Archive for the MANEK URAI Category

MU – PENGUNDI MUDA BERUBAH?

Posted in MANEK URAI, Pilihanraya on July 19, 2009 by Hambali Abd Latiff



(Sembang Ahad)

Satu daripada perkara penting yang diperkatakan pada setiap pilihan raya ialah pengundi muda.

Isunya ialah apa sikap mereka? Ke mana haluan sokongan mereka? Benarkah pengundi muda menyokong pembangkang dan memaling muka terhadap Barisan Nasional (BN)? Apa kemahuan mereka sebenarnya? Pengundi muda mata duitan dan mementingkan pembangunan?

Keputusan di pilihan raya kecil Manek Urai sudah didapati. Dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai itu, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah menang tipis untuk mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 65 undi sahaja. Beliau mendapat 5, 348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Kedudukannya ialah daripada 12,293 pengundi di Manek Urai, hampir 50 peratus adalah pengundi muda.

Jumlah mereka (berusia 21-35 tahun) adalah 5,598 atau 45.54 peratus daripada keseluruhan pengundi.

BN dikatakan menang di lima daripada sembilan pusat pengundian, iaitu Temalir, Laloh, Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor.Manakala PAS pula menang di Lata Rek, Peria, Chuchuh Puteri dan Sungai Sok.

Kekalahan di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor memang sudah dijangka dari awal.
Dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS menang di semua pusat pengundian, kecuali di Manjor.

Kekalahan di peti undi Laloh adalah “suatu yang mengejutkan” kerana terdapat pengundi yang tidak puas hati Mohd Fauzi dipilih sebagai calon PAS.

Bagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO, keputusan di beberapa kawasan di Manek Urai membayangkan kedudukan positif untuk mereka.

Di pihak PAS, dikatakan salah satu punca kemerosotan undi yang diperolehi calon PAS di Manek Urai adalah kerana pengundi muda di beberapa saluran menyokong BN.

Ini diakui oleh Setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim yang menurutnya saluran (mengundi) orang tua menyokong PAS, manakala saluran yang ramai muda, PAS gagal di situ.

Walaupun PAS mengatakan pengundi muda tidak mempunyai sikap politik yang jelas, yang mudah disogok dengan janji-janji BN namun hakikatnya mereka penentu kepada setiap keputusan pilihan raya.
Sebelum ini PAS tidak menyuarakan pendapat demikian dan tetap dengan keyakinan bahawa pengundi muda aka nada dengan mereka selama-lamanya.
Memanglah sikap politik orang muda tidak sama dengan sikap politik orang tua yang menyokong PA. Ini kerana orang muda memerlukan banyak perkara – pendidikan, keperluan asas, pendapatan tetap, bantuan dan keyakinan bahawa ada masa depan untuk mereka.

Hakikatnya, apakah jaminan dan keyakinan yang boleh ditawarkan oleh PAS? Islam dan syurga?

Selama manakah orang muda boleh didodoikan dengan jaminan seperti itu apabila kehidupan semakin mendesak dan perlukah mereka hanya berdiam diri dengan kerajaan PAS Kelantan yang gagal membela mereka?

Apakah hidup boleh diteruskan dengan kekurangan, kemunduran dan kemiskinan? Apakah hidup boleh diteruskan hanya dengan berserah padaNYA?

Ada pemimpin PAS yang menyalahkan BN apabila pengundi terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN.

Apakah menawarkan kemudahan dan keselesaan itu sesuatu yang berbentuk rasuah? Bagaimana pula dengan PAS yang menjanjikan syurga? Apakah umat Islam boleh masuk syurga hanya dengan bergantung harap?

Persoalan kepada PAS ialah selama manakah mereka boleh berdiam diri dan mengharapkan orang lain membela rakyat umpamanya kerajaan persekutuan dan agensi kerajaan pusat seperti Kesedar?

Sudah pasti bagi rakyat yang mengalami kesusahan setiap hari, janji BN untuk bina jambatan yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru, menjadikan Manek Urai kawasan agropolitan dan sebagai anak angkat kerajaan persekutuan menawan hati mereka.

Rakyat, khususnya golongan muda belum ada sesuatu yang menjamin masa depan mereka, kalau pun ada tanah tetapi apa akan dilakukan terhadapnya?

Kalaupun ada kenderaan, mereka tidak selesa menggunakan jalan dan jambatan sempit. Ini semua memerlukan pemikiran semula terhadap kemudahan asas di Manek Urai.

Juga penting ialah kegiatan ekonomi di Manek Urai perlu pendekatan baru yang menjamin orang muda mendapat keuntungan daripadanya dan tidak selama-lamanya mengharapkan kerajaan pusat dan Kesedar sahaja yang membawanya.

Jika PAS terus menang di Manek Urai, rakyat terpaksa menjadi ‘peminta ikhsan’ daripada parti yang mereka tolak –BN dan UMNO . Berapa lama rakyat Manek Urai perlu menggadaikan maruah mereka hanya kerana menyokong parti yang mendakwa Islam tetapi tidak membela mereka sama sekali untuk hidup dan beribadat!

UNDI 289 UNTUK BN DI MANEK URAI LAMA, BUKAN 189

Posted in BN, MANEK URAI, Pilihanraya on July 19, 2009 by Hambali Abd Latiff

Adun PAS, Mohd Fauzi Abdullah belum boleh tidur lena.

Mohd Fauzi dan PAS Kelantan keseluruhannya kenalah berdoa supaya Barisan Nasional (BN) dan UMNO Kelantan tidak melakukan sesuatu yang menyukarkan kedudukannya.

Berdasarkan keputusan yang ada pada wakil BN di peti undi Manek Urai Lama, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 1,008 undi manakala calon PAS, Mohd. Fauzi memperoleh 719 undi dan undi rosak sebanyak 19, dan dengan itu BN menang dengan majoriti 289 undi.

UMNO Kelantan sewajarnya mengambil tindakan segera untuk memfailkan petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai supaya keputusan diisytiharkan silap dan tidak sah.

Datuk Mustapa Mohamed, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sudah menyatakan pihaknya sedang mengkaji kemungkinan mengemukakan petisyen tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan 16 Jun lalu (Khamis), timbul desas desus wujud keraguan pada keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama di mana Barisan Nasional (BN) sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keputusan itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil itu dengan majoriti 65 undi Selasa lalu.

Dengan itu mungkinkah keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak sah dan kertas undi akan dikira semula yang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN)?

Ekoran itu, difahamkan UMNO Kelantan telah mengarahkan PASukan perundangannya supaya bersiap sedia membawa kes tersebut ke mahkamah.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah mengesahkan wujudnya sedikit keraguan tetapi menolak wujudnya penyelewengan dalam pilihan raya kecil itu.

”Berdasarkan keputusan yang ada pada wakil BN di peti undi berkenaan, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 1,008 undi manakala calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah memperoleh 719 undi dan undi rosak sebanyak 19, oleh itu, kita menang dengan majoriti 289 undi.

”Tetapi ketika pengumuman dibuat di pusat penjumlahan undi, BN hanya menang dengan majoriti 189 undi. Ini yang menimbulkan tanda tanya kenapa keputusan tersebut berubah di pusat penjumlahan undi sedangkan di peti undi kita menang dengan majoriti 100 undi,” katanya.
Wan Zaid berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian oleh UMNO Kelantan dan dibincangkan dengan penasihat undang-undang parti sebelum di bawa ke mahkamah.

Katanya, keputusan pilihan raya kecil yang memberikan kemenangan kepada PAS dengan majoriti 65 undi itu juga tidak dapat diterima berdasarkan trend pengundi yang menolak parti tersebut.

”BN menang di lima peti undi berbanding PAS hanya menang di empat peti undi. Kita berjaya menembusi kubu kuat PAS contohnya di Peti Undi Laloh, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru tak pernah dalam sejarah kita menang tetapi kita menang kali ini. Kita juga menang di Temalir dan Manjor.

”Di kubu kuat PAS seperti Peti Undi Peria, kita dapat mengurangkan majoriti daripada kebiasaannya lebih dari 350 undi kepada 88 undi sahaja. Data ini menunjukkan trend pengundi menolak PAS tetapi soalnya kenapa tiba-tiba keputusan penuh diumumkan kita kalah,” katanya.
Menurut beliau, perkara tersebut hanya disedari selePAS keputusan itu diumumkan di pusat penjumlahan undi dan mengikut peraturan SPR bantahan hanya boleh dibuat pusat pengiraan undi sahaja.

Katanya, difahamkan ketika di pusat pengiraan undi, semua pihak termasuk wakil PAS menerima keputusan BN menang dengan majoriti 289 undi dan disebabkan itu tidak ada kiraan semula undi dibuat di situ.

”Bila menyedari perkara ini berlaku kita cuba membantah di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra I tetapi ditolak. Mengikut perkiraan saya jika dijumlahkan dengan majoriti sebenar di Manek Urai Lama dan undi pos BN menang kira-kira 42 undi.

“Tetapi saya ingin tegaskan bahawa ini hanya pandangan saya dan bukannya untuk menuduh mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, beliau tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai perkara tersebut.

Selasa lalu, SPR telah mengumumkan Mohd. Fauzi memenangi pilihan raya kecil itu dengan mendapat 5,348 undi manakala Tuan Aziz memperoleh 5,283 undi.

PERTAMBAHAN UNDI UNTUK BN HARAM?

Posted in MANEK URAI, PAS, Pilihanraya on July 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan peningkatan undi UMNO melalui ‘najis rasuah’ dianggap haram di mana kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima rasuah akan mendapat balasan api neraka di akhirat nanti.

Katanya, Umno telah menjadikan ‘najis rasuah’ mengugut serta mempengaruhi pengundi demi untuk meraih kemenangan. “Namun misi mereka masih gagal,” ujarnya.

Katanya, pemberian rasuah boleh menyekat percambahan pemikiran manusia untuk bertindak secara normal.

Bercakap di pejabatnya semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Umno tidak boleh mendabik dada dengan majoriti kecil yang dimenangi calon PAS.

Menurutnya juga Umno cuba menyuburkan budaya rasuah bukan sahaja dalam pilihan raya sebaliknya ketika perhimpunan agung parti itu seperti dilaporkan dalam media massa.

Beliau yang juuga Menteri Besar berkata, berdasar kepada janji yang dijinakkan kepada penduduk di Manek Urai sepatutnya parti itu sudah menang di Manek Urai.

“Umno tambah gagah lagi dengan bantuan segala jentera kerajaan yang datang dari seluruh negara. Kalau diikutkan dengan segala kekuatan itu Umno sudah boleh menang besar,” katanya di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun juga berkata, Umno sepatutnya menang di Manek Urai apabila diambil kira dengan segala kekuatan yang ada pada parti itu.

Biar pun Umno kelihatan perkasa dengan segala bantuan itu namun masih tewas sebanyak 65 undi.

Kemenangan Mohd Fauzi Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abe Uji cukup bermakna sekali.
Bermakna dari segi ujian kepadanya – pertama untuk menyamai cara Pak Su Wil memenuhi janjinya untuk berkhidmat kepada rakyat di Manek Urai.

Oleh kerana majoritinya masih mahu dan terus memilih pemerintahan Islam setelah memberi kemenangan kepada Fauzi, mereka ini mungkin mereka berserah sahaja kepada nasib dan tidak akan menuntut janji pilihan raya.

Juga dengan kedudukan di mana 80 peratus adalah penduduk miskin, tidak sukar untuk Abang Uji memenuhi permintaan harian mereka.

Namun, cukupkah setakat itu sahaja?

Bagaimana yang menyokong BN? Apakah mereka ini bukan pengundi Manek Urai? Mereka ini yang dicop oleh PAS sebagai yang mementingkan kesenangan di dunia tidak termasuk dalam kumpulan yang juga perlu dibela oleh Fauzi?

Apakah Fauzi boleh lepas tangan?

Bagi Nik Aziz, walaupun 19 tahun PAS mentadbir Kelantan, kawasan Manek Urai yang terletak di bawah jagaan KESEDAR, yang merupakan sebuah agensi kerajaan pusat yang seakan-akan kerajaan negeri boleh lepas tangan.

Katanya secara logik kawasan Manek Urai termasuk dalam kawasan KESEDAR dan adalah menjadi kewajipan kerajaan Pusat yang dipimpin oleh BN melaksanakan projek pembangunan seperti itu.

Beliau juga meminta, kerajaan Pusat melaksanakan projek pembinaan jalan baru dan lebih luas yang menghubungkan Kuala Krai Krai-Gua Musang kerana jalan yang ada sekarang sempit dan mengundang banyak kemalangan.

Juga anehnya, Dewan Pemuda PAS mencabar BN agar menunaikan janjinya untuk membangunkan Manek Urai dengan peruntukan sebanyak RM24 juta termasuklah membina jambatan yang bernilai RM7 juta seperti mana yang diuar-uar kepada pengundi pada pilihan raya kecil lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata, selaku kerajaan yang memerintah negara ini BN sepatutnya boleh melaksanakan pembangunan di DUN itu.

Baru sehari selepas pilihan raya, tiba-tiba mandat untuk membangunkan Manek Urai dilepaskan kepada kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi peneraju utama.

Jika berasaskan kepada pilihan rakyat Manek Urai yang menolak pembangunan dan memilih Islam, BN tidak perlu berbuat apa-apa.

Kerajaan Pusat tidak perlu ‘gila talak’ di Manek Urai kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sudah menyatakan dengan jelas “undi BN akan dapat projek” dan faham-fahamlah, kalau tidak undi itu bermakna tidak memerlukan bantuan BN atau kerajaan Pusatlah.

Bukan begitu Tan Sri? Lagipun Tan Sri sudah jelaskan pada 13 Julai lalu, pemimpin PAS tidak berhak meminta kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan yang dijanjikan di dun Manek Urai jika Barisan Nasional (BN) tewas.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, perkara itu adalah hak eksklusif pengundi dan sekiranya mereka berkehendakkan perubahan besar di kawasan yang masih memerlukan banyak perhatian ini, mereka sendiri menentukannya.

”Tak bolehlah, kalau BN kalah ia menunjukkan pengundi tak nak apa yang kita tawarkan. Kerana itu dia tak mengundi kita, apa pula hak pemimpin PAS kata macam itu kerana yang berhak adalah pengundi.

”Kalau mereka tak nak, kita buat tawaran melangit dengan emas sekalipun dia takkan bagi undi juga, dia tak nak, tak naklah,” tegasnya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Kampung Laloh.

Jadi kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed tidak payahlah mengumumkan itu dan ini. Rujuklah dahulu kepada UMNO Pusat dan kerajaan Persekutuan sama ada perlu atau tidak pembangunan yang dijanjikan itu dilaksanakan di Manek Urai.

MANEK URAI – LEPASI SASARAN 85 PERATUS

Posted in MANEK URAI, Pilihanraya on July 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hanya sejam lagi keputusan akan diumumkan.

Kedua-dua pihak nampaknya yakin akan menang. PAS dan Barisan Nasional mengatakan jika menang, majoriti tidak besar.

Kira-kira 87.33 peratus atau 10,736 pengundi daripada 12,293 pemilih berdaftar telah menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sehingga tempoh pengundian ditutup pukul 5 petang ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan itu melepasi sasaran SPR iaitu 85 peratus keluar mengundi.

“Kita gembira kerana jumlah yang keluar mengundi amat baik dan melepasi jumlah yang disasarkan. Peratusan ini adalah antara yang tertinggi dalam pilihan raya kecil di negara ini,” katanya.

Penjumlahan undi akan dibuat di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, dekat sini dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Ismail Yaacob, daripada PAS yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat, 39 dan Mohd Fauzi Abdullah, 50 yang mewakili PAS.

Laporan Bernama menyebut, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil tindakan pengawasan dan seliaan lebih tegas dalam suatu pilihan raya supaya tidak timbul provokasi yang menjejaskan ketenteraman awam.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata walaupun SPR telah membuat ketetapan supaya tidak ada lagi pondok panas dan perhimpunan besar diadakan di kawasan mengundi oleh penyokong parti bertanding, namun daripada segi pengawasannya, ia masih lemah.

Beliau mengulas kelemahan kawalan SPR di kawasan mengundi di Sekolah Kebangsaan Peria tengah hari ini sehingga mencetuskan sedikit pertelingkahan antara penyokong PAS dan BN, yang akhirnya menyebabkan dua anggota Puteri Umno cedera dibaling batu oleh penyokong PAS.

“Pihak polis mungkin mengawal tetapi dari segi peraturan pilihan raya ia terletak hak pada SPR untuk menguatkuasakan dan mengawasinya,” katanya kepada pemberita di Markas Tektikal (MARTEK) di Laloh dekat sini Selasa.

Katanya satu laporan akan diserahkan kepada SPR mengenai insiden itu.
Justeru itu, katanya, SPR perlu bertindak tegas apabila berlaku insiden seumpama itu mahupun sebarang tindakan provokasi dengan mengambil langkah pencegahan melalui bantuan pihak polis.

“Kita harap SPR akan lebih teliti dengan perkara ini dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata seharusnya penyokong tidak dibenarkan berhimpun di hadapan pintu masuk tempat mengundi kerana ia boleh mencetuskan ketegangan akibat provokasi daripada penyokong parti yang bertanding.

“Saya tidak tahu ada pondok panas atau tidak tetapi berhimpun di pintu masuk tempat mengundi dengan melakukan provokasi dan kerenah ini bukan satu yang dibolehkan dalam peraturan pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kekecohan oleh penyokong parti PAS dikenalpasti dilakukan oleh penykong luar dan bukannya penyokong daripada penduduk tempatan di Manik Urai.

“Saya dimaklumkan mungkin orang tempatan tak begitu, ia lebih banyak datangnya dari luar. Mereka ini mungkin tidak mengetahui budaya tempatan walaupun mereka orang PAS dan orang Umno tetapi hubungan tetap baik.

“Yang jadi masalah bila orang luar datang tidak tahu budaya tempatan malahan amat memalukan apabila mengatakan mereka dari parti yang memperjuang Islam tetapi perbuatan tidak Islamik dan mencemarkan agama Islam. Dalam berselawat, mereka mencerca, mencaci serta mengata,” katanya.

Beliau berkata penyokong BN tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin PAS perlu bertanggungjawab untuk menasihati penyokong mereka kerana perbuatan yang dilakukan bukan sahaja bertentangan dengan adat dan budaya tetapi juga syariat Islam.

Di tempat yang sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam sidang akhbar berasingan, berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap provokasi penyokong parti bertanding jika pegawai SPR tidak mengarahkan.

Antara lain punca provokasi itu boleh berlaku adalah kerana ketetapan SPR yang membenarkan wakil calon berada di tempat semakan saluran mengundi SPR yang berdekatan tempat mengundi.

“Apabila dibenarkan wakil calon berada di situ, mereka juga cuba meraih undi di tempat semakan pengundian itu. Ini menyebabkan penyokong parti bertanding juga datang berkumpul dan timbul keadaan provokosi,” katanya.

Beliau telah memaklumkan kepada SPR untuk meminta penyokong parti bertanding beredar dari tempat semakan itu kerana apabila jumlah penyokong semakin bertambah ia akan menyukarkan pihak polis untuk mengawal keadaan.

JANGAN BIMBANG, KELUARGA NIK AZIZ SEJAHTERA

Posted in MANEK URAI, Nik Aziz on July 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Rakyat bawahan sentiasa mendoakan kesejahteraan Tok Guru Nik Aziz. Mereka doakan Tok Guru dan keluarga panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Berkat doa mereka, keluarga Nik Aziz hidup bahagia.

Baca dan renungkan apa yang dicatatkan oleh blogger www.pisau.net.

Apakah ini satu fitnah terhadap Tok Guru?

ANAK BERANAK NIK AZIZ KAYA…

Hari ini adalah hari terakhir tempoh berkempen untuk Manek Urai, saban hari banyak ceramah di merata tempat menghambur segala “keborbrokan” UMNO, tetapi mereka terlupa satu jari yang menunding orang lain 4 jari lagi menunding diri sendiri.

Ya,ramai penyokong PAS yang begitu taksub dengan Tok Guru, bagi mereka adalah menjadi kesalahan & kesilapan besar jika menyerang tok guru yang wahid ini. Ibaratkan untouchble & maksum.

STESEN MINYAK NIK AZIZ BERNILAI RM 1 JUTA
Buat penyokong PAS di Manek urai, adakah anda akui tok guru maksum? jika dia maksum mana mungkin melakukan sebarang kesilapan. Adakah pendedahan demi pendedahan yang dibuat dikatakan fitnah? mereka yang menutup pemikiran & jumud barangkali akan marah apabila sesuatu yang pincang didedahkan terhadap tok guru.

Penyokong PAS seolah olah mengambarkan pemimpin mereka adalah orang orang suci,tidak terpalit langsung dengan kekotoran & kesalahan. Psy war di mainkan hingga orang UMNO sendiri percaya kempen melondehkan kesalahan & kekhilafan Tok Guru & PAS adalah salah.

Di Manek Urai,adalah medan mendedahkan kesalahan mereka yang maksum ini.
Stesen Minyak Petronas hak milik Nik Mohd Asri Bin Nik Aziz (anak Nik Aziz). Asalnya stesen ini diurus oleh Mesra Makmur Trading yang dimiliki oleh Hood Bin Mohd Isa KP:691119105535. Beliau berasal dari Selangor bekas pemandu Nik Aziz dan menantu Nik Aziz. Hood selaku pengurus pada masa itu telah berjaya memajukan perniagaan ini. Beliau membantu Nik Aziz dalam pilihanraya 2004 dengan cara memberi petrol percuma pada hari mengundi jika motosikal atau kereta membawa bendera bulan – PAS.

Apabila Stesyen ini maju maka anak- anak Nik Aziz iri hati melihat penguasaan Hood keatas stesyen ini. Perbalahan telah berlaku, Nik Aziz gagal menyelesai krisis dalam keluarganya sehingga Hood telah disingkirkan dan membawa diri ke Trengganu. Sekarang stesyen itu diserahkan kepada Nik Mohd Asri pemilik tunggal As Sobru Jaya Trading.

Hood tahu cerita sebenar mengenai bagaimana tipu helah untuk membina stesyan minyak ini. Nik Aziz telah membeli tanah Lot 550 Kg Pulau Melaka tapak stesyen itu dengan memaklumkan kepada tuan tanah bahawa untuk membina asrama kesiankan pelajar tidak cukop tempat menginap. Tetapi setelah tanah dimiliki oleh Datin Tuan Sabariah isteri Nik Aziz, tanah itu telah dibangunkan stesyen minyak. Terkejut yang amat sangat tuan tanah, kerana tanah itu dijual dengan harga yang murah.

Nik Aziz makan pun menyamar kepada rakyat. Kesian orang PAS kena tipu kononnya cara hidup Nik Aziz sederhana. Rupanya Jutawan.

RUMAH MENANTU NIK AZIZ BERNILAI RM 1 JUTA

Rumah menantu Nik Aziz terletak di belakang rumah Nik Aziz Pulau Melaka. Nilainya RM1 juta. Ada jaga 24 jam sehari. Kalau rakyat nak jumpa dengan Nik Aziz maka dia akan tunggu di rumah lama, untuk rakyat tengok dia hidup sederhana. Tapi bila nak berehat pergi rumah banglow milik menantu. Menantu pakai kereta mewah kalau baru harganya RM250,000 sebuah.

Apa nama menantu Nik Aziz?..Nik Arif Fahmi Abdul Rahman, orang yang paling berkuasa dalam kerajaan Nik Aziz.

Menantu Nik Aziz bekerja sebagai CEO Perbadananan Menteri Besar (PMB), Kereta Mercedes berserta dengan pemandu disediakan. Semua projek yang nak join vanture dengan PMB sebelum angkat kepada Pengerusi PMB mesti diluluskan oleh CEO dulu. Siapa Pengerusi PMB? tak lain dan tak bukan Nik Aziz. PMB sudah jadi hak anak beranak. Banyak syarikat pelaburan PMB mengalami kerugian. Habis lah duit rakyat Kelantan di pulon mertua dan menantu.

Bila rakyat nak jumpa datang lah kerumah depan, kecil dan sederhana.
Kereta Mercedes RM500,000 dan CRV Rm 70 ribu untuk Tuan Sabarian
ulang alik ke pasar. Rumah inilah yang selalu ditonjol oleh Nik Aziz.

TUAN SABARIAH SEORANG JUTAWAN.

Kononnya Bandaraya Islam Kota Bharu berkembang tapi ada udang disebalik batu, sama hebat dengan pengumpulan harta oleh keluarga Nik Aziz. Tuan Sabariah kuat berniaga, pernah berniaga jualan langsung, hampir semua muslimat PAS di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kubang Krian menjadi ahli.

Sekarang mengalami kerugian ada muslimat PAS yang mengalami kerugian RM50,000 seorang. Kita boleh bayangkan berapa banyak wang muslimat PAS hangus. Apabila muslimat minta ganti katanya tak ada wang.
Dalam pada itu sempat Tuan Sabariah membeli dua unit Rumah Kedai di Taman Koperasi Tanjung Chat Bandar Kota Bharu nilainya RM2 juta.
Kata penduduk Pulau Melaka banyak tanah orang kampong sekarang menjadi milik keluarga Nik Aziz yang bernilai berjuta-juta ringgit. Dari mana Nik Aziz dapat duit bergitu banyak?

Ini lah kesederhanaan yang ditunjukkan oleh Isteri Ulamak, dalam diam juga seorang jutawan.

Hanya Allah Mana Mengetahui!

NAJIB TAKUT KE KELANTAN?

Posted in MANEK URAI, Pilihanraya on July 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Beberapa pemimpin UMNO Kelantan berkata adalah baik jika Pak Lah dan Khairy tidak turun kempen pilihan raya.

Itu kata-kata yang dihemburkan pada musim kempen Pilihanraya Umum ke 12, Februari 2008 lalu.

Pak Lah dan Khairy dilihat akan mendatangkan banyak masalah kepada pemimpin UMNO Kelantan khususnya menjawab pelbagai tuduhan ketika itu. Dengan kata lain Pak Lah dan Khairy bagaikan liabiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kelantan ketika itu.

Apakah kali ini ada nasihat atau kata-kata seperti yang dilemparkan kepada Pak Lah dan Khairy yang menyebabkan Najib dan Rosmah tidak turun ke Manek Urai?

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertanya: “Mengapakah Najib Razak tidak muncul-muncul sampai sekarang di Manek Urai ? Ini persoalan yang belum terjawab biar pun sudah dilontarkan pada penamaan calon sebelum ini.

Hari ini sudah hari pilihan raya namun Perdana Menteri tidak muncul. Sebenarnya persoalan ini bermain dibenak banyak pihak.

Harakahdaily bertanya, “Mungkinkah Najib takut dengan bayangan Altantuya sehingga tidak kelihatan di Manek Urai sehingga sekarang?”

“Ramai orang tertanya mengapa Perdana Menteri tidak kelihatan?” demikian menurut Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun pada persidangan media di Markas Induk PAS kelmarin.

Banyak pihak berpendapat ketidakhadiran Najib Razak membayangkan BN menghadapi laluan sukar dan berkemungkinan kalah besar di Manek Urai. Ia turut menggambarkan pemilihan Tuan Aziz Tuan Mat seperti tidak mendapat perkenan Najib, sebaliknya calon tersebut adalah pilihan Muhyiddin.

Tidak ada sesiapa yang pasti namun, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang melakukan yang terbaik olehnya untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Kelantan bahawa UMNO dan BN memang cakna kepada mereka.

Akhbar rasmi PAS, Harakahdaily memainkan berita-berita “Penyokong Umno kecewa Najib Razak tidak datang” dan “Mengapa Najib tidak muncul di Manek Urai?”

Banyak pihak berhujah ketidakhadiran Perdana Menteri membayangkan BN menghadapi laluan sukar di Manek Urai. Ia juga menggambarkan pemilihan Tuan Aziz Tuan Mat seperti tidak mendapat perkenan Najib, sebaliknya pilihan Muhyiddin. Itu kata PAS!

Perdana Menteri jelas menyerahkan tugas membawa cabaran UMNO/BN di Manek Urai kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu Datuk Mustapa Mohamed,
BN dan UMNO sudahpun menyenaraikan tiga projek besar di situ:

1. Penaiktarafan projek bekalan air tandak (GFS) kepada masyarakat Kg. Bukit Budu, Manik Urai dengan perbelanjaan RM150,000. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, projek itu memberi faedah kepada 400 penduduk di 80 buah rumah.

2. Menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan moden sekiranya parti itu mendapat mandat daripada rakyat.3. Oleh kerana kawasan Manek Urai mempunyai ramai penduduk yang terbabit dalam bidang pertanian seperti penoreh getah dan pekebun kecil, kerajaan Pusat berharap pembangunan pertanian akan dilakukan secara lebih tersusun dan sistematik serta bantuan-bantuan berkaitan boleh disalurkan dengan lebih efektif.

3. Sebuah jambatan baru akan dibina menggantikan jambatan lama di Kampung Manik Urai Lama, sejurus BN memenangi kawasan itu. JKR sudah mentaksirkan kos membina jambatan baru itu nanti adalah sebanyak RM7 juta Jambatan sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa berusia lebih 40 tahun, menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana tiada sebarang tindakan diambil bagi memperbaikinya oleh kerajaan negeri.

4. Projek-projek kecil memenuhi keperluan rakyat semasa selain kemudahan infrastruktur asas.

Ia ujian buat Muhyiddin dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

ISTIKARAHLAH DEMI RAKYAT MANEK URAI

Posted in MANEK URAI, Pilihanraya on July 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bagi yang mengundi esok, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka buat (solat) istikharah. “Tidak salah memilih BN kerana BN mampu (membawa perubahan dan pembangunan)” .

Timbalan Perdana Menteri semalam turut mengulangi cabaran kepada kerajaan negeri pimpinan PAS untuk menyatakan apa yang mereka lakukan untuk pembangunan Islam dan ummah di negeri yang diperintahnya sejak 1990.
“BN kalah pun kita tetap bina 564 buah masjid di seluruh Kelantan,” katanya. Kerajaan Persekutuan juga membina banyak kemudahan lain seperti sekolah, hospital untuk kemudahan rakyat.

Beliau meminta rakyat supaya tidak terlalu emosional dan terlalu mengagung-agungkan Nik Abdul Aziz kerana dia gagal menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin negeri.

Bagi yang tidak mengundi, horey, horey esok cuti di Kelantan. Jom pergi ke Manek Urai ramai-ramai. Lihat apa yang berlaku di sana.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi semua penjawat awam yang bekerja di Kelantan.

Langkah itu diambil selepas mengambil kira kepentingan umum, memandangkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai akan berlangsung esok.

Beliau berkata pihaknya melihat bahawa hari mengundi yang ditetapkan esok boleh menimbulkan banyak kesulitan kepada pengundi kerana ia diadakan pada hari bekerja.

“Saya isytihar esok 14 Julai (Selasa) sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kelantan, diambil atas sebab ‘Cuti Peristiwa’. Dalam semangat pro demokrasi, kami mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian,” katanya.

Esok merupakan hari mengundi pilihan raya kecil DUN Manik Urai yang diadakan ekoran kematian Anggota Dewan Undangan Negeri dari PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Sehingga ini PAS tidak mengumumkan secara jelas apa yang akan dilakukannya di Manek Urai jika memenangi pilihan raya itu. Seperti biasa, PAS menekankan soal Islam yang dibawanya.

Yang penting bagi PAS – Islam akan ditegakkan – soal mencari rezeki atau ‘untuk hidup’, pandai-pandailah rakyat menentukan nasib mereka.

Dakyah pembangkang yang mengatakan rakyat di kawasan itu tidak mementingkan pembangunan adalah tidak benar kerana rata-rata rakyat yang ditemui beliau dalam tempoh kempen pilihan raya kecil itu mengemukakan pelbagai permohonan projek pembangunan.

Biarpun mendapat semua ‘kemudahan asas’, penduduk Manik Urai Lama dan Manik Urai Baru tetap mahukan wakil rakyat baru yang bakal dipilih esok memastikan kemudahan sedia ada itu dinaik taraf.

Sebut saja semua ada, api (elektrik) ada, air ada, jalan ada, sekolah ada, pasar ada, klinik ada, masjid ada sehinggalah stesen kereta api pun ada di Manek Urai.
Namun, bagi penduduk di Manek Urai, ia tidak cukup hanya memastikan kemudahan itu sekadar ada tetapi tidak berbuat sesuatu untuk menaik taraf apa yang telah ada itu.

Ada yang mahu melebarkan jambatan sempit ke kampung ini termasuk membesarkan jalan kampung.
Selain itu, mereka juga mahu memastikan keadaan Pasar Manik Urai Lama dinaik taraf bagi menjamin keselesaan pengunjung pasar itu setiap hari.

Mereka juga mahukan tandas awam dan tempat meletak kenderaan yang agak banyak. Juga mereka mahukan jalan kampung yang ada diperbaiki kerana banyak yang rosak.

Ia juga perlu diperbesarkan kerana ia sangat sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu-satu masa.

Kenapa PAS ketika berkempen tidak menyebut soal pembangunan tetapi lebih kepada mengkritik kerajaan dan menyalahkan dasar-dasar yang ada.

PAS tidak mampu menawarkan pembangunan kerana mereka tidak mampu melaksanakannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya BN berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan moden sekiranya parti itu mendapat mandat daripada rakyat, Selasa ini.

Muhyiddin berkata bagi membuktikan komitmen BN, sebuah jambatan baru akan dibina menggantikan jambatan lama di Kampung Manik Urai Lama, sejurus BN memenangi kawasan itu.

“JKR sudah mentaksirkan kos membina jambatan baru itu nanti adalah sebanyak RM7 juta… Kita (BN) janji jambatan baru itu akan dibina sehari (selepas) kita menang.

“Janji capai kejayaan dulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manik Urai, semalam.

Jambatan sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa berusia lebih 40 tahun, menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana tiada sebarang tindakan diambil bagi memperbaikinya oleh kerajaan negeri.

Pembinaan jambatan yang amat diperlukan penduduk serta tawaran menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan dilihat sebagai kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa Manek Urai dalam arus pembangunan negara.

Oleh kerana kawasan Manek Urai mempunyai ramai penduduk yang terbabit dalam bidang pertanian seperti penoreh getah dan pekebun kecil, kerajaan Pusat berharap pembangunan pertanian akan dilakukan secara lebih tersusun dan sistematik serta bantuan-bantuan berkaitan boleh disalurkan dengan lebih efektif.

Kerajaan Pusat membuat tawaran itu kerana sedar kerajaan negeri tidak mampu berbuat demikian dan pada masa yang sama rakyat Manek Urai memerlukan pembelaan.