Archive for the Ekonomi Category

UMAT ISLAM BELANJA RM1.7B SEPANJANG RAMADAN, AIDILFITRI

Posted in Ekonomi, Islam, Ramadhan on August 31, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ramadan bulan bisnes di Malaysia. Ia menyumbang menggerakkan ekonomi dalam negara.
Sumbangan umat Islam kepada negara yang berbelanja sebanyak RM1,700 juta (RM1.7b) untuk berbuka dan persediaan hari raya adalah sesuatu yang perlu diberikan pengiktirafan.

Angka itu berdasarkan anggaran purata perbelanjaan RM100 bagi setiap individu Islam di negara ini yang kini mencecah kira-kira 16 juta orang, sama ada kos itu dikeluarkan individu terbabit atau pembelian kelengkapan untuk mereka ditanggung pihak lain melalui aktiviti amal jariah.

Ini belum dikira sumbangan zakat serta sumbangan lain sama ada oleh individu Islam atau syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Islam seperti bank, persatuan dan badan-badan lain sepanjang Ramadan.

Kerana itu, rakyat Malaysia jangan melihat Islam sebagai membawa kemuduran sebaliknya memainkan peranan penting menggerakkan ekonomi dalam negara.

Perayaan Ramadan bukan sekadar menjadikan hotel ‘hidup’ dengan tempahan tetapi pusat beli belah membuat promosi selama sebulan – mengatasi perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas atau juga promosi jualan murah ketika musim cuti sekolah yang selalunya selama seminggu.

Sementara bazaar Ramadan memberikan peluang untuk seluruh rakyat berniaga menjual pakaian, makanan dan kelengkapan lain. Setidak-tidaknya peluang ini dapat direbut oleh mereka yang berusaha mencari pendapatan lebih menerjunkan diri dalam alam perniagaan kecil-kecilan.

Perbelanjaan untuk Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin pulih hasil pelbagai program rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.

Profesor Ekonomi, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata rakyat akan berbelanja lebih sedikit untuk Aidilfitri kali ini kerana keadaan ekonomi semakin baik, selain pengguna tidak mempunyai bebanan lain selain persiapan hari raya.

Katanya, tahun lalu, sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Oktober dikira sudah hampir penghujung tahun yang mana duit disimpan untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan persekolahan anak-anak.


“Tahun ini, agak berbeza sedikit kerana pengguna semakin yakin dengan perkembangan ekonomi negara yang dalam proses pemulihan, selain banyak simpanan akibat kebimbangan mengenai krisis ekonomi yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.

“Oleh kerana sesi persekolahan masih berjalan dan sesi baru lambat lagi iaitu kira-kira tiga bulan lagi, ramai yang akan berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Prof Mohd Fauzi yang juga Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perbelanjaan pengguna petanda yang baik untuk ekonomi negara terutama kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pula berpendapat sambutan Aidilfitri kali ini sederhana berikutan majoriti penganut Islam dijangka berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang belum begitu stabil ketika ini.

“Pengguna dijangka membuat persiapan secara `ala kadar’ dan wang dikeluarkan hanya untuk perkara perlu – mungkin untuk sepasang pakaian baru, manakala kuih muih pula dibeli sekadar ‘cukup syarat’,” katanya.

SEZ-ECER – TAHNIAH NAJIB

Posted in ECER, Ekonomi, Najib on August 5, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sayang sekali. Kerana dibelenggu pelbagai isu yang diakibatkan oleh sikap pembangkang yang sengaja membuat kacau, usaha murni Perdana Menteri sering tenggelam.

Malah kadangkalanya tersasar daripada perhatian rakyat akhir-akhir ini apalagi akhbar utama yang diharapkan menonjolkan usaha sedemikian turut tenggelam sama dengan isu-isu lain yang sewajarnya diketepikan sementara.

Apabila akhbar utama kadangkala tersasar – sama ada gagal mengetengahkan pengumuman yang memberikan keuntungan besar kepada rakyat atau demi keuntungan kepada syarikat akhbar itu sendiri dari segi jualan – usaha murni Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaikan sesuatu yang biasa bukan yang utama.

Beginilah keadaannya apabila negara dalam keadaan tidak stabil selain editor yang


mementingkan berita yang sensasi.

Datuk Seri Mohd Najib Razak sedang berusaha bersungguh-sungguh memperkenalkan dasar dan program baru tetapi pembangkang pula timbulkan pelbagai isu untuk menutup atau memperlekehkan Najib.

Perdana Menteri seolah-olah mahu dilihat sebagai yang tidak berupaya dan lemah.

Tahniah untuk Najib kerana beliau bukan sahaja menyambung dan memperkukuhkan dasar ECER yang dilancarkan Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi memperteguhkannya melalui Zon Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) semalam (4 Ogos 2009)
SEZ-ECER bukan merupakan satu projek yang hanya memberi tumpuan kepada pelabur semata-mata malah lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

“Peranan pelabur penting kerana tanpa pelaburan tidak mungkin kita dapat menjana kekayaan malah penduduk di sini juga tidak mendapat pekerjaan,’’ katanya.

Najib berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan mewujudkan SEZ di beberapa koridor pembangunan wilayah lain di negara ini.

Hadir pada majlis pelancaran , Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Jelas apa juga usaha dilakukan pembangkang untuk mengalih perhatian, ternyata Najib tidak terperangkap.

Cumanya muka depan dua akhbar utama – Berita Harian dan New Straits Times hanya memaparkan gambar Najib dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kelihatan mesra – kecuali Utusan Malaysia dan The Star – menggambarkan betapa kesan perhimpunan bantah ISA dan isu kematian Teoh tetap mendapat tempat di muka hadapan.

Bagi saya, usaha memperkenalkan SEZ-ECER ini amat penting untuk negeri-negeri –Pahang dan Terenganu – yang berpaksikan Melayu dan jika usaha ini berjaya menarik pelaburan RM90 bilion dan menyediakan 220,000 peluang pekerjaan menjelang 2020, ia sesuatu yang amat menguntungkan rakyat di kedua-dua negeri.

Lagi pun seperti kata Perdana Menteri ia yang merupakan zon ekonomi khas pertama di Malaysia meliputi Kerteh, Terengganu hingga ke Tanjung Agas di sini turut menyumbang sebanyak 80 peratus hasil keluaran ekonomi di kawasan ECER.

Oleh kerana ia meliputi 51 peratus kawasan Semenanjung dan sangat luas, ia mampu menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi terbesar di negara ini.

Sayang sekali, pemikiran pengarang di dua akhbar berkenaan yang mungkin dibelenggu dengan ‘kebimbangan yang melampau’ atau ‘mahu jual akhbar’, dasar atau pengumuman penting Perdana Menteri hanya dimuatkan di muka 2 kedua-dua akhbar berkenaan.

SEZ mempunyai impak ekonomi amat besar, termasuk keupayaan menyumbang masing-masing 50 dan 80 peratus kepada peluang pekerjaan dan hasil keluaran ekonomi untuk keseluruhan ECER walaupun saiznya hanya enam peratus daripada keseluruhan keluasan wilayah ekonomi itu.

Katanya, empat zon bebas diwujudkan di SEZ untuk menggalakkan dan menumpukan rantaian antara kelompok industri, iaitu kelompok Pembuatan Bernilai Tinggi, Industri Asas Tani; Gas dan Petrokimia; Pelancongan/Hartanah; Ilmu/Pendidikan dan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) serta Logistik.

Dan bagi merangsang pertumbuhan SEZ-ECER, Insentif Galakan Istimewa akan diberi kepada para pelabur asing dan domestik yang berkelayakan.

“Beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal yang baru akan disediakan agar ia mampu menarik pelaburan dan membolehkan ia terus berdaya saing dan berpotensi,” jelasnya.

Najib berkata, serentak itu Pelabuhan Kuantan akan dinaik taraf supaya mampu mengendalikan lebih 30 juta metrik tan muatan kargo setahun menjelang tahun 2020 berbanding 16.8 juta metrik tan pada masa ini.

Untuk merangsang pertumbuhan pesat SEZ, Najib berkata, kerajaan akan menyediakan insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menarik pelaburan dan terus berdaya saing. “Pembinaan dermaga-dermaga tambahan dan pemecah ombak dijangka mampu mencapai peranannya sebagai sebuah pelabuhan utama di Pantai Timur serta sebagai pintu masuk perdagangan bagi pasaran Asia Pasifik,” katanya.

Najib berkata, projek Agropolitan ECER yang dilancar adalah sebuah pembangunan bersepadu yang bermatlamat utama membasmi kemiskinan tegar pada akhir 2010, melalui penyertaan golongan miskin dalam sektor perladangan dan bukan perladangan.

Antara 2007 hingga sekarang, sejumlah RM24 bilion nilai pelaburan asing dan tempatan diperoleh daripada pelabur swasta untuk projek di ECER dalam kelompok pelancongan, pembuatan, petrokimia dan pertanian.

Perdana Menteri memberi jaminan pembangunan ECER akan terus mendapat komitmen kerajaan hingga ke Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sehingga 2020 melalui 189 projek bernilai RM112 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat.

SEKTOR KORPORAT LEBIH KUKUH

Posted in Ekonomi, Malaysia on December 12, 2008 by Hambali Abd Latiff

Walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, Malaysia berada pada keadaan lebih terkawal berbanding ketika krisis kewangan Asia sebelum ini.

Lebih menarik, syarikat-syarikat tempatan berada di kedudukan lebih baik sekarang berbanding 10 tahun lalu berikutan aliran tunai bebas, pulangan yang lebih tinggi ke atas ekuiti, penyata kewangan yang stabil dan nisbah ekuiti berbanding hutang (gearan) yang rendah.

Ini bermakna syarikat tempatan berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding semasa krisis kewangan Asia yang lalu.

Sebagai contoh, pulangan atas ekuiti syarikat korporat tempatan kini adalah 13.4 peratus berbanding 8.2 peratus pada 1998, manakala paras hutang pula adalah 27 peratus berbanding 55.6 peratus pada 2000.

Kedudukan ini adalah berdasarkan kepada kedudukan bank tempatan yang stabil, paras hutang syarikat yang rendah dan rizab yang mencukupi untuk menyerap sebarang tekanan kredit.

Dengan kata lain, Malaysia banyak belajar dan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berbanding 10 tahun lalu.

Ketua Pegawai Pelaburan Prudential Fund Management Bhd., Yoon Mun Thim berkata pada satu taklimat media mengenai peluang pelaburan 2009 “Cash is king…, but for how long?” di Kuala Lumpur, semalam, Malaysia hanya akan berdepan situasi membimbangkan dalam senario ekonomi semasa jika sesuatu yang ‘lebih buruk’ berlaku di seluruh dunia.

Menurutnya: “Pendapatan syarikat-syarikat tersebut masih kukuh bergerak ke tahun depan dengan kebanyakannya mula membeli aset pada harga yang lebih murah.

”Bagaimanapun, kami mengunjurkan pendapatan korporat berkembang sebanyak satu angka pada tahun depan berikutan krisis kewangan global,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Yang pasti langkah dan dasar yang diambil kerajaan bagi berdepan keadaan pasaran tidak menentu adalah penting untuk mengembalikan keyakinan pelabur.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan perlu meningkatkan lagi dana di bawah pakej rangsangan, selain RM7 bilion yang diumumkan baru-baru ini bagi menggalakkan perbelanjaan pengguna, seterusnya mengukuhkan keyakinan pelabur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata 18 November lalu, pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan awal bulan ini akan dipastikan mula dilaksanakan menjelang suku pertama tahun depan.

Selain itu, kerajaan yakin unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan tahun depan mampu dicapai meskipun krisis kewangan global bertambah buruk berbanding ramalan awalnya.
Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.5 peratus pada tahun ini dan 3.5 peratus pada tahun depan.

”Untuk mencapai sasaran tersebut, kita harus memastikan permintaan domestik terus kukuh,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Berikutan itu, Kerajaan dijangka memperkenalkan beberapa langkah tambahan pada tahun depan untuk menjana ekonomi negara.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM7 bilion yang diumumkan kerajaan bulan lalu masih tidak mencukupi.

Mun Thim berkata, pakej sebegini bergantung kepada faktor kepantasan serta pelaksanaannya untuk menjana pesat pertumbuhan.

Tegasnya, biar pun demikian, ekonomi Malaysia adalah lebih kukuh sekarang berbanding ketika krisis kewangan Asia pada 1998 .

Beliau menjelaskan, ekonomi global mula berada di bawah tekanan dengan melonjaknya harga minyak dan inflasi pada separuh pertama 2008.

Apa yang berlaku di pasaran global ketika ini adalah berpunca daripada krisis keyakinan disebabkan pertumbuhan global yang perlahan ketika keadaan sistem kewangan global yang terancam.

“Buat masa ini, kebimbangan mengenai ketidaktentuan pasaran global belum terserlah di negara ini, tetapi jika arah aliran penurunan ini berlaku lebih lama daripada jangkaan, ia bakal memberi petunjuk yang sangat membimbangkan,” katanya.

Utusan Malaysia memetik Mun Thim berkata bahawa bon adalah portfolio yang ideal bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi berbanding tunai apabila berdepan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Menurutnya, tunai bukan sahaja pilihan yang ada tetapi bon mampu menawarkan pulangan yang lebih ‘munasabah’.

Apapun, pelabur perlu memastikan syarikat berkenaan menyediakan kupon dan prinsipal secara berterusan.

”Ini amat penting kerana bon merupakan instrumen yang unik, pelabur bakal mendapat pulangan lebih tetapi mungkin juga akan hilang kesemua prinsipal,” ujarnya.

Katanya, pelabur-pelabur seharusnya mengambil sedikit risiko dan membuat kajian terlebih dahulu sebelum melabur dalam bon atau mana-mana instrumen.

”Bon adalah lebih selamat berbanding ekuiti berikutan keadaan pasaran semasa yang mencabar.

”Namun, nilai ekuiti masih berkembang sekiranya ramalan keuntungan menjadi kenyataan kecuali ramalan kerugian yang mendadak,” jelasnya.

KERAJAAN JAMIN LINDUNGI PENDEPOSIT SEPENUHNYA

Posted in BNM, Ekonomi, Malaysia on October 17, 2008 by Hambali Abd Latiff

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berterima kasih kepada kerajaan kerana menjamin sepenuhnya wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing yang didepositkan di dalam kesemua institusi kewangan tempatan berkuatkuasa serta-merta,
Ia adalah dalam langkah untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

Pada ketika rakyat di banyak negara, termasuk negara maju khususnya di Eropah kini bimbang simpanan mereka akan lesap dan tidak terjamin lagi kerana keruntuhan bank-bank utama, kita di Malaysia dijamin oleh kerajaan yang bertanggungjawab.

Tidakkah ini menggambarkan biar apa juga tekanan dan kritikan terhadap kerajaan namun, kerajaan yang ada pada hari ini tidak lupa tanggungjawabnya membela rakyat.

Hakikatnya biarpun mendapat tekanan inflasi dan kenaikan harga minyak, rakyat Malaysia berada dalam suasana yang boleh disifatkan ‘sempurna’.

Dengan jaminan ini, rakyat Malaysia yang memang terkenal dengan sikap mereka yang gemar menyimpan akan berasa lega.

Jaminan kerajaan ini sebenarnya suatu hadiah yang tidak ternilai harganya kerana menghapuskan kegusaran dan kebimbangan rakyat, takut-takut mereka akan menerima nasib yang sama seperti di beberapa negara maju yang tidak lagi mampu menjamin pendeposit, biarpun daripada kalangan rakyat mereka sendiri!

Kerajaan semalam menjamin sepenuhnya wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing yang didepositkan di dalam kesemua institusi kewangan tempatan berkuatkuasa serta-merta dalam langkah untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

Jaminan itu diberikan kepada kesemua bank komersial, bank pelaburan dan institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga Disember 2010, demikian menurut kenyataan bersama Kementerian Kewangan dan BNM semalam.

Menurut kenyataan itu, jaminan berkenaan juga diperluaskan kepada institusi bank tempatan dan institusi bank asing yang diperbadankan di dalam negara.

Tambah kenyataan tersebut, syarikat insurans dan takaful yang dikawal selia oleh BNM juga boleh mendapat akses kepada kemudahan mudah tunai Bank Pusat.

Pengumuman yang turut dilakukan oleh negara jiran Singapura dan juga konsisten dengan inisiatif serantau, merupakan usaha pencegahan awal serta berjaga-jaga memandangkan institusi kewangan Malaysia dimodali secukupnya dengan mempunyai mudah tunai yang besar dan keyakinan pendeposit kekal tinggi, jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bersandarkan kepada kekukuhan dan juga modal institusi perbankan Malaysia yang kukuh, jaminan berkenaan mungkin tidak perlu dilaksanakan.
”Malaysia mempunyai rangka kerja kawal selia dan pengawasan yang kukuh sambil diperkuatkan lagi oleh disiplin kewangan PIDM.

”Sistemnya yang berbeza telah menyediakan insentif yang kukuh kepada bank-bank untuk menerapkan amalan pengurusan risiko yang baik dan ketat termasuk mengekalkan penampan modal yang kukuh. PIDM juga mempunyai kuasa untuk melindungi pendeposit,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, PIDM hanya melindungi deposit mengikut had perlindungan sehingga RM60,000 bagi seorang pendeposit di setiap institusi kewangan yang menjadi anggotanya.

Ini bermakna PIDM akan hanya melindungi jumlah yang dideposit oleh pelanggan terhad kepada RM60,000 meskipun ia memiliki deposit lebih tinggi daripada nilai berkenaan.
Deposit yang layak mendapat perlindungan termasuk deposit tabungan, semasa, tetap, pelaburan tertentu, cek diperakui dan draf bank.

Kenyataan bersama itu turut menjelaskan, BNM sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan kemunculan risiko dan cabaran yang memberi impak kepada sistem kewangan tempatan.

”Sekiranya wujud keadaan yang membawa kepada ketidakstabilan daripada perkembangan luaran, BNM sebagai langkah tambahan memastikan kecukupan mudah tunai, juga akan menjamin kewajipan yang ada dalam operasi antara bank institusi perbankan dan memudahkan akses yang lebih cekap kepada modal ke paras sasaran lebih tinggi daripada piawaian minimum,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, BNM juga akan terus memastikan rangka kerja kawalan sentiasa peka terhadap keadaan pasaran dan mengekalkan insentif bersesuaian bagi sebarang pengurusan risiko dalam usaha menstabilkan sistem kewangan dan pasaran kewangan.