Archive for March, 2009

Posted in UMNO on March 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Satu lagi kekuatan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beliau akan menyertai semula UMNO.

Ini semangat dan kemenangan moral kepada Najib dan saf kepimpinan UMNO, kecuali bagi mereka yang merasakan Dr Mahathir ‘sebagai pengacau’ sebelum ini.

Juga hari ini secara rasmi Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2 April ini.

Segala-galanya berlaku dalam keadaan yang akan menguntungkan UMNO dan akan menutup mulut pemimpin pembangkang yang sebelum ini mengatakan UMNO dilanda krisis dan sebagainya.

Respon kepada dua perkembangan ini, Najib mengatakan Dr Mahathir dan Abdullah ada peranan untuk UMNO.

Presiden Umno baru itu bagaimanapun belum membuat keputusan peranan yang boleh dimainkan Dr Mahathir dan Abdullah dalam kepimpinannya.

“Saya belum buat keputusan lagi, tapi ada peranan untuk mereka. Tunggu sehingga saya masuk pejabat dulu,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2008 di Kuala Lumpur, hari ini.

Juga menarik daripada perkembangan terbaru dalam UMNO ialah Abdullah secara terbuka menyatakan beliau sama sekali tidak marah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencetuskan idea supaya disegerakan perubahan kepimpinan UMNO untuk membolehkan parti itu terus diterima orang Melayu dan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, beliau mahu bersara dengan rasa senang hati dan tidak mahu ada perasaan-perasaan yang tidak baik dibawanya selepas ini.

“Saya ingin nyatakan di depan semua yang ada, saya sebenarnya tidak pernah marah pada dia (Muhyiddin) sebab itu saya tidak pernah balas apa yang dia cakap.

“Saya maafkan saudara, kepada kawan-kawan yang lain kita mahu persahabatan kita terus berkekalan,’’ kata Abdullah semasa berucap pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-59 hari ini.

Dengan kata lain kini, UMNO hamper pulih sepenuhnya dari segi kesepakatan kepimpinan dan ini sewajarnya diteladani oleh mereka di peringkat bahagian dan cawangan.

Biar apapun yang berlaku sebelum ini, hendaknya semua ahli UMNO kembali ke pangkal jalan. Perhimpunan dan pertandingan selesai maka pertarungan dan perselisihan pun selesai.

Adalah penting bagai Pengurusan UMNO dan Ibu Pejabat UMNO menyelesaikan mana-mana kes tertunggak khususnya dalam meleraikan masalah-masalah bahagian umpamanya Bahagian Larut.

Pada perhimpunan kali ini, perwakilan Larut dibiarkan ‘merempat’ tanpa adanya tempat khusus untuk mereka – kalau pun tidak boleh mengundi.

Pada masa hadapan, di harapkan kejadian seperti ini tidak berlaku dan sewajarnya ada tempat – sebagai pemerhati khas – bukan duduk merata-rata sebagai pemerhati biasa.

Muhyiddin yang dijangka mengetuai Pengurusan UMNO wajar melihat kepada masalah ini dan kalau sekiranya perlu ada ‘pembersihan’ di Ibu Pejabat UMNO, lakukan segera bagi menjamin UMNO mantap.

Elakkan Ibu Pejabat UMNO dianggap tempat di mana ada percaturan dan permainan politik tertentu. Jika ia berterusan, peranan UMNO tidak akan dapat menyatu dan meyakinkan ahli.
Dengan ikrar Muhyiddin bahawa beliau akan menjadi seorang timbalan yang setia kepada Presiden Umno seperti yang dilakukan Najib kepada Abdullah, akan memperkukuhkan kedudukan Najib.

Ini kerana banyak pihak mengatakan Muhyiddin ‘akan langgar’ Najib seperti yang dilakukan oleh beliau terhadap Abdullah.

Muhyiddin, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Khamis lalu, berkata beliau akan memberi sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada Najib untuk memimpin parti dan menjayakan agenda perubahan Umno.

“Saya insaf, sebagai timbalan saya adalah orang nombor dua. Orang nombor dua harus jadi seperti orang nombor dua, bukan (orang) nombor satu.

Kalau berkelakuan seperti orang nombor satu, nanti akhirnya semuanya akan musnah,” katanya.

Yang penting sekarang ialah setiap pihak mengambil berat pesanan Abdullah supaya anggota parti agar memelihara perpaduan dan menghidupkan semangat kekeluargaan.
Beliau meminta mereka agar tidak sekali-kali mengkhianati parti dan berhenti daripada memfitnah pemimpin.

Menekankan semangat setiakawan, Abdullah berkata hanya dengan cara itu kekuatan parti dapat dipertingkat.

“Ini adalah penting. Kita mahu supaya kekuatan parti akan dapat diteguhkan lagi, akan dapat ditingkatkan lagi. Kita mesti terus menjadi penyokong, penyokong yang kuat bukan saja kepada pemimpin, tapi kita sebenarnya menyokong parti kita melalui pemimpin-pemimpin kita.

Hakikatnya setiap ahli UMNO perlu menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah, kawan pada masa senang.

Inilah ertinya setiakawan, inilah ertinya keluarga dalamUMNO.

APA MAKNA PEMILIHAN MT?

Posted in MT, Parti, UMNO on March 28, 2009 by Hambali Abd Latiff


(Isu Sabtu)

Bertanding jawatan tinggi sama ada sebagai Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi – demi memperkuatkan parti atau mendapatkan jawatan dalam kerajaan?

Apakah dengan menduduki kerusi itu kedudukan seseorang dalam kerajaan akan terjamin?
Lebih jauh apakah juga bermakna dengan mendapat jawatan parti, seseorang akan melonjak naik dalam kerajaan?

Soal pokok kepada pertandingan MT bertujuan memperkukuhkan parti.

Kini suara-suara supaya mereka yang menduduki jawatan parti perlu mengutamakan parti terlebih dahulu semakin ketara.

Persoalan ialah apakah pemilihan untuk MT kali ini mencerminkan kehendak ahli untuk meletakkan pemimpin yang mampu menggembalikan maruah parti?

Apakah 25 ahli MT ini mempunyai kelebihan sendiri untuk berjuang demi parti?

Dengan kata lain ahli UMNO akan mempersoalkan mereka yang dipilih, apakah mereka menyumbang untuk UMNO atau untuk kedudukan mereka dalam Kabinet?

Persoalannya, apakah mereka yang kalah tidak lagi perlu menyumbangkan tenaga untuk parti?

Apakah wajar menyerahkan tugas memulihkan parti bergantung bulat-bulat kepada Presiden, timbalan, naib-naib, ahli majlis tertinggi serta barisan pemimpin wanita, pemuda dan puteri?

Bila melihat kepada kekalahan beberapa Pengerusi Perhubungan UMNO pada pemilihan kali ini, banyak persoalan yang timbul di kepala kini.

Apa maknanya kepada kejutan kekalahan semua empat Menteri Besar dan dua Menteri Kabinet yang bertanding Ahli Majlis Tertinggi?

Keempat-empat Menteri Besar yang tewas ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dua menteri Kabinet yang tewas ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Turut gagal pada pemilihan MT yang keputusannya diumumkan malam ini ialah bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom dan Datuk Hassan Malek turut tewas.

Apakah mereka dilihat tidak mampu menyumbang kepada parti atau negeri-negeri berkenaan memerlukan pemimpin lebih kuat dan mampu membawa arus perubahan?

Atau apakah mereka ini sudah terlalu lama dalam politik dan tidak lagi menggambarkan ‘kepentingan golongan kepimpinan baru’?

Bagaimana yang baru kali pertama mencuba? Juga mungkin ada persepsi bahawa kalaupun kalah, mereka tetap akan dilantik semula dan dengan melantik ‘orang luar’, akan lebih ramai bekerja untuk UMNO.

Tetapi apa pula maknanya kemenangan kepada mereka yang tidak mempunyai jawatan kerajaan, sebaliknya hanya memegang kerusi pengerusi agensi kerajaan?

Kemenangan besar kepada mereka yang yang tidak berada pada jawatan penting dalam kerajaan melebihi 40 peratus.

Apakah mereka menang kerana dilihat mampu memberikan sumbangan kepada parti?

Ramai juga yang menimbulkan pertanyaan, bagaimana mereka ini boleh menang. Apakah kerana mereka berkedudukan sebagai Pengerusi kepada agensi kerajaan yang penting dan boleh menawarkan ‘ganjaran untuk ahli UMNO’ dan bagaimana pula yang tidak berjawatan?

Bagaimana mereka yang tidak berjawatan ini mampu berkempen dan menawan hati ahli UMNO untuk memilih mereka?

Mereka adalah (mengikut nombor kemenangan dan jumlah undi) : (4) Senator Datuk Azian Osman (2,060), (5) Datuk Zainal Abidin Osman (2,054) (10) Dr Mohd Puad Zarkashi (1,700), (11) Datuk Tajuddin Abdul Rahman (1,685), (14) Datuk Seri Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (1,622), (16) Senator Datuk Dr Norraesah Mohamad (1,611), (17) Datuk Seri Mahadzir Khalid (1,580), (20) Datuk Bung Moktar Radin (1,517), (21) Datuk Dr Awang Adek Hussin (1,481), (24) Datuk Seri Idris Jusoh (1,275) dan (25) Datuk Azeez Abdul Rahim (1,265).

Mengambil beberapa contoh – Azian ialah Pengerusi Syarikat Perumahan Negara, Tajuddin (Felcra), Dr Awang (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) dan Idris (Pengerusi Mara) sementara Zainal adalah Penasihat Kementerian Luar Bandar.

Berbalik kepada soal berbakti kepada parti, adalah menjadi cabaran kepada mereka ini supaya membalas kepercayaan ahli UMNO.

Ujian paling awal adalah tiga pilihan raya kecil. Apakah mereka ini mampu memberikan sumbangan besar menjamin kemenangan Barisan Nasional?

Kita tunggu bagaimana cara mereka bekerja dan bertindak.

Bola sudah berada di kaki mereka!

UMNO PADU DI BAWAH NAJIB

Posted in Muhyiddin, Najib, Pemilihan UMNO, Shafie on March 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

Jelas UMNO inginkan perubahan.

Mereka yang mahu menggugat UMNO dan cuba melemahkan kepimpinan UMNO akan menerima pukulan padu kali ini.

Ketara iallah wakil Sabah kini menduduki kerusi Naib Presiden UMNO untuk kali pertama dalam sejarah UMNO.

Selepas kegagalan Datuk Seri Osu Sukam mencuba nasib untuk kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kini adalah yang pertama dari negeri itu memenangi kerusi Naib Presiden.

Mohd Shafie dengan 1,445 undi di belakang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperoleh undi tertinggi 1,592 undi, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 1,515 undi .

Ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan memainkan peranan untuk membantu memperkuatkan parti bagi memperolehi dokongan daripada rakyat keseluruhannya.

Shafie menyifatkan kemenanganya sebagai satu pengiktirafan daripada perwakilan seluruh negara.

“Saya amat menghargainya dan saya tahu bagi jawatan ini, sesiapapun boleh menang kerana calon-calonnya terdiri daripada tokoh-tokoh yang berkebolehan dan berkeupayaan,” katanya.

Beliau berkata, kemenangannya itu akan memberi peluang kepada Umno untuk memperkuatkan sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN) menerusi Umno.

Dengan kemenangan Shafie, kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kukuh kerana Sabah kini mempunyai wakil yang kukuh dalam UMNO apabila Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman memenangi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, disamping Datuk Lajim Ukin dan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementara Ketua Puteri UMNO kini turut dipegang oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Kemenangan ketiga-tiga tokoh ini untuk Naib Presiden akan memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri Mohd Najib kerana mereka memang ‘orang Najib’ sejak awal.

Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib, Hishamuddin mempunyai pertalian keluarga sementara Shafie adalah penyokong kuat Najib sejak mereka dalam Pergerakan Pemuda UMNO lagi.

Malah ketiga-tiga mereka adalah orang kuat Pemuda UMNO, termasuk Shafie yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Sabah, selain Exco pergerakan itu.

Dengan kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden, Naib mempunyai orangnya sendiri di tempat paling penting iaitu Timbalan dan Naib Presiden UMNO.

Katanya, tugas utama yang akan beliau lakukan susulan kemenangan semalam adalah memulihkan semula imej parti.

Ini kerana transformasi dalam Umno yang disuarakan oleh ahli akar umbi perlu dilakukan di peringkat dalaman parti.

“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab yang cukup berat untuk kita merapatkan semula perpaduan dalam Umno.”Imej Umno juga harus dipulihkan dengan segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno,” katanya dengan mendapat 1,575 undi.

Lebih memudahkan Najib, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam meminta ahli Umno memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan lebih gemilang.

Berucap pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Presiden Umno itu turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru.
“Saya percaya saya menyerahkan tanggungjawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara,” katanya.

Abdullah, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai presiden parti, turut menyatakan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Bagi Zahid: petikan klik http://www.utusan.com.my Kita akan beri peluang kepada Datuk Seri Mohd Najib (Tun Razak) mengambil sedikit masa untuk memikirkan bersama-sama kita tentang agenda perubahan yang akan diterjemahkan khususnya elemen-elemen untuk memperkuatkan institusi kepresidenan, kepimpinan dan kepengikutan yang ada pada kita.

“Bagi saya, apa yang penting adalah Umno itu harus harus direlevankan dengan situasi semasa,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin menganggap kemenangan beliau sebagai peluang yang diberikan perwakilan untuk beliau terus berkhidmat kepada parti.

“Banyak kerja yang perlu kita lakukan dan Insya-Allah, dengan tempat yang diberi, kita akan bekerja bersungguh-sungguh dengan barisan yang telah pun ditentukan bagi memastikan Umno terus relevan dan diterima oleh masyarakat.

“Walaupun cabaran di hadapan berat untuk dipikul tetapi dengan pasukan yang dipilih hari ini, saya yakin kita boleh lakukan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau gentar memikul jawatan Naib Presiden daripada jawatan Ketua Pemuda sebelum ini, Hishammuddin berkata, sememangnya ia merupakan satu lanskap dan dimensi baru baginya namun beliau yakin akan terus diberikan sokongan.

NAJIB KINI PRESIDEN UMNO

Posted in Najib, PM on March 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sudah sah, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Presiden UMNO yang baru.
Perisytiharan Najib sebagai Presiden Umno yang baru dibuat pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail.

Najib, 55, menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden akan mengambil alih jawatan nombor satu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang memegang jawatan itu sejak Oktober 2004.

Abdullah, 69, dalam ucapan dasarnya yang terakhir sebagai Presiden parti, menyeru supaya Najib diberikan sokongan padu untuk membolehkan beliau memimpin Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang.

Perdana Menteri yang turut berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri baru, berkata beliau percaya untuk menyerahkan tanggungjawab menerajui negara kepada Najib yang merupakan “nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudi bahtera negara.”

Onn turut mengumumkan Datuk Mohamad Aziz yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Pengerusi Tetap parti.
Proses pengiraan undi pemilihan bagi memilih barisan pimpinan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah bermula pada pukul 4 petang tadi.

Bagaimanapun, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada pukul 10 malam ini.
Sementara itu, pada sebelah pagi tadi kempen pada saat-saat terakhir sebelum para perwakilan Perhimpunan Agung Umno memilih barisan pimpinan MT terus mewarnai suasana sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seawal pukul 7 pagi peraih undi dan penyokong calon-calon yang bertanding berkumpul dan berbaris di sepanjang laluan masuk ke PWTC mengedarkan risalah dan kad yang tertera nombor calon-calon.

Mencuri perhatian, penyokong kepada calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar tampil dengan memakai topeng wajah beliau.

Menerusi kaedah kempen sedemikian, Syed Hamid yang memegang nombor pencalonan ’05’ dilihat seolah-olah berada di mana-mana.

Penyokong bagi calon-calon juga tidak ketinggalan dengan cara kempen masing-masing sama ada dengan menyanyi mahupuan sorakan secara berkumulan.

Sekurang-kurangnya dua perwakilan Muar memboikot pengundian jawatan tertinggi Umno hari ini kerana membantah Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin dibenarkan mengundi.

Datuk Kadar Shah Sulaiman Shah dan adiknya Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak akan menyertai lebih 2,050 perwakilan memangkah calon pilihan masing-masing.

Tindakan mereka diambil ekoran surat bantahan mereka berhubung perkara itu telah ditolak oleh pengerusi tetap perhimpunan agung Umno, Tan Sri Onn Ismail.

Lembaga Disiplin Umno minggu lalu mendapati naib presiden itu dan Khairy bersalah selepas ejen-ejen mereka terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Khairy diberi amaran tetapi dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno yang dimenanginya semalam.

Onn memanggil Kadar naik ke pentas untuk mengambil jawapannya terhadap bantahannya itu.

Bantahannya jelas ditolak apabila Onn memanggil Mohd Ali dan Khairy mengundi calon-calon yang bertanding.

Sebelum pengundian bermula kira-kira 12 tengah hari tadi, suasana kempen saat akhir sampai ke kemuncaknya pagi ini apabila penyokong bersesak-sesak mengedar kad nombor calon-calon masing-masing.

Selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selesai menyampaikan ucapan dasar pada 11.15 pagi, para penyokong menjerit-jeritkan nombor calon pilihan masing-masing tanpa henti.

Ratusan penyokong berkumpul di hadapan pintu keluar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam pakaian dan tag bercetak nombor pengundian bagi calon pilihan mereka.

Malaysiakini melaporkan, suasana sesak dan terlalu bising itu menyebabkan pergerakan menjadi sukar dan mengganggu hampir seratus petugas media yang menunggu barisan pemimpin tertinggi parti itu keluar dari dewan untuk mendapatkan komen mereka berhubung ucapan Abdullah.

Keadaan gamat dan sesak itu memaksa polis dan anggota RELA beberapa kali membuka laluan untuk pemimpin parti itu keluar dari dewan.

Anggota penguatkuasa juga menutup tempat itu dengan plastik penghadang bagi mengelak kumpulan penyokong mengganggu pergerakan orang ramai di sekitar kawasan tersebut.
Pada pemilihan kali ini tumpuan pastinya diberikan kepada dua jawatan utama yang menyaksikan pertandingan sengit iaitu bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib selepas Lembaga Disiplin Umno membatalkan penyertaan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali didapati bersalah di bawah Artikel 10.1 Tataetika Ahli Umno melibatkan politik wang.
Sementara itu bagi jawatan Naib Presiden, seramai lapan orang yang betanding bagi jawatan berkenaan.

Mereka ialah Datuk Seri Hinshammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Tan Sri Mohd Isa Samad, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Bagi jawatan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menang tanpa bertanding apabila Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan.

NAJIB CIPTA SEJARAH 28 MAC 2009

Posted in Najib, Pemilihan UMNO on March 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Sabtu 28 Mac 2009 adalah hari bersejarah untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Ini kerana pada hari itu, beliau akan menyampaikan ucapan menerima jawatan sebagai Presiden Umno yang baru.

Ia adalah hari terakhir Perhimpunan Agung Umno. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkannya selepas mempengerusikan buat kali terakhir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di Kuala Lumpur malam semalam.

Kata Abdullah: “Kita ada sedikit perubahan, iaitu dalam perhimpunan agung kali ini (Timbalan Presiden) Datuk Seri Najib akan membuat satu ucapan menerima jawatan sebagai presiden parti. Ini akan dilakukan selepas penggulungan perbahasan (ucapan dasar presiden) pada hari Sabtu.”

Selain Najib, turut hadir pada sidang media semalam ialah dua Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Abdullah berkata, pada mesyuarat itu beliau menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua anggota MT dalam membantu beliau menjalankan tanggungjawabnya.

Datuk Seri Najib juga bagi pihak semua ahli-ahli MT telah pun merakamkan terima kasih kepada saya atas kepimpinan saya selama ini,” kata Abdullah yang kelihatan ceria.


Hari ini Abdullah akan akan menyampaikan amanatnya dalam ucapan dasar pada perasmian perhimpunan agung parti hari ini.

Najib akan memimpin ‘sayap UMNO baru’ selepas tiga ketua baru mengetuai Wanita Umno, Pemuda dan Puteri UMNO.

Yang menariknya pemilihan begitu sengit apabila keputusan pemilihan bagi Wanita Umno diumumkan oleh Pengerusi Tetapnya, Tan Sri Napsiah Omar, kira-kira jam 9.30 malam, manakala Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Datuk Abdul Fattah Abdullah mengumumkan keputusan pemilihan pergerakan itu pada jam 11.20 malam. Pengerusi Tetap Puteri, Rohani Abu Hassan pula mengumumkan keputusan pemilihan sayap termuda Umno itu, jam 10.57 malam.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, masing-masing menang jawatan Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pemilihan ketiga-tiga sayap Umno itu, malam tadi.

Shahrizat memperoleh 507 undi, jauh mengatasi Tan Sri Rafidah Aziz yang mendapat 280 undi, manakala Khairy memperoleh 304 undi menewaskan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254) dan Datuk Mukhriz Mahathir (232). Rosnah pula mendapat 245 undi mengalahkan lima calon lain.

Kerusi Naib Ketua Pemuda dimenangi Datuk Razali Ibrahim yang mendapat 417 undi, menewaskan Datuk Reezal Merican Naina Merican (373), manakala Shahanim Mohamad Yusoff mendapat 353 undi untuk jawatan Naib Ketua Puteri, menewaskan empat lagi calon.

Bagaimanapun, kira-kira 50 anggota polis terpaksa mengawal pintu utama Dewan Tun Hussein Onn 2, berikutan kekecohan selepas keputusan barisan kepemimpinan baru Pemuda Umno diumumkan, malam tadi.

Keadaan di sekitar dewan perhimpunan yang tegang dengan jeritan dan sorakan penyokong calon bertanding, semakin hangat apabila Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai Ketua Pemuda Umno yang baru, kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Ketika Khairy menyampaikan ucapan sulungnya, suasana di luar dewan kecoh apabila ada beberapa kumpulan penyokong calon yang bertanding membuat bising meluahkan kata-kata kesat bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan apabila bertindak menyuraikan kumpulan berkenaan dan menjelang jam 12.30 malam, mereka mula beransur-ansur meninggalkan kawasan dewan.

Sebaik majlis di dewan selesai, polis meluaskan kawalan dan membuka laluan alternatif ke Hotel Seri Pacific bagi membolehkan perwakilan keluar dari dewan. Jurugambar dan wartawan yang berada di luar kawasan kawalan juga tidak dibenarkan melepasi kawasan berkenaan.

Apakah ini menandakan bahawa isu Khairy dan ‘politik wang’ akan terus diperkatakan walaupun beliau dibenarkan bertanding?

Cakap-cakap dan persoalan mengenai kredibiliti mengenai diri Khairy terus diperkatakan dan tanda-tanda keretakan dalam Pemuda UMNO mula ada tanda.

Ketua Wanita Umno yang baru dipilih, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula, sudahpun berikrar akan berjuang bersama kepimpinan parti untuk mengembalikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara untuk semua rakyat Malaysia.

Berucap untuk kali pertama selepas diumumkan pemenang jawatan itu, Shahrizat berkata beliau dan pemimpin dan ahli Wanita Umno lain akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai bakal Presiden parti untuk menjayakan perjuangan itu.

“Saya percaya jika 1.3 juta ahli Wanita beri sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak, insyaAllah kita boleh beri kemakmuran kepada bukan saja orang Melayu tetapi juga semua kaum dan agama,” katanya.

ELAK UMNO JADI LIPATAN SEJARAH

Posted in Najib, Pemilihan UMNO, Politik Wang on March 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Umno tetap disayangi oleh orang-orang Melayu.

Kekurangan sokongan ketika pilihan raya Mac 2008 lalu bukan penyudah segala-galanya.

Kenapa mengukur kekuatan UMNO hanya pada sekali pilihan raya? Kenapa tidak ukur keputusan lain ketika krisis 1988 dan 1998, iaitu pada pilihan raya umum 1990 dan 1999?
Apakah keputusan pilihan raya 1990 begitu teruk hingga membawa kepada krisis parti? Apakah ia menyebabkan wujudnya desakan menukar pemimpin?

Kenapa ketika itu UMNO terus mengekalkan kuasa dan hanya Kelantan sahaja berada di pihak PAS?

Dan pada pilihan raya 1999, Terengganu turut jatuh tetapi UMNO kembali tegak di Terengganu pada 2004?
Jawapannya ialah, jangan meletakkan kesalahan kepada UMNO tetapi pemimpin dan individu dalam UMNO.

Sebenarnya yang menyebabkan UMNO goyah adalah mereka yang keluar UMNO dan tidak berjuang menegakkannya dari dalam.

Pilihan raya 1990 tergugat kerana keluarnya Tengku Razaleigh Hamzah membentuk Parti Semangat 46 dan pada pilihan raya 1999, UMNO tergugat kerana tercampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian menubuhkan Parti Keadilan Rakyat.

Jika diambil pilihan raya 1990, 1999 serta pilihan raya 2008 sebagai petunjuk, semuanya menunjukkan bahawa krisis kepimpinan yang menyebabkan rakyat marah kepada UMNO.

Lebih buruk, pada pilihan raya 2008, banyak petunjuk menyerlahkan bahawa sesetengah individu (pemimpin) yang menyebabkan rakyat menyampah. Dengan kata lain, hanya segolongan pemimpin UMNO yang dibenci rakyat bukan semua. Inilah yang menyebabkan kekalahan.

Tetapi perhatikan bagaimana UMNO pulih pada pilihan raya 1995 dan juga 2004 selepas berlakunya krisis dalam parti.

Apakah sejarah tidak akan berulang bahawa pada pilihan raya akan datang, UMNO akan kembali dijulang?

Saya yakin dengan UMNO kembali teguh melalui pemilihan parti kali ini, UMNO akan melonjak kembali pada pilihan raya akan datang.

Jadi, UMNO sebenarnya tidak ditolak oleh rakyat, khususnya orang Melayu. Malah tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat biar[pun dinafikan majoriti dua pertiga.

“Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu.

“Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang akan dinobatkan sebagai Presiden UMNO esok.

Untuk melangkah ke masa depan, Najib juga berkata, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat.

Tegas beliau, Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang.

” Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan,” katanya.

Tambah Najib, “jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘beri salah, tidak beri kalah’.”

“Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi… Ini bukan satu gurauan.

“Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini,” katanya.

Juga. Menurut beliau, “Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang antiidea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda.”

Katanya, Umno adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka.

“Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

“Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain.

“Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyeru bahawa ahli-ahli Umno mesti juga memastikan amalan jelek cantas-mencantas dan sekat “menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga.”

Jelas ingatan Najib pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC bertajuk Menakhoda Zaman sangat penting.

Ia adalah peringatan untuk lebih 2,500 perwakilan UMNO yang akan mengundi hari ini dan esok untuk pelbagai jawatan parti.

Pemilihan Umno kali ini yang meliputi semua peringkat bakal menentukan masa depan dan survival parti itu untuk terus mencipta sejarah ataupun sebaliknya.

Ketika menyampaikan ucapannya yang bertemakan Menakhoda Zaman, Timbalan Presiden Umno ini berkata, tugas para perwakilan tahun ini adalah yang paling berat dalam sejarah Umno.

Hakikatnya benar sekali kata Najib, bukan sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu sahaja yang akan dipertimbangkan tetapi yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri.

Iangatlkah, keputusan yang bakal perwakilan UMNO ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti.

Ia sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

ISU PERHIMPUNAN AGUNG UMNO MELETUP LAGI.

Posted in Politik Wang, UMNO on March 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Pukul 2 petang ini, Ketua Umno bahagian Muar, Datuk Kadar Sulaiman dan Datuk Mazlan Harun dari Selangor akan menemui Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk memohon supaya perhimpunan agung Umno minggu ini ditunda.

Ia perlu ditunda sehingga selesai siasatan berhubung rasuah politik berkaitan dengan pemilihan parti.

Kadar dan Mazlan dikatakan akan disokong oleh sekumpulan perwakilan Umno untuk menemui ROS.

Kadar mendakwa, 42 orang daripada perwakilan tidak layak menghadiri perhimpunan agung kali kerana muflis.

Apakah kesan pertemuan itu nanti?

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengesahkan bahawa Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Khamis ini.

Larangan tersebut dimuktamadkan Jawatankuasa Pengurusan Parti berlandaskan prinsip duluan seperti mana yang diputuskan terhadap kes-kes yang melibatkan situasi serupa dengan Mohamad Norza.

Mohamad Norza didakwa atas kesalahan rasuah di Mahkamah Majistret Temerloh, atas dua tuduhan bagi memenangi jawatan pada pemilihan UMNO peringkat pusat.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Norza boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.
Mohamad Norza mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Itu kes Norza dan bagaimana kes Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang disiasat SPRM dan calon Ketua Puteri UMNO, Ida Rahayu Mohd. Noor yang turut dikaitkan dengan politik wang?

Sempatkah Lembaga Disiplin bermesyuarat sebelum Khamis ini?

Dan bagi yang bersiap sedia untuk bertanding, apakah ada kesan daripada pertemuan mereka yang mahu perhimpunan agung ditangguhkan? Kita tunggu!

Mereka ini dikatakan akan meminta ROS menjelaskan bagaimana Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno, dibenarkan hadir dan mengundi dalam perhimpunan agung Umno kali ini,

Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden apabila didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno mengikut perkara 10.1 tataetika ahli umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejennya terlibat dalam sogokan politik.

Ketiga-tiga ejen Mohd Ali itu juga didapati bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun.

Khairy juga didapati bersalah mengikut perkara yang sama, tetapi hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Menurut Malaysiakini, Kadar berkata, menurut perlembagaan parti, apabila kedua-duanya didapat bersalah, maka mereka tidak boleh hadir mesyuarat parti.

Sementara itu, Lembaga Disiplin memberi amaran akan membatalkan kemenangan calon yang memenangi sebarang jawatan dalam pemilihan Umno, Khamis ini, jika mereka kemudian terbukti terbabit dengan politik wang.

Ahli Lembaga Disiplin, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata, tindakan tegas dengan melucutkan jawatan yang dimenangi mana-mana calon akan dilakukan jika ada bukti mencukupi untuk mensabitkan mereka.

“Ketika ini adalah tempoh kritikal sebelum pemilihan. Jaga tingkah laku, berhati-hatilah khususnya dalam dua tiga hari ini kerana Lembaga Disiplin tetap memantau mereka sama ada terbabit dengan politik wang atau tidak. Jika mereka didapati bersalah, kami akan menggugurkan kemenangan dan jawatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas tamat mesyuarat Lembaga Disiplin di sini, semalam. Mesyuarat itu dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Megat Najmuddin berkata, pasukan Pemantau Lembaga Disiplin memantau keseluruhan perjalanan pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno yang diadakan selama lima hari bermula hari ini.