manakala pasukan Presiden 2009 pula terdiri daripada timbalan presiden Datuk G Palanivel, yang mempertahankan jawatan itu, dan gandingan tiga serangkai Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S K Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan, yang akan bersaing bagi tiga jawatan Naib Presiden.

Samy Vellu turut merestui 27 daripada 63 calon yang akan berentap bagi mengisi 23 tempat dalam jawatankuasa kerja pusat parti.

Seorang lagi calon timbalan presiden ialah Datuk S Sothinathan.

Menurut Samy Vellu, Subramaniam telah mengaibkan MIC dengan mendapatkan bantuan Dr Mahathir.

Laporan muka depan Makkal Osai, akhbar Tamil yang dikaitkan dengan Subramaniam, menyebut bekas perdana menteri itu memuji Subramaniam sebagai seorang pemimpn yang baik, dan mengkritik kepimpinan Samy Vellu.

Akhbar itu menyiarkan wawancara dengan Dr Mahathir sebagai berita muka depan di mana antara lain, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerana marahkan Samy Vellu, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan Samy Vellu sudah terlalu lama dan tidak pernah memberi peluang kepada pemimpin lain untuk menerajui parti itu.

“Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu,” katanya.

Difahamkan, wawancara dengan Dr Mahathir itu dibuat sebulan lalu.

Mantan perdana menteri itu bercakap mengenai banyak isu mengenai masyarakat India, tetapi akhbar berkenaan menyimpan ulasannya mengenai perkara Subramanian dan Samy Vellu sehingga hari ini.

Laporan Makkal Osai semalam disiarkan sehari selepas Samy Vellu memberitahu Malaysiakini bahawa pihak luar, termasuk Umno, tidak seharusnya campur tangan dalam hal-ehwal MIC.
Menyifatkan tindakannya sebagai “sengaja membawa masuk campur tangan luar”, Samy Vellu berkata, banyak cawangan dan bahagian MIC menghubunginya untuk menyuarakan rasa marah mereka terhadap tindakan Subramaniam itu.

HADI SOKONG TINDAKAN PERTUBUHAN HARAM

Posted in Hindraf, Melayu, MIC on October 6, 2008 by Hambali Abd Latiff

Bagaimana kiranya pada perayaan Deepavali nanti, orang Melayu atau kumpulan Islam beramai-ramai datang mengganggu rumah terbuka pemimpin India dengan tunjuk perasaan serta tuntutan tertentu sebagai membalas perbuatan pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), tempoh hari?

Apakah wajar mereka berbuat demikian?Kalau mengikut fatwa Haji Hadi, perbuatan itu ‘tidak apa’ dan ‘wajar’ dilakukan kerana ia sebahagian proses demokrasi di negara ini.

Bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau menyifatkan perbuatan kumpulan haram Hindraf itu tidak salah kerana di Amerika Syarikat, penunjuk perasaan memprotes di depan Rumah Putih.

Apakah Hadi sedar bahawa beliau sebenarnya menyokong perbuatan oleh pertubuhan haram?

Sebaliknya, bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh Haji Hadi, MIC menyifatkan tindakan penyokong Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam pada 1 Oktober lalu sebagai perbuatan yang menyimpang daripada budaya masyarakat India.

Cuma persoalannya, jika bukan budaya kaum India di Malaysia, apakah ia budaya ‘India Import’?

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata di Klang pada 5 Oktober 2008, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh kumpulan berkenaan.
Ini kerana ia jelas menunjukkan mereka tidak menghormati semangat dan amalan budaya antara kaum di negara ini.

Beiau berharap supaya tidak ada lagi pihak tertentu menggunakan majlis-majlis seperti itu sebagai batu loncatan politik mereka kerana sambutan rumah terbuka perlu dirayakan dalam satu suasana yang lebih positif.

“Ini kerana rumah terbuka seperti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dilihat sebagai satu penghormatan kepada masyarakat berbilang kaum dan ia diadakan agar ia dapat dirayakan bersama-sama bagi meningkatkan perpaduan rakyat,” katanya.

Banyak pihak menganggap perbuatan Hindraf itu tidak beradab.

Kerana itu amat wajar sekali seruan supaya polis membuka segera kertas siasatan ke atas pertubuhan haram Hindraf yang mengganggu ketenteraman awam serta bertindak keterlaluan tidak menghormati budaya masyarakat negara ini.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri menegaskan polis tidak boleh berlembut dalam hal ini kerana tindak-tanduk kumpulan itu berbaur hasutan dan berpotensi menimbulkan kekecohan.

Tegasnya, jika perbuatan tersebut dibiarkan berleluasa ia boleh mengugat kesejahteraan rakyat berbilang kaum yang selama ini tinggal dengan aman kerana menghormati satu sama lain.

“Perbuatan menyerbu majlis orang, rosakkan majlis dengan jeritan langsung tidak menunjukkan sikap yang sopan dan sekali gus mencemarkan imej negara ini di mata masyarakat antarabangsa.

“Kerajaan dan pihak berkuasa mesti bertindak ke atas kumpulan tersebut agar ia tidak mempengaruhi dan mengelirukan orang lain,” katanya dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2008.