Archive for September, 2009

NIK AZIZ, IBRAHIM ALI SAMA-SAMA ‘HARAM’

Posted in Ibrahim Ali, Nik Aziz, PAS on September 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Seronok juga melihat dan membaca pertikaman lidah antara Nik Aziz dan Ibrahim Ali. Hmm
…perbalahan antara ulama dengan ‘orang jahil’.

Kini sudah mula keluar perkataan-perkataan yang mampu mengaibkan antara satu sama lain.

Namun hukum atau fatwa yang disebutkan oleh kedua-dua mereka langsung tidak boleh dipakai – sama sahaja. Antara fatwa orang jahil dengan ulama tidak apa bezanya. Sama-sama mendesak masing-masing meletakkan jawatan.

Pada ketika PAS mahu menjamin kemenangannya di Pasir Mas untuk tiga DUN, Ibrahim ditatang bagai minyak yang penuh.

PAS mahu menjamin Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok jadi miliknya. Bagi PAS kerusi Parlimen Pasir Mas tidak penting.

PAS tidak mahu ganggu Ibrahim dan PAS juga tidak mahu Ibrahim ganggu PAS. Akhirnya Barisan Nasional (UMNO) lingkup di Parlimen dan DUN (Pada 2004, UMNO menang dua DUN iaitu Pengkalan Pasir (melalui pilihan raya kecil) dan Tendong). Parlimen Pasir Mas memang dikuasai oleh PAS.

Bagi Ibrahim, beliau mahu membuat ‘comeback’ dan membuktikan kepada UMNO Kelantan yang dia memang berpengaruh.

Ibrahim menggunakan peluang ‘rakyat marahkan Pak Lah’ dan kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan beliau terpelanting dari UMNO, peluang Ibrahim ‘palu UMNO’ pada kempen pilihan raya umum 2008 begitu meyakinkan pengundi.

Ada tuduhan mengatakan Ibrahim menyerahkan sebahagian wang kepada pemimpin PAS untuk ‘membeli’ kerusi Parlimen berkenaan. Ibrahim manafikannya banyak kali.

Hari ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi gesaan agar Ahli Parlimen Pasir Ma situ melepaskan jawatan ekoran tindak-tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu jika mahu amal solehnya diterima Tuhan kerana rezeki yang diperoleh melalui hasil jawatan tersebut adalah ‘tidak betul.’

Berat sungguh apa yang dikatakan oleh Nik Aziz terhadap Ibrahim. Ia bermakna rezeki yang Ibrahim dapat adalah haram sementara amal soleh Ibrahim belum tentu diterima Allah kerana hasil daripada jawatan yang disandangnya ‘salah’.

Lebih memburukkan keadaan, kata Nik Aziz, rakyat Pasir Mas tidak lagi merestui Ibrahim sebagai wakil rakyat mereka yang diberi kemenangan selepas bertanding sebagai calon bebas atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Ibrahim adalah dengan melepaskan jawatan itu dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Kalau orang Pasir Mas kata dia kena berundur, berundurlah. Duit yang dia makan tu tak betul, dia sembahyang Tuhan tak terima, dia buat apa pun Tuhan tidak terima.

Kalau ikut Nik Aziz, Ibrahim kini makan duit haram, sembahyang tidak sah dan apa sahaja yang Ibrahim buat tidak akan terima. Maknanya, sebagai orang Islam, Ibrahim bukan lagi seorang yang amal ibadahnya diterima Allah.

Berat ni….Ibrahim perlu insaf dan kerana itu Nik Aziz nasihatkan beliau agar “letak jawatan lagi senang. Perut kenyang pun tapi kalau masyarakat perlekeh buat apa? Dulu orang PAS yang undi dia, orang UMNO ada sedikit sahaja,” kata Nik Aziz di rumahnya semalam.

Kenyataan terbaru Nik Aziz itu adalah susulan desakan pemimpin Pas Kelantan sebelum ini yang mahukan Ibrahim melepaskan jawatan kerana beliau dilihat sudah berpaling tadah.

Jika Nik Aziz pertikaikan Ibrahim, Ahli Parlimen Pasir Mas itu, selain pertikaikan Menteri Besar Kelantan itu mengulangi desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Parlimen turut mendesak Nik Abdul Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka.

Bagi Ibrahim, Nik Aziz gagal melaksanakan tugas walaupun telah diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun menerajui negeri ini.

Mursyidul Am Pas itu, bagi Ibrahim tidak berhak untuk mendesaknya melepaskan jawatan. Ini kerana kemenangannya pada pilihan raya umum lalu diberikan oleh penduduk Pasir Mas dan parti hanya menjadi landasan untuk berbakti.

Tanya Ibrahim: “Kenapa saya perlu meletak jawatan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan, apa yang dia buat sejak memerintah Kelantan pada 1990? Tidak ada perubahan langsung.

“Nik Abdul Aziz gagal untuk mentadbir dan ia jelas terbukti, jadi dia yang harus meletakkan jawatan kerana sudah lama memerintah tetapi tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat di negeri ini.

“Saya tidak makan duit haram, semua elaun saya sebagai Ahli Parlimen saya kembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak hidup dalam keadaan susah kerana kerajaan negeri tidak membantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pasir Mas semalam.

Dua perkara di sini disebutkan oleh Ibrahim. Pertama Nik Aziz gagal tadbir Kelantan dengan baik dan keduanya tidak apa yang dibuat oleh Menteri Besar berkenaan.

Berasaskan apa yang disebutkan oleh Ibrahim, betullah slogan Tengku Razaleigh Hamzah sewaktu menghadapi pilihan raya 1999 bahawa PAS ‘makan gaji buto (buta)”.

Kalau demikian jadinya, apakah tidak haram ambil gaji tetapi tidak menyumbangkan kepada rakyat dan negeri?

Keduanya, kalau sudah tahu diri tidak mampu menjadi pentadbir yang baik, kenapa Nik Aziz terus duduk di kerusi Menteri Besar? Tidakkah mengambil gaji dan upah tanpa menyumbang itu namanya ‘haram’?

Jadi apa bezanya Nik Aziz dan Ibrahim? Kedua-duanya sama ‘haram’.

Kalau Nik Aziz suruh Ibrahim letak jawatan, Nik Aziz pun kenalah juga letak jawatan.

Atau bagaimana kalau saya cadangkan kedua-dua letak jawatan dan adakah pilihan raya baru di DUN Cempaka dan Parlimen Pasir Mas?

Bersediakah kedua-duanya melakukannya?

Kenapa Ibrahim tidak nyatakan beliau sedia letak jawatan kalau Nik Aziz sedia letak jawatan di Cempaka?

Advertisements

PAKATAN PEMBANGKANG – SEKARANG RASAKAN

Posted in Pakatan Rakyat, pembankang, Selangor on September 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Menjadi pembangkang memang mudah. Boleh bantah, kumpul penduduk caci kerajaan dan sebagainya. Bila jadi pemerintah baru rasa.

Belum bentuk kerajaan boleh janji itu dan kini. Kini janji sedang dituntut. Bagaimana?

Kalau dulu sanggup bertegang leher tetapi kini bagi tikus dalam beras. Bukan sekadar menyorok tetapi lari lintang pukang ‘menyelamatkan diri’.

Itulah kes Taman Saujana Puchong. Menurut laporan Malaysiakini semalam, selama lima tahun, penduduk Taman Saujana Puchong telah berkempen membantah rancangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menjadi sebahagian daripada hutan simpan Ayer Hitam sebagai kawasan tanah perkuburan.

Ketika itu, penduduk terbabit mendapat sokongan daripada parti pembangkang DAP, PKR dan PAS.

Sekarang bagaimana?

Kini ketiga-tiga parti berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri Selangor sejak setahun setengah yang lalu.

Sewaktu sesi dialog dengan pegawai kerajaan negeri pada 22 Jun lalu, penduduk dijanjikan oleh pengerusi jawatankuasa setinggan, pengurusan bangunan dan perumahan, Iskandar Abdul Samad bahawa penyelesaiannya akan dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Dan kini, tempoh tiga bulan itu yang berakhir pada 22 September telah berlalu tanpa sebarang maklumat dari pihak berkuasa.
Sehubungan itu, jawatankuasa sementara membantah projek tanah berkuburan itu, menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

“Mereka bersama kami sebelum menjadi kerajaan. Kami berharap mereka cepat membuat keputusan mengenai perkara itu. Kami mahu tinggal di sini dalam keadaan aman dan tidak perlu bimbang mengenai tanah perkuburan tersebut,” kata jurucakapnya Lau Seng You.

Cadangan untuk membina tanah perkuburan awam seluas 55 hektar di situ, termasuk tempat membakar mayat – yang dianggap terbesar di negara ini – akan membabitkan sebahagian besar kawasan hutan simpan yang kini dimiliki Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan kini digunakan untuk tujuan penyelidikan.

Menurut penduduk, hutan simpan seluas 3,000 hektar itu adalah antara segelintir kawasan hijau yang masih tinggal di negara ini. Ia juga menjadi tempatan tinggal masyarakat Orang Asli.

Kira-kira 1,500 penduduk di situ bimbang mengenai kejatuhan nilai hartanah serta pencemaran alam sekitar ekoran cadangan pembinaan tempat pembakaran di situ.

Wakil jawatankuasa sementara penduduk itu telah memfailkan semakan kehakiman pada 2006 tetapi kes berkenaan telah beberapa kali ditangguhkan.

Hari ini penduduk telah membawa pihak media ke pinggir kawasan hutan simpan tersebut untuk bergambar bersama kain rentang yang dibuat pada 2007, dengan kandungannya disarankan oleh Iskandar, yang juga seorang ahli politik PAS.

Lau berkata, walaupun perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan tarikh untuk mendengarnya belum ditetapkan, tetapi pihaknya berharap ianya dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Jelas isu ini akan sekali lagi menguji kepimpinan Khalid yang selama ini menganggap membentuk kerajaan dan memerintah sebagai perkara mudah.

Sekarang rasakan sendiri. Janji sudah dibuat sebelum pilihan raya. Selesaikanlah.

Kepada Khalid – sendiri mahu ingatlah!

ISU SELCAT – PAS DI PERSIMPANGAN?

Posted in PAS, Selangor, SELCAT on September 27, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

“Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)… membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri,”

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi semalam. Ia sebagai peringatan dan iktibar bagaimana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu. Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.

Kejadian itu berlaku pada 12 November 2007, pada ketika kerajaan negeri pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

Nasruddin memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang bahawa kerajaan negeri “boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah”.

Kenyataan itu dirujuk kepada tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menjadi isu membabitkan PAS selepas isu arak yang turut menggoncang kerajaan pakatan berkenaan.

Siasatan Selcat secara terbuka mendapat bantahan banyak pihak yang mencadangkan supaya ia dilakukan secara tertutup demi menjaga imej pegawai kerajaan.

Dan individu utama yang dirujuk dan diperkatakan ialah Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang membuat kritikan terbuka terhadap Selcat.

Cadangan Dr Hasan itu turut disokong Suhakam yang meminta supaya jawatankuasa itu mematuhi prosedur dan bertindak adil serta memahami bahawa peranannya tidak sama seperti mahkamah biasa. Namun cadangan Dr Hasan itu mencetuskan pertelingkahan antaranya dengan pemimpin pakatan pembangkang Selangor yang tidak berpuas hati dengan tindakannya yang dikatakan sering dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.

Selcat dilihat ditubuhkan kerajaan Selangor untuk menutup segala kelemahan dan kepincangan Pakatan Rakyat yang kurang dua tahun memerintah negeri itu tetapi sudah menerima pelbagai aduan termasuk salah guna kuasa.

Dr Hasan yang menegaskan pendapatnya dilihat melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).
Keadaan ini dilihat sebagai membuka ruang untuk kritikan terhadap kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang, khususnya Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu pemimpin pakatan pembangkang termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Dr Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

Banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor itu keluar pakatan pembangkang negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

Di pihak PAS, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat, Dr Hasan harus berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan PAS seolah-olah hanya mengambil berat mengenai isu mengharamkan alkohol dan judi.

Mohamad Khir Toyo menyerahkan penyapu kepada wakil Majlis Daerah Hulu Selangor pada majlis anugerah Bulan Kualiti 2007 di Shah Alam.

Malah, PAS Selangor sendiri dikatakan mahu mengenakan tindakan disiplin terhadap Dr Hassan walaupun Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pertemuan antara Hasan dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini, tidak menyentuh soal tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Apapun, terpulang kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil tindakan berikutan kritikan terbuka Dr Hasan itu, termasuk membuat rombakan terhadap Selcat.

Menurut laporan media, Badan Perhubungan PAS Selangor yang disertai 62 anggotanya, akan mengadakan mesyuarat tergemparnya hari ini bagi menentukan hala tuju parti itu di negeri berkenaan. Mesyuarat yang diramal ‘panas’ kerana anggotanya dijangka membidas Pesuruhjaya PAS negeri itu, selain Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Perkembangan itu berlaku ketika PAS, selepas setahun setengah menjadi sebahagian Kerajaan Selangor, kini berada di persimpangan menentukan kedudukan dan peranannya di negeri itu.

Di satu pihak, ada mengutarakan PAS negeri itu melaksanakan pendirian Islam yang tidak bertolak ansur manakala di pihak lain memilih pendekatan sederhana dalam kerjasama dengan rakan dalam pakatan pembangkang.

Banyak pihak dalam PAS beranggapan, walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, beliau jangan sampai dipancung atau ditendang dari PAS.

Mereka berpendapat perbezaan pandangan seperti itu akan mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Seharusnya “kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman,” kata Roslan.

“Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya,” kata beliau.

Amat jelas bahawa pakatan pembangkang kini berada di persimpangan dengan adanya pandangan berbeza daripada PAS.

Dalam konteks Selcat ini, Umno Selangor menyokong cadangan Pesuruhjaya Pas negeri itu, yang mahu supaya proses pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, dilakukan secara tertutup demi menjaga imej dan maruah pegawai kerajaan.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar, tindakan Selcat yang membuat pendengaran awam secara terbuka dianggap amat tidak adil kerana peranannya tidak sama seperti mahkamah yang mempunyai pendakwa dan hakim yang boleh menjatuhkan hukuman kepada tertuduh jika didapati bersalah. Beliau turut mempertikaikan tugas Selcat yang didakwanya cuba untuk mengambil alih peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi kepentingan politik kerajaan pakatan pembangkang.

“Selcat bukannya mahkamah yang mempunyai cukup kuasa…penyiasatan yang dibuka kepada awam hanya akan memalukan pegawai sedangkan mereka belum terbukti bersalah. Tidak adil Selcat panggil pegawai kerajaan atau pihak yang berkenaan kemudian SPRM nak siasat lagi…macam kerja dua kali, seolah Selcat nak ambil tugas SPRM yang sepatutnya buat penjelasan kalau ada penyelewengan kuasa dan juga rasuah. Jika mahu buat penyiasatan biarlah secara senyap dan mungkin bila sudah cukup bukti baru dibuat secara terbuka,” katanya semalam.

Persoalan ialah kenapakah dengan kedudukan berapa keputusan kepimpinan pakatan pembangkang yang terang-terangan bertentangan dengan prinsip PAS, pemimpin PAS tetap bertahan kerajaan Selangor?

Sanggupkah PAS terus-terusan dilihat hanya penumpang yang kedudukannya seperti melukut di tepi gantang?

Apakah PAS tidak bimbang ia akan kehilangan sokongan selepas kerajaan Selangor kini lebih dilihat mementingkan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip perjuangan PAS?

PENDET – KRITIK BIAR BERLAPIT, KREATIF BIAR BERTEMPAT…

Posted in Indonesia, Malaysia, media on September 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa nak dihairankan dengan sesetengah media Indonesia?

Itu satu. Keduanya, siapa dan pihak mana yang sedang mengapi-apikan supaya kedua-dua negara bermusuh?

Siapa tangan ghaib itu?

Nampaknya sesetengah media Indonesia mahu terus menghangatkan isu ini. Jelas mereka bukan mahu cari penyelesaian. Mereka terus ingin ‘bermusuhan’ dan enggan terima apa juga penjelasan Malaysia mengenai isu tarian Pendet.

Hubungan Malaysia-Indonesia renggang berikutan tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dilemparkan media massa Indonesia terhadap Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, berkata semalam beliau pelik dengan sikap media Indonesia kerana tetap enggan terima penjelasan mengenai isu tarian Pendet berkenaan.

Ada dua perkara mengenai isu ini. Pertamanya ialah kerajaan Indonesia sudah menerima baik penjelasan diberikan Malaysia.

Menurut Anifah, selepas perbincangan hati ke hati dengan Presiden Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan rakan sejawatnya, Hassan Wirajuda di Jakarta, baru-baru ini, isu berkenaan sudah dapat diselesaikan.

Tetapi lain pula sikap sesetengah media Indonesia yang terus mempersoalkan isu berkenaan, khususnya di akhbar-akhbar.

Isu ini nampaknya berlanjutan walaupun penjelasan sudah dibuat oleh Discovery Channel mengenai kontroversi tarian Pendet ini kepada Kerajaan Indonesia.

Kerajaan Indonesia juga turut menerima penjelasan bahawa kesilapan berpunca daripada pihak Discovery Channel.

Apapun, seperti dilaporkan oleh Berita Harian baru-baru ini, isu tarian Pendet yang mencetuskan kontroversi terbaru antara Malaysia dan Indonesia tidak mungkin berlaku jika pihak bertanggungjawab yang menyiarkan iklan selama 30 saat itu menjelaskan keadaan sebenar dan menuntut maaf serta-merta.

Sebenarnya kerana kegagalan membuat penjelasan segera menyebabkan kemarahan rakyat Indonesia dan digembar-gemburkan oleh pihak media di sini.

Menurut laporan Berita Harian berkenaan:“Discovery Networks Asia-Pasifik yang bertanggungjawab mengendalikan saluran televisyen Discovery Channel sudah memohon ‘maaf sebesar-besarnya’ bagi pihak syarikatnya kepada Menteri Kebudayaan dan Pariwisata, Jero Wacik atas apa yang disifatkannya sebagai ‘kekeliruan kreatif’.

Dalam suratnya kepada Jero Wacik bertarikh 28 Ogos lalu, Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar (Asia Tenggara) syarikat itu, Kevin Dickie, menjelaskan mengenai penggunaan unsur budaya Indonesia dalam klip promosi Enigmatic Malaysia.

Antara petikan isi kandungan surat itu: “Dengan ini kami sampaikan bahawa Discovery Network Asia-Pacific mengetahui wujudnya penggunaan gambar penari Bali dalam klip promosi selama 30 saat untuk program Enigmatic Malaysia. Klip promosi itu menampilkan grafik yang mewakili pelbagai episod dalam siri berkenaan.

“Namun, gambar penari Bali yang dimaksudkan berasal dari pihak ketiga. Untuk pengetahuan, promosi itu bukanlah sebahagian daripada kandungan yang dimaksudkan.

“Kami memohon maaf apabila klip promosi itu menyinggung pemerintah dan rakyat Indonesia, serta penonton (televisyen) kami. Dengan ini, kami ingin menyatakan bahawa klip itu sudah kami hentikan penayangannya di semua rangkaian kami.

“Izinkan kami untuk menjelaskan bahawa kesalahan ini cuma kekeliruan kreatif, sementara semua fakta dan maklumat yang terkandung dalam program berkaitan adalah benar semata-mata.”

Ada pihak yang mula memperkatakan seperti ada usaha pihak tertentu yang sengaja memprovokasi kemarahan rakyat Indonesia.

Jika tidak kerana ada pihak tertentu yang merancang dan merencanakan provokasi sedemikian, tidak akan ada gerakan kumpulan ‘buluh runcing’ atau ‘sapu Malaysia’..

Bagi saya Anifah boleh menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana sudah ke Jakarta membincangkan perkara ini. Namun beliau tidak perlu merasa pelik dengan sikap media Indonesia kerana enggan terima penjelasan dan terus mengulangi isu berkenaan di surat khabar kerana selagi ada tangan ghaib, selagi itulah, media Indonesia sukar untuk diperbetulkan.

Malam semalam, isu tuduhan kononnya Malaysia mengambil tarian Pendet dan Pulau Jemur Indonesia untuk tujuan promosi pelancongan, yang terbukti tidak berasas dan sama sekali tidak tepat itu sudah dianggap selesai dengan penjelasan bukan saja oleh kerajaan Malaysia tetapi juga oleh pemerintah Indonesia sendiri.

Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Indonesia Raja Reza Raja Zaib Shah berkata dengan itu, hampir 6,000 pelajar Malaysia di 13 kampus terakreditasi di seluruh negara 17,000 buah pulau ini tidak lagi perlu khuatir atau terbawa-bawa dengan sentimen antiMalaysia sekalipun terus dipancing oleh media massa Indonesia.

“Bagi kita dan untuk semua pelajar di sini, kedua-dua isu ini sudah kita tutup buku sepenuhnya dan tidak perlu dilayani lagi.

“Ini kerana tuduhan-tuduhan itu tidak benar lantaran Malaysia tidak pernah mendakwa tarian Pendet yang berasal dari Bali milik kita,” katanya pada sambutan Aidilfitri dengan lebih 200 pelajar perubatan Universiti Padjajaran di Bandung malam tadi.

Yang pasti pemerintah Indonesia sudah memahami kita, cuma media Indonesia yang buat-buat tidak faham.

Kita sudah berusaha sedaya upaya tetapi kalau media Indonesia merasakan ia tidak mencukupi, kita tidak boleh buerbuat apa-apa.

Seperti kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar bahawa pelajar Malaysia setakat ini telah menunjukkan tahap kematangan yang tinggi apabila mereka tidak memberi reaksi keras terhadap laporan negatif media massa Indonesia, sebaliknya menerimanya dengan tenang sambil memberi penjelasan kepada rakanrakan sekuliah.

“Majoriti rakyat Indonesia yang rasional memandang tinggi ketenangan rakyat Malaysia dalam menghadapi tuduhan-tuduhan itu yang akhirnya ternyata tidak benar. Namun, seperti yang dijelaskan oleh Anifah, semua pihak pun hairan apa tujuan media massa tempatan tidak mahu menerima penjelasan dan fakta yang tepat,” katanya.

Yang penting kita dan Indonesia sudah memahami bahawa soal tarian Pendet sengaja diperbesar-besarkan dan biarlah Jakarta mengawal media negara itu yang nampaknya enggan menerima penjelasan kita.

MAKLUMAT PALSU PKFZ – NAJIB PERLU BERTINDAK TEGAS

Posted in Kabinet, PKFZ on September 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mulanya membabitkan individu tertentu dalam MCA dan pengurusan syarikat yang menguruskannya.

Namun kini, skandal PKFZ menjadi senjata untuk menyerang kerajaan dan Kabinet Barisan Nasional (BN).

Membaca entri oleh sebuah blog yang banyak mengasaskan penulisannya kepada Malaysia Today akan mencemarkan nama baik Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet yang dikaitkan dengan skandal itu.

Kenyataan bahawa : “Sekarang rakyat sudah tahu rupa-rupanya Najib, Perdana Menteri dan semua menteri dalam kabinetnya kini adalah bertanggung jawab keatas kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00”, adalah tuduhan serius.

Apakah Perdana Menteri akan berdiam diri? Apakah kerajaan BN akan membiarkan dirinya dihentam dan dituduh dengan pelbagai tohmahan yang akan memberi kesan pada pilihan raya umum akan datang?

Saya yakin isu ini akan dimainkan pada pilihan raya kecil akan datang sebagai ‘pemanas’ kepada permainan sebenar pada pilihan raya umum nanti.

Apabila ada blog memintra seluruh Kabinet berundur kerana skandal PKFZ ini, kerajaan bukan sahaja perlu ‘menyatakan perkara sebenar’ tetapi yang patut dibuang atau dipancung, pancunglah.

Jika tidak dipancung ia akan menjadi barah buruk yang tidak boleh diubati lagi.

Baca petikan berikut daripada sebuah blog bertajuk “Skandal PKFZ, Seluruh Kabinet Wajar Berundur”

Patutlah mereka yang terlibat dengan skendal PKFZ tidak berasa takut. Malah mereka berasa tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana segala apa yang mereka lakukan selama ini telah diketahui oleh Kabinet dengan mendapat izin dan restu.

Perkara ini didedahkan oleh Malaysia Today (MT) kelmarin dalam artikelnya yang bertajuk “What the Cabinet hid from the Malaysian public”

Sekarang rakyat sudah tahu rupa-rupanya Najib, Perdana Menteri dan semua menteri dalam kabinetnya kini adalah bertanggung jawab keatas kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00.

Patutlah Najib dan kabinetnya secara tiba-tiba menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyediakan laporan berkaitan isu PKFZ. Rupa-rupanya “penubuhan pasukan itu sebenarnya bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ,” kata Mahfudz Ahli Parlimen Pokok Sena.

Patutlah Najib dan kerajaan Umno/BN gentar untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat PKFZ kerana lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat akan terdedah dan membuktikan lagi jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu,”

Mahfudz mendesak supaya diadakan satu sidang khas parlimen bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ.”

Datuk Seri Mohd Najib patut mencincang mulut-mulut celupar yang menggunakan sumber Malaysia Today untuk menghentam kerajaan.

Kalau benar, kenapa Perdana Menteri dan Kabinetnya takut dengan ‘cercaan tersebut”?
Gerudi Mahfuz dan dapatkan individu di belakang beliau yang membuat pelbagai ‘tohmahan’ itu.

Sementara itu, pihak yang bersalah, kenakan tindakan dan hukuman seberat-beratnya.
Tolonglah, jangan lagi ada favour atau perlindungan tertentu kepada pihak ini.

Kesianlah rakyat dan pekerja parti yang tidak tahu apa-apa dan tidak mendapat apa-apa yang berusaha mempertahankan BN.

Selain itu, jika tukang siar dokumen membabitkan PKFZ cuba dikenakan tindakan kerana ia dokumen rahsia kerajaan, amat wajar juka siasatan dilakukan untuk mengetahui sumber atau puncanya.

Tindakan perundangan juga patut dikenakan terhadap mereka yang terbabit.

Benar juga kata satu blog bahawa: “Kalau yang tukang siar rahsia rasmi kerajaan akan dikenakan tindakan, sudah semestinya si tukang bocor rahsia patut dikena tindakan lebih tegas. Kerajaan jangan lepas tangan hanya tangkap tukang siar, sedangkan si pembocor rahsia masih ada kesempatan menghilangkan diri, atau setidaknya mencari helah menafikan perbuatannya.”

Perdana Menteri wajar sekali bertegas terhadap pembocor rahsia kerajaan dan diikuti tukang siar.
Kerajaan tidak wajar menunjukkan ‘kemarahan’ kepada blog yang menyiarkan dokumen sahaja kerana penyangak sebenar ialah yang menyebabkan skandal berlaku dan yang membocorkan segala dokumen berkenaan.

Kenyataan Najib bahawa polis akan menyiasat sebuah laman web yang menyiarkan dokumen didakwa Kertas Kabinet 18 muka yang didakwa sebagai memorandum daripada Menteri Kewangan bertarikh 22 Jun 2007 mengenai isu PKFZ, diharap sampai ke akar umbi.

Sebagai pengajaran dan menggambarkan kerajaan serius, ambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kepada yang bersalah, untuk mengajar dan memberikan peringatan kepada pegawai atau sesiapa sahaja dalam kerajaan yang melakukannya.

MCA – APABILA ALAT KELAMIN SUDAH DIPERTONTONKAN

Posted in BN, MCA on September 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

Apa mainan politik MCA?

Menggugat atau mengukuhkan Barisan Nasional (BN) dengan tindakan memecat dan kemudian membatalkan pemecatan timbalan presiden, Datuk Dr Chua Soi Lek?

Daripada pemecatan kemudian digantung keahlian empat tahun.

Pemerhati politik menyifatkan keputusan jawatankuasa pusat membatalkan keputusan majlis presiden itu sebagai satu usaha untuk meredakan krisis yang melanda parti komponen kedua terbesar dalam BN itu.

Bagi saya tidak. Ia akan menyulit dan semakin menguji BN selepas ‘semua kain sudah dilondehkan di khalayak ramai dan alat kelamin sudah ditunjukkan tanpa segan silu’, kini kain cuba dipakai semula.

Pertanyaan ialah: “Tidakkah orang yang melondehkan kain itu sama ada gila atau tidak waras?”.
Bolehkah kita berurusan dengan orang tidak waras?

Biarpun Jawatankuasa Pusat MCA (CC) semalam mengubah keputusan Majlis Presiden pada 26 Ogos lepas untuk memecat Dr Chua dari parti itu, kekecohan dan ‘kemusnahan MCA’ akan sukar diperbaiki.

Penggantungan keahlian Dr Chua selama empat tahun berkuatkuasa serta merta juga tidak akan menyumbang apa-apa.

Sebelum ini, Majlis Presiden MCA mengesahkan syor jawatankuasa disiplin parti itu supaya Chua dipecat ekoran skandal video seks didakwa telah mencemarkan imej parti itu.

Keputusan itu telah mendorong penyokong Chua untuk melancarkan kempen mengutip tandatangan perwakilan parti itu, mendesak supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membatalkan pemecatan Chua dan mendesak supaya Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan.

Mereka berjaya mendapat tandatangan satu pertiga atau lebih 800 perwakilan seperti yang diperlukan untuk mengadakan EGM tersebut.

Kejayaan mereka itu dilihat sebagai satu isyarat bahawa ramai perwakilan dan ahli akar umbi MCA yang tidak menyokong pemecatan timbalan presiden MCA itu.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri telah menasihatkan pucuk pimpinan MCA supaya segera menyelesaikan krisis dalaman parti itu kerana ia turut menjejaskan BN.

Najib kini sedang berusaha untuk memulihkan sokongan kepada BN yang kalah teruk dalam pilihanraya umum tahun lalu di mana ia terlepas lima negeri kepada pembangkang serta hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Persoalan di sini bukan soal kepentingan Dr Chua atau sesiapa sahaja dalam MCA. Yang penting krisis yang melanda MCA sudah ‘memporak-perandakan BN’ dan hakikat sebenar MCA tidak akan pulih walaupun pembatalan dilakukan terhadap pemecatan.

Penggantungan empat tahun itu akan menimbulkan perbahasan baru.

Ke mana dan bila kemelut MCA akan selesai?

Selagi ia tidak selesai, akan menyulitkan BN dan banyak kemungkinan akan berlaku dalam tempoh empat tahun itu kerana pilihan raya umum akan datang dijangka lebih cepat daripada tempoh penggantungan Dr Chua.

Jadi, apa untungnya MCA dengan keputusan itu dan apa pula kebaikan kepada BN hasil tindakan CC berkenaan?

Posted in Aidilfitri, kemaafan on September 19, 2009 by Hambali Abd Latiff