Archive for the haram Category

JANGAN SERTAI DEMONSTRASI HARAM

Posted in demonstrasi, haram on December 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Hari ini kabarnya AMK selangor akan mengadakan demontrasi di masjid negeri Shah Alam selepas solat Jumaat bagi mendesak agar perbicaraan liwat Anwar Ibrahim diadakan serentak di mahkamah syariah.

Soalnya, apakah Anwar dah mula nak berdalih lagi ?
Polis Selangor semalam sudah memberi amaran bahawa orang ramai jangan menyertai perhimpunan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai mana-mana demonstrasi haram yang dijangka diadakan di Petaling Jaya dan Shah Alam hujung minggu ini bagi mengelak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis telah menerima banyak maklumat mengenai terdapatnya pemimpin-pemimpin parti politik dan badan bukan kerajaan (NG0) tertentu yang bercadang mengadakan demonstrasi jalanan dan forum.

“Polis Selangor tidak akan memberikan sebarang permit ke atas penganjuran majlis tersebut. Saya menasihatkan parti-parti politik dan NGO supaya tidak meneruskan niat mereka untuk mengadakan demonstrasi dan forum berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat sama kerana polis sudah bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap perhimpunan haram seperti itu.

Demonstrasi haram itu sebenarnya melanggar perjalanan kes mahkamah beliau sendiri.

Anwar cuba mereka cipta satu konsep demokrasi baru, mewujudkan satu trial public bagi memberikan damage kepada ‘bakal’ keputusan yang berlaku Februari 2010 !

Demokrasi rimba seperti ini sengaja dicipta untuk mengheret Polis Selangor khususnya dengan harapan agar polis mengambil tindakan terhadap hadirin yang memprotes.

Dengan ini mudahlah Anwar melabel dan memberikan persepsi kepada penyokongnya, bahawa polis dan mahkamah memang berkonspirasi dalam kes liwat beliau..

HALAL – KITA BANGGA DENGAN SIJIL DAN LOGO SAHAJA?

Posted in Gelatin, Halal, haram, Khinzir on December 12, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ini berita kurang enak. Walaupun sudah beberapa hari dikeluarkan, rasanya ia tidak akan pernah basi.

Kenapa ini boleh terjadi? Apa terjadi dengan penguatkuasaan halal? Apakah kita hanya berbangga dengan sijil dan logo sahaja?

Bagaimana dengan penguatkuasaan?

Kajian oleh makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) menyebut hanya kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di tidak halal!
Ini kerana ia menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

“Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

“Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan,” katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

“Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram.

POLIS ISYTIHAR PERANG KEGIATAN JUDI INTERNET

Posted in haram, Internet, judi on July 3, 2009 by Hambali Abd Latiff

Live bukan sahaja di tv. Live juga ada di internet. Namun ‘live’ itu berbeza kerana ia turut membabitkan ‘judi secara langsung’ di layar internet.

Persoalannya siapa ramai datang ke pusat Internet? Siapa pemilik dan siapa pula pengunjungnya?

Belia Melayu atau bukan Melayu? Apakah mereka daripada keluarga kaya, miskin atau sederhana?

Untuk apa? Belajar, chat atau berjudi? Mungkinkah ramai yang terlibat dalam kegiatan judi internet? Siapa yang memantau mereka ketika berada di pusat sedemikian?

Sehingga ini belum ada statistik rasmi mengenai siapa paling ramai terbabit dengan kegiatan haram ini.

The Star pada 30 Jun lalu di muka hadapannya turut mendedahkan judi di internet.

Sewajarnya pihak berkuasa mendedahkan perkara ini untuk membolehkan pihak berwajib, ibu bapa atau juga sesiapa sahaja melakukan sesuatu mengelakkan anak atau ahli keluarga mereka melakukan kerja keji ini di pusat internet.

Sewajarnya kita sambut baik keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengumumkan semalam ia mengisytiharkan perang terhadap kegiatan perjudian haram yang dijalankan melalui Internet di negara ini.

Tindakan tegas itu berikutan kewujudan pusat-pusat perjudian Internet haram di negara ini yang semakin banyak dan membimbangkan.

Namun, apakah cara-caranya yang boleh dilakukan oleh orang ramai mengelakkan anak dan keluarganya menmghindari pusat-pusat seperti ini?

Ketegasan pasukan polis terbukti apabila sejak Januari sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 2,029 serbuan telah dilakukan di pusat-pusat Internet yang dikenal pasti menawarkan kegiatan perjudian.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 22,493 mesin judi Internet telah dirampas selain 3,204 suspek ditahan.

“Sehingga kini, polis mengesan terdapat empat sindiket yang mengendalikan kegiatan haram ini yang menggunakan khidmat pengendali (server) perjudian dari luar negara. Kesemua sindiket berkenaan didapati bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Sebagai langkah segera, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengetuai operasi membanteras perjudian haram terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media pada Selasa lalu, berhubung dakwaan wujudnya pusat perjudian dan minikasino haram yang semakin banyak di Lembah Klang berikutan terdapatnya beberapa perkakasan (software) baru yang menghubungkan sindiket perjudian dari Hong Kong dan Filipina.

Kelmarin, operasi kasino dan pusat perjudian mesin slot di seluruh Rusia mula ditutup apabila pihak berkuasa negara terbabit menguatkuasakan undang-undang baru yang lebih tegas sebagai usaha melumpuhkan industri perjudian di negara tersebut.

Jelas Mohd. Bakri, penularan minikasino dan pusat perjudian Internet haram itu turut menjadi ‘wabak’ yang sedang melanda negara-negara Asia lain termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan haram terbabit,” katanya.

MOGOK LAPAR HARAM SAMA SEKALI

Posted in haram, lapar, mogok, pembankang, PKR on May 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Kemaskini)
Mogok lapar tiga hari. Lepas ini apa pula Labu?

Apakah akan ada lagi peristiwa aneh akan berlaku di negeri Perak gara-gara keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pembangkang?
Ketika mahkamah memberikan kelebihan kepada Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tempoh hari, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan dengan ‘tangan terbuka’ dan redha.
Kenapa pada ketika mahkamah membuat keputusan tidak menyebelahinya, Mohd Nizar dan pembangkang ‘tidak redha’?
Selain itu, sebelum ini mereka yang tidak mendapat pembelaan Sultan Perak dan mahkamah pernah mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok.
Maka benarlah kata-kata Dr Zambry bahawa gelaran “Menteri Besar Mahkamah’ patut diberikan kepada Mohd Nizar kerana telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.

Beliau berkata oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohd Nizar, sewajarnyanya gelaran itu diberikan kepada bekas menteri besar Perak itu dan bukan dirinya.

“Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum, “ kata Dr Zambry.

Seperti biasa dan sudah dijangka, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak sebagai mengecewakan.

Beliau berkata, keputusan itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau pun diluar dugaan.
Malah, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, keputusan tersebut memperlihatkan kepada rakyat bahawa badan kehakiman negara telah ‘hancur’ dan perlu diperbetulkan.
Anwar menegaskan, apabila isu di Perak diserahkan kepada mahkamah untuk dibuat keputusan, penghakiman telah dibuat mengikut selera politik dan arahan.

“Saya melihat keputusan itu sebagai menghancurkan institusi penting negara kita iaitu badan kehakiman apabila demokrasi di negara ini sudah tidak lagi berkesan,” tegas Anwar.

Yang jelas, krisis politik Perak kini dikatakan melangkah ke tahap baru berikutan keputusan pemimpin pembangkang negeri itu untuk mengadakan mogok lapar tiga hari sebagai sebahagian daripada usaha terbaru mereka untuk mendapatkan kembali hak rakyat. Ia akan berlangsung hari ini.

Mesej mogok lapar itu kononnya menggesa Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan kembali kepada rakyat, kata Mohd Nizar. Katanya langkah itu telah lama diputuskan dan tiada kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.
Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.
Lapan wakil rakyat dikatakan telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk dari PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Jika menurut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, ADUN Titi Gajah (http://rajaahmadzainuddin.blogspot.com), isu mogok lapar yang dirancang oleh Pakatan Pembangkang Perak hanyalah mainan politik mereka yang semakin kehabisan modal untuk meraih simpati dan belas ihsan rakyat selepas kerajaan pembangkang hilang kuasa di Perak.

Isu mogok ini adalah modal terbaharu pembangkang selepas Dr Zambry disah dan kekal sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lepas.

Lantas beliau bertanyakan Mufti dan ulamak termasuk yang ada dalam parti politik untuk mengeluarkan fatwa atau ulasan-ulasan tentang mogok lapar ini, jika melibatkan masyarakat Islam.

Fatwa dan ulasan sedemikian penting bagi menggelakan sebarang perpecahan dan gambaran yang bolehmengelirukan generasi muda hari ini.

Selepas melihat kedudukan politik ‘yang menjemukan’ di Perak, elok juga kalau kita Beristifar sebentar – merenung kata-kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Mohd Nizar.

”Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia ketika berada di Mekah.

Ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ”Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,”.

Pendapat Harussani disokong oleh dua lagi mufti yang menganggap mogok lapar adalah haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan Dr Juanda menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

“Justeru saya ingatkan penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut,” tegasnya.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

“Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

“Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan,” katanya.

Hakikatnya, bak kata Utusan Malaysia, mogok lapar itu boleh diumpamakan sebagai bayi menangis inginkan perhatian!

Selepas mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri bawah pokok dan membina monumen ‘demokrasi’, pakatan pembangkang tidak sudah-sudah mahu mencetuskan suasana tidak stabil di Perak.

Apa yang boleh dilihat daripada tindakan mogok lapar ini ialah enggan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam.

Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, kempen tersebut akan dirasmikan oleh Mohd Nizar dan bekas Speaker, V Sivakumar dan ia berterusan selama 72 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsir keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, kata jika timbul perasaan tidak puas hati, Mohd Nizar boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

”Ini merupakan keputusan Mahkamah Rayuan. Jika tidak berpuas hati, hak mereka untuk membawa ke Mahkamah Persekutuan kerana ini adalah proses undang-undang, seperti juga Zambry (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) yang merayu ke Mahkamah Rayuan sebelum ini,” katanya.

Sebenarnya mogok lapar itu hanya gimik politik pakatan pembangkang untuk menarik perhatian rakyat.

Dengan kata lain, daripada menunjukkan sikap ‘terpaksa telan’ keputusan mahkamah berkenaan, lebih baik kalau mereka melakukan sesuatu.

Jawapan mereka yang paling mudah ialah mogok lapar.

Hakikat sebenar ialah Mohd Nizar sudahpun memutuskan tindakan selanjutnya – membuat rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.

TIMBALAN MENTERI BOLEH ENGKAR ARAHAN POLIS?

Posted in haram, LTTE, perhimpunan on May 25, 2009 by Hambali Abd Latiff

Saya tertarik dengan satu ulasan pada blog www.kijang-jantan.blogspot.com yang memperkatakan mengenai Timbalan Menteri Boleh.

Menurut Kijang, beliau pening dengan kedudukan politik sekarang. Rakyat dipaksa mengikut arahan polis tetapi orang politik senang-senang dan dengan sengaja boleh langgar arahan polis.

Persoalannya, bagaimana rakyat akan menghormati polis kalau Timbalan Menteri pun tidak reti hormati arahan polis.

Jawapannya ada pada Timbalan Menteri berkenaan.

Baca posting berkenaan:

INILAH TIMBALAN MENTERI BOLEH!

Kijang pening dengan orang politik sekarang. Lebih-lebih lagi kalau dia orang kerjaan Barisan Nasional (BN). Semuanya BOLEH!

Mudahnya memberikan alasan. Dah polis katakan jangan pergi, janganlah pergi. Lagipun perhimpunan itu tiada permit polis.
Bagaimana kita mahu rakyat hormati arahan atau nasihat polis kalau seseorang yang berjawatan Timbalan Menteri kerajaan mengabai atau tidak mengendahkannya?

Walau atas apa kapasiti sekali pun, patuhilah arahan polis, apa lagi kita seorang Timbalan Menteri.

Apa kata Datuk Seri Hishamuddin Hussein, sebagai Menteri Dalam Negeri mengenai perkara ini. Jangan double standard beb!
Semalam Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mempertahankan tindakannya hadir pada perhimpunan di Kuil Sri Subramaniar, Gombak, dekat sini hari ini, adalah kerana dijemput oleh World Tamil Relief (WTR).

Jika Timbalan Menteri boleh menghadiri perhimpunan tanpa permit polis, apa kita mahu katakana jika rakyat biasa turut melakukan perkara serupa pada perhimpunan lain yang hampir serupa?
Pada perhimpunan semalam, kira-kira 1,000 penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berhimpun di kuil berkenaan.

Beliau memenuhi jemputan itu disebabkan rasa prihatin terhadap nasib masyarakat berketurunan Tamil di Sri Lanka.

Saravanan berkata, pada perhimpunan tersebut, beliau yang turut menyampaikan ceramah telah menyeru masyarakat di dunia supaya mendesak kerajaan Sri Lanka agar menghentikan kekejaman terhadap masyarakat berketurunan Tamil.

Perhimpunan itu sekali gus melanggar amaran polis yang dikeluarkan semalam supaya semua pihak tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat permit.

Selain M. Saravanan, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran turut hadir.

Ahli Parlimen pun boleh langgar arahan polis? Tidak hairanlah kalau sebelum ini ramai pemimpin pembangkang melanggar arahan polis kerana mereka boleh melakukan apa sahaja.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berikutan kedegilan pihak penganjur meneruskan perhimpunan tersebut, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap WTR mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

“Jika didapati bersalah, penganjur boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

“Pihak polis akan meneliti rakaman video yang diambil sepanjang ceramah diadakan itu dan akan melihat perkara itu dari sudut perundangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram bagi menyokong kumpulan pemberontak LTTE itu.

Ini kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit polis dan mana-mana individu yang menyertainya dianggap peserta perhimpunan haram dan boleh dikenakan tindakan.

Abdul Rahim memberitahu, antara isi kandungan ceramah yang disampaikan pemimpin terbabit ialah mengutuk dasar kerajaan Sri Lanka berhubung pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam dan penyokong LTTE.

Beliau berkata, mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967, sebarang perhimpunan yang diadakan tanpa permit polis adalah menyalahi undang-undang.

Oleh itu katanya, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

Pada 20 Mei lalu, kira-kira 100 penyokong LTTE berhimpun di hadapan bangunan OSK Investment di Kuala Lumpur, bagi membantah tindakan kerajaan China yang didakwa membantu Sri Lanka dalam serangan ke atas kumpulan itu.

POSTED BY KIJANGJANTAN AT 12:37 PM 0 COMMENTS