Archive for the Ahmad Ramzi Category

DR RAMZI DITUDUH MEMFITNAH WAN AHAMAD

Posted in Ahmad Ramzi, sms ugutan on June 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Akhirnya selepas lebih dua minggu dibebaskan, Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Ia ada kaitan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bulan lalu.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, ADUN Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, ADUN Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, ADUN Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Idris Jusoh itu, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan berhubung penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan jenayah kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu, April lalu.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi, 37, diikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport.

Hakim Mohamad Khalid menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

AHMAD RAMZI DIBAWA KE MAHKAMAH?

Posted in Ahmad Ramzi, politik, Terengganu on June 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Berita Awal)

Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, kena dakwa?

Beliau dikatakan dilihat dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pagi ini.
Beliau dipercayai untuk proses pendakwaan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), April lalu.

Ahmad Ramzi pada 13 Mei jam 9.25 pagi lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu sehari sebelumnya.
Dr Ramzi ditahan bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu, bulan lepas.
Beliau ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi 12 Mei di sebuah hotel apartment sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan.

Sebelum Ahmad Ramzi ditahan, polis terlebih dahulu menggeledah rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini petang semalam selepas beliau gagal tampil sehingga pukul 3 petang dan merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem.

Dengan tangkapan Ahmad Ramzi itu, polis percaya siasatan kes berkenaan kini sudah 95 peratus selesai.

MUTAKHIR…DR RAMZI

Posted in Ahmad Ramzi, idris, Terengganu on May 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Semua akhbar di Kuala Lumpur sudah tahu.
Polis sudah berjaya memberkas bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Idris Jusoh).
Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kini ditahan polis.
Di mana beliau ditahan dan di mana beliau sedang disoalsiasat belum diketahui


SIAPA YANG FASIK & PENYEBAR FITNAH?

Posted in Ahmad Ramzi, Ahmad said, idris, Terengganu, UMNO on May 11, 2009 by Hambali Abd Latiff

Seorang penjengok blog saya, menggelarkan dirinya insan memetik Buletinonline.net 9 Mei 2009 dengan tajuk “Idris Jusoh Wajar Disiasat, sekiranya Ramzi Benar-Benar Hilang”.
Kenapa pula mahu mengaitkan Dato’ Seri Idris Jusoh dalam soal ini? Apa kena mengena Pengerusi MARA itu dengan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir?

Apakah hanya kerana Dr Ramzi bekerja dengan Idris, Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini mahu dipalitkan?
Tidak adil dan tidak masuk akal. Apakah hanya kerana Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) Terengganu menyarankan agar polis turut menyiasat bekas Menteri Besar Terengganu itu, kerana menurutnya Ramzi adalah merupakan orang kanan dan orang kepercayaan Datuk Seri Idris Jusoh, kita turut terpengaruh?

Persoalan seperti “Adalah menimbulkan kemusykilan, bagaimana polis tidak tahu diaman ia berada, Datuk Seri Idris Jusoh tidak tahu di mana Pegawai Khas beliau berada ?” dan “kehilangan ‘misteri’ Ramzi semestinya diajukan kepada Datuk Seri Idris Jusoh kerana Ramzi adalah merupakan orang kanan dan kepercayaan Datuk Seri Idris Jusoh,” tidak boleh dijadikan alasan untuk mengaitkan Idris.

Malah, bergantunglah kepada polis untuk menyiasat walaupun AMK Terengganu mengatakan pihak polis wajar turut menyiasat Idris Jusoh dalam menyelesaikan kebuntuan polis atas ‘kehilangan Pegawai Khas Pengerusi Mara’ serta siasatan kes SMS ugutan bunuh tersebut.
Bagi saya Idris langsung tidak nampak kena mengena, malah beliau tidak pun mengeluarkan sebarang ulasan.

Kalau mahu dikira, ada beberapa individu melalui blog mereka sewajarnya disiasat, apalagi mereka seakan mencabar kerja polis. Ada antaranya yang mengaitkan isu sms ini dengan ‘konspirasi politik’.

Seorang ADUN yang mempunyai bloknya mengulas mengenai sms pada 6 Mei lalu berkata: “Kemuncak ialah sms ugutan…saya hairan kenapa orang yang bertanggungjawab masih bebas dan orang lain dikaitkan…Apakah ini satu konspirasi…”

Seorang lagi ADUN yang bergelar Ustaz menulis melalui blognya pada 14 April lalu lagi sedap apabila memulakan postingnya dengan Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Beliau berbicara mengenai “SMS Ugutan – Siapa” pada 14 April, 2009 dan kini terbukti Ustaz ini juga ‘sesat jalan’. Ini kerana menurut uztaz berkenaan: “SMS tersebut gara-gara pihak yang tidak bertanggungjawab yang menfitnah kami dari kalangan YB agar mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB…Oleh kerana keselamatan kami YB BN terancam, kami bersepakat untuk tidak menghadirkan diri dalam persidangan tersebut.”

Ada tiga perkara di sini, pertama sms ada kaitan dengan ‘usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar” dan kedua ialah “bimbang mengenai keselamatan”. Ketiga dan paling menarik ialah ‘fitnah’. Sebenarnya siapa fitnah siapa?

Kalau menurut susur galur siasatan polis, yang menyebabkan timbulnya fitnah dan sebagainya terhadap ustaz dan kawan-kawannya bukan daripada pejabat Menteri Besar. Jadi bersesuaian dengan surah al-Hujurat, ayat 6 di atas, siapa yang fasik dan membawa perkhabaran tidak benar?

Saya ingin mengulangi di sini bahawa berdasarkan empat laporan akhbar, pihak yang membawa berita dusta dan menjadikan keadaan huru hara seketika di Terengganu bukan dari pejabat Menteri Besar. Baca dan teliti:

1. Laporan Berita Harian Online (15 April 2009): – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, ugutan bunuh yang diedarkan kepada tiga daripada ADUN terbabit melalui sms adalah tidak sahih. “Mereka dapat SMS tetapi SMS tak berpunca daripada pejabat Menteri Besar, maka tidak ada kesahihan.”

2. Laporan Sinar Harian (23 April 2009): Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

3 . Laporan Utusan Malaysia (23 April 2009): ): Ketua Polis Neger, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan bahawa lelaki berusia 31 tahun itu tiada kaitan dengan Pejabat Menteri Besar seperti yang didakwa sebelum ini; dan

4. Laporan Berita Harian Online (24 April 2009) bertajuk “Ramai lagi ditahan” melaporkan “Sumber memberitahu, kerani berkenaan ada kaitan dengan 10 ADUN yang memulaukan hari kedua siding Dewan Undangan Negeri pada 14 April lalu.”

Sementara itu, ada juga blog seakan menyokong mereka yang membuat tuduhan kononnya pegawai pejabat Menteri Besar melakukan sms ugut bunuh itu apabila pemilik sebuah blog memuatkan kata-kata berikut pada 27 April lalu:

“Saya naik malu dan tergemang bulu roma bila baca tulisan dalam satu laman blog yang tidak percaya bahawa polis menafikan polis mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Zuber yang kononnya dikaitkan dengan penghantaran sms ugutan bunuh kepada ADUN Barisan Nasional (BN). Saya nampak penulis blog itu hanya seronok membaca laporan yang memihak kepadanya sahaja tetapi beliau tidak boleh menerima satu kenyataan yang berbeza.
Labih bahlul lagi, dia sanggup menyalahkan wartawan dan akhbar yang membuat laporan dengan mencetuskan pelbagai persoalan yang saya anggap bertaraf tepi jalan sahaja. Tapi, saya tak hairan sangat dengan perangai macam itu kerana talian hayatnya sedang berada di hujung tanduk. Bagi saya, penulis itu tidak faham mengenai politik Terengganu dan sejarahnya.

Maklumlah dia datang ketika menang saja dan mendapat ehsan pula bekerja di bawah orang nombor satu di negeri ini. Jika dia mengerti dan memahami sejarah politik Terengganu, dia tidak akan menulis begitu. Sebab itu, ramai orang tidak senang dengan penulis itu … maaflah, terpaksa berkata benar.”

Saya tahu dan faham siapa beliau maksudkan sebagai yang tidak faham dengan politik Terengganu dan ‘dia datang ketika menang saja’.

Sementara seorang lagi penulis blog yang memetik teks yang kononnya disediakan oleh YB Alias b. Abdullah iaitu Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu beretarikh14 April 2009, berkata: “Ekoran daripada ugutan yang dibuat oleh YAB Dato’ Ahmad b. Said pada 8 April 2009 jam 9.30 malam di Kediaman Menteri Besar kepada ADUN yang hadir semasa pre-council, YAB Dato’ Ahmad b. Said terus membuat kenyataan berupa ugutan melalui kenyataan media pada 11 April 2009.

Kemuncak siri ugutan tersebut adalah UGUTAN BUNUH melalui sms yang dipercayai daripada telefon bimbit yang didaftarkan atas nama Wan Ahmad Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar. Ugutan bunuh tersebut merupakan suatu ancaman yang amat serius, ancaman keselamatan dan menimbulkan kebimbangan kepada ADUN-ADUN.

Apa pun , nampaknya kesemua blog yang saya maksudkan di atas, akhir-akhir ini tidak lagi menulis atau mengulas mengenai isu sms dan kenyataan polis mengenai Dr Ramzi.
Mungkin kerana sedar ‘menepuk dulang dan terpercik ke muka sendiri’ atau tidak mahu lagi meneruskan kerja yang berunsur fasik.

Kepada ADUN yang bertaraf Ustaz, adalah baik untuk menjelaskan semua kekeliruan kerana tidak salah untuk memperbetulkan keadaan dan menghilangkan kekeliruan rakyat daripada menanggung beban bersubahat menyebarkan berita yang tidak benar dan bersifat ‘fitnah’.

Mungkin kita juga boleh merenung apa yang diperkatakan oleh bekas Editor Watan Zabidi Hj Saidi melalui blognya pada 27 April lalu bahawa:

…hebat juga puak Idris mahu memalukan Ahmad Said terpaksa mencipta sms ugutan sendiri, sehingga tujuh orang yang tidak menerima ugutan pun tidak menhadiri sidang Dewan Undangan negeri. Jika benar Dr. Ramzi terlibat, maka 10 ADUN ini perlu letak jawatan kerana mereka tidak ada niat lain selain memalukan kerajaan BN sendiri. Oleh itu Najib Razak selaku Presiden UMNO perlu melihat kes ini secara serius. Inilah ujian pertama bagi Hishamuddin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

SEMAKIN BERSULUH…

Posted in Ahmad Ramzi, politik, sms ugutan, Terengganu on May 8, 2009 by Hambali Abd Latiff

Biar polis menjalankan tugasnya. Saya tidak mahu komen banyak mengenai kenyataan polis memberi kata dua kepada Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online dan Malaysiakini menyiarkannya. Jangan terlepas ikuti ulasan oleh Mohd Sayuti Omar melalui blognya – msomelayu.blogspot.com.

SU bekas MB diminta tampil bantu kes SMS ugutan Berita Harian Online (8 Mei 2009, 3.10 pm)
KUALA TERENGGANU: Polis hari ini menggesa Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, untuk tampil membantu siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu. Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Dr Ramzi diberi 3 hari hubungi polis kes SMS ugutan 08/05/2009 7:10pm

KUALA TERENGGANU 8 Mei — Polis Terengganu memberi tempoh tiga hari mulai hari ini kepada Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, untuk tampil membantu siasatan berhubung kes penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Terengganu bulan lepas. Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata jika Ahmad Ramzi gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap beliau. Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa polis telah cuba mengesan Ahmad Razmi, yang juga bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lepas, di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-6246222. Pada 13 April lepas, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, dan Adun Paka, Zakaria Abdullah, menerima SMS berbentuk ancaman terhadap keselamatan mereka.
Utusan Malaysia-Bernama)

Orang kanan Idris dikehendaki polis Malaysiakini (May 8,09, 7:04pm)

Polis memberi 72 jam mulai petang ini kepada bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh untuk tampil membantu siasatan berhubung SMS ugutan kepada tiga ADUN Umno bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata jika Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir gagal berbuat demikian, polis akan mendapatkan waran tangkap terhadapnya.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, beliau berkata polis telah cuba mengesan bekas calon BN Marang itu di kediaman beliau di sini dan Kuala Lumpur tetapi gagal, lapor Bernama.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-62 46 222.

Ahmad Ramzi kini bertugas sebagai pegawai khas Idris, sekarang pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pada 13 April lepas, beberapa ADUN Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul
Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS , antaranya berbunyi “YB tak sayang nyawa?”.

Mesej ringkas itu kemudian dijadikan alasan mereka bertiga dan tujuh lagi ADUN Umno enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu keesokannya.

Dalam siasatannya, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.

Lelaki itu dibebaskan setelah ditahan reman selama tujuh hari.

Menurut agensi berita itu lagi, Hamzah berkata polis setakat ini mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung kes itu dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.

“Kita mengalukan kerjasama daripada keluarga Dr Ramzi untuk menasihatkan beliau supaya tampil bagi mempercepatkan siasatan berhubung kes tersebut,” katanya.

Para Buruan Polis
Ayah Pin, Hilmi Malik dan Dr Ahmad Ramzi
(msomelayu.blogspot.com)
Friday, May 8, 2009

SEBELUM polis mencari dan mengesan Hilmi Malik yang disyaki terlibat dalam penyebaran foto bogel seorang Exco Selangor, Elizabeth Wong, lama sebelum itu polis telah memburu ayah Pin atau Ariffin Mohammad seorang guru yang mempunyai kerajaan di lagit tetapi berkhemah di Kampung kawasan Idris Jusoh di Pasir Akar, Besut Ternegganu.

Pemburuan ke atas ayah Pin sudah lebih setahun. Beberapa kali ayah Pin dilaporkan muncul di berbagai lokasi awam, namun polis gagal memberkas ayah Pin. Ayah Pin pernah dilaporkan berada di sebuah kedai makan di Tumpat Kelantan. Selepas itu, terbaru ayah Pin dilaporkan berada di Rantau Panjang. Kedua lokasi itu sempadan Malaysia dengan Thailand.

Apakah ayah Pin mempunyai ilmu ghaib ala-ala orang minyak yang boleh menghaibkan diri bila diburu? Ataupun polis sengaja tidak mahu memberkasnya kerana ia tidak membahaya rakyat dan negara kerana kesalahannya tidak bersifat jenayah sivil? Yang pastinya jika Majlis Agama Terengganu yang dilihat bertanggungjawab atas kegiatan ayah Pin meminta bantuan polis dan polis pula gagal ia adalah kelemahan polis negara ini.

Selain ayah Pin banyak pelaku jenayah yang dikenal pasti dan diburu gagal dicekup. Begitu juga sehingga hari ini polis gagal untuk memberkaskan Hilmi Malik. Waran tangkap telah pun dikeluarkan. Dan polis telah pun memberi tempoh tertetu, namun Hlimi Malik juga tidak tampil untuk membantu siasatan polis. Sekiranya benar pangghilan telefon yang pernah saya terima di suatu pagi dari Hilmi, buruan polis itu kini berada di Indonesia.

Sebab Hilmi memaklumkan yang beliau berada di negara jiran itu. Dua buruan polis terlepas dan masih bebas. Kini polis Terengganu katanya memberi tempoh tiga hari kepada orang bernama Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bekas setiausaha politik Idris Jusoh untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung penghantaran SMS berbentuk ugutan.

SMS itu diterima oleh tiga orang Adun UBN Terengganu menjelang sidang DUN negeri itu baru-baru ini. Gara-gara SMS ugutan itu menyebab tujuh Adun UBN yang lain juga boikot sidang Dewan kononnya takut dibunuh ekoran SMS itu. Menurut Timbalan Ketua Polis Ternegganu, bernama Hamzah Mohd Jamil, sekiranya Ahmad Razmi gagal berbuat demikian polis akan mendapatkan waran tangkap.

Persoalan kini kenapa polis memburu bekas setiuasaha politik Idris Jusoh itu. Apakah beliau terlibat dengan ugutan menerusi SMS itu? Nampaknya begitulah.

Kalau Dr Ahmad Ramzi tidak terlibat untuk apa siasatan dilakukan kepadanya dan untuk apa beliau perlu lari dari disiasat polis? Sebelum ini heboh dikatakan pegawai MB Terengganu, Ahmad Said sendiri yang hantar SMS berkenaan. Bagaimana pun setelah disiasat dan tangkapan ke atas seorang lelaki di Bangi ternyata dakwaan itu palsu. Sebaliknya ada tanda-tanda lain ditemui di sebalik penghantaran SMS berkenaan.

Apakah apabila polis ingin batuan daripada Dr Ahmad Razmi menunjukkan beliau ada maklumat mengenai pengiriman SMS itu? Isu ugutan menerusi SMS menjadi perhatian di Terengganu. Semoga orang yang disyaiki dapat membantu siasatan itu tampil segera ke depan. Dalam hal ini sudah pasti kalau bekas setiausaha politik Idris Jusoh itu beri kerjasama kes SMS ugutan itu akan dapat diselesaikan.

Dalam hal ini mungkin ada baiknya juga kalau Idris Jusoh mengambil galang ganti atau membantu polis mengesankan di mana bekas setiausaha itu berada atau berlindung. Kerjasama daripada Idris akan mempercepatkan penyelesaian perbalahan politik di Terengganu.

Walaupun ia tidak ada kena mengena dengan Idris, tetapi sebagai bekas borohnya tentu Idris tahu setidak-tidaknya di mana rumah Dr Ahmad Ramzi. Harapan selebihnya kepada polis Terengganu. Jangan pula cerita memburu Dr Ahmad Ramzi ini macam cerita memburu ayah Pin atau Hilmi Malik.

Sekiranya polis memerlukan bantuan interpol untuk menyelesaikan masalah, kenapa tidak boleh dilakukan. Kesejahteraan rakyat dan wakil rakyat hendaklah diutamakan.

[wm.kl. 8:00 pm 08/05/09]

APA MAINAN BERITA HARIAN

Posted in Ahmad Ramzi, Berita Harian, Terengganu on April 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Apakah Berita Harian atau wartawannya cuba ‘membela kumpulan tertentu’ dalam krisis Terengganu apabila mengatakan polis menafikan mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohammad Zubir, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa akhbar kelmarin (selain keluaran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad) memetik polis sebagai berkata, polis mencari Ahmad Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu awal minggu lalu.

Selasa lalu, polis menahan kerani itu di Bandar Baru Bangi, Selangor dan merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi dari rumah lelaki itu.

SMS ugutan bunuh diterima Rosol yang juga Adun Ajil serta Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), dihantar daripada nombor dikatakan milik pegawai kanan di pejabat Menteri Besar.

Anehnya hari ini Berita Minggu melaporkan dari Kuala Terengganu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata beliau keliru dan terkejut apabila beberapa akhbar melaporkan polis mencari Ahmad Ramzi kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

Kita kini keliru:

1. Benarkah Mohd Fauzi menafikan semua laporan akhbar itu?

2. Benarkah akhbar membuat kenyataan salah?

3. Benarkah wartawan Berita Harian bercakap sendiri dengan Mohd Fauzi?

4. Atau jika pun Mohd Fauzi bercakap dengan wartawan berkenaan, apakah beliau bercakap mengenai berita atau gambar yang disiarkan oleh beberapa akhbar berkenaan.

Yang menghairankan, akhbar lain tidakpun menyiarkan kenyataan Mohd Fauzi. Apakah berita ini ekslusif?

Wah, bagus betul wartawan berkenaan.

Persoalan lain, kalaulah tidak benar pula penafian itu, Mohd Fauzi perlu ,memberitahu satu Malaysia beliau tidak membuat kenyataan itu.

Apakah Ketua Polis Terengganu, merestui kenyataan Mohd Fauzi? Apakah Ketua Polis Terengganu tidak tahu perkembangan siasatan mengenai kes sms ugut bunuh berkenaan?
Jika tidak benar, kenapa pula berita itu disiarkan?

1. Apakah kerana semalam hari Sabtu dan bos besar tidak di pejabat, berita berkenaan dilepaskan?

2. Apakah kerana wartawan berkenaan yang sering mendakwa kepada rakan-rakannya ‘rapat dengan Dato’ Manja Ismail’ (Pengarang Kumpulan BHSB) maka story beliau dilepaskan begitu sahaja?

3. Atau apakah wartawan berkenaan membawa suara seseorang atau kumpulan tertentu di Terengganu. Jika demikian, Berita Harian tidak lagi bebas dan menjadi ‘ejen kepada kumpulan tertentu?

Yang menariknya, Berita Harian turut menyiarkan kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menafikan laporan media yang memetik sumber dan mengaitkan lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis di sebelum ini dengan seorang daripada 10 Adun yang tidak hadir pada hari kedua sidang DUN minggu lalu.

Soalnya polis mengatakan pihaknya sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.