Archive for the Hishamuddin Category

AWAS BLOG DAN LAMAN WEB YANG MENGHASUT

Posted in blog, Blogger, Hishamuddin, ISA on August 20, 2009 by Hambali Abd Latiff

Menunggu tindakan tegas Hishamuddin.

Di Kuala Terengganu semalam, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menegaskannya.
Namun tiada akhbar yang memetiknya, kecuali The Star.

Mungkin tidak berpuas hati dengan mesej yang mahu disampaikan apabila akhbar dan agensi berita menumpukan kepada isu lain, beliau mengulanginya hari ini.

Hari ini melalui kenyataannya, Menteri Dalam Negeri itu mengulangi sekali lagi bahawa kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan “menyekat capaian kepada blog dan laman web” yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Datuk Seri Hishammuddin berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada.

“Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama,” katanya.

“Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini.”

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi.

“Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara,” kata Hishammuddin lagi.

Beliau menegaskan sedemikian selepas satu mesyuarat khas antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ketiga-tiga pihak ini diberikan tanggungjawab oleh kabinet untuk menyelaraskan beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Mesyuarat yang pengerusikan Hishamuddin petang ini diadakan bersama Menteri di JPM Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Isu-isu yang dibincangkan antaranya usaha penyelarasan tindakan dan kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Jabatan Peguam Negara (JPN) bagi memudahkan tindakan bawah Akta Hasutan.

“Mesyuarat juga membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan laman web dan blog yang melanggar mana-mana undang-undang negara serta mengambil tindakan undang-undang segera bagi tujuan mendakwa pemilik dan penulis laman-laman web dan blog-blog yang berunsur hasutan dan fitnah,” kata Hishammuddin.

Mesyuarat juga mendengar taklimat daripada polis mengenai isu-isu keselamatan semasa negara khususnya berkaitan dengan penyalahgunaan media alternatif serta taklimat oleh pihak penasihat undang-undang KDN mengenai perkembangan terkini berkaitan isu cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Advertisements

PERTAUTKAN YANG RENGGANG

Posted in Ahmad said, Hishamuddin, Terengganu, UMNO on May 21, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Kemaskini)

Ternyata pagi ini Ahmad Said yang ‘got the last laugh’. Semua dah settled. Dah beres. Yang dinanti-nantikan sudahpun berakhir.

Yang pasti status quo kepimpinan Kerajaan Negeri kekal. Tiada perubahan (setakat hari ini).

Kini semua pihak mahu perpaduan. Malah mesej perpaduan dalam UMNO Terengganu inilah yang ditekankan oleh Datuk Hishamuddin Hussein.
Datuk Ahmad Said yang pulang ke Kuala Terengganu pagi ini turut menekankan perkara yang sama. “Kita mulakan episod baru dengan semangat perpaduan. Lupakan yang keruh,” katanya.
Beliau bersyukur dan gembira kerana pertemuan semalam dapat diadakan dalam suasana penuh harmoni dan semangat perpaduan UMNO.
“Yang penting sekarang kita perlu tumpu kepada pilihan raya ke 13 nanti bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional,” katanya.
Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Hishamuddin mendengar segala rasa tidak puas hati – pihak yang marahkan Datuk Ahmad Said – di Putrajaya, semalam.
Kesemua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Terengganu menyertai pertemuan dengan Hishammuddin berhubung kemelut politik Terengganu.
Pertemuan tersebut yang diadakan mulai pukul 10 malam bagaimanapun terlepas daripada intipan beberapa wartawan yang turut berada di lokasi pertemuan yang berlarutan hingga ke awal pagi.
Saya mendapat maklumat awal daripada mereka yang menyertai pertemuan itu hampir jam 2.00 pagi ini.
Pertemuan banyak mata yang diatur oleh Hishamuddin semalam berjaya mengendurkan ketegangan dan jelas suara-suara tidak puas hati dapat dihemburkan dengan ‘loud and clear’.
Usaha mempertautkan yang renggang ini baik dan keterbukaan Ahmad Said untuk menerima teguran dan amarah sebahagian pemimpin UMNO patut dipuji.

Laporan-laporan sebelum ini mengatakan Ahmad Said menjadi tumpuan rasa tidak puas hati tetapi hakikatnya ada beberapa pemimpin UMNO lain yang turut kena belasah.

Apapun ada dua perkara yang menarik ditimbulkan dalam pertemuan banyak mata itu.
Pertama isu mencari ‘penawar’ – bunyi macam lagu Black Dog Bone – “Ku Cari Penawar Luka” yang lebih kurang sebagai formula mengatasi kemelut politik Terengganu.

Apa dia formula dimaksudkan? Ia ditimbulkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memang macam ‘meluat sangat’ dengan Ahmad Said.

Dengan cara beliau menggunakan cara pusing kiri, pusing kanan tanpa menyebut maksud, Hishamuddin dapat menangkap maksudnya.

Ia lebih kepada menggugurkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar bagi mengatasi kemelut ini. Namun pernyataan terus terang tidak dibuat.

Tidak diketahui sama ada yang menimbulkannya takut menyatakannya depan Ahmad Said atau beranggapan ia sudah difahami semua.

Yang menariknya, Ahmad Said tidak mempertahankan diri dan diam membisu sambil mendengar apa sahaja yang diperkatakan mengenainya.
Ini disahkan oleh seorang Exco yang pulang pagi ini dan ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pagi ini.
“Saya gembira dan memuji sikap Ahmad Said yang tidakpun cuba mempertahankan diri walaupun beliau dikritik,” kata Exco berkenaan.
Beliau anggap semuanya sudah selesai dan semua pihak perlu tumpukan kepada usaha mengukuhkan kembali UMNO.

Ternyata menggantikan Ahmad Said bukan kerja Hishamuddin. Ia juga bukan kerja UMNO, melainkan kalau UMNO lingkup di Terengganu.

Seperti pada 1999, sukar sangat menggulingkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, sebahagian ahli UMNO mengundi PAS dan dibantu dengan gelombang reformasi, Wan Mokhtar jatuh.

Jatuhnya Wan Mokhtar membolehkan Datuk Seri Idris Jusoh melebarkan sayapnya dengan memimpin UMNO Terengganu untuk menang kembali pada 2004.

Jadi untuk ketika ini walaupun cuba dicari penawar, status-quo kekal – Ahmad Said terus jadi Menteri Besar seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu.

Kedua, ialah soal berkaitan dengan pemimpin UMNO lain selain Ahmad Said.
Ada yang menimbulkan isu perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dikatakan tidak adil kepada mereka.

Hakikatnya kerajaan negeri belum melantik ahli JKKK dan dijangkakan selepas ini baru perlantikan dibuat walaupun sudah ada cadangan daripada satu dua Bahagian UMNO.
Jelas, pertelingkahan antara pemimpin di bahagian, kesan melimpahnya kepada Ahmad Said.
Baik juga pertemuan itu dilakukan, setidak-tidaknya Hishamuddin tahu apa sebenarnya berlaku di Terengganu.

Dalam kemelut begini, yang benar bukan benar semua dan yang salah bukan salah semua.
Hendaknya selepas ini, tidak akan ada lagi kemelut seperti yang berlaku sebelum ini.
Semua pihak harus faham, kalau lingkup UMNO yang jadi YB tidak akan jadiYB lagi dan yang ada harapan pun akan musnah segala-galanya.

Setidak-tidaknya sekarang, walaupun ada kemelut, ramai yang masih bergelar YB kalaupun Menteri Besar hanya seorang.

Dalam isu Menteri Besar ini, serahkanlah kepada pucuk pimpinan menentukannya.

Berilah peluang kepada Ahmad Said meneruskan agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diperkenalkan lebih awal daripada 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Juga, bak pesanan Hishamuddin, janganlah lagi bersms kepadanya dengan pelbagai ‘maklumat’ kerana cara itu akan mengusutkan lagi suasana.

Kepada Hishamuddin pula, apabila tidak dilayan sms seperti itu, akan terhenti sendirilah penghantarannya kerana yang menghantar akan merasa dirinya ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Mungkin yang belum beras setakat ini ialah siapa yang akan menerajui UMNO Terengganu, selain Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang sudah diumumkan oleh Presiden UMNO.
Pengerusi Perhubungan Terengganu, selepas mendengar kata hati semua pihak semalam, mungkin sudah mula mengenal nama.

Yang pasti akan ada yang tidak berpuas hati tetapi seperti biasa, sebagai pemimpin, Hishamuddin tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

Hishamuddin sudah melihat bagaimana Ahmad Said ‘diserang’ dan dia juga mulai sekarang perlu membina kubu kerana akan ada orang yang akan menyerang beliau apabila nama-nama diumumkan olehnya bagai mentadbir UMNO Terengganu.

Dalam konteks kepimpinan UMNO Terengganu ini, ‘jangan takutkan ombak, berumahlah di tepi pantai’ – ini pesanan saya untuk Hishamuddin!

MAMPUKAH PUTRAJAYA ATASI KEMELUT POLITIK TERENGGANU?

Posted in Ahmad said, Hishamuddin, Terengganu, UMNO on May 20, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hari ini yang ada di negeri Terengganu rakyat sahaja.

Semua orang ‘berpolitik’ di Terengganu – ada di Kuala Lumpur. Semua orang politik – ADUN, Ketua Bahagian dan Menteri Besar ada di Kuala Lumpur. Mesyuarat mingguan Exco juga diadakan di Kuala Lumpur.

Malam ini mereka ke Putrajaya. Agenda kemuncak akan berlaku di Putrajaya.

Ramai yang menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu malam ini. Selain kedudukan Menteri Besar, siapa akan menduduki Setiausaha Perhubungan, Bendari dan Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Begitu juga dengan jawatan-jawatan lain.

Apa tidaknya. Sesetengah menganggap mesyuarat malam ini yang akan menghimpunkan semua ADUN Terengganu dan Ketua-Ketua Bahagian dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein itu sebagai ‘jalan terakhir’ menentukan kedudukan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Dengan kata lain, teka teki bila dan siapa akan menggantikan Ahmad Said, dikatakan bergantung kepada keputusan mesyuarat malam ini.

Kerana itu tidak pelik kalau ada di kalangan 18 ADUN BN Terengganu yang sebelum ini mahu Ahmad Said disingkirkan, kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Menteri Besar itu, dikekalkan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut “terlalu awal” kerana perjumpaan dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein belum diadakan.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, sepatutnya kenyataan itu dibuat selepas perjumpaan dengan Hishamuddin diadakan malam ini.

Hishammuddin dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan ADUN dan ketua Umno bahagian Terengganu itu, di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya malam.

Malah, kata ADUN berkenaan, beliau dan rakan-rakannya akan cuba menimbulkan isu sebenar dalam perjumpaan dengan Hishammuddin tersebut, iaitu Ahmad Said mesti diganti.

“Ini fokus sebenar 18 ADUN berkenaan. Kami berjuang untuk kepentingan parti, negeri Terengganu dan rakyat negeri itu. Walau apapun, kumpulan kami tetap patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Terengganu sempena pelancaran hari guru peringkat kebangsaan Sabtu lalu, dilaporkan berkata, Ahmad kekal sebagai menteri besar.

Muhyiddin dikritik oleh sesetengah ADUN kerana membuat kenyataan mempertahankan kedudukan Ahmad Said mendahului Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Tidak tahulah SIAPA BESAR dalam konteks membuat kenyataan mengenai kedudukan Ahmad Said antara Timbalan Presiden UMNO berbanding Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Yang pasti Ahmad Said yang telah diturun pangkat dari jawatan pengerusi Umno Terengganu kepada timbalan pengerusi akan terlebih dahulu bertemu Hishamuddin sebelum mesyuarat penuh membabitkan semua ADUN.
Bagi yang waras, mesyuarat ini dilihat sebagai ‘mendengar’ daripada ‘menghukum’. Mendengar ialah memberikan ruang kepada ADUN dan pemimpin UMNO, termasuk Ketua-Ketua Bahagian menyatakan pendirian mereka.
Biarkan mereka menghentam apa sahaja. Dengan kata lain Putrajaya akan menjadi medan di mana Ahmad Said akan ‘dibelasah’ habis-habisan.
Persoalannya, apakah Hishamuddin akan membiarkan medan itu untuk membenarkan Ahmad Said dibelasah sedemikian rupa?
Persoalannya juga, sejauh mana luahan itu akan dijadikan asas untuk memutuskan untuk mengguggurkan Ahmad Said?
Pada pengamatan saya, Hishammuddin boleh mengambil apa-apa tindakan berhubung urusan parti, tetapi pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar bukan ditentukan oleh parti sahaja.
Kalau parti sahaja menentukan perlantikan Menteri Besar, sudah pasti Datuk Seri Idris Jusoh boleh menjadi Menteri Besar.
Dalam politik Terengganu, Barisan Nasional dan UMNO perlu bertindak bagai ‘menarik rambut dalam tepung’ – Rambut Jangan Putus, Tepung Jangan Tumpah.

Saya tertarik dengan kata-kata Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib baha kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini namun saya melihat rasa tidak puas hati -kenapa Datuk Ahmad Said yang masih terpacak di situ – tetap membara.

Kata Mohd Zaabar, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

“Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda.

“Kita serahkan kepada pimpinan UMNO untuk menyelesaikan kemelut tersebut,” katanya.

Persoalannya, bolehkah Putrajaya selesaikan kemelut politik Terengganu. Bolehkah UMNO melalui Hishamuddin meredakan kemelut ini?

BARU KENA SERANG, DAH GELABAH

Posted in Hishamuddin, Mukhriz, Sekolah on December 5, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tahniah Mukhriz, itu tandanya menyerang bukan asyik mahu ‘menjelas’ atau ‘menerang’ seperti Kementerian Penerangan.

Sesekali baik juga kita ‘lepas peluru terlebih dahulu ’ untuk melihat warna sebenar pembangkang dan NGO.

Jelas kini kepada mereka, bila sentuh sikit, kita sudah dianggap perkauman tetapi bagaimana kenyataan-kenyataan mereka yang memperleceh dan memperkecilkan orang Melayu dan Bumiputera lainnya?

Apakah orang Melayu jenis bukan bangsa rasional dan tidak pandai marah atau sakit hati terhadap kenyataan berbaur perkauman?

Saya melihat dalam konteks Mukhriz ini beliau memberikan alternatif kepada sistem pendidikan kini selain menguji sejauh mana reaksi ‘orang lain’ apabila berdepan dengan cabaran besar kepada sistem yang mereka pulihara.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya daripada organisasi bukan Melayu menolak cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat selain mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Mereka menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir itu sebagai berbaur perkauman dan mahu sistem pendidikan sedia ada dikekalkan.

Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (UCSTAM) dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (UCSCAM) dalam kenyataan bersama hari ini kesal dengan kenyataan Mukhriz itu yang disifatkan boleh menjejaskan perpaduan.

‘‘Kami meminta agar kerajaan mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab ini bagi mengelak perkara sedemikian berlaku lagi pada masa depan,’’ jelas kenyataan itu.

Ini baru syor satu perkara tetapi telah dirasakan boleh mengancam kepentingan mereka.

Persoalannya apakah kenyataan itu perkauman atau untuk kepentingan nasional?

Mukhriz tidak pun mempersoal ‘kehadiran bukan-Melayu’ atau ‘apa-apa yang berkaitan kerakyatan bukan-Melayu’ tetapi sekadar mengutarakan cara mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat dan mengelakkan polarisasi kaum.

Ketika ini bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina ada 889, sekolah jenis kebangsaan Tamil (374), sekolah mubaligh (410) dan sekolah agama bantuan kerajaan (154). Sekolah kebangsaan pula ada 5,831.

Saya teruja dengan kata-kata POLITICA (http://politica-net.blogspot.com) apabila mengatakan tidak ada satu negara dalam dunia macam Malaysia. Dah ada sekolah kebangsaan, kerajaan izinkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil diwujudkan.

Kata POLITICA: “Cuba buka mata-mata luas-luas. Cuba pasang telinga lebar-lebar. Di Indonesia tak ada sekolah Cina. Di London tak ada sekolah Cina. Di USA tak ada sekolah Cina. Di Jepun tak ada sekolah Cina.

Di Malaysia ada! Sebab apa? Nak tau sebabnya? Pasal orang Melayu baik hati sangat! Itu pun dia orang tak kenang budi. Bagi betis nak peha. Lepas tu panjat kepala! Sebab itulah hari ini Mukhriz Mahathir teruk kena bedal. Dia cuma kata hapuskan sekolah jenis kebangsaan. Apa yang dia kata tak salah. Tapi pihak yang rasa pedas menyalak macam anjing gila.

Bukan itu saja. Sekolah wawasan yang diwujudkan oleh kerajaan pun diboikotnya. Kononnya anak Cina tak boleh campur dengan anak-anak keturunan lain. Apa punya alasan ni?

Bukankah ini ertinya puak ini anti-perpaduan? Abdullah Badawi pun tak tegas. Kena tekan sikit, sekolah Cina yang dah ditutup pun diarah buka balik. Contohnya sekolah di pinggir Seksyen 17 PJ. Sekolah tu dah tutup beberapa tahun lalu. Waktu PRU12 ada masyarakat Cina desak minta sekolah tu dibuka semula. Abdullah pun arah Hishamuddin Hussein buka balik sekolah tu. Awal 2009 ni sekolah tu mula dibuka dan ambil pelajar semula. Apa punya cerita ni?”

Benar kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kenyataan Ahli Jerlun berhubung sekolah satu aliran langsung itu tidak ada berbaur unsur perkauman.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas saranan Mukhriz, Isnin lalu, supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Dalam sistem pendidikan negara hanya ada aliran perdana iaitu sekolah kebangsaan dan aliran bantuan kerajaan. Aliran bantuan kerajaan merangkumi empat jenis iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Kata Hishamuddin, “kalau nak kaitkan dengan perkauman, kita tengok sendiri empat jenis sekolah aliran bantuan kerajaan itu merangkumi semua kaum dan bangsa, tak mungkin ia boleh disalah tafsir begitu.

“Tapi pembangkang cuba membangkit dan mengaitkannya dengan perkauman… itu yang menimbulkan emosi dan keliru serta rasa tidak sedap hati,” katanya.

Memang hasrat semua pihak baik, jika ada satu aliran tapi kalau nak mempolemik dan mengaitkannya dengan perkauman, itu tak ada asas langsung, kata Menteri berkenaan.

Apa yang Mukhriz kata ialah ialah menerusi sistem pendidikan yang dicadangkannya, semua sekolah pelbagai jenis akan diserap melalui entiti tunggal dengan bahasa Melayu sebagai perantaraan kecuali bagi Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

Kalau inipun dianggap perkauman, apa lagi bentuk cadangan orang Melayu yang ‘lebih lembut’ wajar dituturkan?

PENCALONAN NAIB PRESIDEN SEMAKIN MENARIK

Posted in Hishamuddin, Najib, Presiden, UMNO on October 28, 2008 by Hambali Abd Latiff

Dengan pencalonan kini daripada 102 Bahagian, persaingan paling menarik ialah pertandingan Naib Presiden.

Lima calon Naib Presiden yang telah layak bertanding iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Syed Hamid Albar dan menjadi pilihan pencalonan.

Kombinasi calon lama, pertengahan dan baru menunjukkan persaingan pada peringkat ini sebagai persediaan pemimpin pelapis untuk menerajui negara pada masa hadapan.
Mereka juga akan bergerak sebagai pasukan dalam kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kini menghampiri layak untuk menjadi Presiden UMNO.

Di kalangan calon Naib Presiden ini paling berpengalaman dalam UMNO sudah pasti Syed Hamid yang menjadi Ahli MT sejak 1986 diikuti Shafie yang menduduki MT selama lima penggal walaupun Hishamuddin dan Zahid pernah menduduki kerusi ‘Naib Presiden secara automatik’ ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam konteks pemilihan MT lalu, Zahid mendapat undian kedua paling tinggi dan diikuti Syed Hamid (10), Khaled(11) dan Shafie (12).

Hishammuddin mendapat tiga pencalonan lagi hari ini daripada Jeli, Maran dan Penampang menjadikan jumlah pencalonannya sebanyak 85, Zahid menerima pencalonan daripada Jeli, Maran dan Kota Tinggi (62), Mohamed Khaled menerima pencalonan daripada Jeli (50), Mohd Shafie pencalonan daripada Jeli (45) dan Syed Hamid dua pencalonan Kota Tinggi dan Penampang (22).

Pemimpin lain yang telah mendapat pencalonan bagi jawatan Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan mengumpul lapan pencalonan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (lapan), Datuk Seri Shahidan Kassim (enam), Tan Sri Rahim Thamby Chik (enam), Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga), Datuk Seri Musa Aman (dua), Tan Sri Annuar Musa (satu) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (satu).

Menurut Agendadaily, kejayaan Datuk Seri Syed Hamid Albar memecah monopoli ‘ orang baru’ dalam pencalonan jawatan Naib Presiden UMNO kelmarin mencetuskan tandatanya apakah mungkin ada satu,dua atau tiga lagi ‘ orang lama’ dapat mencelah untuk beradu dengan mereka.

Ramalan setakat ini menunjukkan pertandingan Naib Presiden akan menjadi padang permainan bagi golongan muda iaitu Hishamuddin,Zahid,Shafie dan Khaled. Namun ada juga kalangan yang tidak menolak kemungkinan para perwakilan mungkin terdorong nak letak seorang ‘ orang lama’ dalam barisan naib Presiden bagi mengimbangi kedudukan jawatan itu.

Makanya persaingan sengit dan tidak kurang menarik akan berlaku jika katakan satu atau dua orang lama lagi dapat kelayakan bertanding.

Ada para pemerhati politik sudah cop pertandingan Naib Presiden sebagai ‘ pertandingan dua generasi’.

Bagi jawatan timbalan presiden Umno, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutip dua lagi pencalonan iaitu daripada Jeli dan Maran untuk mara dengan jumlah 65 pencalonan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib juga meraih dua pencalonan baru daripada Kota Tinggi dan Penampang, menjadikan keseluruhan pencalonannya 15.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan. Ali memerlukan pencalonan lagi untuk layak bertanding.

Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengungguli pertandingan bagi Presiden UMNO dan memerlukan hanya untuk disahkan sebagai Presiden.

Hari ini Jeli, Maran, Kota Tinggi dan Penampang memberikan pencalonan terbaru kepada Najib untuk membolehkan beliau memungut kesemua 102 pencalonan.

Menurut Bernama, persidangan perwakilan Umno yang berlangsung sehingga 6 petang ini menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno.

Hanya 32 lagi pencalonan diperlukan oleh Najib untuk mendapatkan 134 pencalonan daripada 89 lagi bahagian bagi dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang ke-7.

Setakat ini selain Najib, hanya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden tetapi masih belum memperolehi sebarang pencalonan.

Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih terus menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno apabila Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Pilah yang mengadakan persidangannya hari ini mencalonkan beliau.

Shahrizat, yang sehingga kini masih tidak menyatakan pendirian sama ada untuk bertanding ke jawatan itu walaupun telah layak bertanding, mengumpulkan 56 pencalonan. Penyandang jawatan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz masih mendahului dengan mengumpul 94 pencalonan.

Wanita Umno Kuala Pilah juga mencalonkan Exco Wanita Pusat Datuk Kamilia Ibrahim sebagai Naib Ketua Wanita, menjadikan keseluruhannya 41 pencalonan.

Pemimpin lain yang dicalonkan bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno ialah Shahrizat dengan 92 pencalonan, Ketua Umno Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said (10), Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique (dua), Exco Wanita Datuk Dr Norraesah Mohamad (satu) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan (satu).
Ini bermakna Azalina memerlukan 10 sahaja lagi pencalonan untuk dapat bertanding Naib Ketua Wanita. Kuotanya ialah 20.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menerima satu lagi pencalonan hari ini iaitu daripada Kepala Batas, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan yang diperolehnya ialah 45.

Sementara itu, Anggota Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir setakat ini masih kekal dengan 66 pencalonan manakala bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula memperoleh 47 pencalonan. Sebanyak 159 daripada 191 Pemuda bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sejak 9 Okt lepas.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, Anggota Parlimen Muar Razali Ibrahim masih mengungguli persaingan dengan memperoleh 79 pencalonan setakat ini manakala pesaingnya iaitu Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican pula memperoleh 66 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan.