Archive for the Pemilihan UMNO Category

UMNO KINI BUSUK HINGGA KE USUSNYA?

Posted in Mahatihir, Melayu, Pemilihan UMNO on December 1, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menulis dengan nada keras mengenai masa depan UMNO.

Katanya, masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan UMNO.

Apakah Presiden UMNO ketika ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal memulihkan UMNO?

Dr Mahathir berkata beliau mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja tetapi tetap member amaran kemungkinan orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO.

Harakahdaily yang memetik tulisan Dr Mahathir berkata ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan UMNO bercadang untuk menyokong PAS kerana “UMNO busuk hingga ke ususnya.”

“Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi,” kata bekas pemimpin kanan UMNO itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.
“Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

” Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga,” tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata “UMNO is rotten to the core” (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka sependapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Benarkah UMNO berada di tahap seperti disebutkan oleh Dr Mahathir ini?


MARI BANGKIT BERSAMA NAJIB

Posted in Bangkit, Pemilihan UMNO, perhimpunan on October 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sebelum ini “Bekerja Bersama Saya, bukan kerja untuk saya“, kini “Bangkitlah Bersama Saya”.
Apakah pemimpin dan ahli UMNO sedang ‘tidur’ apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengajak “Bangkitlah semua bersama-sama saya.”

Rasanya bukan begitu maksud Najib. Pemimpin dan ahli bukan tidur tetapi ‘terlelap’ seketika.
Ajakan Najib bertujuan menggembalikan keyakinan dan semangat kepada ahli dan pemimpin UMNO bahawa ‘ You Can Do It’ selepas UMNO malap beberapa tahun.

Kenapa ia dikatakan malap?

Kerana selepas mencapai kejayaan gemilang pada pilihan raya 2004, UMNO selepas itu bagaikan tidak bermaya.

Salah siapa? Salah Tun Abdullah Ahmad Badawi? Bukan. Salah semua kepimpinan UMNO termasuk Najib sendiri kerana tidak mampu bekerja bersama Pak Lah untuk menjamin UMNO terus terbilang.

Yang nyata UMNO mengalami kesuraman yang amat sangat pada pilihan raya umum 2008 dan pada siri pilihan raya kecil, UMNO kecundang kesemuanya, kecuali Bagan Pinang.

Kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad itupun bukan kerana UMNO sepenuhnya tetapi sebahagian besar disumbangkan UMNO – Bahagian UMNO Teluk Kemang memang ‘solid’.

Tidak ada cantas mencantas seperti di bahagian-bahagian UMNO di Kelantan atau Kuala Terengganu.

Juga Najib menyeru dan membangkitkan ahli UMNO yang sedang alpa dan “terlelap’ dengan berkata: “Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.”

Sebelum ini masa depan yang cuba dibawa oleh UMNO sebagai Cemerlang, Gemilang Terbilang tetapi Najib hanya berminat supaya UMNO dan masadepan ahlinya penuh “Gilang-Gemilang”.

Apapun, untuk kali pertamanya selepas beberapa tahun, pemimpin dan ahli UMNO seluruhnya ‘berdiri bulu roma’ mendengar ucapan bersemangat Presiden UMNO apabila perwakilan dan tetamu dalam Dewan Merdeka, PWTC spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.

Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.

Baguslah begini, Najib sedar akan kemampuan peribadinya dan oleh kerana UMNO adalah hak orang Melayu seluruhnya, kemampuan pemimpin bergantung kepada sokongan.

“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegas Najib dan disambut laungan “Ya” dan “Ya” dan “Ya” daripada perwakilan yang terus berdiri.

Apakah mesej Najib? “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

Ini bermakna, walau apa juga perubahan yang dibawa oleh UMNO, tradisi UMNO berteraskan kepentingan Melayu perlu dipertahankan, biarpun zaman dan kecapian orang Melayu perlu berubah.

Ini janji Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Orang Melayu akan menuntut janji jika Najib alpa atau tersesat jalan.

Inilah sebenarnya KPI untuk Najib. Menjamin agar tradisi Melayu – bersopan santun, berjiwa besar dan Islam’ terus diperteguhkan sambil orang Melayu berubah untuk menjadi bangsa maju sesuai dengan hasrat Malaysia Maju.

Dalam konteks UMNO itu sendiri, Najib turut menyedarkan serta berusaha meyakinkan orang Melayu, khususnya ahli UMNO bahawa perjuangan mereka adalah betul dan yang haq.

Kenapa? Kerana “UMNO adalah satu-satunya parti yang membawa obor harapan serta mampu meneroka masa depan penuh gilang gemilang untuk bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya.”

Di sini, Najib memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa UMNO akan terus relevan dan akan tetap dominan.

Untuk survival dan maju serta masa depan yang terjamin, Najib mengatakan hanya UMNO yang mampu melakukannya, tidak parti lain, selain UMNO.

PAS, PAKATAN GAGAL BERI KHIDMAT TERBAIK

Posted in Bagan Pinang, BN, Pemilihan UMNO, Pilihanraya on October 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada mengatakan kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Bagan Pinang ialah kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan UMNO atau BN.

Bagi kumpulan ini, kalau letak orang lain boleh kalah dan menolak pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan jika letak calon lain BN pun boleh menang.

Malah, lebih jauh ada mengatakan Mohd Isa lebih popular daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba memainkan isu integriti, rasuah dan sebagainya dengan ‘memburukkan’ pemimpin UMNO tetapi ditolak oleh pengundi Bagan Pinang.

Polimik seperti itu tidak akan selesai tetapi hakikat yang perlu dihayati ialah pada ketika beberapa pemimpin PAS – Salahuddin Ayob, Datuk Mahfuz Omar serta beberapa yang lain menyalahkan undi pos, provokasi, penyokong UMNO merestui rasuah dan sebagainya menyebabkan PAS kalah teruk di Bagan Pinang – ada satu pandangan menarik daripada ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, kekalahan teruk PAS di Bagan Pinang, antaranya, berpunca daripada kegagalan parti itu dan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di negeri yang dimenangi mereka.

“Sejauh mana kita serius berkhidmat di estet-estet? Ini pengalaman saya bersama Kelab Penyokong PAS (KPP).

“Orang India inilah yang beri sokongan kepada kita. Kalau kita tidak serius, (kecuaian) itu tidak baik,” kata Dr Dzulkefly seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.
Beliau mungkin akan berdepan dengan kumpulan dalam PAS yang lebih gemar melihat keluar daripada menilai kelemahan dalaman. Bagi kumpulan berkenaan kekalahan mereka banyak disebabkan oleh pihak luar, khususnya kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya.

Pandangan beliau ini lebih ikhlas dan sebagai pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil itu, diminta mengulas prestasi buruk parti itu di kerusi DUN tersebut semalam apabila, sekurang-kurangnya, gagal mengurangkan majoriti BN.

Ahli parlimen itu berkata sikap Pakatan yang hanya mendatangi pengundi di saat akhir menjelang pilihan raya mestilah dihindari jika PAS dan gabungan pembangkang mahu terus mendapat kepercayaan rakyat.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian sedikit sebanyak mempunyai pendapat yang sejajar dengan Dr Dzulkefly.

Dr Sivamurugan berkata, PAS memberikan lebih tumpuan isu rasuah dan integriti sehingga menenggelamkan isu kebajikan – yang pernah dianggap berjaya meraih perhatian pengundi bukan Melayu.

“Pembangkang kali ini banyak memainkan isu korupsi dan integriti.

“Tetapi selepas 18 bulan memerintah (di negeri-negeri Pakatan), mereka perlu memikirkan strategi lain, dengan menimbulkan isu-isu kebajikan,” katanya.

“Kalau kita lihat, dalam pilihan raya umum sebelum ini, sokongan India dan Cina diperoleh daripada isu kebajikan.”

Dr Dzulkefly mengakui, isu-isu berbangkit di peringkat nasional – seperti kontroversi penjualan arak di Selangor dan perobohan rumah di Kg Buah Pala, Pulau Pinang – sedikit sebanyak memberikan kesan penduduk di kawasan-kawasan lain.

“Kita tidak boleh lagi membuat andaian bahawa isu di peringkat (sesebuah) negeri dan pusat tidak membawa kesan di negeri lain,” katanya, diminta mengulas analisis ringkas akhbar web rasmi parti Harakahdaily.

“Jangan ingat apa yang berlaku di Kedah tidak ada kesan di Bagan Pinang. Ada (kesan).”

Akhbar web itu dalam analisis segera sejurus selepas keputusan diumumkan menyebut, pengundi Cina di Bagan Pinang menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis lengkap keputusan penuh pilihan raya itu dibuat.

Menurut Dr Dzulkefly, daripada awal lagi PAS beranggapan kerusi itu sukar ditawan kerana Bagan Pinang kerusi tradisi BN dan terdapat banyak pengundi pos di situ.

Selain itu, katanya, terdapat sentimen pengundi yang “termakan budi” kepada Isa – yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan kira-kira dua puluh tahun.

“Mereka ada keupayaan untuk memberi, sama ada projek, subsidi, tanah dan imbuhan. Sedikit sebanyak penduduk akan termakan budi,” katanya.

Bekas menteri besar Tan Sri Mohd Isa Samad menggandakan majoriti BN kepada 5,435 undi apabila mendapat 8,013 undi, meninggalkan jauh calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan hanya 2,578 undi.

Pada pilihan raya umum 2008 – rekod terburuk BN – parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN semalam menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN juga berjaya menebus ketewasannya di tiga daripada lapan daerah mengundi pada Mac tahun lalu, semuanya didominasi pengundi bukan Melayu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong (lihat carta).

Kemenangan Isa itu, selain membuktikan ketokohannya masih utuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.

MANEK URAI – MUSTAPA KENA BUKTIKAN

Posted in Kelantan, MANEK URAI, mustapa, Pemilihan UMNO on May 29, 2009 by Hambali Abd Latiff

Cabaran untuk Datuk Mustapa Mohamed sudah bermula. Beliau perlu buktikan keberkesanan kepimpinannya.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini mengumumkanPengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil N 41 DUN Manek Urai.

Baru diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, beliau sudah pun berdepan dengan tugas berat.
Berbanding dengan pengerusi sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa, Mustapa dalam keadaan yang lebih mencabar.
Pada pilihan raya kecil Permatang Pasir pada November 2005, UMNO kelantanm berada pada kedudukan lebih selesa kerana menang agak besar pada pilihan raya umum 2004 dengan 21 kerusi.

Kali ini Mustapa berbekalkan hanya enam kerusi, termasuk dua kerusi di Bahagiannya sendiri.
Biarpun Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyelia persiapan UMNO bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manik Urai, Kelantan yang akan diadakan Julai ini, peranan Mustapa amat penting.

Mustapa sewajarnya mendapat sokongan dan dokongan seluruh jentera UMNO Kelantan untuk menawan semula kerusi berkenaan.

Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Allahyarham yang mewakili Pas mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di DUN Manek Urai adalah orang Melayu manakala Cina (0.46 peratus ) dan India (0.23 peratus).

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini hari ini, beliau berkata Mustapa, yang juga Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan bertanggungjawab mengenai operasi serta keputusan seharian pilihan raya kecil DUN Manik Urai.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi itu Perdana Menteri berkata: “Saya menunggu syor daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan.
Bila sampai masanya, BN akan umumkan.

Ditanya mengenai kriteria calon yang dikehendaki, Najib berkata: “Kita taktetap apa-apa kriteria, kita nak calon yang terbaik.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan pada 6 Julai ini manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai sekiranya ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata kelmarin, proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Kata beliau, sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran.

Pengundian di kawasan DUN itu membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi adalah pemilih pos.

Pilihan raya kecil itu akan mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 22 Mei lalu. ‘Majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu.

Menurut Abdul Aziz, SPR telah melantik Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan dan Pelupusan Tanah), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Fizikal), Mohd. Zulkarnain Baharuddin sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

Katanya, seramai 350 orang petugas akan terlibat dalam mengendalikan pilihan raya kecil itu dan mereka akan diberikan taklimat serta latihan yang mencukupi bagi memastikan proses perjalanan pilihan raya itu berjalan lancar.

Tambah beliau, SPR memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menjalankan pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengingatkan semua parti politik dan penyokong parti supaya mematuhi undang-undang di bawah Subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan larangan berkempen pada hari mengundi.

MUSUH MENJADI KAWAN

Posted in bolasepak, Kelantan, PAS, Pemilihan UMNO on April 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bolasepak menjangkaui UMNO-PAS.

Bolasepak menolak ketepi fahaman politik. Bolasepak menolak ketepi ‘perselisihan’ agama.
Inilah permainan bolasepak. Ia memang menjadi ‘pendamai’.

Penyokong Kelantan yang terdiri daripada penyokong UMNO dan PAS boleh duduk beriringan dan bersatu hati menyokong pasukan mereka.

Lebih 40,000 penyokong Kelantan dijangka memenuhi ruang Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk bersama menyaksikan sejarah bola sepak negeri itu tercipta dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada Sabtu ini.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Haron Ali berkata, keghairahan rakyat Kelantan begitu memuncak dan begitu ramai yang akan memberi sokongan padu bagi menjadikan impian menjadi juara suatu kenyataan.

Uniknya bolasepak, walau di mana juga ‘musuh menjadi kawan’ walau seketika.
Ketika Perang Dunia Pertama, bolasepak menjadi alat untuk meredakan ketegangan.
Jepun dan Korea Selatan yang menjadi penganjur Piala Dunia tujuh tahun lalu (2002) berjaya mendekatkan China dan Korea Utara dengan negara lain di dunia.

Di Kelantan, Stadium Sultan Mohamad Ke IV sebelum digantung, adalah medan berkumpulnya penyokong Kelantan yang terdiri daripada penyokong parti bertentangan UMNO-PAS.

Namun, kerana sebiji bola, mereka melupakan seketika ‘persengketaan’ mereka demi pasukan Kelantan.

Kerana kejayaan masuk final Piala FA Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjanjikan pasukan Kelantan ke Old Trafford.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, beberapa siri perlawanan persahabatan di lubuk Manchester United dan beberapa insentif lain biarpun berdepan dengan kekangan kewangan setelah Kelantan tidak lagi dibenarkan menjadi tuan rumah.

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa yang berhempas pulas memikul bebanan bagi menjayakan misi ini menyifatkan, kemenangan bakal menjadi satu kebangkitan baru dalam arena bola sepak Kelantan.

Yang menariknya, kerajaan negeri (ditadbir PAS) pula cuba menokok lagi semangat mereka dengan janji imbuhan kecemerlangan RM30,000 bagi membawa pulang piala kebanggaan itu untuk tontonan rakyat Kelantan.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood menyatakan ia merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri bagi menghargai jasa pemain dan pengurusan mengharumkan nama negeri dalam sukan yang diminati umum ini.

Jadi, jangan anggap bolasepak permainan murahan dan untuk golongan bawahan. Kesannya besar.

Keghairahan penonton Kelantan yang berduyun-duyun memberi sokongan di stadium barangkali boleh dilihat dengan jualan tiket yang hampir mencecah 10,000 daripada 20,000 yang diperuntukkan kepada KAFA sepanjang dua hari lalu.

Berpuluh-puluh buah bas yang disediakan oleh pelbagai pihak, malah termasuk dari selatan Thai bagi kemudahan membawa mereka untuk memenuhi sebahagian daripada ruang stadium itu kelak.

Juga menarik ialah kerajaan negeri telah mengarahkan usaha menaik taraf tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammed IV di sini, dilakukan segera.

Abdul Fattah berkata, ia bagi memastikan keadaan lebih terjamin.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya tahap keselamatan stadium yang telah berusia itu tidak lagi dipersoalkan terutama semasa perlawanan bola sepak.

“Kita berharap apabila keadaan di stadium menjadi lebih selamat pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menimbangkan semula larangan yang dikenakan kepada pasukan negeri mengadakan perlawanan di situ,” katanya semalam.

Larangan yang dikenakan itu telah menjejaskan sumber kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi mengurus skuad negeri yang banyak bergantung kepada jualan tiket di gelanggang sendiri.

Menurut Abdul Fattah, antara yang akan diperkemaskan adalah pagar pemisah dan pintu keselamatan untuk pemain agar tidak mudah terdedah kepada tindak-tanduk penonton.
Ini bermakna dalam setiap perbincangan, kerajaan negeri perlu merujuk juga kepada Annuar selaku Presiden KAFA.

Ini kerana sumbangan Annuar dalam kancah bolasepak Kelantan sejak tahun lalu perlu diambil kira, walaupun Annuar adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.

UMNO PADU DI BAWAH NAJIB

Posted in Muhyiddin, Najib, Pemilihan UMNO, Shafie on March 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Jelas UMNO inginkan perubahan.

Mereka yang mahu menggugat UMNO dan cuba melemahkan kepimpinan UMNO akan menerima pukulan padu kali ini.

Ketara iallah wakil Sabah kini menduduki kerusi Naib Presiden UMNO untuk kali pertama dalam sejarah UMNO.

Selepas kegagalan Datuk Seri Osu Sukam mencuba nasib untuk kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kini adalah yang pertama dari negeri itu memenangi kerusi Naib Presiden.

Mohd Shafie dengan 1,445 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperoleh undi tertinggi 1,592 undi, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 1,515 undi .

Ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memainkan peranan untuk membantu memperkuatkan parti bagi memperolehi dokongan daripada rakyat keseluruhannya.

Shafie menyifatkan kemenanganya sebagai satu pengiktirafan daripada perwakilan seluruh negara.

“Saya amat menghargainya dan saya tahu bagi jawatan ini, sesiapapun boleh menang kerana calon-calonnya terdiri daripada tokoh-tokoh yang berkebolehan dan berkeupayaan,” katanya.

Beliau berkata, kemenangannya itu akan memberi peluang kepada Umno untuk memperkuatkan sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno.

Dengan kemenangan Shafie, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kukuh kerana Sabah kini mempunyai wakil yang kukuh dalam UMNO apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, disamping Datuk Lajim Ukin dan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementara Ketua Puteri UMNO kini turut dipegang oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Kemenangan ketiga-tiga tokoh ini untuk Naib Presiden akan memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib kerana mereka memang ‘orang Najib’ sejak awal.

Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib, Hishamuddin mempunyai pertalian keluarga sementara Shafie adalah penyokong kuat Najib sejak mereka dalam Pergerakan Pemuda UMNO lagi.

Malah ketiga-tiga mereka adalah orang kuat Pemuda UMNO, termasuk Shafie yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Sabah, selain Exco pergerakan itu.

Dengan kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden, Naib mempunyai orangnya sendiri di tempat paling penting iaitu Timbalan dan Naib Presiden UMNO.

Katanya, tugas utama yang akan beliau lakukan susulan kemenangan semalam adalah memulihkan semula imej parti.

Ini kerana transformasi dalam Umno yang disuarakan oleh ahli akar umbi perlu dilakukan di peringkat dalaman parti.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang cukup berat untuk kita merapatkan semula perpaduan dalam Umno.”Imej Umno juga harus dipulihkan dengan segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno,” katanya dengan mendapat 1,575 undi.

Lebih memudahkan Najib, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam meminta ahli Umno memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan lebih gemilang.

Berucap pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Presiden Umno itu turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru.
“Saya percaya saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara,” katanya.

Abdullah, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai presiden parti, turut menyatakan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Bagi Zahid: petikan klik http://www.utusan.com.my Kita akan beri peluang kepada Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) mengambil sedikit masa untuk memikirkan bersama-sama kita tentang agenda perubahan yang akan diterjemahkan khususnya elemen-elemen untuk memperkuatkan institusi kepresidenan, kepimpinan dan kepengikutan yang ada pada kita.

“Bagi saya, apa yang penting adalah Umno itu harus harus direlevankan dengan situasi semasa,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menganggap kemenangan beliau sebagai peluang yang diberikan perwakilan untuk beliau terus berkhidmat kepada parti.

“Banyak kerja yang perlu kita lakukan dan Insya-Allah, dengan tempat yang diberi, kita akan bekerja bersungguh-sungguh dengan barisan yang telah pun ditentukan bagi memastikan Umno terus relevan dan diterima oleh masyarakat.

“Walaupun cabaran di hadapan berat untuk dipikul tetapi dengan pasukan yang dipilih hari ini, saya yakin kita boleh lakukan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau gentar memikul jawatan Naib Presiden daripada jawatan Ketua Pemuda sebelum ini, Hishammuddin berkata, sememangnya ia merupakan satu lanskap dan dimensi baru baginya namun beliau yakin akan terus diberikan sokongan.

NAJIB CIPTA SEJARAH 28 MAC 2009

Posted in Najib, Pemilihan UMNO on March 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sabtu 28 Mac 2009 adalah hari bersejarah untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ini kerana pada hari itu, beliau akan menyampaikan ucapan menerima jawatan sebagai Presiden Umno yang baru.

Ia adalah hari terakhir Perhimpunan Agung Umno. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkannya selepas mempengerusikan buat kali terakhir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Kuala Lumpur malam semalam.

Kata Abdullah: “Kita ada sedikit perubahan, iaitu dalam perhimpunan agung kali ini (Timbalan Presiden) Datuk Seri Najib akan membuat satu ucapan menerima jawatan sebagai presiden parti. Ini akan dilakukan selepas penggulungan perbahasan (ucapan dasar presiden) pada hari Sabtu.”

Selain Najib, turut hadir pada sidang media semalam ialah dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah berkata, pada mesyuarat itu beliau menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua anggota MT dalam membantu beliau menjalankan tanggungjawabnya.

Datuk Seri Najib juga bagi pihak semua ahli-ahli MT telah pun merakamkan terima kasih kepada saya atas kepimpinan saya selama ini,” kata Abdullah yang kelihatan ceria.


Hari ini Abdullah akan akan menyampaikan amanatnya dalam ucapan dasar pada perasmian perhimpunan agung parti hari ini.

Najib akan memimpin ‘sayap UMNO baru’ selepas tiga ketua baru mengetuai Wanita Umno, Pemuda dan Puteri UMNO.

Yang menariknya pemilihan begitu sengit apabila keputusan pemilihan bagi Wanita Umno diumumkan oleh Pengerusi Tetapnya, Tan Sri Napsiah Omar, kira-kira jam 9.30 malam, manakala Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Datuk Abdul Fattah Abdullah mengumumkan keputusan pemilihan pergerakan itu pada jam 11.20 malam. Pengerusi Tetap Puteri, Rohani Abu Hassan pula mengumumkan keputusan pemilihan sayap termuda Umno itu, jam 10.57 malam.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, masing-masing menang jawatan Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pemilihan ketiga-tiga sayap Umno itu, malam tadi.

Shahrizat memperoleh 507 undi, jauh mengatasi Tan Sri Rafidah Aziz yang mendapat 280 undi, manakala Khairy memperoleh 304 undi menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254) dan Datuk Mukhriz Mahathir (232). Rosnah pula mendapat 245 undi mengalahkan lima calon lain.

Kerusi Naib Ketua Pemuda dimenangi Datuk Razali Ibrahim yang mendapat 417 undi, menewaskan Datuk Reezal Merican Naina Merican (373), manakala Shahanim Mohamad Yusoff mendapat 353 undi untuk jawatan Naib Ketua Puteri, menewaskan empat lagi calon.

Bagaimanapun, kira-kira 50 anggota polis terpaksa mengawal pintu utama Dewan Tun Hussein Onn 2, berikutan kekecohan selepas keputusan barisan kepemimpinan baru Pemuda Umno diumumkan, malam tadi.

Keadaan di sekitar dewan perhimpunan yang tegang dengan jeritan dan sorakan penyokong calon bertanding, semakin hangat apabila Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru, kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Ketika Khairy menyampaikan ucapan sulungnya, suasana di luar dewan kecoh apabila ada beberapa kumpulan penyokong calon yang bertanding membuat bising meluahkan kata-kata kesat bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan apabila bertindak menyuraikan kumpulan berkenaan dan menjelang jam 12.30 malam, mereka mula beransur-ansur meninggalkan kawasan dewan.

Sebaik majlis di dewan selesai, polis meluaskan kawalan dan membuka laluan alternatif ke Hotel Seri Pacific bagi membolehkan perwakilan keluar dari dewan. Jurugambar dan wartawan yang berada di luar kawasan kawalan juga tidak dibenarkan melepasi kawasan berkenaan.

Apakah ini menandakan bahawa isu Khairy dan ‘politik wang’ akan terus diperkatakan walaupun beliau dibenarkan bertanding?

Cakap-cakap dan persoalan mengenai kredibiliti mengenai diri Khairy terus diperkatakan dan tanda-tanda keretakan dalam Pemuda UMNO mula ada tanda.

Ketua Wanita Umno yang baru dipilih, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula, sudahpun berikrar akan berjuang bersama kepimpinan parti untuk mengembalikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara untuk semua rakyat Malaysia.

Berucap untuk kali pertama selepas diumumkan pemenang jawatan itu, Shahrizat berkata beliau dan pemimpin dan ahli Wanita Umno lain akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai bakal Presiden parti untuk menjayakan perjuangan itu.

“Saya percaya jika 1.3 juta ahli Wanita beri sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak, insyaAllah kita boleh beri kemakmuran kepada bukan saja orang Melayu tetapi juga semua kaum dan agama,” katanya.