Archive for the Pakatan Rakyat Category

PAKATAN PEMBANGKANG – SEKARANG RASAKAN

Posted in Pakatan Rakyat, pembankang, Selangor on September 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Menjadi pembangkang memang mudah. Boleh bantah, kumpul penduduk caci kerajaan dan sebagainya. Bila jadi pemerintah baru rasa.

Belum bentuk kerajaan boleh janji itu dan kini. Kini janji sedang dituntut. Bagaimana?

Kalau dulu sanggup bertegang leher tetapi kini bagi tikus dalam beras. Bukan sekadar menyorok tetapi lari lintang pukang ‘menyelamatkan diri’.

Itulah kes Taman Saujana Puchong. Menurut laporan Malaysiakini semalam, selama lima tahun, penduduk Taman Saujana Puchong telah berkempen membantah rancangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menjadi sebahagian daripada hutan simpan Ayer Hitam sebagai kawasan tanah perkuburan.

Ketika itu, penduduk terbabit mendapat sokongan daripada parti pembangkang DAP, PKR dan PAS.

Sekarang bagaimana?

Kini ketiga-tiga parti berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri Selangor sejak setahun setengah yang lalu.

Sewaktu sesi dialog dengan pegawai kerajaan negeri pada 22 Jun lalu, penduduk dijanjikan oleh pengerusi jawatankuasa setinggan, pengurusan bangunan dan perumahan, Iskandar Abdul Samad bahawa penyelesaiannya akan dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Dan kini, tempoh tiga bulan itu yang berakhir pada 22 September telah berlalu tanpa sebarang maklumat dari pihak berkuasa.
Sehubungan itu, jawatankuasa sementara membantah projek tanah berkuburan itu, menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

“Mereka bersama kami sebelum menjadi kerajaan. Kami berharap mereka cepat membuat keputusan mengenai perkara itu. Kami mahu tinggal di sini dalam keadaan aman dan tidak perlu bimbang mengenai tanah perkuburan tersebut,” kata jurucakapnya Lau Seng You.

Cadangan untuk membina tanah perkuburan awam seluas 55 hektar di situ, termasuk tempat membakar mayat – yang dianggap terbesar di negara ini – akan membabitkan sebahagian besar kawasan hutan simpan yang kini dimiliki Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan kini digunakan untuk tujuan penyelidikan.

Menurut penduduk, hutan simpan seluas 3,000 hektar itu adalah antara segelintir kawasan hijau yang masih tinggal di negara ini. Ia juga menjadi tempatan tinggal masyarakat Orang Asli.

Kira-kira 1,500 penduduk di situ bimbang mengenai kejatuhan nilai hartanah serta pencemaran alam sekitar ekoran cadangan pembinaan tempat pembakaran di situ.

Wakil jawatankuasa sementara penduduk itu telah memfailkan semakan kehakiman pada 2006 tetapi kes berkenaan telah beberapa kali ditangguhkan.

Hari ini penduduk telah membawa pihak media ke pinggir kawasan hutan simpan tersebut untuk bergambar bersama kain rentang yang dibuat pada 2007, dengan kandungannya disarankan oleh Iskandar, yang juga seorang ahli politik PAS.

Lau berkata, walaupun perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan tarikh untuk mendengarnya belum ditetapkan, tetapi pihaknya berharap ianya dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Jelas isu ini akan sekali lagi menguji kepimpinan Khalid yang selama ini menganggap membentuk kerajaan dan memerintah sebagai perkara mudah.

Sekarang rasakan sendiri. Janji sudah dibuat sebelum pilihan raya. Selesaikanlah.

Kepada Khalid – sendiri mahu ingatlah!

Advertisements

KERAJAAN PAKATAN SELANGOR TENGAH GOYAH…

Posted in Pakatan Rakyat, Selangor on September 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

Benarkah sesuatu akan berlaku esok (Selasa) yang dikatakan akan menyaksikan DUN Selangor dibubarkan atau jawatan Menteri Besar bertukar tangan?

Beberapa blog melaporkan, malam tadi lima ADUN pakatan pembangkang telah membuat kunjungan muhibah dan mesra kepada Perdana Menteri. Pertemuan itu juga disahkan oleh sumber yang boleh dipercayai.

Adakah ini tanda bahawa kerajaan Selangor bakal tumbang? Blog Pisau melaporkan seseorang menerima sms dari rakan baik yang berada di”dalam pakatan” itu baru baru ini: SMS dari rakan PKR UNTUK SEBARAN SEGERA ! TRAGEDI PERAK AKAN BERULANG DI SELANGOR ! Marilah kita sama2 berdoa agar kerajaan rakyat pimpinan ts khalid kekal memerintah slgr.Sumber dari pejabat DSAI mengatakan 11 adun PR akan keluar parti dan akan jadi adun bebas. 5 pas,3 pkr dan 3 dap. Ini semua kerja jahat BN. Jika tiada pilihan ts khalid akan mengadap sultan hari selasa ini utk mohon bubarkan dun. Semua cabang dan ranting diminta bersedia utk gerakan jentera p/raya.. Sama2 kita pertahankan kerajaan rakyat selangor drp terus menjadi mangsa politik jahat BN.

Sejauh mana benar atau tidak sms yang dikirimkan kepada seperti dilaporkan oleh Pisau tidak perlu kita bincang atau pertikaikan kerana kalau pun tidak ada sms seperti itupun, kerajaan pakatan pembangkang di Selangor kini benar-benar goyah.

Benarlah kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang kini dilihat mula dipersoalkan satu persatu oleh rakyat yang ternyata semakin sangsi dengan kewibawaan mereka mentadbir.

Menurutnya, jika sebelum ini pembangkang dilihat amat mudah mempertikaikan kerajaan BN, kini mereka perlu sedar bahawa bukanlah mudah mentadbir seperti mana mudahnya mereka berjanji sesuatu kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya umum.

“Sebenarnya bila mereka jadi pembangkang, amat mudah bagi mereka untuk mempertikaikan kerajaan BN, kononnya kita tidak berwibawa dan sebagainya.

“Hakikatnya bila kita (mereka) mentadbir, tidak semudahnya seperti mana sewaktu mereka lakarkan sewaktu mereka jadi pembangkang. Beberapa kes yang berlaku ini (ketika ini) adalah disebabkan janji mereka buat sebelum pilihan raya dan juga kegagalan mereka untuk membuat keputusan yang tepat dalam keadaan setempat dan ambil kira masyarakat berkenaan,” kata Najib.

Sukar untuk bertahan lagi. Tembelang telah pecah. Rakyat kini tahu bahawa undi mereka kepada calon PKR, DAP dan PAS tidak mendatangkan kebaikan.

Dulu memang bengang dengan Menteri Besar BN. Mulanya memang mahu buang Menteri Besar BN itu tetapi kini ramai sedar apabila tindakan itu bukan sekadar melemahkan kedudukan orang Melayu dan Islam tetapi juga rakyat kaum dan agama lain.

Tidak pernah ada pihak yang mempertikaikan soal bising azan atau kenapa azan lima kali sehari. Namun ia dipertikaikan oleh ADUN DAP selepas pakatan pembangkang berkuasa.

Dan pada dialog antara penduduk Seksyen 23 dengan Menteri Besar dan ADUN Shah Alam beberapa hari lalu, ada pula seseorang bukan Islam mempertikaikan mengenai azan lima kali sehari. U-Tube menyiarkan kata-kata orang berkenaan dan menimbulkan kemarahan.

Walaupun ia bukan sikap kerajaan Negeri Selangor tetapi menyebutnya dalam majlis yang dianjurkan Kerajaan Negeri, ia sangat tidak dialu-alukan. Rakyat mempertikaikan kenapa seseorang seperti itu dipanggil untuk dialog sedemikian?

Ternyata, walaupun PAS ada dalam kerajaan pakatan pembangkang, ia dayus dan hanya menjadi ‘macha’ kepada kerajaan yang diterajui PKR itu. Dengan kata lain, tiada jaminan mereka akan mendapat pembelaan jika orang Melayu dan Islam sendiri dipinggirkan.

Hakikatnya di Selangor soal lompat tidak penting lagi. Yang penting ialah bubar dewan untuk pilihan raya baru. PKR dan DAP akan merasai bahananya.

Kenapa? Kerana kemelut dan masalah yang ditimbulkan oleh wakil rakyat PKR – termasuk Menteri Besar, Tan Sei Khalid Ibrahim sendiri – DAP dan PAS amat mengkalutkan!

Yang pasti kerajaan pakatan pembangkang Selangor sedang menghadapi dugaan besar ketika ini.

Bukan sahaja kerana isu arak dan kuil Hindu tetapi cakap-cakap bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim akan digantikan sedang bertiup kencang.

Ia bagaikan pepatah tiada angin pokok tidak akan bergoyang.

PKR sendiri sedang memerhatikan apa kenyataan dan gelagat pemimpin PAS Selangor, lebih-lebih lagi sejak semalam.

Penasihatnya menjadi gelabah tidak tentu hala dan usaha menyelamatkan kerajaan negeri daripada jatuh sedang dibuatnya. Namun, apakah Sultan Selangor akan menerima beliau menghadap untuk mempersembahkan sebarang formula jika diminta selepas beberapa kali mempertikaikan kuasa Sultan – termasuk di Perak.

Jika rakyat sedang mempersoalkan tindak-tanduk PKR dan DAP kerana isu-isu berkaitan agama dan rasuah, PAS pula sedang diperhatikan sama ada sudah mula menonjolkan dirinya untuk menjadi pengganti kepada PKR bagi kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

Biarpun ada lapan kerusi sahaja dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tetapi itu sudah cukup banyak berbanding dengan kedudukan PAS di Perak yang mana Menteri Besar dilantik daripada parti itu walaupun PKR dan DAP memiliki lebih banyak kerusi.

PAS hanya ada enam kerusi sahaja di Perak tetapi di Selangor PAS ada lapan kerusi berbanding DAP dan PKR.

Cakap-cakap bahawa keengganan Datuk Dr Hassan Ali membuat kenyataan hasil pertemuannya dengan Sultan Selangor kelmarin menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa ia bukan sekadar menerangkan dasar serta pelaksanaan peraturan Islam di Selangor.

Ketiadaan sebarang kenyataan sama ada daripada istana mahupun PAS, ternyata ada rahsia besar sedang disimpan.

Khalid sudah terlajak banyak kali – kenyataan dan tindakan – sama ada dalam isu zakat mahupun kuil di Seksyen 23. Pendirian Khalid dan kerajaan negeri mengenai dua isu ini menyebabkan Tuanku Sultan menegur Khalid dan membidas keputusan Kerajaan Negeri.

Hakikatnya, walaupun menjadi rakan dalam kerajaan pakatan pembangkang, PAS Selangor terpaksa mempertahankan tindakannya yang sebenarnya tidak sehaluan dengan kerajaan negeri dalam isu zakat dan kuil.

Sebagai ‘pelindung agama Islam’ Sultan Selangor dikatakan tidak senang dengan keputusan kerajaan negeri mengenai dua perkara itu dan Khalid bertanggungjawab terhadap kedua-duanya.

Isunya bukan Sultan Selangor mahu campur tangan tetapi dalam PKR sendiri ada krisis melibatkan Khalid Ibrahim dan Azmin Ali kian hangat apabila Khalid Ibrahim dikatakan disingkir kedudukannya sebagai Ketua Cabang(bahagian) Selangor yang menjadikan Khalid sebagai Menteri Besar tanpa jawatan di peringkat cabang atau bahagian.

Hal ini ternyata menyebabkan Khalid Ibrahim boleh dipertikaikan kedudukannya sebagai Menteri Besar

Wujudnya perancangan antara ADUN dikalangan pakatan pembangkang yang ingin menjatuhkan Menteri Besar ,yang ternyata tidak boleh dibiarkan lagi,terlalu banyak kerosakan dan kesilapan didalam pentadbiran yang tidak dapat disimpan lagi.

Beberapa blog mendedahkan mengenai skandal dan salah guna kuasa oleh Exco Selangor menambahkan api kemarahan ADUN-ADUN ini, ditambah agama dan bangsa digadai tanpa pembelaan, menjadikan rakyat juga marah.

Kalau pilihan raya diadakan di Selangor ketika ini, BN akan tegak kembali dan lebih separuh wakil rakyat sekarang akan pencen.

UNTUK 2 KHALID – INI BARU PERMULAAN…

Posted in Khalid, Pakatan Rakyat, PKR, Selangor on September 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

MARAH … Majlis Dialog antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan penduduk Seksyen 23 Shah Alam berhubung cadangan pemindahan bangunan kuil menjadi hangat apabila penduduk tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. – GAMBAR UTUSAN

Apa orang PAS, DAP atau PKR nak kata katalah. Apa orang besar atau berpangkat mahu menganggap bantahan yang dibuat – termasuk dalam isu kepala lembu – katalah.

Hakikatnya berkat bantahan dan kesungguhan rakyat Selangor menentang cadangan Kerajaan Selangor memindahkan kuil Hindu di Seksyen 19, Shah Alam ke Seksyen 23, kini mencapai kejayaan untuk sementara.

Semalam Kerajaan Negeri memutuskan untuk memembekukan rancangan memindahkan kuil berkenaan, ekoran bantahan keras penduduk Seksyen 23 – tempat kuil itu hendak dipindahkan – dalam sesi dialog pada sebelah pagi.

Bercakap kepada pemberita di kediaman rasminya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Khalid berkata rancangan pemindahan kuil yang mencetuskan kontroversi itu, dibekukan sehingga tapak alternatif yang sesuai dikenalpasti.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail turut hadir.

Khalid berkata, selepas kerajaan negeri bertemu PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor), MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), maka kita akan kemukakan cadangan mengenai pemindahan kuil tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada pemindahan kuil itu ke Seksyen 23 dibatalkan, Khalid mengulangi bahawa “ia dibekukan”.

Khalid Samad yang masih mahu menegakkan benang basah menyifatkan insiden pagi tadi berpunca daripada salah faham semata-mata ekoran terdapat anggapan bahawa keputusan telah dibuat.

Yang peliknya pada sesi dialog itu kerajaan negeri membenarkan petugas Unit Amal PAS memasuki dewan di MBSA, tempat dialog itu diadakan. Ini menyebabkan kemarahan penduduk.
Menteri Besar mengakui ia bertujuan membantu pasukan penguatkuasa mengawal keadaan.

Dialog hampir dua jam itu tidak berjalan lancar apabila penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan. Hanya kedengaran bunyi bising dan ungkapan tidak puas hati seperti “tipu”, “kamu mahu keputusan” dan “ya atau tidak?”.

Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa.
Mereka juga enggan mendengar penjelasan lain dan menuntut Khalid Ibrahim membuat keputusan segera sama ada untuk mengekalkan cadangan itu atau memindahkannya ke tempat lain.

Majlis dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen yang kecoh itu dimulakan dengan perang mulut antara lima penduduk yang melepaskan kemarahan mereka kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Apabila majlis dibuka kepada soalan, rata-rata penduduk Melayu mendominasi sesi itu bagi melepaskan geram kepada kerajaan pakatan pembangkang Selangor yang didakwanya sebelum ini lambat memberikan respons untuk berbincang.

Ketegangan itu dilihat sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk setempat beragama Hindu yang tampil memberikan cadangannya, hampir dibaling dengan kerusi.

Sejurus kemudian, berlaku kekecohan kedua apabila beberapa penduduk bertindak menghalau keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan tersebut kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.

Yang pasti dialog pagi semalam sudah menjelaskan betapa rakyat Selangor yang beragama Islam, khususnya yang berada di Shah Alam, tidak lagi boleh berharap kepada Ahli Parlimen dan ADUN mereka – kerana mereka pun sama.

Kemarahan juga menggambarkan betapa dua Khalid – Khalid Ibrahim dan Khalid Samad akan berdepan dengan banyak lagi bantahan kerana kejadian pagi semalam bolehlah dianggap permulaan.

JANJI P’RAYA PAKATAN PUNCA MASALAH KUIL

Posted in Pakatan Rakyat, Selangor on September 5, 2009 by Hambali Abd Latiff

Segala-galanya kerana janji pilihan raya.

Kalau tidak kerana janji dan menunaikan janji , ia tidak akan menghuruharakan Selangor.

Selepas menang, akibat berjanji – Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpaksa memenuhi tuntutan kumpulan yang memang menjadikan kuil sebagai perjuangan mereka walaupun tahu isu ini sudang dibangkit dan dibincangkan.

Lebih merosakkan, ada pula dua tiga ADUN pakatan pembangkang Bergama Islam yang ‘bebal’ mengenai isu kuil ini memandai-mandai kononnya mahu membantu kumpulan berkenaan.

Kerana itulah, Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 menghantar memorandum bantahan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, supaya kuil itu tidak dibina di kawasan mereka.

Apalagi, kedudukan kuil itu hanya 160 meter dari kawasan penempatan, 50 meter dari taman permainan kanak-kanak dan 150 meter dari Surau Al-Jannah di taman perumahan itu.

Akhirnya daripada ‘tiada isu’ ia nmenjadi ‘isu panas’ yang memerlukan campur tangan Sultan Selangor, polis dan Kerajaan Pusat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah mengarahkan Menteri Besar Selangor mencari jalan terbaik menyelesaikan isu pemindahan kuil itu Rabu lalu.

Baginda mahu isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang mendapat bantahan penduduk Islam diselesaikan bagi mengelak perselisihan kaum di negeri ini.

Kerajaan negeri sebagai reaksi kepada arahan itu mengatakan kuil tetap dipindahkan di Seksyen 23 kecuali jika ada pihak lain termasuk menteri atau penduduk kawasan itu mampu menawarkan tapak lain yang lebih sesuai.

“Kalau boleh tunjuk keputusan yang lebih baik (tapak lain), sila tunjuk termasuklah kepada menteri yang bercakap mengenai pemindahan kuil ini. Sebagai pengurus negeri, kita bersikap profesional,” kata Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Exco Rabu lalu.

Menteri Besar itu mengakui isu pemindahan kuil bukan baru sebaliknya berlanjutan sejak 26 tahun lalu. Tetapi kenapa tidak merujuk kepada langkah dan cadangan sebelum ini yang sudah dipersetujui oleh kerajaan negeri sebelum ini. Apakah cadangan oleh kerajaan negeri yang ditadbir oleh BN sebelum ini tidak baik?

Melihat kepada panasnya isu ini yang kini berlarutan lebih seminggu, kerajaan negeri dijangka akan berdepan dengan bantahan semakin besar selepas ini.

Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah membelanjakan hampir RM1 juta untuk memindahkan tapak kuil Sri Maha Mariaman dari Seksyen 19 ke Seksyen 18 seperti yang dibincangkan dengan pihak pengurusan kuil sebelum ini.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjelaskan, perbelanjaan tersebut melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur meliputi jalan raya, lampu jalan serta kemudahan elektrik di atas tanah seluas 0.6 hektar di Pesiaran Raja Muda, Seksyen 18 yang merupakan lokasi asal untuk mengalihkan rumah ibadat itu dari Seksyen 19 yang didapati tidak sesuai.

Katanya, walaupun pembinaan infrastruktur telah pun siap pada tahun 2007 namun, pembinaan rumah ibadat di kawasan berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana ketika itu ia masih lagi di peringkat perbincangan.

Bagaimanapun perbincangan itu terhenti selepas pilihan raya umum lalu sehinggalah kerajaan negeri campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang memerintah Selangor hari ini menukarkan tapak kuil tersebut ke Seksyen 23.

Dr Mohd Khir mendakwa, masalah kuil di Seksyen 19 itu berpunca daripada janji Pakatan Rakyat untuk memindahkannya ke Seksyen 23 bagi memenuhi janji pilihanrayanya.

Sedangkan, dakwanya, kerajaan BN sebelum ini telahpun menyelesaikan masalah tersebut dengan menawarkan dua tapak cadangan – iaitu di Seksyen 18 dan 22 – yang menurutnya merupakan tapak terbaik di Shah Alam.

“Masalahya sekarang, Pakatan Rakyat berjanji kepada rakyat, apabila mereka berjaya memerintah Selangor, mereka akan membina kuil di Seksyen 23. Ini sama juga dengan kes Kampung Buah Pala.

“Jadi, (ini semua) untuk menuntut janji yang telah mereka katakan, bukan kerana kesalahan kerajaan BN. Kita telah siapkan (tapak cadangan). Kalau tengok, tapaknya cukup strategik dan paling sesuai,” katanya.

Bekas menteri besar Selangor berkata, kedua-dua tapak cadangan tersebut masing-masing berkeluasan 70,000 kaki persegi dan tapak di Seksyen 18 telah mempunyai infrstrukturnya termasuk jalan, lampu jalan dan bekalan elektrik”.

Malah, katanya, kemudahan infrastruktur di Seksyen 18 itu sudah siap disediakan sejak tahun 2007 lagi.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan BN dahulu begitu prihatin dengan keperluan penduduk yang beragama Hindu di situ.

Bercakap di tapak di Seksyen 18 itu, Dr Mohd Khir meminta kerajaan negeri supaya berhenti menyalahkan kerajaan dahulu dalam isu pembinaan kuil tersebut.

Beliau juga menyifatkan bantahan penduduk Seksyen 23 – tempat kuil itu mahu dipindahkan – sebagai isu lama.

Menurutnya, ini kerana penduduk di situ memang sudah lama membantah kuil tersebut dipindahkan ke kawasan mereka.

Ekoran itu, katanya, kerajaan BN dulu menawarkan tapak baru untuk kuil tersebut di Seksyen 18 dan 22.

Dr Mohd Khir juga membela tindakan sekumpulan yang membantah pemindahan kuil itu ke Seksyen 23, dengan mengadakan perarakan kepala lembu ke pejabat sekretariat kerajaan negeri, Jumaat 28 Ogos lalu.

Sekumpulan 50 orang mendakwa sebagai penduduk Seksyen 23 meletakkan kepala lembu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor dalam satu protes membantah pemindahan kuil itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyiasat insiden berkenaan.

Dr Mohd Khir menyifatkan perkara itu, bukan isu agama, tetapi kelapa lembu itu, menurutnya bermaksud “kerajaan telah membuat satu keputusan bodoh seperti lembu dalam menangani kontroversi tersebut”.

“Mungkin ada kesilapan, tetapi tujuan mereka bawa kepala lembu bukan untuk menghina orang India. Tujuannya hendak menggambarkan kerajaan hari ini bertindak tidak mengikuti fikiran.

“Tapak telah disiapkan, kenapa tidak berfikir? Jadi hendak tunjukkan kerajaan hari ini buat keputusan yang bodoh. Itu sahaja, bukan ada isu agama,” katanya.

Apa yang pasti, isu ini yang dilihat sebagai isu politik dan demokrasi oleh Menteri Besar Selangor, bukan sekadar itu semata-mata.

Keputusan kerajaan negeri Selangor meluluskan pembinaan kuil di tapak seluas 0.2 hektar sudah menimbulkan kemarahan penduduk Islam kerana Seksyen 23 dihuni 75 peratus masyarakat Islam.

Amat jelas kerajaan Selangor tidak menghiraukan rintihan penduduk Islam di kawasan berkenaan yang mungkin akan mewujudkan suasana tegang di situ.

Hakikatnya bukan orang Islam di seksyen 23 sahaja marah kepada Khalid tetapi tindakan kerajaan negeri Selangor itu sebenarnya mencabar maruah Islam seluruhnya.

KENAPA MAIN POLITIK FITNAH…

Posted in ADUN, Pakatan Rakyat, PKR on August 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

“Ingatlah setiap jari yang kita tuding kepada orang, tiga jari lagi menuding kepada kita,” kata Zulkifli Noordin dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com/ semalam.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, semalam meminta ahli-ahli Pakatan Rakyat supaya menghentikan fitnah ke atas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang bertindak keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin dan menjadi ADUN Bebas.

Beliau berkata, Radzhi meletak jawatan dalam Pakatan kerana masalah-masalah polisi dan prinsip dan bukannya berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Menurut Zulkifli, segelintir ahli-ahli PKR menuduh Radzhi meletak jawatan kerana pelbagai sebab termasuk beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), masalah disiplin dan ada yang menuduh beliau menerima rasuah sebanyak RM4 juta daripada Umno.

Alhamdullilah, ada juga orang PKR yang tidak mahu menjadikan politik menyerang peribadi sebagai cara mendapatkan sokongan dan kuasa.

Saya terkejut membaca blog http://pkrpasdap.blogspot.com yang menyebut bahawa Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya memberitahu Radzhi keluar dari PKR lebih baik kerana dia tidak membawa apa-apa faedah kepada Pakatan mahupun BN.

Menurut blog berkenaan, Koya berkata, calon ini memang bermasalah dan wajar dibersihkan dari PKR. Begitu hinanya pada pandangan PKR sekiranya ada calon lompat parti kerana tidak puas hati. Cakap pasal tidak puas hati, kata Koya, Radzhi dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM). Radhzi juga dikatakan mengalami masalah rumahtangga serius.

Blog berkenaan bertanya: “Yang lucunya, kenapa hal rumahtangga Radhzi menjadi isu. Kalau masalah rumahtangga menyebabkan calon itu perlu letak jawatan… ramai dan berlambak ADUN dan YB Parlimen dari PKR yang ada masalah rumahtangga.”

Koya menurut blog berkenaan, berkata Radzhi ketika memegang jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia menyalahgunakan kuasa. Dia mengumpul kekayaan atas jawatan itu. Koya berhujah, Radzhi suka memiliki kilang, kedai dan harta semasa memegang jawatan berkenaan. Dia bukan seorang YB yang mementingkan tanggungjawab untuk rakyat sebaliknya menggunakan pengaruhnya untuk memperolehi kekayaan.

Koya menjelaskan, PKR gembira dengan tindakan bekas Adun mereka itu dari terus menjadi duri dalam dagung dan memburukkan imej parti dengan sikap dan rekod yang dimilikinya.”
Sebaliknya Zulkifli berkata “sebagai sebagai pejuang hak asasi manusia, sepatutnya kita (Pakatan) menjadi orang pertama menmghormati keputusan beliau kerana itu adalah hak asasi beliau untuk memilih dan menentukan parti mana yang beliau mahu sertai,” katanya.

Menurut Zulkifli pula, Radzhi sangat komited dan berdedikasi semasa menjalankan tugasnya sebagai Exco Pelancongan dan Sumber Manusia dan hanya Sultan Kedah mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada beliau perlu kekal sebagai Exco.

Dalam blognya, Zulkifli turut memberitahu mengenai usaha-usaha yang dilakukan Radzhi untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi “syariah compliance” dan “halal tourism” untuk menarik lebih pelancong dari Asia Barat.

Zulkifli memuji Radzhi dengan berkata: “Beliau sangat menaruh minat dengan konsep “halal hotel” yang dilaksanakan oleh pengurusan Hotel De Palma, Ampang Selangor yang katanya memenuhi cita-cita beliau untuk melaksanakan “halal tourism” di Kedah. Beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan dengan pihak pengurusan hotel De Palma untuk mempelajari konsep “syariah compliance hotel” ini.”.

Selain itu Radzhi adalah antara orang yang paling sedih tentang perkara berhubung isu kaum Melayu di Malaysia yang tidak bersatu sejak pilihan raya umum 2008, Zulkifli berkata,
“Beliau sangat teringin melihat pemimpin-pemimpin Melayu Islam daripada PAS, PKR dan UMNO duduk semeja untuk mencari kata sepakat demi ukhwah Islamiyyah dan maruah agama yang makin tercabar,” katanya.

Zulkifli mengakui Radzhi turut berhadapan dengan masalah kewangan untuk memantau dan menguruskan DUN Lunas. Katanya, ADUN daripada Pakatan terutamanya di Kedah tidak menerima sebarang bantuan kewangan atau dana.

“Kami bergantung sepenuhnya kepada elaun dan pendapatan sebagai ADUN dan MP. Ini ditambah pulak dengan masalah dalaman, jentera dan cabang PKR di Padang Serai yang tak habis-habis dilanda masalah dalaman termasuk ketiadaan kerjasama daripada beberapa orang pimpinan tempatan,” katanya.

Zulkifli turut mempersoalkan mengapa ahli-ahli Pakatan mendesak Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN sedangkan semasa ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dan kemudian kembali semula menyertai Umno, PKR tidak memaksa beliau meletak jawatan.

“Melainkan kita ini pengamal fahaman ‘double-standard’, saya berpendapat pendirian kita mesti istiqamah dan konsisten,” tegas Zulkifli.

KERAJAAN PAKATAN SELANGOR BERGOLAK?

Posted in Khalid, Pakatan Rakyat, Selangor on August 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan pakatan pembangkang Selangor Darul Ehsan kini sedang bergolak atau dalam krisis?

Pihak yang menyokong kerajaan pakatan pembangkang berusaha mempertahankan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ada yang mengatakan Khalid tidak akan bertahan lama. Malah sudah ada ura-ura mengatakan beliau akan digantikan dalam tempoh terdekat.

Tidak semena-mena, Datuk Dr Hassan Ali menafikan beliau berminat menjadi Menteri Besar. Apakah ada kaitan dalam khabar angin ini?

Beberapa bulan kebelakangan ini, nama wakil rakyat Gombak, Azmin Ali begitu mendadak dikatakan akan menggantikan Khalid.

Lebih diperkatakan ialah apabila cadangan Khalid menggunakan wang zakat ditolak mentah-mentah oleh Sultan Selangor. Khalid terduduk dengan pernyataan Sultan itu dan ia tamparan hebat apabila kedudukan kewangan Selangor kini dikatakan semakin meruncing.

Juga dengan kedudukan Khalid sendiri yang dikatakan akan menghadapi tekanan akibat pinjamannya dengan Bank Islam yang belum diselesaikan, menggambarkan betapa Khalid kini diserang secara peribadi dan kepimpinannya.

Pendedahan oleh blog pro-PAS ‘Malaysian Waves’ yang memaparkan tulisan Tulang Besi mengenai kehilangan ADUN Pelabuhan Kelang menguatkan spekulasi.

Menurut tulisan berkenaan, ADUN Pelabuhan Klang hilang atau diculik yang mungkin mengulangi tragedi (kejatuhan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Nizar di Perak) kejatuhan kerajaan pakatan di Perak.

Menurut Tulang Besai, beliau mendapat maklumat ADUN berkenaan kini ditahap tidak dapat dihubungi.

Baca apa yang ditulis oleh Tulang Besi:

“Saya mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai bahawa ADUN Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah sudah sampai ke tahap tidak dapat dihubungi. Situasi ini iras-iras kedua-dua ADUN lompat di Perak tempoh hari.

Mari kita berdoa kerajaan PR Selangor akan dapat mengatasi masaalah ini dengan terbaik mungkin, inshaalah.Ingat, UMNO cuma memerlukan 9 orang ADUN untuk melompat bagi memastikan kerajaan negeri bertukar tangan. Dan dengan Najib Tun Razak sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor, mereka amat “desperate” untuk mengambil alih Selangor.

Saya merasakan UMNO sedang mencuba untuk mendapat kesembilan-sembilan orang ADUN tersebut melalui aksi melompat dari kedua2 PKR dan PAS. Dari PAS, saya yakin paling ramai yang akan melompat hanya dua orang. Yang lain itu masih berprinsip dan beriman.

Dari PKR pula, baru-baru ini bukankah berlaku ADUN PKR sendiri menyerang kerajaan negeri?Saya tidak tahu berapa orang yang mampu bertahan dan berpegang dengan prinsip mereka?

Oleh sebab itu kita semua wajib berdoa dan berusaha supaya kerajaan Pakatan Rakyat berjaya dipertahan dan segala usaha jahat UMNO digagalkan, inshaalah.

Sekiranya saya dibuktikan salah dalam isu ini (yakni Badrul tidak melompat) saya akan menjadi amat gumbira.”

Sama ada pemimpin PKR atau PAS, mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana ternyata krisis demi krisis dan cantas mencantas antara pemimpin di Selangor, sama ada antara parti atau antara pemimpin dalaman parti tidak boleh dibendung lagi.

Pendedahan mengenai salah laku pemimpin DAP membebankan PKR dan PAS. Sementara perbalahan antara pemimpin PAS pula membebankan PKR dan DAP.

Dalam PKR pula ada pelbagai perbuatan sabotaj dan sebagainya yang menjadikan rakyat Selangor kini menyesal mengundi parti pembangkang berkenaan untuk membolehkan mereka menang.

Yang pasti kalaupun usaha menggoncang dan menjatuhkan kerajaan negeri Selangor tidak berjaya dilakukan dalam masa terdekat, pengundi dan rakyat Selangor akan tetap menghukum kerajaan sekarang yang gagal berfungsi seperti diharapkan.

Ikuti posting akan datang, bagaimana kerajaan pakatan pembangkang di Selangor memusnah dan mengecewakan pengundi mereka dan kini bersedia untuk menukar kembali kepada kerajaan Barisan Nasional.

TAKBIR PAS DI SELANGOR KINI TAK-BEER, TAK-BEER….

Posted in arak, Pakatan Rakyat, Selangor on August 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Almarhum Dato’ Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor Almarhum tegas mengingatkan kita khamar itu adalah “Ummul qobaais-ibu segala maksiat-mother of all evil!)

Alhamdullilah, sengaja atau kebetulan isu mengenai penjualan arak di Selangor ini dapat kita sama-sama fikirkan pada hari ini – Jumaat – penghulu hari bagi segala hari.

Apakah isu penjualan arak di Selangor selesai?

Apakah hanya kerana Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan anggota jawatakuasa DAP pusat, Ronnie Liu bersetuju mematuhi arahan pucuk pimpinan pakatan pembangkang, isu ini selesai?

Apa yang selesai sebenarnya?

Apakah dengan bersalaman antara mereka di hadapan media, isu perjualan khamar ini selesai?

Apakah Hassan Ali tidak jadi letak jawatan hanya kerana mahu menunjukkan sikap berbaik-baik dan mewujudkan keredaan pertelingkahan antara parti dalam pakatan pembangkang demi pilihan raya kecil Permatang Pasir?

Berasaskan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia memang sedemikian.

Bagi Anwar, dengan kedua-dua Exco itu sudah berjabat tangan, pergeseran terbuka antara kedua-dua mereka “sudah selesai”. Fahamilah kata-kata ini dengan sebaik-baiknya – isu penjualan arak selesai atau pergeseran pemimpin yang selesai.

Bagi Anwar, pendirian ‘kita’ tetap sama, iaitu tidak menggalakan percambahan penjualan arak kepada orang Islam tetapi penjualan arak kepada orang bukan Islam kekal seperti sekarang. Tidak ada masalah berbangkit.

Baginya, isu arak ini sengaja dibangkitkan bagi menyorok isu mengenai PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang) dan rasuah.

Itulah cara Anwar. Mudah sahaja selesai, iaitu membangkitkan isu lain dan dikaitkan dengan isu ini untuk membersihkan pakatan pembangkang.

Perkara ini ditegaskan oleh Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat di Tropicana Golf and Resort semalam.

Mesyuarat pakatan pembangkang itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pula mengulas perkara itu mendakwa isu arak tersebut merupakan isu lama dan diwarisi daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Pun begitu, kita dapat selesaikan dengan baik, tanpa menyentuh antara satu sama lain di mana Islam dapat dilaksanakan dan orang bukan Islam dijamin haknya. Yang penting kita (Pakatan Rakyat) bersatu walaupun kita berbeza pendapat dan ideologi. Apa guna kita bersama kalau tidak bersatu,” katanya.

Berbalik kepada kenyataan Anwar awal tadi, bagi pakatan pembangkang, termasuk Hadi sendiri, apakah isu penjualan arak ini selepas hanya kerana Hassan Ali dan Ronnie Liu berbaik semula?
Apakah penyelesaian isu ini dilakukan demi kepentingan politik atau melalui ekakmen, garis panduan dan peraturan?

Saya hairan kerana pakatan pembangkang tidak menyatakan sedikit pun mengenai langkah bukan politik – agama dan social dan lebih penting penguatkuasaan.

Apa yang disebut oleh kedua-dua pemimpin pembangkang itu lebih kepada keputusan politik dan kepentingan perpaduan dalaman pakatan pembangkang.

Apabila kerajaan Selangor pada 7 Ogos lepas, memutuskan bahawa penjualan minuman keras di negeri itu berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli daripada kalangan orang Islam dan remaja, ada banyak lompang dalam arahan berkenaan.

Ronald Liu yang ditanya sama ada permohonan maaf antara kedua-duanya telah dibuat, beliau enggan menjawab dan hanya bersalaman dengan Hasan.

Hassan Ali yang turut hadir pada mesyuarat tersebut ketika ditanya mengenai hasratnya untuk meletak jawatan exco kerajaan negeri, berkata beliau akur dengan keputusan yang diputuskan Menteri Besar Selangor.

“Tiada apa lagi yang perlu dibangkitkan. Kita setuju dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim),” katanya.

Beliau kini senada dengan Liu, akur dengan keputusan pucuk pimpinan pakatan itu.

Apakah mereka yang mengemukakan pandangan isu ini dari PAS dan PKR seperti Yang Berhormat Zulkifli Noordin akan patuh apabila Hassan Ali dan Ronald Liu sudah berjabat tangan?

Apapun, baca kembali tulisan Zulkifli Noordin pada 10 Ogos lalu.

TAKBEER! SELANGOR DARUL KHAMAR?

Oleh Zulkifli Noordin (10 August 2009)

Saya sangat kecewa dengan keputusan YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor yang menolak usul yang dikemukakan oleh PAS Selangor supaya dilaksanakan larangan menyeluruh ke atas penjualan arak dikedai serbaneka dan peruncitan di Shah Alam khususnya, dan Selangor amnya. Ianya telah menukar status Selangor daripada negeri Darul Ehsan kepada Selangor Darul Khamar!!

Desakan ini dibuat berdasarkan hakikat Shah Alam adalah kawasan yang penduduknya lebih 90% adalah umat Islam. Tidak ada sebab untuk kedai peruncitan dan serbaneka untuk menjual arak, beer atau alkohol atas apa nama sekalipun, apatah lagi jika ianya berdekatan dengan surau atau masjid.

Berikutan aduan yang dibuat oleh umat Islam, Majlis Bandaraya Shah Alam telah melaksanakan langkah merampas arak yang dijual dibeberapa kedai serbaneka ini. Namun tindakan MBSA telah dipertikai oleh YB Ronnie Liu daripada DAP yang mengarahkan supaya MBSA memulangkan balik arak yang dirampas.

Tindakan YB Ronnie Liu telah membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di Shah Alam. Maka PAS Selangor dibawah pimpinan YB Dato’ Hassan Ali telah mengemukakan memorandum supaya larangan penjualan arak secara menyeluruh di Selangor dilaksanakan.

Tindakan dan keputusan YAB Tan Sri Menteri Besar jelas bertentangan dengan kehendak dan aspirasi penduduk Islam di Shah Alam, dan jelas tidak menghormati pendirian PAS Selangor yang merupakan rakan Pakatan.

Malahan apa lebih dikhuatiri sikap YAB Tan Sri Menteri Besar akan memberikan persepsi beliau terlalu tunduk kepada nafsu serakah DAP yang akhir-akhir ini kelihatan makin melampau dan biadap termasuk membuat kenyataan dan tindakan yang dianggap menghina dan merendahkan Islam dan umat Islam.

Kalau Shah Alam yang majoriti besarnya adalah umat islam boleh dicabul dengan penjualan arak, apalah nasib kawasan lain di Selangor! Alangkan YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman pun pernah menyatakan supaya Shah Alam hendaklah dibebaskan daripada pengaruh arak.

Saya teringat lagi kata-kata Almarhum Dato’ Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor yang sentiasa mengingatkan kita dan istiqomah dalam menegaskan bahawa arak itu adalah “ummul qobaais” – ibu segala maksiat..the mother of all evil! Saya kira kalau Almarhum masih hidup, sudah tentu beliau akan menentang habis-habisan tindakan Kerajaan Selangor ini.

Saya ingin menegaskan bahawa saya langsung tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak dikedai serbaneka dan peruncitan di Selangor. Saya mengambil keputusan memufaraqahkan diri daripada keputusan itu.

Saya juga mendesak supaya Kerajaan Selangor supaya menarik balik keputusan membenarkan penjualan arak tersebut dan menerima memorandum yang dikemukakan oleh PAS Selangor untuk larangan menyeluruh keatas penjualan arak di Selangor.

Saya juga berpendapat mungkin sudah tiba masanya undang-undang negara dipinda untuk membolehkan tindakan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mana-mana pemilik atau pengusaha kedai peruncitan ataupun serbaneka yang menjual arak kepada mana-mana orang Islam.

Kita melihat kebanyakan pemilik atau pengusaha ini terdiri daripada golongan bukan Islam, malahan ada antaranya dimiliki oleh taukeh judi. Mereka tahu bahawa jika mereka menjual arak kepada remaja Islam tindakan tidak boleh dikenakan terhadap mereka; kerana undang-undang negara menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya kepada umat Islam.

Saya juga memohon kepada Kebawah Duli Sultan Selangor mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana sebagai payung bagi agama Islam dalam negeri Selangor, rakyat mengharapkan Tuanku memelihara kesucian dan maruah Islam dan umat Islam yang sudah tercemar akibat kegagalan YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor mempertahankan Islam. Tuanku, you are the last bastion of Islam in this state of Selangor..please do something to redeem the honor and status of Islam in Selangor!

Saya juga menyeru sahabat-sahabat pejuang Islam supaya istiqomah dalam perjuangan kita memastikan Selangor khususnya, dan Malaysia amnya bebas daripada pengaruh arak, beer dan alkohol. Janganlah nanti dikata orang takbir kita dah jadi “tak-beer”!!