Archive for the Menteri Besar Category

DUA WARKAH UNTUK AHMAD SAID

Posted in Ahmad said, Menteri Besar, Terengganu on January 3, 2010 by Hambali Abd Latiff

Saya tidak mahu komen dua entri berikut. Pertama daripada www.teganukini.blogspot.com dan yang kedua daripada www.msomelayu.blogspot.com.

Baca dan telitilah:

SALAM TAHUN BARU BUAT AHMAD SAID – TINTA MERAH & SINAR HARIAN

Daripada www.teganukini.blogspot.com (2 Januari 2010)


Blogger Tinta Merah seorang sifu … memulakan Salam Tahun Barunya kepada Ahmad Said mencurahkan pemerhatian ikhlas beliau dengan kata secantik bahasa…’ walaupun dia (Ahmad Said) nampak ‘komang’ kata orang Terengganu, tidak hebat, nampak darat macam orang kampung tetapi dia ada kelebihan. Yang pastinya kalau bukan ada kelebihan dan keistimewaan, Sultan Mizan Zainal Abidin tidak akan perkenan untuk dia jadi MB.’

Syabas diucapkan kepada Tinta Merah yang Berjaya merungkai jawapan kepada kecelaruan dan persoalan sebilangan golongan menengah Terengganu terhadap Ahmad Said. Bagi orang kampong dan golongan bawahan mereka tiada masalah dan amat-amat berkenan dengan Ahmad Said yang mengutamakan rakyat.

Kepada yang arif dengan sejarah Terengganu, pemilihan Menteri Besar memang dibuat oleh Istana bedasarkan saki baki kuasa yang beri oleh Perlembagaan Negeri. Pemilihan dibuat daripada calon-calon daripada parti yang mendapat kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Istana telah memilih Ahmad berasaskan beliau orang paling kanan dalam parti yang menang, yang merupakan salah seorang daripada dua(2) Ketua Bahagian parti yang bertanding di kerusi negeri dalam pilihanraya yang lalu, selain daripada fakta yang akan dinukilkan oleh Tinta Merah berikutnya nanti…. Ini lah apa yang paling asas dalam amalan ‘Demokrasi Berparlimen Dan Raja Berpelembagaan’. Istana telah membuat pertimbangan yang seadilnya dalam memilih Menteri Besar.

Persoalan Selamat Tahun Baru yang dilontarkan oleh Tinta Merah iaitu… ‘ Masih ramai lagi Adun BN yang dianggap dan merasakan diri lebih hebat dari Mat Said. Ada 20 orang lagi,(sebenarnya 23 orang) tetapi kenapa Mat Said yang dipilih jadi MB oleh Sultan. Yang lebih hebat daripada bekas MB, Idris Jusoh pun ada, seperti Rosol Wahid, Din Adam, tetapi tidak dipilih, Mat Said juga diambil Sultan. Kenapa? ‘

Tinta Merah telah mempunyai ketepatan fakta dalam meberi jawapan…’.Selalunya istana hanya akan memberi perkenan kepada orang yang baik budi, perangai comel dan tahu adat istiadat istana sahaja untuk menjadi menteri, wazir dan pegawainya. Orang yang sumpah seranah sultan takkan diambil! Hatta untuk jadi tukang kebun dan jong masak pun kena ada takmaninah. Istana tidak akan ambil orang perangai buruk, cakap besar berjalan lenggak ke langit dan berperasan tinggi.’

Kehebatan Ahmad digambarkan lagi oleh Tinta Merah dalam dialog seorang rakannya dengan beliau dari Kuala Lumur….“Hebat! Dia buat kerja dia tidak peduli apa orang nak kata kepadanya…” jelas rakan ini menunjukkan wajah kekagumannya. Ulasnya lagi, walaupun kawan-kawan sepertinya kritik dia, palu dia, dia buat tidak peduli saja. Dia hadapi dengan selamba saja.

“Jarang orang boleh lakukan begitu, selalunya kalau kena kritik seseorang itu akan give-up. Tetapi tidak bagi Mat Said. Seolah-olah hentaman dan kritikan itu dijadikan cabaran untuk dia buktikan kemampuannya. Inilah saya maksudkan hebat! Dan dia berjiwa besar,” 

Akhbar Sinar Harian dalam Selamat Tahun Barunya kepada Ahmad Said mencatatkan rasa terima kasih dan pujian daripada seorang rakyat…….’semasa menerima beg berisi kurma istemewa dan air zam-zam daripada Menteri Besar Dato’ Ahmad Said… hati saya terdetik…inilah kali pertama dalam hidup saya sebagai rakyat Terengganu mendapat hadiah daripada Menteri Besar tanpa pilih kasih. Saya bukan penyokong partinya.. jadi apa-apa pun sentiasa tersisih..

Berkat hadiah ini, barulah saya mula menjejak langkah Ahmad Said .. MasyaAllah inilah satu-satunya Menteri Besar yang kerjanya untuk rakyat Terengganu.. tidak semacam pemimpin terdahulu.
Walaupun kurma itu menjadi isu besar, RM 7 juta.. namun inilah RM 7 juta dikongsi dengan kita semua.. bukan untuk penyokongnya sahaja..bagi saya kurma itu lebih bernilai dari RM20..
Terima kasih Menteri Besar.. Ahmad Said Berjaya membuktikan beliau memang Menteri Besar kita…’

Kini terbukti Ahmad Said berjaya menghidupkan hubungan beliau dengan rakyat, beliau bijak menyusun program dan mengutamakan rakyat selaras dengan mottonya ‘Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan.” 


SELAMAT TAHUN BARU MAT SAID

Oleh Mohd Sayuti Omar (www.msomelayu.blogspot.com – 31 Disember 2009)

SAYA pernah bercanda menerusi tulisan mengatakan Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu ada ilmu Pak Dogol. Maksud saya walaupun dia nampak ‘komang’ kata orang Terengganu, tidak hebat, nampak darat macam orang kampung tetapi dia ada kelebihan. Yang pastinya kalau bukan ada kelebihan dan keistimewaan, Sultan Mizan Zainal Abidin tidak akan perkenan untuk dia jadi MB.

Masih ramai lagi Adun BN yang dianggap dan merasakan diri lebih hebat dari Mat Said. Ada 20 orang lagi, tetapi kenapa Mat Said yang dipilih jadi MB oleh Sultan. Yang lebih hebat daripada bekas MB, Idris Jusoh pun ada, seperti Rosol Wahid, Din Adam, tetapi tidak dipilih, Mat Said juga diambil Sultan. Kenapa? Cuba tanya Zabidi Saidi rakan saya berasal dari Terengganu itu.

Sebab itu saya kata Mat Said ada ilmu Pak Dogol. Tenguk Pak Dogol dalam wayang kulit dia, nampak hodoh, perut buncit, hidung besar tetapi keramat dan baik budi. Lidah juga masin ‘barang minta barang boleh barang kata barang jadi.’

Selalunya istana hanya akan memberi perkenan kepada orang yang baik budi, perangai comel dan tahu adat istiadat istana sahaja untuk menjadi menteri, wazir dan pegawainya. Orang yang sumpah seranah sultan takkan diambil! Hatta untuk jadi tukang kebun dan jong masak pun kena ada takmaninah. Istana tidak akan ambil orang perangai buruk, cakap besar berjalan lenggak ke langit dan berperasan tinggi.

Malam tadi saya minum dengan seorang rakan, bekas pegawai tinggi kerajaan. Dia baru balik dari Terengganu kerana menghadiri satu seminar mengenai sukan. Dia terlibat dalam membentangkan kertas kerja berhubung pengembangan dan pembangunan sukan di negeri itu.

Rakan ini sejak bersara, lebih mirip kepada pembangkang menjadi penyokong kuat Anwar Ibrahim. Bukan apa kerana Anwar rakannya! Hubungannya dengan Anwar kukuhnya macam akar tunjang bumi. Semasa Anwar dalam penjara di Sungai Buloh dulu dialah antara orang yang ‘membantu’ Anwar menerusi bidang kuasanya. Beli meja pingpong dan lengkapkan peralatan sukan dan riadah dalam penjara untuk kemudahan Anwar.

Baru inilah dia ke Terengganu. Beliau diundang disebabkan kepakarannya dalam bidang sukan. Banyak pembangunan sukan negara ditangani dan jaya. Apa nak diceritakan dan mengejutkan saya ialah bila dia menceritakan mengenai kehebatan Mat Said.

“Hebat Mat Said ni rupa-rupanya?” katanya. Saya terkejut dan terpaksa bertanya balik takut dia tersalah cakap atau sengaja nak perli MB Terengganu itu.

“Hebat macam mana?” soal saya agak hairan kerana jarang saya dengar di Kuala Lumpur ada orang puji Mat Said sebegitu. Banyaknya memperleceh dan memperlekeh Mat Said. Yang kata Mat Said MB cap ayam pun ada.

“Hebat! Dia buat kerja dia tidak peduli apa orang nak kata kepadanya…” jelas rakan ini menunjukkan wajah kekagumannya. Ulasnya lagi, walaupun kawan-kawan sepertinya kritik dia, palu dia, dia buat tidak peduli saja. Dia hadapi dengan selamba saja.

“Jarang orang boleh lakukan begitu, selalunya kalau kena kritik seseorang itu akan give-up. Tetapi tidak bagi Mat Said. Seolah-olah hentaman dan kritikan itu dijadikan cabaran untuk dia buktikan kemampuannya. Inilah saya maksudkan hebat! Dan dia berjiwa besar,” sambung kawan yang sudah mencecah 60 tahun itu.

Mulanya saya tidak merasa apa-apa kelebihan kalau setakat itu. Tetapi bila kawan ini menceritakan bagaimana Mat Said menumpahkan ilham merangka pembangunan infrastruktur dan sosial untuk Terengganu baru saya faham apa yang hendak dimaksudkan itu. Dalam bidang sukan misalnya Mat Said mahu jadikan Terengganu cemerlang dalam semua bidang sukan. Dia tidak sebut saja, tetapi disediakan peruntukan yang banyak.

“Saya yakin dengan apa yang Mat Said nak buat akan berjaya. Sepanjang seminar itu saya lihat sambutan dan semangat peserta sungguh tinggi. Ini menampakannya pegawai kerajaan yakin dan seronok dengan Mat Said..” jelasnya.

Katanya kalau seorang MB mendapat kerjasama dari pegawai kerajaan tidak ada masalah kalau pun Adun lain tidak menyokongnya. Bagi rakyat yang penting kebajikan untuk mereka dan bukan mereka nak lihat cita-cita peribadi seseorang Adun itu yang dicapai.

“Tetapi katanya Pas Terengganu yakin akan tumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang?” kata saya menyeka perasaan kagumnya berdasarkan dakwaan sesetengah orang Pas.

“Saya tidak nampak kalau lihat kepada cara Mat Said berkerja. Sikap humble dan juga perhubungannya dengan rakyat berjalan baik. Rakyat suka kepadanya. You mungkin tidak tahu dia baik dengan Adun Pas. Mat Said tidak pun ada masalah dengan Pas. Yang buat masalah ialah dua tiga orang rakannya yang dengki dan cemburu dengannya,” kata rakan ini lebih mengetahui maklumat politik Terengganu dari saya.

Apa lagi katanya dengan wang ehsan yang banyak dicampur dengan approach Mat Said yang pedulikan rakyat, sediakan peruntukan RM10 juta untuk OKU…susah untuk Pas dan Pakatan Rakyat gugat Terengganu. Lainlah ada isu besar atau mistik yang Mat Said lalukan seperti mana Idris Jusoh buat dulu.

Tambahnya lagi kenapa Idris Jusoh tidak disukai kerana melambakkan pembangunan di Besut dan menambunkan projek kepada kroni. “Kalau Mat Said belajar dari kesilapan Deris ini saya fikir susah juga untuk Pas ambil Terengganu,” tekannya.

Dalam perjalanan pulang saya terfikir-fikir mengenai kawan ini. Dia bekas pegawai kerajaan yang kini sudah mulai membenci kerajaan. Semua masalah dalam kerajaan termasuk serbanika penyelewengan dia tahu. Jadi bila dia mentafsirkan kerajaan Terengganu dan kehebatan Mat Said begitu mungkin benar kerana dia sudah melihat dengan hati yang bebas.

Dan saya tidak pelik kalau Mat Said berjaya menghidupkan hubungan beliau dengan rakyat dan mengurangkan masalah dengan publik. Rahsianya ialah beliau bijak menyusun program mengutamakan rakyat.

Manakala serentak itu beliau mengurangkan isu-isu buruk mengenainya terdedah di media massa.

Mungkin kehebatan Mat Said ini orang tidak sedar yang beliau dibantu oleh seorang wartawan profesional yang luas pengalaman.

Saya yakin apa yang diterima oleh Mat Said ini kerana kegigihan dan nasihat Hambali Abd Latiff salah seorang pegawai khasnya di pejabat MB.

Selalunya tuan akan jadi baik kalau kuli turut memberi pedoman secara berhemah dan fatanah.

Advertisements

TUNGGU TINDAKAN TERHADAP MENTERI, MENTERI BESAR

Posted in Menteri, Menteri Besar, SPRM on January 2, 2010 by Hambali Abd Latiff

Sekali lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi tumpuan dan perhatian umum.

Ini berikutan laporan Berita Harian bahawa SPRM sudah menyerahkan kertas siasatan empat kes berprofil tinggi kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Kita berharap sangat agar kertas siasatan ini menjadi tindakan untuk mengelakkan SPRM ‘ditertawakan’.
Menurut sumber, empat kes itu membabitkan bekas seorang menteri, seorang Menteri Besar, seorang timbalan menteri dan dua ahli perniagaan bergelar Datuk yang terbabit dalam projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Katanya, laporan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara sejak beberapa bulan lalu, selepas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dibuat pelbagai pihak terhadap mereka.

“Sekarang terserahlah kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kertas siasatan yang diserahkan oleh SPRM.

“Kita berharap Pejabat Peguam Negara akan mempercepatkan proses pendakwaan kerana keempat-empat kes ini membabitkan kepentingan umum,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas status siasatan SPRM membabitkan beberapa kes berprofil tinggi yang dilaporkan pelbagai pihak kepada badan siasatan itu.
Harap kali ini kepentingan umum diberikan perhatian mendalam oleh Pejabat Peguam Negara.

SULTAN TEGUR PIMPINAN KERAJAAN SELANGOR?

Posted in kerajaan, Menteri Besar, Selangor on December 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sebelum menjadi kerajaan negeri, semua boleh janji. Bulan dan bintang pun boleh janji dijanjikan untuk rakyat.

Namun, selepas menjadi kerajaan ternyata pembangkang yang tiada pengalaman menghadapi masalah paling banyak berbanding negeri lain, walaupun hakikatnya Selangor sebuah negeri kaya.

Dalam konteks peruntukan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri, Selangor adalah antara negeri penerima paling besar.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek yang memberitahu Dewan Rakyat beberapa hari lalu, peruntukan pembangunan bagi 2009 untuk Selangor ialah RM4.09 bilion, iaitu yang kedua selepas Wilayah Persekutuan yang menjadi penerima peruntukan tertinggi iaitu RM4.67 bilion.

Johor dan Terengganu yang menjadi antara kubu UMNO, masing-masing hanya menerima RM3.21 bilion dan RM1.39 bilion.

Jadi, apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam terpaksa menegur kerajaan negeri dengan melahirkan kebimbangan baginda dengan keadaan semasa di negeri ini yang meletakkan agenda politik mengatasi pembangunan negeri, jelas menggambarkan betapa Tuanku tidak boleh menyimpan keresahannya.

Malah, teguran keras diberikan oleh Sultan Selangor apabila mengatakan “Beta berharap supaya apa yang beta titahkan ini mendapat perhatian dan tidak dipandang mudah. Janganlah titah ucapan beta ini menjadi seperti peribahasa mencurahkan air di daun keladi iaitu tidak mendatangkan kesan apa juga pun.”

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, kerajaan Selangor yang diterajui PKR sering mengalami krisis demi krisis kerana kepentingan politik diambil kira melebihi kepentingan rakyat.

Isu-isu yang melanda Selangor dengan kes-kes seperti isu perkauman, agama, rasuah, pertelingkahan sesama pembangkang, pembunuhan dan sebagainya menggambarkan Selangor negeri yang paling banyak menghadapi masalah.

Selain itu, dalam konteks pembangunan – kerajaan negeri jelas menyambung sahaja perancangan dan pembangunan kerajaan lalu sambil menokok tambah pembangunan yang menimbulkan pelbagai kekecohan dan kritikan rakyat.

Sedangkan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, isu yang diperkatakan lebih tertumpu kepada kritikan pembangkang dalam isu-isu pembangunan yang ternyata kini menjadi antara tumpuan kerajaan sekarang.

Berdasarkan realiti semasa, Sultan Sharafuddin bertitah, masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan sudah berlalu dan kini waktunya untuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat melaksanakan segala perancangan dan janji yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008.

Ia tidak lain dan tidak bukan untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Kerana itu, Baginda mahu Menteri Besar Selangor dan barisan Exconya melaksanakan tugas mentadbir dan pembangunan negeri dengan penuh dedikasi serta sentiasa mempercayai dan bekerjasama dengan penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu.

“Kerjasama dan kepercayaan antara eksekutif dengan penjawat awam penting bagi memastikan pembangunan di negeri ini berjalan lancar. Beta berkenan supaya pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan telus dan berdedikasi, jangan mengambil kesempatan menyalahguna tanggungjawab demi kepentingan peribadi yang akan merosakkan pentadbiran dan menyusahkan rakyat,” titahnya.

Ternyata baginda juga tidak senang dengan suasana yang berlaku di negeri itu apabila perkara kecil berlaku di Selangor kadangkala dihebah dan diperbesarkan sehingga melampaui batasan dan menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Kerana itu baginda mahu kepemimpinan tertinggi negeri itu agar jangan banyak bercakap saja, sebaliknya melaksanakan perkara berfaedah untuk rakyat.

“Beta percaya rakyat lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal politik. Beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa ini bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa depan,” titahnya pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Keputeraan Baginda ke-64 di Istana Alam Shah.

Benar sekali pandangan baginda apabila mengatakan perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk tidak saling menghormati antara satu sama lain dan hidup bersatu padu demi kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Baginda mahu melihat rakyat di Selangor bebas bergerak dan tidak berasa takut atau khuatir terhadap keselamatan diri, harta benda dan keluarga.

Justeru, baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan tugas mereka dengan penuh azam dan komitmen bagi menghapuskan jenayah di Selangor.

Baginda juga bertitah, rakyat Selangor yang mahu menyalurkan pendapat atau rintihan bagi mencari jalan penyelesaian perlu menggunakan saluran yang disediakan mengikut undang-undang.

Selain itu, Baginda juga mahu hubungan baik kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dengan kerajaan Pusat dapat diteruskan supaya agenda pembangunan dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

Namun, apakah ini amalan kerajaan negeri sekarang?

Sikap berkonfrontasi dengan kerajaan Pusat jelas cuba digambarkan oleh pimpinan kerajaan negeri dengan sengaja menimbulkan isu-isu dan kritikan pedas sedangkan kerajaan Pusat tetap bermurah hati dengan menyalurkan pelbagai bantuan kepada kerajaan Selangor.

Itu belum lagi pelbagai bantuan lain kepada rakyat Selangor yang jelas kurang senang dengan tindak tanduk kerajaan negeri.

Pengumuman perlantikan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi adalah bukti kerajaan Selangor sengaja mahu menunjukkan sikapnya yang ‘keras kepala’ walaupun sedar Anwar akan berdepan dengan kes liwatnya di mahkamah.

Kenapa tidak tangguh dahulu perlantikan itu dalam kedudukan Anwar yang sedemikian?

MOHD NIZAR BERJUANG UNTUK PERIBADI

Posted in Menteri Besar, Nizar, perak on June 20, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin semalam memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Selepas melihat gelagat Mohd Nizar di Dewan Rakyat dan perjuangannya dalam isu Menteri Besar Perak bagaikan bersaorangan, timbul persoalan – apakah Mohd Nizar berjuang untuk kedudukan peribadi atau pakatan pembangkang.

Bagai samseng, Mohd Nizar menunjukkan warnanya di Dewan Rakyat yang menyebabkan beliau digantung bersama beberapa yang lain.

Dengan memakai lilitan kepala dan tidak menghiraukan Speaker Dewan Rakyat, rakyat meluat melihat sikapnya dan tindakannya itu bertujuan menggambalikan kuasa kepadanya.

Apakah Mohd Nizar melihat jawatan itu ekslusif untuknya? Juga apakah beliau masih tidak sedar bahawa istana mempunyai hak dalam isu perlantikan Menteri Besar?

Apakah kini beliau pada tahap riak dan menderhaka kepada Sultan Perak apabila terus mempertikai dan menunjukkan aksi bantahannya kepada istana apabila bertindak liar di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Apakah Mohd Nizar terlalu yakin akan menang kes rayuannya tetapi apakah dua parti pakatan pembangkang – DAP dan PKR – akur supaya Mohd Nizar terus menjadi Menteri Besar?

Maksudnya di sini, jika menang kes ini di mahkamah, apakah jika diminta oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Nizar rela melepaskan jawatan itu untuk orang lain atau dia sahaja layak menjadi Menteri Besar Perak.

Ini kerana dengan kedudukan PAS yang bercelaru dan lagipun PAS hanya ada tiga kerusi DUN di Dewan Undangan Negeri Perak, apakah parti lain yang lebih besar perwakilannya akan membiarkan parti yang terumbang ambing it uterus mengetuai kerajaan Perak jika mampu dibentuk.

Selain itu imej Mohd Nizar dengan istana sudah tercalar dan selagi Mohd Nizar terus memperkatakan kes ini, rakyat akan melihat Mohd Nizar sebagai ‘gilakan kerusi Menteri Besar’.
Buktinya, Mohd Nizar dari serendah-rendah mahkamah akan ke setinggi-tinggi mahkamah berusaha menjamin Dr Zambry tidak menjadi Menteri Besar.

Mohd Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, semalam, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang melalui Tetuan Leong & Tan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.

Dalam permohonannya juga, Mohd Nizar turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.
(Mahkamah Persekutuan ketika ini mempunyai 12 orang hakim)

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Mohd Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu, dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, beliu turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan.

Mohd Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah sama dengan Fasal 16(6) UTKP dan sebarang keputusan berkenaan Fasal itu akan memberikan impak atau kesan berkenaan Fasal 43(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung jawatan Perdana Menteri.

“Ini bermakna sekiranya Yang di-Pertuan Agong hendak memecat Perdana Menteri, Baginda boleh berbuat demikian. Baginda boleh menelefon Perdana Menteri dan memberitahu bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat,” kata Mohammad Nizar dalam sidang media selepas menfailkan permohonan itu.

Ketika ditanya mengapa beliau memohon supaya kesnya didengar di hadapan 11 hakim, beliau berkata: “Apabila ada ramai hakim, kita harap supaya dapat memberikan keputusan yang adil kerana rakyat negara ini sangat menagih keadilan.”

Mohd Nizar juga berkata beliau gembira kerana akhirnya permohonan itu berjaya difailkan walaupun keputusan hujahan bertulis oleh Mahkamah Rayuan masih belum diperolehi.

Pada 22 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Md Raus, dalam penghakiman lisannya memutuskan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membuat keputusan yang betul ketika melantik Zambry sebagai menteri besar yang baru, berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Mohd Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Md Raus yang bersidang bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, mendapati bahawa Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Pertikaian jawatan Menteri Besar Perak bermula apabila tiga daripada wakil rakyat pakatan DAP-PKR-PAS keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional pada Februari lepas.

Mohd Nizar, 52, kemudiannya memfailkan semakan penghakiman untuk memohon satu writ bersifat “quo warranto” atau “melalui kuasa apa” dikeluarkan terhadap Zambry bagi menyatakan tunjuk sebab atas asas apakah beliau menjadi menteri besar yang sah.

Apa yang boleh dirumuskan di sini ialah Mohd Nizar kini bagaikan orang hilang akal selepas dilucutkan jawatan dan dendam kesumatnya ialah mengganggu-gugat Kerajaan BN pimpinan Dr Zamry selain mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa ‘istana tidak betul dan tidak adil kerana melucutnya’.

Persoalannya kenapa tunjuk belang di Dewan Rakyat bukannya secara langsung kepada istana kerana perlantikan Dr Zambry ialah kerana perkenan istana.

Sewajarnya Mohd Nizar mendapatkan perkenan istana walau apa cara juga sekali pun terlebih dahulu sebelum ke mahkamah rayuan kerana kalau menang pun beliau tetap akan menghadapi halangan.

Jika halangan berterusan, Mohd Nizar terpaksa akan melupakan niatnya dan putihlah matanya untuk menjadi Menteri Besar.

Ironinya, jika jawatan Menteri Besar itu menjadi matlamat peribadinya, tidak pelik jika beliau akan ‘membuat kacau’ pula kepada rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang kerana matlamat Mohd Nizar hanyalah satu iaitu mendapatkan kembali kerusinya – kerusi Menteri Besar Perak.

PERAK – NIZAR TETAP CABAR KEPUTUSAN SULTAN AZLAN

Posted in Menteri Besar, Nizar, perak on May 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sah sudah Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

I a dibuat selepas baginda berpuas hati bahawa Dr Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain.
Kini dua kali sudah keputusan Sultan Perak itu diakui betul. Kali pertama ialah pada 12 Mei 2009 lalu apabila Mahkamah Tinggi memutuskan supaya keputusan mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diubah dan keputusan terhadap Dr Zamri ditangguhkan.
Bagaimanapun, Nizar tetap akanmempertikaikan keputusan itu dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.

Sekali melawan, Nizar akan tetap melawan, biarpun ia terpaksa mencabar keputusan Sultannya sendiri.

Kini pasti sudah bukan sahaja keputusan Sultan Azlan akan dicabar tetapi episod siapa Menteri Perak yang sah nampak gayanya belum berakhir!

Kerajaan Perak akan terus berada dalam limbo dan kedudukan ini tidak baik untuk kerajaan negeri dalam konteks mendapatkan pelaburan dan keputusan-keputusan tertentu mengenai pembangunan.

Kesan pertelingkahan ini akan memberikan kerugian kepada rakyat namun kerana Nizar mahu mencabar terus, soal rakyat ini sudah tidak penting baginya.

Peguam yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Sulaiman memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Kami menghargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin,” katanya.

Bila beliau akan mengemukakan rayuan belum dipastikan.
Keputusan yang diumumkan panel tiga hakim – pukul 3.50 petang semalam – membabitkan Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Nizar.

Hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada 11 Mei itu memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya (12 Mei 2009) membenarkan permohonan Dr Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut semalam.

Hakim Md Raus berkata, beliau akan mengusahakan penghakiman bertulis itu dalam masa seminggu.

Panel tiga hakim itu mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah setelah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

MAHKAMAH BUKAN PILIHAN RAYA JADI PENENTU?

Posted in Menteri Besar, Nizar, perak on May 10, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Pelik tapi benar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan tentukan kedudukan siapa Menteri Besar Perak.
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin?

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan pada 2.30 petang esok keputusan mengenai permohonan Mohammad Nizar pada 13 Februari lalu agar mahkamah mengisytiharkan beliaulah Menteri Besar sah dan Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan itu.

Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar berkata, beliau masih Menteri Besar kerana antara lainnya, tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding kelmarin, peguam utama beliau, Sulaiman Abdullah, memberitahu mahkamah, krisis politik di Perak boleh diselesai dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Mohammad Nizar, 52, dilantik 17 Mac tahun lalu setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, kerajaan pimpinannya tumbang apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan itu keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN) awal tahun ini.

Sementara ADUN UMNO yang masuk PKR, kembali semula ke pangkuan UMNO.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar setelah mendapati Mohammad Nizar telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan kerana Barisan Nasional pula menguasai 31 kerusi.

Yang menariknya, syarat penting yang disebut peguam Mohd Nizar ialah, menyerahkan semula kepada rakyat (pilihan raya) untuk tentukan kerajaan negeri.

Sedangkan dalam afidavit Mohd Nizar yang ditekankan ialah tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri dan beliau tidak meletak jawatan.

Persoalan penting ialah apakah ‘lompat oleh tiga ADUN’ tidak sah?

Dua pertanyaan di sini. Apakah Mahkamah Tinggi melihat, pertamanya ialah apakah lantikan oleh Sultan Perak tidak sah dan kedua, kelebihan kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pun tidak ‘sah’?

Persoalan lain:

1. Apakah hanya dengan pilihan raya baru sahaja akan mengesahkan kedudukan politik di Perak?

2. Bagaimana jika diadakan undi percaya kepada Dr Zambry di Persidangan DUN? Bukankah cara ini sama seperti undi tidak percaya kepada Mohd Nizar?

Andaian: Sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada Mohd Nizar.

1. Apakah memerlukan perlantikan semula atau tidak perlu. Kalau tidak perlu memudahkan Mohd Nizar tetapi kalau perlantikan semula membabitkan Sultan Perak, apakah Tuanku Sultan Perak bersedia untuk melakukan upacara angkat sumpah sekali lagi?

2. Apakah dengan keputusan mahkamah seperti itu, Mahkamah Tinggi cuba menidakkan kedudukan kerusi yang ketika ini 31 kepada BN dan sewajarnya BN berkuasa?

3. Apakah Mahkamah Tinggi atau mahkamah Malaysia amnya bersedia membuat precedent iaitu apabila berlaku krisis seperti ini di masa hadapan, penyelesaiannya bukan melalui politik atau persetujuan Sultan sebaliknya di mahkamah?

4. Bersediakah demokrasi Malaysia menerima keputusan mahkamah yang mengetepikan proses pilihan raya?

Semua ini lontaran pandangan sahaja, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi esok dan apa hujah hakim mengenainya.

ANTARA YANG BERJANJI & YANG ENGKAR JANJI

Posted in Menteri Besar, perak, Sultan on February 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada janji yang dibuat oleh Menteri Besar baru Perak dan ada janji juga dibuat oleh Menteri Besar Perak.

Kedua-dua belum tertunai. Janji adalah amanah dan mereka wajib menunaikannya!
Tahniah kepada Datuk Dr Zambry Abdul Kadir kerana dipilih sebagai Menteri Besar Perak ke-11.

“Saya akan lakukan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak serta rakan-rakan terhadap sokongan yang diberikan,” katanya semalam.

Zambry berkata dengan perlantikan beliau yang diperkenankan Sultan Azlan Shah, berharap ia tidak akan menimbulkan suasana dan isu yang tidak baik.

Zambry dilantik selepas keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exconya meletakkan jawatan, berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman Zamry, 47, sebagai Menteri Besar Perak dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang membuka ruang untuk bekas Exco itu mengangkat sumpah Menteri Besar baru dijadualkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini.

Barisan Exco akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi, Selasa ini.
Zambry berjanji akan mengembalikan ketenangan dan keharmonian kepada rakyat negeri Perak.

Beliau, yang menjunjung kasih kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah kerana memberi perkenan dan kepercayaan untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, menganggap tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan sifat kepimpinan yang baik.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, keengganan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya beliau serta barisan exconya meletak jawatan membuktikan beliau tidak berpegang pada janjinya semalam.

Ketika ditemui pemberita kelmarin, Mohammad Nizar mendakwa beliau tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berikutan perkembangan terbaru politik di negeri itu.

Bagaimanapun pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh semalam, Mohamad Nizar mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel XVI (6) Undang-undang Tubuh negeri menyatakan bahawa jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka, kecuali atas titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan membubarkan Dewan negeri, beliau patut mengemukakan peletakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat.

Sementara Artikel XVI (7) Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan bahawa berkait dengan klausa (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat selain Menteri Besar boleh mengekalkan jawatan atas perkenan Paduka Seri Sultan tetapi mana-mana ahli Mesyuarat, boleh, pada bilabila masa, meletakkan jawatan.

Mohammad Nizar yakin sebarang keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil dan akan “akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku.”

Semalam, bekas Menteri Besar Perak itu mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri di Perak kerana majoriti yang disebut oleh BN adalah tidak tepat kerana kedudukan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang dianggap mereka telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.

Ini berikutan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar sebelum ini yang mengisytiharkan terdapat tiga kawasan DUN yang kosong dan telahpun memohon mahkamah untuk mengisytiharkan kekosongan itu berikutan dakwaan Sivakumar yang mengatakan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada ketiga-tiga ADUN Behrang, Jelapang dan Changkat Jering.

Sultan Perak sebaliknya memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), serta menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan.

Baginda membuat keputusan itu setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas di Istana Kinta semalam, selain yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.

Berhati-hatilah mereka yang berkuasa.
Janji dan kata-kata politik juga adalah amanah.


TARIKH LAHIR: 22 Mac 1962
TEMPAT LAHIR: Pulau Pangkor, Perak
ISTERI: Datin Saripah Zulkifli
ANAK: Lima (Tiga perempuan, dua lelaki)

KELULUSAN AKADEMIK:
• PhD (Pemikiran Politik) Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995)
• MA, Universiti Temple (1992) Falsafah politik dan Perbandingan Agama
• MA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1991) Pemikiran Islam
• B Econs (Kepujian) UIAM (1987)

PENCAPAIAN:
• Anugerah Kepujian (PhD) 1995
• Geran Penyelidikan Universiti Temple (1993)
• Anugerah WAMY Konvokesyen Pertama UIAM (1987)

JAWATAN:
• Ketua Pemuda Umno Bahagian Pangkor (1992)
• Ketua Umno Bahagian Lumut
• Adun Pangkor (sejak 2004)
• Exco Pelajaran, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Perak (2004-2008)