Archive for the BPR Category

TAK DAPAT PROJEK BISING, DAPAT PROJEK LAIN PULA…

Posted in BPR, PPRT, SABAH on January 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Entahlah, letih dengan kerenah mereka yang dapat projek kerajaan.

Kenyataan kesal oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Datuk Jainab Ahmad dengan tindakan segelintir kontraktor Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu diambil perhatian berat.

Jika perlu diambil tindakan drastik hingga sampai kepada tindakan BPR, buatlah.

Jangan bagi muka kepada kontraktor seperti yang disebut Jainab. Mereka ini cuba mengaut keuntungan berlebih-lebihan dalam melaksanakan projek itu.

Kata Jainab di Kota Kinabalu pagi ini: “Saya dapati kos rumah yang diperuntukkan bernilai RM40,000 sebuah tetapi rumah PPRT yang dibina tidak mencapai harga yang diperuntukkan.”

Sewajarnya nada kesalan Jainab perlu diambil perhatian berat oleh agensi yang menawarkan projek PPRT. Ini kerana Jainab dengan tegas menegur kontraktor terbabit supaya: “Jangan mengambil keuntungan kos hasil rumah yang dibina secara melampau tanpa mengambil kira keselamatan penghuni yang mendiami rumah PPRT tersebut.”

Sebenarnya perkara seperti inilah yang menjadi punca rakyat marahkan kerajaan – Barisan Nasional (BN), UMNO dan apa juga parti komponen terbabit.

Akibat perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab, yang rosak nama ialah kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Malah, Jainab yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karambunai turut meminta kontraktor-kontraktor supaya tidak membina rumah di kawasan lereng bukit bagi mengelakkan kejadian luar jangka termasuk tanah runtuh.

Dalam hal ini, beliau menasihati kontraktor supaya sentiasa mendapat maklum balas dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum melaksanakan projek perumahan PPRT.

Sambil memberi contoh pembinaan rumah PPRT di lereng bukit berdekatan kawasan Kampung Tebobon, dekat Kota Kinabalu, Jainab berkata projek itu bakal mengundang perkara yang tidak diingini kepada penduduk kampung yang akan menduduki rumah tersebut.

“Sebelum berlaku apa-apa, kita perlu berhati-hati.

Kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan perumahan yang berlaku di Semenanjung seharusnya diambil sebagai iktibar untuk kita merancang pembinaan rumah PPRT secara teratur,” katanya.

Saya berharap akan lebih ramai wakil rakyat atau juga yang berpangkat Pembantu atau Timbalan Menteri dan Menteri berani seperti Jainab.

Syabas dan tahniah kepada Jainab.

Fikirkan pasal rakyat ramai bukan satu dua kontraktor yang sudah mendapat ‘habuan’ kerajaan tetapi tidak memikirkan kepentingan rakyat.

Bukan sahaja mereka ini pentingkan diri tetapi juga boleh mencemarkan nama kerajaan dan meranapkan BN.

Advertisements

MENCARI KEJERNIHAN ISU PEROLEHAN EUROCOPTER C-725

Posted in BPR, Eurocopter, Najib, PAC, Paklah on November 3, 2008 by Hambali Abd Latiff

Elok sangat jika Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah membuka kertas siasatan berhubung isu cadangan pembelian 12 helikopter Eurocopter C-725 bernilai RM1.607 bilion yang kini ditangguhkan bagi memastikan sama ada ia dilakukan mengikut prosedur.

Isunya ialah ‘ harga yang dikatakan terlalu mahal dan didakwa dipengaruhi pihak tertentu’.
Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan kerajaan menangguhkan pembelian 12 helikopter itu sehingga keadaan ekonomi dunia stabil.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menumpukan perhatian pada projek lebih penting yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

Siasatan kes itu diketuai Pengarah Siasatan, Datuk Shukri Abdullah dan baru dimulakan.

“Pegawai kami sudah ke Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan maklumat berhubung isu itu kerana BPR mahu melihat sama ada ia dilakukan mengikut prosedur atau ada kepincangan. Jika wujud unsur rasuah, kita akan jalankan siasatan lanjut,” kata Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan semalam.

BPR dijangka menjalankan siasatan secara berperingkat kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga sedang meneliti isu itu.

Dilaporkan, mesyuarat dengan Kementerian Kewangan tidak dapat dijalankan dengan sempuna kelmarin kerana masalah ketidak hadiran pegawai atasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid menjelaskan mesyuarat dengan wakil dari Kementerian Kewangan untuk membincangkan isu pembelian Eurocopter hanya berlangsung kurang dari satu jam.

Ini katanya, kerana wakil yang diharapkan dari kementerian tersebut hanya berpangkat setiausaha rendah dan bukannya Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

“Kita mahu setiausaha kementerian itu sendiri hadir memberikan penjelasan, oleh itu kita tangguhkan mesyuarat ini Isnin depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen.

Selain itu, beliau juga menyelar tindakan KSU tersebut kerana tidak hadir mesyuarat itu.

Apabila ditanya adakah KSU terbabit akan hadir ke mesyuarat Isnin depan, Azmi menjawab KSU tersebut akan hadir kerana menyifatkan semua pihak patut memberi perhatian serius dalam perkara yang dibangkitkan PAC.

Tambahnya, beliau juga akan memanggil semula Bahagian Teknikal Kementerian Pertahanan.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan daripada Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter, pesawat milik syarikat European Aeronautic Defence and Space Co (EADs) dan pada 15 September kementerian itu mengeluarkan satu Surat Hasrat kepada Eurocopter.

Banyak maklumat akhir-akhir ini mengenai perolehan C-725 dan banyak pihak atasan pula dikaitkan.

Ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini Menteri Pertahanan dan bekas menterinya, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Selain itu, sudah pasti Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Abu Bakar Abdullah dan pengerusi Mentari Services Sdn Bhd, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim yang mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia “agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini.”

Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Februari tahun ini untuk perolehani itu dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 September.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah dilaporkan berkata, keputusan memilih model berkenaan dibuat berdasarkan tawaran lengkap oleh Eurocopter dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal serta ofset harga yang munasabah.

Mengenai isu ini, melalui posting saya ini pada 28 Oktober lalu ada mengemukakan pertanyaan sama ada perolehan itu bagi tujuan pertahanan kerana Kementerian Pertahanan yang menggendalikannya.

Saya berhujah bahawa jika ia untuk tujuan pengangkutan biasa, tidak apalah apa alasan ia ditangguhkan. Tetapi jika helikopter untuk tujuan keselamatan rasanya sedikit janggal jika diasaskan kepada faktor berjimat cermat kerana kepentingan keselamatan tidak wajar di kompromi dengan kepentingan-kepentingan lain.

Semalam saya membaca sebuah tulisan menarik mengenai isu ini ditulis moleh Kijang Jantan melalui http://kijang-jantan.blogspot.com yang memetik blog saya dan blog Datuk Husam Musa (http://cetusan-hati.blogspot.com) sebagai asas penulisannya.

Datuk Husam Musa dalam blognya (http://cetusan-hati.blogspot.com) menimbulkan beberapa isu tetapi yang menarik apabila beliau berkata:

“Benar LOI dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Ia nampak macam Najib tergesa-gesa. Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan. Memang pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan. Abdullah berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan deal ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan ‘hasilnya’.

Pada masa yang sama, ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan ‘menyudahkan’ Najib. Surat Kapt (B) Zahar Hashim ditujukan kepada Najib. Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya ‘tuan nangka’.

Ia satu ‘permainan’ tingkat tingi. Berbillion ringgit wang negara jadi pertaruhan. Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah segera tahu Eurocopter adalah mahal dan negara tak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan. Cepat dan pantas. Sebulan, selesai. Abdullah terkejar masa untuk ‘sentuhan’ akhir sebelum bersara?”

Saya perturunan tulisan berkenaan:

PEROLEHAN EC725 – NAJIB CUBA DIPALITKAN?

Oleh Prebet Pencen (http://kijang-jantan.blogspot.com)

Bercakap mengenai isu proses perolehan helikopter EC725 keluaran Eurocopter, Hambali Abdul Latiff melalui blognya http://hambali1.blogspot.com pada 28 Oktober lalu, mengemukakan pertanyaan:

“Apakah pembelian helikopter itu untuk tujuan kegunaan biasa atau keselamatan? Jika ia untuk tujuan biasa, tidak apalah jika ditangguhkan. Tetapi jika helikopter untuk tujuan keselamatan rasanya sedikit janggal jika diasaskan kepada faktor berjimat cermat kerana kepentingan keselamatan tidak wajar di kompromi dengan kepentingan-kepentingan lain.”

Yang pasti Perdana Menteri yang mengumumkan pembelian Eurocopter dibatalkan dan beliaulah juga yang mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya buat kali pertama pada 26 September lalu.

Aneh juga apabila kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas diumumkan niat untuk membelinya.

Lantas teringat kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 21 Oktober 2008, yang menyebut kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

”Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan. Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa. Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima).

Tidakkah ini menggambarkan apa yang diperkatakan oleh Hambali memang benar dalam konteks keselamatan negara?

Selain isu berkenaan, saya tertarik dengan apa yang ditimbulkan Wan Nordin Wan Yaacob melalui tulisannya: Eurocopter: “Abdullah makan nangka, Najib terkena getahnya” dalam Harakahdaily semalam.

Tulisan ini mengemukakan pertanyaan mengenai siapa sebenarnya yang cuba mendapatkan keuntungan daripada perolehan berkenaan?

Berdasarkan tulisan Datuk Husam Musa bertajuk “Eurocopter: Najib atau Abdullah kempunan atau keduanya?” banyak perkara boleh diperkatakan.

Husam berkata, ketika ramai menyangka kononnya ‘perbincangan’ pembelian Eurocopter didalangi Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan komisyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepadanya.

“Isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nangka dan orang lain terkena getah,” kata Husam secara sinis dalam satu ulasan yang dipaparkan dalam blognya baru-baru ini.

Benar ‘Letter of intent’ (LOI) dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan ia nampak seperti Najib tergesa-gesa.

Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan dan sememangnya pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan, kata Husam.

Selanjutnya Husam menegaskan: “Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan ‘deal’ ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan ‘hasilnya’.

Pada masa yang sama Husam melihat ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan ‘menyudahkan’ Najib.

Dan apabila Najib meminta Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya ‘tuan nangka’, sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah mengatakan Eurocopter adalah mahal dan negara tidak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan.

Kesian Najib!

Berikut pula ialah tulisan Husam:

Eurocopter: Najib atau Abdullah kempunan atau keduanya?

Tuesday, October 28, 2008

(http://cetusan-hati.blogspot.com)

Eurocopter permainan siapa – Abdullah atau Najib?

Hari ini, Abdullah umumkan pembelian Eurocopter dibatalkan. Kenyataan pembatalan ini dibuat hanya 32 hari selepas Abdullah yang sama pertama kali mengumumkan mengenai rancangan pembeliannya pada 26 September tahun ini. Petikan laporan Utusan mengenainya seperti di bawah; Perdana Menteri berkata, surat hasrat (LOI) telah dihantar kepada Eurocopter untuk membeli helikopter tersebut.

‘‘Pada masa ini Kementerian Pertahanan sedang mengadakan rundingan dengan Eurocopter mengenai spesifikasi teknikal helikopter, klausa perjanjian sebelum menandatanganinya secara rasmi dengan syarikat berkenaan,’’ katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima taklimat khas di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Esok, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dijangka memulakan siasatan mereka ke atas pembelian tersebut. Hari ini, Abdullah mengumumkan pembatalannya. Kata Abdullah, keputusan pembatalan itu dibuat dalam mesyuarat Eksekutif Majlis Ekonomi Kebangsaan yang bersidang dua minggu sebelum ini. Maknanya, sekitar 14 Oktober.

Jika benar mesyuarat Majlis Ekonomi membincang dan membuat keputusan itu dua minggu lepas, ada dua persoalan di sini;

a. Mengapa dua minggu kemudian baru keputusan tersebut diumumkan? b. Mengapa Timbalan Perdana Menteri seakan tak mengetahuinya apabila Najib, pada 21 Oktober atau tujuh hari yang lalu, membuat kenyataan berikut, seperti laporan Utusan;

Najib ditanya sama ada krisis kewangan global akan menyebabkan kerajaan menilai kembali peruntukan untuk projek pertahanan terutama pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri.

Jawapan Najib, ikut laporan itu ialah; KUALA LUMPUR 21 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam. ”Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan. ”Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa.

”Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima) di sini hari ini. Kenyataan Najib di atas dibuat seminggu yang lalu, seminggu selepas apa yang didakwa Abdullah keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Kebangsaan.

Mustahil Najib tak mengetahui keputusan itu sehinga kenyataan seperti ini terkeluar dari mulutnya jika memang keputusan itu sudah dibuat.

Dalam kenyataan lain Najib dua hari sebelum itu, Najib menyatakan; “Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter Eurocopter diperhalusi PAC.

PEKAN 19 Okt. – Kerajaan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri sebelum mengambil keputusan untuk membeli pesawat itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan membeli pesawat tersebut perlu dikaji secara mendalam walaupun proses perolehan helikopter itu dikatakan dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Apa mesej yang nak dihantar oleh Najib?

Ketika ramai menyangka deal Eurocopter didalangi Najib dan komesyen seperti kes kapal selam dan pesawat perang mungkin wujud sekali lagi, Najib terasa isu ini cuba dipalitkan kepada beliau sedang orang lain yang memakan nagka dan orang lain terkena getah.

Benar LOI dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, dua hari sebelum Najib dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Ia nampak macam Najib tergesa-gesa. Namun, LOI itu mungkin sahaja dikeluarkan atas arahan Menteri Kewangan. Memang pun pembelian seperti itu memerlukan kelulusan Menteri Kewangan. Abdullah berpindah dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Pertahanan seakan untuk mempastikan deal ini berjalan mengikut yang dirancang bersekali dengan ‘hasilnya’.

Pada masa yang sama, ia seakan program Najib dan perginya Abdullah ke Kementerian Pertahanan adalah untuk membongkar dan ‘menyudahkan’ Najib. Surat Kapt (B) Zahar Hashim ditujukan kepada Najib. Bagaimana cara Najib dapat melantunkan semula bola ini ke kepala Abdullah? Najib meminta PAC menyiasat supaya dapat dikenal siapa sebenarnya ‘tuan nangka’.

Ia satu ‘permainan’ tingkat tingi. Berbillion ringgit wang negara jadi pertaruhan. Sehari menjelang siasatan PAC, Abdullah segera tahu Eurocopter adalah mahal dan negara tak cukup wang kerana dunia dilanda krisis kewangan. Cepat dan pantas. Sebulan, selesai. Abdullah terkejar masa untuk ‘sentuhan’ akhir sebelum bersara?

IDRIS JUSOH PENGKHIANAT KEPADA RAKYAT TERENGGANU?

Posted in BN, BPR, Piala Monsoon, rasuah, Terengganu on October 28, 2008 by Hambali Abd Latiff

Sedih pun ada, kesal pun ada membaca tulisan Suhaimi Taib dalam portal berita Pas, Harakahdaily hari ini.

Ia berkenaan ulasan terdapa perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut mengenai bagaimana Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh didakwa antara orang yang bertanggungjawab mengakibatkan kira-kira lebih RM7 bilion wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat negeri Terengganu disalahgunakan.
Kerana perbelanjaan itu dikatakan menyebabkan Kerajaan Terengganu kekeringan wang untuk dibelanjakan bagi kepentingan negeri tersebut sehingga hari ini.

Dalam rencana tersebut, projek mewah termasuklah Taman Tamaddun Islam (TTI) dan Piala Monsun menjadi fokus Suhaimi.

Abdul Wahid turut mendakwa bekas menteri besar itu sebagai pengkhianat kepada rakyat dan negeri Terengganu ketika berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Idris yang juga Adun Jerteh dikatakan tidak mencelah untuk menafikan dakwaan Haji Mohd Abdul Wahid dalam persidangan tersebut.

Bendahari Perhubungan PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid pula ketika berucap di satu majlis ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini mendakwa, Idris antara pemimpin Umno Terengganu yang bertanggungjawab mengeringkan kantong kerajaan negeri untuk projek pusat.
“Wang kerajaan negeri digunakan untuk projek pusat ketika Idris memerintah Terengganu. Ini suatu penggunaan wang yang tidak betul. Rakyat tidak dapat manfaat sepatutnya dari projek berkenaan,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau merasa hairan kenapa rakyat Terengganu tidak terkesan dengan tindakan Idris itu sehingga mereka terus memilih Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu dalam pilihan raya umum ke-12 lalu ketika negeri-negeri pantai Barat menolak parti itu sebagai kerajaan.

Jadi apabila ada kata-kata pembaziran terhadap projek TTI, kita syak ia lebih kepada soal kepentingan politik daripada perkara lain.

Jika benar pemimpin Pas Terengganu mahu memperkatakan mengenai pembaziran, kenapa pula kaitkan dengan rakyat Terengganu tidak memilih Pas pada pilihan raya umum lalu.
Jika rakyat benar-benar menolak Idris, mereka akan memilih Pas kerana ketika itu bukan sahaja Kelantan tidak dapat ditawan semula tetapi angin perubahan cukup kuat sehingga menumbangkan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Tetapi BN Terengganu terus teguh dan Idris tersenyum lebar dengan kemenangan itu.
Sudah pasti penggantinya, Datuk Ahmad Said akan menilai semua projek ini mengikut kesesuaian semasa tetapi dua projek yang dianggap mega ini tetap penting kepada Terengganu.
Jadi dalam konteks dua projek besar ini di manakah khianatnya Idris kepada Terengganu?

Cuma cermin sedikit, dalam tempoh hampir lima tahun berkuasa, apakah projek Pas untuk rakyat Terengganu dalam konteks pelancongan, pendidikan atau juga pembangunan asas untuk Terengganu?

Bagi pemimpin Pas ketika itu, yang ada sumbangan ialah tambah isteri . mungkin!
Pada asasnya kedua-dua projek ini bertujuan mempromosikan Terengganu pada peringkat dunia.

Hakikatnya, dua projek besar itu diakui penting untuk pelancongan Terengganu apabila Persatuan Pelancongan Terengganu dan ejen- ejen pelancongan negeri itu pada 31 Julai lalu diminta membantu mengubah persepsi negatif rakyat terhadap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dan pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI) ekoran timbulnya beberapa isu mengenainya sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelak ia memberi kesan negatif sehingga menjejaskan sektor pelancongan negeri ini. Beliau berkata, isu kos dan pembinaan kemudahan Piala Monsun dan TTI sepatutnya sudah berlalu kerana kedua- duanya sudah siap dibina dan kini menjadi produk pelancongan negeri ini.

”TTI sudah menjadi satu ikon di negeri ini manakala Piala Monsun telah banyak membantu meningkatkan ekonomi penduduk negeri ini ketika musim tengkujuh.

Za’abar berkata, ejen-ejen pelancongan negeri ini juga perlu mewujudkan pakej-pakej baru pelancongan dalam usaha menarik pelancong tinggal lebih lama di negeri ini.

TTI seluas 22 hektar yang dibina dengan belanja RM249.3 juta itu menempatkan replika monumen tersohor dunia seperti Taj Mahal (India), Al-Hambra (Sepanyol), Menara Kaylan (Uzbekistan) dan Kudus Minar (Indonesia).

Kita meneliti kembali kata-kata Pas mengenai pembaziran ini sudah acap sangat. Paling hebat ialah kata-kata pembaziran terhadap pembinaan Pusat Pentadbiran Putrajaya. Tetapi hari ini Putrajaya diakui sebagai Bandar Pentadbiran canggih dan termoden.

Yang pasti TTI sudah menjadi medan penganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang menyambut jubli emas tahun ini di Dewan Konvensyen TTI antara 18 dan 25 Ogos lalu.

Majlis tahun ini adalah pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur sejak ia diperkenalkan pada 1960.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 15 Oktober lalu melakukan lawatan ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man di sini.

Turut berangkat dalam lawatan itu ialah raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di sini. Rombongan diraja itu yang turut diiringi oleh menteri besar negeri masing-masing melawat Masjid Kristal dan Taman Monumen yang menjadi mercu tanda baru Terengganu.

Dalam lawatan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215, Tuanku Mizan diberi penerangan mengenai keunikan Masjid Kristal dan juga taman monumen tersebut yang menempatkan 21 replika monumen terkenal di seluruh dunia yang menawarkan keindahan, keunikan dan kehalusan seni bina Islam.

Memanglah wajar bagi pentadbiran mengkaji semula semua bentuk pembangunan untuk menjamin ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Seperti dilaporkan pada 22 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan pulau buatan manusia yang dikenali sebagai Pulau Warisan di muara Sungai Terengganu.

Katanya, tiada sebab mengapa projek itu harus dihentikan kerana pembangunan pulau itu boleh menarik minat pelancong ke negeri ini.

Membuat pengubahsuaian kepada pelan asal projek adalah perkara biasa dan menurut Ahmad Said, apabila siap, Terengganu bakal mempunyai keunikan tersendiri kerana selain mempunyai Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang berharga lebih RM300 juta, negeri ini juga mempunyai sebuah pulau buatan manusia yang belum terdapat di negeri lain.

Apabila menjadi kenyataan, ia akan menempatkan bangunan yang mempunyai seni bina tradisional Melayu, pentas persembahan kebudayaan dan bazar barangan tradisional Terengganu. Selain itu, pulau itu juga menyediakan tempat riadah, pusat makanan tradisional Melayu Terengganu, pusat permainan tradisional dan rumah-rumah Terengganu.

Mengenai Monsoon Cup, apakah Idris sahaja harus dipersalahkan? Tidakkah ada juga campur tangan Kerajaan Pusat dalam soal ini yang Idris sendiri sukar untuk mengelakkannya?

Lagipun, apa mahu dipersoalkan lagi apabila Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan menegaskan minggu lalu, siasatan badan itu mendapati tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran kejohanan perlumbaan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu.

Hakikatnya, kejohanan bertaraf dunia ini jika dicemari rasuah, ia bukan sahaja menjejaskan Terengganu, tetapi juga Malaysia.

Kejohanan Piala Monsun akan datang diadakan pada 4 hingga 7 Disember depan.
Hasil siasatan itu sudah pasti melegakan Menteri Besar yang mahu siasatan dijalankan bagi membersihkan kerajaannya dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang kini Pengerusi MARA apabila dilemparkan pelbagai tuduhan.

Tuduh menuduh dan pelbagai laporan dibuat khususnya oleh Pemuda PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk laporan kepada BPR mengenai penganjuran sukan berprestij itu pada 29 Julai lalu.

Yang jelas pada 7 Mei lalu, kerajaan negeri sudah mengesahkan bahawa peruntukan tambahan RM42 juta dalam fasa II projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Terengganu digunakan untuk mendalamkan laluan air di kawasan itu untuk penganjuran Piala Monsun dan pelayaran kapal mewah Star Cruise.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Muhamad berkata, pelaksanaan projek benteng pemecah ombak itu meliputi tiga fasa dan fasa I yang menelan kos RM42 juta telah siap pada tahun 2003.

Katanya, peruntukan tambahan RM42 juta itu adalah untuk fasa kedua yang pada mulanya membabitkan peruntukan sebanyak RM367 juta sebelum bertambah RM409 juta manakala fasa III sebanyak RM100 juta masih dalam pembinaan.

”Kerajaan negeri mengakui kenyataan itu, kerja mendalamkan lembangan digunakan untuk penganjuran Piala Monsun,” katanya.

Bukankah ini pengiktirafan kerajaan pimpinan Ahmad Said terhadap program ini. Soal bagaimana menganjurkan pertandingan ini adalah hak kerajaan negeri tetapi Piala Monson akan diteruskan.

AHMAD SAID GEMBIRA, IDRIS LEGA

Posted in BPR, Piala Monsoon on October 17, 2008 by Hambali Abd Latiff

Tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran Piala Monsoon.

Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan menegaskan semalam, siasatan badan itu mendapati tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran kejohanan perlumbaan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu.

“”Bagi BPR memang sudah jelas tidak ada apa-apa…kita sudah buat yang terbaik. Kita perlu perjelaskan perkara ini dengan baik kerana ia boleh menjejaskan imej bukan saja Terengganu tetapi juga Malaysia,”

Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata pada majlis sambutan hari raya BPR di Pusat Konvensyen Putrajaya, selepas beberapa kali semakan terhadap kertas siasatan kes, didapati tidak wujud kesalahan atau jenayah rasuah.

Sebelum ini kecoh satu Malaysia mengenai kononnya berlaku rasuah dalam penganjuran kejohanan kapal layar bertaraf dunia Piala Monsun di Terengganu.

Hakikatnya, kejohanan bertaraf dunia ini jika dicemari rasuah, ia bukan sahaja menjejaskan Terengganu, tetapi juga Malaysia.

Kejohanan Piala Monsun akan datang diadakan pada 4 hingga 7 Disember depan.
Hasil siasatan itu sudah pasti melegakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mahu siasatan dijalankan bagi membersihkan kerajaannya dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang dilemparkan pelbagai tuduhan.

Tuduh menuduh dan pelbagai laporan dibuat khususn ya oleh Pemuda PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk laporan kepada BPR mengenai penganjuran sukan berprestij itu pada 29 Julai lalu.

Isu penganjuran kejohanan kapal layar itu dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini, termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pada 27 Julai lalu ketika BPR menyiasat isu penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri itu yang mencecah RM1.07 juta sejak 2004.

Ahmad berkata BPR juga perlu menyiasat penganjuran Piala Monsun sejak 2005 di lokasi yang dibina dengan kos RM250 juta dan pelaksanaan projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man bernilai RM249.3 juta.

Piala Monsun mula diadakan pada 2006 semasa kerajaan negeri ditadbir menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, anjuran syarikat T-Best Sdn Bhd.

Sebanyak 42.9 peratus saham T-Best dimiliki oleh TDM Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, manakala 57.1 peratus lagi milik syarikat swasta, Prestasi Wangi Sdn. Bhd.

T-Best mempunyai hak penganjuran Piala Monsun selama lapan tahun bermula 2006.