Archive for the Husam Category

HUSAM MUSA BAGAI CACING KEPANASAN?

Posted in Husam, PAS, royalti on January 2, 2010 by Hambali Abd Latiff

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memuji Datuk Husam Musa tinggi melangit.

Seolah-olah hanya Husam yang berjaya dan mampu menjalankan tugasnya sebagai Exco kerajaan. Yang lain itu hanya penumpang sahaja.

Semalam – selepas memberikan tugas penting kepada Husam dalam isu royalti minyak – Husam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, diminta sekali lagi oleh Nik Aziz untuk tugasan penting.

Ia berkaitan isu pampasan lebih RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan yang diputuskan oleh mahkamah baru-baru ini.

Jadi benarlah kata beberapa pemerhati politik bahawa Husam ini seolah-olah pendinding kepada Nik Aziz.
Husam dikatakan akan ‘mempertahankan’ Nik Aziz walau dalam panas dan hujan. Ironinya, Husam dikatakan turut mengkritik beberapa perkara mengenai Nik Aziz, khususnya pembabitan ahli keluarga Menteri Besar itu dalam isu pemecatan CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan baru-baru ini.

Menghairankan juga bagaimana MSO boleh berubah sekelip mata apabila beberapa blog dan akhbar melaporkan MSO turut berdiri di belakang Husam dalam isu kritikan terhadap Nik Aziz ini.

Penulis politik terkenal itu selalunya kritikal pada bekas naib presiden PAS itu tetapi pada 30 Disember lalu, MSO berkata:”Kalau Husam menegur Nik Aziz dan sesiapa dengan pandangan itu, tujuannya tidak lain untuk menjaga PAS dan kerajaan Kelantan. Saya tidak fikir dia ada udang di sebalik batu dan mengharap sesuatu untuk dirinya dengan teguran itu,” kata pengamat politik kelahiran Kelantan itu di blognya Merah Tinta.

“Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Husam. Kebimbangan Husam itu, adalah juga kebimbangan saya malahan itulah yang telah saya suarakan sebelum ini.”

Walaupun Husam diberikan pelbagai kepercayaan selain tugasan penting dalam isu royalti minyak dan saman RM800 juta terhadap kerajaan Kelantan, namun apakah kritikan terhadap Nik Aziz itu turut diterima oleh Musyridul Am itu?

Beberapa sumber rapat PAS mengatakan kemarahan Nik Aziz sehingga menyebut ‘celaka’ kepada beberapa blog yang mengatakan Husam akan mengundurkan diri atau meletak jawatan lebih kepada mempertahankan kerajaan Kelantan bukan Husam.

Hakikatnya, Husam kini tidak ada lagi ‘anak buahnya’ di Pejabat Menteri Besar Kelantan selepas Setiausaha Politik dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar meletakkan jawatan.

Nik Aziz cuba ‘melindungi’ setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun dengan mengatakan niat untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan. “Ia dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus diberi penumpuan.”

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini.
Jika benar Annual seorang yang mampu memberikan nasihat yang betul dan berguna, bukan ‘nasihat salah’, apakah Nik Aziz tidak memujuk beliau untuk terus berkhidmat.

Apakah jika bertugas di pejabat Menteri Besar tidak boleh menjadi penulis kerana sebelum inipun banyak buku yang diterbitkan atas nama Nik Aziz sebagai penulis diselaraskan oleh beliau.

Anual Bakhri mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1999 selepas Husam mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam pilihan raya umum tahun berkenaan bagi mewakili Parlimen Kubang Kerian.

Manakala Mohd Saiba pula mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 2003.

Kedua-dua mereka yang menjadi orang kuat Husam tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa kini dan dijangkakan perlantikan baru tidak lagi membabitkan ‘macha-macha’ Husam.

Malah dengan perletakan jawatan kedua-dua mereka dikatakan melumpuhkan percaturan pergerakan Husam di pejabat Menteri Besar dan Husam semakin kepanasan.

Husam tahu di mana dirinya berada ketika ini kerana itu apa juga perintah Nik Aziz tidak boleh ditolaknya walaupun isu seperti royalti minyak dan pampas an RM800 juta berat baginya untuk menggendalikannya.

Jika diserahkan tugas ini kepada mereka yang mempunyai latar belakang undang-undang, ia mungkin menjadi lebih ringan namun kerana ‘terpaksa’, Husam perlu menerimanya.

Dengan kedudukan beliau diserang dari setiap penjuru, Husam berdepan yang kedudukan dirinya yang bersaorangan selepas budak-budaknya ‘terpaksa meletakkan jawatan’.

Selepas kehilangan Mohd Ariffahmi Abdul Rahman di PMBK kerana enggan lagi menurut perintahnya, Husam juga pernah kehilangan Wan Ismail Wan Jusoh dan beberapa yang lain, termasuk MSO sendiri.

Agak menghairankan juga permainan MSO dalam konteks Husam ini apabila tiba-tiba beliau mempertahankan Husam.

Apakah ada ‘apa-apa’ antara Husam dan MSO? Apakah MSO sudah kembali berbaik dengan Husam dengan habuan tertentu, sambil menjamin Nik Aziz terus menjadi Menteri Besar?

Husam kini mungkin hanya ada Setiausaha Pas negeri, Mohd. Zaki Ibrahim yang pernah menganggap blog Nik Amalina yang menyentuh tentang kepimpinan Pas negeri dan kerajaan Kelantan akan dianggap sebagai blog sampah di dalam Internet.

Seorang lagi budak Husam yang terpaksa melepaskan jawatan ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr. Rosli Allani Abdull Kadir kerana isu isteri mudanya.

Semua tahu bagaimana Dr Rosli sebelum ini bersuara mengenai Ariffahmi dan orang melihat ia bukan suara Dr Rosli tetapi suara Husam.

Pelik juga kini Husam menyatakan sedia berhadapan dengan anak Menteri Besar, Nik Amalina Nik Abdul Aziz bagi menjawab segala dakwaan yang dibuat di dalam blog peribadinya.

Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melalui blognya baru-baru ini mencabar salah seorang anggota Exco kerajaan negeri ini meletakkan jawatan.

Banyak pihak melihat anak Nik Aziz itu ‘menghentam Husam’ dan kalahpun Husam mahu berjumpa beliau, ia sudah terlambat.

Apakah Husam mahu berbaik-baik semula dengan ahli keluarga Nik Aziz yang keseluruhannya mula membenci Husam?

Selain adik beradik Nik Amalina ‘membenci Husam’ beberapa rakan yang pernah membantu Husam naik juga kecewa dengan beliau.

Husam dikatakan jenis lepas tangan dan ramai yang menyokong Husam kini kantoi selepas Husam tidak pedulikan nasib mereka dan mahukan sebarang masalah yang timbul (termasuk kerana membantu Husam) diseselasaikan oleh mereka sendiri.

Husam lepas tangan dan yang penting baginya dalam keadaan kepanasan seperti ini, untuk kembali sejuk ialah menyelesaikan apa juga masalah yang diminta Nik Aziz, selain rapat kembali dengan keluarga Nik Aziz.

Seperti pesaing politiknya, apakah keluarga Nik Aziz boleh memaafkan Husam?

Ternyata Husam kini berdepan dengan ‘musuh politiknya’ bukan sahaja dalam PAS daripada segenap penjuru tetapi dia juga ‘kepanasan’ di Kelantan.

Husam yang semakin kehilangan penyokong kuatnya perlu membina semula kekuatannya dan jika gagal dia akan berdepan dengan serangan lebih hebat.

Persoalannya, mampukah Husam bertahan?

NIK AZIZ – CELAKA BLOG ITU…

Posted in Husam, Nik Aziz, PAS on December 30, 2009 by Hambali Abd Latiff

Blog manakah yang celaka itu? Blog sokong UMNO atau blog yang bersimpati dengan PAS?
Celaka, memang celaka mereka yang kata Husam Musa mahu meletakkan jawatan.

“Celaka blog itu. Tak ada kerja lain… tau nak laga-lagakan orang. Suka buat dosa. Berdosa menulis perkara bukan-bukan tanpa bukti dan fakta jelas,” kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hmmm…kini perkataan celaka pun sudah keluar daripada mulut Musyridul Am PAS terhadap penulis blog.
Apa lagi agaknya selepas ini disebut oleh Nik Aziz kerana politik Kelantan akan terus berkocak.

Semalam Nik Aziz menolak spekulasi kononnya Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatannya ekoran rombakan dalam pentadbiran pejabat menteri besar.

Sebaliknya Nik Aziz memberitahu, Husam yang merupakan bekas setiausaha politiknya sebenarnya pemimpin

kesayangan beliau.

Nik Aziz mengulangi lagi bahawa Husam adalah orang yang beliau sayangi dan tidk mungkin disisihkan.

“Mana boleh dia (Husam) letak jawatan…Datuk Husam ini antara yang saya sayang, dia punya kebijaksanaan,” kata beliau selepas mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di Kota Bharu, petang semalam.

Desas-desus bahawa Husam akan meninggalkan Kabinet kerajaan negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri ditimbulkan oleh beberapa blog dan Nik Aziz melenting kerananya apabila berkata, “siapa kata dia (Husam) nak letak jawatan? Karut semua itu.”

Pesuruhjaya PAS Kelantan menegaskan Husam yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan mengetuai jawatankuasa berkaitan isu pertikaian royalti minyak untuk negeri itu.

Perkara itu dibangkatkan Nik Aziz ketika menolak dakwaan dua pegawainya dipecat di samping menafikan exconya, Datuk Husam Musa meletakkan jawatan.

Menteri Besar itu berkata niat setiausaha politiknya, Anual Bakhri Haroun untuk meletakkan jawatan sudah lama dinyatakan. Ia dibuat atas sebab Anual mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat beliau dan juga atas masalah kesihatan anak bongsunya yang harus deberi penumpuan.

Manakala setiausaha akhbarnya pula, Mohd Saiba Yaakob akan habis kontrak hujung bulan ini. Apa yang berlaku katanya bukan rombakan tetapi prosedur biasa lantikan politik apabila seseorang itu tamat kontrak.

Anual Bakhri mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1999 selepas Datuk Husam Musa mengosongkan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam pilihanraya umum tahun berkenaan bagi mewakili Parlimen Kubang Kerian. Manakala Mohd Saiba pula mula memegang jawatan berkenaan pada tahun 2003.

Menarik juga apabila pada ketika Nik Aziz memuji dan mempertahankannya, Husam sendiri melalui blognya secara tidak langsung ‘membidas’ Nik Aziz.

Melalui blognya Husam menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.

Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas pengaruh keluarga daripada pentadbiran negeri dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi,

Katanya: “Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008,” coret Husam di blognya Cetusan Hati semalam.

Exco itu juga mengingatkan betapa pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif “parti Asri sekeluarga.”

Pandangan Husam ini dilihat sangat berkait dengan kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Isu ini berkait dengan pengaruh keluarga menteri besar Kelantan itu apa lagi konflik jelas dilihat antara Husam dan beberapa ahli keluarga Nik Aziz.

Anak-anak Nik Aziz khususnya Nik Amalina begitu lantang membela suaminya Abdul Ariffahmi yang didesak meninggalkan PMBK, sambil menghala peluru kritikannya terhadap kepimpinan PAS Kelantan, khususnya Husam dan sekutunya.

PUKUL MENANTU SINDIR MENTUA?

Posted in Husam, Menantu, Nik Aziz, PAS on November 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Siapakah gerangannya yang membuatkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kusut?

Siapa yang memeningkan Nik Aziz?

Nik Aziz pening kerana isu menantunya sahaja atau kerana perbuatan sesetengah pihak yang ‘pukul menantu sindir mentua’?

Biarpun dakwaan bekas Pegawai perhubungan korporatnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz bahawa wujud salah laku khususnya mengenai kepincangan kewangan serta penyalahgunaan kuasa, di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu kini seakan selesai, isu ini akan berpanjangan.
Saya yakin Nik Aziz akan semakin kusut selepas ini. Apa yang ditimbulkan oleh budak suruhan Datuk Husam Musa itu akan berpanjang.

Kenyataan bertulis melalui blog dan sidang medianya pasti akan meninggalkan kesan mendalam.
Pertama, Nik Aziz mengamalkan kronisme dengan mementingkan anak menantu dan menantunya disyaki pula dituduh salahlaku. Pendedahan bukan oleh orang UMNO tetapi oleh kalangan penyokong PAS sendiri. Ternyata tuduhan terhadap Nik Aziz mengamalkan kronisme dan menentingkan ahli keluarga untuk beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Kelantan benar belaka!

Nik Aziz pun dikaitkan dengan penajaan pergi ke Mekah dan sehingga ini belum terjawab sepenuhnya dan membuka ruang untuk disiasat.

Penjenguk laman ini andakmaon menulis: “Tuan, apapun Nik Aziz sekarang jelas sedang menerima dan seterusnya menanggung musibah ciptaannya sendiri. Allah sedang menunjukkan betapa seorang yang memakai topeng ulamak untuk kepentingan politik sedang ditelanjangkan keperibadian sebenarnya. Betapa hinanya seorang yang bergelar ‘Tok Guru’ dan mengetuai sebuah negeri sebagai MB mengaku menerima rasuah secara terang dan terbuka . Seterusnya mengamalkan pula kronisme .

Apa yang selama ini dicemuh dan dinista terhadap UMNO kini ‘Tok Guru’sendiri yang buat . Apa dah jadi ni ‘Tok Guru’ ? Balasan penghinaan terhadap ‘Tok Guru’ PAS ini atas dunia lagi Allah dah tunjuk .Dari satu episod ke satu episod yang lain. Kita akan terus ditunjukkan Allah dari masa ke semasa bagaimana seorang yang bertopengkan agama seperti Nik Aziz ini menerima balasan dari Allah.”

Memang tidak patut dan tidak adil untuk mereka yang membuatkan Nik Aziz runsing. Sepatutnya pada usia sebegini dan begitu lama menjadi Menteri Besar, Nik Aziz berada dalam keadaan selesa dan gembira.

Nik Aziz mengakui fikirannya kusut berikutan kemelut yang melibatkan menantunya itu. Menurut Menteri Besar Kelantan itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau berdiam diri dan enggan mengulas perkara itu kepada pihak media sebelum ini kerana ingin mencari ketenangan.

Jelasnya, situasi yang sama pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berhubung dengan orang ramai lebih sebulan apabila isteri baginda, Siti Aisyah difitnah. “Kita sebagai manusia ada masa terganggu. Nabi Muhammad SAW lebih dari sebulan tak berjumpa dengan orang ramai bila timbul fitnah terhadap isterinya, Siti Aisyah. Peristiwa Al-Ifki itu begitu sekali mendukacitakan, mengecewakan sampai sebulan Nabi tak berhubung dengan orang ramai.

”Teruk saya ini sebenarnya, tapi begitulah. Kita bergantung dengan Allah, minta doa, sebelum subuh kita bangun, kalau boleh menangis sebagai saksi,” katanya mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Kelantan di sini hari ini.

Hmm…bandingkan dirinya dengan Nabi Muhammad sekali lagi. Bezanya dalam kes Nabi Muhammad, Aisyah difitnah. Soalnya dalam kes Nik Aziz ini, menantunya ‘difitnah’ dan meminta menantu yang ‘difitnah’ itu meletakkan jawatan, sementara anak didiknya, Datuk Husam Musa pula memberikan kata dua kepadanya.

Kedudukan Nik Aziz ibarat telan mati bapak dan luah mati emak.

Husam yang menjadi tumpuan kerana ‘budak suruhannya’ – Kickdefella – yang mendesak menantu Nik Aziz meletakkan jawatan. Dakwaan kononnya berlaku rasuah dan sebagainya timbul selePAS Kickdefella dipecat daripada jawatannya oleh Ariffahmi.

Saya sebenarnya tertanya-tanya hingga kini, apakah ini permainan politik untuk menekan Nik Aziz supaya meletakkan jawatan atau isu antara Kickdefella dan menantu Nik Aziz semata-mata.
Apa yang berlaku ialah dengan Husam memberikan kata dua yang turut membabitkan dua lagi Exco kerajaan negeri, jelas sedikit sebanyak ia ‘mencalar imej Tok Guru’ biarpun Nik Aziz memuji Husam berjela-jela.

New Straits Times pada 23 November melaporkan Husam ‘memberikan kata dua’ apabila berdepan Nik Aziz :”Pecat mereka atau saya akan berhenti”. Dalam pertemuan itu, Husam bercadang untuk meletakkan jawatan, suasana menjadi emosional dan kedua-duanya telah menangis. ” Sekiranya Nik Aziz mahu Husam dikekalkan, dia menuntut Ariffahmi dan dua orang ahli Majlis Perbandaran Kota Baharu dilucutkan kelayakan mereka”, petik sumber berkenaan.

Ariffahmi juga tidak akan duduk diam. Ini kerana beliau pernah berkata akan mendapatkan khidmat peguamnya bagi meneliti beberapa dakwaan. Walaupun menegaskan beliau tenang dengan kenyataan Syed Azidi kerana beranggapan berkas pegawai PMBK itu boleh untuk membuat apa-apa dakwaan, namun ia benar-benar menjejaskan maruah dan kredibiliti diri dan keluarga Nik Aziz sendiri.

Kenapa Husam marah kepada Ariffahmi hingga mencadangkan agar dipecat ? Sebabnya kemunculan Ariffahmi telah mengugat hubungan Husam dengan Nik Aziz. Sebelum ini tiada yang mempersoalkan apabila Husam menggunakan nama Nik Aziz untuk melaksanakan sesuatu perkara, tetapi setelah munculnya, Ariffahmi, Husam tidak lagi boleh menggunakan nama Nik Aziz sewenang-wenang kerana dia akan double check ‘sesuatu arahan yang kononnya datang dari Nik Aziz’ itu.

Cuma yang menjadi pertanyaan dan tidak terjawab lagi ialah benarkah ‘Perang PMBK’ (mengambil istilah Mohd Sayuti Omar) ini ada agenda terselindung. Umpamanya perang kerana berebut harta seperti tanah ke atau benda-benda lain yang hanya Husam dan Ariffahmi sahaja yang tahu.

Apakah perang ini menjangkaui perkara-perkara pokok lain kerana bagaimana mungkin Ariffahmi boleh melawan taukehnya (Husam yang membawa Ariffahmi kembali ke Kelantan dari Kuala Lumpur)!

Soal ini kita serahkan kepada penyiasat dalam kes Ariffahmi dan beberapa pihak lain dalam PMBK sendiri.

Naik Aziz boleh mengatakan beliau sedikit lega sekarang kerana isu itu dianggapnya sudah selesai berikutan arahannya kepada Ariffahmi supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK kelmarin.

Namun dalam kenyataannya jelas Nik Aziz berdalih dan berselindung apabila menafikan keputusan meminta Ariffahmi meletakkan jawatan itu kerana tekanan kepimpinan PAS Pusat. Katanya apa yang berlaku ialah ia dibuat selePAS berpakat dan tegur menegur melalui asas Islam.

Semua tahu bahawa kelmarin, rombongan PAS Pusat terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli menemui Menteri Besar itu. Mereka dikatakan menasihatkan Nik Abdul Aziz agar mengarahkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan demi menjaga nama baik kepimpinan kerajaan negeri.

Ia berikutan pelbagai polemik dalam parti dan rakyat negeri ini yang mempertikai kewajaran menantu Menteri Besar itu dilantik ke jawatan tersebut yang boleh menjejaskan imej PAS dan kepimpinan negeri.

Apakah akan berlaku kepada Nik Aziz selepas ini?

Tekanan akan semakin dirasainya dan pertelingkahan keluarganya dengan kumpulan Husam yang disokong beberapa pemimpin Kelantan akan terus membara.

Bukankah tekanan terhadap Nik Aziz ini sebagai gerakan terancang untuk menjadikan ‘Tok Guru’ terus gelisah dan menjadikannya fed up dan mula memikirkan untuk melepaskan jawatan Menteri Besar?

Dan kenapa pula tiba-tiba Husam tiba-tiba beliau tidak berminat untuk jawatan itu dan bersediapun jika dihantar ke Pusat?

‘NOT THAT I LOVED ARIRFFAHMI LESS, BUT THAT I LOVED HUSAM MORE…”

Posted in Husam, Kelantan, Nik Aziz, PAS on November 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

Wahai “Tok Guru”, jangan penasihat undang-undang pula yang disalahkan dalam isu perlantikan menantunya, Mohd Ariffahmi Abd Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Aziz berhujah: “”Dulu masa saya lantik beliau, ada penasihat undang-undang, beliau tidak komen apa. Jadi saya lantik.”

Muyridul Am itu tidak sewajarnya menyalahkan orang lain. Oleh kerana beliau yang melantik, maka Menteri Besar Kelantan itu perlu bertanggungjawab di atas perlantikan menantunya.

Dengan kata lain, beliau bukan sekadar bertanggungjawab untuk menasihati menantunya meletakkan jawatan.

Sebelum ini, apa yang Nik Aziz tidak menyanjung Ariffahmi.

Kononnya menantunya bijak, berkelulusan tinggi dan bergaji besar ketika kerja di Kuala Lumpur.

Sesiapa pun boleh melihat semula handsards Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 2007, apabila Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Panglima Annuar Musa (kini Tan Sri) membelasah Nik Aziz kerana melantik menantunya sebagai CEO PMBK.

Nik Aziz tunduk tidak angkat muka ketika Annuar membahaskan titah Tuanku Sultan yang merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri dengan mengemukakan beberapa fakta mengenai rasuah dalam kerajaan Kelanyan, termasuklah isu perlantikan Ariffahmi.

SelePAS itu satu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibuat oleh sekumpulan ADUN Barisan Nasional (BN).

Isunya ketika itu ialah kronisme dan rasuah. Memang sejak 2007 lagi isu rasuah disyakki berlaku dalam PMBK, selain Air Kelantan dan di pejabat Menteri Besar Kelantan sendiri.

Menurut Annuar, perbuatan mementingkan anak menantu menduduki jawatan penting dalam PMBK menjadi amalan Nik Aziz, termasuk melantik anak perempuannya sendiri ke jawatan penting.

Menurut Annuar, Nik Aziz terpedaya dengan kebolehan Arifffahmi yang berpangkat jurutera (Ir.) dan Nik Aziz mengatakan Ariffahmi sanggup meninggalkan gaji dan pangkat besar di Kuala Lumpur untuk bekerja di Kelantan.

Menurut Annuar, Ariffahmi mendakwa beliau bergaji sekitar RM8,000 sedangkan gaji sebenar beliau tidak sampai pun RM5,000.

Namun kini, apa yang diperkatakan oleh Annuar dua tahun lalu mula menunjukkan kebenarannya. Apa yang dipertahankan oleh Nik Aziz kini terpercik ke mukanya sendiri. Malah kini, Nik Aziz terpaksa menundukkan mukanya lebih rendah daripada ketika mendengar Annuar ‘membelasahnya’ di DUN Kelantan.

Menantu tokoh PAS yang dilanda kontroversi sejak dua minggu lepas itu semalam bersetuju meletakkan jawatannya sebagai CEO PMBK.

Ariffahmi yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menjadi fokus kontroversi apabila memecat Syed Azidi Syed Abdul Aziz, seorang pegawai kanan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Pada 11 November lalu, Syed Azidi yang lebih kenali dengan nama blog nya Kickdefella berkata beliau, sebagai bekas pegawai perhubungan awam PMBK, bersedia bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perbadanan itu.

Ariffahmi nyata akur dengan arahan bapa mertuanya, bagaimanapun menegaskan arahan peletakan jawatan tersebut hanya dikeluarkan semalam dan bukannya seperti yang dinyatakan oleh beberapa blog sebelum ini.

Menurut Abdul Ariffahmi, beliau tidak meletakkan jawatan lebih awal kerana mendengar nasihat Nik Aziz yang merupakan Menteri Besar supaya terus kekal menjalankan tugasnya seperti biasa.

”Pertama sekali saya ingin menyatakan saya menerima keputusan ini dengan hati yang lapang dan sedar keputusan dibuat untuk menjaga nama baik kepimpinan, PAS dan juga nama baik kerajaan negeri Kelantan. Saya akan tengok rekod cuti saya, berapa hari ada, lepas itu saya akan kira, saya akan buat keputusan bila tarikh yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan,” katanya.

Ariffahmi dilihat sebagai punca kepada semua kemelut yang timbul dalam PAS serta kerajaan negeri. Beliau melihat peletakan jawatannya adalah disebabkan fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu terutama penulis blog terhadap dirinya. Kata Ariffahmi: “Sebenarnya beberapa peguam sedang mengkaji semua tuduhan dan saya sedang menelitinya dan akan mendengar nasihat para peguam. Pada masa yang sesuai nanti kita akan lakukan apa yang patut.”

Apa yang pasti, ada dua perkara menarik di sini. Pertama, apabila kes Ariffahmi ini timbul, pada mulanya Nik Aziz tetap mempertahankan menantunya. Dia hanya menasihati Ariffahmi supaya meletakkan jawatan selepas desakan, khususnya ekoran daripada ugutan Husam untuk ‘melePASkan semua jawatan’.

Persetujuan Nik Aziz menasihati Ariffahmi ialah selepas pertemuan dengan pemimpin atasan PAS di kediaman rasmi Menteri Besar itu pada 10 pagi semalam.

Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din, Naib Presidennya Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung Dr Hatta Ramli. Mereka ini mengemukakan cadangan kepada Nik Abdul Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan.

Nik Aziz memberikan sebab bahawa beliau mengarahkan menantunya itu berbuat demikian demi “menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya PAS.”

Selain itu, arahan perletakan jawatan Ariffahmi juga untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang jadi tidak mahu fitnah ini berkembang, kata Nik Aziz.

Apakah dalam kes ini Nik Aziz seolah-oleh kelihatan seperti Brutus yang memberikan ucapan pertama selePAS pembunuhan Julius Caeser kepada rakyat Rome bahawa ‘Not that I loved Caesar less, but that I loved Rome more”. Dalam konteks isu Ariffahmi Nik Aziz bukan tidak sayang kepada Ariffahmi tetapi lebih sayang kepada Husam’.

Ini kerana sebelum ini beliau ada merujuk kepada Nik Aziz berhubung desakan supaya meletak jawatan, namun Menteri Besar memintanya meneruskan tugas sebagai CEO seperti biasa.

Kata Ariffahmi: ”Saya nak ulang lagi, apa yang ditulis dalam blog tertentu sebelum ini bahawa saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan dan saya tak terima arahan itu lalu pergi ke Kuala Lumpur merajuk, itu tak betul. Saya hanya terima arahan pada hari ini (semalam) dan saya boleh terima keputusan ini dengan dada yang lapang dan saya akan sentiasa setia dan menghormati bapa mertua saya dan pemimpin kita semua.” katanya.

Perkara kedua ialah, isu Ariffahmi ini akan menjadi duri dalam daging kepada PAS Kelantan kerana ternyata Nik Aziz membuat ‘pilihan salah’ apabila melantik menantunya ke jawatan tinggi.

Jika merujuk kepada desakan Husam, ada individu lain yang turut dikaitkan dengan Ariffahmi dan tidakkah ini akan terus mengheret politik PAS Kelantan supaya berlanjutan hingga ke pilihan raya umum akan datang?

KEMELUT POLITIK KELANTAN SEMAKIN PARAH…

Posted in Husam, Kelantan, Nik Aziz, PAS on November 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kenapa saya katakan demikian?

Ini kerana Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membela dan mahu kekalkan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa.

Mengenai Husam, ini pandangan Nik Aziz: “Husam merupakan seorang pemimpin yang pintar, berpandangan jauh dan banyak membantu rakyat di negeri ini bahkan mampu mengubah landskap politik nasional.”

Begitulah tingginya kedudukan Husam pada mata Nik Aziz.

Menteri Besar itu berkata, selama ini beliau tidak menyebut mengenai kebaikan Husam kerana bimbang Exco lain akan berkecil hati. “Saya selama ini tidak sebut kerana takut kecil hati Exco lain sebab mereka ada portfolio masing-masing, tetapi portfolio Husam iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan. Banyak fikiran dia selamatkan politik Malaysia,” katanya.

Persoalannya apakah Nik Aziz akan bertindak terhadap menantunya?
Selain itu Husam mendesak agar menantu Nik Aziz dikenakan tindakan bersama dengan dua Exco lain.

Apakah tuntutan Husam akan dipatuhi Nik Aziz? Jika patuh atau tidak patuh, politik Kelantan pastinya akan berdepan dengan masalah.

Dengan puji-pujian terhadap Husam, apakah Exco lain tidak kecil hati?

Berikutan itu, Menteri Besar Kelantan itu tidak akan menerima peletakan jawatan Husam sekiranya Exco kanan kerajaan negeri itu benar-benar berhasrat mahu berbuat demikian.

Jadi, Bohongkah Mingguan Malaysia?

Nik Aziz menafikan dakwaan bahawa bekas Naib Presiden Pas itu pernah menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatan dalam parti atau kerajaan negeri. Menurut Nik Aziz, cerita mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan tidak berlaku langsung dan saya pun tidak beri kalau dia hendak letak jawatan kerana Kelantan dapat banyak manfaat daripadanya.

“Husam ini Allah buat bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk rakyat Malaysia, dia budak yang cerdik, pengalaman banyak dan pemikiran jauh ke depan. Rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam seperti ambil balik tanah Felcra yang banyak, wujudkan sistem kifalah yang memberi banyak manfaat kepada rakyat dan orang kurang upaya (OKU),” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Namun, di sebalik pujian dan sanjungan, menurut New Straits Times, hari ini (23 November 2009), Husam juga memberi kata dua kepada Nik Aziz.

Apa katanya? “…he would only stay on if the Kelantan Menteri Besar Incorporated (PMBK) chief executive officer, Ariffahmi Abdul Rahman, and two state executive councillors relinquished their posts.”

Selain ketua pegawai operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMbk), Abdul Ariffahmi Rahman.

Ariffahmi, menantu Nik Aziz itu, siapakah dua Exco yang dianggap oleh Husam sebagai penentang atau yang melakukan konspirasi terhadapnya?

Kata NST lagi: “And since Nik Aziz had asked him to stay on, Husam demanded that Ariffahmi and the two executive council members step down, or he would have to go,” the source said without naming the two executive councillors.

Husam semalam menyifatkan laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam mengenai khabar angin yang beliau berhasrat meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan sebagai satu ‘gurauan’ media. Malah Husam berkata, tidak ada apa yang perlu beliau nafikan mengenai laporan tersebut kerana isu itu langsung tidak berbangkit.

“Bagaimana saya nak nafi atau nak sangkal, sedangkan ia tidak wujud. Kalau benda (isu) itu ada bolehlah saya nafi, ini tak ada… jadi tak boleh nak nafilah,” katanya kepada mStar Online.

Mingguan Malaysia semalam dalam laporan muka depannya menyebut, Husam mahu melepaskan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri tetapi keputusannya tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS,yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut laporan itu lagi, Nik Aziz sebaliknya dikatakan memberi cuti selama lima hari kepada Husam untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Apakah Mingguan Malaysia akan berdepan dengan saman Husam? Apabila ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar berkenaan kerana menyiarkan laporan seumpama itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata: “Tengoklah nanti macam mana, hari ini hari Ahad, saya nak berehat… keluar makan-makan dulu.”

Sumber akhbar berkenaan juga menyebut dalam tempoh cuti tersebut, Husam akan menjalani pembedahan tulang belakang yang ditangguhkan sejak dua bulan lalu. Mengulas mengenai perkara itu, Husam berkata: “Cuti? Cuti apa pula? Saya tak tahu apa-apa pun, nampaknya sumber akhbar berkenaan lebih tahu daripada saya. Mengapa pula nak bedah tulang belakang saya? Bukannya ada bengkok… Alhamdulillah saya sihat saja.”

Jelas Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan itu lagi, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai arahan cuti oleh Nik Abdul Aziz seperti yang dilaporkan itu.

“Saya tak tahu, hari ini kalau tak silap Tok Guru (Nik Abdul Aziz) ada majlis, kamu pergi tanya beliau sendiri… kalau tak dapat, pergi tanya pihak akhbar berkenaan. Buat masa ini saya tak bercuti, saya akan bertugas macam biasa, saya sihat,” katanya.

Isu mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan itu dikaitkan dengan pergolakan yang berlaku di PMBK yang menyaksikan pemecatan pegawai perhubungan korporatnya, Syed Azidi yang lebih dikenali sebagai bloger kickdefella selepas berlaku dakwaan dan tuduh menuduh berhubung penyalahgunaan kuasa menantu Nik Aziz yang juga Arifffahmi.

Dakwaan itu telah mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan ke atas PMBK. Dan Husam dikatakan tidak berpuashati dengan pemecatan Syed Azidi.

HUSAM MERAJUK, NIK AZIZ PUJUK?

Posted in Husam, Kelantan, Nik Aziz, PAS on November 22, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Sepatutnya berita Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan Kelantan saya baca dalam blog Mohd Sayuti Omar (MSO).

Ini kerana semua orang tahu Sayuti dan Husam ‘berperang besar’.

Tiba-tiba hari ini Mingguan Malaysia, menyiarkan di muka hadapan dengan tajuk “Husam Letak Jawatan?”

Apa juga penjelasan Husam atau keputusan yang dibuat oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan dalam isu Husam mahu melepaskan jawatan , ia menggambarkan dengan jelas wujudnya satu lagi episod yang menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Husam sebelum ini beberapa kali dikatakan menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya beliau menjadi liabiliti kepada parti. Namun ada juga pihak yang mengatakan khidmat Husam masih diperlukan dalam membantu Nik Aziz mentadbir negeri ini.

Ada portal berita yang melaporkan Husam juga mendakwa wujud konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri dengan mencetuskan perbalahan di antara beliau dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah, khabar angin menyatakan bahawa Nik Aziz sedang menimbangkan untuk menggugurkan Husam daripada barisan Exco Kelantan ekoran isu pemecatan Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebagai Pengarah Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) minggu lalu.

Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya Kickdefella, pula dilihat sebagai antara orang kanan Husam.

Yang menarik pada satu blog penyokong kuat Husam yang menyebabkan berlakunya ‘Perang PMBK”, Kickdefella mengatakan beliau akan terus mempertahankan Husam. Ini menunjukkan Kickdefella amat percaya dan sanggup ‘bergadai bergolok” untuk tuannya.

Bagi Kickdefella, beliau sanggup melanggar siapa sahaja, mungkin termasuk Nik Aziz jika Husam ‘dianianya’.

Kata Kickdefella, “Saya akan merasa amat gembira jika Dato’ Husam tinggalkan Kerajaan Negeri Kelantan. Ini kerana semenjak 3 tahun saya mengenalinya saya dapat merasakan betapa penderitaan yang menimpanya dan keluarganya kerana sandiwara politik dalaman PAS Negeri Kelantan.

Tidak berada didalam Kerajaan dan tinggalkan PAS adalah yang terbaik buat Husam tetapi ia adalah malatpetaka buat PAS Kelantan dan rakyat yang memerlukan pembelaan. Saya berani berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sudah tidak berminat membela insan-insan kecil. Yang masih mempertahankan insan-insan kecil hanya dua tiga orang sahaja lagi di dalam exco Kerajaan Negeri dan Husam adalah seorang darinya…Saya akan pertahankan Husam.”

Mingguan Malaysia melaporkan, Husam dikatakan mahu melePASkan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan pada pertemuan empat matanya dengan Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan pada pertemuan empat mata Selasa lalu.

Husam dikatakan menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa beliau tidak terlibat atau menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku dalam PMBK. Penjelasan Husam itu diterima Nik Aziz tetapi hasratnya untuk meletakkan jawatan ditolak.

Sebaliknya Nik Aziz memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.

Nik Aziz dikatakan mengumumkan Husam cuti selama lima hari bermula hari ini pada mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kelantan di kediaman rasminya, JKR 10 pagi semalam. Husam dilaporkan tidak hadir pada mesyuarat ini. Dalam tempoh cuti tersebut, Husam juga akan menjalani pembedahan tulang belakang selepas ditangguhkan sejak dua bulan lalu.

Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan yang dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman. Abdul Ariffahmi yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan menantu Nik Abdul Aziz.

PAS Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Mohd. Zaki Ibrahim sebaliknya berkata, perkara itu hanya khabar angin dan mereka tidak mahu mencampuri isu yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena dengan politik.

Mohd. Zaki menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai khabar angin. Katanya, PAS Kelantan tidak mahu mencampuri isu berkaitan yang dihadapi Nik Abdul Aziz kerana menyifatkan ia tidak ada kena-mengena soal politik.

“Ia khabar angin sahaja dan jika benar sudah tentu dalam mesyuarat hari ini ada dibincangkan (perkara ini). Kita tidak pernah membincangkan soal ini, sebaliknya ia masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan sendiri Tok Guru (Nik Aziz) selaku Menteri Besar,” katanya.

Mohd Zaki boleh menafikan apa sahaja namun, yang nyata pergolakan dalam kerajaan Kelantan dan PAS Kelantan

Nik Aziz atau PAS yang “Ghok-Ghak”?

Posted in Husam, Nik Aziz, PAS, Terengganu on October 24, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

Siapa sebenarnya yang ghok-ghak (kacau)? Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau PAS?

Nik Aziz nampaknya menyerang Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Datuk Dr Hassan Ali. Sebelum ini dia ‘menyerang’ Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.

Jelas kini dalam PAS, kepimpinan utama parti adalah satu pasukan dan Nik Aziz bersendirian.
Kalau ada yang menyokongnya pun mungkin bekas Naib Presiden yang kalah seperti Datuk Husam Musa serta pemimpin PAS yang sudah dikitarsemula lagi seperti Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu.

Bagi Nik Aziz, Hassan atau Mustafa tidak habis-habis dengan hendak bekerjasama PAS dengan UMNO ke arah kerajaan Perpaduan.

“Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan, kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni? “Tidak boleh jadi ni, kita “ghok-ghak” (kacau) begini, orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khas, senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana… kita nak kekal yang mana dan buang yang mana,” katanya.

Nik Aziz begitu yakin hanya Muktamar Agung Khas saja yang dapat menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

PAS kini menghadapi krisis besar selepas berlakunya pertelingkahan ketika isu kerajaan perpaduan digembar-gemburkan sebelum muktamar PAS lalu.

Semalam Mursyidul Am PAS itu, mahu parti berkenaan mengadakan Muktamar Agung Khas bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, termasuk menukarkan pemimpin utamanya.

Beliau berkata, muktamar itu perlu diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan membuat keputusan yang akan menentukan haluan parti.

Amat jelas penyelesaian bagi Nik Aziz adalah menukar pemimpin.

Apakah pemilihan yang lepas tidak sah?

Jawapannya ialah Nik Aziz, yang sepatutnya tidak berpihak, seakan-akan mempersoalkan keputusan pemilihan parti apabila berkata: “Dalam muktamar khas yang dicadangkan itu, Nik Aziz menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi.”

Kenapa pula Nik Aziz yang ‘sour grapes’ sedangkan yang kalah Husam Musa?

Apakah Nik Aziz bermain politik untuk menjamin orangnya menang semula dengan menimbulkan isu kerajaan perpaduan ini?

Yang jelas, pemuda PAS dan Dewan Ulamanya selari dengan presiden dan timbalannya dalam isu kerajaan perpaduan ini.

Yang menentang keras hanyalah kumpulan yang ‘pro-Anwar’ dan mengharapkan Penasihat PKR itu menjadi Perdana Menteri.

Melalui blog peribadinya, http://www.blogtokguru.com, beliau menyatakan pendapat peribadinya (sama ada beliau sendiri tulis atau pembantunya tidak penting) : “Isu kita ialah dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (Presiden MIC) Datuk Seri Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain, maka pelik apa kalau kita panggil mesyuarat parti tergempar.”

Malah Menteri Besar Kelantan itu turut mengaitkan UMNO yang mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membuat pindaan perlembagaan dan MCA mengadakan Perhimpunan Agung Luar Biasa sehingga ahlinya membuat keputusan untuk menyingkir dua pemimpin utama mereka.

Beliau berkata, kepemimpinan PAS perlu mendapat mandat baru bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. “Bila mesyuarat agung tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah, kita pakat-pakat belalah,” katanya.

Ada dua tiga persoalan di sini. Pertama, sah sudah jika berpakat dengan Melayu dan UMNO, Nik Aziz tidak mahu.

Kedua, dia rela menggoncang PAS untuk menjamin ‘anak didiknya’ mendapat tempat dalam parti, selain rela mengorbankan PAS untuk menjamin Anwar menduduki takhta Perdana Menteri.

Ketiga, Nik Aziz melihat DAP dan PKR lebih mulia daripada UMNO hanya kerana fobianya apabila PAS ditendang keluar oleh BN selepas berada dalam kerajaan campuran beberapa ketika.

Soalan lain ialah kenapakah Nik Aziz begitu tertarik dengan analisis pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aziz Bari, yang memperkatakan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini?

Antara penyebabkan kekalahan menurut Prof Aziz ialah kekecohan di Selangor dan mencadangkan PAS mengambil langkah drastik seperti memecat Hassan.

Selain itu profesor undang-undang terkenal itu juga mengkritik Abdul Hadi yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu membabitkan Hassan.

Bagus juga Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, tidak memulangkan paku buah keras atau membelasah balik Nik Aziz apabila sekadar berkata kenyataan Nik Aziz itu adalah pandangan peribadi.

Nasharuddin boleh ‘kurang ajar’ pada ketika pemimpin PAS lain melihat perpaduan Melayu-Islam penting dan hanya Nik Aziz tidak berpendapat sedemikian. Namun beliau tidak sedemikian.

Bagi Nasharuddin, dengan lembut beliau menolak pandangan Nik Aziz itu dengan mengatakan ia tidak boleh membawa kepada perubahan dasar dalam parti kerana parti adalah milik parti yang bermuktamar setiap tahun.

Dengan kenyataannya bahawa perkara itu akan dibawa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama secepat mungkin dan mendapatkan penjelasan daripada Nik Aziz sendiri mengenai apa maksud beliau yang sebenar, yang tertekan kini Nik Aziz.

Bagi Hadi, Mustapa, Nasharuddin dan Dr Hassan, mereka boleh mendengar sendiri rungutan peribadi Nik Aziz dan PAS sewajarnya tidak perlu mengadakan mesyuarat luar biasa kalau hanya sekadar untuk memuaskan hati orang di sekeliling Nik Aziz.

Lagipun, PAS hanya kalah sekali di Bagan Pinang. Bagaimana dengan di Manek Urai, Kuala Terengganu di pilihan raya kecil di Perak, apakah sumbangan pemimpin PAS di situ terlalu kecil?