Archive for the H1N1 Category

SELESEMA BABI – HANYA MAINAN BISNES?

Posted in H1N1, influenza on September 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Seorang penjenguk blog saya Azizul membuat komen seperti berikut terhadap entri saya semalam bertajuk ‘Betulkan Vaksin Selesema Babi Ada Kesan Sampingan’.

Menurut Azizul, apabila membaca tulisan saya itu mengingatkan beliau kepada satu email dari rakannya.

Beliau perturunkan petikkan di bawah ini kandungan email itu untuk renungan kita bersama:

“H1N1 adalah penyakit CIPTAAN GENETIK (SENJATA BIOLOGI)

Bila salah seorang sahabat saya seorang doktor berkata demikian, saya sendiri terpegun dan tertanya-tanya….betul ker? Dan dia memberi satu alasan yang tidak dapat saya tolak kemungkinannya.

1. Mula2 dikatakan jangkitan ini dari ladang babi di Mexico, dan dinamakan SWINE FLU (SELSEMA BABI), kemudian perkataan itu ditarik balik dan dinamakan Influenza A H1N1. Kini, pihak WHO mengadakan ianya bukan dari babi, tetapi dari satu jangkitan yang tidak diketahui dari mana datangnya. kemungkinan besar adalah mutate dari semua jenis penyakit yang dibawa oleh babi. Tiada kepastian yang dapat diberi dari mana datangnya penyakit ini. Soalannya dari mana ia datang?

2. Jangkitan ini mempunyai masa pemusnah yang hampir tepat…maksud saya ialah, jangkitan pertama dalam 3 hari, jika tiada rawatan dalam 7 hari mangsa akan mati!!! Satu lagi perkara yang memeningkan kepala ialah ketepatan masa yang diberi untuk MATI!!! Sedangkan kita sendiri tahu, penyakit yang lebih berbahaya seperti AIDS, EBOLA, SARS dan lain2, pesakit juga akan mati….tetapi bukan dalam masa yang terancang seperti ini.

3. Bagaimana sesuatu penyakit yang baru terjadi, pihak terlibat boleh mencipta vaksin dalam masa yang sekejap? Sekarang sebanyak 1800 sukarelawan sedang mencuba sejenis vaksin yang dicipta TAK SAMPAI satu bulan virus ini tersebar. Harga jualan vaksin ini pula…….kita pun tidak tahu, tapi kenapa WHO menyatakan bahawa sebanyak US60b diperlukan, kemana duit itu pergi?

4. Rakan saya juga berkata, ada pihak yang mengaut keuntungan dari penyakit ini sebab ubatnya memang telah ada, tetapi dibiarkan terlebih dahulu supaya lebih ramai pengidapnya dn lebih banyak wang yang masuk. UBATNYA TELAH ADA, jika betul mereka ini cekap, kenapa masih tiada vaksin untuk AIDS, Vaksin untuk SARS? Kita terus memandang tinggi manusia yang mencipta vaksin ini

5. Yang penting dari perbualan kami tadi ialah……apa kata jika virus ini digunakan dalam peperangan oleh orang KAFIR menentang ISLAM?… yang pastinya mereka tidak perlu mengangkat senjata, Cuma sebarkan sahaja penyakit ini……tunggu…..dan dalam masa tak sampai sebulan mencapai kemenangan!!! Dan kemudian pihak KAFIR mengatakan “PIHAK KAMI MENANG TANPA MENGANGKAT SENJATA, DAN DALAM MASA YANG SAMA KAMI SEDIA MEMBANTU MUSUH KAMI YANG DIJANGKITI!.”….. so… apa yang ada dapt dari ayat ini?, macam biasa dengar di IRAQ & AFGHANISTAN kan?”

Email di atas dan tulisan sdr menimbulkan berbagai-bagai kemungkinan. Fikir-fikirlah…(September 11, 2009 11:53 PM)

BENARKAH VAKSIN SELESEMA BABI ADA KESAN SAMPINGAN?

Posted in H1N1, influenza on September 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

“AWAS!!! Vaksin H1N1 yang bakal tiba oktober ini mempunyai kesan sampingan gangguan otak — Guillain-Barre Syndrome (GBS) dan juga boleh membawa kepada kematian!!!”

Demikian menurut satu e-mail yang dihantar kepada saya dua hari lalu.

Kata e-mail berkenaan, pada 15 Ogos 2009 lepas, akhbar Daily Mail mendedahkan bahawa vaksin H1N1 yang bakal digunakan oleh kebanyakan negara-negara dunia mempunyai kesan sampingan yang berbahaya kepada penerimananya.

Penerima vaksin H1N1 dikhuatiri berhadapan dengan masalah gangguan otak yang dipanggil Guillain-Barre Syndrome (GBS).

Kebimbangan ini saya utarakan kerana kerajaan dijangka akan mengedarkan vaksin berkenaan tidak lama lagi.

Kerajaan dikatakan menempah 400,000 dos vaksin berkenaan bernilai RM14 juta yang dijangka diterima bulan depan dan Januari.
Pada 29 Julai 2009, Prof. Elizibeth Miller, Pengarah Jabatan Imunisasi di bawah Health Protection Agency di Britain telah menulis surat amaran tentang bahaya kesan sampingan dari vaksin H1N1 yang bakal dijual syarikat farmasi gergasi dunia. Surat itu dihantar kepada 600 orang lebih Senior Neurologist di seluruh Britain.

Surat yang bertarikh 29 Julai 2009 lepas itu berjaya merungkaikan betapa teori-teori konspirasi yang dinyatakan sebelum ini benar dan sahih. Walaupun kerajaan Amerika Syarikat cuba berselindung dan berdolak-dalik ketidakterlibatannya dalam isu Selsema Babi (SB), tetapi ada segelintir masyarakat yang sanggup mendedahkan rahsia kerajaan mereka ini.

Vaksin yang dibina oleh syarikat-syarikat farmasi gergasi dunia ini dijangka diedarkan kepada orang ramai pada awal Oktober. Di Amerika sahaja, sebanyak 13 juta rakyat akan disenaraikan untuk menerima suntikan.

Selain daripada bukti surat ini, apa yang boleh mensahihkan konspirasi Selsema Babi inia adalah kenyataan dari salah seorang Senior Neurologist yang ditemu ramah oleh wartawan Jo McFarlane. Menurut Senior Neurologist itu, dia sendiri tidak akan mengambil suntikan vaksin tersebut.

“I would not have swine flu jab because of the GBS risk.”

Menurut neurologist tersebut, mereka percaya vaksin H1N1 hanya akan mengulang kembali tragedi kematian 25 orang rakyat Amerika pada 1976 dulu yang menerima suntikan vaksin H1N1.

Walaupun kecenderungan untuk mati adalah 1 nisbah 80,000 orang. Tetapi kesemua 80,000 tersebut sudah mewarisi kesan kekal GSB seumur hidup. Bagi yang meninggal dunia kemungkinan ketahanan imunisasi badan sudah sedia lemah.

Kenyatan pakar-pakar neurologi antarabangsa tentang H1N1

Dr Rustam Al-Shahi Salman, ahli Association of British Neurologists, mengatakan;
“Following the 1976 programme of vaccination against swine influenza in the US, a retrospective study found a possible eight-fold increase in the incidence of GBS.”

Dr. Thomas Jefferson, koordinator badan bebas penyelidikan vaksin di Britain;
“New vaccines never behave in the way you expect them to. It may be that there is a link to GBS, which is certainly not something I would wish on anybody”

Dr. Richard Halvorsen, penulis buku The Truth About Vaccines, mengatakan;
“For people with serious underlying health problems, the risk of dying from swine flu is probably greater than the risk of side effects from the vaccine.”

Dr. Patrick Chinnery, ahli Association of British Neurologists mengatakan;
“During the last swine flu pandemic, it was observed that there was an increased frequency of cases of GBS. No one knows whether it was the virus or the vaccine that caused this.”

Pengakuan Penghidap GBS

Hillary Wilkinson, 57 tahun mendedahkan beliau adalah salah seorang penghidap GBS. Menurutnya, selepas dia mengambil vaksin H1N1 pada 2006, beliau mengalami kesukaran bernafas, sakit-sakit sendi dan sukar bercakap. Keadaannya hanya kembali agak sihat setelah 3 tahun selepas itu dan dia bernasib baik tidak mati.

Keuntungan Segera Gergasi Farmasi Dunia

Pada 20 Julai 2009, akhbar online Financial Times UK melaporkan bahawa gergasi-gergasi farmasi dunia yang berkonspirasi mengeluarkan vaksin H1N1 telah membuat keuntungan pusingan pertama dalam pengumuman penjualan vaksin.

Konglomerat farmasi seperti GlaxoSmithKline (GSK), Novartis, Baxter, Sanofi-Avantis dan Roche telah pun mengaut untung sebelum bayar berbilion-bilion dollar berdasarkan tempahan-tempahan dos dari pelbagai negara mengikut kontrak yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO). GSK telah pun memproses 1.5 juta dos vaksin H1N1 untuk dihantar ke seluruh dunia.

Bank pelaburan antarabangsa JPMorgan memberitahu setakat ini kerajaan Britain telah membelanjakan USD4.3 billion dan tempahan untuk dos vaksin dijangka akan meningkat kepada 600 juta dos.

Kandungan berbahaya dalam vaksin H1N1 keluaran GSK

Vaksin H1N1 yang dikeluarkan GSK disyaki mempunyai thiomersal (C9H9HgNaO2S) iaitu sejenis sodium yang mengandungi 49% merkuri yang digunakan untuk antiseptik dan anti-fungus agen. Penggunaan thiomersal walaupun dibenarkan WHO, tetapi masyarakat antarabangsa masih khuatir kerana beberapa kontroversi yang wujud semenjak ia diperkenalkan di dalam pemvaksinan.

Pada Julai 1999, Centre for Disease Control (CDC) dan American Academy of Pediatrics (AAP) telah mengeluarkan kenyataan media mendesak pengilang-pengilang ubat membuang thiomersal dari sebarang vaksin.

Lanjutan dari kenyataan itu juga, CDC dan AAP telah mengarahkan agar semua doktor menangguhkan dahulu suntikan imunisasi Hepatitis B kepada bayi yang baru lahir. Ini kerana seorang kanak-kanak dari Michigan telah meninggal dunia akibat suntikan itu.

Isu ini didedahkan oleh Dr. Paul A.Offit, Ketua Jabatan Jangkitan Penyakit di Hospital Kanak-Kanak, Philadelphia (gambar), di dalam kertas penyelidikannya yang bertajuk Thimerosal and Vaccines – A Cautionary Tale di dalam The New England Journal of Medicine bertarikh 27 September 2007. (Gambar) Dr. Paul A.Offit,

Selain itu, di dalam kertas penyelidikan yang sama Dr. Paul A.Offit juga mendedahkan, thiomersal yang terkandung di dalam vaksin juga disyaki menjadi punca kepada kelahiran anak-anak autisme. Pada Ogos 2005, seorang kanak-kanak autisme berusia 5 tahun telah meninggal dunia kerana mengambil suntikan tahunan yang dijadualkan.

Lanjutan dari isu thiomersal yang dimasukkan dalam vaksin-vaksin itu juga, seorang pakar autisme terkenal Dr. Alison Singer telah mengambil keputusan meletak jawatan dari menjadi Pengarah Autism Speaks yang ditubuhkan pada 2005.

Perletakan jawatan Dr. Alison pada Januari 2009 baru-baru ini adalah sebagai tanda protes kepada pihak kerajaan Britain yang terus membenarkan GlaxoSmithKline menggunakan bahan thiomersal. Dr. Alison juga menegaskan bahawa kisah kebanyakan selebriti terkenal yang semasa kecilnya berpenyakit autisme hanya propaganda media untuk melindungi helah kerajaan.

Saya tidak pasti kesahihan mengenai bahaya vaksin ini.

Kementerian Kesihatan sudah pasti mempunyai pakar untuk menjelaskannya selain menghapuskan sebarang keraguan atau unsure-unsur fitnah terhadap penyelidik, firma atau juga pengeluar vaksin berkenaan.

HAMPIR 100 PERATUS KES POSITIF H1N1 SEMBUH

Posted in H1N1, influenza on September 9, 2009 by Hambali Abd Latiff

Dua berita gembira mengenai perkembangan bahaya pandemik selesema babi (H1N1).

Gambar atas: Calon-calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari SK Sultan Ismail Petra IV, Kota Bharu, Kelantan mengenakan topeng mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan wabak H1N1. UPSR diadakan selama tiga hari di seluruh negara bermula semalam. – UTUSAN / HAFIZ JOHARI

Gambar bawah : Guru Besar Sekolah St. Joseph, Kuching, Sarawak, Jong Lee Phin memeriksa suhu badan salah seorang murid sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di sekolah itu, semalam. – UTUSAN / AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata semalam, di sebalik kebimbangan orang ramai terhadap bahaya pandemik influenza A(H1N1), kira-kira 99.2 peratus daripada 9,257 kes yang disahkan positif H1N1 di negara ini berjaya sembuh dengan kes kematian yang direkodkan semakin menurun.

Perkara itu menggambarkan bahawa mangsa jangkitan boleh sembuh jika mendapatkan rawatan awal.

“Majoriti pesakit yang disahkan positif H1N1 di negara ini telah sembuh setelah mendapatkan rawatan. Oleh sebab itulah jangan ambil mudah terhadap gejala H1N1 biarpun hanya batuk sikit-sikit,” katanya elepas taklimat media mengenai influenza A(H1N1) semalam.

Katanya bilangan orang ramai yang berkunjung ke hospital kerajaan untuk mendapatkan pengesahan H1N1 juga kini semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

Selain itu, Malaysia mencatatkan hari kelima berturut-turut tanpa kematian baru akibat jangkitan Influenza A(H1N1), dan menjadikan angka kematian akibat wabak itu kekal kepada 73 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata selain itu ibu bapa murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dinasihatkan memantau tahap kesihatan anak mereka yang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

“Sekiranya anak-anak mengalami gejala influenza like illness (ILI), mereka perlu dibawa ke klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan memaklumkan kepada pihak sekolah tentang keadaan anak anda supaya tindakan seterusnya dapat diambil,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata hari ini sejumlah 126 pesakit baru dengan gejala “influenza-like illness” (ILI) telah dimasukkan ke hospital.

Ketika ini 372 pesakit yang disahkan positif H1N1, seramai 40 daripada mereka masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 25 orang mempunyai faktor risiko dengan 10 penyakit kronik, sembilan morbid obesiti, lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan satu kes berpenyakit respiratori, katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melantik 15 pakar kanan perubatan untuk mengawasi rawatan Influenza A(H1N1) di hospital dalam usaha membendung penularan pandemik itu di negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pakar kanan perubatan itu dilantik minggu lepas dan setiap mereka diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan satu negeri.

Pakar itu dikenali sebagai Jaguh H1N1 diberikan tugas melawat hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri yang dikendalikan dan memberi nasihat cara-cara memperbaiki rawatan kepada pesakit, katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Influenza A(H1N1) untuk Pengamal Media semalam.

Beliau berkata mereka juga akan menemui masyarakat tempatan untuk meningkatkan kesedarannya dan cara-cara untuk membendung pandemik tersebut.

H1N1: PASUKAN KHAS DITUBUH, JANGAN BAWA KANAK-KANAK KE HOSPITAL

Posted in H1N1, kesihatan, panik, Rakyat on August 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat semula jumlah kematian yang tinggi pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini sehingga mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kumpulan itu akan menjalankan analisis kenapa kematian itu berlaku dan faktor yang menyumbang kematian, sama ada berlaku kelemahan bagi pihak kerajaan atau sebaliknya.

Menurut beliau, berdasarkan kes-kes kematian yang lalu, 80 peratus daripada mangsa dikenal pasti mempunyai penyakit selain H1N1 iaitu penyakit jantung, kencing manis dan radang paru-paru.

“Ini tidak bermakna prosedur menangani H1N1 kita selama ini silap, tidak mungkin kerana sebaik sahaja kementerian dengar ada H1N1, kita sudah membuka bilik operasi dan cuma kaedah ini mungkin berbeza dengan negara lain.

“Saya yakin apa yang kita buat adalah lebih lagi daripada apa yang diminta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita memang terlalu jujur dalam memaklumkan punca kematian akibat H1N1 ini. Ini kerana kita mahu tekankan satu mesej supaya rakyat tidak mengambil ringan penyakit ini,” katanya semalam.

Sementara itu, hospital-hospital awam kini telah mula mengedarkan risalah dan notis yang mengingatkan orang-ramai dan juga pelawat agar tidak membawa kanak-kanak atau bayi ke premis hospital ketika mereka menziarahi sanak saudara ataupun kenalan.

Kempen terbaru ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang telah diambil oleh pihak hospital untuk mengelak penyebaran wabak Influenza A H1N1.

Jika tidak kerana H1N1 pun, adalah menjadi peraturan umum hospital yang melarang pelawat daripada membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke premis hospital untuk tujuan lawatan.

Malangnya, ramai ibu-bapa tidak memandang serius akan peraturan ini dan sekiranya mereka diberi ingatan, sebahagian besarnya tidak mengambil peduli akan nasihat yang diberikan oleh pihak hospital.

Sementara itu, Pakar Respiratori Dr K. Regesh pula berkata, apabila pihak hospital melabelkan sesuatu penyakit itu sebagai kronik ia bermaksud pesakit yang mempunyai masalah diabetik, kegagalan renal, asma dan lain-lain masalah respiratori.

Katanya, kepada semua pesakit ini dan juga kanak-kanak, sistem kekebalan badan mereka adalah tersangat rendah jika dibandingkan dengan seorang yang sihat. Oleh yang demikian mereka sangat terdedah kepada bahaya dijangkiti tidak kira apa jua wabak dan bukan semata-mata AH1N1.

“Di hospital, pelbagai jenis penyakit boleh berjangkit dengan mudah dan seboleh-bolehnya janganlah membawa kanak-kanak berjumpa pesakit walaupun untuk berkata ‘helo’,” katanya.

Dalam perkataan yang lain kata Dr Regesh, jika tidak dapat meninggalkan anak-anak dalam jagaan sesiapa, maka jangan datang melawat pesakit di hospital.

Dan kepada mereka yang baru pulang dari menziarahi orang sakit di hospital, ini ada pesanan yang ingin dikatakan oleh Dr Regesh;

“Bila sampai rumah, terus mandi, tukar baju baru sebelum mendakap anak kecil anda. Begitu juga bila anda balik dari kerja pergi mandi dan salin baju terlebih dahulu sebelum dakap anak anda.”

Sumber: MIngguan Malaysia/BERNAMA

5 JUTA RAKYAT MALAYSIA BERISIKO DIJANGKITI SELESEMA BABI

Posted in H1N1, WHO on August 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Marilah kita lupakan politik seketika.

Ia lebih penting ketika ini daripada persoalan politik. Ia juga membawa kesan kepada ekonomi kita.

Amaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti selesema babi jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai, perlu perhatian segera.

Malah, Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak selesema babi ini daripada menjejaskan ekonomi negara ke tahap yang serius.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata semalam Kementerian Kewangan sudah mengadakan perbincangan untuk menyelaraskan usaha menangani gejala itu dengan Kementerian Kesihatan.

Hendaknya semua daripada kita tumpukan kepada wabak berbahaya ini – selesema babi (virus influenza A (H1N1).

Kita pencegahan awal dilakukan, 40 peratus mereka yang dijangkiti boleh diselamatkan daripada maut.

Sama-samalah kita berdoa, memberi ingatan dan lakukan sesuatu untuk menjamin semua kita selamat daripada wabak ini.

Ia sedang menyerang kita dan kita perlu bertahan dan memeranginya. Kenapa?

Ini bukan amaran daripada calang-calang pertubuhan. Ia pertubuhan kesihatan sedunia.

Apakah semua daripada kita melihat ini sebagai enteng? Tidak mengambil berat mengenainya?

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam semalam.

Malah menurut beliau wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan,” katanya.

Liow berkata, kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.

“Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang,” katanya.

Setelah mendengar betapa bahayanya selesema babi ini, apakah langkah bersama – kerajaan dan rakyat untuk membendungnya?

Sebagai rakyat, selain mengambil langkah yang disarankan sejauh ini, apakah langkah kerajaan selanjutnya?

Rakyat semakin bingung dan panik. Nyatakanlah wahai Menteri atau pakar kesihatan!
Seperti laporan, 40 peratus yang meninggal atau menjadi korban kerana ‘kelewatan mendapat rawatan awal’ yang kurang dikempenken kepada orang ramai.

Sebanyak 40 peratus daripada 56 korban wabak selesema A (H1N1) meninggal dunia akibat “kelewatan mendapat rawatan awal” dan sebanyak 13 peratus pula angkara “kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan”.

Statistik itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hariannya berhubung wabak tersebut kelmarin.

“Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan (70 peratus), di samping itu juga daripada jumlah kematian tersebut, sebanyak 40 peratus didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal dan sebanyak 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan,” katanya.

“Saya berpendapat, ada di antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.”

Dr Mohd Ismail menambah, kadar penularan influenza A (H1N1) dalam masyarakat adalah tinggi dan perkembangan ini dapat dilihat daripada jumlah semakin ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza, agar mengambil tindakan berikut:

Pertama, mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan dalam komuniti.

Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.

Kedua, di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat di rumah sehingga sembuh. Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A (H1N1).

Guru besar atau ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas. Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik.

Ketiga, semua ibu bapa atau penjaga memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.

SELESMA BABI – JANGAN SAMPAI JADI GILA BABI

Posted in H1N1, influenza, selsema babi on August 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

KESIHATAN RAKYAT DIDAHULUKAN. PENCEGAHAN DIUTAMAKAN.

Saya cukup bimbang dengan kedudukan jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) ketika ini.

Saya bersyukur kepada Allah kerana sehingga ini masih ramai rakyat Malaysia bebas daripadanya tetapi apakah ada jaminan bahawa jangkitan serius tidak akan berlaku?

Memang beberapa langkah sudah diambil seperti pemantauan di pintu masuk utama negara, penutupan sekolah dan sebagainya. Tetapi ternyata ia bukan langkah muktamad menangani wabak sepenuhnya.

Yang pasti penutupan sekolah, universiti menyelamatkan kawasan berkenaan tetapi bukan kawasan perumahan atau kampung yang diduduki oleh pelajar yang terdedah dengan virus itu.

Musim perayaan akan semakin hampir menjelang akhir tahun. Banyak perayaan pelbagai kaum akan berlangsung. Tentunya jika tiada usaha mengawalnya dengan serius, virus akan terus merebak.

Di negara kita sehingga kini, dua wanita warga emas dan seorang lelaki penghidap diabetes adalah antara tujuh korban terbaru akibat Influenza A(H1N1) di negara ini, menjadikan jumlah kematian 51 orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tujuh kematian tersebut berlaku pada 7 Ogos (satu), 10 Ogos (dua) dan empat kematian pada 11 Ogos.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata selesema babi adalah ancaman serius kepada negara.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam meminta orang ramai agar tidak terpedaya dan terkeliru dengan risalah doa pelindung diri daripada jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang kini giat disebarkan kepada orang ramai oleh pihak-pihak tertentu.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, risalah yang didakwa disediakan oleh seorang pegawai Bahagian Pendakwah Bebas JAIS itu sebenarnya tiada kaitan dengan pihaknya dan dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam.

Bagi saya dan mungkin sesetengah orang yang melibat wabak ini membimbangkan sedangkan kerajaan seperti ‘sambil lewa’ mendekati persoalan ini.

Apabila masyarakat semakin takut dan bimbang tentang diri, anak-anak dan keluarga sedangkan kerajaan bagaikan ‘tidak boleh diharap’, mereka akan melakukan apa sahaja.

Pada ketika ini ada klinik yang mengiklan vaksin menentang atau melindungi orang ramai – pastinya harganya mahal – kerajaan pula nampaknya hanya menasihat tanpa suatu rancangan menyeluruh.

Bukan semua berkemampuan sedemikian.

Bagi yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan vaksin atau rawatan awal di hospital swasta. Bagaimana pula mereka yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman?

Berapa ramaikah yang akan mati kerana tidak mampu mendapatkan rawatan awal? Apakah kita hanya mahu berserah kepada Allah?

Sebelum ini, sudah ada pihak mengemukakan pertanyaan apakah virus tersebut merupakan ancaman keselamatan negara dan bukan lagi ancaman keselamatan insan (human security) sahaja, bagi saya ia kini ancaman keselamatan negara.

Majlis Keselamatan Negara perlu membuat pendirian segera. Jelas kini kerajaan hendaklah mengisytiharkan ia sebagai ancaman keselamatan negara seperti ancaman dadah.

Ambillah saranan dan amaran bahawa “28,000 rakyat Malaysia dijangka akan mati kerana jangkitan influenza A H1N1 dalam tempoh dua tahun” yang dinyatakan oleh seorang pakar perubatan melalui satu saluran berita popular di Internet ia amat menakutkan.

Penyakit ini bukan untuk yang miskin sahaja tetapi juga yang kaya. Presiden Costa Rica turut dijangkiti penyakit sedemikian. Oscar Arias, 68, yang juga pemenang Hadiah Keamanan Nobel, didapati positif Jumaat lalu, dijangkiti virus itu yang menjadikannya ketua negara pertama yang didapati menghidap selesema babi.

Di Malaysia, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda dimasukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) dan kini semakin pulih.

Kita doakan mereka yang sedang dirawat akan pulih dan Allah menjauhi kita daripada wabak ini.
Oleh kerana ia boleh dibendung, kerajaan perlu menyedarkan rakyat agar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap virus ini.

Yang menyedihkan sejauh ini mereka yang tidak langsung mempunyai kemampuan ke luar negeri paling ramai mengidapnya. Dan kini jelas, kes bukan lagi berpunca daripada virus import.

Berapa lamakah lagi kerajaan akan melakukan pengisytiharan darurat untuk membendungnya. Apakah kita perlu menunggu kepada angka tertentu umpamanya 100, 200 atau 500 yang mati kerananya?

Walaupun ada pihak cuba menafikan wabak ini mendatangkan kesan atau implikasi kepada ekonomi negara seperti sektor perkhidmatan dan perlancongan, jelas jika keadaan semakin tidak terkawal, industri pelancongan tempatan juga akan merosot.

Saya mencadangkan supaya kerajaan dan Kementerian Kesihatan melaksanakan usaha membendungkan wabak ini bukan kerana kepentingan politik (termasuk kenyataan politik) tetapi melihatnya sebagai kepentingan awam, keselamatan dengan kepentingan negara.

Saya amat yakin pada ketika ini, Menteri, Timbmulai bimbang untuk turun ke hospital atau klinik yang merawat penyakit berkenaan untuk membuat lawatan atau pemeriksaan.

Selain itu, kerajaan perlu mencari jalan supaya rakyat mendapat perkhidmatan memuaskan di hospital kerajaan seperti klinik swasta dalam konteks mendaptkan vaksin atau kemudahan khidmat yang lain dengan caj yang berpatutan.

Pemakaian topeng muka hendaklah dianggap wajib dan bekalannya mencukupi. Kerajaan perlu bertindak jika ada topeng muka dijual dengan harga yang tinggi.

Kerana itu saya merayu dan memohon kepada Kementerian Kesihatan agar cara mengawal untuk meminimumkan penyebaran penyakit ini bukan sekadar kempen membasuh tangan dengan bersih dan memakai penutup muka sahaja.

Saya bersetuju dengan pandangan supaya dilakukan pengesanan awal dengan ujian throat swab untuk semua pesakit yang suhunya melebihi 38 darjah celsius disertai simptom-simptom batuk/selesema/sakit tekak walaupun baru tiga hari demam.

Ini kerana pesakit yang positif H1N1 akan menjadi penyebar virus pada hari pertama i dia demam.

Kerajaan perlu sediakan peruntukan segera untuk mengesan lebih awal influenza A H1N1 ini agar rawatan (antiviral) dapat diberi lebih awal, dengan itu dapat mengurangkan penyebarannya dan kurangkanlah perbelanjaan negara dalam hal-hal yang kurang penting seperti majlis-majlis keraian atau yang berbentuk hiburan.

Tidak ada gunanya mengumumkan siapa yang mati atau sebab-sebab mereka dijangkiti kerana mereka ada beberapa risiko sama ada diabetes, tekan darah tinggi, penyakit jantung, imuniti rendah atau penyakit kongenital.

Apapun, harga mencegah lebih murah daripada harga merawat.

Sebelum lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa, tumpukanlah kepada wabak ini ketika ini daripada melayani ‘wabak politik’ yang tidak ada penghujungnya.

Jika wabak sudah tidak boleh dikawal, dengan orang-orang politik pun boleh mati.

Mereka sewajarnya mati jika tidak menendahkan wabak ini namun rakyat yang tidak berdosa dan menjadi pengundi seharusnya dijaga.

Silap haribulan, penyakit selesma babi ini akan menjadi isu pilihan raya.

Pada ketika itu doa pelindung diri untuk orang politik sudah tidak berguna lagi.

Apabila ini berlaku, pada ketika itu orang politik termasuk Menteri dan anggota Kabinet bukan sekadar bingung dengan selesma babi ini tetapi akan menjadi GILA BABI.

H1N1 – RAKYAT MALAYSIA JANGAN PANIK

Posted in H1N1, influenza, WHO on June 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

sumber BERITA HARIAN

Rakyat diminta tidak panik dengan perkembangan terbaru wabak Influenza A (H1N1) ketika Kementerian Kesihatan memberi jaminan semua langkah perlu, sudah dan akan diambil bagi memastikan penularan H1N1 terkawal.

Pada masa sama, Majlis Keselamatan Negara juga digerakkan bagi menyelaras program pencegahan, kawalan, mempertingkatkan kegiatan pemantauan, pencegahan dan kawalan seperti yang ditetapkan dalam NIPPP.
Semalam kerajaan Kerajaan mengaktifkan Pelan Kesiapsiagaan Menghadapi Pandemik Influenza Kebangsaan (NIPPP) dan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian bagi menangani Influenza A (H1N1) selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus itu sebagai pandemik dan meningkatkan paras amarannya kepada tahap enam, kelmarin.
Kementerian Kesihatan juga akan memperketatkan lagi pemeriksaan di pintu masuk negara ini bagi memastikan penularannya disekat seawal mungkin.

“Kita akan pastikan pemeriksaan ketat kerana kita mahu pencegahan awal… jika sudah terlepas sukar bagi kita untuk cari dan berhubung dengan pembawa,” katanya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Katanya, berikutan itu, Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian yang turut disertai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan bermesyuarat minggu depan bagi berbincang, mencari jalan penyelesaian dan merangka pelan tindakan.

“Tumpuan kita adalah kepada program pencegahan, pemantauan dan pengawasan secara menyeluruh di seluruh negara bagi memastikan ia tidak menjadi masalah serius di Malaysia.

“Perbincangan termasuk aspek teknikal supaya tindakan diambil nanti berkesan untuk menyekat penularan wabak itu ke negara ini… termasuk pemeriksaan saringan kepada penduduk atau pelancongan yang keluar masuk negara,” katanya di Alor Star, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata NIPPP yang diwujudkan pada 2005 sudah sedia untuk menghadapi situasi wabak berpenyakit di negara ini.

Katanya, WHO meningkatkan tahap amaran kepada fasa enam berikutan pertambahan kes membabitkan penularan tempatan iaitu di 22 negara berbanding 74 negara yang mencatatkan kes H1N1.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana setakat ini tidak ada penularan tempatan dan semua 11 kes positif yang direkod di Malaysia setakat ini adalah kes import.

“Jika penularan tempatan berlaku di negara ini, kementerian terpaksa melaksanakan tindakan sekatan pergerakan seperti penutupan sekolah, institusi, membatalkan perjumpaan awam termasuk majlis perkahwinan bagi membanteras penularan H1N1.

“Oleh itu, orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan disarankan, termasuk memakai topeng muka bagi mereka yang batuk dan selesema, sentiasa membasuh tangan, memastikan kebersihan tandas awam dan menangguhkan lawatan ke luar negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Ramlee Rahmat.

Sementara itu, beliau berkata sehingga jam 9 pagi semalam tiada kes baru disahkan dan jumlah kes positif H1N1 di negara ini masih kekal 11.

Daripada jumlah itu, tujuh kes sudah tamat menjalani rawatan, empat masih dirawat iaitu masing-masing satu di Hospital Sungai Buluh dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan dua lagi di Hospital Pulau Pinang manakala jumlah terkumpul kes disiasat kerana simptom H1N1 ialah 616 kes iaitu 11 yang disahkan positif, 596 negatif dan sembilan kes masih menunggu keputusan.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata dua daripada kontak kes ke-11 yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang sudah disahkan negatif H1N1.

Beliau berkata, setakat jam 8 pagi semalam, WHO melaporkan jumlah terkumpul kes H1N1 di seluruh dunia ialah 28,820 kes dengan 144 kematian daripada 74 negara.