Archive for the runtuh Category

PUNCA STADIUM RUNTUH – APA TINDAKAN SELANJUTNYA?

Posted in runtuh, stadium on January 8, 2010 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan negeri Terengganu dijangka akan menerima laporan jawatankuasa siasatan yang mengkaji punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara.

Laporan itu menyebut beberapa faktor menyebabkan keruntuhan stadium berkenaan pada 2 Jun tahun lepas.

Antara puncanya ialah:


1. Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi;
2. Faktor reka bentuk yang tidak memadai;
3. Bumbung yang tidak dibina dengan sempurna;
4. Kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek;
5. Pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan; selain
6. Kerja dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium.

Laporan Benama menyebut, bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, runtuh Jun tahun lepas.

Menurut laporan jawatankuasa siasatan kejadian itu, faktor reka bentuk yang tidak memadai, bumbung yang tidak dibina dengan sempurna dan kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang mendedahkan laporan jawatankuasa siasatan itu hari ini berkata, siasatan juga mendapati pengawasan yang agak kurang ketika kerja-kerja pembinaan selain dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium berkenaan.

Mengulas perkara itu, Shaziman berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang juga bersetuju supaya laporan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu, manakala satu lagi salinan dikemukakan kepada pejabat peguam negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Shaziman, yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Hubungan Kerinchi Arah Utara Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dekat sini, berharap kerajaan negeri Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan.

“JKR juga telah memaklumkan kepada kerajaan Terengganu supaya kerja-kerja mengubah runtuhan yang ada di kawasan stadium itu boleh dilakukan dan kerja-kerja pembaikan boleh dimulakan,” katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium berkenaan di Gong Badak yang berharga RM300 juta dan siap dibina pada Mei tahun yang sama untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh secara tiba-tiba.

Ekoran kejadian itu, sebuah jawatankuasa siasatan terdiri daripada 10 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan profesional berkaitan diberi masa enam bulan untuk melaksanakan penyiasatan dan menyiapkan laporan akhir ekoran kejadian keruntuhan bumbung utama stadium berkenaan.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawab antara lain untuk mengenal pasti punca kejadian, mengesyorkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian itu berulang dan mengemukakan cadangan pembinaan semula stadium.

Setelah mengetahui puncanya, apakah tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang terbabit yang bertanggungjawab terhadap masalah itu?

Berapa lama lagikah stadium akan dibiarkan sedemikian atau akan dibaiki segera?

PERTUKARAN PEGAWAI TINGGI JKR – MELINDUNGI ATAU HUKUMAN?

Posted in JKR, runtuh, SPRM on November 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Jabatan Kerja Raya Terengganu (JKR) banyak diperkatakan selepas beberapa kejadian keruntuhan bumbung stadium, kebocoran pusat akuatik, penutupan stadium tertutup dan masalah atap di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

JKR Terengganu dikatakan terbabit daam pembinaan projek berkenaan, dari kelulusan hinggalah kepada pengawasan.

Malah JKR Terengganu turut dikritik oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kerana isu-isu berkaitan perkara di atas, khususnya dalam masalah pengawasan kepada projek-projek meda yang dibina ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

JKR juga dikatakan mahu mengeluarkan laporan siasatan mengenai punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan dan pusat akuatik melalui janji Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor tetapi sehingga kini belum ada pengumumannya.


Amat menarik apabila http://www.teganuku.blogspot.com melalui entrinya hari ini memetik sumber mengatakan JKR Terengganu mengalami pertukaran besar-besaran.

Tidak diketahui sama ada pertukaran itu proses biasa atau sebagai ‘hukuman’ kepada pegawai atasan JKR Terengganu akibat kejadian yang disebutkan di atas.

Pertanyaan ialah apakah pertukaran itu sebagai kesan siasatan dalaman atau bimbang menjadi sasaran Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) seterusnya.

Pelik juga kali ini Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur membuat pertukaran drastic kerana sebelum ini ada berita mengatakan ada pegawai rendah ‘boleh menolak pertukaran’ kerana campurtangan ‘orang besar’ Terengganu.

Beberapa pegawai rendah itu dikatakan enggan kerana mengecapi ‘kehidupan mewah’ di Terengganu hasil pembabitan dalam projek-projek mega di negeri berkenaan.

Saya mendapat tahu ada pegawai tinggi JKR Terengganu turut ditukarkan ke Ibu Pejabat akibat surat laying daripada kakitangan di jabatan itu sendiri yang berkaitan isu peribadi – tidak ada kena mengena dengan kes siasatan rasuah atau penyelewengan.

Apa pun, dengan JKR negeri kini tidak ‘dimonopoli oleh rakyat Terengganu dan Kelantan’, kita berharap ia akan berfungsi sebaik-baiknya.

Bagaimanapun, pertukaran itu jangan dijadikan ‘usaha melindungi’ atau sekadar hukuman kepada mana-mana kakitangan jika mereka terbabit dengan sebarang penyelewengan sebelum ini.

Hasil siasatan hendaklah diumumkan dan SPRM juga perlu tampil mengumumkan siasatannya terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan projek mega yang menghadapi masalah.
Untuk lebih lanjut, baca entri daripada http://www.teganuku.blogspot.com yang dipaparkan ini:
Pertukaran besar-besaran kakitangan JKR Terengganu?

Oleh teganuku on Wednesday, November 4, 2009

(Ekslusif)

Hampir 80 peratus kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu ditukarkan ke luar negeri Terengganu sebagai proses penyusunan semula jabatan itu.

Pertukaran itu dikatakan proses pertukaran biasa walaupun ada yang mengaitkannya dengan beberapa kejadian keruntuhan dan kebocoran bangunan utama di negeri berkenaan sepanjang tahun ini.

Pertukaran dikatakan membabitkan kakitangan pengurusan, termasuk peringkat tinggi yang bekerja lebih 10 tahun di negeri berkenaan.

Menurut sumber, pertukaran yang berkuatkuasa sejak bulan lalu turut membabitkan Timbalan Pengarah Negeri yang kini ditempatkan di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Sumber itu menambah, JKR Terengganu sebelum ini digambarkan sebagai tempat ‘berhimpunannya kakitangan jabatan berkenaan dari Terengganu dan Kelantan’.

Jawatan Pengarah dan Timbalannya di JKR Terengganu kini belum diisi dan proses melakukannya dikatakan sedang dilaksanakan.

JKR Terengganu menjadi perhatian umum apabila dikaitkan dengan projek-projek mega Terengganu yang mengalamai keruntuhan dan kebocoran.

Ini termasuklah keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, kebocoran pusat akuatik Majlis Bandaraya KT (MBKT), stadium tertutup yang ditutup beberapa waktu, serta beberapa yang lain.

JKR dikatakan mengawasi beberapa projek besar di Terengganu dan pengurusan tingginya ‘dipersalahkan’ dalam beberapa kes berkenaan.

Bagaimanapun, bagi Pusat Akuatik, difahamkan ia adalah rundingan terus dan Pejabat Kewangan Negeri bertanggungjawab terhadapnya. JKR Terengganu hanya membuat pembayaran untuk projek berkenaan.

RUNTUH, RUNTUH & AKAN RUNTUH LAGI…

Posted in Jambatan, runtuh on October 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Maka akan sibuklah segala kementerian, jabatan atau agensi kerajaan berduyung-duyung ke Kuala Dipang kerana jambatan gantung runtuh dan menyebabkan kematian dan hilangnya pelajar di telan arus sungai.

Perkara sebegini bukan baru. Ini memang kejadian kecil bagi sesetengah pihak . Apakah ini kes terpencil?

Dilaporkan hari ini, cara pembinaan jambatan gantung menyeberangi Sungai Kampar, di Kuala Dipang itu dipersoalkan pelbagai pihak yang berada di tempat kejadian.

Memanglah kerajaan sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan terhadap kejadian itu namun kalangan ibu bapa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian, membuat andaian terhadap aspek pembinaan jambatan berkenaan sebagai punca utama kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam semalam, seorang murid sudah dijumpai mati sementara dua lagi hilang sementara 19 murid lain sempat diselamatkan guru dan pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang.

Kesemua terhumban ke dalam sungai yang mengalir deras apabila sepasang tiang berkenaan runtuh semasa mereka sedang menyeberang Sungai Kampar untuk jamuan.

Murid berkenaan adalah sebahagian daripada 298 murid dari 64 buah sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai aktiviti kokurikulum perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat tempat kejadian mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa siasatan yang diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai para pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil kerajaan Perak.

Sehingga ini belum ada kejadian besar. Namun ini amaran betapa jika pembinaan tidak diselia, tidak diperiksa dengan betul dan tidak terus diuruskan dengan baik, suatu hari malapetaka itu akan tiba juga.

Macam-macam sudah berlaku. Ingat lagi apa jadi kalau bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh kira-kira 24 jam lewat daripada kejadian sebenar?

Kematian mungkin beratUs-ratus kerana pada pagi keesokan (sehari selepas berlaku keruntuhan bumbung stadium berkenaan) sepatutnya diadakan pula temasya sukan institut pengajian tinggi.

Begitu juga dengan kejadian bumbung masjid runtuh, menara telekom runtuh dan runtuh dan runtuh. Bagaimana kalau orang ramai berada di dalam atau sekitarnya?

Sejauh ini Tuhan melindungi hambanya. Tetapi selama mana kalau mereka yang berwajib menjaga, menyelia atau memeriksanya terus lalai?


Maka akan adalah pihak yang tidak mahu menyalahkan sesiapa. Apakah segala-galanya takdir?
Kementerian atau Jabatan Kerja Raya (JKR) jadi sasaran kerana pembinaan sementara pihak lain yang menyediakan pelan dan pengawasan (sama ada oleh JKR) atau pihak lain juga akan turut dipersalahkan.

Sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) spontan akan bersuara ‘akan menyiasat.’

Namun siasatan yang dijalankan sejak berbulan-bulan tidak juga ada hasil yang boleh diketengahkan.

Apa jadi dengan siasatan terhadap kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, kolam renang yang bocor, Stadium Tertutup yang ditutup, dan sebagainya dan sebagainya?

Mana ada orang yang didakwa? Yang ada ialah kes rasuah 10 tahun lalu berkaitan luluan ke Kepong membabitkan dua pemegang jawatan penting dalam UMNO Terengganu.

Pengumuman yang dibuat di Shah Alam itu dibuat hampir sama waktunya dengan ‘pemecatan’ dua pemegang jawatan berkenaan. Kebetulan, suratan atau sengaja?

Sebenarnya banyak sudah diperkatakan mengenai isu pembinaan, pembayaran berlebihan dan sebagainya yang menuntut kerajaan melakukan tindakan bersungguh-sungguh dan tidak melindungi pihak tertentu.

Keyakinan rakyat, keselamatan orang ramai dan tidak membazir menjadi sendi kepada setiap pembinaan dan pembangunan bukan kerana kepentingan keuntungan kepada seorang dua atau kumpulan kecil.

Kejadian ini sepatutnya membuka lagi mata pihak yang mengakui melindungi rakyat – tidak kiralah sama ada dalam konteks politik, keselamatan atau juga penguatkuasa.
Bertindaklah sebelum rakyat makin hilang dan hilang keyakinan kepada kerajaan, khususnya agensi pelaksana dan penguatkuasa!

TERENGGANU – KINI DAH JADI 5-0

Posted in runtuh, SPRM, Terengganu on August 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

Gambar apa pula ni? Tunggu sekejab….


Makin parah. Salah siapa?

Siapa nak mengaku salah. Selagi hasil keputusan penyiasatan yang dibentuk kerajaan Pusat dan kerajaan Terengganu tidak mengumumkan hasilnya, selagi itulah pihak yang bertanggungjawab ‘membuat jaringan 5-0’ ini dapat bernafas lega.

Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) pula belum mendedahkan hasil siasatan mereka mengenai ‘kejutan’ di Terengganu.

Kenapa lambat sangat? Banyak masalah kah untuk mendapatkan bukti?

Apapun, apa itu lima kosong?

Lihat gambar di bawah..


Jawapan kepada persoalan kenapa 5 – 0 ialah : Gambar 1 – bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh; Gambar 2 – Pusat Akuatik Dewan Bandaraya Kuala Terengganu di Batu Buruk bocor; Gambar 3 – Stadium tertutup di Gong Badak ditutup dan Gambar 4 – Bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud gugur.

Gambar-gambar di bawah ini, apa pula?

Dalam blog www.teganuku.blogspot hari ini, didedahkan kejadian keruntuhan terbaru ( yang ke 5) iaitu menara yang baru siap dibina lebih kurang setahun. Baca apa kata blog berkenaan:

Di Besut…Menara Pula Runtuh?

Oleh teganuku

Apalah nasib projek di Terengganu…

Selepas setahun siap dibina, ia runtuh atau mengalami masalah.

Jika sebelum ini keruntuhan dan kebocoran membabitkan bumbung stadium, pusat akuatik, stadium tertutup dan lapangan terbang, kali ini ia berjangkit ke menara projek jalur lebar di Besut pula.

Menara Mobile Mast projek Infrastruktur Jalur Lebar Tanpa Wayar Kerajaan Negeri Terengganu (T@WAN) berhampiran Bestari.Comm Pasir Akar, Hulu Besut, runtuh pada 1 Ogos 2009 lalu.

Tiada berita mengenai keruntuhan ini dianggarkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Mungkin ada pihak cuba ’menyorok keruntuhan’ ini tetapi ’bangkai gajah sukar untuk ditutup’.

Menara Mobile Mast ialah projek Infrastruktur Jalur Lebar Tanpa Wayar Kerajaan Negeri Terengganu (T@WAN).

Ia dibina bagi menempatkan antena radio dan struktur itu adalah pada ketinggian 38 meter di lokasi

Menara dibina untuk memastikan sambungan rangkaian T@WAN ke Bestari.Comm Pasir Akar dari Masjid Hadhari di Jerteh.

Ia disiap dibina pada September 2008 dan runtuh kira-kira setahun kemudian.

Persoalannya di sini, berapakah anggaran kerosakan kali ini kerana menara ini khabarnya menelan berjuta-juta ringgit?

Punca keruntuhannya belum diketahui dan siapa bertanggungjawab mengawasinya?

Apakah Jabatan Kerja Raya atau agensi kerajaan negeri?

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dijangka menjadi sasaran lagi sehari dua ini.

LEPAS SATU, SATU – TAK HABIS-HABIS

Posted in Ahmad said, runtuh, stadium, Terengganu on July 30, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sudah 4 – 0. Cakap salah, tak cakap lagi salah.

Bukan saja-saja nak cakap tetapi jika semakin membebankan dan memburukkan imej kerajaan negeri, bukan Ahmad Said sahaja akan melenting. Rakyat juga tertanya-tanya.
Apakah dah jadi?

Mulanya bumbung stadium runtuh, kemudian Pusat Akuatik bocor dan selepas itu, Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditutup. Kini atap lapangan terbang pula melayang.

Entahlah, Menteri Besar pasti perlu menjawab banyak persoalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Dalam usahanya meletakkan rakyat segala-galanya, kejadian yang melanda satu persatu pastinya menggugat pentadbiranya yang menekankan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Apa nasib malang. Semuanya terpaksa ditanggung kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said ketika ini.
Malu ada, geram pun ada. Seolah-olah Terengganu ini lekeh sangat. Cap ayam katakan.

Tapi semua ini siapa punya angkara?

Fikirkan sendiri kejadian-kejadian ini, apakah ia ujian untuk Ahmad Said atau memang ia ketentuan Tuhan :

1. Bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh dan ditutup ke tarikh yang belum diketahui;

2. Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut ditutup untuk orang ramai. “Kolam renang ini baru siap setahun, tetapi tetapi keadaannya sekarang seolah-olah sudah berusia lebih 10 tahun,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang meninjau pusat itu.

Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta itu dikesan berlaku kebocoran dan besi berkarat serta mempunyai beberapa kecacatan yang membahayakan keselamatan orang ramai.

3. Jabatan Kerjaraya Pusat turut mengeluarkan arahan supaya Stadium Tertutup Gong Badak ditutup buat sementara kerana kerosakan kecil pada peralatan stadium berkenaan.

4. Terbaru, siling di bahagian bumbung utama Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhampiran Kompleks Menara Kawalan tertanggal lagi. Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood berkata, pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu.

Dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Ini sudah pasti menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu.

Hakikatnya, masalah siling tanggal di beberapa bahagian LTSM ini menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan. Ahmad Ramli menjelaskan, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

LTSM sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Apa yang pasti, semua masalah ini ada kaitan dengan JKR.

Kita hanya berharap JKR bukan sahaja terbabit dengan kerja-kerja memperbaiki kemudahan-kemudahan ini tetapi juga menunaikan janji untuk membawa mereka yang ‘menyeleweng dan cuai’ ke muka pengadilan.

Berbuatlah segera kerana tidak lama lagi rakyat pula akan membuat perhitungan apabila tiba pilihan raya.

APA NAK JADI1: 2B (BENGANG & BINGUNG)

Posted in runtuh, stadium, Terengganu on July 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

“Saya terkilan kerana di Terengganu bukan saja Kompleks Akuatik menghadapi masalah tetapi bulan lalu, (sebahagian) bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Sekali lagi membabitkan pengawasan projek yang lemah? Siapa yang bertanggungjawab? Bukankah JKR?

JKR Terengganu dilaporkan bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, dan pastinya banyaki persoalan bermain di kepala walaupun ketika ini tiada pihak boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah atau sebaliknya.
Yang pasti sudah ada jaminan daripada JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Jika JKR Terengganu ternyata melakukan kecuaian, di mana mahu diletakkan muka Pengarahnya?

Atau apakah orang lain turut terlibat dalam masalah ini?

Pertanyaanya, siapa kontraktornya, individu mana di belakangnya, siapa meluluskannya dan individu mana yang mnengawasinya?

Bagaimana pula kata rakyat Terengganu?

Rakyat Terengganu pasti mulai tertanya-tanya dan jelak dengan projek yang sebelum ini dibanggakan sebagai ‘Impian Menjadi Kenyataan’.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pun akan turut mengulas kalau beliau ada di Kuala Terengganu.

Saya mengulas isu ini pada 7 Jun 2009 dengan mengatakan apabila Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik ini mesti ada sebabnya.

Ini kerana kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila pusat itu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita seminggu sebelum itu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Menurut sebuah blog, satu sumber yang dipercayai memberitahu bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Siapa tidak bengang dan bingung (2B) apabila kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia ke-12 yang dihoskan Terengganu pada Jun tahun lalu, kini bocor.

Berikutan itu, Kementerian Kerjaraya mengarahkan Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta yang baru setahun disiapkan ditutup sementara mulai semalam .

Ini kerana kualiti kemudahan dan tahap keselamatan yang menyebabkannya tidak sesuai digunakan orang ramai.

Shaziman berkata, pasukan penyiasat Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati banyak kelemahan dan kesilapan teknikal dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan yang tidak mencapai mutu ditetapkan sehingga berlaku kebocoran dan kerosakan peralatan.

“Kami sudah memeriksa persekitaran termasuk di bahagian bawah tanah dan mendapati banyak kebocoran. Kita dapat lihat soket elektrik yang terdedah kepada kebocoran air dan ini semua tidak selamat digunakan,” katanya selepas meluangkan lebih sejam mengetuai pasukan penyiasat JKR melawat kompleks itu di Kuala Terengganu kelmarin.

Pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu. Sekali lagi timbul persoalan sama ada “JKR vs JKR” seperti dalam isu Stadium Sultan Mizan.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim.

Menurut laporan Berita Harian, Shaziman berkata, kerosakan kompleks itu mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengawasan projek yang lemah kerana perlu disiapkan segera, tetapi itu tidak patut menjadi sebab membolehkannya disiapkan tanpa ikut spesifikasi.

“Projek ini dalam tempoh jaminan dan kita mengarahkan kontraktor melakukan kerja pembaikan sebaik mungkin,” katanya sambil menambah laporan penyiasatan lengkap kompleks itu diserahkan kepadanya oleh JKR Pusat 10 hari lagi.

Dalam maklum balas segera, Judin berkata, JKR Pusat yang melaksanakan penyiasatan terhadap kompleks itu akan mengambil tindakan terhadap kakitangan JKR Terengganu yang bertanggung jawab membuat pemantauan projek itu, jika terbukti wujud kecuaian.

Judin berkata, JKR Terengganu bertanggungjawab terhadap kawal selia pembinaan, bagaimanapun pihaknya masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan terhadap tugas yang dilaksanakan itu dan adakah ia menjadi punca kompleks itu bermasalah, sebaliknya JKR akan membuat penilaian secara menyeluruh.

“Ketika ini kami mempunyai beberapa pandangan tetapi ia masih belum boleh dijadikan kesimpulan terhadap apa yang berlaku kerana ia mestilah berasaskan kepada fakta dan laporan yang akan diterima nanti bagi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

PERUNDING UK SIASAT BUMBUNG STADIUM RUNTUH

Posted in runtuh, stadium, Terengganu on July 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Petang ini saya membaca Utusan Online dan Berita Harian Online yang membawa tajuk Perunding UK dilantik siasat bumbung stadium runtuh.

Ia bukan baru bagi saya kerana semalam dalam teganuku.blogspot.com ada melaporkan perkara ini yang memetik berita asal dari the Star.

Bagaimanapun oleh kerana ia sesuatu yang penting, baik juga kalau penjenguk dapat membaca kenapa Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said membuat keputusan yang disifatkan ‘pusingan 360 darjah’.

Pada kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 2 Jun lepas, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bahagian bumbungnya runtuh.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kira-kira setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas.

Isu Stadium – Kerajaan Terengganu ubah fikiran?

Oleh Teganuku on Friday, July 3, 2009

Jelas Kerajaan Terengganu sudah pusing 360 darjah dengan bersetuju untuk mewujudkan semula jawatankuasa penyiasatnya.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata Khamis lalu, kerajaan Terengganu akan melantik perunding dari Britain untuk mengetahui punca runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak.

Menurut laporan The Star itu, perunding Britain itu mempunyai pejabat cawangannya di Kuala Lumpur.

Blog ini 24 Jun lalu menyiarkan satu cadangan daripada seseorang bernama Aqil Farhan supaya kerajaan negeri menilai semula agar jawatan kuasa penyiasat bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Terengganu.

Ini kerana jika ada dua badan, perbandingan boleh dibuat dan apa-apa cadangan boleh digabungkan.Pada 10 Jun lalu, Ahmad Said dilaporkan berkata hanya sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung stadium berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, anggota penyiasat itu dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk pensyarah universiti.

Ahmad Said beria-ia mengatakan akan mewujudkan jawatankuasa penyiasatan peringkat negeri. Malah katanya, ia bukan terdiri daripada pakar tempatan, sebaliknya dari luar.

Bagaimanapun, selepas ‘dinasihat’ Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor, Ahmad Said dikatakan ‘tunduk’ kepada nasihat itu.

Persoalannya, bagaimana Kementerian Kerja Raya mahu menyiasat dan menilai kerja-kerja Jabatan Kerja Raya?

Kata pendapat itu, mengharapkan ‘bapa siasat anak’ atau ‘abang siasat adik’ tidak akan mendatangkan kepuasan kepada banyak pihak.

Aamat menarik jika kerajaan negeri dapat mewujudkan jawatankuasa penyiasatannya sendiri.
Biarlah rakyat membezakan keputusan siasatan antara dua jawatankuasa itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh juga menyatakan kesediaannya memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak itu.

Idris yang turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap, berkata sehingga kini beliau belum dipanggil SPRM.

T’gganu to get Brit consultant to probe stadium roof collapse

By R.S.N. MURALI (The Star)

KUALA TERENGGANU: The Terengganu government will appoint a consultant from Britain to determine the actual cause of the Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium roof collapse in Gong Badak here on June 6.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said said the government had earlier rescinded the decision to establish its own investigation team to avoid any clash with the team set up by the Federal Government.

“However, after taking into account the necessity of having an independent investigation panel, the state government decided to appoint a reliable firm for the task.

“The British consultant that we are close to appointing also has a regional office in Kuala Lumpur,” he said in Kuala Terengganu, late Thursday.

Ahmad said the British firm — which he declined to name — would submit its investigation papers to the state government, while the Federal team will answer to the Cabinet.

He said his administration decided on its own probe team because the state government also had to take responsibility for the incident.

Ahmad said the consultant, once appointed, will be given three months to produce a probe on the roof collapse at the east wing of the RM292mil stadium.

He said the state government was currently discussing the fee to be paid, and other issues, before officially appointing the consultant.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata stadium itu ditutup sehingga kerja-kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang dilantik.

Katanya kerajaan Terengganu bersetuju melantik konsultan swasta itu kerana berpendapat perlunya dua pihak yang menjalankan siasatan tersebut, iaitu bagi kerajaan pusat dan negeri.
Beliau berkata segala perbelanjaan untuk khidmat perunding dari UK itu akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata beberapa gelanggang yang ada di stadium itu seperti gelanggang skuasy dan bola sepak terpaksa ditutup dan kejohanan-kejohanan yang sepatutnya diadakan di situ, dipindahkan ke tempat lain.