Archive for the Melayu Category

JUARA RAKYAT – GAGAL BOLEH HANCURKAN UMNO

Posted in Melayu, Rakyat, UMNO on December 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Transformasi besar buat UMNO.

Mendengar slogannya sahaja sudah cukup gah. Kalau sebelum ini UMNO sering dikaitkan sebagai ‘pembela rakyat’ kini ia menjadi ‘Juara Rakyat’.

Secara rasminya UMNO Pembela Rakyat akan bermula 9 Januari ini apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan melancar slogan bersama dengan programnya pada 9 Januari depan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selain membuka ruang peluang kepada bukan Melayu, UMNO tidak perlu mempunyai slogan sedemikian, jika rakyat memahaminya.

Namun sebagai langkah besar dan transformasi besar untuk UMNO melangkah terus pada dekad ke 21, UMNO yang ditubuhkan pada dekad 40an, perlu menyatakan kepada rakyat – khususnya generasi muda – bahawa ia tetap berjuang dulu, kini dan selamanya.

Tradisi parti untuk benar-benar menjuarai kehidupan rakyat bukan slogan main-main kerana ia memerlukan dokongan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi di pihak rakyat.

Dengan program yang tersusun, bersepadu dan mantap UMNO boleh menterjemahkan hasrat menjadikan parti itu sebagai juara bukan sahaja untuk seluruh sayap dan parti UMNO tetapi juga sebagai ‘penghulu’ komponen Barisan Nasional (BN).

Slogan atau tema ini mungkin sengaja dipilih bagi menjamin UMNO terus menjuarai kehidupan rakyat. UMNO perlu meneruskan tradisinya membela rakyat, membangunkan negara dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan melalui tradisi membela rakyat.

Biarlah pakatan pembangkang datang sebagai satu jenama untuk pembangkang tetapi yang penting UMNO perlu tetap dan terus menjuarai rakyat bukan setakat pakat-pakat dan tiba mendabik dada sebagai juara di hati dan minda rakyat.

Dalam menjamin rakyat tidak ‘tawar hati’ dengan UMNO, slogan ini perlu dijayakan dan jangan ia menjadi slogan pilihan raya dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO kini diperlekeh dan ‘dihina’ begitu teruk sekali. Menyakinkan orang muda satu hal dan mengekalkan sokongan orang dewasa dan tua juga satu hal.

UMNO berdepan dengan tekanan dan cabaran sokongan kerana ‘perbuatan beberapa pemimpinnya’ yang masih sehingga kini masih ada dalam UMNO, selain terus memegang jawatan.

Cabaran baru kepada pemimpin yang baru dipilih pada perhimpunan agung lalu ialah menjamin diri mereka benar-benar menjadi ‘Juara Rakyat’ selain membantu pemimpin yang sudah ‘dibenci’ rakyat untuk diterima kembali.

Dengan kata lain, UMNO perlu menjamin bekerja dua kali ganda, menghapuskan imej lamanya dan menonjolkan dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’ yang sebenar-benarnya.

Jika ia gagal melakukannya, imej UMNO akan menjadi lebih buruk dan selepas ini kalaupun ada usaha untuk bangkit, ia akan tetap menerima padahnya.

Yang diharapkan, dengan pelancaran program tersebut yang amat penting kepada bukan sahaja UMNO tetapi BN, UMNO mampu untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti.

Sudah pastinya agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah untuk menunjuk dan mengingatkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat.
Kita tidak mahu mendengar pemimpin UMNO sukar didampingi, program UMNO untuk diri bukan untuk parti dan bermacam perasaan tidak puas hati lagi.

Selepas ini bukan slogan sahaja yang perlu menyerap di hati dan sanubari rakyat tetapi program dan ‘kelakuan sebenar UMNO’ berjiwakan ‘Juara Rakyat’.

Advertisements

BUMIPUTERA HANYA TUNTUT SEPARUH HAKNYA…

Posted in bumiputera, isu, Mahathir, Melayu on December 13, 2009 by Hambali Abd Latiff

Buka dan kangkanglah seluas-luasnya.

Dedahkan segalanya-galanya mengenai keistimewaan Bumiputera. Inilah yang dimahukan oleh DAP dan sekutu-sekutunya.

Inilah juga yang dimahukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila ramai pemimpinnya menganggap menjadi suatu keadilan jika Bumiputera dikurangkan hak mereka dan bukan Bumiputera ditambah hak mereka untuk menjadi sama rata.

Bagi kedua-dua parti ini, keadilan akan hanya akan dicapai apabila seluruh rakyat negara ini, Bumiputera dan bukan Bumiputera menikmati hak dan peluang sama rata, walaupun hakikatnya Bumiputera ketinggalan jauh.

Bukan sahaja di bidang pelajaran dan ekonomi tetapi hak mendapat kesamarataan turut membabitkan sosl-soal kepentingan sosial lain.

Walaupun mendapat hak sama rata politik tetapi bukan Bumiputera tetap tidak berpuas hati sampai kepada tahap mereka ‘mempersendakan’ agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Mereka buat-buat tidak faham dan mempersoalkan usaha mengangkat kedudukan kaum Bumiputera dalam arus perdana pembangunan negara.

Biarpun usaha itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan namun mereka menggambarkannya sebagai dasar ‘pilih kasih’ dan ‘tidak adil’ kepada bukan Bimputera.

Lebih menghairankan apabila ada Bumiputera sendiri mahu memperjuangkan hak orang lain dan ‘memberikan dengan banyaknya hak mereka…jika ada Bumiputera bercakap mengenai hak-hak yang patut mereka nikmati, mereka dicop ‘Rasis’.

Bolehkah kita mengatakan seseorang itu rasis sedangkan mereka memperjuangkan hak yang patut mereka kecapi?

Lagipun apa yang Bumiputera tuntut adalah sebahagian sahaja daripada apa yang patut mereka dapati berasaskan jumlah penduduk di negara ini.

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, walaupun penduduk Bumiputera hampir 60 peratus daripada jumlah penduduk tetapi kuota yang ditetapkan hanya 30 peratus sahaja.

“Ini bukan perkauman… kita hanya tuntut separuh daripada apa yang sepatutnya kita tuntut. Ini tunjukkan kita bukan perkauman. Kalau perkauman kita (sudah) tuntut 60 peratus. Malahan nak capai 30 peratus pun tidak mudah,” ujarnya.

Beliau menegaskan, jika wujud ketidakseimbangan dari segi pengagihan ekonomi, mereka yang ketinggalan akan merasa benci dan iri hati dan mungkin akan bertindak liar dan perkara inilah yang mahu dielakkan kerajaan.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, tumpuan dan peluang lebih yang diberikan kepada kaum Bumiputera tidak bermakna kaum-kaum lain diketepikan.

Dr Mahathir juga berkata, adalah penting bagi kaum Bumiputera untuk memiliki pengetahuan dalam bidang pengurusan perniagaan kerana ramai daripada mereka tidak tahu menggunakan wang sebagai modal atau melabur sebaliknya hanya untuk membeli-belah.

“Kita perlu tukar pemikiran Bumiputera. Wang itu apabila dilabur memberi pulangan dan dengan itu meningkatkan kekayaan mereka.

“Biasanya mereka bila dapat wang berbelanja… kadang-kadang lebih belanja daripada wang yang ada dan ini wujudkan masalah,” katanya.

Selain itu Dr Mahathir menegaskan bahawa peluang memasuki universiti awam yang diberikan kepada lebih ramai kaum Bumiputera berbanding kaum lain di negara ini tidak harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk melabelkan kerajaan mengamalkan sifat perkauman dan meminggirkan kaum-kaum lain.

“Peluang kepada lebih ramai Bumiputera berbanding kaum lain adalah bagi memastikan keseimbangan pembangunan kaum agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pendidikan yang akan hanya memberikan pelbagai kesan negatif.

“Jumlah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kini hampir sama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kemasukan pelajar Bumiputera amat kecil iaitu hanya di sekitar 10 peratus sahaja dan selebihnya kaum-kaum lain,” katanya dalam ucaptama bertajuk ‘UUM 25 Years Expectation vs Reality’ di Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) 2009 di Sintok semalam.

Dr Mahahtir berkata, perkara itu berlaku kerana tidak ramai kaum Bumiputera mampu melanjutkan pelajaran ke IPTS disebabkan masalah kewangan yang terhad.

“Oleh itu, kita tidak harus berasa bersalah (semata-mata) kerana kita adakan tempat untuk Bumiputera. Kita ada hak untuk dapat kedudukan seimbang di negara ini. Kita nak hak secara berpatutan,” katanya.

UMNO KINI BUSUK HINGGA KE USUSNYA?

Posted in Mahatihir, Melayu, Pemilihan UMNO on December 1, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menulis dengan nada keras mengenai masa depan UMNO.

Katanya, masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan UMNO.

Apakah Presiden UMNO ketika ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal memulihkan UMNO?

Dr Mahathir berkata beliau mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja tetapi tetap member amaran kemungkinan orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO.

Harakahdaily yang memetik tulisan Dr Mahathir berkata ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan UMNO bercadang untuk menyokong PAS kerana “UMNO busuk hingga ke ususnya.”

“Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi,” kata bekas pemimpin kanan UMNO itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.
“Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

” Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga,” tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata “UMNO is rotten to the core” (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka sependapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Benarkah UMNO berada di tahap seperti disebutkan oleh Dr Mahathir ini?


GPMS – TAHNIAH UNTUK JAIS ABDUL KARIM

Posted in GPMS, Melayu on November 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Tahniah kepada Jais Abdul Karim yang sebelum ini Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), kerana menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Ke-55 pertubuhan itu.

Jais, 36, menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan itu, kelmarin.

Presiden GPMS itu berkata, GPMS selepas ini menjadi lebih lantang dalam menangani isu berkaitan pelajar Melayu dan orang Melayu secara amnya.

Katanya, GPMS adalah pertubuhan yang tidak berpihak kepada parti politik dan menjadi pertubuhan pertama tampil memperjuangkan apa saja isu berkaitan Melayu.

Pengerusi GPMS Johor, Rosdi Amir dipilih Timbalan Presiden GPMS selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan Syed Anuar Syed Mohamad.

Persidangan itu diadakan di Dewan Seri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di Shah Alam semalam.

Tiga jawatan Naib Presiden yang dipertandingkan pula menyaksikan kerusi itu diisi oleh Hasnul Fairus Hushin Amri selepas mendapat 432 undi, Ezarudin Abdul Rahman (317 undi) dan Hishammuddin Abdul Rahman, 254 undi.

Jawatan Naib Presiden Wanita yang dilantik pula kekal milik Rafidah Mohd Ariffin.

Penolong Setiausaha Agung GPMS, Zambri Md Isa dilantik Setiausaha Agung pertubuhan itu, manakala Bendahari diisi Anas Ahmad. Mereka yang dilantik ke jawatan itu adalah dari GPMS Pulau Pinang.
Irmohizam Ibrahim dari GPMS Selangor dilantik Ketua Penerangan.

HADI DIJATUHKAN SECARA TERANCANG?

Posted in hadi, Islam, Melayu, PAS, seminar on November 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Mengejut dan menakjubkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang – presiden boneka, hilang stim dan tidak sesuai dengan politik baru – diperlekeh dan mempersendakannya pada ketika PAS mengadakan seminarnya hari ini.

Ia dilakukan dengan begitu terdedah oleh seorang pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melalui sebuah portal berita yang jelas selama ini pro-Pakatan Rakyat.

Pensyarah berkenaan mengkritik dan membelasah Hadi habisan-habisan sedangkan tiada pemimpin PAS (kecuali Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan ahli PAS lain tidak berani berbuat demikian mungkin rasa berdosa untuk menegur kerana tema wala’nya (kesetiaannya) cukup kuat.

Namun kerana pensyarah ini diberikan ruang seluas-luasnya untuk ‘memusnahkan personaliti Hadi’ sama ada melalui laluan yang dibuka seluas-luasnya oleh Musyridul Am PAS, apakah seminar PAS di Taman Melewar hari ini – Hadi akan terus menjadi sasaran paling mencabar dalam kepimpinannya?

Dalam PAS penentangan terhadap pemimpin atau ketua ‘tidak dibolehkan’ dan keadaan itu bagaimanapun sedang dipersoalkan – berapa lama lagi akan dipatuhi?

Dan dengan kritikan terbuka terhadap Hadi melalui Malaysiakini itu, apakah ia akan menjadi ikutan dan halal selepas ini?

Saya ingin melihat reaksi pemimpin dan PAS terhadap kenyataan pensyarah berkenaan – Prof Dr Abdul Aziz Bari – dan jika benar ‘Tuan Guru’ masih ada sokongan, Hadi tentu akan dipertahankan.

Bagaimanapun, jika tiada atau kurang sokongan dan terus dibelasah atau mereka sama-sama membelasahnya, petanda bahawa Hadi tidak lagi diperlukan memimpin PAS, jelas semakin terjawab.

Persoalannya, apakah Dr Aziz Bari dan peserta seminar akan bercakap secara terbuka seperti yang diucapkan dengan Malaysiakini? Apakah Dr Aziz Bari akan melondehkan Hadi sepuas-puasnya di seminar berkenaan?

Walaupun sedar seminar memperkasakan parti PAS ini bakal panas, PAS memutuskan untuk membuka seluas-luasnya seminar ini kepada semua pihak. Menurut Harakahdaily, ia akan dijalankan dengan telus dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi pemerhatinya di samping liputan dari pelbagai jenis media.

Program sehari suntuk ini akan dimulakan dengan Ucapan Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk “Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan raya ke 13.” Selepas ucapan itu, sessi percambahan minda akan diadakan di mana ahli penal khas telah dijemput iaitu Dr Abdul Aziz Bari sendiri selain Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya. Penutupnya oleh Nik Aziz.

Persoalannya, selain Hadi apakah dua lagi ‘kawan setia Hadi’ iaitu Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dan Timbalan Hadi, Nasharuddin Mat Isa akan turut dibelasah?

Sejauh ini, apa yang dikatakan oleh Dr Aziz Bari seiring dengan apa yang diperkatakan oleh Musyridul Am PAS, mengenai Hadi dan konconya. Perbezaannya analisis dan fakta Dr Aziz Bari lebih menjurus dan jelas.

Mengejut dan menakjubkan ialah Dr Aziz Bari memperkatakan mengenai Hadi dengan begitu nyata dan lantang seolah-olah dia mempunyai lessen besar. Pertanyaannya ialah apakah ini langkah permulaan menjatuhkan Hadi atau sengaja memberikan impak besar kepada PAS sendiri?

Persoalannya, apakah dengan ‘menjatuhkan Hadi’ misi Dr Aziz Bari akan berakhir?

Juga langkah pertama itu bolehkah sampai untuk ‘memusnahkan PAS’ seperti kata Nik Aziz sebelum ini, dia rela apa saja terjadi dengan PAS asalkan ‘tiga serangkai’ itu dibuang jauh-jauh dari PAS?

Apapun, melalui laluan yang dibuka Nik Aziz dan petunjuk yang jelas itu – Dr Aziz Bari menggunakan pentas Malaysiakini sebagai permulaan dan mungkin seminar PAS bagi ‘menikam Hadi sepuas-puasnya’.

Amat nyata pandangan pensyarah UIA itu boleh dilihat sebagai kempen terancang menggulingkan Presiden PAS itu melalui tekanan dan character assassination terhadap Hadi secara sehabis-habisnya.

Apakah kelemahan Hadi menurut Dr Aziz Bari?

1. Kepimpinan Presiden PAS sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan “Pak Lah versi PAS”;

2. Hadi adalah beban kepada parti;

3. Hadi hilang stim;

4. Presiden boneka – kegagalan Hadi bertindak sebagai “tokoh nombor satu” diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain; dan,

5. Abdul Hadi bukan seorang pemimpin dalam senario politik baru.

Dr Aziz Bari dengan jelas mengatakan kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.”Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri,” kata Dr Aziz Bari.

Hadi diumpamakan sama dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk Barisan Nasional sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Hadi juga dilihat tidak memberikan apa-apa kesan atau kebaikan kepada parti jika dilihat kepada kenyataannya mengenai kerajaan perpaduan. Malah, beliau dilihat sebagai liability kepada PAS kerana kenyataannya bukan macam orang politik. Hadi dilihat lebih mementingkan UMNO daripada Pakatan Rakyat, sehinggalah ditegur dan ‘diperbetulkan’ oleh Muktamar PAS.

Hakikatnya, menurut Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an Hadi begitu berpengaruh dan dianggap pemimpin yang mempunyai hala tuju jelas dalam PAS tetapi pandangan dan pidato presiden PAS itu “sudah hilang stim”. Ada pihak menganggap banyak juga tindak-tanduknya tidak datang daripada Hadi sendiri tetapi “disuap dalam mulutnya’. Contoh yang paling jelas, ialah mengenai idea kerajaan perpaduan.

Kata Dr Aziz Bari: “Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel ‘Amanat Hadi’). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?”

Tokoh PAS itu kini benar-benar “hilang stim” walaupun hakikatnya sebelum era reformasi (1998) pun Hadi sudah tidak ada peranan yang penting apabila menjawat jawatan naib presiden saja dan kemudian timbalan presiden.

Dan apabila wujudnya suasana politik baru selepas ‘kejatuhan sokongan kepada BN’ melalui pilihan raya umum 2008, Hadi semakin kurang pengaruh dan menjadi pengikut sahaja kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan sekadar pengikut tetapi Hadi tidak memainkan peranan sewajarnya pada era “politik baru” Pakatan Rakyat.

Kegagalan bertindak untuk menonjolkan diri seiring dengan Anwar dan Lim Kit Siang dan sebagai “tokoh nombor satu” PAS diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan Mustafa Ali. Kata Dr Aziz Bari: “”Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

Hadi juga tidak dapat menyesuaikan dirinya dalam suasana politik baru apabila hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti “PAS untuk semua” dan “negara berkebajikan”.
Hadi dikatakan masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu.

Persoalannya, salahkah isu Melayu-Islam terus diperjuangkan?

Atau kritikan dan mencari kelemahan terhadap Hadi ini sengaja ditimbulkan bagi membuka ruang kepada pemimpin tertentu melonjak naik selepas gagal melakukannya melalui muktamar.

Atau juga apakah ini persediaan untuk kempen terancang menjatuhkan Hadi pada muktamar akan datang supaya PAS dilihat melakukan penggulingan terhadap Presidennya melalui saluran yang demokratik dan dibenarkan!

MELAYU YANG SOPAN, SABAR DAN ISLAM…BAGAIMANA BOLEH BERPECAH?

Posted in isu, Melayu on September 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Terkejut juga saya apabila dibisikkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda ketika berbuka puasa di Kuala Lumpur kelmarin bahawa ada seseorang dari Arab Saudi mahu berjumpa saya di pejabat Menteri Besar.

Saya tanya beliau siapa, namun Wan Ahmad hanya tersenyum. Katanya, dia ini membaca blog saya dan menetap di Mekah.

Saya membayang-bayangkan rakan lama – wartawan, diplomat atau juga kenalan ‘kebetulan’ seperti dalam kapal terbang, kereta api dan sebagainya.

Bagaimana saya boleh ada kawan di sana? Atau mungkin kenalan ketika menghadiri sidang kemuncak OIC yang beberapa kali pernah saya hadiri. Atau mungkin juga dari Bank Pembangunan Islam (IDB).

Dari Libya dan Lebanon yang sering saya lawati? Tidak mungkin.

Saya tidak menemui jawapannya.

Tengah hari tadi saya ke tingkat 16 Wisma Darul Iman kerana orang Arab ini akan menemui Menteri Besar.

Sementara dia dipanggil masuk, saya sempat menjengahnya. Terkejut besar saya kerana dia memang Arab tetapi keturunan Arab. Sudah tinggal di Arab Saudi sejak hampir 30 tahun lalu. Dia berhijrah ke negara berkenaan pada 1980.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Halim Al-Kahiri berasal dari Terengganu dan kini adalah tuan punya Kumpulan Bin Nagi (Bin Nagi Group).

“Saya gembira jumpa Hambali….saya baca blog saudara di Mekah,” katanya dalam bahasa Melayu dengan sedikit pelat Teranggu.

“Saya berjumpa saudara untuk menyatakan kerisauan saya mengenai perpecahan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Lantas beliau menggembalikan era 80-an apabila ketika itu Malaysia kurang dikenali. Katanya, jika di luar negara apabila ditunjuk passport, selalunya polis atau kakitangan imigresen di negara asing akan bertanya, ada dari Afrika? Atau anda dari Indonesia? Dan yang agak mengetahui sedikit rantau Asia akan tanya “Malaysia dekat Singapore ke?”

Namun menurut Sheikh Halim, segala-galanya berubah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Malaysia bukan sahaja dikenali tetapi rakyat Malaysia mula diiktiraf kepakaran mereka dan tidak pelik kini ada lebih 50 pakar pelbagai bidang Malaysia di Arab Saudi sahaja.

Kata-katanya projek yang dilaksanakan oleh orang Malaysia di Arab Saudi diiktiraf baik dan bermutu.

Malah, menurutnya kerajaan Arab Saudi begitu menghormati tetamu dari Malaysia, termasuklah jemaah haji.

Baginya, kebimbangan mengenai perpecahan ini bukan semata-mata kerana kepentingan politik.
Beliau hairan bagaimana orang Melayu dan Islam di Malaysia yang lemah lembut, penyabar, bersopan dan beradab boleh memaki-hamun, mencerca sehingga turun ke jalan raya menunjuk perasaan.

Menurutnya sikap pemarah, pendendam dan melakukan pelbagai perangai yang memalukan bukan tradisi dan budaya Melayu.

Lantas katanya, mesti ada pihak yang mengajar atau menanamkan perangai buruk sedemikian yang menyebabkan ia menjadi ikutan.

Bagi Shekih Halim, orang Melayu dan Islam sewajarnya bertaut kembali kerana kekuatan Malaysia akan terjejas jika orang Melayu bertelingkah sesame sendiri.

“Saya harap melalui tulisan saudara, mesej boleh disampaikan kepada pemimpin dan orang biasa bahawa perpecahan Melayu akan menyebabkan perpecahan Islam.

“Jika orang Islam berpecah, kita tidak akan lagi dihormati. Belajarlah dari kejadian di Palestin, Somalia dan beberapa negara Islam lain,” tegasnya.

PENDAKWAAN PANTAS UNDANG PADAH

Posted in BN, Hindu, Melayu, Peguam Negara, polis on September 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Perdana Menteri, menteri dan parti pemerintah kena belajar dan ingat baik-baik.

Kesalahan dilakukan oleh Ketua Polis Negara yang menyebabkan mata Datuk Seri Anwar Ibrahim lebam, tidak menyebabkan individu berkenaan dihukum atau dipenjara.

Yang kena hukum ialah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 1999. Yang dicaci, dimaki dan digelar Firaun ialah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apakah Dr Mahathir memerintah atau memaksa Ketua Polis Negara menyebabkan mata Anwar lebam? Jawapannya tidak.

Namun, yang pasti – sebarang kesalahan dan salah laku pegawai tinggi kerajaan tidak akan menyebabkan pentadbiran Putrajaya – Ketua Setiausaha Negara atau ketua-ketua jabatan – yang ranap. Yang akan ranap ialah UMNO dan BN.

Pada saat ini, ramai terkejut dengan tindakan pantas Peguam Negara dan polis melakukan pendakwaan kes isu kepala lembu.

Saya turut terkejut, malah rakan-rakan menghantar sms dan e-mail dengan menyatakan pendapat mempersoalkan Kementerian Dalam Negeri yang begitu ‘prihatin’ kepada kes ini.

Antara sms yang saya terima semalam berbunyi: “MIMBAR JUMAAT – Marilah kita ucapkan ‘tahniah & syabas’ kepada …… serta…..yang begitu pantas mengheret pendemonstrasi kuil di Shah Alam ke mahkamah, sememangnya Menteri dari UMNO ini ‘benar2 memperjuangkan nasib Melayu, Islam serta negara”. Kepada Menteri berkenaan, teruskan cara seperti ini agar UMNO ‘lebih kuat’ di masa hedapan. Tahniah.”

Agak pelik sungguh kerana pendakwaan segera yang dibuat oleh Peguam Negara dan polis ke atas pihak yang kononnya telah menghina agama Hindu dengan mengusung kepala lembu ke pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, menuntut kita untuk merenung dan menyelidiki kes-kes sebelum ini yang masih tidak di bawa ke mahkamah..

Juga terkejut ialah isu kepala lembu ini pula telah dibesar-besarkan dan ditayang berulang kali dalam televisyen yang seolah-olah menyalahkan orang Melayu dan Islam, khususnya penduduk Seksyen 23.

Nasib baik tidak ada pilihan raya – kecil atau umum – kalau tidak kena lagilah Barisan Nasional (BN).

Ramai yang mengemukakan pertanyaan kepada Peguam Negara dan pihak polis, kenapa pendakwaan segera diambil hanya kerana isu kepala lembu. Benarkah ia menghina agama tertentu?

Apakah disebut agama tertentu ketika bantahan dibuat?

Bagaimana pula dengan penghinaan demi penghinaan yang telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu terhadap agama Islam?

Malah salah seorang pegawai kerajaan Negeri Selangor pada pertemuan penduduk Seksyen 23 dengan Menteri Besar terang-terangan menghina agama Islam apabila mempersoalkan azan.
Kenapa tidak ada pendakwaan segera?

Dalam isu Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu, ada pihak yang khususnya di kalangan ahli politik membangkitkan isu berkenaan sehingga membangkitkan kemarahan kepada orang Melayu?

Kenapa dalam kes yang menjadi sensitif kepada orang Melayu seperti Raja-Raja Melayu, hak istimewa dan agama Islam, tiada pendakwaan disegerakan hanya kerana orang Melayu boleh dikawal kemarahan mereka?

Apakah Peguam Negara dan polis mengganggap orang Melayu sebagai bangsa yang boleh ‘ditenteramkan dengan mudah”?

Kita masih ingat bagaimana insiden membuang kepala babi dalam masjid di Melaka dan di tepi pantai telah beberapa kali berlaku.

Kita juga tidak lupa penghinaan ketua DAP dan ahli parlimen Rasah yang menggelarkan islam sebagai the fucking religion.

Bagaimana dengan tindakan Jeff Ooi yang menggelarkan Islam itu sebagai pengganas?

Kita juga masih ingat dengan jelas bagaimana puluhan orang tunjuk perasaan dengan menyalakan lilin di hadapan balai polis.

Kita juga masih ingat dengan jelas apa yang berlaku dalam kejadian pencerobohan Parlimen.
Kemudian ada kumpulan yang seperti mencabar Sultan Perak apabila sidang DUN di adakan di bawah pokok dan hotel.

Juga ada pergaduhan dalam DUN negeri Perak gara-gara kumpulan yang menentang kerajaan negeri sekarang yang diperkenankan oleh Sultan Perak.

Ada pula kejadian di mana benteng manusia di Kampung Buah Pala, tidur di atas jalan, serta pimpin Hindraf yang diharamkan masih aktif dan banyak lagi. Banyak lagi…

Mana pendakwaan segera terhadap mereka itu?

Satu lagi kes jelas ialah ada yang membabitkan pemimpin tertinggi PKR dalam isu liwat tetapi Peguam Negara seperti tidak kisah dan membiarkan ia ditangguh dan ditangguh.

Mana kewibawaan Pejabat Peguam Negara?

Jangan hanya kerana ia berkaitan orang Melayu, hak istimewa Melayu, Sultan Melayu dan Islam, tindakan pendakwaan segera boleh tidak dilakukan segera.

Kenapa wujud pendakwaan pada kes-kes yang terpilih sahaja?

Apakah di negara kita sekarang ini – isu pembinaan kuil Hindu di kawasan majoriti Melayu sahaja yang menjadi the mother of segala krisis?

Banyak pihak mencadangkan supaya kerajaan dan pihak berwajib melihat punca bantahan penduduk Seksyen 23 itu dan bukan mencari helah untuk menyelesaikan isu lain atau melupakan punca sebenarnya.

Penduduk Seksyen 23, Shah Alam, Selangor, rasanya sudah cukup bersabar selama ini tanpa diambil peduli oleh kerajaan negeri Selangor.

Bantahan yang dibuat secara berhemah sebelum ini tiada jawapan atau tindakan. Memanglah kalau kita berada di tempat penduduk Seksyen 23, ia sangat mengecewakan.

Rakyat ada Ahli Parlimen dan ADUNnya adalah daripada PAS yang melaungkan kononnya ia parti memperjuangkan Islam. Tetapi ternyata mereka turut ‘bersekongkol’ dengan PKR dan DAP membelakangkan kepentingan penduduk seksyen berkenaan.

Cuba katakan, apakah pilihan yang ada pada penduduk berkenaan?

Lebih memburukkan, wakil Pas yang kononnya memperjuangkan kedaulatan Islam juga membisu.

Bukan isu mengusung kepala lembu yang sepatutnya diperbesarkan tetapi perkara pokok ialah pembinaan kuil di kawasan majoriti Melayu.

Logiknya, kenapa tempat itu dipilih oleh Kerajaan Selangor? Juga kenapa tanpa rundingan dengan penduduk setempat sebelum membuat keputusan itu?

Lebih memburukkan keadaan, kini kerajaan Selangor bertegas untuk tetap menempatkan pembinaan kuil itu di Seksyen 23.

Peguam Negara dan pihak polis tentunya tahu apa yang berlaku dan degilnya kerajaan Selangor tetapi kenapa penduduk Seksyen 23 tetap mahu dijadikan mangsa?

Apakah Peguam Negara dan polis mahu orang Melayu pula tidak yakin kepada mereka pada ketika sebelum ini bukan-Melayu dan sebahagian orang Melayu dalam PAS dan PKR sering mempertikaikan keputusan polis?

Saya ulangi, orang Melayu yang tidak berpuas hati tidak akan menghukum pegawai kerajaan – termasuk Peguam Negara atau polis – tetapi mereka akan menghukum Perdana Menteri dan pasukannya.

Tunggulah apa akan berlaku pada pilihan raya umum ke 13 nanti.