Archive for the EXCO Category

LAGI SKANDAL EXCO SELANGOR…

Posted in EXCO, Selangor, SPRM, SUK on August 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor cuba masuk ke pejabat Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail di Shah Alam semalam dipercayai berhubung siasatan salah guna wang peruntukan kerajaan negeri.

Lima pegawai itu tiba pukul 2.45 petang tetapi dihalang kerana Rodziah tidak ada di pejabat menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Namun setelah campur tangan peguam perunding kumpulan pegawai SPRM itu meninggalkan pejabat yang terletak di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam kira-kira sejam kemudian.

Tindakan SPRM itu dipercayai susulan daripada dokumen mengenai penyelewengan wang peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM375,000 oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ini adalah kali kedua serbuan dibuat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat di bangunan sekretariat negeri itu selepas siasatan di pejabat Ean Yong Hian Wah, 15 Julai lalu.

Siasatan ini dipercayai susulan aduan Gerakan Rakyat dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak) pada 30 Julai lalu.

Dakwaan itu membabitkan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri di kawasan seorang wakil rakyat, yang tidak dinamakan, berjumlah RM375,000.

Satu dokumen 17 halaman itu diserahkan oleh Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunos kepada pegawai penyiasat SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Shah Alam.

Beberapa blog pula meletakkan posting yang antaranya bertajuk “GEMPAR – TEMBELANG YB RODZIAH ISMAIL SUDAH PECAH!”

Menurut satu satu blog, Memang sah! Sungguh tak disangka…., benarlah kata hikmah berbahasa Inggeris, “ Don’t Judge A Book By Its Cover”.

ADUN Batu 3, Yb Rodziah Ismail yang memiliki “panggilan manja” iaitu Kak Ogy adalah sabjek yang dimaksudkan dalam dokumen pengaduan tersebut..!

Patutlah beliau gelabah apabila berita mengenai penyelewengan yang dilakukannya tersebar sejak beberapa hari lalu.

ARAK – RONNIE ANGGAP DIA DISABOTAJ

Posted in DAP, EXCO, PAS on August 5, 2009 by Hambali Abd Latiff

Masih tidak nak mengaku. Ronnie Liu mempertahankan tindakannya.

Beliau menyangkal dakwaan PAS Selangor bahawa beliau mencampuri urusan dalam satu operasi membanteras aktiviti penjualan arak di Bandar Sunway baru-baru ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, itu sebaliknya menyifatkan isu arak di negeri itu sengaja ditimbulkan bagi mensabotaj kredibiliti beliau dan menghina integritinya dalam menjalankan tugas pengurusan kerajaan tempatan.

“Saya tak tahu mengenai perkara ini, ia tidak seperti itu,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian dalam reaksi segera berhubung desakan PAS Selangor supaya kedudukannya sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan ditukar dan digantikan.

Ronnie kini semakin kalut bukan sahaja dikaitan dengan beberapa kes lain dan dalam isu arak ini beliau berdepan dengan parti dalam pakatan pembangkang Selangor.

PAS Selangor mendakwa gesaan mereka itu berikutan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini yang menimbulkan masalah.

Khamis lalu, Ronnie Liu juga mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan semula minuman keras dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini setelah merampasnya dalam satu operasi yang dijalankan ke atas kedai itu sehari sebelumnya.

Ronnie Liu berkata, sebagai seorang exco beliau mempunyai hak untuk mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tidak ada PBT yang lebih besar kedudukannya daripada seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya.

PAS Selangor semalam mencadangkan agar Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.
Jelas PAS Selangor tidak boleh bersabar.

Menurut ParpuKari, berita mutakhir Utusan-online menyiarkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali yang mendesak kerajaan negeri itu menyerahkan portfolio kerajaan tempatan yang disandang Exconya, Ronnie Liu kepada Exco lain atau oleh Menteri Besar sendiri dengan kadar segera.

Alasan yang diberikan Hassan ialah kerana Ronnie Liu telah beberapa kali mencampuri urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak sepatutnya.

Bagaikan orang yang baru keluar dari tempat pertapaannya, Hassan yang terkenal sebagai seorang pakar motivasi, meledakkan bom dalam kepimpinan Pakatan Pembangkang Selangor yang terlalu banyak didedahkan kisah-kisah salahguna kuasa oleh para Exconya dari DAP kebelakangan ini.

Barangkali, Hassan dah tak boleh tahan dengan apa yang berlaku. Walaupun beliau sebelum ini kelihatan seperti mahu melarikan diri daripada memberikan sebarang komen mengenai salahlaku dan kegawatan pimpinan kerajaan Selangor, kini kesabarannya telah tidak terbendong lagi.

Kedudukan Hassan sebagai Exco Selangor yang bertanggungjawab dengan portfolio agama tercabar dengan tindakan Ronnie yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan Shah Alam memulangkan kembali beer yang diramPAS dari sebuah kedai serbanika, membuatkan beliau terpaksa bersuara.

Lebih meresahkan lagi apabila Kepala Gangster Selangor itu mengeluarkan kenyataan bahawa beer bukanlah minuman keras.

Kenyataan itu memang mencemaskan sesiapa sahaja yang duduk di kerusi Hassan. Kedudukan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan menjadi wakil rakyat pun atas tiket Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menjenamakan Islam sebagai perjuangan parti itu, benar-benar mencabar kradebilitinya sebagai pemimpin Melayu/Islam di negeri berkenaan.

Soalnya, apabila beliau dengan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian membayangkan bahawa beliau tidak lagi sealiran dengan Menteri Besar, Khalid Ibrahim dari PKR. Sedangkan MB Selangor itu baru-baru ini ada membuat kenyataan bahawa beliau sedang mengkaji tingkah laku Exconya yang bernama Ronnie Liu itu. Sedang siasat dan minta penjelasan.

Dari segi politik, kenyataan Hassan itu sealiran dengan gesaan Azmin Ali, ADUN Bukit Antarabangsa yang semasa persidangan DUN Selangor baru lalu menggesa MB Selangor itu menukar beberapa portfolio Exco Selangor yang pada pendapatnya tidak sesuai dan tidak berkualiti.

Panaskah kerusi MB yang diduduki oleh Khalid Ibrahim sekarang? Apakah urustadbir kerajaan dan politik Khalid di Selangor yang mula disedari ramai sama seperti Mohd Nizar Jamaluddin di Perak dahulu itu akan menerima nasib serupa?

Apapun kedudukannya, permasalahan di negeri Selangor yang kelihatan bertimpa-timpa sekarang, bergantung kepada penerimaan dan tindakan rakyat negeri itu sendiri. Merekalah yang memilih wakil rakyat untuk negeri Selangor pada PRU 8 Mac 2008.

Sama ada kenyataan terbaru Hassan ini akan membawa sebarang kesan atau tidak, bergantung kepada sejauh mana mantap dan kukuhnnya sokongan DAP kepada Khalid Ibrahim. Kerana DAP, Khalid membelakangkan rakan-rakan sepemimpinan yang seagama dan sebangsa dengannya.

PKR, PAS MEMBURUK-BURUKKAN JAMALUDDIN

Posted in BN, DAP, EXCO, perak, PKR on February 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Eh…eh..Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperjuangkan keadilan pun main kotor.

Selama ini tuduhan banyak dilemparkan kononnya UMNO main kotor dan PKR bebas daripada permainan kotor.

Rupa-rupanya dalam PKR, permainan belakang juga perkara biasa dan perebutan jawatan berleluasa!

Malah, PAS turut terpalit sama apabila suara rasminya, harakahdaily.net semalam mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi sebagai penyebar dan menjaja dakyah bahawa Menteri Besar Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin merupakan ‘boneka DAP’ dan ‘boneka Cina’ sejak penubuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat berjaya ditubuhkan.

Kata harakahdaily.net, menurut beberapa sumber yang ditemui, sebaran dakyah ini dikatakan dijaja di seluruh negeri sering didengari daripada mulut Jamaluddin sendiri yang dikatakan turut berminat untuk menjawat jawatan yang disandang Nizar.

“Inilah kita rasakan tidak layak untuk dia menjadi wakil rakyat atau exco yang memburuk-burukkan Menteri Besar sendiri dengan pelbagai tohmahan. Dan dakyah ini sengaja ditimbulkan berulang kali supaya membakar semangat perkauman, dan mahu menjatuhkan Nizar sendiri,” kata salah seorang yang enggan dikenali ketika ditemui oleh harakahdaily di Sri Kota petang semalam.

Dalam pada itu sumber parti KeADILan di Perak memberitahu bahawa ‘gerak-geri’ Jamaluddin sudah lama dicurigai dan dilihat mahu berkuasa dalam KeADILan negeri sendiri sehingga sanggup mencantas beberapa pimpinan daripada menjawat jawatan dalam parti negeri.

Kata sumber terbabit, Jamaluddin bertindak ‘menggantikan’ Pengerusi Perhubungan Negeri yang lama kepada yang baru, dikatakan proksi beliau malah Jamaluddin sendiri kini memegang dua jawatan iaitu Timbalan Pengerusi dan Bendahari KeADILan Negeri.

“Perilaku Jamaluddin yang ‘tamakkan’ kuasa memang lama kita dah nampak…dan tentang tawaran wang itu juga kita ada dengar.

“Dia juga yang menghubungi beberapa Adun KeADILan untuk turut serta bersamanya dan Adun-Adun itu laporkan kepada kita dan kini kita sedang memantau pergerakan itu manakala Osman walaupun pada asasnya dia ok, dia seorang yang tiada pendirian. Dia adalah orang Jamaluddin dan hanya mengikut sahaja.” kata sumber parti.

Sumber parti juga memaklumkan bahawa pihak parti sudah berusaha berkali-kali menghubungi beliau yang dilaporkan hilang malah kaum keluarganya juga tidak dapat dihubungi namun tidak dapat mengesahkan tentang masalah displin Jamaluddin yang dikatakan punca beliau berhenti kerja sebelum menceburi bidang politik dan menyertai KeADILan.

Harakahdaily.net seterusnya melaporkan: “Mereka dikatakan mahu jadi Bebas kerana khuatir lompat parti boleh menyebabkan pilihan raya kecil di Perak tetapi bebas pun tak lama lepas tu masuk Umno juga,”katanya yang akan memaklumkan keputusan displin parti dan maklumat terkini kepada Harakahdaily dalam masa yang terdekat.

“Apa yang dilaporkan di dalam blog atau laman web tentang pergolakan KeADILan Negeri akibat tindakan Jamaluddin, 80 peratus boleh dipercayai dan krisis ini sebenarnya telah lama berlaku dan bukannya sejak insiden enam hari kehilangan kedua-duanya,” katanya memberi rujukan beberapa laman web terbabit.

Jamaluddin semalam mengesahkan beliau kini adalah wakil rakyat bebas.

Katanya, hakikat tersebut perlu diterima kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili sebelum ini, telah `membuangnya.’

“Bila dia (PKR) hantar surat peletakan jawatan saya itu, maknanya dia tak nak saya lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jamaluddin sendiri semalam mendakwa tindakan PKR menghantar surat peletakan jawatan beliau sebagai wakil rakyat berpunca daripada keinginan pemimpin tertentu parti itu yang berhasrat bertanding jika diadakan pilihan raya kecil.

Beliau berkata, ada pihak dalam PKR yang ingin pilihan raya kecil diadakan supaya calon pilihan mereka dipilih bertanding.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar menerima surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu Ahad lepas tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan pada keduadua kerusi berkenaan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, ini kerana SPR mendapati wujudnya keraguan terhadap kedua-dua surat peletakan jawatan Mohd Osman sebagai Adun Changkat Jering dan Jamaluddin sebagai Adun Behrang.

Jamaluddin mendakwa berlaku perebutan jawatan di kalangan pimpinan PKR dan usaha untuk mengadakan pilihan raya kecil di dua kerusi DUN dirancang bagi membolehkan pemimpin tertentu dalam parti menjadi wakil rakyat dan seterusnya Exco kerajaan negeri.

Jamaluddin yang juga Bendahari dan Timbalan Pengerusi PKR Perak menyifatkan keadaan yang berlaku sebagai mainan kotor beberapa pemimpin parti yang ingin bertanding di DUN Behrang dan DUN Changkat Jering.

Mengenai tuduhan bahawa “kehilangan” beliau dan Osman didalangi oleh Barisan Nasional (BN), Jamaluddin berkata beliau sebenarnya cuti sakit dan tiada kena mengena dengan Umno.

Siapa main belakang sebenarnya?

RINGANKANLAH BEBAN WAKIL RAKYAT

Posted in ADUN, EXCO on October 30, 2008 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan negeri semalam bersetuju untuk mengkaji semula elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meringankan beban mereka dalam melaksanakan tugas untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat exco untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, cadangan untuk supaya elaun tersebut dinaikkan dengan menyamai gred N52 kakitangan kerajaan adalah munasabah.

Ia selaras dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh wakil rakyat.

“Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukan oleh ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah supaya elaun dinaikkan, untuk makluman kita tidak mengikut langkah kerajaan pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu semalam.

Ada dua perkara dalam ulasan Husam yang boleh diambil perhatian.

1. Mengkaji bergantung kepada keputusan Exco.

Perkaranya ialah siapa yang mengemukakan cadangan? Wakil Barisan Nasional iaitu ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang pada sidang tahun lalu diperintah keluar dewan kerana dikatakan menendang wakil rakyat Pas.

Apakah Exco Kerajaan Pas Kelantan akan meluluskannya apabila cadangan dibawa oleh Adun Barisan Nasional? Soal tambahan ialah, kenapa ADUN Pas berdiam diri, apakah mereka sudah cukup wang dan kenyang?

Yang pasti Husam turut mengiktiraf cadangan dengan mengatakan kenaikan ini wajar selaras dengan beban yang ditanggung wakil rakyat; dan,

2. Husam yang tidak habis-habis dengan sikap suka menyindir berkata kita (Kerajaan Pas) tidak mengikut langkah kerajaan pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini.

Kata-kata yang seribu makna itu menggambarkan bahawa dalam menerima cadangan baik ADUN BN, Husam masih menunjukkan sikap ‘permusuhannya dengan Kerajaan Pusat’ dan memperlekehkan sebarang keputusan Kerajaan Pusat.

Jika Kerajaan Pas Kelantan tidak mahu menaikkan elaun itu hak dia dan begitu juga dengan hak Parlimen Malaysia.

Apapun sila rujuk kepada kenyataan Husam pada 11 Jun lalu yang menggambarkan sikap kepura-puraan beliau sambil cuba memperlekehkan BN (sumber Utusan Malaysia):

“Kerajaan Kelantan tidak akan mengikut langkah kerajaan Pusat mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat dalam usaha menjimatkan perbelanjaan ekoran kenaikan harga minyak. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi. Apatah lagi, katanya, kerajaan negeri telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat.”

Hakikatnya, ketika harga minyak tinggi dan elaun wakil rakyat Pas kena potong (betulkah?), Husam menolak cadangan berkenaan untuk berjimat cermat.

Jadi apabila harga minyak sudah makin dikurangkan, sepatutnya elaun wakil rakyat Pas dipotong lebih banyak lagi kerana mereka sudah ‘lega’ sedikit.

Kenapa pula ketika harga minyak tinggi Husam enggan terima cadangan menaikkan elaun dan ketika harga minyak menurun, Husam ‘bersetuju’ untuk menaikkan elaun. Mana pengorbanan wakil rakyat Pas yang dibanggakan Husam?

Cerita mengenai cadangan menaikkan elaun ini pernah dikemukakan oleh Datuk Dr Awang Adek pada 18 Jun 2007 lalu. Menurutnya, Kerajaan Kelantan diminta meluluskan segera kenaikan elaun ADUN sebanyak 10 peratus supaya mereka dapat memberi khidmat dengan baik kepada rakyat.

Dr Awang Adek yang ketika itu Timbalan Menteri Kewangan, berkata elaun wakil rakyat Kelantan kini tidak selaras dengan negeri lain yang lebih awal dinaikkan.

“Selain dapat berbakti dengan lebih sempurna kepada rakyat ia turut memberikan manfaat kepada semua bekas wakil rakyat negeri ini,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) cawangan Kelantan di Kota Bharu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kerajaan negeri perlu memahami keadaan yang dialami oleh wakil rakyat negeri itu.

Katanya kehidupan bekas wakil rakyat turut terhimpit jika tiada kenaikan elaun itu kerana secara automatik apabila elaun ADUN dinaikkan, ia turut membabitkan elaun bekas wakil rakyat.

Apapun Norzula yang memang sikapnya terbuka dan ‘tidak takut dibelasah oleh wakil Pas’ di DUN Kelantan menunjukkan sikap prihatin pada diri dan rakan-rakan wakil rakyat lain di negeri itu.

Katanya kelmarin, elaun RM3,500 sebulan yang diterima sekarang tidak mencukupi.

“Saya tahu setiap daripada kita cukup susah hati misalnya bila ada kematian yang berlaku di tempat masing-masing, kerana kita perlu memberikan sedikit bantuan kewangan.

“Saya cadangkan elaun dinaikkan sekurang-kurangnya 50 peratus lagi dan biar sama dengan gred N52 pegawai kerajaan,” katanya semasa membahaskan Bajet Kerajaan Negeri 2009.

Norzula menunjukkan bagaimana wakil rakyat harus berterus-terang untuk berbakti kepada rakyat dan bukannya ‘menikus takut jawatan terancam’ jika mengemukakan sebarang cadangan yang akhirnya menyulitkan mereka menjalankan tugas.

Sebenarnya cerita wakil rakyat Pas tidak turun padang melawat rakyat bukan baru.
Antara puncanya ialah tidak cukup wang.