Archive for the Islam Category

PADAMKAN SEGERA API KEMARAHAN…

Posted in Allah, demonstrasi, Islam, kristian on January 10, 2010 by Hambali Abd Latiff

Ada pihak sengaja mempersendakan nasihat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Yang di-Pertuan Agong semalam menitahkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Ini nasihat daripada ‘penjaga’ kesucian agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Tuanku Mizan juga menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Seri Paduka memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, baru-baru ini juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum.

Namun apakah pihak-pihak tertentu menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong itu? Apakah dengan melanggar nasihat itu menunjukkan pihak tertentu daripada jenis ekstrem atau sengaja mahu merosakkan hubungan umat Islam dengan penganut agama Kristian?

Pihak berkuasa jangan melihat nasihat yang di-Pertuan Agong sebagai remeh dan bertindaklah sewajarnya kepada pihak yang membakar gereja tidak jauh dari ibukota.

Ini berikuatan pada pagi semalam, tiga buah gereja dibaling dengan bom buatan sendiri. Tiga buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer serta Gereja Life Tabernacle, kedua-duanya di Petaling Jaya.

Dilaporkan sebuah lagi gereja, Good Sheperd Lutheran di Jalan Othman di sini dilaporkan turut menjadi

sasaran pihak tidak bertanggungjawab apabila dilempar bom petrol. Kejadian itu hanya disedari seorang paderi di gereja terbabit pada pukul 2 petang semalam.

Insiden pertama berlaku pada kira-kira jam 12.30 malam di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja tersebut.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam mengumumkan geran bantuan berjumlah RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernancle bagi menempatkan semula gereja berkenaan.
Isunya bukan sekadar membayar ganti rugi. Namun yang penting ialah bagaimana menghapuskan syak-wasangka di kalangan orang Islam dan Kristian.

Jangan biarkan sampai api kemarahan memuncak dan pertelingkahan kaum bermula. Sukar memadam dan

menghapuskannya.

Janganlah asyik memberi amaran tanpa tindakan sejawarnya. Jika ada orang Islam yang melampau dan boleh menggugat kestabilan, bertindaklah!

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, malah sedia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menghalangnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula berkata kawalan keselamatan di gereja di seluruh negara dipertingkatkan dengan polis mengadakan rondaan yang lebih kerap.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata adalah “Haram memusnahkan rumah ibadat agama lain.” Beliau berkata, kerajaan harus bertindak tegas terhadap pihak yang membangkitkan isu ini sebelum ia menjadi bertambah kritikal.

“Tindakan seperti melucutkan hak kerakyatan patut dikenakan ke atas mereka yang cuba mengganggu-gugat keamanan dengan mencetuskan ketegangan seperti ini.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam melarang perbuatan merosakkan rumah ibadat seperti yang berlaku semalam. Beliau percaya, perbuatan tersebut dilakukan oleh individu yang tidak memahami ajaran Islam dan mengikut nafsu amarah.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak pula berharap tidak ada pihak cuba menangguk di air yang keruh atau membuat provokasi.

Semalam, Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu memandangkan kerajaan sedang mengambillangkah-langkah yang perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

Penangguhan ini berjaya diambil berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri serta Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara.

Advertisements

PERASAAN UMAT ISLAM TERGURIS…BERSATULAH

Posted in Allah, Islam, kristian, umat on January 6, 2010 by Hambali Abd Latiff

Oleh Hamidah Othman (hamidahosman.blogspot.com)

1. Keputusan Mahkamah Tinggi mengejutkan umat Islam, yang rata-ratanya membantah. Ulama, pemimpin UMNO, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, ahli akademik dan sebahagian pemimpin pembangkang termasuk Dewan Ulama Pas turut bersatu menyatakan bantahan.

2. Yang turut menjadi persoalan mengapa larangan penggunaan perkataan Allah yang pernah ditetapkan oleh

Majlis Fatwa Kebangsaan, boleh dicabar di mahkamah.

3. Banyak persoalan berlegar daripada isu tersebut, daripada soal hujah sehinggalah kepada kesannya kepada umat Islam. Agama Islam adalah agama rasmi dalam Perlembagaan negara. Asas bantahan ialah nama Allah berdasarkan kepercayaan (tauhid) orang Islam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Ini kerana Allah yang dimaksudkan oleh agama lain berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

4. Kalimah Allah juga adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain. Maka penggunaan perkataan Allah bagi agama lain dikhuatiri mengelirukan umat Islam, yang padahnya tidak boleh diambil mudah.

5. Semua ini terjadi berpunca daripada kelemahan dan perpecahan umat Islam. Disebabkan perbalahan dan kebodohan berpolitik, Islam makin tergadai. Adalah sesuatu yang memalukan parti-parti Islam tidak boleh bersatu dalam menjamin survival Islam.

6. PKR dan pemimpinnya dilaporkan menyokong perkataan Allah digunakan oleh gereja Katolik, sesuatu yang tidak mengejutkan atas strategi politik. PKR sememangnya dalam beberapa isu kritikal, dilihat mengambil pendirian yang mengutamakan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama dan Perlembagaan. Isyarat lebih jelas daripada semua ini, status-quo Islam di Malaysia boleh berubah bila-bila masa kerana angkara pemimpin Islam sendiri.

Bersatulah Umat Islam Untuk Kali Ini

1. Tahun baru ini (2010) bermula dengan episode yang menyedihkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald The Catholic Weekly boleh dianggap sebagai penghinaan kepada umat Islam di negara ini.

2. Penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain.

3. Masalah itu berpunca daripada sikap umat Islam sendiri, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.

4. Pemimpin politik yang berkuasa dan mempunyai pengaruh masih lagi tidak sedar dan insaf, kebarangkalian pada masa akan datang penganut agama lain untuk terus mengambil kesempatan adalah terlalu besar.

5. Kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam. Menariknya Istilah ‘Allah’ sememangnya tiada dalam ‘kamus kitab’ agama lain dan jika masih ingin digunakan, ia membawa maksud untuk mempermain-mainkan kesucian kalimah ini.

6. Mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah?. Selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.

7. Tindakan tersebut juga hanya akan menambahkan lagi kekeliruan kepada banyak pihak, keputusan mahkamah itu dikhuatiri bakal mendatangkan kesan lebih buruk seperti kemungkinan tercetusnya pergaduhan dan perpecahan pada masa depan disebabkan perselisihan pendapat.

8. Golongan yang menyokong pengunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian mengantikan pertakaan ‘God’ kepada didalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya dengan keputusan mahkamah ini.

9. Mana perginya Dewan Pemuda Pas yang begitu lantang selama ini ?, mana perginya ulama Pas yang hanya berdoa untuk kemusnahan bangsa dan agama sendiri sahaja? Bersatulah demi agama ini untuk kali ini.

10. Apakah ini agenda terancang pihak-pihak gereja untuk mengelirukan umat Islam dengan memanipulasi nama Allah di negara ini?

Kesan dari perubahan ini

11. Perkara ini telah berlaku di Indonesia pada tahun 1999 dimana pengunakan perkataan Allah mula digunakan, maka lahirlah Gereja Jemaah Allah antara yang Kak Midah pernah lihat di Bandung, Indonesia. Risalah-risalah yang sangat mengelirukatn umat Islam di Indonesia.

12. Selepas ini, jangan pula hairan jika kita melihat tulisan GEREJA ALLAH bagi menggantikan House Of God dihadapan rumah-rumah ibadat kristian diseluruh negara. Ini akan menjadi lambang kepada perbuatan melacurkan agama oleh puak-puak yang mengaku pejuang Islam seperti PAS !

13. Cuba kita bayangkan jika suatu hari nanti kita dihidangkan dengan ayat “Jesus anak Allah” dan juga “Mary itu wanita pilihan Allah” didalam bible digereja-gereja seluruh negara. Apakah ini tidak menimbulkan kekhuatiran didalam hati sanubari kita?

14. Bagaimana pula jika generasi muda kita di khabarkan, “Jika kita berdosa kepada ALLAH, jumpalah paderi di gereja untuk pengampunan” ?

15. Apakah ayat sebegini tidak mengelirukan pemikiran umat Islam terutamanya anak-anak muda muslim yang masih didalam proses mengenal Allah SWT?

16. Sekalung tahniah buat parti Pas kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat Islam di negara ini
17. Tidak mustahil akan ada lagi beberapa kejutan besar dan semuanya berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang terlalu sibuk berpolitik. Fikir, renung dan muhasabah diri sendiri jangan sampai maruah agama terus tergadai.

18. Keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi Negara.

19. Pandangan Kak Midah ini bukan bermakna umat Islam tidak menghormati keputusan mahkamah, kita terima dan akur sebagai menghormati keluhuran undang-undang tetapi dengan perasaan penuh dukacita dan sedih yang mendalam.

20. Semoga Allah merahmati kita semua.

DR ROSLI MENCEMARKAN ISLAM, PAS?

Posted in Islam, PAS, Syariah on December 30, 2009 by Hambali Abd Latiff

Malang sungguh nasib Dr Rosli Allani Abdul Kadir. Mentuanya mahu cari hingga ke lubang cacing.
Rasanya kalaupun beliau bukan orang penting dalam PAS, berita mengenai bapa mentua mencari anak

perempuannya yang ‘dilarikan’tetap sensasi.

Apalagi jika orang politik. Akan semakin menariklah lagi sensasinya.

Dr Rosli sudah dapat mengagak apa akan berlaku terhadapnya dan kerana itu beliau cepat-cepatkan lepas jawatan.

Saya kira beliau seorang yang bertanggungjawab kepada parti bukan seperti beberapa rakannya dalam PAS yang terus memenang jawatan walaupun tahu ‘bala’ yang akan melanda partinya kerana kes peribadinya.

Semalam, bapa mertua Dr. Rosli, Mohd. Noor Che Ma, 58 menganggap bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan itu telah melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.

“Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga,” kata Mohd Noor.

Semalam, Mohd. Noor dan beberapa rakannya mengepung rumah didiami Rosli, 35, dan anaknya, Nor Ilyani Mohd Noor 30, yang dikatakan mengingkari arahan Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Perkahwinan mereka disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.

Inilah satu-satunya persoalan yang mahu diperkatakan. Apakah orang yang secerdik dan ahli kepada sebuah parti politik seperti PAS boleh mengengkari perintah mahkamah – mahkamah Syariah pulak tu!

Apakah sikap Dr Rosli ini menggambarkan sikap pemimpin PAS lain?

Selain itu, menurut mahkamah berkenaan, sepatutnya pasangan terbabit sedar bahawa perbuatan tinggal bersama selepas perintah dikeluarkan oleh mahkamah adalah salah daripada segi agama?

Jika ýa’, apakah Dr Rosli sebagai bekas pemimpin PAS sanggup melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama?

Apakah pendirian PAS megenai ahlinya yang bersikap begini? Tidakkah ia mencemarkan PAS?

Dalam kes seperti ini sudah tentu soal bertindak terhadap mereka yang mengingkari sesuatu perintah mahkamah, sepatutnya tidak berbangkit jika umat Islam mematuhi hukum agama.

Tindakan Dr Rosli yang masih tinggal bersama itu apakah salah dari segi agama seperti yang diputusakan mahkamah?

Tiada jawapan khusus diberikan tetapi jika diteliti daripada kata-kata hakim yang membicarakan kes ini, ada mengatakan jika terus ‘tinggal bersama’adalah salah di sisi agama.

Juga Nampak seakan Dr Rosli ‘mencabar keputusan’mahkamah apabila beliau engkar mematuhi arahan Mahkamah Syariah berkenaan.

Pada 21 Disember lepas, Mahkamah Syariah Kota Bharu mengarahkan mereka tinggal berasingan sementara (mufarakah) kerana meragui perkahwinan mereka yang dikatakan dilakukan oleh satu sindiket di sebuah masjid di Selangor.

Rosli dan pasangannya Noor Illani dikatakan masih tinggal bersama di sebuah rumah di Jalan Long Yunos di Kota Bharu walaupun mendapat perintah mahkamah supaya bermufarakah.

Bagaimanapun, pada 9 pagi semalam, Rosli dan Nor Ilyani berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedia menunggu di pintu masuk rumah sewanya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot, dekat sini, walaupun ketika mereka masih dikepung oleh keluarga Mohd. Noor.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kuty, sudah mengigatkan pasangan umat Islam yang mengingkari perintah Mahkamah Syariah supaya bermufarakah (tinggal berasingan) susulan kesahihan perkahwinan mereka diragui boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau mengulas mengenai insiden malam tadi apabila rumah bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli, “dikepung” oleh keluarga isteri keduanya yang mengesyaki pasangan tersebut masih tinggal bersama walaupun diperintah Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan kerana kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan tidak dapat ditahan oleh pihak penguatkuasa penyelia agama Islam kerana gagal mendapat waran tangkap atau geledah daripada pihak berwajib.

Abu Bakar berkata soal untuk mendapatkan waran tangkap atau geledah rumah yang didiami pasangan terbabit adalah perkara kedua kerana pihak berkenaan boleh mendapatkannya daripada mana-mana pihak berwajib, seperti Hakim Mahkamah Syariah.

“Waran itu boleh didapati daripada pihak berkenaan bila-bila masa walaupun di luar waktu pejabat,” katanya.

TAHNIAH DR ASRI KERANA INGIN SERTAI POLITIK

Posted in Dr.Asri, Islam, PAS, politik on November 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Baguslah kalau bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin mahu menyertai politik. Beliau boleh berkhidmat dan berdakwah secara terang, bukan senyap-senyap.

Lagipun, banyak pihak sudah melihat Dr Asri condong kepada parti tertentu.

Dengan menyertai politik beliau tidak akan lagi rasa terkongkong. Ini kerana beliau pernah meluahkan perasaannya dengan mengatakan: “Saya malu apabila ‘orang agama’ bertindak secara terbuka ‘seakan’ menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk ‘memerangi’ golongan agama. Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi SAW: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. (Riwayat al-Bukhari).”

Kita boleh faham siapa yang dimaksudkan dengan ‘orang agama’ yang dimaksudkan. Esok atau lusa apabila menyertai politik pula – Dr Asri jika tidak berpuas hati akan merujuk orang yang beliau tidak puas hati sebagai ‘orang politik” pula.

Beliau dengan berlapis menolak pelawaan Perdana Menteri untuk bertugas dengan kerajaan. Ini sedikit sebanyak membayangkan kepada kita bahawa penolakan itu mempunyai sebab dan asas kukuh.

Dengan kata lain bukan kerana kontroversinya baru-baru ini tetapi lebih kepada ketidak-sediaan beliau menyertai kerajaan, sebaliknya mirip kepada pembangkang.

Saya sedikit hairan bagaimana Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan boleh mengalu-alukan Dr Asri untuk menyertai UMNO sekiranya berminat menyertai politik.

“Kita harap beliau sertai UMNO kerana beliau turut memberi sokongan terhadap perjuangan UMNO dan memahami mengapa dasar-dasar UMNO dilaksanakan sedemikian rupa,” katanya.

Tidak tahulah bagaimana Ahmad Maslan boleh mengatakan Dr Asri member sokongan kepada perjuangan UMNO sedangkan Dr Asri sendiri dilaporkan pernah meluahkan minat untuk menyertai PAS.

Dr Asri beranggapan perjuangan PAS selari dengan pendiriannya dalam menyebarkan ajaran Islam sedangkan menolak cara UMNO.

Beliau mungkin merasakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memenuhi kriteria untuk beliau sertai berdasarkan keinginannya menyebarkan ajaran Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib sudah menyatakan keyakinannya bahawa PAS akan menjadi pilihan Asri untuk berpolitik sekiranya usaha menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan halangan.

“Dia nak masuk (PAS) dah. Semasa pertemuan dengannya sebelum ini, saya pernah mengajaknya menyertai PAS agar dia tidak berjuang sendiri, sebaliknya memperjuangkan Islam bersama parti. Nampakny a beliau berminat. Saya ingat dia hanya bercakap dengan saya, tetapi sekarang dia dah terbuka mengatakan kesediaannya menyertai politik,” kata Harun semalam.

Hakikatnya, jika menurut Harun, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berminat dengan perjuangan Pas sejak sebelum menjadi Mufti Perlis lagi.

Dengan kata lain, semangat dan jiwa Dr Asri sejak menjadi Mufti Perlis pun sudah tidak bebas, apa lagi UMNO dan Barisan Nasional.

Jika demikian, pendapat Dr Asri sudah lama berasaskan simpati dan kepentingan politik. Cuma Dr Asri berupaya untuk berselindung dan tidak mahu dia nampak sangat ‘menentang kerajaan’.

Apapun, kita ucapkan tahniah kerana Dr Asri sudah berterus terang dan menunjukkan arah politiknya dan tidak mahu lagi berselindung.

Setidak-tidaknya beliau akan menyertai bekas penceramah dan tokoh motivator seperti Datuk Dr Hassan Ali, Datuk Haron Din atau juga Datuk Ismail Kamus.

Rasanya elok juga Dr Asri membuat keputusan cepat kerana beliau popular ketika ini selepas ditahan dan kemudian dituduh pula berfahaman Wahabi. Jika membuat keputusan dan mengumumkan segera, beliau akan dapat diterima baik oleh parti berkenaan.

Dr Asri akan mudah diterima kerana beliau tahu di mana letak dirinya. Beliau seorang yang berpengetahuan luas dan berpengalaman dalam Islam. Beliau tidak wajar disekat atau ditegur. Yang perlu diperiksa ialah yang tiada pengajian formal.

Ini kerana menurut Dr Asri: “Seorang muslim juga boleh menyampaikan ucapan kepada masyarakat melalui unsur-unsur agama dengan kadar yang difahaminya. Tidak perlulah setiap orang yang hendak memperkatakan tentang Islam dikehendaki mendapatkan tauliah. Berapa kerat manusia yang ada tauliah kalau begitu. Maka hanya berapa kerat manusia sahajalah yang boleh menyampaikan nasihat agama dalam ucapan-ucapan mereka dalam negara ini.

Jika pun tauliah hendak diwajibkan, wajibkan kepada mereka yang langsung tiada sijil pengajian Islam rasmi tetapi ingin mengajar bab-bab khusus dalam disiplin ilmu seperti mengajar khusus akidah, hadis, tafsir, fikah dan seumpamanya. Bidang-bidang ini memerlukan kepakaran, seseorang yang ingin mengajarnya padahal dia tidak pernah menjalani pengajian formal mengenainya, perlulah diuji. Di sini mungkin sistem tauliah boleh berfungsi.”

Amat jelas bahawa Dr Asri tidak memerlukan tauliah kerana sudah mendapat pengajian rasmi dan pakar.

Kita berharap sebagai pakar Dr Asri akan bercakap mengenai ‘kebenaran’ bukan dikaitkan kepada kepentingan kuasa dan politik selepas ini.

Juga, apabila menyertai politik Dr Asri perlu bersedia untuk bersaing dengan mereka yang tidak memerlukan tauliah seperti beliau dalam PAS yang juga mahu menyebarkan Islam.

Persaingan dan pertelingkahan pendapat bukan sahaja berlaku di luar parti politik tetapi dalam PAS pun ada kelompok dan piuak-puak bekepentingan sendiri, biarpun dalam Dewan Ulamak.

Dr Asri perlu menonjolkan dirinya untuk terus dihormati tetapi jika mencampur-adukkan falsafah dan pendiriannya dengan kepentingan kedudukan, politik dan kuasa, maka penghijrahan Dr Asri tidak banyak bezanya dengan penghijrahan pakar-pakar sebelum ini.

Ini kerana mereka kini sudah menjadi political animal dan apakah Dr Asri boleh bertahan untuk tidak menjadi seperti mereka?

HADI DIJATUHKAN SECARA TERANCANG?

Posted in hadi, Islam, Melayu, PAS, seminar on November 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Mengejut dan menakjubkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang – presiden boneka, hilang stim dan tidak sesuai dengan politik baru – diperlekeh dan mempersendakannya pada ketika PAS mengadakan seminarnya hari ini.

Ia dilakukan dengan begitu terdedah oleh seorang pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melalui sebuah portal berita yang jelas selama ini pro-Pakatan Rakyat.

Pensyarah berkenaan mengkritik dan membelasah Hadi habisan-habisan sedangkan tiada pemimpin PAS (kecuali Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan ahli PAS lain tidak berani berbuat demikian mungkin rasa berdosa untuk menegur kerana tema wala’nya (kesetiaannya) cukup kuat.

Namun kerana pensyarah ini diberikan ruang seluas-luasnya untuk ‘memusnahkan personaliti Hadi’ sama ada melalui laluan yang dibuka seluas-luasnya oleh Musyridul Am PAS, apakah seminar PAS di Taman Melewar hari ini – Hadi akan terus menjadi sasaran paling mencabar dalam kepimpinannya?

Dalam PAS penentangan terhadap pemimpin atau ketua ‘tidak dibolehkan’ dan keadaan itu bagaimanapun sedang dipersoalkan – berapa lama lagi akan dipatuhi?

Dan dengan kritikan terbuka terhadap Hadi melalui Malaysiakini itu, apakah ia akan menjadi ikutan dan halal selepas ini?

Saya ingin melihat reaksi pemimpin dan PAS terhadap kenyataan pensyarah berkenaan – Prof Dr Abdul Aziz Bari – dan jika benar ‘Tuan Guru’ masih ada sokongan, Hadi tentu akan dipertahankan.

Bagaimanapun, jika tiada atau kurang sokongan dan terus dibelasah atau mereka sama-sama membelasahnya, petanda bahawa Hadi tidak lagi diperlukan memimpin PAS, jelas semakin terjawab.

Persoalannya, apakah Dr Aziz Bari dan peserta seminar akan bercakap secara terbuka seperti yang diucapkan dengan Malaysiakini? Apakah Dr Aziz Bari akan melondehkan Hadi sepuas-puasnya di seminar berkenaan?

Walaupun sedar seminar memperkasakan parti PAS ini bakal panas, PAS memutuskan untuk membuka seluas-luasnya seminar ini kepada semua pihak. Menurut Harakahdaily, ia akan dijalankan dengan telus dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi pemerhatinya di samping liputan dari pelbagai jenis media.

Program sehari suntuk ini akan dimulakan dengan Ucapan Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk “Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan raya ke 13.” Selepas ucapan itu, sessi percambahan minda akan diadakan di mana ahli penal khas telah dijemput iaitu Dr Abdul Aziz Bari sendiri selain Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya. Penutupnya oleh Nik Aziz.

Persoalannya, selain Hadi apakah dua lagi ‘kawan setia Hadi’ iaitu Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dan Timbalan Hadi, Nasharuddin Mat Isa akan turut dibelasah?

Sejauh ini, apa yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari seiring dengan apa yang diperkatakan oleh Musyridul Am PAS, mengenai Hadi dan konconya. Perbezaannya analisis dan fakta Dr Aziz Bari lebih menjurus dan jelas.

Mengejut dan menakjubkan ialah Dr Aziz Bari memperkatakan mengenai Hadi dengan begitu nyata dan lantang seolah-olah dia mempunyai lessen besar. Pertanyaannya ialah apakah ini langkah permulaan menjatuhkan Hadi atau sengaja memberikan impak besar kepada PAS sendiri?

Persoalannya, apakah dengan ‘menjatuhkan Hadi’ misi Dr Aziz Bari akan berakhir?

Juga langkah pertama itu bolehkah sampai untuk ‘memusnahkan PAS’ seperti kata Nik Aziz sebelum ini, dia rela apa saja terjadi dengan PAS asalkan ‘tiga serangkai’ itu dibuang jauh-jauh dari PAS?

Apapun, melalui laluan yang dibuka Nik Aziz dan petunjuk yang jelas itu – Dr Aziz Bari menggunakan pentas Malaysiakini sebagai permulaan dan mungkin seminar PAS bagi ‘menikam Hadi sepuas-puasnya’.

Amat nyata pandangan pensyarah UIA itu boleh dilihat sebagai kempen terancang menggulingkan Presiden PAS itu melalui tekanan dan character assassination terhadap Hadi secara sehabis-habisnya.

Apakah kelemahan Hadi menurut Dr Aziz Bari?

1. Kepimpinan Presiden PAS sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan “Pak Lah versi PAS”;

2. Hadi adalah beban kepada parti;

3. Hadi hilang stim;

4. Presiden boneka – kegagalan Hadi bertindak sebagai “tokoh nombor satu” diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain; dan,

5. Abdul Hadi bukan seorang pemimpin dalam senario politik baru.

Dr Aziz Bari dengan jelas mengatakan kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.”Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri,” kata Dr Aziz Bari.

Hadi diumpamakan sama dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk Barisan Nasional sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Hadi juga dilihat tidak memberikan apa-apa kesan atau kebaikan kepada parti jika dilihat kepada kenyataannya mengenai kerajaan perpaduan. Malah, beliau dilihat sebagai liability kepada PAS kerana kenyataannya bukan macam orang politik. Hadi dilihat lebih mementingkan UMNO daripada Pakatan Rakyat, sehinggalah ditegur dan ‘diperbetulkan’ oleh Muktamar PAS.

Hakikatnya, menurut Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an Hadi begitu berpengaruh dan dianggap pemimpin yang mempunyai hala tuju jelas dalam PAS tetapi pandangan dan pidato presiden PAS itu “sudah hilang stim”. Ada pihak menganggap banyak juga tindak-tanduknya tidak datang daripada Hadi sendiri tetapi “disuap dalam mulutnya’. Contoh yang paling jelas, ialah mengenai idea kerajaan perpaduan.

Kata Dr Aziz Bari: “Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel ‘Amanat Hadi’). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?”

Tokoh PAS itu kini benar-benar “hilang stim” walaupun hakikatnya sebelum era reformasi (1998) pun Hadi sudah tidak ada peranan yang penting apabila menjawat jawatan naib presiden saja dan kemudian timbalan presiden.

Dan apabila wujudnya suasana politik baru selepas ‘kejatuhan sokongan kepada BN’ melalui pilihan raya umum 2008, Hadi semakin kurang pengaruh dan menjadi pengikut sahaja kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan sekadar pengikut tetapi Hadi tidak memainkan peranan sewajarnya pada era “politik baru” Pakatan Rakyat.

Kegagalan bertindak untuk menonjolkan diri seiring dengan Anwar dan Lim Kit Siang dan sebagai “tokoh nombor satu” PAS diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan Mustafa Ali. Kata Dr Aziz Bari: “”Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

Hadi juga tidak dapat menyesuaikan dirinya dalam suasana politik baru apabila hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti “PAS untuk semua” dan “negara berkebajikan”.
Hadi dikatakan masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu.

Persoalannya, salahkah isu Melayu-Islam terus diperjuangkan?

Atau kritikan dan mencari kelemahan terhadap Hadi ini sengaja ditimbulkan bagi membuka ruang kepada pemimpin tertentu melonjak naik selepas gagal melakukannya melalui muktamar.

Atau juga apakah ini persediaan untuk kempen terancang menjatuhkan Hadi pada muktamar akan datang supaya PAS dilihat melakukan penggulingan terhadap Presidennya melalui saluran yang demokratik dan dibenarkan!

ZULKIFLI NOORDIN BIDAS ‘PAK JANGGUT’

Posted in agama, Hindu, Islam, isu on September 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sumber: Utusan Malaysia
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin membidas individu yang digelarnya ‘Pak Janggut’ yang sanggup memutar belit ayat-ayat al- Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan itu.
(Sang Lembu merenung masa depannya yang terjamin keselamatannya dalam negeri Selangor Darul … dengan kawalan rapi anggota keselamatan lengkap bersenjata)

Menurutnya, ‘Pak Janggut’ turut menyalahkan umat Islam di Seksyen 23 kerana tidak bersikap adil dalam membantah pembinaan kuil di kawasan kediaman mereka.

“Yang paling jelik, ‘Pak Janggut’ ini sanggup memutar belit ayat al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil,’’ katanya.

Zulkifli berkata demikian di dalam blognya, http://zul4kulim. blogspot.com/ bagi mengulas isu pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam yang dirancang kerajaan negeri Selangor di bawah pakatan pembangkang tetapi dibantah penduduk Islam di situ.

Ia menyebabkan 12 penduduk Islam di kawasan itu dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam perhimpunan haram mengarak kepala lembu di hadapan bangunan kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bagi membantah pembinaan kuil itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti individu yang digelar ‘Pak Janggut’ itu.

Zulkifli berkata, memang umat Islam disuruh berlaku adil termasuk kepada bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam tetapi ia hanya terhad kepada soal menjaga kebajikan mereka termasuk memelihara tempat ibadah.

Katanya, umat Islam di situ bagaimanapun dilihat seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara dan hidup dalam keadaan aman harmoni berdasarkan status quo mereka.

“Umat Islam di situ dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dan perintah itu dikatakan dibenarkan di dalam al-Quran.

“Malahan mereka dikatakan berdosa kerana tidak mengikut al-Quran untuk membenarkan pembinaan kuil itu,” jelasnya.

Katanya, pembinaan kuil itu telah banyak diputar belit dan digembar-gemburkan sehingga menyebabkan isu sebenar pencerobohan tanah di kawasan itu untuk menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

“Isu demonstrasi kepala lembu pula diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun Zulkifli berkata, tindakan yang dilakukan penduduk Seksyen 23 itu mengadakan perhimpunan haram dengan membawa kepala lembu dan memijaknya tidak sepatutnya berlaku kerana menimbulkan persepsi yang negatif.

Katanya, ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati dalam isu tersebut contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor itu.
ALBAQARAH: ALAHAI SANG LEMBU
Oleh Zulkifli Noordin (9 September 2009)

Salam 2 all.

Surah yang pertama selepas Ummul Kitab Al Fatihah dikenali sebagai Surah Al Baqarah-iaitu Surah Lembu. Diceritakan bagaimana sepeninggalan Nabi Musa as menerima wahyu di Bukit Tursina, pengikutnya Bani Israel telah menjadikan anak lembu sebagai bahan sembahan setelah diperdaya oleh Samiri. ALLAH melaknat Bani Israel dan memerintahkan mereka supaya menyembelih seekor lembu, sebagai bukti keikhlasan mereka bertaubat nasuha dan meninggalkan sembahan tersebut. Bani Israel akhirnya menyembelih seekor lembu sebagaimana yang diperintahkan ALLAH.

Surah Al Baqarah adalah surah yang membahagikn kategori manusia kepada 3 golongan. Pertama golongan beriman, yang menjadikan Al Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan, yang meyakini perkara yang ghaib, mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat.

Golongan kedua adalah golongan kafir-mereka yang secara terang menolak ketuhanan ALLAH dan mempertuhankan berhala, yang menjadikan manusia sebagai anak tuhan, yang menjadikan batu, kayu, lembu dan pelbagai haiwan dan lain-lain sebagai bahan sembahan.

Golongan ketiga dikenali sebagai golongan munafik, golongan yang nampak lahirnya macam Muslim. Mereka berjanggut serban, mereka melabel diri mereka Islam, tetapi merekalah golongan gunting dalam lipatan, golongan yang sebenarnya menghancurkan Islam. Mereka musuh dalam selimut, dan mereka ini lebih merbahaya daripada kafir kerana mereka berselindung dibalik serban dan janggut, mereka berhujjah menggunakan Al Quran. Mereka ini dila’nat ALLAH, dan tempat mereka didalam neraka wail, neraka yang paling bawah!

Hari ini, 12 orang Muslim diheret ke Mahkamah Shah Alam, atas tuduhan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan atas tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana “menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan sengaja melukakan perasaan penganut Hindu”. Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis. Mereka ialah Jainudin Md Yusuff, Mohd Jurit Ramli, Mohammad Nordin Zakaria, Jamil Mohamad Isa, Rahimuddin Md Harun and Azhari Shaari. Kes mereka semua akan disebut semula 21.10.2009 depan. Ternyata mereka datang daripada kesemua parti politik orang Melayu Islam – 4 ahli PAS, 1 orang ahli PKR dan dan 7 ahli UMNo. Ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah.

Episod kepala lembu ini menunjukkan betapa bangsa Melayu hari ini begitu mudah diperlembukan. Baik yang berkopiah, mahupun yang bersongkok. Samada yang berserban, mahupun yang bersampin. Demi kerana sebiji kepala lembu, bangsa Melayu memekik takbir mempertahankan hak lembu sehingga ketitisan darah lembu yang terakhir, mempertahankannya daripada ancaman keris-keris durjana.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan melampau para demonstran yang membawa kepala lembu dan memijaknya kerana membantah tindakan kerajaan Selangor mengarahkan pembinaan kuil besar di Seksyen 23 Shah Alam. Itu tindakan yang tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al Quran. Walaupun ada yang menyatakan tujuan membawa kepala lembu itu adalah untuk menunjukkan betapa bodoh MB dan beberapa pemimpin Melayu beragama Islam dalam negeri Selangor, yang bertindak saperti lembu yang diperbodohkan, namun persepsi yang timbul jelas membawa kepada kemelut penghinaan kepada penganut agama Hindu yang mempertuhankan dan mempersucikan haiwan lambu ini.

Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan segelintir daripada mereka yang menghadiri dialog dengan Menteri Besar, yang menjerit-jerit saperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun tanpa adab dan batasan. Tindakan tegas dan keras mesti diambil terhadap mereka, termasuk yang mengeluarkan kenyataan menghina azan dan Islam.

Ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati kita. Mengapa tidak diambil jalan lain, contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor tersebut. Ada ramai peguam yang saya kira bersedia memberi khidmat untuk tujuan tersebut.

Namun apa yang lebih penting, episod lembu ini telah diputarbelitkan dan digembar-gemburkan oleh banyak pihak termasuk dikalangan Pak Janggut dan Pak Keris sehingga isu sebenar pencerobohan tanah di Seksyen 23 untuk tujuan menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

Dimana suara-suara Pak Janggut dan Pak Keris ini apabila Jeff Ooi melabel mereka yang bercita-cita untuk melaksanakan Islam sepenuhnya sebagai ekstremis. Sehingga hari ini Jeff Ooi terus dengan sifat bongkak dan angkuhnya enggan menuntut maaf atas kebiadapannya.

Sehingga ke hari ini Jeff Ooi masih bebas, tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadap keceluparan beliau. Mengapa Peguam Negara tidak bertindak tegas terhadap Jeff Ooi. Mengapa Jeff Ooi tidak dikenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan, mahupun Seksyen 298A Kanun Kesiksaan?

Mana dia suara para pejuang serban melilit dan Pak Janggut & Pak Keris, apabila dalam kes hukuman rotan terhadap Kartika Sri Dewi Syukarno, Majlis Peguam dengan angkuh memperlekeh hukum sebat bagi peminum arak beragama Islam. Kenyataan biadap Majlis Peguam, menghina hukum syara’ dengan menyatakan hukuman sebat ini sebagai tidak berpeikemanusiaan dan zalim. Undang-undang Islam disamakan dengan hukuman barbarik.
Tetapi Pak Serban dan Pak Janggut diam seribu bahasa.

Yang dihingar-bingarkan sikap kasar umat Islam semada dialog dengan MB Selangor pada Sabtu 15 Ramadhan 1430/ 05 Sept 2009. Yang diperbesarkan kata-kata kesat dan biadap orang Melayu dalam dialog itu. Tetapi kenyataan wakil Hindu semasa dialog tersebut menghina azan dengan biadap menyatakan azan lima kali sehari adalah satu gangguan langsung tidak dipedulikan, malah tiada tindakan pun dikenakan. Mana pergi suara Pak Janggut dalam hal ini saya pun tak tahu! Apa tindakan Peguam Negara langsung tidak kedengaran!

Yang paling jelik, ada dikalangan Pak Janggut sanggup memutarbelit ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Malah umat Islam Seksyen 23 dipersalahkan kerana tidak bersikap “adil” dalam membantah pembinaan kuil dikawasan kediaman mereka. Umat Islam dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dikawasan kediaman mereka, dan perintah itu dikatakan dibenarkan oleh Al Quran. Malahan umat Islam dikatakan berdosa kerana tidak mengikut Al Quran untuk membenarkan pembinaan kuil. Si Pak Janggut lupa awal-awal surah Al Quran ALLAH menceritakan tentang penyembelihan terhadap lembu yang menjadi sembahan manusia kufur.

Memang kita umat Islam disuruh berlaku ‘adil, termasuk terhadap kafir dhimmi yang duduk tunduk dibawah pemerintahan Islam. Tetapi kita disuruh hanya berlaku ‘adil dalam hal menjaga kebajikan mereka. Dalam soal ketuhanan, tidak timbul soal ke’adilan. Ini soal aqidah, bukan lagi soal wadah. Kita memelihara tempat ‘ibadah mereka, bukan mengujudkan yang baru dicelah kediaman kita. Sultan Salahuddin Al Ayubi memelihara kesucian synagogue dan gereja yang sedia ada semasa membuka Kota Baitul Maqdis, bukan dengan membina kuil, tokong, gereja atau synagogue yang baru bersebelahan Masjidil Aqsa!

Apa yang menghairankan, ,mengapa pulak umat Islam yang disuruh bertolak ansur. Mengapa langsung tiada suara dari Pak Janggut menasihatkan kaum Hindu supaya bertolak ansur. Seksyen 23 ada 337 keluarga, tidak sampai 40 beragama Hindu. Mengapa mereka tidak boleh bertolak ansur. Bukan kita menghalang mereka ber’ibadat. Masih banyak lagi kuil dan tempat ‘ibadat yang mereka punyai.

Mengikut statistik, dalam negeri Selangor ada 4.3 juta penduduk. Daripada jumlah itu, majoritinya umat Islam sebanyak 2.5 juta dengan masjid hanya sebanyak 259 buah. Sebalik nya masyarakat Budha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong. Kaum Hindu pulak, yang berjumlah 647,000 mempunyai 810 kuil berdaftar (ini tidak termasuk kuil yang haram dan tidak berdaftar!). Dan bagi 50,000 penganut Kristian di Selangor, cuba kira berapa jumlah gereja mereka! Malahan tuhan patung hindu yang terbesar didunia juga dok tersergam berdiri dalam negeri Selangor (ehsan daripada Kerajaan UMNo/ Be End dulu)! Itu pun umat Islam dikatakan masih tidak ‘adil, masih tidak bertolak ansur!?

Semasa saudara kita umat Islam membeli rumah di Seksyen 23, langsung tiada dalam pelan akan dibina kuil Hindu yang besar disitu. Saya cukup yakin kalau umat Islam tahu akan dibina sebuah kuil Hindu dalam kawasan perumahan mereka, sudah pasti ianya akan mempengaruhi keuputusan mereka untuk melabur ratusan ribu membeli rumah disitu.

Tidak ada umat Islam, jika diberi pilihan, mahu tinggal dikawasan yang ada kuil Hindu, tokong, gereja atau lain-lain, apatah lagi yang mega dan yang besar. Saya cukup yakin umat Islam Seksyen 23 memilih melabur ratusan ribu membeli rumah disitu kerana tiadanya kuil, tokong atau gereja besar disitu. Kalaulah mereka tahu akan dibina kuil hindu besar disitu, sudah tentu mereka tidak akan melabur ratusan ribu membeli rumah di Seksyen 23!

Tetap hari ini kelihatan seolah-olah umat Islam di Seksyen 23 tiada hak langsung untuk bersuara, untuk hidup dalam keadaan aman harmoni, berdasarkan status quo mereka.

Seolah-olah umat Islam yang bersalah kerana tidak berlaku ‘adil, tidak mahu bertolak ansur untuk sebuah kuil besar dibina dikawasan kediaman mereka walaupun dalam pelan asal tidak ada pun ujud cadangan tapak pembinaan kuil. Malahan bantahan umat Islam diperlekehkan, dituduh tidak beradab, dihina sebagai golongan pelampau. Yang diperagungkan ialah kepala lembu!

Apabila melihat gambar lembu diatas, saya dapat bayangkan betapa lembu tersebut berasa aman damai kerana walaupun seekor, tetapi keselamatannya dijamin oleh anggota keselamatan yang lengkap bersenjata. Renungan tajam dan syahdu sang lembu jelas menujukkan keyakinan akan masa depannya di dalam negeri Selangor Darul Ehsan ini. Betapa dalam negeri Selangor ini, bukan sahaja keselamatannya terjamin, dia boleh pergi kedai runcit untuk order arak satu tong, dan pasti akan ada ahli mesyuarat kerajaan negeri yang akan mempertahankannya. Malahan akan ada Pak Janggut yang akan membaca ayat Quran untuk menjamin keselamatannya!

Tapi bila melihat gambar dibawah, sedih kita melihat umat Islam digiring (entah ke digari) saperti lembu masuk ke kandang OKT! Itulah nasib umat Islam dalam negerinya sendiri. Lembu yang mereka maksudkan sebagai lambang kebodohan dan kelembuan seorang pemimpin, kini diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain. Dan akhirnya, mereka disumbat kekandang dan diperlembukan!

Mungkin satu hari nanti tak lama lagi akan ada Pak Janggut memetik Quran dan hadis supaya umat Islam berlaku ‘adil dan menasihatkan umat Islam supaya jangan baca lagi Surah Al Baqarah, demi menjaga hati pengikut tuhan lembu ini. Mungkin Peguam Negara akan mengenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan atau Seksyen 298A Kanun Kesiksaan kepada mereka yang membaca Surah Lembu ini!! Atau apakah nanti umat Islam tidak dibenarkan lagi menyembelih lembu sebagai qurban di ‘Eidul Adha, kerana khuatir menyentuh perasaan kaum Hindu?!

Apalah nasib umat Islam, diperlembukan oleh kaum sendiri! Pak Janggut memaki Pak Keris, Pak Keris menempelak Pak Janggut, tapi yang akhirnya menjadi mangsa ialah umat Islam yang kerdil di Seksyen 23, yang hanya mampu melihat Pak Janggut dan Pak Keris bertelagah dan bertikam sesama sendiri. Gajah sama gajah bertandukan, lembu jugak yang menang!
Wassalam.

UMAT ISLAM BELANJA RM1.7B SEPANJANG RAMADAN, AIDILFITRI

Posted in Ekonomi, Islam, Ramadhan on August 31, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ramadan bulan bisnes di Malaysia. Ia menyumbang menggerakkan ekonomi dalam negara.
Sumbangan umat Islam kepada negara yang berbelanja sebanyak RM1,700 juta (RM1.7b) untuk berbuka dan persediaan hari raya adalah sesuatu yang perlu diberikan pengiktirafan.

Angka itu berdasarkan anggaran purata perbelanjaan RM100 bagi setiap individu Islam di negara ini yang kini mencecah kira-kira 16 juta orang, sama ada kos itu dikeluarkan individu terbabit atau pembelian kelengkapan untuk mereka ditanggung pihak lain melalui aktiviti amal jariah.

Ini belum dikira sumbangan zakat serta sumbangan lain sama ada oleh individu Islam atau syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Islam seperti bank, persatuan dan badan-badan lain sepanjang Ramadan.

Kerana itu, rakyat Malaysia jangan melihat Islam sebagai membawa kemuduran sebaliknya memainkan peranan penting menggerakkan ekonomi dalam negara.

Perayaan Ramadan bukan sekadar menjadikan hotel ‘hidup’ dengan tempahan tetapi pusat beli belah membuat promosi selama sebulan – mengatasi perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas atau juga promosi jualan murah ketika musim cuti sekolah yang selalunya selama seminggu.

Sementara bazaar Ramadan memberikan peluang untuk seluruh rakyat berniaga menjual pakaian, makanan dan kelengkapan lain. Setidak-tidaknya peluang ini dapat direbut oleh mereka yang berusaha mencari pendapatan lebih menerjunkan diri dalam alam perniagaan kecil-kecilan.

Perbelanjaan untuk Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin pulih hasil pelbagai program rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.

Profesor Ekonomi, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata rakyat akan berbelanja lebih sedikit untuk Aidilfitri kali ini kerana keadaan ekonomi semakin baik, selain pengguna tidak mempunyai bebanan lain selain persiapan hari raya.

Katanya, tahun lalu, sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Oktober dikira sudah hampir penghujung tahun yang mana duit disimpan untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan persekolahan anak-anak.


“Tahun ini, agak berbeza sedikit kerana pengguna semakin yakin dengan perkembangan ekonomi negara yang dalam proses pemulihan, selain banyak simpanan akibat kebimbangan mengenai krisis ekonomi yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.

“Oleh kerana sesi persekolahan masih berjalan dan sesi baru lambat lagi iaitu kira-kira tiga bulan lagi, ramai yang akan berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Prof Mohd Fauzi yang juga Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perbelanjaan pengguna petanda yang baik untuk ekonomi negara terutama kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pula berpendapat sambutan Aidilfitri kali ini sederhana berikutan majoriti penganut Islam dijangka berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang belum begitu stabil ketika ini.

“Pengguna dijangka membuat persiapan secara `ala kadar’ dan wang dikeluarkan hanya untuk perkara perlu – mungkin untuk sepasang pakaian baru, manakala kuih muih pula dibeli sekadar ‘cukup syarat’,” katanya.