Archive for the LARUT Category

TAHNIAH UNTUK SEMUA DI UMNO LARUT

Posted in LARUT, UMNO on October 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

Bukan untuk Raja Ahmad sahaja, tetapi juga Hamzah Zainuddin dan juga Mohd Daud.

Paling penting, Zamry sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak berjaya mengatasi ‘perang Larut’ hampir 11 bulan.

Padanlah Raja Ahmad berdiam diri sahaja dan tidak lagi bersuara mengenai ‘masalah bahagiannya’. Rupa-rupanya semua sudah beres!

RAJA Ahmad (tengah) diapit Hamzah (kanan) dan Mohd Daud (kiri) berkompromi demi parti sambil disaksikan Muhyiddin dan Zambry pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut di Selama, kelmarin.

Kalau dari awal begini kan bagus. Tidak adalah kemelut dan ibu pejabat UMNO pun tidak pening.

Persidangan perwakilan bahagian itu tertangguh beberapa kali selepas berlakunya perbalahan antara Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dan Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga Ahli Parlimen Larut yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan.

Mesyuarat yang mulanya dijadualkan 2 November tahun lalu ditangguhkan beberapa kali selepas Raja Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah mengumumkan Umno Larut menolak pencalonan Hamzah atas alasan teknikal.

Hamzah bukan sekadar Ahli Parlimen tetapi juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Jadi eloklah kalau beliau tidak ‘merebut’ Ketua Bahagian. Biarkan sahaja Raja Ahmad menjadi Ketua Bahagian Larut.

Lagipun, dia menyokong dengan laluan mudah kepada Hamzah untuk bertanding sebagai ahli parlimen. Tiada sabotaj pun seperti di sesetengah bahagian.

Sebelum ini Raja Ahmad adalah ahli Parlimen tetapi diturunkan ke kerusi DUN Titi Gajah.

Saya ada menulis beberapa siri rencana ketika kemelut bahagian antara Oktober dan Disember tahun lalu bersama-sama dengan beberapa bahagian lain sebelum pemilihan yang lalu, termasuk bahagian Tanah Merah Kelantan, Seputeh Wilayah Persekutuan dan juga Bahagian Tenom di Sabah.

Kesian juga kepada perwakilian UMNO Larut pada perhimpunan tahun lalu apabila datang sebagai pemerhati dan tidak pun ada tempat untuk mereka di Dewan Merdeka.

Namun Alhamudulliah, kini segalanya-galanya kembali asal dan diharapkan tiga pihak yang ‘bersengketa’ sebelum ini akan melupakan segala-galanya demi UMNO.

Kepada Hamzah, mahu direbutkan apa lagi Ketua bahagian kerana selain menjadi Ahli Parlimen, beliau sibuk dengan tugasnya sebagai Pengerusi Felcra.

Dengan berlangsungnya persidangan perwakilan Umno Bahagian berkenaan selepas tertangguh hampir setahun berikutan kerana kemelut kelayakan calon yang ingin bertanding, kini menjadikan kesemua barisan jawatankuasanya kekal tanpa bertanding.

Mesyuarat perwakilan itu berlangsung dalam suasana mesra dan menyaksikan semua jawatan tidak ditandingi.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana akhirnya Umno Bahagian Larut dapat mengadakan sidangnya setelah tertangguh beberapa kali kerana kemelut yang dihadapi,” kata Raja Ahmad.

Bahagian Larut sepatutnya berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, walaupun baru dilantik beberapa bulan lalu tetapi berjaya membuka ruang kepada 385 perwakilan bahagian itu bermesyuarat dalam suasana mesra.

Zambry yang diberi tanggungjawab mencari penyelesaian mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Timbalan Ketua bahagian itu, Datuk Mohd Daud Yusof.

Kumpulan itu akhirnya berjaya meyakinkan Hamzah untuk berkompromi dan menarik diri daripada bertanding, sekali gus memberi laluan kepada Raja Ahmad kekal ketua bahagian, manakala Mohd Daud dengan jawatan yang disandangnya.

Penyelesaian kepada kemelut ini bermakna semua 191 bahagian UMNO sudah bermesyuarat.
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan ahli Umno Larut serta menyifatkan semua pihak menunjukkan kematangan, tolak ansur selain sayangkan parti sehingga membolehkan Umno bahagian itu mengadakan mesyuarat.

Kemampuan bahagian itu mencapai kata sepakat dan berkompromi juga menunjukkan ahli Umno mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah dalaman tanpa membabitkan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

BAHAGIAN LARUT YANG MEMBIMBANGKAN

Posted in gantung, LARUT, Pemilihan UMNO on December 24, 2008 by Hambali Abd Latiff

Dua laporan Berita Harian cukup menarik untuk direnungi.

Kedua-duanya membabitkan Ketua UMNO Bahagian. Seorang – Datuk Zahar Hashim – sudah meninggalkan UMNO dan seorang lagi itu Datuk Raja Ahmad Zainuddin juga mungkin meninggalkan UMNO.

Pertama, laporan berita harian online bertajuk “Saya bukan pengkhianat kepada Umno: Zahar Hashim”. Laporan memetik bekas Ketua Umno bahagian Petaling Jaya, Datuk Zahar Hashim berkata beliau bukan pengkhianat kepada Umno apabila bertindak menyertai Pas semalam.

Sebaliknya, beliau menuduh Umno yang mengkhianat beliau biarpun selepas 20 tahun bersama menyumbang kepada parti.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai keputusannya menyertai parti pembangkang itu hari ini.

Tiada isu lain berkait Abu Zahar iaitu isu kritikan beliau terhadap pemimpin tertinggi UMNO. Beliau turut menimbulkan kontroversi mengenai pembelian helikopter.
Laporan Harakahdaily menyebut, dalam masa yang sama Zahar turut ‘mewakafkan’ (infak) pejabat Bahagian Umno PJ Selatan kepada PAS kawasan sama. Difahamkan pejabat tersebut adalah milik beliau sendiri.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Ustaz Nasharuddin mengalu-alukan kesudian beliau menyertai PAS sekaligus menghargai Zahar untuk sama-sama membantu kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu bermula 5 sehingga 17 Januari depan.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.-azm

Tajuk kedua ialah “AJK Bahagian Larut letak jawatan jika Hamzah tanding”.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut, UMNO Bahagian Larut yang sehingga ini belum menjalankan mesyuaratnya terus bergolak apabila sebahagian besar ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian itu dikatakan akan meletak jawatan beramai-ramai selepas tidak berpuas hati Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan ketua bahagian itu.

Mereka dikatakan akan berbuat demikian sebagai tanda bantahan selepas Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dibenarkan bertanding merebut jawatan itu oleh Umno Pusat walaupun hanya menjadi ahli di bahagian itu pada April lalu.

Mengikut pekeliling yang dikeluarkan ibu pejabat parti bahawa seseorang itu tidak boleh bertanding jika menjadi ahli selepas 31 Disember 2007 di sesuatu cawangan, namun Hamzah hanya menjadi ahli di sebuah cawangan di Bahagian Larut pada April lalu.
Isu ini semakin rumit kerana selain rasa kecewa, tindakan sebahagian besar ahli jawatankuasa bahagian itu berbuat demikian diktakan kerana tidak mahu perkara itu menjadi kes contoh.

Ia akan menjadi precedent di masa hadapan yang akan membolehkan perkara yang sama dilakukan oleh pihak lain pada masa depan tanpa kesudahan.

Sumber terbabit melahirkan rasa bimbang pergolakan yang berlaku serta tindakan yang dibuat oleh ahli jawatan kuasa berkenaan akan menjadi lebih buruk termasuk keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan keadaan yang berlaku.

“Jika kebenaran (bertanding) itu diberikan, sudah pasti ia menjadi amalan tidak sihat kepada parti kerana sesiapa saja dengan mudah akan menjadi ahli di sesuatu cawangan dan kemudian bertanding merebut apa juga jawatan yang mereka mahu,” katanya sumber itu.

Posting saya sebelum ini banyak memperkatakan isu Bahagian Larut ini dan kini wujud pula cakap-cakap kononnya Hamzah mewakili ‘team Datuk Seri Abdullah Ahmad Badaw’i cuba menjatuhkan Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar.

Hamzah juga bertanding Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Puak-puak yang menyokong Hamzah dikatakan membawa berita bahawa Raja Ahmad bukan sahaja sudah ‘diterajang’ oleh Abdullah apabila tidak melantik beliau sebagai orang penting kerajaan walaupun menjadi Pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasionakl (BNBBC) sejak Datuk Shahril Samad melepaskannya.

Shahril yang kemudiannya mengatakan tidak berminat sebarang jawatan akhirnya dilantik menjadi Menteri dan kini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ketika BNBBC terumbang ambing, Perdana Menteri dikatakan bersetuju dengan pelantikan Raja Ahmad tetapi apabila pilihan raya umum lalu, Raja Ahmad dihantar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah dan melepaskan Parlimen Larut kepada Hamzah.

Penyokong Hamzah mengatakan Raja Ahmad tidak mendapat sokongan Abdullah dengan tindakan menggugutkan beliau sebagai Ahli Parlimen, Raja Ahmad berada dalam kedudukan yang ‘payah’.

Pada ketika Raja Ahmad yang menjadi ahli parlimen sejak 1999 dan kemudian Pemangku Presiden BBC digugurkan bertanding Parlimen, mereka yang dikatakan masih baru menjadi Ahli Parlimen tiba-tiba menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Lebih memburukkan keadaan, Raja Ahmad yang ‘membuka jalan’ untuk Hamzah tercampak dan kini Hamzah mahu mencabarnya pula.

Bagi Raja Ahmad, sudahlah ‘khidmatnya sebagai pemangku Presiden BBC tidak dihargai’ kini jawatan yang dipegangnya dicabar pula ‘orang Abdullah’.

Mainan politik apakah ini?

Persoalannya, benarkah Abdullah menyokong Hamzah untuk menjadi Ketua Bahagian atau ia kerana angkara pegawai di Ibu Pejabat UMNO yang dikatakan merancang untuk Hamzah?

Berita yang tidak sedap didengar dan contohnya seperti yang berlaku kepada Abu Zahar Hashim ialah jika Hamzah dibenarkan bertanding di Larut, mungkinkah Raja Ahmad juga akan keluar parti?

Pemimpin tertinggi UMNO nampak relaks dengan perkembangan ini. Apakah mereka gembira jika ada rakan-rakan yang dikenakan hukuman menyertai parti lain, khususnya PAS?
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula dikatakan ‘lepas tangan’ dan tidak menyelesaikan masalah Larut yang kini berlarutan.

Jika Ketua UMNO bahagian Petaling Jaya Selatan menyertai PAS dengan membawa bersama 28 ketua cawangan UMNO dalam bahagian itu apakah Raja Ahmad tidak ada penyokong?
Apakah Ibu Pejabat UMNO boleh mengatakan ‘kalau nak pergi pergilah’ begitu sahaja?
Apa kata Abdullah dan Najib?

Tidakkah ada cara perundingan terbaik menyelesaikan kekusutan Abu Zahar sebelum ini dan kini Raja Ahmad?

Apakah kerana Hamzah, peranan Raja Ahmad dan jawatan kuasa bahagian meletak jawatan sebagai perkara kecil?

Tidakkah mereka ini turut memenangkan BN pada pilihan raya lalu – 1 Kerusi Parlimen dan 3 kerusi negeri untuk BN?

Sanggupkah UMNO kehilangan lagi pemimpin bahagian dan ADUNnya ketika UMNO sedang berdepan dengan krisis hidup atau mati?

UMNO TANAH MERAH YANG ‘BERDARAH’

Posted in LARUT, UMNO on November 20, 2008 by Hambali Abd Latiff

Bahagian Pertama

Apakah tindakan memecat keahlian Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim semalam boleh menjernihkan Bahagian UMNO Tanah Merah?
Juga apakah tindakan itu mampu menjamin UMNO menang di Tanah Merah dalam pilihan raya umum akan datang?

Malam semalam saya menerima sms daripada seseorang (mungkin dari Tanah Merah) yang berkata: “Apa yang dilakukan oleh seorang AJK Bahagian Tanah Merah adalah ‘wake-up’ call’ kepada kepimpinan UMNO Pusat, kalau scenario kejadian di Tanah Merah ini tidak didengar dan masih lagi lena ia akan melengkapkan syarat kejatuhan UMNO seluruh negara.Sebagai ahli jawatankuasa yang terpanggil dan mempunyai obligasi terhadap kekuatan dan keutuhan UMNO. Walaupun beliau sedar beribu risiko dihadapi, namun kecintaan kepada UMNO beliau sanggup membakar diri untuk member cahaya harapan kepada UMNO yang nyata saban hari semakin gelap. Apakah peristiwa ‘Singapura dilanggar Todak’ akan berulang. Apakah kita yang waras ini mahu bersekongkol dengan para ‘sibebal yang tidak sabar’ berleluasa dan ‘bermaharajalela dalam UMNO. Tepuk dada tanya selera.”

Saya cuba membelek-belak balik laporan akhbar mengenai kes berkenaan. Mahu membaca semula kejadian yang berlaku dan bagaimana ia berlaku.

Persoalan 1: Benarkah Abdul Rahman membawa kes ke mahkamah kerana meminta mahkamah menghalang mesyuarat bahagian atau beliau ‘meminta mahkamah menghalang 32 ahli UMNO bahagian itu menghadiri mesyuarat berkenaan”.

Seingatan saya Abdul Rahman mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri mesyuarat bahagian tersebut, bukan menghalang mesyuarat dilangsungkan.

Ini dua perkara yang sangat-sangat berbeza.

Persoalan 2: Jika Abdul Rahman dihukum kerana Ibu Pejabat UMNO melalui peguamnya membela hanya 32 ahli UMNO di Tanah Merah, bagaimana dengan ahli-ahli lain dalam Bahagian UMNO Tanah Merah. Apakah mereka tidak wajar mendapat ‘layanan istimewa’ sedemikian? Apa istimewanya ’32 ahli UMNO berkenaan”?

Persoalan 3: Siapa pula yang mengumumkan penagguhan mesyuarat perwakilan UMNO Tanah Merah tempoh hari, apakah ia dibuat oleh Pengerusi mesyuarat atau Peguam UMNO? Bolehkah peguam UMNO menghentikan mesyuarat dan atas alasan perintah mahkamah?

Persoalan 4: Apakah kes Abdul Rahman ini dilakukan sebagai tindakan awal atau selepas gagal mendapat ‘keadilan sewajarnya’ daripada Ibu Pejabat UMNO.

Persoalan 5: Apakah ada surat tunjuk sebab kepada Abdul Rahman dan kenapa beliau tidak boleh dipecat keanggotaan. Apakah Abdul Rahman mengabaikan surat itu?

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang bersidang kelmarin juga memutuskan Abdul Rahman tidak boleh merayu untuk menganggotai semula UMNO.

‘‘Kita telah menggugurkan keahlian beliau pada 4 November lepas kerana tindakannya membawa masalah parti ke mahkamah. Ia berkuat kuasa serta-merta,’’ katanya dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kata Tengku Adnan, Abdul Rahman dipecat berikutan tindakannya mengemukakan saman meminta mahkamah menghalang mesyuarat bahagian itu diadakan baru-baru ini.

Pada 8 November lalu, persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO.

Ini ekoran Abdul Rahman yang mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang bahagian itu meneruskan persidangan.

Saya belum mahu mengulas lanjut, cuma mengemukakan pentanyaan-pertanyaan yang mungkin boleh direnungkan bersama.

Seperti saya katakana sebelum ini, Bahagian UMNO Larut dan Tanah Merah boleh menjadi kajian kes penting untuk memantapkan UMNO.

(Tunggu Bahagian Kedua)

LARUT YANG SEMAKIN MELARUT-LARUT

Posted in LARUT, Raja Ahmad, UMNO on November 20, 2008 by Hambali Abd Latiff

Saya ‘kembali ke Larut’ apabila terpesona dengan kata-kata Agendadaily bahawa kes ini mungkin kecil dalam kontek politik nasional tetapi ada pemerhati politik yang menilai ia satu kes contoh dan menarik untuk dilihat bagaimana ia tanganinya oleh pihak atasan UMNO.

Membaca analisis Agendadaily mengenai ‘UMNO Bahagian Larut….yang berlarutan’ pada 16 November lalu, jelas sekali fakta yang dikemukakan seimbang.

Sebahagian besar fakta-fakta yang diperkatakan oleh Agendadaily itu sebenarnya sudah saya sentuh melalui posting ‘Larut Yang Berlarutan’ pada 9 November 2008 dan kemudian melalui analisis ‘tiga bahagian’ bermula Selasa, 11 November dan Rabu 12 November 2008 bertajuk “Mata Tertumpu kepada JK Pengurusan’.

Sehingga kini, mesyuarat UMNO Bahagian Larut masih ditangguhkan kerana pertikaian kedudukan Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen kawasan itu sama ada beliau layak bertanding atau tidak. Jawatan Ketua UMNO Bahagian yang kini disandang oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin.

Hamzah ialah calon ‘ payung terjun’ yakni orang luar yang bertanding kerusi parlimen kawasan itu mengambil alih tempat Raja Ahmad yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah di situ.

Persoalannya bukan isu ‘orang luar’ di sini kerana Hamzah diterima baik oleh kepimpinan UMNO Bahagian Larut yang turut memainkan peranan menjamin kemenangannya dan Barisan Nasional.

Seperti yang sudah banyak dilaporkan mengenainya Hamzah yang sebelum ini mengetuai UMNO Bahagian Ipoh Barat telah menukar keahliannya ke sebuah cawangan di UMNO Bahagian Larut iaitu Sungai Bayur pada bulan April lalu.

Ada suara-suara mengatakan Hamzah kini mencanang ke seluruh bahagian itu dan di Perak, bahawa beliau datang ke Larut pada bulan Jun 2008.

Kenapa tidak April dan mahu Jun pula? Mesti ada sebab tersendiri bagi Hamzah atau orang-orangnya!

Selain fakta disebutkan oleh saya dan Agendadaily, perkembangan terbaru khususnya perkara-perkara berikut menarik untuk diteliti, khususnya berkaitan kenyataan-kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Raja Ahmad dan Hamzah sendiri.

1. Apa maksud Setiausaha Agung UMNO apabila mengatakan ‘Bukan kerana kami kawan baik”.

Pelik sedikit apabila tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan keputusan beliau membenarkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut bukan dibuat atas dasar beliau adalah kawan baiknya. (Utusan Malaysia, 15 November 2008 ).

Kata Tengku Adnan: ”Ada orang kata dia (Hamzah) kawan baik saya sedangkan bukan dia seorang sahaja yang boleh bertanding.

Dia boleh (bertanding) kerana dia tidak menggunakan hak dia di cawangan dan bahagian yang lama tetapi orang tidak mahu dengar peraturan. Kenapa takut pada bayang-bayang?” soalnya.
Persoalannya, siapa yang mengatakan Tengku Adnan kawan baik dengan Hamzah? Tiada kenyataan dibuat oleh mana-mana pihak pun yang mengatakan mereka berdua kawan baik. Tengku Adnan membuat kenyataan mungkin berdasarkan hearsay sahaja.

Dan memangpun Tengku Adnan perlu menjadi ‘kawan baik’ dengan semua Ketua Bahagian, termasuk Raja Ahmad juga kerana kedudukannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Dengan ‘menafikan’ bukan kerana kawan baik, Tengku Adnan mengundang persoalan lain yang berbagai dan diperkatakan dalam konteks yang berbagai. Tahulah orang UMNO – yang sejengkal menjadi satu hasta.

Dan siapa pula Tengku Adnan maksudkan dengan “tidak mahu dengar peraturan” dan “takut pada baying-bayang”? Bukankah Raja Ahmad?

2. Tengku Adnan memberikan alasan Hamzah boleh bertanding kerana keputusan tersebut adalah berdasarkan peraturan (Perlembagaan Umno mengikut Fasal 6 iaitu berkaitan tanggungjawab dan hak seseorang ahli)sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling, selain bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang, manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila bertukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

Kenyataan Setiausaha Agung itu menarik untuk dibandingkan dengan kes Larut.

a. Kes Kulim/Bandar Baru – Menurut laporan Utusan Malaysia, 11 Ogos 2008, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu selepas menerima pencalonan daripada 72 cawangan UMNO yang bersidang dalam bahagian berkenaan. Abdul Aziz menerima pencalonan selepas abangnya yang juga penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengumumkan tidak mempertahankan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada muka baru. Ini bermakna ada kekosongan.(Abdul Aziz merupakan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil yang kemudiannya tewas bertanding bagi kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu pada pilihan raya umum lepas);

b. Kes UMNO Bahagian Sik – Menurut laporan Utusan Malaysia, 23 Julai 2008, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman mengumumkan tidak akan mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik, Kedah yang disandang sejak 20 tahun lalu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda dan lebih berwibawa. Ini juga bermakna ada kekosongan.

Utusan Malaysia turut melaporkan, antara calon yang disebut-sebut akan bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Sik ialah Ketua Pemuda Bahagian tersebut, Mohd. Tajuddin Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek selain bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa yang sebelum ini tewas di Parlimen Sik dalam Pilihan Raya Umum ke-12, juga disebut-sebut akan bertanding jawatan tersebut. Pada 9 November lalu Mohd.

Tajudin dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Sik yang baru selepas menewaskan Osman dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 64 undi. Mohd. Tajudin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, meraih 232 undi mengatasi Osman yang hanya mendapat 168 undi, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Othman yang berundur.

c. Bagaimana pula dengan kes Larut?

Laporan Utusan Malaysia, 16 November 2008 menyebut, calon Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Hamzah Zainuddin berkata pergolakan pada peringkat pemilihan bahagian itu mungkin disebabkan individu tertentu berasa terancam dengan kehadirannya selepas berpindah ke bahagian berkenaan. Sebelum itu melaporkan Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata beliau tidak berniat mengancam kedudukan mana-mana pihak dan keputusan bertanding Ketua Bahagian Larut adalah permintaan ahli peringkat akar umbi.

“Saya dah jumpa perwakilan cawangan, mereka mahu saya bertanding… 70 peratus daripada cawangan menyokong keputusan berkenaan,” kata Hamzah.

Walaupun alasannya mengatakan ahli Umno bahagian itu mahukan perubahan tetapi ternyata ia tiada kekosongan seperti dua bahagian yang dirujuk oleh Tengku Adnan.

Ternyata kes yang dirujuk oleh Tengku Adnan di Kulim/Bandar Baru dan Sik berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan UMNO tidak sama dengan Larut kerana Ketua UMNO Bahagian tidak mengosongkan kerusinya atau bersedia melepaskannya.

Tidak mengapa sekiranya perkara itu masih boleh dipertikaikan.

Tetapi bagaimana dengan kenyataan terbaru Raja Ahmad bahawa beliau mempunyai bukti Ahli Parlimen Larut, sudah menggunakan haknya di bahagian lamanya di Ipoh Barat walaupun beliau menjadi ahli di sebuah cawangan di Bahagian Larut.

Raja Ahmad mendakwa, mengikut Fasal 6.3.8 Perlembagaan Umno, seseorang ahli tidak berhak mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam cawangan atau bahagian baru yang disertainya, jika ahli itu menggunakan hak dalam cawangan atau bahagian asal bagi tahun berkenaan.

Menurut Raja Ahmad: “Umno Bahagian Larut sudah menyerahkan laporan dan bukti mengenai perkara itu kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno dalam satu pertemuan pada Selasa lalu (11 November 2008). Kami didapati dia (Hamzah) menggunakan haknya di Ipoh Barat (Bahagian Umno) dan itu yang dipertikaikan…. kita berharap perkara itu akan diselesaikan mengikut Fasal 6.3.8 dan peraturan parti,” katanya.

Menurut Raja Ahmad, kerana itulah Umno Bahagian Larut dalam mesyuarat khasnya 2 November 2008 lalu, menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding merebut jawatan ketua bahagian atas alasan melanggar peraturan keahlian parti, iaitu mesti mendaftar sebagai ahli cawangan sebelum 1 Disember 2007. Ketua Umno Bahagian Larut, Raja Ahmad Zainuddin, berkata Hamzah yang juga bekas Ketua Umno Ipoh Barat dan Ahli Parlimen Larut hanya menjadi ahli di satu daripada 97 cawangan bahagian Larut, April lalu.

3. Kenyataan mengelirukan –Utusan Malaysia, 10 November 2008 melaporkan, Hamzah membuat pengumuman terbuka dengan mendakwa seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut yang mengadakan pertemuan di Bukit Merah mendesak supaya beliau bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian itu.

a. Yang anehnya, menurut laporan sebelum itu, ketika mesyuarat cawangan, Raja Ahmad menerima 28 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya manakala pencabarnya, iaitu timbalannya Datuk Mohamad Daud Yusof mendapat 33 pencalonan. Hamzah dikatakan menerima 22 pencalonan. Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian.

Apabila Hamzah mengatakan dia mendapat sokongan 74 cawangan, dari manakah datangnya angka itu? Kalau campur pencalonan untuk Hamzah sebanyak 22 dan mungkin sokongan daripada penyokong Daud sebanyak 33 cawangan, ia hanya menjadi 55 sahaja. Apakah sokongan untuk Raja Ahmad kini tinggal 9 cawangan sahaja selepas 19 cawangan sudah lari kepada Hamzah? Wallahualam!

b. Raja Ahmad mendakwa pertemuan di Bukit Merah yang dianjurkan oleh Hamzah itu sendiri menyalahi etika pemilihan parti yang tidak membenarkan sebarang pertemuan seumpama itu diadakan menjelang pemilihan jawatan. Katanya, ini lebih-lebih lagi Hamzah sebagai Ahli Majlis tertinggi UMNO.

Dalam soal sama ada Hamzah sebagai melanggar etika, hanya Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pengurusan UMNO sahaja boleh menentukannya.

Apapun dalam konteks Bahagian UMNO Larut ini, ada beberapa kenyataan lain yang bersifat cliché umpamanya oleh Raja Ahmad yang menolak andaian beliau cari pasal kerana gentar hendak berdepan dengan Hamzah dalam pemilihan jawatan itu apabila berkata: “Ini bukan soal pertandingan tetapi soal prinsip melibatkan peraturan parti,”sementara Hamzah pula dengan kenyataannya bahawa beliau setuju untuk bertanding apabila meyakini bahawa majoriti anggota di kawasan Parlimen itu mahukan perubahan dan telah meminta agar beliau bertanding jawatan itu. “Soalnya adakah kemasukan saya ke bahagian Larut dan kemudian bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut mengancam kedudukan sesetengah pihak?,” Tanya beliau.

Cuma yang saya tidak faham ialah kenyataan Tengku Adnan bagaikan seorang doktor politik hebat yang mampu merawat insiden pertelagahan dan pergaduhan selain politik wang pada pemilihan bahagian dengan berkata, UMNO sekarang sedang sakit, parti saya sakit. Katanya: ”Saya akan beri dos yang lebih bagi mengubati bahagian-bahagian yang terbabit. Kalau tidak, kita tidak akan berubah. Kalau kita sakit tetapi ubat yang diberikan tidak mengikut sukatan, macam mana hendak sembuh.”

Jika saya berjumpa dengan doktor politik yang hebat ini saya akan bertanya, apakah boleh kita tegakkan sifat kita sebagai orang Melayu dan Islam – apabila sudah berjanji untuk tidak ‘langgar’ seseorang (maksudkan bertanding menentang) lebih-lebih lagi janji dibuat di hadapan Presiden UMNO dan Tengku Adnan sendiri – kita sewajarnya patuh kepada janji yang kita lafazkan itu. Jika kita engkar jenis manusia apakah kita ini?

(Dalam kenyataannya sebelum ini, Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Ipoh, 21 September lalu. “Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.)

Dalam UMNO hendaknya jangan ada lagi budaya seperti yang dilakukan oleh seseorang terhadap Tun Ghafar Baba pada awal 1990-an iaitu janji tidak melanggarnya untuk jawatan Timbalan Presiden tetapi kemudian menabur pink form berterbangan di Lautan China Selatan hingga ke Sabah untuk meraih kemenangan.

Akhirnya Tun Ghafar membawa diri dan sehingga menutup matanya pemimpin yang banyak berjasa kepada UMNO itu tidak memaafkan perbuatan orang itu.

Budaya buruk itu sewajarnya sudah dibuang jauh-jauh tetapi mungkin masih ada –bekas murid pemimpin berkenaan – dalam UMNO hari ini yang mahu memulakan semula budaya berkenaan!

LARUT YANG BERLARUTAN

Posted in LARUT, Pemilihan UMNO on November 9, 2008 by Hambali Abd Latiff

Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar dikatakan tidak lagi mengharapkan orang penting Ibu Pejabat UMNO mengatasi masalah di bahagiannya.

Beliau sudah tidak yakin Setiausaha Agung UMNO dapat menyelesaikan masalahnya.
Raja Ahmad berharap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Mesyuarat Pengurusan UMNO membantu mengatasi kemelut di Bahagian UMNO Larut yang berlarutan.

Difahamkan, Mesyuarat Pengurusan UMNO akan diadakan Rabu ini.

Oleh kerana masalahnya begitu meruncing Raja Ahmad melihat masalah-masalah di Bahagian UMNO lain umpamanya Bahagian UMNO Tanah Merah dan Tenom juga perlu diselesaikan sebaik-baiknya.

“Saya akan berusaha bertemu Datuk Seri Najib,” katanya.

Ketika merasmikan beberapa mesyuarat perwakilan wanita, pemuda dan puteri semalam, Raja Ahmad menimbulkan tiga cerita yang dua daripadanya pernah diperkatakan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pencari buah keranji dan angsa telur emas melalui blog bekas Perdana Menteri itu.

Cerita ketiga ialah cerita dari Asia Barat bagaimana seekor unta yang akibat kesejukan tidur di luar khemah meminta ikhsan tuannya iaitu mulanya memasukkan kepala sahaja ke dalam khemah tetapi kemudian badan dan akhirnya kakinya pula.

Akhirnya tuannya yang baik budi itu ditolak keluar oleh unta berkenaan tidur dalam kesejukan di luar khemah. Ia ada persamaan dengan perumpamaan ‘Belanda Minta Tanah’.

Sementara di Kuala Kurau semalam, Raja Ahmad berkata keputusan bersama jawatankuasa UMNO Bahagian Larut menolak pencalonan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding jawatan ketua UMNO bahagian itu ternyata tidak disenangi pihak tertentu.
Raja Ahmad berkata, berikutan tindakan itu pada 2 November lalu, banyak surat layang dan kempen memburuk-burukkan beliau dilakukan.

”Orang yang buat surat layang ini pengecut, kalau anak jantan, cakap depan-depan dan bukannya baling batu sembunyi tangan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Larut semalam.

UMNO Bahagian Larut sebelum ini secara sepakat menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian itu setelah mendapati Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibupejabat parti.

Ekoran itu, UMNO Larut memohon penangguhan persidangan perwakilan UMNO bahagian itu yang sepatutnya diadakan esok ke tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian sehingga masalah keahlian Hamzah diselesaikan.

Hamzah diterima baik ketika bertanding sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum lalu di Parlimen Larut dan selepas berpindah dari Bahagian UMNO Ipoh Barat pada April lalu.

Dalam satu posting blog http://kijang-jantan.blogspot.com pada 5 November lalu bertajuk ‘Raja Ahmad Boleh Dikenakan Tindakan’ menyebut bahawa pada 4 November 2008, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor member amaran, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009.

Setiausaha Agung UMNO itu menjelaskan, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah.

RAJA AHMAD BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN?
http://kijang-jantan.blogspot.com
(Wednesday, November 5, 2008)

UMNO Bahagian Larut tiba-tiba menjadi perhatian ramai Ahad lalu apabila ia menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainudin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat untuk bertanding jawatan ketua bahagian itu.

Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata keputusan itu diambil kerana Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut baru menjadi anggota bahagian itu pada April lalu.

Sedangkan pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 digunakan untuk mesyuarat kali ini. “Mesyuarat bahagian yang diadakan kelmarin secara konsensus menolak pencalonan beliau…ini soal keadilan, prinsip,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bahagian itu Ahad lalu.

Raja Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah berkata mesyuarat itu memutuskan untuk memohon penangguhan bagi persidangan perwakilan bahagian itu yang dijadualkan pada Ahad depan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Sebelum UMNO Bahagian Larut mematuhi dan bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.

Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu. “Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.

Bagaimanapun, hari ini (4 November 2008) Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan Hamzah Zainuddin boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Agendadaily memetik Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah. Menurut Tengku Adnan Ketua UMNO bahagian itu, Raja Ahmad Zainuddin boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009 Jawapan ini semakin pening sebenarnya.

Mana satu mahu dipakai – sama ada pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 atau berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO iaitu seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih? Memanglah Perkara 6.3 yang dibaca dengan 6.3.8 itu membenarkan Hamzah bertanding tetapi bagaimana dengan Pekeliling mengenai pembayaran yuran berkenaan? Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata UMNO Perak menyerahkan kepada MT dan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung isu itu.

Perkara itu telah dibincangkan oleh UMNO Perak yang memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada MT untuk diputuskan. Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.

Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian. Menjadi tanggungjawab Ibu Pejabat menyelesaikan kemelut di Larut ketika ini secara sebaik-baiknya kerana pertikaian dua ‘gajah’ ini boleh melarat kepada perkara-perkara lain yang akan merugikan UMNO! POSTED BY

KIJANGJANTAN AT 1:37 AM 0 COMMENTS