Archive for the melaka Category

BERJAYA JUGA ALI RUSTAM AKHIRNYA…

Posted in melaka, Shah Rukh Khan on December 5, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Rehat Minda)

Pelakon Hindi terkenal, Shah Rukh Khan akan menerima pingat dengan memakai samping songket berharga RM3,000 bermotif bunga kesidang, berwarna hitam dan diikat stail Allahyarham P.Ramlee, esok.

Samping songket rasmi negeri Melaka bermotif bunga kesidang itu belum pernah dipakai oleh mana-mana penerima gelaran ‘Datuk’ sebelum ini.

Samping itu akan diikat oleh pihak Institut Seni Malaysia Melaka (ISMA), yang juga menaja samping berkenaan manakala persalinan baju Melayu disediakan oleh pereka dan penaja baju dari butik Sovereign Wear Sdn Bhd.

Anugerah itu nanti akan disampaikan oleh Yang Di Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaacob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada pukul 10 pagi dengan disaksikan oleh 1,000 orang tetamu kehormat.

Pengerusi Jawatan Kuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Kapt (B) Ab. Karim Sulaiman mengesahkan hal itu Khamis lalu.

Ab. Karim ditugaskan untuk mengiringi Shah Rukh Khan semasa upacara tersebut berlangsung nanti.

Shah Rukh yang dianugerahkan gelaran‘Datuk’ pada Oktober tahun ini juga bakal mengenakan baju Melayu cekak musang berbutang lima ketika menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada pukul 10 pagi esok.

Baju Melayu Shah Rukh itu akan menggunakan fabrik ‘Italian crepe’ berwarna hitam bersama songkok.

Harga baju Melayu tersebut dianggarkan berharga dalam lingkungan RM550 sepasang kerana fabriknya berharga RM85 semeter.

Shah Rukh Khan khabarnya teruja hendak menyarungkan pakaian tradisional Melayu Sabtu ini.

Advertisements

SHAFIE-JANGAN SAMPAI MELAKA TERJEJAS

Posted in melaka, unesco, Warisan on November 25, 2008 by Hambali Abd Latiff

Ada kewajarannya jika Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam menyatakan kebimbangannya Melaka juga akan menerima kesan jika Pulau Pinang ditarik sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sudah tiga kali Shafie memberi amaran bahawa sebarang pembangunan di tapak itu yang didapati tidak mematuhi garis panduan Unesco boleh mengakibatkan pengiktirafan tersebut ditarik balik.

Penasihat Wilayah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) bagi Asia Pasifik, Dr Richard Engelhardt dilaporkan media baru-baru ini sebagai berkata, status Tapak Warisan Dunia terancam di Georgetown selepas empat buah hotel melebihi 15 meter dibina di bandar raya itu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sewajarnya mengambil iktibar bagaimana bandar Bordeaux di Perancis yang pernah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia pada 2007, kehilangan status itu tahun ini berikutan pembinaan jambatan Pertuis di bandar itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum ini menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan berkata: “Penang perlu sedar tindakan mereka akan member kesan. Apa juga tindakan Penang akan memberikan kesan kepada Melaka.”

“Bagaimana dia (Guan Eng) boleh mengatakan garis panduan tidak menyatakan secara jelas mengenai tapak warisan apabila Guan Eng sendiri dari Melaka. Dia serta isteri membantah terhadap kita (kerajaan negeri) apabila usaha dilakukan untuk mendapatkan status berkenaan?” tanya Mohd Ali.

Katanya, usaha mendapatkan pengiktirafan untuk Melaka mengambil masa selama lapan tahun.

Shafie berkata, pandangan ke arah tapak warisan juga diambil kira dan sekiranya pandangan ke arah tapak warisan terhalang, ia akan menjejaskan kedudukan pengiktirafan tapak berkenaan.
Beliau menjelaskan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia di beberapa negara telah ditarik balik akibat pembangunan yang tidak teratur dan ia tidak harus berlaku kepada Georgetown dan Melaka.

“Kebimbangan kita, jika pengiktirafan berkenaan ditarik, bukan hanya Pulau Pinang sahaja ditarik tetapi juga akan menjejaskan juga kedudukan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya.

Di Kuantan, 22 November lalu, Shafie mengingatkan Pulau Pinang dan Melaka supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan projek pembangunan moden di kawasan yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia di kedua-dua negeri itu.

Projek pembangunan moden yang dibuat tanpa dirujuk kepada kerajaan Pusat boleh menyebabkan status Tapak Warisan Dunia ditarik balik kerana tidak ada jaminan bahawa status tapak warisan dunia akan kekal selama-lamanya.

Berikutan itu Shafie menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Melaka perlu mengambil langkah memelihara dan memulihara bandar raya Georgetown dan Melaka bagi mempertahankan status Tapak Warisan Dunia masing-masing.

Katanya, beliau telah menemui wakil kedua-dua kerajaan negeri itu hari ini bagi membincangkan kedudukan pengiktirafan Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia .

“Saya telah mengarahkan mereka melakukan beberapa perkara (bagi memelihara dan memulihara tapak berkenaan),” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Konservasi Warisan Kebudayaan Asia Pasifik 2008 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan butiran lanjut pertemuan tersebut.

Georgetown dan Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia pada Mesyuarat Jawatankuasa Mesyuarat Warisan Dunia (WHC) pada 7 Julai lepas.

Sementara itu Parti Gerakan kelmarin turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri meluluskan projek pembinaan hotel beberapa hari sebelum Georgetown diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Pengerusinya, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah meluluskan projek syarikat Bintang Holdings di bawah Kumpulan Low Yat yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah kerana tidak memenuhi garis panduan ditetapkan.

Tambahnya, antara empat projek yang dibangkitkan oleh Penasihat Wilayah UNESCO bagi Asia Pasifik, Dr. Richard Engelhardt, pembinaan hotel itu satu-satunya projek yang tidak dimaklumkan kepada wakil Jawatankuasa Warisan Dunia, Prof. David Lung semasa datang ke negeri ini untuk membuat penilaian.

“Lung tidak diberitahu mengenai pembinaan hotel ini berikutan kerajaan negeri BN dahulu sendiri tidak meluluskan projek itu kerana pihak pemaju tidak bersetuju untuk mengurangkan bangunan 24 tingkat kepada lapan tingkat bagi memenuhi garis panduan ditetapkan.

“Jadi, kita hanya mempersoalkan adakah projek ini yang dibangkitkan Richard sekali gus membahayakan pengiktirafan status Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia kerana yang tiga projek lagi telah pun diketahui oleh Lung,” katanya.

AKHIRNYA SHAH RUKH KHAN SETUJU DATANG

Posted in melaka, Shah Rukh Khan on November 25, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Rehat Minda2)

Bayangkan bagaimana agaknya jika Shah Rukh Khan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok.

Apakah dia akan lebih handsome daripada Datuk Seri Mohd Ali Rustam?

Ia bukan impian lagi dan Ketua Menteri Melaka itu kini boleh menarik nafas lega.

Shah Rukh Khan akan menjadi satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Di mana dan bila? Melaka pada 6 Disember 2008.
Kini ‘awan mendung yang meliputi’ isu ini sudah berarak pergi.

Shah Rukh Khan bersetuju datang ke Melaka pada 6 Disember ini untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Mohd Ali sebelum ini dikritik hebat kononnya pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan tidak pun menghargai penghargaan negeri berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata semalam Shah Rukh Khan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 7.30 pagi dan akan berada di Melaka selama sehari.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan kepada Shah Rukh Khan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 10 pagi.

Dalam kenyataannya, Omar berkata pada majlis istiadat penganugerahan itu, Shah Rukh Khan akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok, satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Oktober lepas.

Katanya seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis istiadat penganugerahan berkenaan dan ia terhad kepada jemputan sahaja.

Omar berkata Shah Rukh Khan akan turut melawat beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan orang ramai boleh menemui pelakon itu di tempat-tempat berkenaan.

Katanya artis itu dijadual melawat Menara Taming Sari pada 2.10 petang, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside (2.25 petang), Eye On Malaysia (2.50 petang), pentas Jonker Walk (3.25 petang), menaiki bot dari Padang Nyiru ke Eye On Melaka (3.45 petang), kampung Morten (4.10 petang) dan bertemu peminat di konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (4.45 petang).

Beliau berkata Shah Rukh Khan kemudiannya akan ke KLIA untuk penerbangan balik ke Mumbai pada 8 malam hari sama.

TAPAK WARISAN DUNIA DIISYTIHAR

Posted in melaka, shafie apdal, unesco on November 19, 2008 by Hambali Abd Latiff

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berada di Tashkent, Uzbekistan semalam berkata, Malaysia boleh belajar daripada Uzbekistan dalam cara memulihara bangunan dan warisan kraftangannya.

Katanya, negara itu mampu memulihara bangunan lamanya yang separuh rosak menggunakan kaedah tradisional walaupun bahan untuk kaedah seumpama itu tidak lagi wujud pada masa ini.

Mereka dapat memulihara bangunan berusia beratus-ratus tahun apabila Tashkent wujud sejak 2,000 tahun lalu sementara Samarkand 2,750 tahun dengan bangunan-bangunan lamanya masih berdiri kukuh.

Senibina Uzbekistan bukan sesuatu yang asing bagi Malaysia memandangkan Masjid Putrajaya, Galeri Perdana di Langkawi dan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sedang dibina menerapkan elemen senibina seumpama itu.

Beliau adalah anggota delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk lawatan rasmi ke negara ini selama empat hari berakhir hari ini.

Soal memulihara bangunan dan warisan kraftangan ini penting kerana Malaysia terbabit secara langsung apabila Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberikan pengiktirafan terhadap Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia sejak 7 Julai lalu.

Dan majlis penting penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Ahad ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.

Pengiktirafan UNESCO itu adalah pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan,

Upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.

Laporan Bernama menyebut, turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.

Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO.

Ketua Menteri Melaka , Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata pada 5 November lalu, kerajaan negeri akan meningkatkan promosi Melaka sebagai Bandar Raya Warisan Dunia di luar negara sebagai usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima pada pertemuan beliau dengan 12 duta dan pesuruhjaya tinggi asing semalam, mereka begitu berminat untuk mengetahui tentang kelebihan Melaka sebagai bandar raya warisan dunia.

Beliau berkata, untuk permulaan satu promosi mengenainya dan produk baru pelancongan negeri akan diadakan di Singapura sebagai usaha menarik pelancong dari negara jiran itu datang ke Melaka.

”Pesuruhjaya Tinggi Singapura sendiri ada mencadangkan agar Melaka mengadakan promosi di negaranya memandangkan keadaan ekonomi dunia sekarang, kebanyakan warga mereka mengambil sikap berjimat cermat.’Mereka tidak perlu lagi melancong ke negara-negara lain sebaliknya boleh datang ke Melaka,” katanya baru-baru ini.

Mohd Ali sudah berunding dengan 12 duta dan pesuruhjaya tinggi asing – Argentina, Kenya, Peru, Maghribi, Singapura, Thailand, Bangladesh, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol, Jerman dan Kanada – dan mereka tertarik dengan produk-produk pelancongan baru yang ada di negeri Melaka yang sedang dan akan dimajukan di samping keistimewaan Melaka sehingga dipilih sebagai bandar raya warisan dunia.

Sewajarnya Melaka membuat promosi lebih kerap di negara berkenaan bagi menggalakkan rakyat di negara masing-masing berkunjung ke Melaka.

Melaka mensasarkan untuk mencapai 7.4 juta pelancong datang ke Melaka tahun depan.