Archive for the Bukit Gantang Category

BUKIT GANTANG – MEDAN HASUT RAKYAT?

Posted in Bukit Gantang, Nizar, Sultan on March 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pilihan raya kecil adalah untuk memilih atau mengganti pemimpin.

Jika ia medan untuk menghasut dan menabur fitnah, baik tidak ada pilihan raya.

Jika pilih raya kecil boleh membawa kepada perpecahan dan kebencian di kalangan rakyat kerana hasutan pemimpin, adalah wajar diambil tindakan bersesuaian mencegah kejadian itu daripada berlaku.

Amat bahaya jika perbuatan berterusan menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Kalaupun pembangkang sudah mengenal pasti calon mereka, iaitu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini, perbuatan sedemikian akan mengeruhkan lagi keadaan di Perak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan calon berkenaan di padang Taman Kota Jaya, Simpang malam semalam.

Cara mempertahankan kerusi dengan mencemar dan mencemuh orang lain adalah perbuatan melampau, apalagi jika poster dan risalah sudah dipasang di kawasan Parlimen berkenaan sedangkan penamaan calon pun belum.

Kelmarin, Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin meminta pakatan pembangkang berhenti menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil tersebut.

Katanya, pada masa ini, banyak risalah serta kain rentang menghina Sultan dan Mufti Perak dipasang sekitar kawasan Parlimen berkenaan.

Berikuatan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan tindakan pakatan pembangkang yang didakwa sudah ghairah berkempen sedangkan majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang belum lagi diadakan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sebarang bentuk kempen seperti penyebaran risalah serta kain rentang yang mempunyai kata-kata menghina dan menghasut sepatutnya tidak boleh dilakukan sebelum penamaan calon pada 29 Mac ini.

”Gantung bendera pun sebenarnya tidak boleh lagi, kalau sudah penamaan calon barulah boleh berkempen. Pada masa itu kempenlah sepuas-puasnya sehingga tengah malam 6 April ini.

”Bagi saya Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kena ambil tindakan kerana perbuatan menggantung poster dan bendera mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu, jadi kalau sudah ada yang pasang bendera atau poster maknanya ia dipasang secara haram,” katanya.
Apakah MPT tidak peka atau sengaja membiarkan ia dilakukan?

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang turut menyeru kepada pengundi agar menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa seluruh rakyat terus menyokong pakatan pembangkang.

Katanya, niat berkenaan harus diterjemahkan melalui undi kepada PAS sebagai lambang bahawa itulah kehendak sebenar rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Abdul Hadi pula berkata, pengundi di Bukit Gantang bukan sahaja diamanahkan untuk memilih pemimpin tetapi juga untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka tetap bersama pakatan pembangkang.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu pengundi telah memilih calon PAS maka sokongan berkenaan perlu diteruskan supaya pakatan pembangkang dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Apapun, kita akan melihat gelagat sebenar Mohamad Nizar serta PAS pada pilihan raya kecil kali ini dan bagaimana pakatan pembangkang menunjukkan ‘belang mereka’.

NAJIB JANJI CALON ANAK TEMPATAN

Posted in Bukit Gantang, Calon, Najib on February 15, 2009 by Hambali Abd Latiff
Dah putuskan baguslah. Jangan ubah lagi.

Cubaan ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya kecil dan kali ini di Bukit Gantang nanti benar-benar mencerminkan keupayaan beliau.

Apa pun ia akan menggambarkan keadaan dan kehendak setempat.
Gandingan Najib dan Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir perlu menjamin kemenangan pada kerusi ini.
Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada 9 Februari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi kerusi kawsan itu akan diadakan pada 29 Mac, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 7 April 2009.
Kalau kalah juga, jangan salahkan sesiapa kerana semua kriteria dipenuh pada pilihan raya Parlimen Bukit Gantang ini.

Pertama, Najib adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak sudah pasti mempunyai segala peralatan untuk memenangkan UMNO;
Kedua, permintaan dan desakan UMNO Perak dan UMNO Bukit Gantang sudah dipenuhi iaitu akan meletakkan calon tempatan. Jangan ada lagi ‘klu-klek’ di Bahagian UMNO seperti di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu; dan
Ketiga, cabaran ini penting buat Najib selepas ‘kalah 2 kali’ di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Banyak mengatakan ia turut menentukan prestasi Najib selepas mengambil alih Presiden UMNO Mac nanti.
Bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kelmarin turut meminta BN belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum lepas serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Desakan supaya anak tempatan dipilih turut disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Datuk Rosli Husin.

Najib berkata syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

“Mesti anak tempatan…kita ada senarai panjang dan pendek.

Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihan raya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut,” katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008.
Hari ini, Najib berkata BN telah memutuskan bahawa anak tempatan daripada Umno akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Perdana Menteri berkata calon yang akan dipilih adalah daripada kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat.

Katanya dengan keputusan itu, sebarang spekulasi mengenai ada calon luar yang akan dipilih tidak akan berlaku lagi.

Najib mengumumkan demikian selepas mempengerusi mesyuarat tertutup BN Perak di ibu pejabat Umno Perak di sini yang membincangkan mengenai pilihan raya kecil berkenaan dan kedudukan kerajaan negeri baru BN di Perak.

Pada pilihan raya umum lepas BN meletak Bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon manakala pada pilihan raya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Selain kalah di parlimen itu pada pilihan raya umum 2008, BN hanya mempertahan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu iaitu DUN Trong manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering dirampas oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

PAK LAH: DENGARLAH CAKAP ORANG BUKIT GANTANG!

Posted in Bukit Gantang, Khairy, Pak Lah, UMNO on February 15, 2009 by Hambali Abd Latiff

Amir Hamzah (Batu Pahat)
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pemimpin-pemimpin atasan UMNO perlu belajar daripada PRK Permatang Pauh dan juga PRK Kuala Terengganu. Khususnya PRK Kuala Terengganu di mana dikatakan ahli UMNO tidak memberi sokongan 100% kepada calon pilihan Pak Lah dan Khairi.

Setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang menjadi kerusi taruhan BN untuk menguji sokongan rakyat berdasarkan krisis politik yang berlaku di Perak. Kemenangan atau kekalahan BN di Bukit Gantang nanti akan memberi gambaran umum tentang pendirian rakyat Perak sama ada bersetuju atau menolak peralihan kuasa kerajaan negeri baru-baru ini.

Bagi mempastikan sokongan orang-orang Melayu khususnya UMNO terhadap calon yang diketengahkan nanti ianya mestilah berdasarkan pandangan dan kehendak orang-orang Melayu akar umbi khususnya dan UMNO Bahagian Bukit Gantang amnya. Undi Melayu adalah undi penentu berdasarkan statistik pengundi 2008.

Jumlah pengundi di P059 Bukit Gantang menunjukkan pengundi Melayu masih menjadi pengundi utama daripada 55, 471 pengundi keseluruhan. Pecahannya adalah seperti berikut. Bagi DUN Changkat Jering, pengundi Melayu mencatat 63.43% daripada 24,864 orang, DUN Kuala Sepetang, pengundi Melayu berjumlah 59.83% daripada 19,699 orang dan pengundi Melayu bagi DUN Trong pula berjumlah 69.42% daripada 10, 908 orang.

Perkara yang pasti, calon BN mestilah datang daripada UMNO. UMNO telah berkorban dengan menyerahkan calon Gerakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang pada pilihanraya 2004 atas semangat setiakawan dalam BN. Kini tibalah masanya masyarakat bukan Melayu menyokong calon UMNO berikutan kemerosotan pengaruh MCA, Gerakan dan MIC dalam pilihanraya Mac 2008 yang lalu.

Perkara kedua, calon UMNO mestilah dari kalangan anak jati Bukit Gantang dan diterima oleh ketua-ketua cawangan dan UMNO Bahagian Bukit Gantang kerana merekalah yang akan bekerja kuat dan merekalah yang mengundi. Tegasnya, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bukanlah calonnya kerana beliau bukan anak Bukit Gantang. Beliau ini adalah orang Batu Gajah, menjadi ketua bahagian Bukit Bintang.

Tambahan pula,dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Pendapat saya ini disokong oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad.
“BN biasanya cepat belajar. Saya yakin BN, terutama UMNO pasti sudah belajar daripada kesilapan dan kelemahan kempen yang dilakukan ketika Pilihanraya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dulu,” katanya.

Menurut Shahrir, beliau percaya berdasarkan pengalaman dan pengajaran daripada kedua-dua PRK itu, BN boleh mengaturkan strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.

“Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu lebih mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi,” katanya kepada agendadaily.

Perkara ketiga, selain pilihan UMNO akar umbi dan UMNO Bahagian ianya mestilah mendapat sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak yang baru bukannya terdiri daripada orang-orang Pak Lah atau Khairi. Sentimen anti Khairi dalam UMNO amat ketara di Kuala Terengganu. UMNO perlu belajar banyak perkara di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Perkara keempat, budaya mengutuk, menghentam, membelasah PR secara keterlaluan melalui ceramah dan media massa hendaklah diganti dengan budaya menjelas, menerang dan mesra pengundi. TV 3 jangan menjadi lebih sudu dari kuah. Isu yang berlebih-lebih akan menambah rasa meluat dikalangan pengundi atas pagar dan pengundi tidak berparti.

Perkara kelima, Isu-isu peralihan kuasa kerajaan baru ini perlu dijelaskan secara berhemah, mudah difahami oleh masyarakat luar bandar, rasional dan boleh diterima oleh akal rakyat teramai. Penerangan secara jujur dan telus amat diperlukan bagi menangkis gambaran yang telah terpesong.

Berilah rakyat berfikir dan membuat keputusan dengan ikhlas bukannya mengundi BN kerana mendapat habuan, hadiah dan janji-janji manis.

CALON MESTI DARI BUKIT GANTANG

Posted in Bukit Gantang, perak, UMNO on February 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Seseorang yang bernama Abd Bashid Harun menghantar pendapat atau mungkin laporan mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gantng melalui komen terhadap posting semalam, “Abdul Azim Sudah Bersedia”.

Terima kasih kerana Abd Bashid sanggup menulis panjang .

Saya menghargai apa yang disebutkan melalui komen beliau dan berharap mendapat perhatian pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Hakikat yang patut diterima oleh parti ialah, hargai dan pertimbangkan pendapat orang bawahan atau akar umbi.

Ikuti apa yang dikatakan oleh Abd Bashid:

“1. Dalam pertemuan yang dihadiri oleh barisan pemimpin UMNO Bahagian Bukit Gantang dengan wakil-wakil dari seluruh cawangan yang meliputi semua sayap parti pada jam 9.00 malam, 9 Februari lalu, satu kesepakatan telah dibuat bahawa semua ahli inginkan calon BN yang bertanding di kawasan ini ialah calon dari Bukit Gantang sendiri.

2. Ramai ahli yang bangun mengingatkan akan perkara ini seolah-olah memberi amaran kepada pemimpin UMNO agar jangan berlaku pisang berbuah bagi kali yang ketiga. Dan setiap kali itulah juga Ketua UMNO Bahagian, YB Datuk Haji Rosli bangun dan melaungkan janji bahawa calon yang bertanding pada kali ini akan dipastikan mesti datang dari kawasan Bukit Gantang sendiri.

3. Sebagai menunjukkan betapa menggunungnya harapan ahli tentang perkara yang satu ini dan mereka serius tentangnya, maka setiap kali mereka bangun meminta kepastian tentang hal ini setiap kali itulah seluruh ahli memberikan tepukan gemuruh.


4. Begitu juga setiap kali YB Datuk Rosli memberikan aku janji yang perkara ini akan dipastikan, maka setiap kali itulah juga ahli-ahli yang hadir bertepuk tangan.

5. Bagi ahli-ahli UMNO di Parlimen P059 Bukit Gantang, kita berkeyakinan bahawa kita tidak kekeringan calon yang berkelayakan memandangkan di sini ada lebih kurang 102 cawangan, dengan ahli berjumlah tidak kurang daripada 19,265 orang.

6. Jika kita ambil kira jumlah pengundi di P059 Bukit Gantang, pengundi Melayu masih menjadi pengundi utama daripada 55, 471 pengundi keseluruha.n

7. Pecahannya seperti berikut. Bagi DUN Changkat Jering, pengundi Melayu mencatat 63.43% daripada 24,864 orang, DUN Kuala Sepetang, pengundi Melayu berjumlah 59.83% daripada 19,699 orang dan pengundi Melayu bagi DUN Trong pula berjumlah 69.42% daripada 10, 908 orang.

8. Pada Pilihanraya Umum 2004 kita telah menyaksikan bagaimana Parlimen P059 Bukit Gantang terpaksa menerima calon bukan Melayu dari Parti Gerakan, Peristiwa ini tidak mudah dilupakan oleh pengundi Melayu khususnya ahli UMNO di kawasan ini.

9. Sungguhpun Parti Gerakan masih dalam komponen BN hakikatnya itulah tolak ansur UMNO yang paling besar untuk rakan-rakan kita dalam komponen BN.

10. UMNO telah melakukan pengorbanan yang cukup besar atas nama semangat setiakawan dan perkongsian kuasa dalam parti BN dengan menyerahkan kerusi tradisi kita untuk tempoh sepenggal kepada Gerakan.

11. Sejak itulah harapan kita sebagai ahli UMNO kawasan ini begitu besar untuk melihat semula agar kerusi di P059 Bukit Gantang dikembalikan semula kepada UMNO.

12. Tetapi apa yang telah berlaku dalam PRU12 yang lalu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah kita, sebaliknya telah menambah dukacita kita apabila pengorbanan kita selama sepenggal dirasakan tidak dihargai sama sekali.

13. Ini berlaku apabila calon BN yang bertanding sungguhpun ahli UMNO tetapi didatangkan dari luar seolah-olah kita di sini ketiadaan calon yang berkelayakan. Janji untuk mengembalikan kepada UMNO ditepati, tetapi janji untuk memberikan keutamaan kepada anak tempatan tidak berlaku.

14. Keadaan di atas telah dilihat sebagai mencalit arang di muka pemimpin dan ahli UMNO di sini.

15. Suara-suara di luar sana yang menyatakan bahawa P059 Bukit Gantang tiada calon yang berkelayakan sehingga terpaksa dibawa masuk orang luar untuk menjadi calon di sini hanyalah merupakan satu andaian dan persepsi semata-mata. Ini berlaku kerana kegagalan sebahagian kita melihat realiti dan wajah sebenar Bukit Gantang atau tidak mendapat maklum balas yang sebenar.

16. Jika tidak percaya kumpullah kesemua 102 Ketua UMNO Cawangan dan 102 Ketua Wanita Cawangan dan tanya mereka siapa calon yang layak, nescaya mereka akan menyenaraikan calon-calon yang berkenaan.

17. Tetapi adakah tradisi mendapatkan pandangan akar umbi melalui Ketua UMNO Cawangan diambil kira sebelum nama-nama calon dicadangkan ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat pusat.

18. Atau apa yang berlaku seperti yang dahulu juga iaitu UMNO Bahagian berebut-rebut untuk menghantar nama ke negeri dan pusat dan kemudian setelah itu barulah ketua/ahli cawangan dikumpulkan untuk memberitahu yang nama-nama calon telah pun dicadangkan sambil merayu ahli agar akur kepada siapa sahaja calon yang ditentukan oleh pimpinan UMNO tertinggi.

19. Saya tidak mahu memanjangkan perkara 17 dan 18 itu kerana saya percaya UMNO Pusat akan meneliti hal ini dengan penuh bijaksana tanpa sebarang sentiment.

20. Setelah jelas tentang hal itu, perkara seterusnya yang mesti diberi keutamaan ialah pemilihan calon yang mewakili BN. Sebenarnya tidak sukar kerana calon-calonnya sudah sedia ada iaitu sekumpulan mereka yang sudah melepasi satu tahap ujian iaitu AJK UMNO Bahagian Bukit Gantang.

21. Tentulah keutamaan mesti diberi kepada calon-calon yang menang dalam pemilihan di peringkat bahagian tempoh hari sebab calon itu dapat memberi gambaran yang mereka sebenarnya dipilih oleh perwakilan bahagian.

22. Selain itu calon-calon yang yang dilantik oleh Ketua Bahagian juga mesti diketengahkan jika difikirkan mereka lebih layak dan berkemampuan.

23. Selain kedudukan seseorang calon dalam AJK Bahagian, fungsi mereka dalam parti di peringkat cawangan, peranan dan sumbangan mereka dalam masyarakat, NGO, badan-badan sukarela dan institusi tertentu seperti masjid, surau, RT dan lain-lain wajar diambil kira sebagai nilai tambah kepada calon-calon yang dicadangkan.

24. Peranan dan sumbangan calon dalam aktiviti yang disebutkan dalam perkara 23 sebenarnya lebih penting bagi membuktikan betapa peranan mereka lebih menyeluruh dan meluas, tidak hanya tertumpu kepada aktiviti kepartian.

25. Malahan sumbangan mereka dalam aktiviti-aktiviti seumpama itu merupakakan isyarat yang jelas bahawa diri mereka dapat diterima oleh masyarakat dan turut menggambarkan mereka bersedia memainkan peranan mudah lentur atau flexi menurut keperluan dan kepentingan semasa.

26. Lebih jelas lagi mereka yang berperanan aktif dalam masyarakat dan berupaya memainkan peranan menurut kebolehan masing-masing sebenarnya mempunyai pengaruh sendiri dalam masyarakat dan mempunyai pengikut yang tertentu. Ini memang berguna untuk memenangi sesuatu pilihanraya kerana memang pilihanraya didahulu dengan aktiviti memenangi hati.

27. Jika sebagai kakitangan awam, kita selalu menekankan aspek ASK, iaitu Attitude (Sikap), Skill (Kemahiran) dan Knowledge (Pengetahuan), maka dalam bidang politik khususnya dalam penentuan calon-calon yang mewakili BN, ketiga-tiga ciri ini hanyalah menjadi bonus kepada calon jika ada.

28. Dalam bidang politik ketiga-tiga elemen di atas sebenarnya sudah termasuk dalam TIGA elemen yang lebih besar iaitu RSP, iaitu Religion (Agama), Society (Masyarakat) dan Personality (Keperibadian). Lebih besar kaitan calon dengan ketiga-tiga elemen itu maka lebih besarlah peluang calon itu untuk diterima dan seterusnya muncul sebagai pemenang.

29. Kalau tahap pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh calon masih boleh ditolakansurkan, namun ketiga-tiga elemen berikut dikatakan penting dan tidak dapat tidak mesti ada pada setiap calon yang bertanding.

30. Ketiga-tiga elemen itu ialah daya penarik, mesra rakyat dan bersih. Ketiga-tiga elemen ini lebih kerap disebut sejak kekalahan kita dalam PRK di Kuala Terengganu, malahan lebih awal dari itu iaitu sejak kekalahan kita di beberapa buah negeri dalam PRU12 yang lalu.

31. Jadi menjadi tanggungjawab pemimpin UMNO di peringkat Bahagian untuk memastikan agar calon yang terpilih nanti mesti ada ketiga-tiga elemen di atas.

32. Walaupun saya menyebutkan sebelum ini bahawa tahap pendidikan masih boleh ditolakansurkan namun jika calon dari parti lawan meletakkan calon yang jaub lebih berpengatahuan dan mempunyai kelulusan yang lebih tinggi, maka faktor ini tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

33. Kita harus ingat bahawa calon yang ingin kita ketengahkan ini akan mewakili rakyat Bukit Gantang ke peringkat parlimen dan bakal membawa suara rakyat dengan berkesan di dewan yang mulia itu.

34. Tentulah calon itu bukan sahaja wajar berpengetahuan, tetapi juga mempunyai kebolehan berkomunikasi dan tahap mempengaruhi yang tinggi. Jika calon itu tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan sejajar dengan keperluan parlimen yang mulia, kita khuatir calon itu akan tenggelam di tengah-tengah suara ahli parlimen lain yang jauh lebih berkaliber.

35. Malahan dalam dunia sekarang orang selalu melihat faktor pengetahuan ini sangat penting apatah lagi jika kita berhajat membawa calon kita ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang termasuk menjawat jawatan Timbalan Menteri kalau tidak pun sebagai Menteri penuh.

36. Tentulah menjadi suatu kebanggaan bagi anak tempatan jika ada anak tempatan yang berjaya setinggi itu, apatah lagi berupaya bersuara mewakili mereka.

Hakcipta Abd Bashid Harun”

Bagi saya semuanya sudah jelas. Jadi, UMNO dan BN bertindak bijaklah.

ABDUL AZIM SUDAH BERSEDIA

Posted in Azim, BN, Bukit Gantang on February 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Azim sudah menyatakan kesediaaannya.

Namun belum pasti sama ada beliau akan dipilih atau sebaliknya.

Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bersedia menggalas cabaran sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang sekiranya mendapat kepercayaan pucuk pimpinan parti.

Menurut Abdul Azim, beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding sekali lagi bagi merebut kerusi tersebut, namun tidak menolak jika diberi tanggungjawab itu.

Beliau juga bertekad untuk melakukan yang terbaik sesuai dengan pengalaman yang dimiliki.
”Soal siapa yang akan menjadi calon perlu melalui proses rundingan dengan bahagian-bahagian UMNO bagi mengelak ada pihak berasa dipinggirkan atau perbuatan sabotaj,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Selain kedua-dua calon itu, kerusi Parlimen Bukit Gantang turut ditandingi calon bebas, M. Morgan yang mendapat 872 undi.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kembali menjadi rebutan selepas Roslan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah selepas diserang sakit jantung semasa berbasikal pada 9 Februari lalu.

Berikutan kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang itu bermakna pilihan raya kecil akan dijalankan dalam tempoh 60 hari.

Bukit Gantang mempunyai 65 peratus pengundi Melayu dan 27 peratus pengundi Cina manakala selebihnya pengundi India.

Parlimen ini mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Changkat Jering, Trong dan Sepetang.

Sebuah blog, mysrimuara.blogspot.com mengatakan seseorang yang juga wajar ditonjol ialah Ketua Penyelidikan, Penerbitan dan Persidangan Kolej Islam Perak, Kamarulail Haji Sulaiman.
Jawatan yang beliau sandang sekarang ialah jawatan utama di Kisdar.

Beliau dikatakan mempunyai idealisme tinggi dan mendapat sokongan peringkat akar-umbi.
Menurut blok berkenaan: “Beliau yang suka merendah diri dan berhemah membuatkan beliau disukai lawan dan juga kawan. Di dalam pemilihan Umno bahagian baru-baru ini, beliau telah dipilih oleh ahli umno untuk menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian Umno Bukit Gantang.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya bekerja bersungguh-sungguh dan membuat persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang ini.

Sambil mahu tiada pihak yang mengambil mudah cabaran pilihan raya kecil itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, hanya kerja keras dan persediaan rapi saja yang dapat menjamin kemenangan parti.

Abdullah berkata BN juga belum membuat keputusan sama ada mahu mengumumkan calonnya lebih awal pada pilihan raya kecil berkenaan seperti pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini.

“Saya perlu berbincang dulu dengan (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Najib Razak, pemimpin Umno yang lain serta Jawatankuasa Pengurusan sebelum menetapkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu.

“Apa-apa pendekatan yang hendak kita ambil dalam hal ini, tidak semestinya pendekatan (yang sama) dengan tiap-tiap pilihan raya kecil. Tentulah berlainan mengikut keadaan dan apa juga matlamat kita,” katanya.

Abdullah juga menolak anggapan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang itu adalah sebagai ‘pungutan suara’ kepada kerajaan Perak yang baru ditubuhkan BN selepas Pakatan Rakyat kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Abdul Azim berkeyakinan, BN mempunyai harapan cerah untuk merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya kecil kali ini melihat kepada sentimen semasa yang mempengaruhi sokongan pengundi.

Berbeza dengan isu sewaktu tsunami politik pada PRU12 tahun lalu jelas beliau, pengundi Bukit Gantang hari ini semakin sedar dengan tindak-tanduk pembangkang lebih-lebih lagi dalam isu penderhakaan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah seperti yang berlaku ketika ini.

Soal penting kini ialah BN menentukan siapa calon paling layak dan diterima rakyat di Bukit Gantang dan belajarlah daripada dua pilihan raya kecil lalu.

Nama lain disebut-sebut selain Abdul Azim dan Kamarulail ialah Senator Tan Sri Jins Samsuddin, Datuk Mat Isa Ismail serta Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abd Fasal.
Ingatlah, calon turut menjadi penyebab penting menang pilihan raya kecil.

PEMBANGKANG ADA PERANGKAP

Posted in Bukit Gantang, Nizar on February 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Seronok membaca sebuah tulisan dalam lawi-ayam.blogspot.com hari ini bertajuk “JANGAN TERPERANGKAP DENGAN JERANGKAP”

Penulis berkenaan mengingatkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, khususnya Pemuda Umno agar berhati-hati dengan taktik pembangkang.

Baca apa yang ditulis melalui blog berkenaan:

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN JERANGKAP

Belum apa-apa, DAP dan PAS dah ada perbezaan pendapat! Tapi awas, ini mungkin sandiwara pembangkang sahaja. Pergerakan Pemuda UMNO seperti biasa ‘melompat awal’ untuk menunjukkan mereka mampu melakukan semuanya.

Jangan cepat membuat kenyataan itu boleh menang dan ini boleh menang. Sejarah dua pilihan raya kecil sebelum ini menunjukkan Pemuda UMNO tidak boleh menolak jika dikatakan antara punca kekalahan sama ada di Permatang Pauh mahupun Kuala Terengganu.Tolonglah Pemuda UMNO -jadilah dewasa sedikit – jangan terperangkap dengan jerangkap pembangkang.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tidak bersetuju dengan cadangan DAP supaya bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat selagi Mohd Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu. “Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (Menteri Besar) ambil (wakili kawasan) Parlimen…kecuali orang yang tidak berjawatan MB.

“Bagi saya tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama. Ini seperti yang dilakukan bekas Presiden PAS dahulu, (Allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan Menteri Besar Kelantan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bahru hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Mohd Nizar diletakkan sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.

“Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada Pas untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Mohd Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lalu oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini. Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas hari ini akibat sakit jantung. Adalah terlalu awal untuk mendabik dada BN berupaya merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang jika pilihan raya kecil diadakan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata politik Perak mula menampakkan angin perubahan berikutan penolakan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang gagal membela nasib mereka. Ini berdasarkan keadaan politik semasa membabitkan Pakatan Rakyat di negeri itu. Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perubahan corak pemikiran rakyat Perak memberi gambaran awal terhadap keupayaan BN merampas kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno dan BN akan menggerakkan seluruh jentera bagi membantu kempen ke arah memastikan BN berjaya menawan kerusi berkenaan. “Berdasarkan kematangan penduduk Perak berpolitik dengan menolak kerajaan Pakatan Rakyat, saya yakin BN mempunyai peluang cerah mendapatkan semula kerusi Parlimen Bukit Gantang,” kata Hishamuddin. Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Roslan memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan menewaskan calon BN yang juga Bendahari Umno, Datuk Abdul Azim Zabidi dan calon Bebas, Mohganan P Manikam dengan majoriti 1,566 undi.

Allahyarham meraih 20,015 undi berbanding Azim (18,449) manakala Mohganan hilang wang pertaruhan apabila cuma mendapat 872 undi.

BUKIT GANTANG JADI MEDAN MENILAI

Posted in Bukit Gantang, UMNO on February 9, 2009 by Hambali Abd Latiff

Takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak, Roslan Shaharum, 50, dari Pas yang meninggal dunia hari ini.

Setiausaha Agung Pas Datuk Kamaruddin Jaafar mengesahkan kematian itu.

Mungkin terlalu awal untuk mengatakan mengenai pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang.
Namun ada beberapa perkara menarik yang mungkin akan semakin terserlah kelak dalam kempen jika pilihan raya kecil jika diadakan:

Pertama ialah isu kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat dan pengambil alihan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Kedua, ia menguji kepemimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang baru mengambil alih jawatan Menteri Besar Perak.

Ketiga, isu keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang menolak dibubarkan tiga DUN untuk pilihan raya baru.

Keempat, isu Sultan Perak yang mahukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin melucutkan jawatan;

Kelima, serangan terhadap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan diperkuatkan lagi; dan,

Mungkinkah Bendahari UMNO, Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi akan diberikan peluang sekali lagi?