Archive for the Minyak Category

MANA LEBIH ISLAMIK – CARA NIK AMAR ATAU NIK AZIZ?

Posted in Kelantan, Minyak, Nik Aziz, royalti on December 10, 2009 by Hambali Abd Latiff

Daripada www.lawi-ayam.blogspot.com

Cara mana lebih sesuai dan Islamik dalam membuat tuntutan royalty minyak Kelantan?

Cara ádik beradik’atau cara mahkamah?

Dibandingkan kedua-duanya, mana nampak semangatnya lebih Islamik?

Kenapa Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lebih berminat dengan mahkamah kalaupun ada yang membuat provokasi mengenainya?

Apakah tiada lagi cara perundingan? Kenapa Nik Aziz mesti mengikut cara pertelingkahan?

Pada ketika Nik Aziz tidak mahu berlembut langsung, Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata, isu royalti minyak itu seharusnya diselesaikan dengan cara rundingan ‘anak-beranak’.

“Buat apa nak bawa sampai masuk mahkamah, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik,” kata beliau.

Jelasnya, kerajaan negeri masih menaruh harapan agar satu perbincangan khusus dapat diadakan dengan perdana menteri berhubung isu tuntutan royalti minyak ini.

“Baru-baru ini kerajaan negeri ada mengemukakan permohonan kepada perdana menteri untuk diadakan satu rundingan berhubung isu ini. Kita harap sangat agar diberikan satu ruang untuk diadakan perbincangan tersebut, cara bersemuka lebih molek.

“Malah ini adalah isu antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, selesaikanlah ikut cara anak-beranak, Kelantan pun sebahagian daripada Malaysia,” katanya kepada mStar Online.

Baginya, isu tuntutan royalti minyak negeri Kelantan tidak perlu dibawa hingga ke peringkat mahkamah kerana masih terdapat ruang perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz agar membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada berbuat sesuatu yang bersifat retorik dan tidak boleh membawa perubahan kepada status quo.

Mohamed Nazri dilaporkan berkata, membawa isu tuntutan itu ke mahkamah merupakan langkah paling tepat berbanding usaha retorik antaranya tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa yang bukan-bukan terhadap perdana menteri dan kerajaan pusat.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini dilaporkan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya “pecah perut” sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.

Pada 4 November lepas, Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada kerajaan Pusat kepada Kelantan yang akan bermula tahun depan.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, kepimpinan PAS Kelantan merasakan masih terlalu awal untuk membawa kes berkenaan sehingga ke mahkamah.

“Sekarang bukan masanya lagi… masih terlalu awal, kita tidak akan terburu-buru tentang isu ini,” ujarnya.

Bertentangan dengan sikap Nik Amar, Nik Aziz menegaskan, beliau sudah lama bercadang untuk membawa isu itu ke mahkamah, jika tuntutan royalti minyak itu gagal diselesaikan secara rundingan.

“Bukan dia (Mohamed Nazri) saja nak, kita pun nak,” kata Mursyidul Am PAS itu di Kota Bharu semalam.

Pada 4 Nov lalu, Najib mengumumkan untuk memberi wang ehsan tahun depan kepada kerajaan negeri itu sebagai menggantikan royalti minyak dan gas.

Bagaimanapun, Nik Aziz tidak bersetuju dengan kaedah itu sebaliknya akan terus berdoa supaya Tuhan membuka pintu hatinya dan pemimpin kerajaan Pusat yang lain supaya menjelaskan tuntutan itu dalam bentuk royalti dan jika kaedah itu tidak berjaya beliau meminta Tuhan menimpa bala kepada mereka.

Advertisements

BUKAN SOKONG NIK AZIZ TAPI TUNTUT ROYALTI MINYAK?

Posted in Kelantan, Minyak, Nik Aziz, royalti on December 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Dilaporkan kira-kira 5,000 warga Kelantan berhimpun di Dataran Ilmu dekat ibu pejabat PAS negeri di Kota Baru pagi tadi.

Ia bertujuan mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Perhimpunan tersebut dikatakan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi sebaik sahaja tamat kuliah mingguan oleh Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai “Kolonel Mat.”

Kumpulan yang terdiri daripada anggota pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan itu juga menyokong usaha kerajaan negeri dalam membuat tuntutan royalti minyak.

Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah barisan kepimpinan negeri termasuk anggota exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

Sudah pasti orang yang ke depan mempertahankan Nik Aziz ialah DatukHusam Musa.

Ini difahami sangat kerana ketika ini Nik Aziz bagaikan hilang sokongan kecuali daripada Husam yang mempunyai cita-cita besar dan ‘rashia besar’untuk dilindungi.

Jika untuk memeprtahankan Nik Aziz, tidak perlulah Husam berucap. Orang sudah tahu bahawa beliau kini terpaksa melakukan apa sahaja untuk ‘survival politiknya’’.

Apakah PAS Kelantan tidak mempunyai tokoh lain?

Apakah dengan Husam mempertahankan Nik Aziz, PAS Kelantan akan semakin kuat.
Apabila Husam berucap ia mempunyai banyak makna.

1. Husam mempertahankan dirinya daripada terus diserang dengan berlindung di sebalik usaha mempertahankan kepimpinan Nik Aziz;

2. Dengan Husam berucap ia menonjolkan lagi bahawa Nik Aziz tidak mengharapkan orang lain tetapi pada masa yang sama, Husam adalah musuh kepada anak-anak dan menantunya. Apakah Nik Aziz sengaja membiarkan Husam memusnahkan dirinya sendiri?

3. Dengan Husam mempertahankan Nik Aziz, semakin kuat tanggapan bahawa dengan Nik Aziz terus kekal, PAS Kelantan tidak akan melantik orang lain menjadi Menteri Besar dan Husam akan dapat menutup ‘kemelahan’dan ‘salah laku’yang mungkin dilakukan olehnya yang anak menantu Nik Aziz dan beberapa exco kerajaan negeri tahu mengenainya; dan

4. Dengan berucap mempertahankan Nik Aziz, Husam bagaikan juara dalam segala-gala, termasuk tuntutan royalti yang dilihatnya sebagai ‘lubuk wang’untuk melonjakkan dirinya menjadi Presiden PAS dan proksi Datuk Seri Annuar Ibrahim dalam PAS pada ketika ramai pemimpin PAS lain sudah mula ‘tawar hati’dengan Anwar.

Saya melihat himpunan pagi ini tidak lebih daripada menunjukkan kekuatan bagi tuntutan royalti, bukan sangat mempertahankan Nik Aziz.

Kalau tidak masakan Husam dalam ucapannya semasa perhimpunan itu boleh menegaskan tidak ada salahnya dengan doa Nik Aziz dalam usaha menuntut pembayaran royalti petroleum.
“Tidak membayar royalti itu satu kezaliman jadi dalam Islam kita diharuskan berdoa,” kata Husam.

Dan kalaupun mahu mempertahankan Nik Aziz, Musyridul Am PAS itu sudah cemar imejnya dan sukar untuk dibersihkan lagi.

Bukan orang UMNO dan masyarakat awam sahaa yang mula ‘jijik’dengan tindakan dan sikap Nik Aziz mementing kroni dan amalan mementingkan keluarganya. Orang PAS pun mula mempersoalkan tindak-tanduknya.

Yang sokongnya mungkin hanya Husam dan konco-konconya yang melihat kedudukan tidak stabil Nik Aziz ini lebih mudah untuk mereka ‘menendang keluar’Nik Aziz daripada berkuasa dalam kerajaan dan parti PAS Kelantan.

Anak-anak Nik Aziz menyedari ini dan mungkin kerana inilah menantu Nik Aziz cuba membebaskan pengaruh Husam dengan memecat penyokong kuat Husam di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkenaan.

Persoalannya juga ialah apakah seorang menantu tidak memaklumkan lebih dahulu kepada mentuanya bagi melakukan sesuatu tindakan di dalam perbadanan yang begitu penting?

ROYALTI – WANG RAKYAT UNTUK RAKYAT

Posted in Minyak, Rakyat, royalti, Terengganu on June 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

Royalti minyak bukan ‘durian runtuh’.

Istilah ‘durian runtuh’ adalah keuntungan yang tidak dijangka. Tetapi royalti minyak adalah hak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu.
Sekiranya Kerajaan Pusat membayar atau menyerahkan wang royalty ia adalah tanggungjawab dan memang hak kerajaan negeri.
Dengan menyamakan royalti minyak dengan durian runtuh, ia menggambarkan seolah-olah Kerajaan Pusat memberikan sesuatu yang ‘lebih’ daripada sepatutnya kepada kerajaan negeri.

Sedangkan hakikatnya, kerajaan negeri kini terpaksa ‘merayu’ dan meminta ikhsan Kerajaan Pusat untuk mempercepatkan penyerahan wang royalti yang tertunggak demi dibelanjakan untuk pembangunan Terengganu.

Apabila ada akhbar cuba menyamakan royalti dengan ‘durian runtuh’, ia menggambarkan seolah-olah negeri Terengganu mendapat pembelaan yang lebih daripada negeri lain.
Juga ia menggambarkan wang royalti sebagai ‘tambahan kepada ‘ bajet yang tersedia ada sedangkan wang royalti itu antara punca penting pendapat kerajaan negeri ketika ini.

Dengan kata lain Menteri Besar, Datuk Ahamd Said bukan ada ‘lesen besar’ menggunakan wang royalti itu ‘sesuka hati’.
Ia adalah wang rakyat untuk dikembalikan kepada rakyat.
Hari ini perundingan peringkat pegawai berlangsung di Putrajaya antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pusat dalam menentukan jumlah royalti minyak yang akan diterima oleh negeri itu.

Apa juga keputusan seharusnya memberikan keuntungan kepada rakyat Terengganu.

Isu royalti ini semakin diperkatakan, malah PAS kini menggunakan isu ini sebagai modal politik.
Banyak tuduhan dilemparkan pembangkang, kononnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tunduk kepada desakan kerajaan Pusat dan membiarkan wang royalti minyak ‘disalahpakai’ oleh kerajaan Pusat.

Bagi PAS, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri juga sukar mendapatkan wang royalti, tiada maknanya rakyat memangkah BN pada pilihan raya umum nanti.

PAS memujuk rakyat Terengganu dalam isu royalti ini – PAS dan UMNO atau BN sama sahaja, sama-sama tidak dapat royalti – tetapi kalau undi PAS ada sedikit kelebihan – dapat akhirat juga.

Semalam Menteri Besar, Menteri Besar, Ahmad Said berkata Kerajaan Terengganu akan menerima wang royalti minyak sebanyak RM744 juta daripada Petronas yang dijangka Julai ini.
Pada Mac lalu sebanyak RM650 juta telah diterima kerajaan negeri.

Sebelum ini Ahmad dalam kenyataan akhbar pernah berkata, kerajaan negeri percaya bayaran yang akan diterima hasil wang royalti minyak sekurang-kurangnya mencecah RM1.5 bilion
Menurutnya, kerajaan negeri menunggu jumlah pembayaran wang royalti minyak dari Petronas untuk mengetahui sama ada wang itu cukup untuk memenuhi bajet negeri 2009 yang berjumlah RM1.799 bilion.

Cabaran yang terpaksa dihadapi Terengganu selepas wang royalti dikembalikan adalah dari segi perancangan pembangunan dan kerajaan negeri tidak lagi boleh berharap kepada dana khas kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan negeri perlu melaksanakan segala perancangan pembangunan berasaskan bajet tahunan.

Mengenai tanggapan bahawa pentadbiran beliau dilihat agak perlahan dari segi pelaksanaan pembangunan fizikal negeri jelasnya, ia kerana semua perancangan perlu berdasarkan bajet.
Ahmad Said memberitahu bayaran keseluruhan yang akan diterima tahun ini belum dapat dipastikan.

Apapun, bayaran bagi bulan September ini tidak tahu lagi berapa, katanya semalam.

HARGA PETROL NAIK KEPADA RM1.90?

Posted in Minyak, petrol, US on January 5, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kerajaan menimbang untuk menaikkan atau menurunkan harga minyak pada mesyuarat Kabinet, lusa.

Kerajaan mungkin menaikkan harga petrol kepada RM1.90 seliter, jika harga minyak mentah dunia mencecah AS$50 (RM175) setong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata Disember lalu, purata harga minyak mentah masih di sekitar paras AS$40 setong sekali gus membolehkan rakyat negara ini menikmati harga petrol RM1.80 seliter termasuk cukai RM0.58 sen.

Katanya, jika harga minyak mentah dunia terus mencatatkan peningkatan lebih AS$44 setong, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol sebaliknya, mengurangkan cukai yang dikenakan kepada pengguna.

“Ini bermakna jika harga minyak terus meningkat, cukai yang kerajaan kenakan kepada pengguna kira-kira 55 sen seliter (ketika ini), akan dikurangkan kepada 50 sen dan seterusnya, bagi menampung kenaikan harga minyak mentah dan mengekalkan harga petrol RM1.80 seliter.

“Apabila harga minyak dunia mencecah dan melepasi AS$50, kerajaan tidak dapat mengenakan cukai, baru harga minyak akan dinaikkan semula kepada RM1.90 seliter.

“Pada peringkat itu, kerajaan tidak mengenakan cukai dan tidak memberi subsidi kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemantapan Jati Diri anjuran Puteri Umno Johor Bahru, di Dewan Kampung Melayu dipetik Berita Harian hari ini.

Katanya, jika harga minyak dunia mencecah AS$83 setong, kerajaan perlu memberikan subsidi sebanyak 30 sen kepada pengguna supaya kekal pada RM1.90 seliter.

Beliau berkata demikian menjawab kepada soalan wartawan mengenai kemungkinan penurunan harga minyak dalam tempoh terdekat.

Shahrir berkata, kementerian akan menimbang untuk menaikkan atau menurunkan harga minyak pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

“Jadi perkara ini harus dipertimbangkan kerana sekiranya kerajaan turun harga lagi esok, dan seterusnya dinaikkan kembali pada pertengahan bulan, rakyat tidak akan suka.

“Sebaliknya sebarang kenaikan atau penurunan harga petrol perlu dilihat dengan lebih teliti bagi kebaikan semua pihak,” katanya.

ERTI KERJASAMA ERAT KERAJAAN PUSAT, TERENGGANU

Posted in Minyak, royalti on December 16, 2008 by Hambali Abd Latiff

Hubungan erat antara Kerajaan Pusat dan Terengganu tidak dapat dinafikan sesiapa, malah tradisi ini cukup menyerlah ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.

Kini pada era Datuk Ahmad Said, tradisi itu diperkukuhkan melalui hubungan dengan Timbalan Perdana Menteri (bakal Perdana Menteri), Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ini dibuktikan dengan dua langkah awal iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan royalti minyak.

Kerajaan Pusat secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Najib berkata, Mesyuarat Kabinet Rabu lalu menyifatkan pesetujuan itu menggambarkan kerjasama erat kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu bagi menjamin masa depan rakyat negeri berkenaan.

Najib berkata pada 13 Disember lalu, pada prinsipnya, cadangan ini telah pun diluluskan oleh jemaah menteri.

TIA adalah tindakan bersejarah bagi Kerajaan Terengganu kerana ia belum dilakukan negeri lain apabila dilaporkan akan menubuhkan TIA dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Matlamatnya ialah menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.
Terengganu kini mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia, iaitu 6.5 peratus.
Bagi menjamin fungsinya bergerak untuk tujuan jangka panjang, TIA akan melabur semula keuntungan untuk mendapatkan pertumbuhan lebih tinggi.
Dividen akan diumumkan dan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri serta rakan pelaburnya.
Selain itu, Terengganu juga sudah diberikan bayaran royalti dan cek bayaran royalti minyak berjumlah RM408.6 juta sudah diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Penyerahan turut membabitkan Najib dan duit royalti ini penting untuk Terengganu bagi memacukan pembangunan yang sesetengahnya adalah pendekatan baru yang diperkenalkan oleh Ahmad Said.

Dalam konteks royalti, menurut Ahmad Said, sejumlah RM6.2 bilion wang royalti sudah disalurkan kepada akaun kerajaan negeri selepas Kerajaan Pusat menyerahkan semula pengurusan royalti minyak negeri yang sebelum ini dikenali sebagai Dana Khas Persekutuan dan Wang Ihsan.

Jumlah itu termasuk RM408.6 juta diserahkan oleh Najib, pada majlis khas yang diadakan di Stadium Negeri, Sabtu lalu.

Kerajaan Terengganu sebenarnya masih menunggu senarai perbelanjaan lengkap wang royalti kerajaan Terengganu yang sudah digunakan Kerajaan Pusat.

“Setakat ini, jumlah perbelanjaan wang royalti minyak Terengganu yang disahkan sudah digunakan kerajaan Pusat adalah RM700 juta yang digunakan bagi membiayai projek perumahan yang dibangunkan SPNB (Syarikat Perumahan Negara Bhd), manakala RM800 juta lagi dibelanjakan untuk program pembangunan di negeri lain.

“Sebanyak RM1.5 bilion ini akan dituntut semula kerajaan negeri termasuk pelbagai perbelanjaan lain yang belum disahkan Kementerian Kewangan,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu kelmarin.

Ahmad berkata, kerajaan negeri hanya dapat membuat tuntutan pemulangan baki wang royalti yang digunakan Kerajaan Pusat sesudah butiran senarai perbelanjaan diperoleh dan rundingan akhir dilaksanakan.

“Itulah sebabnya proses saman menyaman antara Terengganu dan kerajaan Pusat masih diteruskan. Ketika ini beberapa rundingan masih berjalan dan saman yang dikemukakan kerajaan negeri juga belum ditarik balik,” katanya.

Dan kelmarin, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM1.799 bilion sebagai anggaran Bajet 2009 untuk menampung pelbagai perbelanjaan termasuk membangunkan negeri ini dengan tumpuan untuk mempersiapkan diri bagi mengharungi krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Menurut laporan Utusan Malaysia, penyediaan belanjawan yang besar itu semata-mata untuk menjamin pelaksanaan projek yang boleh memberi impak besar serta dapat memberi faedah langsung kepada rakyat selain cuba untuk mengimbangi kesan kemelesetan ekonomi.

Walaupun dunia dijangka menghadapi zaman sukar namun kerajaan negeri tidak mengurangkan belanjawan sekalipun pungutan hasil akan menjadi semakin sukar.
”Peruntukan pembangunan, kita cadangkan sebanyak RM900 juta dan bajet pengurusan RM924 juta.

”Perbelanjaan pembangunan akan mengaktifkan kitaran ekonomi dan dapat mewujudkan rantaian ekonomi yang boleh meredakan keadaan. Dengan adanya peruntukan projek-projek kecil akan memastikan kontraktor kecil tidak gulung tikar dan usahawan kecil terus mendapat tempahan,” kata Ahmad ketika membentangkan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri kelmarin.

Anggaran bajet tahun depan meningkat berbanding RM1.673 bilion tahun ini bertujuan memastikan segala projek pembangunan lebih menjurus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat berjalan lebih lancar.

Katanya, daripada angka tersebut sebanyak RM43.02 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan manakala RM1.756 bilion Perbelanjaan Bekalan.
Menurutnya, dalam Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM219.47 juta adalah untuk Emolumen, perkhidmatan dan bekalan (RM155.69 juta), aset (RM42.04 juta),
pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM1.338 bilion) dan RM1.16 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

Bagi kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula telah mencatat defisit RM79.16 juta pada 31 Disember 2007 berbanding baki sebanyak RM154.12 juta pada tahun 2006.

Kedudukan Kumpulan Wang Bekalan Air juga sudah bertambah sebanyak RM7.92 juta kepada RM134.72 juta pada 31 Disember 2007, dengan peningkatan sebanyak 5.99 peratus dari RM127.10 juta pada tahun sebelumnya.

Ahmad Said berkata, walaupun ketidaktentuan ekonomi dunia dan harga minyak mentah belum lagi stabil, kita perlu merancang dan membuat anggaran sebaik mungkin.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang jelas pada waktu ini adalah dianggarkan Kerajaan Negeri dapat memungut sebanyak RM1.799 bilion.

BUATLAH KEPUTUSAN BIJAK HARGA PETROL, DIESEL BERSUBSIDI NELAYAN

Posted in Minyak, Subsidiari on December 16, 2008 by Hambali Abd Latiff

Kenapa lambat bertindak? Kajian demi kajian?

Kenapa sampai ada demonstrasi baru mahu mengkaji untuk turunkan harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan?

Hari ini harga runcit petrol dan diesel dikurangkan sebanyak 10 sen seliter bermakna harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter; petrol RON92 daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter dan diesel daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Pada 2 Disember lalu, harga petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

Juga, kenapa kerajaan tidak boleh menurunkan harga diesel dan petrol bersubsidi kepada RM1 seperti didesak oleh nelayan, sebaliknya harga baru ialah RM1.30 sen?

Apa rasionalnya?

Yang peliknya Kementerian Pertanian dan Asas Tani membuat kenyataan bercanggah apabila sekali tidak mahu melayan tuntutan supaya harga diesel subsidi menjadi RM1 dan beberapa jam selepas itu, melalui satu kenyataan Menterinya, mengatakan kerajaan akan mengkaji permintaan berkenaan.

Beberapa hari lalu, kira-kira 20,000 nelayan menyertai boikot terbesar tidak ke laut bagi mendesak kerajaan menurunkan harga diesel kepada RM1.

Nelayan membuat tuntutan itu kerana harga diesel tahun ini telah turun sebanyak enam kali, tetapi nelayan masih membayar harga yang sama iaitu RM1.43 seliter.

Harga diesel di pasaran sekarang dijual RM1.80 seliter.

Sin Chew Online melaporkan, boikot membabitkan 5,000 bot itu akan mengurangkan separuh bekalan ikan negara.

Boikot adalah anjuran Persatuan Nelayan Selangor dan Perak turut disertai nelayan-nelayan dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang dan Sarawak.

Selasa lalu, 143 bot di Kota Kinabalu enggan turun ke laut bagi membuat desakan yang sama.

Nelayan-nelayan di Sabah mendakwa mereka mengalami kerugian akibat harga diesel dan hasil tangkapan ikan merosot.

Dua pemilik kapal berkenaan Cheong Eng Tiang dan Mu Ven Kong dilaporkan berkata mereka mengalami kerugian antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan sejak enam bulan lepas.

Akhir bulan lepas, anggota parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung empat tuntutan nelayan.

Usul itu bagaimanapun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan.

Selain meminta kerajaan menurunkan harga minyak subsidi kepada RM1.00 seliter, 20,000 nelayan itu mendesak kerajaan mengurangkan pencerobohan nelayan asing, menyegerakan elaun sara hidup RM200 sebulan dan membuka Zon A dan Zon B perikanan kepada nelayan asing.

Reaksi kepada tunjuk perasaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan Sabtu lalu, harga diesel dan petrol bersubsidi ditunkan 13 sen kepada RM1.30 seliter mulai hari ini tetapi ada nelayan pukat tunda yang tidak berpuas hati dan menuntut supaya ia diturunkan lagi kepada RM1 seliter.

Bagaimanapun, penurunan ini jelas tidak setara yang didesak oleh nelayan supaya harga diesel dan petrol bersubsidi diturunkan kepada RM1.

Belum ada jawapan atau penjelasan konkrit kenapa harga bahan ini masih 30 sen lebih tinggi daripada dituntut.

Setakat ini jawapan mudah ialah pelaksanaan harga baru itu menyebabkan kerajaan akan menanggung tambahan perbelanjaan kira-kira RM197 juta setahun.

Mustapa berkata, kerajaan tidak mungkin menurunkan harga petrol dan diesel bersubsidi kepada RM1 seliter seperti tuntutan 20,000 nelayan yang boikot ke laut mulai Jumaat lepas.

Katanya, selain penambahan kuota diesel sebanyak 4,000 liter sebulan sejak awal bulan ini, kerajaan turut menawarkan insentif pendaratan sejak Jun lepas sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram tangkapan bagi pemilik-pemilik kapal tunda serta elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bagi anak-anak kapal.

Beliau berkata penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar antara RM260 sehingga RM4,160 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vessel.

“Penjimatan bagi vessel pukat tradisi Zon A (kawasan operasi 0 hingga lima batu nautika dari pantai) adalah sebanyak RM260 sebulan, vessel pukat tunda Zon B (lima hingga 12 batu nautika) sebanyak RM2,600 sebulan.

“Vessel pukat tunda Zon C (12 hingga 30 batu nautika) sebanyak RM3,120 sebulan dan vessel pukat tunda Zon C2 (lebih 30 batu nautika) sebanyak RM4,160 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mustapa berkata kerajaan juga pada 3 November lepas telah menambah kuota diesel dan petrol bersubsidi daripada 106 juta liter sebulan kepada 126 juta liter sebulan bagi menampung kegunaan diesel dan petrol akibat penambahan lesen vessel baru terutama lesen sampan sebanyak 15,900 buah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

“Berikutan permohonan daripada pemilik vessel pukat tunda, kerajaan pada tarikh yang sama telah meluluskan tambahan kuota sebanyak 4,000 liter sebulan bagi setiap vessel pukat tunda Zon C dan C2,” katanya.

Beliau berkata penurunan harga serta tambahan kuota diesel dan petrol bersubsidi itu sewajarnya memberi pulangan tambahan kepada nelayan daripada segi pengurangan kos dan peningkatan pendaratan ikan.

“Nak puaskan hati semua pihak memang mustahil,” katanya selepas perhimpunan bulanan kementerian itu kelmarin, lapor Bernama.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengalah dan membuat pusingan 180 darjah apabila berjanji akan mengemukakan cadangan mengenai penurunan harga diesel subsidi kepada Kabinet Jumaat ini.

Mustapa menjelaskan, cadangan itu adalah sejajar dengan permintaan nelayan di seluruh negara yang mahukan harga diesel subsidi diturunkan berikutan penurunan harga petrol dan diesel buat kali kelima baru-baru ini.

Beliau berkata, kementerian telah menyiapkan kertas kerja mengenai cadangan penurunan harga diesel subsidi yang disifatkan akan dapat melegakan nelayan seluruh negara.

”Cadangan ini diambil hasil daripada maklum balas yang diperoleh selepas bertemu dengan persatuan nelayan dan nelayan sebelum ini. Memang masalah subsidi diesel sering dibangkitkan dan kita sudah ada jalan penyelesaian yang akan dibawa kepada kabinet Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Interaksi Nelayan Bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semalam.

Mustapa berkata, isu mengenai diesel adalah perkara yang rumit dan memerlukan kerajaan memberikan perhatian yang serius. Ini kerana kementeriannya terpaksa mendapat pandangan daripada Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum cadangan itu dikemukakan kepada Kabinet.

Mustapa berkata jika dilihat daripada segi logik, dan daripada maklumat tidak rasmi, nelayan-nelayan tersebut sebenarnya turut memperoleh pendapatan yang besar.

“Peruntukan untuk insentif pendaratan adalah RM130 juta setahun, dan jangkaan tuntutan adalah RM11 juta sebulan tapi yang dituntut cuma RM2.9 juta saja.

Bagi Mustapa, ini bermakna mereka juga mendapat pendapatan yang besar kerana mereka tidak memerlukan insentif ini, (malah) ada yang takut buat pengisytiharan, takut pihak lain mendapat rahsia kejayaan mereka.

Selain itu, harga ikan pun dah naik secara purata RM1 sekilogram berbanding tahun lalu.

“Ini membuktikan mereka tidaklah susah!” tegas Mustapa.

PETROL DAN DIESEL TURUN 10 SEN LAGI ESOK

Posted in diesel, Minyak, petrol on December 15, 2008 by Hambali Abd Latiff

Syukur Alhamudulilah.

Kerajaan mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuatkuasa esok 16 Disember.

Dengan itu harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter; petrol RON92 daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter dan diesel daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Ini adalah kali ketujuh kerajaan menurunkan harga minyak sejak 2 Disember lalu iaitu pada 23 Ogos, 24 September, 15 Oktober, 1 November dan 18 November 2008.

Pada 2 Disember lalu, harga petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

Pada 17 November, kerajaan mengumumkan harga minyak diturunkan sebanyak 15 sen berkuat 18 November dengan harga petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Pada 14 Disember lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad membayangkan harga runcit minyak petrol dan diesel di negara ini akan diturunkan lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, buat masa ini masih terdapat ruang untuk harga petrol dan diesel diturunkan sedikit lagi berikutan penurunan berterusan harga bahan api itu di pasaran global.

Menurutnya, pada kebiasaannya kerajaan mengadakan semakan terhadap harga bahan api itu pada awal atau pertengahan bulan sebelum membuat sebarang pengumuman.